Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, January 27, 2012

Bagaimana Meningkatkan Penyertaan Pelajar Ke Aliran Sains?

4 Rabiulawal 1433

Berita tentang kurangnya pelajar yang berminat ke aliran sains tidak memberikan kesan kejutan kepada penulis. Ini kerana isu ini bukannya baru dan ianya telahpun ada pada zaman penulis di bangku persekolahan lagi. Ianya lebih kritikal bagi pelajar-pelajar berbangsa Melayu amnya yang mungkin disebabkan kurangnya kesedaran. Bila tiada kesedaran, mana nak datangnya minat.

Isu ini kembali hangat apabila statistik menunjukkan aliran penurunan ini semakin ketara. Namun dari segi pembuat dasar, janganlah mudah berputus asa dengan aliran semasa, sebaliknya merangka suatu inisiatif yang lebih inovatif bagi membendung aliran semasa yang agak kurang enak ini.

Sebagai contoh, mungkin kementerian pelajaran boleh memperkenalkan biasiawa penuh bagi pelajar-pelajar yang berminat menyertai aliran sains ini. Ini termasuklah elaun bulanan, elaun tuisyen, buku-buku rujukan,baucar sana baucar sini dan sebagainya. Penulis yakin kesan positif akan ditunjukkan dalam jangkamasa yang singkat. Selamat Mencuba.

@MyIktisat

Thursday, January 26, 2012

Manfaat KR1M Kepada Pengguna

2 Rabiulawal 1433


Oleh Kurniawati Kamarudin & Siti Fatihah Awang(Bernama)

KUALA LUMPUR, 26 Jan , 2012- Puas hati, murah, dan dapat kurangkan perbelanjaan barang dapur. Malahan layanan para pekerjanya juga adalah mesra pelanggan.

Itu antara pandangan orang ramai berhubung Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) yang dilancarkan sejak enam bulan lepas.

Kewujudan KR1M dilihat banyak membantu golongan sasar iaitu penduduk di kawasan bandar yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa mengenepikan kualiti barangan.

Setakat ini, KR1M bukan sahaja dikunjungi oleh golongan berpendapatan rendah, malahan oleh pelbagai golongan yang ingin mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah.

PANDANGAN PENGGUNA

Bagi pegawai bank, Halim Harun, 47, dari Taman Melawati, Gombak, beliau memilih KR1M untuk membeli barang keperluan setelah membuat perbandingan harga di beberapa buah pasaraya.

Beliau yang mula mengunjungi KR1M di Pasar Wangsa Maju, Seksyen 4 sejak tiga bulan lepas berpuas hati dengan harga barangan yang terdapat di kedai KR1M terutama harga beras yang lebih murah berbanding pasaraya lain.

"Sebelum ini saya banyak membaca komen yang negatif tentang KR1M, jadi saya datang sendiri untuk melihat sejauh mana kebenaran tersebut dan kali pertama saya menjejakkan kaki datang ke sini, saya terus suka," kata Halim kepada Bernama.

Membeli sebanyak dua kali sebulan di sini, beliau berkata barangan KR1M lebih murah antara 10 dan 30 peratus antaranya buah laici dalam tin, sardin dalam tin, air mineral, sabun pencuci, beras dan banyak lagi.

"Kami sekeluarga dapat mengurangkan perbelanjaan barangan dapur sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding sebelumnya," katanya.

Secara keseluruhan, beliau amat berpuas hati dengan apa yang terdapat dalam KR1M termasuk layanan mesra yang diberikan oleh pekerja di KR1M yang sangat membantu ketika membuat pemilihan barang.

"Seharusnya KR1M dimanfaatkan pengguna memandangkan peningkatan kos sara hidup masa kini, kerana kita tahu banyak keperluan lain harus diutamakan seperti pendidikan anak," katanya.

KUALITI TIDAK MENGHAMPAKAN

Seorang lagi pengguna, Tan, 40-an turut mengakui harga yang terdapat di KR1M jauh lebih murah berbanding yang terdapat di pasaraya dan kualitinya juga tidak mengecewakan.

Beliau, yang tinggal di Setapak, sanggup datang ke kedai KR1M Wangsa Maju dengan menaiki bas setiap bulan untuk membeli barang keperluan dapur.

"Untuk barangan produk KR1M memang murah berbanding yang dijual di pasaraya, bagi barangan biasa yang bukan jenama KR1M, harga yang ditawarkan di sini lebih kurang sama dengan harga yang terdapat di pasaraya," katanya.

