Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, February 28, 2013

Bank Dunia Iktiraf Malaysia Sebagai Pemimpin Serantau Tadbir Urus Korporat

17 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 26 Febuarin 2013 - Malaysia telah menerima penarafan tinggi daripada Bank Dunia dalam laporan Tadbir Urus Korporat mengenai Pematuhan Terhadap Standard dan Kod 2012 (ROSC) yang dikeluarkan hari ini, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu kenyataan Selasa, SC berkata yang bank itu turut melaporkan yang Malaysia telah diiktiraf sebagai pemimpin serantau dalam tadbir urus korporat, dan telah membuat kemajuan besar dalam penambahbaikan kerangka undang-undang dan pengawal selia yang berkaitan dengan tadbir urus korporat.

"Menurut laporan itu, skor keseluruhan Malaysia adalah lebih tinggi daripada skor purata negara-negara dalam rantau Asia.

"Bank turut memperakui bahawa Malaysia mempunyai pasaran modal yang besar, institusi yang kukuh, peserta pasaran yang sofistikated dan piawaian perakaunan yang berkualiti tinggi," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Malaysia Airlines Mula Pulihkan Kedudukan Kewangan

17 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 27 Febuari 2013- Malaysia Airlines (MAS) sedang bergerak untuk memulihkan kedudukan kewangannya dan membuat permulaan baharu, berdasarkan aktiviti korporat terbaharunya, kata OSK Research.

Ia berkata MAS kini berusaha mengurangkan kerugian terkumpulnya, membuat pembayaran semula pinjaman dan berbelanja untuk pengembangan sementara mengambil bahagian dalam pakatan oneworld untuk mendorong faktor beban dan hasil.

Pelan jangka panjang ini tentunya positif, kata syarikat penyelidikan itu dalam kenyataan Rabu.

Bagaimanapun, ia berkata, pelabur akan sedikit terjejas pada jangka pendek memandangkan langkah-langkah itu akan mengurangkan perolehannya sebanyak 60 peratus, berdasarkan tiga saham hak untuk dua saham yang dipegang.

MAS telah mengusulkan untuk mengurangkan nilai setara sahamnya daripada RM1 setiap satu kepada 10 sen untuk mengimbangkan sebahagian daripada kerugian terkumpulnya sebanyak RM7.864 bilion.

Syarikat penerbangan itu juga mengusulkan untuk mengurangkan premium sahamnya untuk mengimbangkan kerugian terkumpul itu.

"Apa yang membimbangkan pelabur adalah MAS membuat terbitan hak untuk kali ketiga semenjak Januari 2007," kata OSK.

MAS bercadang untuk mengumpulkan RM3.1 bilion dan menggunakan hasilnya untuk modal kerja (43 peratus), perbelanjaan modal (32 peratus) dan pembayaran balik pinjaman (25 peratus).

Maklumat lanjut: BERNAMA

TalentCorp Sasar Tarik Lebih 1,000 Tenaga Kerja Malaysia Kembali Tahun 2013

17 Rabiulakhir 1434

PUTRAJAYA, 27 Febuari 2013- Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) menyasar menarik lebih daripada 1,000 tenaga kerja Malaysia untuk kembali ke tanah air tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Johan Mahmood Merican berkata TalentCorp akan menganjurkan lebih banyak program kesedaran bagi tenaga kerja mengenai peluang kerja dan perniagaan yang tersedia di Malaysia.

"Malaysia sedang berada di fasa pembangunan pesat, dari segi peluang perniagaan dan pelaburan dan kita memerlukan lebih banyak tenaga kerja di sini bagi membantu kerajaan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020," katanya pada taklimat media di sini, Rabu.


Maklumat lanjut: BERNAMA

Untung Pracukai Telekom Malaysia Meningkat Kepada RM1.07 Bilion

17 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 27 Febuari 2013- Keuntungan pracukai Telekom Malaysia Bhd mengukuh kepada RM1.07 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, berbanding RM1 bilion tahun 2011.

Pendapatan turut menambah kepada RM9.99 bilion daripada RM9.51 bilion.

Untuk suku keempat, keuntungan pracukai meningkat kepada RM346.22 juta, dengan pendapatan yang lebih tinggi iaitu RM2.81 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa berkata prestasi yang lebih itu, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan menggalakkan dalam kesemua produk pentingnya, iaitu internet dan multimedia, khususnya, UniFi, data yang tinggi dan perkhidmatan lain.

"Pendapatan sebelum cukai, faedah susut nilai, pelunasan dan amortisasi (EBITDA) untuk tahun kewangan 2012 ialah RM3.23 bilion, meningkat 4.7 peratus berbanding tahun kewangan 2011.

"Margin EBITDA normal ialah 32 peratus, seiring dengan petunjuk prestasi utama kami," kata beliau dalam persidangan akhbar selepas mengumumkan keputusan penuh 2012 TM Rabu.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) untuk tahun kewangan 2012 mengembang 6.1 peratus kepada RM1.26 bilion, terutamanya dikaitkan dengan pendapatan yang tinggi, pengiktirafan pendapatan cukai tertangguh dan keuntungan asing yang tidak direalisasikan.

PATAMI normal ialah pada RM881 juta, naik 38.8 peratus berbanding RM634.8 juta pada 2011, dirangsang oleh pendapatan yang tinggi dan perbelanjaan cukai yang rendah.

Kumpulan telah mencadangkan dividen 12.2 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, dijangka dibayar pada Jun.

"Asas pengguna dalam segmen jalur lebar mengembang 7.4 peratus pada 2012 kepada 2.07 juta.

"Setakat ini, kita telah mengaktifkan lebih 514,000 pengguna UniFi dan momentum sedemikian akan berterusan tahun ini," kata Zamzamzairani.

Bergerak ke hadapan, Telekom Malaysia menjangkakan pertumbuhan pendapatan dalam sekitar enam peratus tahun ini sementara pertumbuhan EBIT diunjurkan pada tiga peratus.


Maklumat lanjut: BERNAMA


Tuesday, February 26, 2013

Keuntungan Tahun Penuh 2012 Felda Global Ventures Cecah RM1.13 Bilion

16 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 26 Febuari 2013- Keuntungan sebelum cukai tahun penuh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bagi tahun yang berakhir pada 31 Dis, 2012, selepas perubahan nilai saksama dalam liabiliti Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) mencecah RM1.26 bilion.

Pada 2011, keuntungan sebelum cukai FGV ialah sebanyak RM1.9 bilion dan ini tidak termasuk liabiliti LLA atau RM210.18 juta, yang hanya meningkat pada 2012 berikutan perubahan model perniagaan FGV.

Presiden FGV Datuk Sabri Ahmad berkata berkuat kuasa 1 Jan, 2012, model perniagaan syarikat telah berubah apabila FGV memeterai LLA dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melibatkan 347,584 hektar tanah Felda, membawa kepada perubahan saksama dalam liabiliti LLA diiktiraf dalam penyata pendapatan.

Pendapatan FGV pada 2012 berjumlah RM12.89 bilion berbanding RM7.45 bilion pada 2011.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Malaysia Mampu Jadi Negara Kuasa Koperasi Dunia

16 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 26 Febuari 2013- Malaysia mampu muncul sebagai negara kuasa koperasi dunia sekiranya penggiat industri itu melaksanakan sistem tadbir urus yang mantap, unggul, sistematik, berintegriti tinggi dan bina upaya yang kukuh serta mampu bersaing di peringkat global.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata tidak mustahil untuk Malaysia muncul sebagai kuasa koperasi dunia jika semua koperasi yang ada, khususnya yang sudah berdaya saing, mempunyai keupayaan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa seperti negara-negara maju.

