top_rightads

Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Mac 2025

Kenapa Buku Tunai Perlu Diuruskan dengan Baik dan Berkesan

 21 Ramadhan 1446H

Buku tunai merupakan rekod penting bagi semua transaksi kewangan tunai masuk dan keluar dalam sesebuah perniagaan atau organisasi. Pengurusan buku tunai yang baik dan berkesan amat penting kerana ia memberi pelbagai manfaat, antaranya:

1. Membantu dalam Pemantauan Aliran Tunai

Dengan buku tunai yang teratur, perniagaan dapat memantau aliran masuk dan keluar wang tunai secara harian. Ini membolehkan pengurus atau pemilik mengenal pasti sebarang ketidakseimbangan atau masalah kewangan lebih awal.

2. Mengelakkan Penyelewengan dan Penipuan

Rekod yang tepat dan dikemaskini dengan kerap dapat mengurangkan risiko salah guna wang tunai, kecurian, atau penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

3. Memudahkan Penyediaan Penyata Kewangan

Data daripada buku tunai digunakan untuk menyediakan penyata kewangan seperti Penyata Aliran Tunai dan Penyata Pendapatan. Sekiranya buku tunai diselenggara dengan baik, proses ini akan menjadi lebih mudah dan tepat.

4. Membantu Dalam Perancangan Kewangan

Dengan maklumat tunai yang jelas, perniagaan dapat merancang bajet, membuat keputusan pelaburan, atau mengurus hutang dan perbelanjaan dengan lebih berkesan.

5. Memastikan Kecairan Perniagaan

Pengurusan buku tunai yang baik memastikan perniagaan sentiasa mempunyai tunai yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian seperti gaji, bil, dan kos operasi lain.

6. Memenuhi Keperluan Audit dan Cukai

Buku tunai yang lengkap dan kemas sangat membantu semasa audit kewangan atau dalam urusan percukaian. Ia menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban kewangan sesebuah entiti.


Secara ringkas, pengurusan buku tunai yang baik dan berkesan adalah tulang belakang kepada kestabilan kewangan sesebuah perniagaan. Ia bukan sahaja membantu dalam pengurusan harian, malah penting untuk jangka masa panjang dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan sesebuah perniagaan. Pengabaian terhadap buku tunai boleh menyebabkan masalah kewangan yang serius, termasuk kerugian, kekurangan tunai, atau kegagalan dalam membuat keputusan yang tepat.


Ahad, 16 Mac 2025

Antara Cara Yang Boleh Digunapakai Untuk Elakkan Pembaziran di Bulan Ramadhan

 15 Ramadhan 1446H

Bulan Ramadhan ialah salah satu bulan yang memberikan pelbagai ganjaran pahala kepada umat Islam. Namun pada masa yang sama, umat Islam perlu memastikan tiada pembaziran dilakukan semasa menjalani ibadat puasa bagi mengelakkan kita terjerumus sebagai saudara syaitan, yang meneruskan aktiviti tersebut dikala golongan syaitan dan iblis dibelenggu pada bulan yang mulia ini.

 Berikut adalah beberapa cara untuk mengelakkan pembaziran di bulan Ramadan:

1. Rancang Pembelian & Menu Harian

  • Buat senarai bahan sebelum membeli untuk mengelakkan pembelian berlebihan.
  • Rancang menu sahur dan berbuka untuk seminggu agar bahan makanan digunakan sepenuhnya.

2. Masak Mengikut Keperluan

  • Elakkan memasak dalam jumlah berlebihan yang akhirnya tidak dihabiskan.
  • Ambil kira bilangan ahli keluarga sebelum menyediakan makanan.
  • Gunakan semula lebihan makanan untuk sahur atau hidangan seterusnya.

3. Kurangkan Makanan di Bazaar Ramadan

  • Beli hanya apa yang diperlukan, bukan mengikut nafsu.
  • Bawa bekas sendiri jika membeli makanan untuk mengelakkan pembaziran plastik.
  • Tetapkan bajet dan senarai pembelian sebelum ke bazaar.