Mana mungkin untuk mendapatkan kualiti yang sama seperti barangan yang terdapat di pasaraya besar, namun jenama KR1M tidak seteruk yang disangkakan dan ia sesuai dengan harga yang ditawarkan, katanya.

"Saya biasa beli dalam kuantiti yang banyak tiap bulan, memang jimat. Kalau barang makanan dalam tin, tak jauh beza rasanya, macam sardin. Beras pun memang saya beli di sini sebab murah dan rasanya pun sama," katanya.

"Jika di pasaraya harga beras 10 kilogram dalam RM25 lebih, tapi di sini, RM18.90 sahaja dan paling mahal pun RM22," katanya.

"Saya akui perbelanjaan isi rumah semakin meningkat dan sebagai seorang pelajar, saya harus berjimat cermat untuk memastikan ia tidak melebihi bajet. Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia kerana melahirkan KR1M yang banyak membantu kami semua terutama pelajar seperti saya," Ujar Khairul Azwan, 24 tahun.

BOLEH DIPERBAIKI

Bagaimanapun usaha untuk membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah itu masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

Menurut Linda, yang ditemui di KR1M Bandar Tun Razak, banyak barangan yang telah habis lambat diganti dengan stok baru.

Beliau yang datang untuk membeli sardin, tidak dapat berbuat demikian kerana ketiadaan stok.

"Selain itu saya dapati, di KR1M Bandar Tun Razak ne, stoknya agak kurang dan ini juga menyebabkan ramai penduduk di sekitar kawasan flat berhampiran tidak membeli di sini," katanya.

Namun, katanya, langkah membuka kedai KR1M di lokasi yang sesuai terutama di kawasan penduduk berpendapatan rendah sangat baik dan ia harus diperbanyakkan untuk membantu meringankan beban rakyat, katanya.

PENGGUNA BUAT PILIHAN

Bukan hanya golongan berpendapatan rendah, malah beban dari peningkatan kos sara hidup terutama kenaikan harga barang keperluan harian turut dirasakan oleh golongan pertengahan.

Mengatur perbelanjaan dengan berjimat cermat termasuk membandingkan harga yang lebih murah adalah cara terbaik menangani peningkatan kos hidup, menurut Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata pengguna perlu mengambil peluang yang diberikan kerajaan melalui KR1M untuk mengurangkan perbelanjaan kos barangan dapur.

"Pengguna harus memanfaatkan KR1M dan jika mereka berbelanja secara berhemah di sini, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan 20 peratus perbelanjaan dapur setiap bulan," katanya

Bukan sahaja baik untuk pengguna, ia adalah jalan terbaik untuk menghapuskan peniaga yang menjalankan penipuan termasuk menjual barang yang tidak elok serta tiruan, kerana di KR1M barang-barang dinilai dan dipantau terlebih dahulu sebelum dijual kepada pengguna.

Mengulas isu kualiti, beliau berpendapat pengguna harus memahami, kualiti yang dijual tentunya tidak sama dengan yang dijual di pasaraya, namun pengguna mempunyai pilihan sama ada untuk membeli yang berjenama lain dengan harga yang lebih mahal atau jenama KR1M dengan harga yang lebih murah.

"Sebab itu saya katakan pengguna harus bijak menggunakan kuasa mereka. Jika mereka berkemampuan, mereka boleh beli yang di pasaraya, namun jika mereka rasa tidak mampu, boleh memilih barangan KR1M. Namun bila sudah murah, janganlah kita mengharap kualitinya seperti barang yang mahal, tentu ada perbezaannya," katanya.

Nadzim berharap, barangan di KR1M akan diperluaskan kepada jualan barang-barangan basah seperti ikan, ayam, buah-buahan atau sayur-sayuran agar rakyat benar-benar mendapat manfaat.

"Saya juga mahu cadangkan agar kerajaan tentukan bekalan barang keperluan seperti minyak, tepung, yang dijual di KR1M dikekalkan harganya. Sekiranya KR1M boleh import sendiri barang-barang keperluan tanpa orang tengah ia lebih baik dan sudah tentu harga yang dijual jauh lebih rendah lagi," katanya.

Selain itu, beliau berharap pengguna sentiasa menggunakan saluran yang betul sekiranya ada sebarang aduan melalui persatuan pengguna termasuk PPIM.