Nik Ali yang menggantikan Datuk Md Yusof Samsudin sejak 21 Jan lepas, menyuarakan keyakinan beliau bahawa jika semuanya mengamalkan sistem tadbir urus yang baik, koperasi akan menjadi industri yang paling berjaya.

Dalam usaha untuk memastikan koperasi di Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa, ia perlu sentiasa menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan sedia ada seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corp.

"Matrade yang terlibat dengan program pembangunan eksport, mempromosi produk Malaysia manakala SME Corp yang mempunyai pelbagai insentif dan geran, klinik perniagaan, serta pelbagai usaha mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang boleh dikongsi bersama," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Nik Ali berkata pembangunan koperasi mestilah dipacu oleh penggiat industri manakala SKM berperanan sebagai pemudah cara yang bertujuan untuk memastikan pembangunan sektor koperasi berjalan teratur.

Beliau berkata kebanyakan koperasi di Malaysia berada dalam zon selesa, mentaliti subsidi, kebergantungan yang besar kepada kerajaan dan tidak meniru amalan terbaik koperasi-koperasi besar di dunia.

"Kita nak tingkatkan jumlah koperasi dan anggota yang berkualiti, profesional, kompeten dan "business minded". Kita tak mahu koperasi yang dominan," katanya.

Menurutnya koperasi di Malaysia perlu belajar daripada koperasi Korea, Belanda, New Zealand dan Australia, yang mempunyai koperasi yang besar, bagi membantu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Malindo Air Terima Sijil Operasi Syarikat Penerbangan

16 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 26 Febuari 2013- Malindo Air telah menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Sivil (DCA) untuk menjalankan operasi udara komersil.

Dalam satu kenyataan Selasa, Malindo Air berkata kelulusan itu adalah satu kejayaan dalam memperkenalkan syarikat penerbangan tambang murah baharu yang dinanti-nantikan itu.

Anggota Lion Group itu berkata ia menyasarkan untuk memulakan operasi pada Mac.

Syarikat penerbangan hybrid pertama Malaysia itu berkata ia akan memperkenalkan penawaran produk kelas bisnes dan ekonomi.

Pesawat yang mempunyai tempat duduk yang lebih lebar iaitu 45 inci untuk kelas bisnes dan 32 inci di kelas ekonomi itu menawarkan pilihan baharu untuk keselesaan penumpang.

Penerbangan juga disediakan dengan kemudahan seperti televisyen Peribadi, perkhidmatan makanan di kelas bisnes dan snek di kelas ekonomi.

Lain-lain tambahan nilai yang ditawarkan oleh Malindo Air ialah elaun bagasi percuma 30kg untuk kelas bisnes dan 15kg bagi kelas ekonomi.

Berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, ia akan menjadi syarikat penerbangan pertama menggunakan B737-900ER serba baharu di Malaysia.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Monday, February 25, 2013

Kerajaan Sasar 10 Juta Rakyat Peroleh Pendapatan Lebih RM2,000 Menjelang 2020

15 Rabiulakhir 1434

IPOH, 24 Febuari 2013 Kerajaan menyasarkan seramai 10 juta rakyat bakal memperoleh pendapatan lebih daripada RM2,000 menjelang tahun 2020 menerusi program transformasi ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Dr Ahmad Husni Hanadzlah.

Menurutnya, sehingga kini jumlah rakyat berpendapatan lebih daripada RM2,000 ialah seramai 5 juta orang dan beliau yakin angka itu akan meningkat dan mencapai sasaran.

"Kita sasar GNI (Pendapatan Negara Kasar) mencatatkan RM1.7 trilion pada 2020.

"Di bawah program transformasi ekonomi, kerajaan bukan hanya menumpu kepada kepada ekonomi pendapatan rendah, kita juga menumpu kepada kepada ekonomi pendapatan tinggi, ini menunjukkan pendapatan pekerja-pekerja di negara ini akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini, hari Ahad.

Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata kerajaan akan mengubah ekonomi negara untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi dengan menumpukan kepada pengeluaran daripada teknologi.

"Bagaimanapun, sebilangan besar tenaga manusia masih diperlukan untuk pengembangan ekonomi, walaupun tumpuan kepada teknologi," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Untung Petronas Chemicals Untuk Tahun Kewangan 2012 Turun Kepada RM3.8 Bln

15 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 25 Febuari 2013- Keuntungan Petronas Chemicals Group Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, merosot 11 peratus kepada RM3.8 bilion sementara pendapatannya pula mengukuh dua peratus kepada RM16.6 bilion.

Dalam satu kenyataan Isnin, Petronas Chemicals berkata tahun 2012 merupakan tahun yang amat mencabar untuk industri petrokimia dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi global telah menjejaskan harga dan permintaan petrokimia.

"Walaupun keadaan pasaran telah pulih dalam suku keempat, harga dan permintaan yang rendah telah menyaksikan margin produk yang kecil untuk tahun berkenaan," katanya.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Saturday, February 23, 2013

Rizab Antarabangsa Bank Negara Berjumlah RM429.1 Bilion Pada 15 Feb

12 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 22 Febuari 2013- Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM429.1 bilion, bersamaan dengan US$140.3 bilion, pada 15 Feb, 2013.

Dalam satu kenyataan Jumaat, bank pusat itu berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan merupakan 4.6 kali hutang luar negeri jangka pendek.


Ia berkata rizab antarabangsa ini terdiri daripada rizab mata wang asing (US$126.8 bilion), rizab Tabung Mata Wang Antarabangsa (US$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$2 bilion), emas (US$1.9 bilion) dan aset rizab lain (US$8.7 bilion).

Keseluruhan aset Bank Negara, termasuk rizab antarabangsa, berjumlah RM478.81 bilion.

Aset-asetnya yang lain termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM2.18 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM29.06 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM9.45 bilion) dan aset-aset lain (RM9.02 bilion).

Maklumat lanjut: BERNAMA

Cukup Penganalisis Kewangan Bertauliah Di Malaysia: CFA Institute

12 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 22 Febuari 2013- Malaysia mempunyai bilangan Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA) yang mencukupi dalam industri tersebut, sungguhpun kadar lulus bagi peperiksaan itu adalah rendah, kata pengarah urusan Institut CFA Asia Pasifik Paul H. Smith.

"Kadar lulus bagi peperiksaan CFA adalah rendah sepanjang beberapa tahun lepas dan angka itu telah merosot berbanding tahun-tahun awal," katanya kepada pemberita pada satu sidang media mengenai Cabaran Penyelidikan Institut CFA 2012/13 di sini Jumaat.

"Kadar lulus peringkat pertama adalah kira-kira 38 peratus, untuk tahap kedua, antara 40 ke 45 peratus sementara tahap ketiga adalah kira-kira 50 peratus.

"Ia adalah paras yang tinggi, tetapi sesiapa yang lulus program ini tentunya bersedia berkhidmat dalam pasaran sekarang," katanya.