4. Makan Secara Sederhana

  • Mulakan berbuka dengan makanan ringan seperti kurma dan air kosong.
  • Ambil makanan dalam saiz hidangan kecil dahulu, tambah jika perlu.
  • Gunakan pinggan kecil untuk mengawal jumlah makanan yang diambil.

5. Simpan & Gunakan Semula Makanan Lebihan

  • Simpan makanan lebihan dengan baik dalam bekas kedap udara atau sejuk beku.
  • Kreatif dalam mengolah makanan lebihan, seperti nasi lebihan dijadikan nasi goreng atau roti lebihan dijadikan puding.
  • Jika ada makanan lebih, kongsi dengan jiran atau golongan memerlukan.

6. Jimat Penggunaan Air & Elektrik

  • Gunakan air secukupnya semasa memasak dan berwuduk.
  • Matikan peralatan elektrik yang tidak digunakan, seperti kipas dan lampu selepas berbuka.
  • Gunakan periuk tekanan atau periuk nasi elektrik yang lebih menjimatkan tenaga.

7. Sedekah Lebihan Makanan

  • Derma makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
  • Sertai program seperti Food Bank atau dapur amal untuk membantu mereka yang memerlukan.
  • Hantar makanan ke masjid atau pusat kebajikan jika berlebihan.

8. Gunakan Pinggan & Bekas Yang Boleh Diguna Semula

  • Elakkan pinggan dan cawan pakai buang untuk mengurangkan pembaziran plastik.
  • Bawa bekas makanan sendiri jika membawa pulang makanan dari bazaar.

Dengan mengamalkan sikap berjimat dan tidak membazir, kita bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan tetapi juga mendapat keberkatan dalam ibadah Ramadan. Selamat berpuasa! 


Wallahualam

Jumaat, 27 Februari 2015

myiktisad.com Dilancarkan

7 Jamadil Awal 1436

myiktisad.com akhirnya berjaya dilancarkan secara rasmi pada hari ini. Ianya telah menggantikan domain blogspot yang digunakan sebelum ini. Semoga dengan adanya domain baru ini, ianya dapat memberi lebih manfaat kepada ramai pihak yang berminat membaca isu-isu yang berkaitan ekonomi, perniagaan, kewangan dan sebagainya yang ditulis dan dikongsikan dalam bahasa Melayu.

Teruskan melayari laman ini.

Wallahualam

Isnin, 23 Februari 2015

myiktisad.com

4 Jamadil Awal 1436

Laman ini akan mempunyai domain sendiri dalam jangka masa terdekat.Ini bakal menggantikan domain blogspot tetapi masih mengekalkan platform blogger.com sedia ada. Ini adalah merupakan percubaan terbaru untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan berterusan. Apapun objektif asal untuk memperbanyakkan laman web berbahasa melayu yang membincangkan atau membicarakan isu semasa ekonomi dan kewangan masih lagi kekal menjadi keutamaan.

Myiktisad.com akan menjadi alamat web terbaru. Semoga para pengunjung terus mendapat manfaat yang baik daripada artikel-artikel yang telah dan yang bakal dipaparkan. Yang baik boleh dimanfaatkan, manakala yang tak baik boleh terus diabaikan. Teruskan berkunjung ke laman ini...!

Wallahualam

Khamis, 19 Februari 2015

Kakitangan SKMM Dilarang Menerima Hadiah

27 Rabiul Akhir 1436

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan Polisi Tiada Hadiah yang berkuat kuasa 18 Februari lalu bagi menyemai sikap menjauhi sebarang amalan berbaur rasuah dalam kalangan kakitangannya.Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie berkata, tindakan itu merupakan salah satu tanggungjawab dalam menepati prinsip Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang telah ditandatangani oleh suruhanjaya itu pada 19 November 2012.

Menurut beliau, “SKMM mahu membudayakan sikap integriti dalam kalangan kakitangan selain mempromosikan nilai-nilai ketelusan, etika dan tadbir urus yang baik.Sebarang konflik kepentingan dalam mana-mana urusan atau potensi rasmi SKMM juga dapat dielakkan dengan pelaksanaan Polisi Tiada Hadiah,” katanya dalam satu kenyataanyang dipetik melalui Utusan Online di sini hari ini.

