top_rightads

Memaparkan catatan dengan label Halal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Halal. Papar semua catatan

Khamis, 3 April 2025

Kenapa Malaysia Perlukan Institusi Khairat Mega ?

 5 Syawal 1446H

Institusi khairat mega ialah sebuah institusi yang menguruskan bantuan kebajikan secara sistematik, besar-besaran dan menyeluruh. Ia merangkumi pelbagai aspek bantuan termasuk kewangan, kesihatan, pendidikan, perumahan, makanan, dan kebajikan umum kepada rakyat yang memerlukan. 

Berdasarkan kepada perkembangan terkini terhadap isu polemik kenaikan premium insuran dan takaful, negara memerlukan kuasa pengimbang agar kadar caruman terhadap polisi takaful dapat diminimumkan dan semua rakyat dapat memilikinya. Ini adalah kerana, konsep asas takaful adalah merujuk kepada sistem khairat, iaitu konsep bantu membantu bagi meringankan beban dikalangan komuniti yang mungkin sedang mengalami musibah dalam waktu yang tertentu. Malangnya, cuma sebutan khairat yang digunakan oleh umat Islam di Malayia ketika ini hanyalah merujuk kepada bantuan menguruskan urusan kematian sahaja bagi mereka yang kehilangan anggota keluarga.

Justeru itu, penubuhan istitusi Khairat Mega (besar) kini dilihat amat perlu bagi meluaskan kuasa bantuan terhadap mereka yang memerlukan tanpa perlu menghadapi proses yang agak rumit dan permohonan bantuan atau tuntutan (claim) ditolak disebabkan aspek teknikal yang kadangkala tidak munasabah dan berbeza seperti yang dijanjikan.

Sebab-sebab Malaysia perlukan Institusi Khairat Mega:

  1. Ketidakseimbangan Sosial dan Ekonomi
    Malaysia masih berdepan jurang pendapatan yang ketara antara golongan kaya dan miskin. Institusi khairat mega boleh bertindak sebagai penstabil sosial dengan membantu meringankan beban golongan B40 dan M40.

  2. Krisis Ekonomi dan Kos Sara Hidup
    Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang meningkat, ramai rakyat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Bantuan sistematik daripada institusi khairat mega dapat menjadi penyelamat dalam waktu sukar.

  3. Kecekapan dan Ketelusan Pengagihan Bantuan
    Banyak program bantuan kini bersifat berpecah-pecah dan tidak tersusun. Institusi mega ini boleh menjadi pusat sehenti yang lebih cekap dan telus dalam mengagihkan bantuan berdasarkan data dan keperluan sebenar.

  4. Sokongan Semasa Bencana dan Kecemasan
    Malaysia sering dilanda banjir, pandemik dan bencana alam. Institusi khairat mega boleh menjadi unit bertindak pantas yang bersedia menyalurkan bantuan dalam skala besar dengan lebih efisien.

  5. Pemerkasaan Komuniti dan Sukarelawan
    Institusi ini boleh menjadi platform untuk menggerakkan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial secara meluas, sekaligus memperkukuh perpaduan nasional.

  6. Sokongan kepada Pembangunan Modal Insan
    Dengan menyalurkan bantuan pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan psikososial, institusi khairat mega dapat melahirkan rakyat yang lebih berdaya saing dan berdikari.

Malaysia memerlukan institusi khairat mega bagi menangani isu ketidaksamarataan sosial, memastikan kesejahteraan rakyat, serta memperkukuh sistem kebajikan secara inklusif dan berkesan. Institusi ini bukan sahaja menjadi benteng ketika krisis, tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam membina negara yang lebih adil, penyayang dan sejahtera. Mewujudkan institusi seperti ini adalah satu langkah strategik untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

Wallahualam

Khamis, 11 Ogos 2016

Pendaftaran Simpanan Syariah KWSP Kini Mencecah Lebih 100 Ribu Pencarum

8 Zulkaedah 1437H

Pendaftaran simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) telah mencecah lebih daripada 100 ribu orang pencarum selepas tiga hari ianya dibuka. Berdasarkan kepada laman web KWSP, purata pendaftaran harian adalah lebih daripada 40000 pencarum pada setiap hari setakat ini.