Smith berkata setakat ini, terdapat 493 CFA di negara ini, 500 pengamal bertauliah dan kira-kira 18,000 pelajar yang sedang menduduki pelbagai tahap peperiksaan pentauliahan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Baju Kurung Hasmin Terokai Vietnam

12 Rabiulakhir 1434

 HO CHI MINH CITY (VIETNAM), 22 Febuari 2013- Apabila Hasmin Nahazanan mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai menjahit baju kurung di Vietnam pada lapan tahun lepas, beliau terus berpegang dengan nekad itu tanpa lagi menoleh ke belakang.

Berbekalkan dengan semangat yang begitu tinggi, Hasmin bersama suami, Alfashah Che Othman terus tanpa jemu menghasilkan baju kurung di bawah jenama De'Alfa.

Keputusan membuka kedai dan seterusnya kilang di luar negara sedikit sebanyak membantu pasangan suami isteri ini dalam menjimatkan kos bagi mendapatkan pekerja dan seterusnya menghasilkan baju yang berkualiti pada harga yang kompetitif.

MULA DARI BAWAH

Bersama-sama rakan kongsinya Nguyen Dhang Dhue, 35, yang adalah rakyat tempatan, pasangan ini telah menubuhkan sebuah syarikat, Armada Kiara, dengan memulakan pengeluaran di sebuah rumah di tengah-tengah bandaraya Ho Chi Minh City.

Dengan seramai 16 pekerja dan sebanyak 20 mesin jahit pada ketika itu, baju kurung yang telah siap kemudian dibawa pulang ke Malaysia untuk dijual, dan terus mendapat sambutan yang baik kepada peminat pakaian itu.

"Kalau dulu saya boleh membekalkan sebanyak kira-kira 2,000 baju kurung sebulan, kini kilang saya di sini boleh menyiapkan lebih 20,000 sebulan bagi pasaran di Malaysia.

"Alhamdulillah kini saya gembira melihat sambutan terhadap baju kurung terus meningkat baik dan menjadi harapan untuk melihat rakyat dari negara lain juga turut berminat untuk memakainya," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

MAJU KE HADAPAN

Dua tahun lepas, operasi syarikat Hasmin dipindahkan dari rumah berkenaan ke sebuah kilang pembuatan baju kurung miliknya yang terletak di pinggir bandaraya ini.

Jika dahulu hanya menggaji 16 pekerja, kini kilang berkenaan mempunyai lebih 200 pekerja yang kesemuanya adalah penduduk kampung berhampiran kilang itu.

Demi menjaga kualiti, pemilihan pekerja diambil dengan penuh teliti agar baju kurung keluarannya terus mendapat tempat di hati peminat pakaian itu.

"Kalau pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha, sambutan pembeli sangat hebat dan ketika itu, kilang akan mengeluarkan sebanyak 60,000 pasang setiap bulan perayaan," katanya.

Hasmin, yang juga Pengarah Urusan syarikat itu, berkata bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan kepercayaan kerajaan Vietnam bagi kelulusan untuk membina kilang di negara itu.

"Tapi Alhamdulillah, akhirnya mereka bersetuju membenarkan saya mendirikan kilang dengan syarat pekerjanya mesti terdiri daripada rakyat tempatan dan dengan berbekalkan hampir RM1 juta akhirnya kilang ini dapat direalisasikan," katanya.

DAPATKAN BAHAN

Syarikat mendapatkan fabrik untuk baju kurung selain Vietnam adalah dari Timur Tengah, Korea dan China yang mempunyai kualiti tersendiri.

"Semua fabrik itu akan dikumpulkan di kilang ini dan reka bentuk baju terkini akan direka suami saya sebelum dijahit," katanya.

Ketika ditanya harga jualannya, Hasmin berkata Butik De'Alfa yang terdapat di Malaysia menjual baju kurung pada serendah RM38 hingga RM150 sepasang.

Katanya, ia jauh lebih rendah berbanding mana-mana pasaran tempatan dan jauh lebih rendah daripada baju kurung moden yang turut dijual di beberapa tempat terkenal di bandaraya ini.

Kini, terdapat tiga cawangan Butik De'Alfa di seluruh negara iaitu Taiping Central di Perak, Pusat Perdagangan Kota Baharu dan Lembah Sireh, di Kelantan.

FRANCAIS

Ketika ini syarikat ini mula membuka peluang kepada usahawan terutama bumiputera yang berminat menjalankan perniagaan berasaskan pakaian tradisional dan moden untuk menceburi bidang tersebut dengan menjadi franchisee mereka.

Selain itu Hasmin berkata pihaknya turut menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 50 francais di seluruh negara menjelang 2018.

Dengan modal serendah RM250,000 sebagai permulaan, usahawan boleh mendapatkan lesen untuk menjual baju jenama syarikat berkenaan.

"Antara kelebihan menjadi franchisee kami adalah usahawan diberikan latihan selama satu hingga dua bulan di wisma kami di Kota Baharu, Kelantan selain pemantauan rapi akaun syarikat di mana seorang akauntan akan dihantar setiap bulan untuk menyemak akaun franchisee.

"Ini bagi memastikan usahawan mendapat pengalaman secukupnya untuk menguruskan francais mereka," katanya.

Hasmin mengharapkan kerajaan dapat membantu mereka yang ingin menjadi francais syarikatnya dengan memudahkan beberapa proses terutama permohonan pinjaman.

Terdapat dua francais Butik De' Alfa iaitu satu di Jerteh, Terengganu dan satu lagi di Plaza Metro Kajang, Selangor.

PELBAGAIKAN PRODUK

Untuk terus melebarkan lagi sayap perniagaan, syarikat ini akan mengeluarkan pakaian wanita dengan jenama baru iaitu "Seri" tidak lama lagi.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Thursday, February 21, 2013

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.6 Peratus Pada 2012

10 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 20 Febuari 2013- Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun lepas berbanding 5.1 peratus pada 2011, demikian menurut Bank Negara Malaysia Rabu.

Bank pusat itu berkata meskipun persekitaran ekonomi global yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas.

Jumlah pelaburan kekal teguh dan menjadi pendorong utama pertumbuhan semasa suku berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bank Negara, pertumbuhan penggunaan swasta terus kukuh walaupun meningkat pada kadar yang lebih sederhana.

Pertumbuhan pada suku tersebut juga dibantu oleh eksport bersih yang mencatat kadar kemerosotan yang lebih kecil.

Dari segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi mencatat pertumbuhan yang bertambah baik pada suku keempat.

Permintaan dalam negeri terus berkembang pada kadar 7.5 peratus dengan pembentukan modal tetap kasar kekal kukuh, mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 15 peratus pada suku keempat.

Pelaburan sektor swasta meningkat sebanyak 20.2 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal dalam subsektor perkilangan berorientasikan pasaran dalam negeri dan perkhidmatan berkaitan pengguna, iaitu telekomunikasi, harta tanah dan penerbangan serta projek dalam sektor minyak dan gas yang sedang dilaksanakan.

Pelaburan juga disokong oleh penambahan kapasiti dalam kelompok perkilangan berkaitan sumber dan perbelanjaan modal dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu seperti peralatan perubatan dan komunikasi.

Pelaburan awam berkembang sebanyak 11.1 peratus, didorong oleh perbelanjaan modal perusahaan awam dalam sektor pengangkutan, utiliti, minyak dan gas serta komunikasi, kata Bank Negara.

Sementara itu, penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.1 peratus pada suku keempat, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sentimen pengguna yang bertambah baik.

