top_rightads

Memaparkan catatan dengan label Usahawan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Usahawan. Papar semua catatan

Sabtu, 4 April 2015

Dana Bumiputera Al-Ansar Dilancar

14 Jamadil Akhir 1436

Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Dana Bumiputera Al-Ansar Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM200 juta, bagi memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera muslim di negara ini.

Beliau berkata pelaksanaan dana di bawah akaun pelaburan terhad serta patuh syariah yang pertama di Malaysia itu diharap memangkin pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau, dana berkenaan akan membantu usahawan dari segi modal kerja, pembiayaan kontrak dan perbelanjaan modal, melalui kenyataan  yang telah dikeluarkan oleh BERNAMA.

"Saya yakin bahawa usaha TH ini akan dapat bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan tetapi juga membawa mereka yang sudah terlibat dalam bidang perniagaan akan dapat pergi ke tahap yang lebih tinggi.

"Mudah-mudahan mereka bukan tergolong dalam kumpulan 'micro enterprise' tetapi menjadi PKS dan seterusnya menjadi syarikat yang lebih besar serta disenarai di bursa dan bersaing di persada antarabangsa," katanya ketika berucap melancarkan dana berkenaan di bangunan Parlimen pada Khamis lalu.

Sumber berita dipetik dari BERNAMA.

Selasa, 16 Disember 2014

Konsep Satu Daerah Satu Industri Perlu Diperkuatkan

24 Safar 1436

Kerajaan melalui agensi tertentu digesa memperhebatkan usaha bagi mewujudkan satu industri bagi setiap daerah yang ada di Malaysia. Walaupun telah diperkenalkan sebelum ini , ianya seakan-akan seperti terbiar dan tiada tindakan susulan dapat dilihat secara jelas perlaksanaannya.

Mana tahu , produk-produk yang telah dihasilkan berjaya menarik perhatian pembeli dan mampu menembusi pasaran luar negara. Secara tidak langsung usaha ini boleh menambahkan peluang pekerjaan penduduk di luar bandar menerusi industri hiliran yang bakal wujud dari industri atau produk yang dihasilkan bagi setiap daerah. Agensi kerajaan tertentu perlu agresif bagi menjadi agen pemasaran bagi setiap produk yang dihasilkan.

Ini dapat mengelakkan penduduk di luar bandar dari mengalami tekanan disebabkan kejatuhan harga komoditi pertanian yang merupakan punca pendapatan selama ini. Kaedah ini dilihat lebih parktikal jika ingin meningkatkan jumlah usahawan di negara ini.

Wallahualam

Khamis, 16 Oktober 2014

Kerajaan Digesa Lebih Inovatif Bangunkan Usahawan

21 Zulhijjah 1435

Kerajaan perlu keluar daripada kepompong memberikan pinjaman dan geran semata-mata bagi membangunkan usahawan di Malaysia terutama yang melibatkan golongan bumiputra. Selain daripada mengekalkan kemudahan dan geran, sokongan boleh diberikan dari sudut membeli perkhidmatan dalam tempoh tertentu daripada usahawan berkenaan. Kerajaan perlulah keluar dari kepompong pemikiran bahawa untuk melahirkan usahawan ianya hanya menjurus kepada sektor pertanian,pembinaan dan pembuatan semata-mata.

Salah satu contoh,sektor perkhidmatan sebenarnya juga membuka peluang kepada para ushawan seperti menjadi agen takaful dan sebagainya. Bayangkan jika sektor kerajaan membuka peluang kepada 100 agen takaful untuk menyediakan perkhidmatan takaful di sektor kerajaan secara tahunan, sah-sah 100 usahawan dapat dilahirkan dan mereka perlu diberi masa tempoh tertentu (3 hingga 4 tahun) bagi menyediakan perkhidmatan kepada sektor berkenaan.

Selepas tempoh berkenaan, peluang berkenaan haruslah diberikan kepada 100 ushawan yang lain pula di mana usahawan yang diberikan kontrak sebelum ini, diharapkan dapat bersaing pula secara terbuka di sektor swasta dan merebut peluang lain di sektor berlainan. Cara ini dilihat lebih inovatif untuk diamalkan dan ianya bakal mengurangkan dana yang perlu dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi membangunkan usahawan baru. Perkhidmatan takaful yang mungkin diambil secara terus oleh pihak kerajaan,di mana pihak pengendali mendapat manfaat secara terus, sebaliknya harus diberikan peluang kepada para usahawan bagi membina perniagaan mereka.

