Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 29, 2013

NAFAS Peruntukkan RM80.5 Juta Beli Tanah Bina Kilang Makanan Ternakan Di Gurun

22 Syawal 1434

JOHOR BAHARU, 28 Ogos, 2013 - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah bersetuju membeli sebidang tanah perindustrian di Gurun, Kedah bernilai RM80.5 juta bagi membina kilang makanan ternakan bagi menampung keperluan tempatan.

Pengerusinya Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, projek pembinaan kilang makanan ternakan miliknya sendiri itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana ia berkepentingan negara.

"Di atas kepentingan negara, projek pembinaan kilang makanan ternakan di Gurun itu kini menjadi keutamaan kami dan untuk itu Nafas telah memutuskan untuk menangguhkan pembinaan kilang bajanya di Sarawak bernilai RM170 juta."


"Peruntukan RM170 juta itu sebaliknya akan disalurkan untuk memastikan projek pembinaan kilang makanan ternakan di Gurun itu dapat direalisasikan secepat mungkin," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Kilang makanan ternakan Nafas di Gurun apabila beroperasi kelak katanya, berkemampuan menampung sebahagian besar daripada permintaan daripada penternak-penternak tempatan.

"Kapasiti kilang di Gurun itu akan mengikut keperluan (makanan ternakan) daripada penternak-penternak tempatan," kata beliau.

Saipolbahari berkata, kewujudan kilang di Gurun itu secara tidak langsung akan mengurangkan harga makanan ternakan di pasaran tempatan di antara 10 hingga 20 peratus.

Sementara menunggu kilangnya di Gurun itu beroperasi, Nafas di dalam langkah jangka pendek untuk menampung permintaan tempatan katanya, telah bekerjasama dengan beberapa pihak dalam negara untuk mengeluarkan makanan ternakan.

Ia termasuk usaha sama dengan sebuah syarikat bukan Bumiputera bagi meningkatkan kemampuan penghasilan makanan ternakan mereka di dalam satu bulan, katanya.


Selain itu Nafas turut bekerjasama dengan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) di dalam penghasilan makanan ternakan untuk pasaran tempatan.

Ia juga akan meningkatkan kapasiti penghasilan makanan ternakan daripada kilang sedia adanya di Pagoh, daripada 10 tan metrik sebulan kepada 20 tan metrik sebulan, kata beliau.

Saipolbahari berkata kewujudan kilang makanan ternakan milik Nafas di Gurun itu juga akan mengawal sebarang kenaikan harga bahan itu di pasaran tempatan.

Pada ketika ini, penternak tempatan sering memberi alasan harga makanan ternakan yang melambung sebagai punca utama yang menyebabkan kenaikan harga ternakan di pasaran seperti ayam, kambing, lembu dan lain-lain terutamanya menjelang musim perayaan.

Apabila kos makanan ternakan dapat dikurangkan, penternak tempatan tidak lagi mempunyai alasan untuk menaikkan harga ternakan mereka di pasaran sehingga membebankan pengguna, jelas beliau.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...