Menurut bank pusat, pertumbuhan yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun 2012 mencerminkan kesan daripada pelbagai bantuan kerajaan kepada sektor isi rumah yang diberikan pada tempoh tersebut.

Penggunaan awam meningkat sebanyak 1.1 peratus, berikutan perbelanjaan yang berterusan untuk emolumen meskipun perbelanjaan terhadap bekalan dan perkhidmatan lebih rendah.

Dari segi penawaran, pertumbuhan kebanyakan sektor ekonomi bertambah baik pada suku keempat.

Pertumbuhan dipacu oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan selain disokong oleh permintaan dalam negeri dan persekitaran luaran yang beransur-ansur baik, kata bank pusat.

Sektor pertanian berkembang dengan lebih cepat berikutan pengeluaran minyak sawit mentah dan hasil ternakan ayam itik yang lebih tinggi, manakala pertumbuhan sektor perlombongan pula kembali pulih berikutan pengeluaran gas asli yang meningkat semula.

Pertumbuhan sektor pembinaan pula terus kukuh, didorong oleh subsektor kejuruteraan awam dan kediaman.

Menurut Bank Negara, kadar inflasi keseluruhan, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), terus menjadi sederhana kepada 1.3 peratus pada suku keempat, mencerminkan inflasi kategori makanan dan minuman tidak beralkohol yang lebih rendah.

Mengenai masa depan, terdapat tanda-tanda bahawa ekonomi global akan menjadi bertambah baik dengan penunjuk ekonomi terkini juga menggambarkan prestasi pertumbuhan Asia yang semakin stabil.

Namun, di sebalik perkembangan yang lebih menggalakkan ini, banyak lagi cabaran struktur yang masih wujud dalam ekonomi maju, yang boleh mengekang prospek pemulihan ekonomi yang lebih kukuh.

Menurut Bank Negara, khususnya, beberapa ekonomi maju akan terus berusaha untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kemampanan fiskal dan keadaan pasaran pekerja yang berterusan lemah.

Bagi pasaran sedang pesat membangun, dasar monetari yang amat akomodatif yang terus dilaksanakan dalam ekonomi maju yang utama, memerlukan pengawasan teliti memandangkan kemungkinan terdapatnya kesan daripada lebihan mudah tunai global ke atas inflasi harga aset.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Wednesday, February 20, 2013

Malaysia Miliki 8 Bln Tong Minyak Di 20 Blok Laut Dalam Luar Pesisir Sabah & Sarawak

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 18 Feb - Malaysia memiliki 20 blok laut dalam luar pesisir Sabah dan Sarawak yang dianggarkan mempunyai rizab bersamaan lapan bilion tong minyak, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Daripada 20, 13 sudah pun diluluskan menerusi kontrak perkongsian pengeluaran kepada pelbagai peserta industri minyak dan gas, katanya semasa ditanya mengenai peluang-peluang eksplorasi dan pengeluaran di laut dalam di Malaysia dalam artikel bertajuk "National Treasure" dalam isu pertama buku "The Oil and Gas Year Malaysia 2013" yang dilancarkan di sini Isnin.


Beliau berkata setakat ini, 38 telaga eksplorasi digerudi di kawasan laut dalam dengan 14 penemuan dicapai.

"Kami mempromosikan baki tujuh blok laut dalam kalangan peserta laut dalam, termasuk syarikat minyak utama dan antarabangsa dan pada masa yang sama meningkatkan terma fiskal blok-blok ini."

Mengenai gas, beliau berkata bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai penggiat gas asli cecair (LNG), Petronas melaksanakan beberapa projek domestik dan antarabangsa.

"Dalam negara, kami meluaskan kompleks LNG sedia ada di Bintulu menerusi projek Train 9. Sebaik siap, Train tambahan ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kompleks LNG kepada 29.3 juta tan setahun berbanding 25.7 juta tan pada masa ini.

"Di peringkat antarabangsa, Petronas semakin meningkatkan gas tidak konvensional kepada LNG portfolio.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, February 19, 2013

Cara Tingkatkan Trafik Blog Dan Laman Web Dengan Link Collider

9 Rabiulakhir 1434

Adalah menjadi harapan bagi setiap pemilik blog atau laman web mempunyai ramai pengunjung. Banyak blog atau laman web yang telah memberikan tip-tip untuk menaikkan trafik  blog atau laman web, namun ayat yang amat memedihkan bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak  ialah "kandungan blog perlulah menarik". Iyalah..semua orang tahu, tetapi kalau tak bermula dari awal, atau bertatih, mana akan datangnya kandungan yang menarik.

Penulis baru-baru ini telah menemui sebuah laman web yang mengetengahkan idea yang menarik dalam menaikkan trafik blog. Servisnya adalah percuma. Anda hanya perlu mendaftar di alamat : http://www.linkcollider.com/ dan ikut sahaja arahan yang diberikan. Cara permainannya adalah berdasarkan mata atau "token" akan diberikan secara percuma sebanyak 1000. Apabila anda meletakkan alamat laman blog anda di sana, "token" anda akan ditolak sebanyak 30 .

Pada masa yang sama, rakan-rakan yang lain akan menyerbu ke laman web anda unduk mengumpulkan mata atau "token" pada setaip kali "clik" sehinggalah "token" anda habis. Untuk mengumpulkan "token" semula anda perlu lakukan perkara yang sama ke laman web yang lain yang berada di tempat yang sama.  Selain daripada itu 'token juga akan diberi secara percuma sebanyak 1000 sehari jika anda kembali dan 'log in' kembali pada hari berikutnya. Cara yang demikian akan menyebabkan trafik ke blog atau laman web anda meningkat, walaupun pelayarannya datang daripada pelbagai negara.Ini berlaku pada blog-blog kepunyaan penulis, di mana trafik naik secara mendadak selepas mendaftar di laman berkenaan.

Namun , bagi mereka yang lebih sukakan trafik masuk, hal yang sedemikian bukanlah menjadi masalah kerana aliran trafik bakal membuka ruang ataupun peluang untuk pengiklanan secara pukal berbanding dengan kaedah per klik yang terlalu mengambil masa yang banyak.

Walau bagaimanapun, penulis belum habis menjelajahi teknik-teknik yang ada di "link Collider" ini. Namun penulis mengalu-alukan sebarang komen atau maklum balas dari sesiapa yang telah mahir dan mempunyai pengalaman menggunakan kaedah berkenaan.

Wallahualam

MyIPO Akan Muktamadkan Modul Latihan Untuk Kumpulan Pertintis Juru Nilai IP

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 19 Febuari 2013- Perbadanan Hak Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi yang bertanggungjawab memantau hak harta intelek (IP) di Malaysia, kini dalam peringkat akhir memuktamadkan modul latihan kumpulan perintis juru nilai IP.

Ketika kerajaan menggerakkan lebih banyak inovasi dalam negara, ia penting untuk pihak yang membawa perubahan, menerima penghargaan pasaran, terutama dari segi meletakkan nilai ke atas ciptaan mereka.

Oleh itu, peranan juru nilai IP penting memandangkan pakar ini akan menganalisis dan meletakkan nilai ke atas inovasi, terutama membabitkan aspek pembiayaan dan pengkomersilan.

Dalam temu bual dengan Bernama, Ketua Pengarah MyIPO Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata idea Juru nilai IP bertujuan mempromosi IP sebagai sumber baharu pembiayaan, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata model Juru nilai IP itu merupakan langkah pertama dalam membantu institusi kewangan untuk merujuk kepada kaedah khusus dalam menilai aset IP dan memperakuinya sebagai jaminan kewangan.

