Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, April 29, 2013

Takaful Malaysia Sasar Sumbangan Pendapatan Lebih Besar Daripada Operasi Indonesia

19 Jamadilakhir 1434

KUALA LUMPUR, 29 April, 2013- Syarikat Takaful Malaysia Bhd menjangka sumbangan pendapatan daripada operasinya di Indonesia meningkat kepada 20 peratus sebaik sahaja akta jualan produk takaful oleh syarikat takaful kendiri berkuat kuasa pada 2015.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hassan Kamil berkata ketika ini operasi di Indonesia menyumbang kira-kira 10 peratus.

"Syarikat takaful kami d Indonesia adalah syarikat kendiri. Oleh yang demikian kami berharap persaingan akan menjadi lebih adil dan saksama.

"Ketika ini, persaingan tidak sama rata. Banyak syarikat konvensional beroperasi di kaunter, oleh itu mereka mempunyai kelebihan utama berbanding kami kerana mereka menggunakan cabang konvensional untuk menyokong kaunter takaful, tanpa memerlukan modal berasingan," katanya pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Isnin.

Mengenai rancangan kumpulan untuk membeli hartanah di London, Hassan berkata rancangan itu ditangguhkan kerana Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) akan dikuatkuasakan pada Jun ini.

"IFSA akan membolehkan kami mempunyai struktur di mana terdapat sebuah syarikat pegangan kewangan, oleh itu kami akan menunggu garis panduan khusus daripada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum kami meneruskan langkah seterus kami untuk membeli hartanah di London.

"Dengan adanya syarikat pegangan kewangan, ini kemungkinan akan membolehkan kami mendapat manfaat lebih besar daripada struktur cukai kerana kami akan menubuhkan syarikat pegangan kewangan di Labuan," katanya sambil menambah kumpulan itu menjangka memulakan semula rundingan pembelian tersebut di London tahun depan.

Akta baharu itu akan memerlukan penginsurans konvensional dan takaful untuk melepaskan lesen komposit mereka dan menjalankan perniagaan insurans hayat dan am mereka di bawah unit berasingan.

Mengenai kemungkinan usaha sama luar negara beliau berkata, Takaful Malaysia menyasar pasaran China dan Timur Tengah, yang mempunyai penduduk Islam yang ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata, China kekurangan instrumen patuh syariah bagi kumpulan itu untuk melabur premiumnya manakala Timur Tengah tidak stabil dari segi keselamatan.

Di masa depan, Hassan berkata, prospek industri kekal positif dan dijangka berkembang antara 20 dan 25 peratus tahun ini.

"Kami berharap dapat memanfaatkan momentum itu dan berkembang sekurang-kurangnya pada peratusan tersebut bagi memastikan bahagian pasaran kami dikekalkan," katanya.

Takaful Malaysia, yang akan membentangkan paras modal sasaran dalamannya kepada BNM pada September, bersiap sedia untuk memiliki polisi dividen tahun depan.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Perniagaan Malaysia Hadapi Kesukaran Dapatkan Pekerja Mahir

19 Jamadilakhir 1434

KUALA LUMPUR, 29 April, 2013- Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR) Grant Thornton menunjukkan bahawa 62 peratus perniagaan di Malaysia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja mahir.

Angka ini mengatasi Singapura dengan 61 peratus, dan jauh mengatasi purata global iaitu 39 peratus.

Kajian itu juga mendapati bahawa di rantau Asean, kekurangan kemahiran khusus atau teknikal merupakan faktor paling ketara bagi perniagaan di Vietnam iaitu pada 86 peratus, diikuti oleh Filipina (76 peratus) dan Malaysia (68 peratus).

Dalam satu kenyataan, Grant Thornton berkata IBR menarik perhatian kepada faktor-faktor lain yang menghalang pengambilan pekerja di Malaysia, seperti kurangnya pengalaman kerja yang sesuai (63 peratus) dan juga kekurangan kemahiran am yang membolehkan diambil bekerja, khususnya kerja berpasukan, iaitu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris (62 peratus).

Ia berkata perniagaan Malaysia juga berdepan dengan kos kendalian yang meningkat (52 peratus), beban kerja yang bertambah bagi kakitangan yang tinggal (47 peratus) dan kemerosotan standard perkhidmatan pelanggan (38 peratus).