Sambutan yang baik ini adalah disebabkan kehendak para pencarum yang beragama Islam dalam meningkatkan syiar Islam dalam urusan muamalat.Tambahan pula dana yang disediakan untuk simpanan ini hanya terhad kepada RM100 billion buat masa kini dan ianya berasaskan kepada siapa cepat dia dapat. Ini secara tidak langsung menyebabkan kaunter-kaunter KWSP diserbu oleh orang ramai yang tidak mahu terlepas peluang mendaftar kepada simpanan ini.

Wallahualam

Isnin, 8 Ogos 2016

Simpanan Patuh Syariah : Kaunter KWSP Diserbu Pencarum

4 Zulkaedah 1437 H

Kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) di Shah Alam diserbu pencarum hari ini disebabkan hari pertama pendaftaran pertukaran dana simpanan daripada berasaskan konvensional kepada berasaskan syariah.Para pencarum dilihat sejak awal lagi betatur panjang di cawangan KWSP di lokasi baru IDCC Shah Alam.

Kesesakan ini dijangka kerana dana yang ditawarkan adalah terhad dan berdasarkan siapa cepat dia dapat.Difahamkan skim yang akan dimulakan pada 1 Januari 2017 hanya diperuntukkan sebanyak RM 100 billon.Penulis mengucapkan tahniah kepada para pencarum yang menunjukkan usaha dalam memperbaiki unsur patuh syariah dalam menguruskan pelaburan mereka.

Wallahualan

Ahad, 29 November 2015

Umat Islam Digesa Tinggalkan Perniagaan Rokok dan Vape

17 Safar 1437

Umat Islam digesa agar meninggalkan terus sebarang aktiviti penjualan rokok dan vape kerana pihak fatwa telah memfatwakan bahawa penggunaan bahan berkenaan adalah haram. Tidak perlulah kita terus berpolemik bahawa pengharaman vape dan sebagainya oleh sesetangah jabatan bakal menjejaskan perniagaan bumiputra.

Banyak lagi perniagaan yang boleh diceburi dan halal. Tambahan pula sebagai umat Islam, kita mencari reredhaan Ilahi dari setiap apa jua pendapatan yang kita terima. oleh yang demikian, tak perlu berpolemik lagi jika kita yakin kepada adanya hari pembalasan.

Wallahualam

Sabtu, 14 Mac 2015

Kewangan Islam Adalah Pelengkap Berdaya Maju Dalam Sistem Kewangan Global

23 Jamadil Awal 1436

Pembuat dasar sewajarnya mempertimbangkan kewangan Islam sebagai satu pelengkap berdaya maju atau pengukuh kepada sistem kewangan global yang masih rapuh, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah  menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi BERNAMA..

Baginda bertitah prinsip dan nilai dalam kewangan Islam patuh syariah adalah adalah kemahuan sejagat dan sepatutnya dengan demikian ia diterima.

"Bagaimanapun, kita mesti turut mengakui bahawa komitmen dan penyelarasan yang kukuh dalam kalangan pembuat dasar dan pemegang kepentingan yang relevan diperlukan supaya pendekatan ini mencapai hasil yang positif.

Sumber dipetik dari BERNAMA

Sabtu, 17 Januari 2015

Kegagalan Penubuhan Bank Islam Mega

27 Rabiulawal 1436

Pembatalan cadangan penggabungan di antara 3 bank iaitu CIMB, RHB dan MBSB telah menggagalkan usaha mewujudkan bank Islam mega di Malaysia dan di dunia. Oleh yang demikian, hasrat umat Islam yang ingin melihat tertubuhnya institusi berkenaan kini dilihat masih jauh.