"Ada kalanya PKS mendapati sukar untuk memperoleh pinjaman untuk meluaskan perniagaan memandangkan mereka tidak mempunyai aset fizikal untuk dijadikan sandaran. Kami mahu melihat IP boleh digunakan sebagai sandaran kepada bank," katanya.

Modul latihan juru nilai IP dijangka bermula awal bulan depan.

Ia akan melatih kira-kira 20 pegawai teknikal dengan pelbagai latar belakang dan sudah pun mempunyai pengalaman mengendalikan IP sejak lebih tiga bulan dengan menganalisis kajian kes sebenar.

Azizan berkata selepas latihan, lima hingga enam kes yang dikaji dan dinilai, akan diserahkan kepada Malaysian Debt Ventures (MDV) untuk pembiayaan.

Bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan institusi kewangan, wakil dari bank akan dijemput sebagai pemerhati semasa sesi latihan, supaya mereka memahami mengenai Penilaian IP dan cara melaksanakannya.

Penilaian IP diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013. Ia mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperakui IP sebagai pemangkin untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.

MyIPO juga merancang membangunkan pasaran IP yang akan membolehkan IP didagangkan seperti aset ketara lain, kata Azizan.

"Pasaran IP akan membolehkan IP didagangkan, digunakan sebagai komoditi. Negara seperti China, Amerika Syarikat dan negara Eropah yang sudah melaksanakannya selama beberapa tahun.

"Oleh itu, kami mengkaji model cara mengurus pasaran IP dan mengguna pakainya bersesuaian dengan amalan industri tempatan," katanya.

Di China katanya pasaran IP kini dalam dua bentuk, fizikal seperti pusat lelong dan satu lagi dagangan maya.

"Ia mungkin mengambil masa hingga 2014 untuk membangunkan pasaran IP tempatan.

"Matlamat kami ialah untuk mewujudkan ekosistem IP yang kondusif, yang akan meningkatkan keyakinan pelabur di Malaysia, dan pada masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang pekejaan berasaskan kreativiti dan inovasi, selain mengukuhkan kepelbagaian dalam sumber pendapatan negara," kata Azizan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Keuntungan Unit Maybank Di Indonesia Melonjak Kepada 1.7 Trilion Rupiah

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 19 Febuari 2013- Unit perbankan komersial Maybank di Indonesia, PT Bank Internasional Indonesia TBK (BII), menyaksikan keuntungan sebelumnya cukainya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, melonjak 72 peratus kepada 1.7 trilion rupiah (100 rupiah = RM0.03) berbanding 985 bilion rupiah tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan Selasa, Maybank berkata prestasi yang meningkat itu dicapai ekoran pertumbuhan kukuh semua perniagaan teras bank itu, pertumbuhan deposit yang teguh, kualiti aset yang bertambah baik termasuk di anak-anak syarikatnya serta peningkatan operasi keseluruhan yang berterusan.

"Kami telah mencapai kejayaan baharu dengan keseluruhan aset meningkat ke paras melebihi 100 trilion rupiah dan mencapai rekod keuntungan yang melebihi satu trilion rupiah," kata Pengarah Presiden, Datuk Khairussaleh Ramli.


Beliau berkata, matlamat syarikat ialah meraih agihan pasaran dalam semua portfolio perniagaan terasnya dengan hala tuju strategik baharu "untuk menjadi bank perhubungan terkemuka di Indonesia."

"Untuk menyokong pelan pertumbuhan kami, kami telah memulakan satu program transformasi yang dipanggil IMPACT, yang terdiri daripada 28 inisiatif yang melibatkan semua fungsi keupayaan dan perniagaan dalam tiga tahun akan datang," katanya.

Program itu akan memberikan tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan kumpulan, membina kapasiti dan memperkukuh fundamental untuk memastikan kelestarian, dan membangunkan sumber-sumber utamanya iaitu pekerja bank.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Syarikat-syarikat Malaysia Dinasihat Berhati-hati Dengan Serangan Siber

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMUPUR, 19 Febuari 2013- Pembekal keselamatan dari AS, Fortinet, menasihatkan syarikat Malaysia untuk memasang peralatan keselamatan di premis mereka untuk mencegah pelanggaran data semasa serangan siber.

Naib Presiden Serantau Asia Tenggara dan Hong Kong Fortinet, George Chang menambah bahawa serangan siber adalah kebimbangan yang nyata kepada semua pengguna komputer kerana penjenayah siber boleh dengan senang mendapat akses kepada maklumat syarikat atau mencuri data sensitif.

"Oleh itu, syarikat kewangan dan kerajaan harus melabur untuk memasang penyelesaian keselamatan untuk melindungi data bernilai.

"Jika serangan itu berterusan, ia mungkin menjadi ancaman kepada operasi ekonomi negara," katanya kepada pemberita pada satu makan tengah hari dengan pemberita.

Sementara itu, Pengarah Perundingan Prajualan Asia Tenggara dan Hong Kong Fortinet Eric Chan berkata :"Penggodaman bukan hanya merosakkan laman web, tetapi ia juga tentang menyebarkan berita palsu.

"Tahun lepas, laman web FTSE Bursa Malaysia dan 51 laman web kerajaan telah digodam.

"Ini menunjukkan betapa terdedahnya sistem kerajaan," katanya sambil menambal bahawa keselamatan siber amat penting untuk negara.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Monday, February 18, 2013

Sekretariat Sohonista Diwujud Untuk Bantu Wanita Berniaga Secara 'Online'

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 16 Febuari 2013- Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Malaysia mengumumkan penubuhan Sekretariat Kebangsaan Sohonista khusus untuk membantu wanita yang menjalankan perniagaan secara 'online'.

Pengerusinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata istilah Sohonista yang membawa maksud 'small office, home office' dan dari wanita untuk wanita, merupakan inisiatif Wanita Barisan Nasional (BN) dalam memperkasakan ekonomi kaum Hawa atas prinsip setiap wanita perlu mempunyai 'dompet' sendiri.

Menurutnya, idea mewujudkan sekretariat itu timbul kerana ramai wanita terutama mereka yang baru berkahwin atau mempunyai keluarga kecil terpaksa meninggalkan karier berikutan masalah tidak mempunyai pembantu rumah.

"Saya lihat mereka ini yang mempunyai idea, sumber dan kemahiran mula berniaga dari rumah secara online, tetapi ada kalanya mereka menghadapi rintangan untuk mendapatkan bantuan.

"Sohonista juga tidak semata-mata tertumpu kepada wanita kerana kami juga terbuka kepada golongan lelaki yang mahu turut serta dalam program ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bazar Sohonista pertama di sini.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata sekretariat itu akan membantu mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan online mendapatkan bantuan seperti nasihat dan kewangan.

"Contohnya, semalam Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melancarkan Dana Usahawan Muda bernilai RM50 juta khusus untuk golongan belia yang ingin memulakan atau mengembang perniagaan sedia ada.

"Tapi mungkin ramai yang masih tidak tahu bagaimana cara atau ke mana mereka perlu pergi untuk memohon dana itu, jadi kami akan bertindak sebagai perantaraan kepada mereka," kata Shahrizat yang turut melancarkan laman web dan aplikasi mobil Sohonista di www.sohonista.my.