Sumber : Utusan Online

Rabu, 6 Ogos 2014

Tragedi Penerbangan Yang Kerap Bakal Menjejaskan Industri

27 Ramadhan 1435

Tragedi kemalangan yang makin menjadi-jadi dikalangan industri penerbangan akan menyebabkan keyakinan pengguna yang tidak begitu terdesak menggunakan pengangkutan udara akan semakin terhakis. Secara logiknya, ramai pelancong akan menagguhkan percutian mereka, dan golongan-golongan professional akan mencari alternatif untuk berkomunikasi. Antaranya dengan menggunakan platform mesyuarat secara maya dan sebagainya.

Selepas tragedi kehilangan pesawat MH370 yang misterinya masih belum dirungkai setakat ini, negara Malaysia dikejutkan lagi dengan kejadian pesawat MH17 yang ditembak jatuh di kawasan negara yang sedang bergolak iaitu di Ukraine dekat sempadan Rusia. Kemudian diikuti lagi dengan pesawat terhempas di Taiwan. Tidak berapa lama kemudian , dunia dikejutkan lagi dengan kemalangan pesawat Air Algerie di Mali.

Peristiwa yang berlaku secara dekat ini, secara tidak langsung menggugat keyakinan pengguna seluruh dunia untuk melakukan perjalanan menerusi pengangkutan penerbangan. Ini secara langsung bakal menggugat industri penerbangan dan pelancongan di Malaysia dan seluruh dunia.Sehubungan dengan itu, negara-negara yang mana menyasarkan produk pelancongan adalah merupakan salah satu pendapatan utama, perlulah merangka strategi yang bersesuaian bagi mengekang isu potensi kelembapan dalam industri perlancongan dan penerbangan. Syarikat-syarikat penerbangan juga perlu meningkatkan kembali  keyakinan penumpang-penumpang menggunakan perkhidmatan udara.

Wallahualam

Sabtu, 1 Mac 2014

BR1M 2.0: Bersyukurlah

29 RabiulAkhir 1434

Rakyat Malaysia tak kira pelbagai latar belakang yang mendapat imbuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M 2.0) perlu bersyukur dengan apa yang mereka terima. Ini adalah kerana ada ramai lagi di kalangan masyarakat yang terdiri daripada mereka yang tidak layak, tidak berpeluang menerima bantuan berkenaan.

Sama ada ianya memadai atau tidak, sama ada berbaloi atau sebaliknya, ianya adalah perkara yang kedua. Apa yang penting, terima dan ucapkanlah Alhamdulillah, syukur kepada Maha pencipta atas kurnianNya. Jika kita bersyukur, inshaAllah, akan datang lagi lebih banyak nikmat kepada kita.

Wallahualam

Ahad, 3 November 2013

Legoland Hotel Terima Tempahan Di Laman Web Mulai Nov 1, 2013

29 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 1 Nov, 2013- Legoland Hotel kini menerima tempahan di laman web Legoland bermula hari ini.

Bersempena pembukaannya, hotel berkenaan akan mengadakan pra-pembukaan khas untuk tetamu, dengan pakej khusus pada musim cuti sekolah.

Pembukaan hotel tersebut akan melengkapkan transformasi Legoland di Johor kepada sebuah resort, demikian menurut Legoland dalam satu kenyataan.

Resort Legoland Malaysia merangkumi taman tema, taman air dan hotel di satu lokasi bertemakan Lego, dengan lebih daripada 70 permainan tunggangan, gelongsor dan tarikan.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst berkata pembukaan hotel itu merupakan satu lagi peristiwa penting bagi Legoland Malaysia Resort dan sangat teruja untuk menyambut tetamu pertama ke hotel pada cuti sekolah memandangkan "kami mendahului jadual".

Pakej keluarga termasuk sarapan pagi dan tiket kombo dua hari untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Tiket Combo menyediakan akses ke taman tema dan taman air serta membolehkan tetamu bergerak bebas antara kedua-duanya, katanya.

Pemegang pas tahunan Legoland boleh menempah pakej bilik pada kadar khas dengan menghubungi pasukan tempahan hotel.