Namun begitu, apa yang lebih utama ialah, umat Islam perlulah lebih agresif menggunakan perbankan syariah dalam urusan seharian mereka. Kuasa penggunaan kini dilihat menjadi pemangkin utama dalam tertubuhnya institusi perbankan berkenaan pada masa akan datang.

Wallahualam

Khamis, 5 Jun 2014

Peraturan Perniagaan Produk Halal Dalam Perniagaan Perlu Diwujudkan?

7 Syaaban 1435

Isu halal terhadap beberapa produk keluaran sebuah syarikat ternama baru-baru ini telah menggemparkan negara. Ianya telah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat Islam di Malaysia terutama dari segi kepenggunaan.

Namun begitu, satu isu yang perlu diberi perhatian juga ialah dari sudut sektor perniagaan di mana timbulnya kerugian yang ditanggung oleh pengusaha kecil dan sederhana yang menjalankan perniagaan runcit. Apa nak jadi dengan stok-stok yang telah dibeli daripada pembekal? Siapakah yang akan menanggung kerugian? Adakah terdapat akta-akta atau badan yang tertentu yang mengawas bagi  membolehkan barangan tersebut dipulangkan jika ada keraguan dikalangan penjual itu sendiri tanpa melalui proses tribunal?

Bagi pihak pengeluar pula mereka boleh tutup mata kerana ujian kedua menunjukkan bahawa produk tersebut tidak tercemar dengan kandungan tidak halal. Secara ironinya  para peniaga kecil-kecilan masih sukar menyakinkan pembeli untuk terus membeli produk berkenaan atau peniaga masih keberatan menjual semula produk berkenaan bagi mengelakkan kejian daripada para pelanggan yang masih belum yakin.

Kita berharap agar isu seperti ini turut diberi perhatian dengan memperkenalkan badan seperti suruhanjaya bagi menguatkuasakan akta-akta tambahan bagi menjaga kepentingan peniaga-peniaga kecil dengan lebih mudah. Walaupun tindakan mahkamah boleh diambil, namun ianya agak sukar bagi syarikat kecil untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi menuntut kerugian yang agak kecil jika dibandingkan dengan perbelanjaan guaman yang perlu dikeluarkan.

Wallahualam

@myIktisad

Sabtu, 15 Februari 2014

Takaful Motorsikal : Bank Negara Digesa Campurtangan

15 Rabiulakhir 1434

Dua hari lepas, seorang rakan penulis berniat hendak menukarkan insuran motorsikal anak beliau daripada insuran konvensional kepada Takaful atas kesedaran seorang Islam yang mementingkan isu halal dan haram. Namun begitu , niat beliau terbantut apabila diberitahu pengandali takaful berkenaan bahawa syarikat berkenaan sudah tidak lagi mengtakafulkan(menginsurankan) kenderaan motorsikal.Syarikat cuma memperbaharui pelanggan yang sedia ada sahaja.

Persoalan yang timbul, di manakah tujuan sebenar syarikat yang diberi lesen takaful tersebut. Bukankah mereka diberi tanggungjawab bagi melaksanakan jihat menegakkan hukum syarak dengan menyediakan produk alternatif bersaing dengan sistem konvensional? Jika ini berterusan berlaku, amat malang bagi umat Islam di Malaysia. Apakah ini petanda terhadap kesan terhadap bukan Islam yang semakin ramai diambil bekerja di syarikat-syarikat pengendali takaful. Apakah kita hendak mengharapkan bukan Islam menperjuangkan jihat menegakkan hukum syarak dalam muamalat Islam sedangkan profesional Islam makin diketepikan di syarikat-syarikat berkenaan? Kepada Bank Negara Malaysia.., buatlah kerja lebih sedikit. Jangan asyik nak tunggu laporan aje... Jika kita campur adukkan Islam dan Bukan Islam, inilah akibatnya. Bukan tak boleh berinteraksi, tapi ada kaedahnya mengikut syarak.