Sumber : BERNAMA

Thursday, February 14, 2013

Syarikat Malaysia Raih Jualan RM45.9 Juta Pada Pameran Kesihatan Arab 2013

3 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 13 Febuari 2013- Syarikat penjagaan kesihatan Malaysia yang mengambil bahagian dalam pameran Kesihatan Arab 2013 yang tamat baru-baru ini telah meraih jualan bernilai RM45.9 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata 11 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam pameran yang berlangsung dari 28 hingga 31 Jan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu itu.

"Pameran yang diadakan dalam masa pasaran penjagaan kesihatan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semakin pesat berkembang itu, menjadi platform yang amat baik bagi pengekport produk kesihatan Malaysia untuk memasuki pasaran GCC, serta rantau di sekitarnya," kata Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Dubai, Mustafa Abdul Aziz.

Antara produk-produk Malaysia yang menjadi buruan pembeli pada pameran itu termasuklah katil dan kelengkapan hospital, larutan intravena, produk penjagaan kesihatan dan peribadi, sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan, tiub dan kateter, picagari dan produk pakai buang perubatan lain.

Pameran Kesihatan Arab 2013 yang merupakan acara penjagaan kesihatan terbesar di Timur Tengah itu menarik lebih 3,500 pempamer dari 63 negara dengan lebih 80,000 pembeli dan ahli-ahli profesional penjagaan kesihatan yang mengunjungi pameran dan persidangan yang diadakan semasa pameran selama empat hari itu.

Matrade berkata pasaran penjagaan kesihatan itu diunjurkan berkembang pada kadar tahunan 11 peratus kepada US$43.9 bilion menjelang 2015 dengan Arab Saudi dan UAE sebagai pasaran paling pantas berkembang.

Tahun lepas, eksport peranti perubatan Malaysia ke UAE mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak lebih sekali ganda atau 118.1 peratus kepada RM166.5 juta, manakala eksport ke Arab Saudi meningkat 5.4 peratus kepada RM83.1 juta.

"Matrade, Kementerian Kesihatan dan industri akan terus bekerjasama untuk memastikan penyertaan kita yang berterusan pada acara-acara terkemuka dunia bagi peranti perubatan dan industri farmaseutikal.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, February 13, 2013

Lebih Banyak Produk Halal Perlis Berpeluang Tembusi Pasaran Luar Negara

3 Rabiulakhir 1434

KANGAR, 13 Febuari 2013- Lebih banyak produk halal Perlis, terutama makanan, berpeluang menembusi pasaran luar negara jika pengeluar dan usahawan berjiwa besar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Beliau berkata walaupun Perlis sebuah negeri kecil, namun ia tidak menghalang produk negeri ini berkembang dan dijual di pasaran luar negara jika semua pengeluar dan usahawan tidak hanya memikirkan pasaran tempatan yang bersakala kecil.

Berucap merasmikan seminar Produk Halal ke Brunei Darussalam anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perlis di sini malam tadi, beliau yakin melalui rangkaian hubungan niaga usahawan tempatan dan luar negara, hasrat itu boleh direalisasikan.

Sebagai contoh, Syed Razlan yang juga penaung DPIM Perlis berkata banyak produk Perlis seperti buah-buahan dan makanan mendapat pasaran di luar negara, termasuk Jepun, China dan Brunei Darussalam.

Beliau berkata produk negara ini, termasuk dari Perlis, tidak menghadapi masalah dalam pasaran dunia berikutan penduduk dunia mula mahukan produk halal.

Untuk itu, para pengeluar dan usahawan perlu mengutamakan kualiti dan persembahan bagi memastikan produk itu mendapat tempat di hati pelanggan luar negara, katanya.

Mengenai seminar itu, Syed Razlan berkata ia juga bertujuan menemukan para pengeluar dan usahawan tempatan dengan pengimport dan pengedar produk terkemuka Brunei Darussalam iaitu Syarikat Perniagaan Malar Setia (SPMS).

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, February 12, 2013

AGDB Labur RM50,000 Untuk Projek Tanaman Tebu, Terung

2 Rabiulakhir 1434

HULU TERENGGANU, 10 Febuari 2013- AGDB Venture Sdn Bhd, sebuah syarikat milik usahawan siswazah yang bertapak di Kuala Berang di sini, akan mengukuhkan ekonomi syarikatnya dengan memanfaatkan rezab tanah di sekeliling kolam ternakan ikan perniagaannya bagi projek tanaman sampingan yang akan memberi pendapatan tambahan.

Justeru itu, syarikat bumiputera itu akan membuat pelaburan kira-kira RM50,000 untuk projek tanaman tebu dan terung yang akan dimulakan menjelang bulan depan.

Pengarah urusannya Mohd Romzi Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM30,000 akan dilabur dalam projek tanaman tebu manakala baki RM20,000 lagi adalah projek tanaman terung.

"Projek terbaru ini merupakan kesinambungan bagi menambahkan pendapatan selepas projek ternakan ikan keli, patin, baung dan talapia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Untuk projek tebu, katanya pihaknya akan menanam sebanyak 20,000 rumpun tebu telur yang berasal dari Johor, yang dijangka boleh menghasilkan 100,000 batang.

"Biasanya tebu boleh dituai dalam masa 8-9 bulan apabila ia telah matang dan harga tebu antara RM1 hingga RM1.20 sebatang," katanya.

Mengikut perancangan, Mohd Romzi berkata pihaknya akan memasarkan sendiri tebu itu sama ada dalam bentuk batang dan juga proses untuk dijual kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Beliau berkata pihaknya memilih tebu telur daripada tebu kampung untuk ditanam kerana aroma tebu telur lebih manis dan wangi berbanding tebu kampung.

Romzi berkata untuk projek terung pula, pihaknya bercadang menanam satu ekar di atas tanah rezab kolam ikan di Ajil di sini dan satu lagi kawasan di Bukit Payong, Marang.

"Kita telah sediakan benih terung sebanyak 5,000 pokok dan terung itu nanti akan dipasarkan di sekitar Kuala Terengganu apabila ia mengeluarkan hasil tiga bulan lagi kelak," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

MAS Beri 10 Kg Tambahan Berat Bagasi Percuma

2 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 9 Febuari 2013- Malaysia Airlines hari ini mengumumkan bermula 14 Feb, penumpangnya akan menikmati tambahan 10 kilo kebenaran bagasi tambahan dan caj lebihan bagasi yang lebih rendah untuk perjalanan dalam semua kelas.

Di bawah garis panduan bagasi baharu itu, semua penumpang dewasa dan kanak-kanak akan menikmati kebenaran membawa masuk 30, 40 dan 50 kg bagasi percuma untuk perjalanan dalam kelas ekonomi, bisnes dan pertama.

Tambahan bagasi ini merangkumi semua perjalanan bermula tarikh ini walaupun tiket yang dikeluarkan sebelum itu menunjukkan kebenaran bagasi percuma yang lebih rendah.

Manfaat ini diperkenalkan untuk semua penerbangan melibatkan konsep sistem berat untuk pemeriksaan masuk bagasi, kecuali perjalanan ke dan dari Los Angeles di mana caj adalah berdasarkan sistem bilangan beg.

"Polisi bagasi periksa masuk yang disemak semula itu meningkatkan tawaran produk kami dalam landskap bersaingan sengit industri penerbangan komersil. ini juga sejajar dengan strategi Rancangan Perniagaan kami iaitu 'Menarik Semula Pelanggan'," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan.