Ciri-ciri Lego boleh didapati di seluruh hotel, yang menawarkan 249 bilik dengan tema.

"Tetamu mempunyai pilihan bermain sebagai lanun, menguasai suatu kerajaan atau memulakan pengembaraan dan semua bilik termasuk katil bersaiz king untuk orang dewasa, serta kawasan untuk tidur separa persendirian untuk tiga kanak-kanak, yang lengkap dengan katil dua tingkat, katil yang boleh ditarik keluar dan unit hiburan," kata Boerst.

Sumber berita: BERNAMA

Sabtu, 28 September 2013

Konsep Wassatiyah Boleh Selesaikan Banyak Masalah Dunia

22 Zulkaedah 1434

NEW YORK, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya banyak masalah dunia hari ini boleh diselesaikan jika masyarakat mengamalkan konsep kesederhanaan atau wassatiyah.

Beliau berkata jika masyarakat dan kerajaan menggunakan kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan dasar mereka, maka negara akan mempunyai masyarakat yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Amalan wassatiyah, katanya, berasaskan kepada prinsip tertentu dan nilai-nilai murni, seperti keadilan, kesaksamaan, memilih untuk berdialog daripada konfrontasi, berunding daripada berkonflik.

"Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman," katanya dalam syarahan 'The New Meetings, Moderation: The New Modernity' (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), yang ditaja bersama Council on Foreign Relations (CFR)'s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York.

Sesi itu dihoskan Fareed Zakaria dari CNN, Editor Tugas-tugas Khas Majalah TIME dan anggota Lembaga Pengarah CFR.

Anggota CFR di Washington DC, menyertai mesyuarat ini melalui persidangan video dan disiarkan secara langsung melalui laman web CFR (www.cfr.org).

Najib berkata apa yang dimahukan rakyat Malaysia dan negara lain di dunia ialah keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang boleh dicapai jika masyarakat mengamalkan keseluruhan konsep wassatiyah.

"Kita tidak pinggirkan sesiapa...jangan biarkan suara-suara melampau, perkauman dan ketaksuban menenggelamkan suara kita," katanya.

Perdana menteri berkata beliau menggalakkan Pergerakan Wassatiyah Global melalui ucapannya di seluruh dunia kerana beliau percaya bahawa masalah dalam dunia hari ini bukanlah antara penganut Kristian, umat Islam dan Yahudi tetapi sebenarnya ialah antara golongan ekstremis dan sederhana.

Najib berkata beliau mencari pakatan kerjasama dengan pihak yang mendukung kepercayaan dan prinsip serupa termasuk dari Amerika Syarikat, untuk menggalakkan dan mengukuhkan usaha ini.

Ditanya pendapatnya tentang pengebom nekad Islam semasa sesi soal jawab itu, Najib berkata beliau telah memperkatakan mengenai tindakan itu dalam ceramahnya di Universiti Oxford, United Kingdom sebelum ini bahawa Islam menentang perbuatan sedemikian.

"Islam mengajar umatnya jangan membunuh mereka yang tidak berdosa, walaupun dalam peperangan. Perbuatan itu dilarang Islam dan ia sebenarnya dilakukan oleh orang yang 'merampas' Islam dengan objektif politik mereka yang sempit dan mementingkan diri," katanya.

Oleh itu beliau menggesa media, terutama di Barat supaya tidak menggelar mereka ini sebagai pengganas Islam atau kumpulan jihad kerana mereka hanyalah puak pelampau tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

"Ada bahayanya dalam mengapi-apikan Islam-fobia di Barat. Adalah lebih baik jika media di Barat lebih arif mengenai perkara ini...mereka hanyalah pengganas daripada kumpulan tertentu," katanya.

Diminta mengulas peristiwa pengemboman 9/11 World Trade Centre di New York pada 2001, Najib berkata ia merupakan kombinasi kepada beberapa faktor.

Katanya Islam tidak pernah dikaitkan dengan keganasan dan berdasarkan fakta sejarah, penduduk di Asia Tenggara memeluk Islam dan meninggalkan agama Hindu secara aman.

