Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 22, 2013

MASkargo: Dua Tan Durian Segar Dihantar Ke Sydney

15 Syawal 1434

SEPANG, 19 Ogos, 2013- MASkargo Isnin menerbangkan dua tan durian dingin segar ke Sydney, Australia, bagi menembusi pasaran baharu dan pada masa yang sama mengenai pasti keberkesanan, kesegaran teknologi pembungkusan, termasuk penerimaan dan sambutan ramai.

Ketua Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Latifah Mohd Noor berkata durian dingin segar (diproses secara minimum atau sedia dimakan) yang dibungkus khas menggunakan teknologi baharu itu akan dijual di empat pasar raya di Sydney.

"Durian dingin segar ini berbeza daripada durian segar sejuk atau durian sejuk beku selain harganya juga lebih murah. Oleh itu, sebelum kami meneruskan eksport untuk peringkat seterusnya, kami perlu mengenal pasti kesegaran, rasa dan penerimaan di Sydney," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata durian segar itu boleh bertahan selama tiga minggu dan rasanya sama seperti durian baharu.

Menurutnya pada masa ini Malaysia mengeksport durian sejuk ke Hong Kong dan dan durian sejuk beku ke China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo Sdn Bhd Mohd Yunus Idris berkata durian dingin segar itu akan disimpan pada tahap suhu yang diperlukan bagi memastikan kesegarannya untuk pengguna.

"Perkhidmatan rangkaian sejuk MASkargo menjanjikan penghantaran sensitif suhu akan dipantau rapi bagi memastikan suhu optimum sepanjang perjalanan, daripada memunggah hingga penghantaran.

"Buah durian yang merupakan barangan mudah rosak, dikategorikan penghantaran sensitif suhu, sekali gus memerlukan pengendalian khusus dengan pemantauan rapi dan akan diangkut menggunakan kontena Envirotainer," katanya.

Beliau berkata mulai Januari hingga Jun, MASkargo juga mengendalikan kira-kira 23 tan Durian (durian segar sejuk dan durian sejuk beku) bagi menyokong industri pertanian tempatan selain menggerakkan jualan durian di peringkat antarabangsa.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...