Caj untuk berat yang melebihi berat percuma baharu akan dikira mengikut zon perjalanan dengan kadar tetap dikenakan bagi setiap 5 kilo lebihan bagasi.

Kadar bagasi lebihan bagi setiap blok 5 kilo lebihan adalah RM30, RM60 dan RM90, mengikut zon perjalanan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Saturday, February 9, 2013

Danainfra Muncul Saham Paling Untung

28 Rabiulawal 1434

 KUALA LUMPUR, 8 Febuari 2013- DanaInfra Nasional Bhd, yang mula disenaraikan Jumaat , muncul sebagai saham paling untung pada akhir sesi pagi.

Pada waktu rehat tengah hari, kaunter naik RM1.40 atau 1.4 peratus kepada RM101.40 selepas dibuka pada RM100.98 dengan 95,700 unit bertukar tangan.

DanaInfra menyenaraikan Bon Dagangan dan Sukuk (ETBS) atau Sukuk Runcit DanaInfra bernilai RM300 juta di Papan Pinjaman dan Bon Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan Jumaat , DanaInfra berkata Sukuk Runcit telah terlebih langganan sebanyak 1.61 kali dengan 1,424 permohonan mewakili RM484 juta dalam nilai. Penyenaraian sukuk runcit DanaInfra menandakan satu lagi peristiwa penting bagi

Perantara Pembiayaan Khas (SFV) dalam proses mengumpul dana bagi projek MRT, menjadi penerbit pertama di negara ini menerbitkan Sukuk Runcit yang disenaraikan di bursa tempatan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Thursday, February 7, 2013

Proton Preve Dilancarkan Di Brunei

27 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 7 Febuari 2013- Proton Holdings Bhd Khamis melancarkan sedan keluarga baharunya, Preve, di Brunei Darussalam.

Dengan pengenalan itu, sedan sederhana besar itu kini dibuka untuk tempahan di negara itu, sebagai tambahan kepada pilihan semasa model Proton yang ditawarkan kepada pelanggan di Brunei.

Brunei adalah pasaran antarabangsa ketiga bagi Preve, dengan 14 model Proton telah memasuki pasaran negara itu sebelum Preve.

United Motors Sdn Bhd adalah pengedar tunggal kereta Proton di Brunei.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Lembaga Tabung Haji Umum Bonus Tahunan 6.5 Peratus, Tambahan Bonus Khas 1.5 Peratus

27 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 7 Febuari 2013- Lembaga Tabung Haji Khamis mengumumkan bonus Jubli Emas iaitu 6.5 peratus sebagai bonus tahunan dan tambahan bonus khas sebanyak 1.5 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012.

Ia melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM2.46 bilion merangkumi pembayaran bonus tahunan sebanyak RM2.13 bilion dan bonus khas sebanyak RM325 juta yang mana merupakan yang tertinggi sejak 50 tahun penubuhan Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah pembayaran sebanyak RM2.46 bilion itu adalah setelah mengambil kira pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM47 juta.

"Inilah hadiah ulang tahun terbaik daripada Tabung Haji bagi menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa yakin dan aktif menyimpan dana di Tabung Haji," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan bonus Jubli Emas itu, di sini Khamis.

Beliau berkara kedudukan kewangan Tabung Haji yang positif dan kukuh serta lebihan wang rizab yang telah dikumpul selama tujuh lalu, membolehkan Tabung Haji memberi hadiah istimewa ini kepada pendeposit.

Sebelum ini, Tabung Haji mengumumkan bonus enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011.

Jamil Khir berkata Tabung Haji berjaya mencapai pendapatan melebihi RM2 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2010 dan keuntungan bersih buat pertama kalinya melepasi RM2 bilion selepas berjaya berada di paras RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut dari tahun 2007.

"Keuntungan selepas zakat dan cukai Tabung haji buat julung kalinya mencecah RM2.1 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus. Keuntungan ini menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda keuntungan tahun 2006," katanya.

Ia menghasilkan tambah nilai sebanyak RM9.2 bilion kepada dana pendeposit sejak tahun 2006, kata beliau.

Sementara itu, pertumbuhan saiz dan dana pendeposit terus menunjukkan perkembangan yang baik dengan 8.2 juta pendeposit dan RM35.8 bilion dana terkumpul iaitu peningkatan masing-masing sebanyak 17 peratus dan 13 peratus, berbanding tujuh juta pendeposit dan RM31.7 bilion dana pada tahun 2011.

Jamil Khir berkata pertumbuhan saiz dan dana pendeposit meningkat hampir tiga kali ganda sejak awal tahun 2006, sekaligus menunjukkan keyakinan dan kesetiaan pendeposit kepada Tabung Haji.

Beliau berkata jumlah aset pelaburan Tabung Haji 2012 terus mencatatkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 22 peratus kepada RM38.4 bilion daripada RM31.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan positif ini adalah hasil peruntukan taktikal pelaburan dan tabungan yang konsisten daripada para pendeposit.

Beliau berkata sumber pendapatan pelaburan Tabung Haji bagi tahun 2012 adalah daripada pelaburan ekuiti sebanyak RM1.7 bilion di mana RM1.2 bilion daripada urusniaga saham dan RM530 juta pendapatan dividen.

Maklumat lanjut:BERNAMA

Wednesday, February 6, 2013

MAS Keluarkan Penerangan Tentang Terbitan Hak Untuk Kumpul RM3.1 Bilion

26 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 6 Febuari 2013- Malaysian Airline System Bhd (MAS) Rabu mengeluarkan pekeliling kepada pemegang sahamnya, memberi penerangan tentang cadangan pelan penstrukturan semulanya dan pelan terbitan haknya untuk mengumpulkan RM3.1 bilion.

Di bawah terbitan hak itu, selepas rancangan pengurangan modalnya, ia telah mencadangkan penerbitan saham biasa baharu bernilai RM0.10 setiap satu di dalam MAS untuk mengumpulkan RM3.1 bilion dalam hasil kasar.


Harga terbitan untuk saham hak itu akan diumumkan sebelum pelaksanaan terbitan saham hak itu, katanya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan kebangsaan itu menerangkan bahawa daripada dana yang dikumpulkan hasil cadangan terbitan hak itu, kira-kira RM1.33 bilion akan digunakan untuk membiayai modal kerja dan RM986.85 juta akan digunakan sebagai modal perbelanjaan.

Syarikat itu juga akan menggunakan baki RM777 juta untuk mengurangkan pinjaman, yang dicatatkan pada RM8.089 bilion setakat 30 Sep, 2012.

MAS bulan lepas menerima penangguhan satu bulan daripada pengawal selia bagi rancangan penstrukturan semula modal dan terbitan haknya.

"Kami bercadang menggunakan sebahagian daripada hasil yang dikumpulkan daripada terbitan hak itu untuk kegunaan modal kerja, termasuk tetapi tidak terhad kepada tujuan korporat am, sewaan pesawat, belanja bahan api, penyenggaraan pesawat, pembayaran kepada kreditor dan lain-lain perbelanjaan harian," kata MAS.

Di bawah rancangan penstrukturan semula modal itu, syarikat penerbangan itu akan mengambil pengurangan nilai setara sebanyak 90 sen sahamnya daripada RM1.00 hingga 10 sen.