Rakan Urusan SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata perniagaan tidak memberi sebarang erti tanpa pekerjanya, seperti juga tiada ertinya bagi strategi tanpa pekerja untuk menjayakannya.

Beliau berkata justeru itu, kekurangan pekerja mahir yang dilaporkan oleh pemimpin perniagaan seharusnya mencetuskan kebimbangan, terutamanya ketika pengangguran berada pada tahap tinggi dalam banyak pasaran matang.

"Hakikat bahawa kebimbangan utama dalam kalangan perniagaan adalah kekurangan kemahiran teknikal boleh menimbulkan keyakinan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, April 8, 2013

PNB Kini Urus Pelaburan 164.15 Bilion Unit

27 Jamadilawal 1434


KANGAR, 6 April , 2013- Permodalan Nasional Berhad (PNB) menguruskan unit-unit pelaburan berjumlah 164.15 bilion unit sehingga Februari lepas, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Katanya, pada masa ini, 11.36 juta rakyat Malaysia melabur dalam ASNB yang diuruskan oleh PNB dan angka itu akan terus berkembang.


PNB kini melabur dalam lebih 200 syarikat, termasuk syarikat besar, strategik dan menguntungkan, di mana pulangan keuntungan dinikmati para pemilik saham, katanya pada majlis Program Bersama Kumpulan PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2013 di Taman Datuk Jaafar dekat sini Sabtu.

Secara keseluruhannya, katanya tahap kesedaran melabur yang meningkat di kalangan rakyat Malaysia mendorong peningkatan purata pelaburan setiap akaun di dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada 14,450 unit.

Menurutnya, saiz purata pelaburan itu meningkat berganda berbanding purata 4,044 unit setiap akaun pada 1999.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Penting Untuk Buat Pemeriksaan Latar Belakang Ke Atas Pekerja

27 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 7 April , 2013 - Adalah penting untuk para majikan membuat pemeriksaan latar belakang bakal pekerjanya bagi memastikan yang keputusan mengambil pekerja dibuat dengan baik dan wajar kerana sebarang kecuaian boleh melibatkan risiko kepada majikan dalam jangka panjang, demikian menurut syarikat terkemuka dalam industri penyiasatan persendirian dan pemeriksaan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Venovox Sdn Bhd, Rebecca C. @ Rathi, yang juga merupakan penyiasat persendirian wanita pertama Malaysia yang dilantik ke peringkat jawatan CEO berkata, kelalaian mengambil pekerja akan merugikan syarikat bukan sahaja dari segi kurang produktiviti, kualiti tidak memuaskan dan jumlah pusing ganti pekerja yang tinggi, tetapi juga boleh mengheret syarikat ke mahkamah perindustrian.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau turut menunjukkan statistik bagi menyokong kenyataan yang majikanlah yang kerap berada di pihak yang kerugian sekiranya kes pemberhentian pekerja dibawa ke mahkamah.

"Majikan kehilangan hampir dua pertiga daripada tuntutan dalam kecuaian mengambil pekerja dan sehubungan itu, pemeriksaan adalah penting dengan mengambilkira kos memecat adalah tinggi berbanding dengan mengambil bekerja terutamanya apabila majikan diheret ke mahkamah.

Rebecca, yang telah berkhidmat dengan syarikat penyiasatan persendirian sejak lapan tahun lepas sebelum beralih ke Venovox berkata, pemeriksaan latar belakang pekerja, walaupun agak baharu di Malaysia, telah lama digunakan oleh beberapa perniagaan di dalam negara seperti institusi kewangan dan kredit serta syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lain.

Sementara kebanyakan syarikat mempunyai bahagian sumber manusia sendiri untuk membuat penyelidikan asas sebelum mengambil calon pekerja, ada masa-masanya, apabila penyelidikan menyeluruh diperlukan, syarikat akan mengupah syarikat luar melakukannya.

Penyelidikan ataupun pencarian latar belakang boleh jadi yang paling mudah diminta oleh majikan seperti gaji sebelumnya sehinggalah kepada maklumat yang lebih terperinci seperti sejarah kewangan, prestasi kerja dan hubungan sesama.