Wallahualam

Isnin, 28 Oktober 2013

Bantuan Dan Insentif Kepada Usahawan Dalam Bajet 2014 Tingkatkan PKS Dan Ekonomi Negara

23 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 26 Okt, 2013- Bantuan dan insentif kepada usahawan Bumiputera dalam bentuk pelbagai geran dan peluang-peluang perniagaan dalam Bajet 2014, amat bertepatan dan dapat menggalakkan lagi penyertaan usahawan Bumiputera, meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu Malaysia (MAPEM) Tan Sri Rozali Ismail berkata majlis menyambut baik belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan merakamkan penghargaan terhadap Perdana Menteri di atas keprihatinan dan sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sokongan tersebut adalah perlu memandangkan PKS memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kerana ia menyumbang 32 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangannya dijangka meningkat kepada 40 peratus pada 2020," kata beliau dalam kenyataan Sabtu.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam yang antara lain, mengumumkan penubuhan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulan RM30 juta dan satu pelan pembangunan usahawan akan digubal.

Rozali berkata MAPEM menyokong penuh inisiatif kerajaan membentuk Pelan Pembangunan Usahawan itu yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti usahawan PKS yang sebahagian besar terdiri daripada usahawan Bumiputera.

"Langkah Kerajaan menubuhkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) amat dialu-alukan memandangkan ia akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi meningkatkan kreativiti dan daya saing usahawan-usahawan Bumiputera di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata langkah Kerajaan memperkenalkan program 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) akan dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Berita lanjut: BERNAMA

Sabtu, 19 Oktober 2013

PUNB Belanja RM1.7 Bilion Bantu Usahawan

14 Zulhijjah 1434

GEORGE TOWN, 18 Okt, 2013- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) membelanjakan RM1.7 bilion sepanjang 22 tahun penubuhannya dalam usaha membantu memperkasa dan meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera di negara ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata secara puratanya hampir RM80 juta disalurkan PUNB setiap tahun kepada usahawan Bumiputera.

Beliau berkata 70 peratus daripada jumlah yang disalurkan itu berjaya dikutip semula.

"Kita akan memperbaiki proses kutipan balik pembiayaan bagi memastikan semua usahawan Bumiputera akan memperoleh bantuan pembiayaan PUNB," katanya pada taklimat pembiayaan perniagaan PUNB di Kompleks Tabung Haji di sini Khamis malami.

Mohd Ali juga berkata PUNB memerlukan dana tambahan sebanyak RM380 juta bagi membolehkan pelbagai program pembangunan usahawan dilaksanakan.

Katanya PUNB akan terus komited dalam memperkasa usahawan Bumiputera sehingga berjaya mencapai pemilikan 30 peratus dalam industri seperti yang terkandung dalam Dasar Baharu Ekonomi (DEB).

"Kita yakin matlamat itu boleh direalisasikan menjelang 2020, termasuk meningkatkan sehingga 60 peratus penglibatan syarikat milik Bumiputera.

"Melalui usaha berterusan PUNB ini juga kita yakin pembesaran kek ekonomi akan berjaya dicapai kelak sekali gus merapatkan jurang antara usahawan Bumiputera dengan usahawan lain," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Sabtu, 12 Oktober 2013

Steve Jobs Pernah dipecat oleh Apple

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt ,2013- Satu daripada cara-cara untuk memupuk budaya keusahawanan yang rancak ialah dengan memberi peluang kepada para usahawan untuk menghadapi kegagalan dan mencuba lagi, kata Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Penny Pritzker.

Beliau berkata ramai usahawan di AS seperti mereka yang beroperasi di Lembah Silikon, kawasan tumpuan inovasi dan keusahawanan, sebenarnya berbangga dengan kegagalan kerana mereka telah belajar daripada kesilapan dan memperbaiki idea dan mencapai kejayaan selepas itu.

"Sebagai contoh, seorang daripada penginovasi terhebat kami, Steve Jobs pernah dipecat oleh Apple, syarikat yang ditubuhkan bersama oleh beliau sendiri, sebelum diberi peluang untuk mencuba sekali lagi. Dan beliau mengetuai revolusi elektronik global yang mencipta pekerjaan di seluruh dunia," katanya semasa sesi mengenai Membangunkan Ekosistem Keusahawanan pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2013 di sini Jumaat.

Pritzker berkata kerajaan AS melabur dengan banyak dalam penyelidikan dan pembangunan dan juga menyokong pembiayaan perniagaan kecil yang baru bermula untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan di negara itu.

"Sektor awam dan swasta juga harus bekerjasama untuk mencipta ekosistem sebagai percubaan adalah digalakkan tanpa menghukum kegagalan dan di mana idea baharu berkembang menjadi produk dan industri baharu," kata beliau.