Wallahualam

Isu Halal & Haram ASB:PNB Digesa Tubuhkan Jawatankuasa Syariah Pelaburan Saham

15 Rabiulakhir 1434

Permodalan Nasional Berhad(PNB) digesa menubuhkan badan penasihat atau jawatankuasa terhadap dana pelaburan Amanah Saham Bumiputra(ASB) bagi menghapuskan keraguan hukum "harus" yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Isu ini timbul kerana ada beberapa negeri yang tidak menggunapakai fatwa berkenaan kerana bidang kuasa agama Islam adalah hak kepada negeri masing-masing.

Antara hujah utama penolakan fatwa berkenaan ialah ketiadaan jawatankuasa berkenaan di dalam badan pelaburan dana tersebut. Maka untuk menyelesaikannya ialah mudah..., tubuh sahaja jawatankuasa berkenaan bagi menyakinkan lebih ramai pihak terhadap kepatuhan syariah dana tersebut. Cuma persoalannya, mahu atau tidak , atau nak buat atau tak nak buat kerja sahaja.

Wallahualam

Rabu, 30 Oktober 2013

Britain Negara Barat Pertama Terbit Bon Islam Di Luar Negara-negara Islam

26 Zulhijjah 1434

LONDON, 29 Okt , 2013- Britain akan menjadi negara Barat pertama di dunia menerbitkan bon Islam di luar negara-negara Islam, mencerminkan komitmen tingginya untuk menjadi satu daripada pusat kewangan Islam utama di dunia.

Ketika membuat pengumuman di Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-9 (WIEF) di sini, Selasa, Perdana Menteri Britain David Cameron berkata perbendaharaan ketika ini sedang mengkaji perkara-perkara praktikal untuk menerbitkan sukuk (bon Islam) bernilai sehingga 200 juta pound pada awal tahun depan.

"Kami menyasar menjadi pusat kewangan Islam terbaik di dunia Barat. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Dubai dan Kuala Lumpur kerana mereka adalah pusat kewangan Islam terbaik di dunia," katanya semasa ucapan khas di forum tersebut.

Penerbitan sukuk itu hanya sebahagian daripada beberapa inisiatif yang diumumkan Cameron ketika negara tersebut menimbang idea menjadi satu daripada pusat kewangan Barat terbesar yang menawarkan perkhidmatan dalam perbankan dan pembiayaan Islam di luar negara-negara Islam.

Pengumuman itu juga memberikan kelebihan kompetitif kepada Britain berbanding rakan-rakan Baratnya terutamanya memandangkan negara itu memiliki sektor perbankan Islam terbesar di luar Timur Tengah dan Asia.

Ia memiliki 22 bank patuh Syariah atau bank-bank dengan kaunter Islam, yang setakat ini telah mengumpulkan 22.3 bilion pound.

Cameron berkata di London juga terdapat 25 firma undang-undang yang menawarkan atau mengkhususkan dalam perkhidmatan kewangan Islam serta 16 universiti atau kajian perniagaan yang menawarkan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan atau kursus mengenai kewangan Islam.

Beliau berkata London Stock Exchange juga akan melancarkan Indeks Syariah FTSE untuk menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk memanfaatkan dana dalam pasaran itu.

Berita lanjut: BERNAMA

Isnin, 7 Oktober 2013

Tatarstan Minat Pelajari Perbankan Islam Daripada Malaysia

3 Zulhijjah 1434

KAZAN (Tatarstan), 4 Okt ,2013 - Republik Tatarstan amat berminat untuk menggabungkan perbankan Islam ke dalam sistem kewangannya dan berhasrat mempelajarinya daripada Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Zainol Abidin Omar berkata perkara itu telah dibincangkan pada peringkat kerajaan persekutuan baru-baru ini kerana kawalan kewangan di bawah kerajaan persekutuan Rusia.