INISIATIF KERAJAAN

KR1M yang pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Jun lepas berkonsepkan kedai runcit yang menjual barangan keperluan asas seperti beras, minyak, susu tepung, lampin pakai buang dan banyak lagi dan dipek dengan jenama "Kedai Rakyat 1 Malaysia".

Setakat ini, terdapat 250 jenis barangan yang dijenamakan dengan jenama ini dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa.

"KR1M dibangunkan dengan konsep menjual barangan keperluan pada harga rendah tanpa mementingkan jenama barangan, namun kualiti barangan tetap diutamakan. Harga barangan yang dijual di KR1M ditetapkan antara 30 peratus dan 50 peratus lebih rendah berbanding jenama popular lain," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Antara kelainan yang turut terdapat di Kedai Rakyat 1 Malaysia ini adalah menjual pelbagai barangan yang dibungkus semula dalam kuantiti yang lebih kecil bagi membolehkan pengguna yang berpendapatan rendah masih dapat membeli barangan itu berdasarkan kemampuan dan keperluan.

Untuk memastikan kualiti barangan yang dijual di KR1M terjamin dan memenuhi standard yang ditetapkan, KPDNKK dengan kerjasama kementerian Kesihatan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa oleh unit pemantauan khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kerajaan telah mensasarkan 85 premis KR1M dibuka di seluruh negara sehingga tahun 2012. Daripada jumlah itu, 25 buah KR1M akan dibuka sehingga akhir tahun 2011 manakala baki 60 buah KR1M dalam tahun 2012.

Sumber- BERNAMA

Friday, January 20, 2012

TM Sasar 360,000 Pelanggan UniFi Tahun Ini

26 Safar 1433

KUALA LUMPUR, 20 Jan, 2012- Telekom Malaysia Bhd (TM) menyasar mencapai 360,000 pelanggan tahun ini bagi perkhidmatan jalur lebar kelajuan tinggi premiumnya, UniFi.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Seri Zamzamrani berkata tahun lepas kumpulan itu mencatatkan 250,000 pelanggan yang melanggan Unifi.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Perjanjian Intergriti Pemerolehan baharu TM, beliau berkata tahun ini, 1.3 juta premis akan diluluskan bagi liputan berbanding 1.1 juta pada 2011.

Bagi UniFi, TM akan terus menumpukan kepada kawasan impak ekonomi tinggi seperti Lembah Klang dan Iskandar Malaysia serta kawasan perindustrian dan universiti.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, melancarkan Perjanjian Integriti TM itu.

Turut hadir semasa pelancaran tersebut ialah pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie dan presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Perjanjian Integriti itu merupakan satu perjanjian bagi TM dan vendornya untuk mengelak daripada memberi suapan, subahat dan amalan rasuah lain, dalam memastikan ketelusan dan pertanggungjawapan terutamanya semasa proses pemerolehan.

Perjanjian itu menggariskan hak dan obligasi TM dan vendor ketika melaksanakan kontrak yang diberi.

Ia juga menekankan bahawa sebarang pelanggaran kepada perjanjian itu akan membawa kepada hukuman tegas termasuk penamatan kontrak, disenarai hitam, tuntutan ganti rugi jumlah tertentu serta pelakuan itu akan dilapor kepada SPRM.

Zamzamrani berkata tadbir urus korporat TM adalah antara yang terbaik di negara ini dan syarikat itu sentiasa menambah baiknya mengikut penanda aras global.

Sumber- Bernama

TM Yakin Capai 1.3 Juta Premis Sedia Guna Khidmat Unifi

25 Safar 1433

IPOH, 19 Jan , 2012- Telekom Malaysia Berhad (TM) yakin dapat mencapai sasaran 1.3 juta premis siap sedia dipasang untuk menggunakan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), UniFi sebelum hujung tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa.

Beliau berkata TM berjaya melepasi sasaran 1.1 juta yang ditetapkan tahun lepas dan pada masa ini TM berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Jumlah itu juga adalah berdasarkan permintaan yang baik daripada pengguna... kita mendapat jumlah tempahan perkhidmatan antara 1,200 dan 1,500 setiap hari.

"Faktor pemilihan kawasan pula bergantung kepada keperluan daripada segi ekonomi di mana sebagai permulaan kita memberi tumpuan kepada zon perindustrian dan kawasan sekitar," katanya pemberita selepas Majlis Pelancaran HSBB negeri Perak di sini Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyempurnakan majlis itu.