 Sumber berita-BERNAMA

Khamis, 19 September 2013

Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan Untuk Beri Bantuan Segera

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menubuhkan sebuah pusat panggilan seluruh negara, iaitu Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (Accident Assist), yang bertujuan memberikan bantuan serta merta kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pusat panggilan itu merupakan usaha bersama oleh pengusaha syarikat insurans am dan takaful untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan lebih berkesan lagi.

"Nombor talian bantuan yang mudah diingat dan menjimatkan iaitu 1300-22-11-88 dikhaskan untuk menerima panggilan daripada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan untuk menjawab pertanyaan umum berhubung insurans kenderaan bermotor.

"Pusat panggilan itu diuruskan oleh Telekom Malaysia Bhd yang beroperasi 24 jam. Ia akan dianggotai oleh pegawai-pegawai perkhidmatan pelanggan yang terlatih dalam tuntutan insurans untuk memberikan bantuan serta merta dan menjawab soalan-soalan asas mengenai perlindungan dan tuntutan insurans motor," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Pada masa ini Accident Assist dimulakan di Lembah Klang dan akan diperluas ke seluruh negara dalam suku keempat tahun ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Legoland Malaysia Bakal Jadi Destinasi Resort Keluarga Terunggul Asia

13 Zulkaedah 1434


JOHOR BAHARU, 18 Sept, 2013- Legoland Malaysia, yang pembukaan taman tema airnya dijadualkan bulan depan dan hotel 249 biliknya pada 2014, bakal menjadi destinasi resort keluarga utama di Asia.

Pengurus Besarnya, Siegfried Boerst, berkata dengan gabungan taman tema dan hotel, resort Legoland pertama di Asia itu mahu pelawat meluangkan lebih banyak masa di dalam.

Taman tema berharga RM720 juta dengan 40 permainan interaktif, pertunjukan dan tarikan itu, merayakan ulang tahun pertamanya Ahad lalu.

Boerst berkata tahun ini merupakan tahun yang amat berjaya memandangkan bilangan pelawatnya melebihi sejuta yang dijangkakannya.

"Ini merupakan kejayaan besar," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata dengan taman air dan hotel yang akan dibuka, Legoland mahu memasarkan resort itu sebagai destinasi keluarga utama di Asia Tengara.

"Kami mahu orang datang ke mari dan meluangkan masa selama dua hingga tiga hari untuk mengunjungi destinasi-destinasi lain yang berhampiran. Kami mahu menjadikannya menarik bagi pelawat dari China, India, Australia untuk berada beberapa lama di Malaysia," katanya.

Kata Boerst, Legoland Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia dan agensi-agensi lain untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Mengenai Hotel Legoland, yang dijangka dibuka pada Disember bagi musim cuti di Malaysia dan Singapura, beliau berkata, kesemua 249 bilik keluarga mempunyai tema Legoland yang berbeza-beza.

Berita lanjut: BERNAMA

Rabu, 18 September 2013

Dokumen Pengenalan Diperlukan Untuk Transaksi Wang Mulai 15 September 2013

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- Berkuatkuasa Ahad (15 Sept) semua pelanggan yang melakukan transaksi perniagaan perkhidmatan wang dengan pemegang lesen perlu menunjukkan dokumen pengenalan jika perlu.

Menurut Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) peraturan itu dibuat sebagai mematuhi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akta itu menetapkan pemegang lesen supaya mengenal pasti dan mengesahkan transaksi perkhidmatan Kewangan oleh pelanggan, yang turut dilakukan di negara lain termasuk Kemboja, Singapura dan Australia.

"Pelanggan perlu menunjukkan dokumen pengenalan untuk transaksi pertukaran wang sebanyak RM3,000 dan ke atas dan transaksi kiriman wang tanpa mengira jumlahnya," menurut MAMSB dalam satu kenyataan Rabu.

Pemegang lesen pula perlu mempamerkan notis standard syarat yang ditetapkan di premis masing-masing.

 Menurut kenyataan itu lagi, pemegang lesen juga perlu membuat salinan dokumen pengenalan untuk rekod, bagi transaksi melebihi RM10,000 dan kiriman wang melebihi RM3,000.