Sentimen beliau turut disuarakan oleh seorang lagi ahli panel, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Hoang Trung Hai, yang berkata untuk menggalakkan keusahawanan, masyarakat patut bertolak ansur dengan kegagalan dan memberi usahawan peluang kedua.

Mengulas topik itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usahawan harus tidak terlalu bergantung kepada inisiatif dan bantuan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Mereka patut membina jaringan yang kukuh di antara mereka untuk bersama-sama menangani pelbagai cabaran dalam menjalankan perniagaan mereka, katanya.

"Kami mempunyai masalah ini di negara saya apabila usahawan terus memerlukan bantuan kerajaan," katanya, sambil menekankan bahawa kebiasaannya usahawan sebegini tidak mencapai kejayaan dalam usaha mereka.

 Sumber berita- BERNAMA

MaGIC Bantu Usahawan Berkembang

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt, 2013- Cadangan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC), akan menyediakan platform yang sesuai kepada usahawan untuk mengembangkan sayap mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia Datuk Badlisham Ghazali berkata MaGIC, yang akan ditempatkan di Cyberjaya, bersedia untuk menyatukan usahawan generasi akan datang negara.

"Usahawan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan menyaksikan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kualiti usahawan tempatan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di GES 2013 di sini hari ini.

MaGIC, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013, akan menjadi tempat sehenti yang membolehkan para usahawan mendapat pembiayaan daripada bank atau modal teroka, inkubator untuk membangunkan syarikat yang baru bermula, pendaftaran hak harta intelek serta kemudahan latihan dan bimbingan.

Inisiatif ini juga dijangka meningkatkan dan mengukuhkan hubungan kerajaan dan usahawan.

Usahawan Malaysia, Gerald Daniel, peneraju First Billenium Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi mudah alih, berkata meskipun kerajaan sentiasa menyokong usahawan tempatan, mereka bagaimanapun mendapati sukar untuk memanfaatkan inisiatif tersebut.

"Inisiatif MaGIC ini tentunya akan menambah baik keadaan ini," kata Daniel.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Robin Capital Sdn Bhd Ariivazhagan Supramaniam pula, perkara yang paling penting ialah untuk memudahkan usahawan dengan dasar yang betul, akses kepada kewangan dan sokongan berterusan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya berpendapat perolehan kerajaan adalah bidang penting di mana mereka perlu mengambil risiko untuk menguji usahawan-usahawan ini kerana akan mewujudkan keyakinan pasaran dan membolehkan pihak komersial menyertainya," katanya.

Pengerusi Eksekutif DFRAN Research Technologies Sdn Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyifatkan langkah menubuhkan MaGIC sebagai selaras dengan keadaan semasa di mana majoriti idea inovatif dari negara-negara maju adalah daripada usahawan muda.

"Malaysia perlu menyediakan ekosistem yang membolehkan golongan muda yang inovatif dan kreatif mempunyai peluang untuk menjadi usahawan yang baharu, " kata Syed Zainal.

Bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd itu berharap inisiatif tersebut akan disusuli dengan pelaksanaan yang betul.

Sementara itu, perwakilan asing turut menyifatkan MaGIC sebagai idea yang hebat.

Antara mereka ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Technology Innovation Agency dari Afrika Selatan Dr Muhammad Sayed yang berpendapat pusat setempat adalah idea yang sangat baik kerana pemisahan pelbagai usaha di banyak negara telah mengecewakan usahawan.

Egle Vinauskaite, perwakilan dari Lithuania, yakin inisiatif berkenaan akan berjaya.

"Malaysia telah melaksanakan tugas yang hebat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak program keusahawanan, bengkel dan mentor, semua berjaya. Ia memberi kesan yang besar kerana orang ramai terutamanya golongan belia yang menyedari potensi mereka sendiri dan saya berpendapat ia satu perkara yang positif," katanya.

Sumber berita: BERNAMA

Syarikat Pemula Patut Manfaatkan Media Sosial

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt , 2013 -- Syarikat-syarikat pemula perlu menggunakan media sosial dengan kerap untuk kekal terhubung dengan pelanggan mereka untuk memahami dan memenuhi keperluan mereka dalam persekitaran perniagaan berdaya saing sekarang, kata pegawai AS Aparna Sain Jumaat.

"Hari ini, terdapat ramai usahawan dalam talian di seluruh dunia, jadi perkara yang paling untuk berjaya ialah untuk mengetahui bagaimana untuk mengekalkan mereka menerusi hubungan yang rapat," kata Sain yang merupakan Penasihat Kanan bagi Program Keusahawanan Global untuk Jabatan Negara AS kepada Bernama.