Bagaimanapun, beliau berkata Kedutaan Malaysia bersama-sama agensi berkaitan akan membantu Kerajaan Tatarstan dalam hal ini kerana republik itu amat berminat dengan kejayaan Malaysia dalam penerbitan sukuk terutamanya bagi projek-projek dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata kedua-dua negara akan berpeluang bertukar-tukar pengalaman berhubung usaha mendapatkan dana melalui sukuk, memandangkan Malaysia adalah peserta terbesar dalam pasaran sukuk.

"Kami difahamkan perkara ini dibincangkan secara intensif di peringkat kerajaan persekutuan jadi saya rasa apabila perkara ini selesai, kita akan dapat menyaksikan pelaksanaan perbankan Islam, bukan perubahan sepenuhnya daripada perbankan konvensional kepada perbankan Islam tetapi seperti di Malaysia yang mempunyai peluang menjalankan perbankan Islam serta perbankan konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas perasmian Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) di sini pada Khamis.

MSE merupakan siri pameran yang dianjurkan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), bermula 3 hingga 6 Okt, 2013 di ibu negara Tatarstan.

Zainol Abidin berkata perbincangan kini dilakukan secara dalaman antara kerajaan persekutuan Russia untuk memutuskan sejauh mana sistem perbankan Islam akan digunakan.

Orang Islam merupakan komuniti terbesar di Tatarstan yang mempunyai penduduk 3.8 juta orang.

 Sumber Berita - BERNAMA

Sabtu, 28 September 2013

Brahim's Airline Berharap Dapat Jadi Katerer Bagi Malindo Air Tahun Depan

22 Zulkaedah 1434

PUTRAJAYA, 27 Sept, 2013- Brahim's Airline Catering Sdn Bhd menyasar menjadi katerer dalam penerbangan bagi Malindo Air apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) siap tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ainul Hasnizam Abu Hassan.

Beliau berkata Brahim's Airline Catering yakin ia dapat membekalkan hidangan makanan bagi syarikat penerbangan itu memandangkan pengalamannya selama 30 tahun dalam industri katering.

"Kami sedang berbincang dengan mereka dan berpeluang baik untuk memperoleh kontrak tersebut," katanya kepada pemberita selepas pembentangan hidangan makanan Jepun halal yang disediakan oleh Brahim's Airline Catering bagi Malaysia Airlines.

Ainul berkata syarikat itu ketika ini menyediakan khidmat katering bagi 14 penerbangan harian AirAsia X.

"Dengan model perniagaan ini, saya rasa kami boleh menawarkan tawaran yang baik bagi Malindo.

"Brahim's Airlines Catering mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyediakan kepada keperluan Malindo kerana dapur kami boleh menyediakan kira-kira 55,000 hidangan makanan sehari. Kami sekarang menyediakan 50,000 hidangan makanan sehari, jadi kami mempunyai lebihan kapasiti," katanya.

Mengenai hidangan makanan Jepun halal, beliau berkata makanan itu akan disajikan dalam penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Narita dan Osaka pada setengah tahun kedua tahun depan.

"Kini halal merupakan kata kunci dan perkara sangat penting bagi kami terutamanya apabila permintaan bagi makanan halal semakin meningkat.

Berita lanjut: BERNAMA

Rabu, 25 September 2013

Wakaf Terpinggir Dalam Sistem Kewangan Islam

19 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 24 Sept, 2013- Wakaf merupakan bahagian yang hilang dalam sistem kewangan Islam Malaysia meskipun negara menjadi peneraju pasaran dengan pelbagai produk dan perkhidmatan canggih.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abd Ghani berkata: "Malaysia mempunyai daripada produk simpanan paling mudah hinggalah kepada sukuk serta banyak produk canggih bagi pelabur institusi, pelanggan korporat, usahawan kecil dan sederhana dan individu.

"(Tetapi) apa yang tidak ada dalam pasaran hari ini ialah wakaf secara komersial," katanya kepada pemberita di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-10 (KLIFF 2013) di sini, Selasa.

Wakaf ialah amalan menyerahkan harta wakaf kepada pihak pentadbir bagi tujuan amal dan kepentingan umum.