Sumber berita: BERNAMA

Khamis, 12 September 2013

Prestasi Perniagaan Baharu Untuk Insurans Akan Meningkat Dalam Separuh Kedua 2013

6 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Sept , 2013- Prestasi perniagaan baharu untuk insurans dalam separuh kedua tahun ini dijangka memperlihatkan pertumbuhan positif di antara dua peratus dan lima peratus berikutan kadar penembusan insurans hayat yang rendah, kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Presiden LIAM, Vincent Kwo berkata pasaran insurans hayat belum ditembusi secara meluas di Malaysia, dengan kadar penembusan pada masa ini untuk insurans hayat ialah 41.22 peratus.

Dengan kerajaan menyasarkan 75 peratus daripada populasi boleh diinsuranskan menjelang 2020, terdapatnya usaha bersama untuk merancakkan lagi pertumbuhan ini, kata beliau.

Bagaimanapun, prestasi perniagaan baharu untuk industri secara keseluruhannya mengalami beberapa pelarasan berikutan penyusunan semula portfolio yang dilaksanakan oleh beberapa peserta industri, kata Kwo.

Perniagaan baharu berkaitan pelaburan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan 4.8 peratus dalam separuh pertama tahun ini dengan rentak yang pantas berbanding 4.1 peratus pertumbuhan yang dicapai dalam suku pertama tahun ini, katanya dalam satu kenyataan.

Permintaan kukuh turut dicatatkan untuk insurans kesihatan dan perubatan ekoran kos penjagaan kesihatan yang melambung tinggi, kata beliau.

Kwo berkata orang ramai kian prihatin terhadap kelebihan untuk mempunyai polisi perubatan yang pastinya akan mengurangkan kos rawatan dan operasi pembedahan yang tinggi pada masa ini.

Jumlah tuntutan pembayaran untuk industri turun sedikit kepada RM2.9 bilion dalam separuh pertama tahun ini berbanding RM3.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai prestasi perniagaan baharu, industri mencatatkan 5.9 peratus penurunan ke atas premium berwajaran dalam separuh pertama tahun ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Jumaat, 16 Ogos 2013

Legoland Malaysia Tawar Masuk Percuma Kepada Kanak-kanak Berpakaian Bertema Star Wars

9 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Ogos, 2013- Legoland Malaysia menawarkan kemasukan percuma ke taman itu bagi kanak-kanak yang memakai pakaian mengikut karakter Star Wars kegemaran mereka bersempena dengan Hari Lego Star Wars pada hujung minggu ini.

Selain itu taman tersebut juga akan menyediakan pelbagai aktiviti menyeronokkan berasaskan tema berkenaan bagi para peminat dan keluarga yang berkunjung.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst berkata tema itu merupakan aktiviti pertama untuk mempromosikan Legoland kepada pengunjung.

"Terdapat lebih banyak keseronokan pada hujung minggu ini kerana taman itu akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.

Berita lanjut: BERNAMA

Isnin, 12 Ogos 2013

Antara Tip Bagi Mengelakkan Penipuan Oleh Bank Palsu

5 Syawal 1434

Jenayah siber seperti kes penipuan menggunakan identiti sesebuah bank melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih berhati-hati dan peka terhadap teknologi masa kini. Antara tip-tip yang boleh dipertimbangkan bagi mengelakkan kes ini ialah:

 1. Pengguna dinasihat  tidak mengakses sebarang pautan URL Internet dalam e-mel atau SMS yang didakwa dihantar oleh pihak bank.

 2.Bagi mengenal pasti sebarang pautan Internet itu benar atau palsu, alamat laman web sesebuah bank itu perlu ditaip secara manual untuk mendaftar masuk ke akaun perbankan Internet masing-masing.

 3.Elakkan mendaftar TAC dengan menggunakan nombor telefon bimbit pihak ketiga dan jangan melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat peribadi kewangan atau keselamatan masing-masing melainkan kita telah menghubungi pihak bank terlebih dahulu.

4. Ketulenan laman web bank boleh diperiksa dengan memerhati ikon berbentuk ibu kunci yang terletak di petak alamat pelayar Internet dan jangan meneruskan sebarang aktiviti sekiranya tidak melihat ikon sedemikian.