Sain adalah salah seorang pembentang pada sesi bertajuk "Media Sosial dan Seterusnya" di GES 2013 yang dianjurkan oleh Malaysia sekarang.

Terdahulu pada sesi itu, Hany Rashwan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ribbon, sebuah syarikat pemula, berkata mempunyai bilangan pengikut menerusi media sosial yang ramai tidak memberikan impak sebenar kepada perniagaan.

"Beberapa ribu pengikut di Twitter dan Facebook adalah bagus, tetapi perkara yang paling penting untuk usahawan ialah peluang untuk berhubung dengan pelanggan.

"Kita patut tahu, berdasarkan bilangan pengikut, kesannya kepada perniagaan anda," katanya.

Menyuarakan pandangan yang sama, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Qabila Media Productions Perihan Abouzeid berkata syarikat pemula perlu mengetahui jenis media sosial yang sesuai untuk perniagaan mereka.

Berita lanjut: BERNAMA

Usahawan Sosial Perlu Seimbang Untuk Kekal Dalam Perniagaan

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt, 2013- Usahawan sosial perlu seimbang antara mencapai kepuasan dalam menjalankan usaha mereka dan keperluan untuk mendapat kejayaan kewangan.

Saranan itu dinyatakan pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013 di sini Jumaat.

Melody Hossaini dari InspirEngage International yang berpangkalan di United Kingdom, berkata usahawan sosial yang berusaha untuk memberi khidmat kepada orang ramai dan memenuhi matlamat mereka, juga perlu membuat keuntungan untuk membolehkan mereka terus kekal dalam dunia keusahawanan sosial yang pesat berkembang.

"Takrifkan semula cara anda melihat kejayaan. Anda perlu untuk membuat keuntungan tetapi perlu mempunyai keuntungan yang kedua (iaitu) modal sosial, apa yang anda beri (semula). Ia merupakan nilai yang anda wujudkan untuk orang lain, " katanya pada sesi 'Connecting for Growth: Are We There Yet?'

Hossaini berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai bagaimana usahawan sosial boleh mengukur kejayaan mereka selain melihatnya dari sudut pandangan kewangan.

Acara dua hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

Seorang lagi ahli panel, James Khoo Chen Shiang, dari secQ.me Malaysia, menyatakan bahawa seseorang tidak seharusnya memulakan perniagaan semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi juga mempunyai kuasa untuk bertahan dalam landskap perniagaan.

Kepada soalan mengenai bagaimana untuk mengekalkan dinamik pasukan dalam memastikan perniagaan berjalan mengikut rancangan, Melody berkata mereka di sebalik perniagaan perlu mempunyai visi yang jelas mengenai di mana mereka mahu membawanya pada masa hadapan.

"Tahu hala tuju anda. Jadikan anggota anda merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada pasukan. Beri orang tanggungjawab dan mereka akan mengejutkan anda dengan cara mereka sendiri," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Khamis, 10 Oktober 2013

MDeC Mudahkan Hubungan Perniagaan Tempatan & Bakal Pelabur Menerusi 'Deal Quest'

6 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 10 Okt , 2013- Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian (MVCA) akan bekerjasama melancarkan "Deal Quest", platform dalam talian untuk membantu menjadikan proses membida lebih cekap untuk perniagaan tempatan.

Ia turut menyasarkan antara 100-150 syarikat mendaftar dengannya dalam tempoh enam bulan.

Deal Quest akan menyediakan syarikat-syarikat peluang untuk menarik pelaburan dari kedua-dua pemodal teroka tempatan dan serantau (VC) dan peserta ekuiti persendirian (PE) menerusi platform dalam talian yang mudah dan cekap.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, ketua pegawai eksekutif Datuk Badlisham Ghazali berkata dalam persekitaran berdaya saing yang kompetitif pada masa ini, ahli perniagaan mendapati adalah sukar untuk menonjol dan menarik pelabur.

"Pelabur bukan hanya mahukan pulangan pelaburan dalam tempoh tiga tahun pertama tetapi turut mengenakan syarat ketat ke atas syarikat.

"Jadi, menerusi Deal Quest, kekangan ini dapat dikurangkan kerana syarikat-syarikat ini akan terdedah kepada perangkaian VC dan peserta PE yang telah ada untuk menyokong mereka," tambah beliau.

Platform pelaburan seumpama ini telah diperkenalkan dan digerakkan oleh MDeC sejak 2008. Ia telah meraih lebih RM130 juta urus niaga, dan berjaya membiayai lebih 70 syarikat setakat 2012.