Badlisyah berkata untuk menempatkan wakaf dalam pasaran kewangan, perlu ada rangka kerja undang-undang yang kondusif yang akan membolehkan pemerbadanannya dengan secara efektif.

 "Jika kita ada undang-undang ini, kelaknya, wakaf boleh menjadi komponen pasaran kewangan Islam yang lebih besar, seperti di era kegemilangan tamadun peradaban Islam sebelum ini," katanya.

Sumber berita: BERNAMA

Isnin, 23 September 2013

Affin Islamic Lancar Produk Impian Haji Savings Account-i

18 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 23 Sept , 2013- Affin Islamic Bank Bhd menawarkan produk baharu yang membolehkan orang Islam menabung bagi rancangan mereka untuk mengerjakan ibadah Haji di Makkah.

Produk itu, Affin Impian Haji Savings Account-i, merupakan pelan simpanan berstruktur baharu yang disertakan dengan perlindungan Takaful, kata bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Produk itu berasaskan kepada konsep Syariah "Mudharabah", di mana nisbah perkongsian keuntungan telah ditetapkan dan dipersetujui bersama antara pelanggan dan bank itu pada permulaan pelaburan tersebut.

Ia menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan menerusi pilihan tiga jenis pelan simpanan dengan tempoh lima, sepuluh atau 15 tahun dan jumlah deposit daripada serendah RM167 sebulan.

"Dengan AFFIN Impian Haji Savings Account-i, pelanggan Islam boleh memilih pelan simpanan yang bersesuaian dengan bajet mereka dan tempoh masa pilihan mereka," kata bank itu.

Produk itu juga menyediakan perlindungan Takaful daripada Syarikat Takaful Malaysia Bhd bagi pelanggan dengan perlindungan selepas kematian atau ketidakupayaan kekal dan peruntukan manfaat pengebumian.

Sumber berita: BERNAMA

Khamis, 19 September 2013

Maybank Islamic Peroleh Pembiayaan Rentas Sempadan Pound Sterling

13 Zulkaedah 1434
KUALA LUMPUR, 18 Sept , 2013- Maybank Islamic Bhd baru-baru ini memperoleh pembiayaan rentas sempadan Pound Sterling, menjadikannya bank Malaysia pertama memiliki instrumen pembiayaan seumpama itu di London.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Muzaffar Hisham berkata bank itu telah dilantik oleh pelanggan korporatnya sebagai pengatur utama bersama bagi tujuan membeli hartanah di London.

"Janji niaga itu kemungkinan besar akan diumumkan semasa Forum Ekonomi Islam Dunia kesembilan di London pada Oktober," katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal produk gadai janji runcit baharunya, di sini, Rabu.

Beliau berkata bank itu sedang di peringkat akhir melancarkan produk pembiayaan hartanah mata wang asing Islam bagi hartanah di London, yang dijangkakan pada suku keempat tahun ini.

"Pelabur Malaysia semakin berminat mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka ke United Kingdom dan terutamanya London, dan Maybank Islamic berkedudukan baik untuk menggalakkan peluang seumpama itu," katanya.

Muzaffar menegaskan kepentingan strategik pembiayaan Islam di London sebagai peluang untuk memanfaatkan sumber baharu modal, aset dan kecairan dalam pasaran Islam bagi pertumbuhan masa depan London.

Berita lanjut: BERNAMA

Isnin, 9 September 2013

BSN Buka Cawangan Perbankan Islam Pertama Di Pantai Timur Sabah

3 Zulkaedah 1434


TAWAU, 9 Sept, 2013- Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Isnin membuka Cawangan Perbankan Islam (CPI) di Balung, CPI BSN pertama di kawasan Pantai Timur Sabah dan ketiga seumpamanya di Sabah selepas dua lagi CPI di kawasan Pantai Barat negeri itu.