Pada masa ini UniFi ditawarkan di 78 kawasan di zon-zon ekonomi dan perindustrian utama termasuk Lembah Kelang, Cyberjaya, Putrajaya, Kulim Hi-Tech Park dan kawasan perindustrian Bayan Baru yang melibatkan jumlah 1.16 juta buah premis.

Selain itu, UniFi turut ditawarkan di 62 kawasan di Lingkaran Dalam Lembah Kelang, Nusajaya di Iskandar Malaysia serta kawasan perindustrian di seluruh negara iaitu satu di Melaka, Pulau Pinang (3), Kedah (2), Johor (8) dan masing-masing satu di Kedah dan Perak.

Zamzamzairani berkata, TM dijangka menandatangani perjanjian dengan 20 syarikat pemaju tahun ini untuk menjalankan pemasangan perkhidmatan.

"Tahun lalu TM telah mengikat perjanjian dengan 11 syarikat pemaju," katanya.

Sementara itu, TM menjangkakan lebih 70 peratus isi rumah di Perak menggunakan perkhidmatan HSBB menjelang hujung 2012.

Zamzamzairani berkata, setakat hujung tahun lepas, UniFi ditawarkan kepada lebih 4,200 premis sedia dipasang di 14 kawasan perumahan yang disambungkan ke ibu sawat TM di Tasek.

"Pada masa ini tahap penembusan isi rumah di negeri ini adalah sekitar 52 peratus melepasi sasaran sebanyak 50 peratus tahun lepas," katanya.

Sumber- BERNAMA

Wednesday, January 18, 2012

Kedai Koperasi Diminta Jangan Guna Orang Tengah Dapatkan Bekalan Barangan

24 Safar 1433


KUALA LUMPUR, 17 Jan , 2012- Semua kedai runcit koperasi diminta supaya tidak menggunakan khidmat orang tengah bagi mendapatkan bekalan barangan tetapi mendapatkannya terus daripada pusat pengedaran bagi mengelakkan kenaikan harga barangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai contoh mereka boleh mendapatkan bekalan daripada sebuah pusat pengumpulan di Subang Jaya milik Felda Trading dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diwujudkan untuk mengawal kenaikan harga barangan.

"Apabila Felda trading mengeluarkan dan membeli produk dengan begitu banyak bagi pusat pengumpulan itu, para pelanggan iaitu kedai-kedai runcit koperasi perlulah membeli bekalan barangan itu.

"Kalau kedai koperasi masih lagi nak beli daripada orang tengah, inisiatif Felda Trading (untuk mengawal kenaikan harga barangan) tidak akan berjaya. Oleh itu kedai koperasi mesti sokong," katanya ketika merasmikan Seminar Pemborongan dan Peruncitan Koperasi 2012 di sini.

Ismail Sabri berkata harga barang tinggi adalah disebabkan orang tengah yang mengaut keuntungan daripada peruncit dan seterusnya membebankan rakyat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyerahkan surat pelantikan kepada 19 koperasi yang menyahut saranan untuk menjadi pusat pengedaran kecil.

Beliau berkata untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak terpinggir daripada menikmati harga barangan harga jimat, dua pusat pengedaran akan dibuka di Bintulu dan Miri di Sarawak serta tiga di Sabah iaitu Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Tawau tahun ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mensasarkan 140 kedai koperasi dan 100 koperasi dalam pemborongan barangan akan terlibat dalam program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini berbanding 126 kedai koperasi dan 71 koperasi dalam pemborongan barangan tahun lepas.

 Sumber- BERNAMA

Monday, January 16, 2012

'Pinjaman Islam' Sepatutnya Tidak Membebankan


21 Safar 1433


MASYARAKAT Islam yang ingin membuat pinjaman melalui Islamic loan perlu berhati-hati dan teliti ketika menandatangani surat perjanjian jual beli dan pinjaman daripada bank komersil. Ada beberapa perkara yang kita tidak nampak atau tidak diberitahu secara jelas peraturan-peraturan yang ditulis yang kemudiannya akan menjadikan peminjam muflis 'dengan mudah.' Syarat seseorang diisytihar muflis oleh kerajaan Malaysia haruslah hutangnya lebih daripada RM30,000.