Beliau berkata platform itu pertamanya akan menapis 'peringkat pertama maklumat' berkaitan syarikat dan memastikan setiap satunya diarahkan ke VC dan PE yang sesuai, sekali gus membolehkan hubungan lebih baik antara kedua-dua calon dan pelabur.

Berita lanjut: BERNAMA

Isnin, 7 Oktober 2013

PUNB Sasar Hasilkan 643 Usahawan Tahun Ini

3 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 7 Okt ,2013- Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasar untuk menghasilkan sejumlah 643 usahawan di bawah inisiatifnya pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dzulkifli Fadzilah.

"Setakat ini, RM200 juta telah diperuntukan dan RM170 juta daripadanya sudahpun dibelanjakan untuk menghasilkan 360 usahawan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis taklimat khas 'Program Perantis dan Usahawan Muda PUNB' di sini hari ini.

Beliau berkata sektor yang mendapat peruntukan itu ialah sektor pemborongan yang merangkumi aspek lebih luas untuk membina rangkaian bekalan dan sektor peruncitan yang terbahagi kepada automotif, perkakasan serta bidang pakar iaitu kedoktoran, pergigian, seni bina dan jurutera.

"PUNB mempunyai pembiayaan kewangan seperti Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA), Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Pemborong, Skim Prosper Teras dan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana yang boleh membantu usahawan Bumiputera.

"Untuk PUMA, kami mempunyai sasaran untuk menghasilkan 200 orang usahawan tahun ini dan kami telahpun capai seramai 132 orang usahawan.

"Jumlah peruntukan pula, PUNB menyasarkan RM10 juta dan kami telah mengagihkan RM8.6 juta," kata beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengalu-alukan pembabitan golongan muda dalam program Perantis dan Usahawan Muda PUNB.

Beliau berkata pembabitan mereka akan dapat menangani masalah pengangguran.

Berita lanjut : BERNAMA

Jumaat, 4 Oktober 2013

Clixster Terus Buka Ruang Bantu Bumiputera Terlibat Dalam Bidang Telekomunikasi

28 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 3 Okt, 2013 - Pengendali rangkaian talian mudah alih maya (MVNO), Clixster Mobile Sdn Bhd, terus membuka ruang kepada lebih ramai Bumiputera untuk terlibat dalam bidang telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Clixster Mobile Noor Azlan Khamis berkata setakat ini penglibatan Bumiputera hanya sebanyak 10 peratus.

Setakat ini Clixster telah menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Bhd (Angkasa) yang bernaung dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan untuk tujuan itu, katanya pada sidang media bagi pengumuman pakej baharu Extravaganza.

"Clixster memberi peluang kepada Bumiputera untuk menjadi pengedar, termasuk dalam kalangan peniaga burger, bagi menambah pendapatan," katanya.

Pakej baharu itu yang menggunakan konsep mampu milik dan berbaloi, sesuai dan dapat mengurangkan beban pengguna akibat kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

Syarikat telekomunikasi tersebut turut menyasarkan peningkatan bilangan pengguna ketika ini daripada 300,000 kepada 500,000 pengguna sempena mesyuarat perwakilan Umno pada 19 Okt ini.

Sebanyak 200,000 kad sim permulaan percuma akan diedarkan kepada 146,500 perwakilan Umno sempena pemilihan parti, termasuk 40,000 anggota Angkasa yang merupakan perwakilan parti itu.

Berita lanjut : BERNAMA

Isnin, 23 September 2013

Usahawan Harus Diberi Peluang Membangun Sendiri

17 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 22 Sept, 2013- Kerajaan-kerajaan boleh membantu syarikat permulaan tanpa mengganggu asas keusahawanan, kata Bowei Gai, Pengasas Laporan Permulaan Dunia.

"Kerajaan-kerajaan boleh memberi bantuan menerusi dana, kemudahan dan publisiti, tetapi harus membiarkan usahawan yang telah berjaya mengendalikan program-program ini.

"Beri kepercayaan kepada usahawan berpengalaman kerana mereka tahu bantuan apa yang diperlukan oleh usahawan tempatan," katanya kepada Bernama.

Daripada lawatannya ke 28 negara untuk mempelajari ekosistem permulaan tahun ini, beliau gembira mendapati kebanyakan kerajaan menyokong usahawan muda.

"Sayangnya banyak yang mencuba, tetapi hanya sebilangan yang berjaya," katanya.

Selepas mengkaji beberapa syarikat permulaan perintis di seluruh dunia, beliau memahami mengapa ini terjadi.

"Keusahawanan bermula dengan individu, pada peringkat akar umbi.