Syarikat-syarikat yang berjaya ialah syarikat yang melihat modal insan mereka sebagai aset paling penting dan itulah mengapa para majikan digalakkan untuk membuat pemeriksaan latar belakang kerana ada kalanya, penemuan yang paling mudah, umpamanya dalam maklumat ringkas diri (resume)) boleh memberitahu segala-segalanya mengenai perilaku seseorang itu, kata Rebecca.

Perkara-perkara yang sering bakal pekerja memberikan maklumat tidak tepat, malah palsu dalam maklumat ringkas diri mereka (resume) termasuklah kelayakan akademik, pengalaman kerja, kemahiran dan gaji.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, April 5, 2013

Bank Muamalat Catat Untung Pracukai 9 Bulan Sebanyak RM172.4 Juta

25 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 4 April, 2013 Bank Muamalat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM172.4 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Dis, 2012, meningkat berbanding keputusan setahun penuh tahun lepas sebanyak RM123.5 juta.

Perolehan bagi tempoh itu meningkat 12.3 peratus kepada RM744.6 juta, menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata "Prestasi kami semakin meningkat sehingga 2012 walaupun saingan sengit secara berterusan dalam industri.

"Kami mencatat peningkatan mampan dalam pembiayaan dan pendapatan yuran dan pada masa yang sama menekankan disiplin yang lebih besar dalam menguruskan perbelanjaan overhed.

"Tidak kurang pentingnya, kualiti aset telah meningkat dengan ketara, yang membawa kepada penurunan kos susut nilai yang seterusnya membantu meningkatkan pendapatan bank," katanya.

Bagi tempoh dalam kajian, pendapatan pembiayaan meningkat 17.9 peratus kepada RM461.4 juta manakala pendapatan yuran menyaksikan pertumbuhan kukuh sebanyak 44.6 peratus tahun ke tahun kepada RM31.7 juta.

Peningkatan ketara bank dalam pendapatan berasaskan fi didorong terutamanya menerusi tumpuan berterusan dalam mengembangkan perniagaan Ar-Rahnu dan perkhidmatan pengurusan kekayaan, selain peningkatan aktiviti nasihat korporat.

Selain itu, bank turut mencatat kemasukan semula bersih RM7.2 juta pembiayaan dan pelaburan berbanding RM21.6 juta elaun pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

"Segmen runcit kekal sebagai industri perbankan asas. Pertumbuhan 33.4 peratus dalam segmen ini mencerminkan penerimaan ramai yang semakin meningkat terhadap produk kami di pasaran, disokong oleh penawaran kompetitif kami dan strategi untuk memberi tumpuan kepada segmen khusus dan pasaran terpilih.

"Walaupun pertumbuhan penting, menguruskan kualiti aset terus menjadi keutamaan bank," kata Mohd Redza.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Thursday, April 4, 2013

Kuota Untuk 20 MW Solar PV Habis Dalam Tempoh Sejam

24 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 4 April , 2013- Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) telah mengumumkan kuota 20 megawatt (MW) solar fotovoltan (PV) untuk bukan individu di bawah kategori 500-kilovolt (kW) pada hari Selasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusinya, Tan Sri Dr Fong Chan Onn berkata kuota-kuota itu telah habis dalam tempoh satu jam pertama diumumkan.

"Kadar pengambilan yang begitu cepat untuk kuota solar PV ini ialah berikutan kadar kenaikan berperingkat untuk kapasiti terpasang untuk PV solar melebihi 24 kW, daripada lapan peratus kepada 20 peratus.

"Kesemuanya, terdapat permohonan 137 solar PV dihantar menerusi sistem dalam talian Tarif Galakan (e-FiT) pada akhir jam berkenaan," kata beliau.

Fong berkata kadar berperingkat 20 peratus yang baru-baru ini telah diwartakan dalam Jadual Akta Tenaga Diperbaharui 2011 untuk projek-projek PV solar yang lebih besar daripada 24 kW, masih lagi berdaya maju secara komersilnya.

Beliau berkata SEDA Malaysia turut menasihati mereka yang berjaya mendapatkan kuota untuk memastikan sistem solar PV mereka mencapai data pelaksanaan FiT menjelang 31 Dis, 2012 bagi memastikan mereka menikmati kadar FiT tahun ini.