 5. Jangan mengakses maklumat perbankan anda di kafe siber atau kawasan-kawasan wifi umum, gunakan pelayar Internet versi terkini kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pastikan perisian antivirus dan sekuriti anda sentiasa dikemaskini,.

6. Mengamalkan sikap berjaga-jaga dan meneliti terlebih dahulu setiap e-mel yang diterima.

7.Jangan akses sebarang pautan Internet dalam e-mel yang didakwa dihantar oleh bank dan hubungi pihak bank untuk mengenal pasti kesahihannya.

Maklumat lanjut & dipetik : BERNAMA

Selasa, 11 Disember 2012

Kawasan Baharu PM307 Ada Minyak Berada Dalam Perairan Terengganu

27 Muharram 1434


KUALA TERENGGANU, 10 Disember 2012- Kawasan medan minyak yang baru di Blok PM307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang adalah milik Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri telah menulis surat secara rasmi kepada Petronas untuk mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok berkenaan dan setakat ini jawapan rasmi masih belum diperoleh.

"Kita menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Jumaat, 7 Disember 2012

Kaji Benarkan Pencarum KWSP Guna Akaun Kedua Belanja Tunai Haji

23 Muharram 1434


KUALA LUMPUR, 6 Disember 2012- Lembaga Tabung Haji bersedia mengkaji untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan akaun kedua bagi perbelanjaan penuh menunaikan ibadah haji.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata bagaimanapun perkara itu perlu mendapat kelulusan KWSP.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP menggunakan sebahagian daripada akaun kedua iaitu berjumlah RM3,000 ringgit untuk tujuan menunaikan ibadah haji," katanya menerusi program 'Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di sini Khamis.

Ismee berkata, setakat ini Tabung Haji telah berjaya mengekalkan jumlah perbelanjaan dengan kos RM9,980 seorang jemaah, walaupun jumlah sebenarnya adalah RM15,150.

"Daripada jumlah itu, Tabung Haji menanggung RM5,170 bagi setiap jemaah. dan turut menanggung beberapa perkara lain, termasuk kursus haji," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Rabu, 14 November 2012

Salam Maal Hijrah 1434

1 Muharram 1434

Penulis di sini ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Baru Kelendar islam, Maal Hijrah 1434. Moga dengan datangnya tahun baru ini semakin ramai dikalangan pengunjung laman ini dapat menimba manfaat atas apa jua pengisian yang ada di sini.

Ingin dijelaskan di sini bahawa segala pengisian yang ada di laman ini adalah untuk menanamkan minat membaca di kalangan pembaca di alam siber ini  yang menggunakan bahasa Melayu terutama minat terhadap artikel-artikel perniagaan dan ekonomi yang selama ini didominasi oleh artikel yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Akhir kata, teruskan melayari blog/laman ini.Disamping itu jika sudi, sampaikanlah kepada rakan-rakan anda yang lain tentang kewujudan blog sebegini.

Wallahualam

@myiktisad

Selasa, 6 November 2012

Usahawan Cacing Didakwa

21 Zulhijjah 1433


KUANTAN, 6 November 2012- Seorang usahawan cacing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas pertuduhan menawarkan kepentingan skim pajakan cacing tanpa kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 1965.

Nazri Mamat, 38, dari Kampung Pandan 1, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan kepada orang awam membeli kepentingan skim pajakan cacing tanpa surat ikatan yang sah daripada SSM di antara 8 Mei 2008 hingga 22 April 2009 di premis miliknya, Syarikat Restu Rimbunan Rahmat Sdn Bhd di Lot A 4722, Jalan Lapangan Terbang, Kampung Pandan 1, Kuantan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1)(a) akta sama yang memperuntuk hukuman penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

R&R Tapah Dan Rawang Ditutup Mulai Hari Ini Untuk Sementara

21 Zulhijjah 1433


KUALA LUMPUR, 5 November 2012- Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dan Rawang di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sementara selama dua hari bermula esok bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Menurut kenyataan PLUS Berhad hari ini, R&R Tapah arah utara akan ditutup esok bermula 8 pagi hingga 5 petang manakala R&R Tapah arah selatan akan ditutup pada Rabu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Maklumat lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...