"Usahawan yang baik tidak pernah merungut dan sentiasa menemui cara untuk mengatasi kekangan untuk berjaya. Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai semangat ini, tidak akan berjaya, tidak kira berapa banyak bantuan yang diberikan kerajaan," kata Gai.

Gai baru sahaja menghabiskan lawatannya ke Malaysia dalam usaha mengetahui lebih dalam dan melaporkan tentang scenario permulaan di luar Lembah Silikon.

Beliau juga mencadangkan kerajaan-kerajaan untuk memudahkan bakat asing untuk mendapatkan visa kerja.

"Ini akan menjadikan negara ini satu destinasi permulaan, bukan kehilangan bakat pemula. Bakat akan mengikuti peluang," katanya.

Menurut Gai, lawatan ke Malaysia adalah satu peluang hebat dan beliau mendapat kejutan yang menggembirakan apa bila melihat komuniti keusahawanan yang rancak di sini.

Berita lanjut: BERNAMA

Ahad, 22 September 2013

Insentif Khas Diperlukan Untuk Penubuhan Cyberjaya Valley

16 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 21 Sept, 2013- Dalam pewujudan Cyberjaya Valley, pelabur budiman dan pemodal teroka harus ditarik menerusi insentif khas, kata seorang pelabur, Steven Koskie.

"Satu permulaan yang baik ke arah menarik pelabur asing ialah dengan memberi insentif khas atas tenaga kerja, tanah, serta cukai import dan eksport.

"Ia akan menjadikannya menarik untuk pelabur budiman dan pemodal teroka untuk datang dan menjadi perintis di Cyberjaya Valley," katanya kepada Bernama.

Koskie, Pengasas Bersama Dipdive.com juga merupakan anggota Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IAP), menasihatkan Perdana Menteri Malaysia mengenai teknologi dan strategi penciptaan kekayaan.

Beliau berkata, Malaysia tidak menghadapi masalah kekurangan idea dan teknologi.

"Masalahnya ialah kekurangan model modal teroka yang kukuh untuk membawa idea dan teknologi ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Koskie berkata usahawan juga perlu meluaskan perniagaan mereka ke luar Malaysia.

"Untuk keluar dari Malaysia, mereka memerlukan dana dan kenalan. Malaysia mempunyai banyak perkara unik yang membuatkannya mendahului lain-lain negara membangun dan tiada sebab mengapa ia tidak boleh bersaing untuk dana ini," tambah Koskie yang datang ke Malaysia semenjak 10 tahun lepas.

Mengenai Sidang Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 (GES2013) daripada 11-12 Okt, Koskie berkata kerajaan Malaysia harus mengambil kesempatan daripada ciri-ciri ini dan memanfaatkannya.

"Pintu terbuka luas untuk mula membina sebuah komuniti modal teroka. Is adalah sesuatu yang akan menarik mereka. Jika kita bermula sekarang, kita akan melihat perkembangannya dalam masa enam bulan hingga setahun," katanya.

GES2013 akan melihat penyertaan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Sumber berita: BERNAMA

Kerajaan Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan Menerusi FKPMK

16 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 21 Sept, 2013- Kerajaan berhasrat melahirkan lebih banyak usahawan belia menerusi Forum Kebangsaan Pemimpin Muda dan Keusahawanan (FKPMK), di samping mengatasi sasaran 5,000 usahawan yang ditetapkan di bawah 1Malaysia Entrepreneur (1MeT), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

1MeT ialah salah satu inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Kewangan bagi membantu usahawan muda memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Ahmad berkata FKPMK merupakan platform terbaharu yang diwujudkan oleh kerajaan dalam mendedahkan usahawan belia mengenai kepentingan kepimpinan dan keusahawanan.

"Ini tahun pertama FKPMK diadakan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dari pelbagai pihak. Kami berhasrat untuk menjadikan acara ini secara tahunan.

"Kesemua usahawan muda (yang telah berjaya dilahirkan setakat ini) akan dikumpulkan untuk menyertai Sidang Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 (GES2013) pada bulan hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum tersebut yang diadakan di sini, hari ini.

Menurutnya, FKPMK merupakan pra-majlis GES2013, acara antarabangsa yang bakal menyaksikan para pemimpin dunia, penyelidik dan usahawan berkumpul untuk berkongsi pengalaman, menjana idea dan berbincang mengenai bidang keusahawanan.

Berita lanjut: BERNAMA

Jumaat, 20 September 2013

Kursus Mampu Bantu Tingkat Prestasi Usahawan

14 Zulkaedah 1434

KOTA KINABALU, 19 Sept , 2013- Kerajaan yakin kursus-kursus keusahawanan mampu meningkatkan prestasi usahawan tempatan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hamisa Samat.