Secara sedar atau tidak sedar, perkataan 'Islam' yang dinamakan di dalam pinjaman juga boleh mengakibatkan 'si peminjam' kehilangan harta yang dimiliki walaupun harta tersebut mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman jika dibandingkan dengan pinjaman secara 'konvensional'.
Bagi institusi perbankan di Malaysia yang mengamalkan pinjaman secara Islam, mereka akan melakukan 'akad' yang menyatakan jumlah pinjaman secara pukal (yang dimaksudkan ialah sejumlah pinjaman yang dikenakan kepada peminjam jika membayar secara ansuran hingga penghujung tahun pinjaman yang dipohon).

Dalam nota perjanjian juga ada menyatakan sejumlah pinjaman yang akan dibayar oleh si peminjam dari awal bulan ke bulan akhir tahun pinjaman tersebut. Di sinilah bermulanya 'masalah' yang ditanggung oleh si peminjam yang membuat pinjaman Islam 'jika' tidak memahami konsep Yahudi dalam bayangan 'Pinjaman Secara Islam'.

Perbezaan pinjaman 'konvensional' dan pinjaman secara Islam ialah akad. Pinjaman konvensional tiada lafaz akad. Dalam pinjaman secara Islam, apabila 'akad' dibuat, maka sejumlah pinjaman penuh disebutkan.
Contohnya, jika harga rumah yang dibeli adalah RM400,000 dan setelah dikira (mengikut kiraan 'Islam' bagi bank tersebut) maka jumlah pinjaman sebenar menjadi RM950,000. Maka si peminjam harus menyebut dan setuju untuk 'lafaz akad' menerima jumlah hutang sebenar itu (RM950,000) dan inilah yang dinamakan oleh pihak bank sebagai 'Pinjaman Berasaskan Islam'.
Perbezaan jika kita membuat pinjaman 'konvensional' dengan jumlah yang sama, kiraannya masih lebih kurang sama jika si peminjam membuat bayaran setiap bulan dan sehingga bayaran akhir.
Secara jelas, hutang harus dibayar. Malah agama Islam mewajibkan setiap umatnya menyelesaikan semua hutang-piutang yang dibuat 'jika mampu' untuk membayarnya walaupun secara beransur-ansur.
Saya mempunyai rakan - seorang usahawanita yang berjaya meyakinkan pengilang dan pembeli dari luar negara untuk berurus niaga dengannya. Perniagaannya berjalan hampir lima tahun tanpa memerlukan pinjaman dari mana-mana bank.

Oleh kerana untuk bersama-sama memartabatkan kewangan Islam, usahawanita ini dan suaminya telah membuat pinjaman bagi membeli rumah yang diidamkan di sekitar Ampang, Selangor dengan harga sekitar RM400,000 dengan menggunakan tiga nama ahli keluarganya sebagai peminjam dan penjamin dengan bayaran bulanan RM1,700.

'Pinjaman perumahan secara Islam' di salah sebuah bank yang bukan dimiliki orang Islam itu nampaknya turut membebankan.

Bermula pertengahan tahun 2010, musibah telah menimpa peniagaannya. Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, akibat dari masalah kekacauan dan pemberontakan rakyat di negara rakan niaga usahawanita ini maka penghantaran barangan diminta dihentikan sementara sehingga negaranya stabil dan ini mengakibatkan usahawanita ini kehilangan punca pendapatan dan bayaran ansuran bagi pinjaman perumahan mula tertunggak serta tidak mampu untuk dibayar.

Namun, usahawanita ini tidak mengelak diri malah bekerjasama jika pihak bank menghubunginya. Oleh kerana masalah bayaran pinjaman sudah tertunggak hingga mencecah enam bulan, pihak bank menggunakan kuasa untuk mengambil tindakan memufliskan si peminjam, walaupun pinjaman tertunggak hanya kira-kira RM30,000. (syarat untuk tindakan memufliskan peminjam/penjamin).
Pihak bank telah bertindak memufliskan dua orang peminjam (anak dan suaminya yang namanya ada di dalam surat perjanjian) bagi pembelian rumah itu.

Ia juga atas 'kesilapan' usahawanita ini kerana tidak ke mahkamah bagi tujuan pembelaan, maka hukuman muflis telah dijatuhi ke atas dua penama dengan setiap orang dikenakan kadar muflis sebanyak hampir RM750,000 seorang atau bersama.