Pembukaan CPI BSN berkenaan, yang mula beroperasi sejak 2 Sept lepas, dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Tawfiq berkata cawangan itu yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, akan menyediakan kemudahan mengakses perkhidmatan perbankan kepada penduduk di Balung dan Apas yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari kawasan bandar.

Pembukaan cawangan itu juga menandakan keyakinan sektor swasta khususnya sektor perbankan mengenai potensi pembangunan di Sabah, terutama di kawasan Balung dan Apas yang dianggap kawasan pertumbunan ekonomi dan aktiviti sosial yang pesat, katanya.

"Kawasan ini memang kawasan pertumbuhan yang amat berpotensi dengan asas (ekonominya) ialah perladangan kelapa sawit. Di sini kita melihat banyak resort dan pusat pelancongan yang sedang berkembang.

"Di sini juga kita melihat ada institusi pengajian tinggi awam seperti cawangan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Perguruan Tawau dan banyak lagi pusat pembelajaran yang sedang beroperasi dan bakal diwujudkan," katanya kepada pemberita di sini.

Hadir pada majlis berkeaan ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat) BSN Ahmad Latfan Mohd Amran, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob dan Pengarah BSN Sabah Sulaiman Mohd Noor.

Tawfiq mencadangkan agar agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya memindahkan akaun pembayaran pelanggannya yang tinggal di Balung dan Apas dari BSN bandar Tawau untuk memudahkan pelanggan berkenaan menerima pembayaran atau elaun.

Berita lanjut: BERNAMA

Industri Makanan Halal Prospek Terbaik Pelaburan Baharu Di Vietnam

3 Zulkaedah 1434

HANOI, 8 Sept, 2013- Industri makanan halal adalah prospek pelaburan baharu yang mampu berkembang pesat di Vietnam berikutan peningkatan kedatangan pelancong beragama Islam terutamanya dari Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jadual penerbangan antarabangsa khususnya dari Malaysia ke bandar-bandar besar di Vietnam semakin meningkat setiap hari dan ini membuka peluang pelabur Malaysia dalam industri halal untuk kemudahan umat Islam mendapatkan makanan halal di sini.

"Saya melihat banyak ruang baharu dalam industri halal yang boleh diterokai di Vietnam memandangkan ia baru bermula," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari Ahad.

Beliau merupakan menteri pengiring sempena lawatan negara empat hari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ke Vietnam, yang berakhir hari ini.

Jamil Khir berkata kemasukan mana-mana syarikat Malaysia untuk melabur di Vietnam sangat disokong kerajaan negara ini dan ia seharusnya menjadi batu loncatan bagi pelopor industri halal untuk 'mengintai' peluang pelaburan di sini.

Berita lanjut: BERNAMA

Isnin, 2 September 2013

Perlis Bakal Jadi Hab Halal Malaysia

26 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 2 Sept , 2013- Perlis, yang secara strategiknya terletak bersebelahan negara jiran, Thailand, dan menghasilkan banyak bahan mentah, memberikannya kelebihan untuk membangunkan hab halalnya sendiri, yang berpusat di Padang Besar.

Pekan kecil itu bakal membawa masuk banyak bahan mentah seperti jagung dan kacang soya, sebaik siapnya pelabuhan darat dan landasan berkembar di situ, yang melibatkan nilai pelaburan lebih RM1 bilion.

Menteri Besar Azlan Man dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, berkata projek mega itu, yang dijangka siap menjelang 2015, bukan sahaja dapat menampung keperluan negeri tersebut, bahkan bagi semua penduduk Malaysia.

"Dalam masa terdekat juga, Perlis akan membuka kilang-kilang yang mengeluarkan makanan untuk haiwan ternakan, seperti yang sudah lama diwujudkan di negara jiran," katanya, sambil berkata terdapat beberapa pelabur telah tampil menunjukkan minat dalam pembinaan kilang-kilang halal tersebut.

Katanya selain membawa masuk bahan mentah dari Thailand, Malaysia akan menyediakan sijil halal yang diiktiraf dunia bagi penghasilan produk yang dibawa masuk dari Thailand, yang tersedia di negara tersebut.