"Pembangunan usahawan merupakan agenda nasional dan terpulanglah kepada usahawan untuk memanfaatkannya.

"Semuanya bergantung kepada usahawan untuk berubah dan memantapkan ilmu dan kemahiran berniaga. Kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, malah perlu memberikan perhatian kepada usaha membentuk usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus Kontraktor Mencuci Bangunan dan Membersihkan Kawasan, di Kota Kinabalu Khamis.

Seramai 34 peserta menyertai kursus tiga hari anjuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri itu.

Menurut Hamisa yang juga Wakil Rakyat kawasan Tanjong Batu, usahawan Bumiputera perlu mampu bertahan dan bersaing meskipun berhadapan persekitaran ekonomi yang perlahan yang tidak menyokong pengembangan perniagaan mereka.

"Kejayaan masa hadapan terletak di tangan para peserta untuk membentuk dan melakar kejayaan yang akan dikenang oleh generasi datang. Setiap peluang di depan mata haruslah direbut dan jangan sesekali mensia-siakan peluang itu," katanya.

Beliau berkata untuk berjaya peniaga perlu lebih berdisiplin dan sentiasa bersikap proaktif, inovatif dan kreatif dalam perniagaan di samping tidak mengabaikan risiko perniagaan.

Berita lanjut: BERNAMA

Khamis, 12 September 2013

Bumiputera Perlukan Lebih Akses Kepada Pembiayaan Untuk Berkembang Maju

7 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 12 Sept, 2013- Bumiputera memerlukan lebih akses kepada pembiayaan untuk memudahkan mereka mengembangkan perniagaan, kata pemilik syarikat perunding perhubungan awam.

Dengan akses yang lebih baik kepada pembiayaan, syarikat Bumiputera boleh berkembang dan seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi, kata Datuk Mahadzir Lokman kepada Bernama.

"Usaha untuk meningkatkan penyertaan Bumi dalam ekonomi telah lama dilaksanakan dan sebagai seorang Bumi, saya berharap sekali ini, perlaksanaannya berkesan sepenuhnya agar semua Bumi boleh mendapat manfaatnya," kata beliau.

Mahadzir ditemui di luar acara majlis penutup Forum Dasar Global (GPF) Perikatan bagi Rangkuman Kewangan (AFI) 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan dasar untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam sektor ekonomi negara, terutamanya dalam ekuiti, pemilikan hartanah dan modal insan Sabtu ini.

Mahadzir berkata Bumiputera seharusnya bersyukur dengan dasar yang akan diumumkan oleh kerajaan hujung minggu ini.

"Insentif yang diberikan kerajaan khusus untuk kita, bukan Bumiputera tidak akan dapat," kata beliau.

Beliau berkata objektif dasar-dasar ini boleh dicapai sekiranya semua pihak berganding bahu, minda dan tenaga serta belajar dari bukan Bumi yang boleh lagi berjaya walaupun tanpa banyak bantuan kerajaan.

Berita lanjut: BERNAMA

Usahawan Kampung Dapat RM 400 Ribu Setahun Dari Hasil Kelapa

6 Zulkaedah 1434

MARANG, 11 Sept, 2013- Industri kampung seperti membuat kuih, keropok, menghasilkan batik, songket atau lain-lain di halaman rumah tidak boleh dipandang enteng kerana usaha itu boleh menembusi pasaran yang lebih luas dan mampu menjana pendapatan lumayan seandainya sanggup bekerja keras.

Seorang usahawan, Suri Abdul Ghani, 43, dari Kampung Batangan, Seberang Marang di sini yang mengusahakan produk manisan kelapa (gula melaka), kini boleh berbangga apabila hasil usahanya telah menembusi pasar raya di seluruh Terengganu sehingga mampu mencatatkan jualan sehingga RM400,000 setahun.

"Perusahaan membuat manisan kelapa ini saya mulakan bersama suami sejak 10 tahun lalu setelah mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa yang mengusahakannya sebelum itu.

"Selain manisan, kami juga membuat dodol daun palas dan kandi kelapa (manisan pulut)," katanya ketika ditemui Bernama di sini Selasa.

Suri yang mempunyai lima orang anak berumur antara sembilan hingga 22 tahun hasil perkongsian hidup dengan suaminya Mohd Kahni Habsu, 47, menjelaskan sebelum ini beliau pernah membuat pelbagai kerja namun semuanya tidak memberi kepuasan yang hanya sebagai 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Menceritakan mengenai perusahaannya, Suri yang dibantu suami dan anak-anak selain enam pekerja tetap serta 10 pekerja sambilan, berkata beliau mempunyai dua bengkel membuat manisan berhampiran rumahnya.