Ia telah mencadangkan untuk mengurangkan modal saham biasa terbitan dan berbayarnya daripada RM3,342,165,240 melibatkan 3,342,156,240 saham biasa dengan nilai RM1.00 setiap satu kepada RM334,215,624 yang terdiri daripada 3,342,156,240 saham biasa bernilai RM0.10 setiap satu.

Nilai setara itu akan digunakan untuk mengurangkan kerugian terkumpul RM8.19 bilion setakat 30 Sept, 2012.


Maklumat lanjut : BERNAMA

Bank-Bank Islam Perlu Tunai Janji Kepada Pelanggan

26 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 5 Febuari 2013- Bank-bank Islam perlu menunaikan janji mereka kepada pelanggan jika mereka mahu melihat pertumbuhan sebenar dan menggalakkan kestabilan dalam industri kewangan Islam, kata ahli akademik hari ini.

Pemegang kursi Profesor dalam Kewangan dan Perbankan Islam Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Zamir Iqbal berkata pembinaan kepercayaan dan keyakinan dalam institusi kewangan serta sistem juga adalah juga penting.

"Pelanggan menganggap bahawa bank menjalankan semua perniagaan mereka mematuhi Syariah dan mempunyai nilai-nilai moral dan tingkah laku yang baik.

"Jika perkara-perkara ini tidak dilaksanakan, ia akan mempunyai kesan yang sangat buruk terhadap keseluruhan industri, dan bukan hanya pada bank," kata beliau dalam Siri Syarahan Memorial Tun ISmail Ali 2012/13 di sini.

Siri itu dianjurkan oleh Yayasan Tun Ismail Ali Berdaftar, yayasan ditubuhkan oleh syarikat pegangan pelaburan Permodalan Nasional Bhd.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, February 5, 2013

Tencent Holdings Beli Saham Patimas

24 Rabiulawal1434


KUALA LUMPUR, 4 Feb 2013- Tencent Holdings Ltd merupakan pembeli saham Patimas Computers Bhd, demikian menurut satu sumber yang mengetahui tentang janji niaga itu.

 Syarikat itu yang beribu pejabat di Daerah Nanshan, Shenzhen, terlibat dalam empat segmen iaitu perkhidmatan tokokan nilai Internet, perkhidmatan tokokan nilai mudah alih dan telekomunikasi dan pengiklanan dalam talian.

 Perkhidmatan Tencent yang pelbagai termasuklah rangkaian sosial, gerbang web, e-dagang dan permainan dalam talian.

 Ia mengendalikan 'instant messenger' terkenal Tencent QQ dan juga QQ.com, satu daripada gerbang web terbesar di China.

 Pada 31 Dis, 2010, terdapat 647.6 juta akaun pengguna aktif Tencent QQ IM, menjadikan Tencent QQ komuniti dalam talian terbesar di dunia pada masa itu.

 Bilangan akaun QQ dalam talian serentak kadang-kadang melebihi 100 juta.

 Pada November 2010, syarikat itu merupakan syarikat Internet ketiga terbesar di dunia di belakang Google dan Amazon dengan permodalan pasaran US$38 bilion.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, February 4, 2013

Restoran Al-Bakry T-Cafe Tumpu Penduduk Manir Dan Sekitarnya Bagi Sajian Makanan Arab

23 Rabiulawal 1434

KUALA TERENGGANU, 2 Febuari 2013- Al-Bakry T-Cafe, yang aktif dalam kegiatan penyajian makanan di Terengganu, melabur RM200,000 untuk membuka Restoran Makanan Arab di Kampung Kubang Jela, Manir di sini.

Pengurusnya, Abdul Mubin Mohamad, yang berusia 30 tahun, berkata restoran itu, yang dibuka mulai 1 Januari di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), kira-kira 8km daripada pusat bandar Kuala Terengganu, kini menjadi tumpuan penduduk sekitar yang ingin merasai juadah makanan Arab tanpa perlu pergi ke pusat bandar.

"Hasil jualan pada minggu pertama cukup baik dan jualan kini meningkat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran restorannya di sini Sabtu.

Sebelum itu, Al-Bakry T-Cafe telah menjamu selera bagi mempromosikan masakan restoran itu di kalangan penduduk di sekitar Kampung Manir.

Al-Bakry T-Cafe merupakan satu daripada tiga restoran makanan Arab yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu.

Abdul Mubin berkata, restoran nasi Arab Al-Bakry T-Cafe yang terletak bersebelahan Lebuh raya Pantai Timur (LPT), mula beroperasi mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, termasuk hari Jumaat.

Ia menawarkan nasi Arab kambing panggang, ayam panggang dan akan ditambah dengan beberapa menu lagi seperti lauk burung puyuh, burung merpati dan ayam belanda.

Lauk ayam dijual pada harga RM10 manakala lauk kambing RM13.

Abdul Mubin berkata tukang masak Al-Bakry T-Cafe merupakan abangnya sendiri yang telah mempelajari masakan Arab semasa menuntut selama lima tahun di Mesir.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tiger Lulus Urus Niaga A$35 Juta Dengan Virgin Australia

23 Rabiulawal 1434

MELBOURNE, 1 Febuari 2013- Para pemegang saham Tiger Airways telah meluluskan pelan Virgin Australia untuk membeli kepentingan utama di dalam syarikat penerbangan bajet itu.

Virgin, pada Jumaat, menyambut baik keputusan tersebut, sambil menyatakan langkah itu sebagai satu langkah menghampiri langkah memuktamadkan urus niaga bernilai A$35 juta itu.

Australian Associated Press berkata kelulusan juga diperlukan dari Lembaga Semakan Pelaburan Asing dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC).

Virgin telah mengejutkan pasaran pada Oktober lepas apabila ia mengumumkan satu bidaan A$98 juta bagi membeli Skywest dan pembelian kepentingan 60 peratus Tiger Airways.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Nur Jazlan Bersatu Tenaga Dengan Azim Zabidi Kuasai Patimas

23 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 3 Febuari 2013 - Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed dilihat bersetuju bersatu tenaga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, untuk menguasai Patimas Computers Bhd.

"Saya mempunyai keyakinan mengenai projek itu (berkaitan penguasaan Patimas)," katanya semasa dihubungi di sini.

Adalah dilaporkan semalam bahawa Abdul Azim berhasrat meraih kepakaran sesetengah rakannya di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu menstrukturkan semula Patimas.

"Saya sudah berunding dengan Nur Jazlan bagi menyertainya di dalam Patimas dan membantu saya menstrukturkan semula syarikat itu," kata Abdul Azim, yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimana pun, Nur Jazlan enggan mengulas mengenai sama ada cadangan untuk menguasai Patimas akan turut melibatkan UDA Holdings.

"Saya tiada ulasan," katanya.

UDA Holdings Bhd adalah satu GLC yang terkenal dengan peranannya di dalam pembangunan bandar.

Nur Jazlan berkata Abdul Azim akan memberikan butiran di dalam tempoh beberapa minggu apabila diminta penjelasan mengenai usaha menguasai Patimas.

Abdul Azim dilaporkan berkata beliau bersedia menguasai syarikat yang mengalami masalah kewangan itu yang perlu diselamatkan atau berhadapan dinyah senarai dari Bursa Malaysia.

Ahli perniagaan itu kini mempunyai kepentingan 7.0 peratus di dalam Patimas manakala China Private Equity Investment Holdings Ltd, pada minggu lepas, telah membeli kepentingan 5.0 peratus di dalam syarikat perkhidmatan pengkomputeran itu.

Maklumat lanjut : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...