Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 15, 2013

ZIPY Perlu Usaha Bersepadu Untuk Berjaya

8 Syawal 1434
Datuk Mukhriz

ALOR SETAR, 14 Ogos , 2013- Cadangan pelaksanaan Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) memerlukan usaha bersepadu daripada pihak yang terlibat untuk memastikannya berjaya, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata kerajaan negeri amat berminat untuk menjayakan projek bernilai berbilion ringgit itu, yang mampu memberi pulangan lumayan dari sektor minyak dan gas tetapi tidak menjangkakan kejayaan yang mudah kerana Kedah kurang pengalaman dalam industri petroleum.


"Kedah sebelum ini tidak pernah sinonim dengan industri minyak dan gas. Jadi, kita boleh bayangkan kita kena bina sesuatu dari tiada apa-apa kepada satu industri. Ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena 100 hari pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah hari ini.

Selain itu, katanya terdapat beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk berkenaan pengambilalihan tanah, rakan pelaburan Merapoh Resources dan sumber minyak mentah, sebelum projek itu boleh dilaksanakan.

Malahan, kata beliau pemaju projek itu, Merapoh Resources Corp Bhd telah diminta untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan untuk mengelakkannya daripada menjadi projek "gajah putih" kelak.

Mukhriz berkata penambakan laut dicadangkan sebagai alternatif penyelesaian kepada projek berkenaan manakala sebuah syarikat dari China berminat untuk melabur di kawasan itu.

"Saya belum melihat laporan mengenai kemampuan syarikat dari China itu tetapi saya difahamkan bahawa syarikat tersebut ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jadi saya fikir mereka tentu mampu untuk melabur berbilion ringgit di kawasan tersebut," katanya.

Namun kata beliau, faktor penentu kepada projek itu adalah sumber minyak yang bakal diperoleh untuk diproses di zon industri petroleum berkenaan.

"Sebelum ini, walaupun Iran disebut bersedia untuk membekalkan minyak mentah, itu belum cukup lagi kerana seperti yang dimaklum, Iran berhadapan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS)."

"Kita tak mahu bersengkokol dengan AS tetapi pada masa yang sama susah untuk mendapatkan (perkhidmatan) perkapalan dari pelabuhan di Iran untuk sampai ke Malaysia," katanya.

ZIPY, yang diumumkan pada 2007, adalah hasil perancangan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) pada masa itu, yang melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak bagi memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara di Asia Timur.

Kerajaan diterajui PAS, yang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, bersetuju meneruskan projek itu dan menukar namanya kepada Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh).

Namun, kerajaan negeri PAS yang mahu menggunakan kaedah lain menambak laut berbanding cadangan awal yang melibatkan pengambilalihan tanah, gagal melaksanakannya, dan mereka memberi alasan kononnya projek itu tergendala disebabkan pemaju yang dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...