Katanya, sekeping manisan asli dijual pada harga RM4 manakala manisan yang telah dicampur dengan 10 peratus gula dijual pada RM1.60 sekeping.

Beliau berkata manisan kelapa yang diusahakan syarikatnya kini boleh didapati di beberapa pasar raya di negeri itu seperti pasar raya Sabasun, pasar raya Seri Intan, Mydin Mall, pasar raya Tunas Manja dan pasar raya Nirwana di negeri ini dan juga sekitar Kuantan, Pahang.

Beliau berkata ramuan utama membuat manisan ialah air nira kelapa yang diperoleh dari ladangnya seluas 1.21 hektar.

"Sebenarnya, saya tidak susah untuk mendapatkan air nira kerana saya ada kebun kelapa sendiri manakala 0.8 hektar lagi akan mengeluarkan hasil (air nira) tidak lama lagi," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Rabu, 11 September 2013

PKS Wajar Guna ICT Untuk Maksimum Keuntungan

5 Zulkaedah 1434

KOTA KINABALU, 10 Sept, 2013- Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memaksimumkan keuntungan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata PKS perlu meneroka ICT, yang boleh memberikan mereka akses kepada maklumat mengenai permintaan pasaran.

"Syarikat-syarikat yang berjaya mempunyai akses kepada maklumat dengan memanfaatkan ICT. PKS boleh memperoleh pelbagai maklumat berguna untuk memajukan lagi perniagaan mereka," katanya pada Persidangan Perniagaan PKS 2013 di sini Selasa.

Beliau juga berkata ICT boleh mengurangkan kos operasi PKS yang tinggi untuk menjalankan perniagaan.

"Menjalankan perniagaan dalam talian merupakan usaha yang menguntungkan, terutama menerusi Pakej Internet yang menarik oleh pembekal perkhidmatan telekomunikasi," kata Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri.

Sumber berita: BERNAMA

Selasa, 10 September 2013

Bumiputera Lebih Tertumpu Pada Perniagaan Berskala Kecil

4 Zulkaedah 1434
MELAKA, 9 Sept, 2013- Sasaran penguasaan ekonomi Bumiputera sebanyak 30 peratus masih belum tercapai berikutan kebanyakan orang Melayu lebih tertumpu kepada perniagaan berskala kecil, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Beliau berkata orang Melayu banyak tertumpu kepada perniagaan seperti peruncitan, kedai makan dan restoran berbanding kaum Cina terlibat dalam perniagaan berskala besar yang mampu memberi perolehan yang jauh lebih tinggi.

Penglibatan kaum Bumiputera dalam sektor peruncitan, pembuatan, perkhidmatan dan restoran di Melaka pada 41.11 peratus berbanding kaum lain iaitu 58.89 peratus.

"Kaum Melayu di Melaka banyak melibatkan diri dalam perniagaan kantin iaitu 70.35 peratus diikuti perniagaan menjaja meliputi penjaja pasar malam, penjaja statik, dan penjaja bergerak sebanyak 63.18 peratus," katanya ketika merasmikan Konvensyen Memperkasakan Ekonomi Melayu Melaka 2013 di MITC, di sini, Isnin.

Konvensyen dua hari dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka antara lain bagi membincang aspek pencapaian, peluang dan kerjasama dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata perniagaan kedai makan atau restoran juga mencatatkan peratusan tinggi iaitu 49.09 peratus berbanding sektor perindustrian yang amat rendah terutamanya dalam bidang yang melibatkan modal serta kemahiran yang tinggi.

"Contohnya, jika penglibatan kaum Cina adalah sebanyak 72.60 peratus dalam bidang penjualan aksesori kenderaan atau motor, tetapi hanya 20.06 peratus sahaja orang Melayu yang menceburi bidang ini," katanya.

Beliau berkata pemikiran masyarakat Melayu perlu diubah dan mempunyai hala tuju dengan mengambil kira keperluan semasa bagi membolehkan penyertaan mereka dalam bidang perniagaan mencapai sasaran penguasaan 30 peratus.

Selain itu, katanya daya tahan individu juga perlu dipertingkatkan dalam menentukan kemajuan, keupayaan dan kecemerlangan perniagaan yang diterokai sejajar dengan keadaan pada masa kini yang begitu kompetitif dan tanpa sempadan.

"Pembudayaan pemikiran keusahawanan juga perlu diterapkan sejak dari awal lagi dan anggapan bahawa perniagaan membawa kepada penipuan, riba, hutang, pendapatan yang tidak menentu serta nilai negatif lain harus ditukar kepada memuliakan golongan usahawan dengan nilai yang positif," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...