Fong berkata sebelum pembukaan kuota-kuota itu, SEDA Malaysia telah mengingatkan kesemua bakal pemohon yang mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pematuhan semua maklumat/dokumen yang dihantar.

"Penghantaran pendaftaran/makluman terkini profil sahaja tidak bermakna patuh kepada proses penghantaran dan mendapat kelulusan SEDA Malaysia," kata beliau.

SEDA Malaysia berhak untuk menolak permohonan ataupun membatalkan Kelulusan Galakan (di mana perlu) sekiranya ada sebarang maklumat/dokumen yang dihantar didapati tidak benar ataupun palsu.

Beliau berkata yang SEDA Malaysia telah mendapat arahan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang berkuat kuasa 1 Jan, 2014 sehingga 31 Dis, 2017, kadar penurunan untuk solar PV untuk individu akan dikurangkan kepada sifar peratus.

Sumber - BERNAMA

Tuesday, April 2, 2013

Maybank Islamic Mahu Kuasai Pasaran Global

21 Jamadilawal 1434

Selepas muncul sebagai bank Islam terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, Maybank Islamic Bhd kini menyasar untuk menjadi peneraju dalam kewangan Islam global menjelang 2015.
Ia sejajar dengan aspirasi Bank Negara Malaysia dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 yang mendorong peserta kewangan Islam tempatan menjadi peserta utama antarabangsa.
"
Kami melihat wujud potensi pertumbuhan yang sangat besar bagi sektor perbankan Islam di Indonesia kerana penguasaan pasarannya yang masih lagi rendah” Muzaffar Hisham, Ketua Eksekutif Maybank Islamic Bhd

Ketua Eksekutifnya, Muzaffar Hisham, berkata cabang perbankan Islam Malayan Banking Bhd (Maybank) itu sudah mengenal pasti lima bidang utama yang akan menjadi tumpuannya bagi merealisasikan sasaran itu.

Beliau berkata, ia adalah mengekalkan kedudukan Maybank Islamic sebagai bank Islam nombor satu di Malaysia dari segi aset, deposit dan pembiayaan serta memantapkan lagi perniagaan penerbitan sukuk.

Maybank Islamic juga akan mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran utama iaitu Indonesia dan Singapura serta meninjau peluang di Asia Barat, memperkenalkan produk yang inovatif serta memantapkan pengurusan risiko dan rangka kerja tadbir urus Syariah.

“Kami berpendapat adalah sangat penting bagi kami untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju di pasaran tempatan sebelum meneroka pasaran antarabangsa dengan lebih agresif,” katanya kepada BH dalam satu temubual yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Jika kedudukan kami tidak kukuh di pasaran tempatan, bagaimana kami mahu bersaing di pasaran luar," katanya.

Muzaffar berkata, Maybank Islamic akan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian Kumpulan Maybank di Indonesia dan Singapura bagi mengukuhkan kehadirannya di kedua-dua pasaran berkenaan.

Katanya, pihaknya bercadang meningkatkan transaksi rentas sempadan di negara serantau pada masa akan datang terutama dalam perbankan borong.

Yakin kekal prestasi

“Kami melihat wujud potensi pertumbuhan yang sangat besar bagi sektor perbankan Islam di Indonesia kerana penguasaan pasarannya yang masih lagi rendah,” katanya.

Mengenai prestasi kewangan Maybank Islamic bagi tahun kewangan semasa, Muzaffar berkata, pihaknya yakin dapat mengekalkan prestasi cemerlang yang dicatatkan tahun lalu, didorong permintaan yang kukuh di pasaran tempatan dan serantau.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, Maybank Islamic mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai 26.9 peratus kepada RM1.32 bilion.

Katanya, dalam tempoh itu jumlah pembiayaan kasar bank Islam itu berkembang 18.3 peratus kepada lebih RM62 bilion, iaitu mewakili lebih 30 peratus pembiayaan domestik Kumpulan Maybank.

“Pada tahun lalu, perniagaan perbankan Islam menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Maybank dengan jumlah sumbangan sebanyak RM2.20 bilion, meningkat 19.4 peratus berbanding RM1.84 bilion pada 2011,” katanya.

Sumber; BH Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...