Perkara itu telah dibincangkan dan telah dipersetujui dalam satu lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perbincangan meja bulat bersama Perdana Menteri Thailand, termasuk para pemimpin industri kedua-dua negara.

"Ia merupakan situasi sama-sama menang," katanya.

Azlan juga berpendapat bahawa inisiatif Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) masih lagi relevan.

IMT-GT ditubuhkan pada 1993 oleh kerajaan Indonesia, Malaysia dan Thailand bertujuan mempercepatkan transformasi ekonomi di wilayah kurang maju, dengan sektor swasta memainkan peranan penting dalam menggalakkan kerjasama ekonomi di ketiga-tiga negara tersebut.

Berita lanjut: BERNAMA

Jumaat, 30 Ogos 2013

Hong Leong Islamic Bank Catat Peningkatan Untung Bersih Kepada RM226.7 Juta

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Keuntungan bersih Hong Leong Islamic Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2013 (TK13), meningkat 62 peratus kepada RM226.7 juta daripada tahun sebelumnya berdasarkan akaun pro forma.

Keseluruhan pendapatan bersih bagi tahun ini bertambah 31.9 peratus secara perbandingan tahun ke tahun, kepada RM489.0 juta.

Pertumbuhan pendapatan ini adalah selaras dengan peluasan perniagaan pembiayaan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada kegiatan bukan pembiayaan serta penambahbaikan kualiti aset, demikian menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Pulangan ke atas Ekuiti dan Pulangan ke atas Aset bagi tahun ini masing-masing mengukuh kepada 18.0 peratus dan 1.0 peratus, dengan disokong oleh keuntungan yang lebih tinggi dalam tahun ini.

Nisbah kos-pendapatan ialah 43.1 peratus, meningkat daripada 37.7 peratus tahun lepas, ekoran beberapa inisiatif yang dilaksanakan untuk bertapak lebih kukuh dalam pasaran khususnya segmen pasaran baharu dalam tahun ini.

Menurut bank itu, untuk memastikan kelestarian dan pertumbuhan berterusan, bank-bank Islam harus terus optimis dan mempertimbangkan langkah-langkah selain kegiatan perbankan tradisional.

Pada masa yang sama, inovasi selanjutnya dalam perbankan digital amat penting bagi bank itu untuk kekal berdaya saing dan relevan kepada pelanggannya.

Berita lanjut: BERNAMA

Stanchart Yakin Sukuk US$490 Juta IILM Diterima Dengan Meluas

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Standard Chartered Bank (Stanchart) yakin sukuk sulung terbitan Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (IILM) bernilai US$490 juta akan diterima umum, memandangkan rangkaiannya yang luas dan permintaannya yang tinggi.

Ketua Pasaran Global yang juga Ketua Bersama Perbankan Borong, Leon Koay, berkata sukuk IILM ialah instrumen kewangan jangka pendek dalam nilai dolar AS yang patuh syariah pertama dan diberikan penarafan tinggi yang diterbitkan dengan tempoh matang kurang daripada setahun.

"Permintaan dari Malaysia dan Asia Barat jelas ada. Bagi mudah tunai dalam nilai dolar AS yang ditawarkan dalam instrumen Islam, kami menyaksikan arah aliran yang terus berkembang.

"Kami (Stanchart) yakin kertas ini (sukuk) akan diedarkan dengan menyeluruh dan diniagakan dengan meluas," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan perkongsian bank itu dengan IILM di sini Khamis.

IILM melantik bank itu sebagai satu daripada wakil jualan utama bagi sukuk tranche pertama program yang diluluskan bernilai US$2 bilion untuk mewujudkan instrumen mudah tunai rentas sempadan dalam nilai dolar AS bagi kegunaan institusi kewangan Islam di seluruh dunia.

Stanchart adalah satu-satunya bank antarabangsa dalam rangkaian wakil jualan utama IILM berbanding bank konvensional lain.

Berita lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...