Persoalannya, pinjaman secara 'Islam' ini yang baru dibuat empat tahun itu dengan setiap bulan pinjaman telah dibayar, sehinggalah pada 12 bulan kebelakangan ini (bermulanya tertungak pembayaran pinjaman), apakah hutangnya sudah mencecah RM750,000?

Setakat pengetahuan saya, dalam perundangan Malaysia, rumah yang dibeli atas nama pinjaman haruslah dilelong terlebih dahulu. Setelah berjaya dijual, ditolak pula hutang dan 'jika' masih tidak mencukupi untuk menampung hutang yang berbaki, barulah diambil tindakan selanjutnya iaitu proses pembankrapan.
Namun, kes yang melibat usahawanita ini dilihat tidak adil kerana harga pasaran rumahnya adalah sekitar RM950,000.

Pihak Bank Negara Malaysia kena melihat kes ini dan dibuat kajian di atas sifat 'pinjaman perbankan Islam' ini. Apa yang kita fahami, pinjaman secara Islam agak susah untuk memufliskan peminjam. Apakah kerana ia ditadbir oleh bank yang dimiliki oleh bukan Islam, terma-terma perbankan mengikut syariah Islam boleh dimanipulasi?

Janganlah di sebalik ungkapan pinjaman secara 'Islam' tetapi berlaku tindakan licik institusi perbankan untuk merampas harta- harta orang Islam yang menghadapi masalah membuat bayaran balik pinjaman. Kepada bakal-bakal peminjam baru yang ingin membuat pinjaman secara Islam di bank, berhati-hatilah dan bacalah berulang kali surat perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.

Sumber:Utusan Online

Saturday, January 14, 2012

Isu QSR: Laksanakan Pengambilalihan Tersembunyi Jika Berminat

20 Safar 1433

Oleh:Bancik

Kemelut saham cap ayam berlaku lagi. Kali ini ayam bukan sebarang ayam. Ini ayam yang menjadi kegemaran rata-rata rakyat Malaysia. Isu ini berlaku apabila QSR bakal diswastakan secara sepenuhnya dan dikeluarkan daripada Bursa. Maka yang ruginya pula kali ini ialah pelabur-pelabur di Malaysia di mana akan berkurang lagi syarikat yang berkualiti.

Maka timbul pula desakan dikalangan pengusaha dan rakyat beragama Islam jika syarikat berkenaan dikuasai oleh pihak asing. Pihak pemegang sekarang memberi maklum balas bahawa mereka masih memegang kuasa majoriti . Namun apa yang musykil ialah lebih 1 % sahaja iaitu nisbah 51:49, apa benda nye?

namun pihak yang memegang sekarang seolah kekal tidak mahu menjual kepada pihak lain walaupun harga yang ditawarkan adalah tinggi. Namu sebagai pelabur runcit, inilah masanya anda menunjukkan suara anda semua juga perlu didengar oleh pemegang saham besar. Antara yang boleh dilakukan ialah dengan menjual secara tesembunyi kepada pihak yang boleh memberikan harga tawaran yang lebih tinggi di pasaran.

Di pihak pembeli pula ianya bolehlah dianggap sebagai kaedah "hostile takeover" iaitu pengambilalihan secara tersembunyi. Jika anda amat berminat dengan ayam, maka sudah tentulah anda sanggup membayarnya asalkan anda berasa objektif anda tercapai seperti mana peminat ayam serama yang membeli ayam yang diminati. Namun kosnya adalah agak tinggi berbanding biasa.

Jika pihak yang berminat mahu lebih mudah, mereka boleh lakukan kaedah serampang dua mata iaitu dibuat secara bersendiket. Sebagai contoh , Dewan perniagaan yang berminat sebelum ini boleh mengambil alih syarikat induk QSR (Harga penutup 13 Jan 2012-RM 6.51) , manakala pihak yang bekerjasama seperti Felda dan Tabung Haji boleh membeli saham anak syarikat QSR iaitu KFC(Harga penutup 13 Jan 2012-RM 3.82). Jika ini boleh dilakukan, pihak yang berminat boleh menguasai syarikat cap ayam berkenaan.

Selamat mencuba.

@MyIktisad

Monday, January 2, 2012

Salleh Majid Meninggal Dunia: Negara Kehilangan Seorang Lagi Tokoh Ekonomi

7 Safar 1433


KUALA LUMPUR, 2 Jan, 2012 - Bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini Bursa Malaysia) Datuk Mohd Salleh Abdul Majid meninggal dunia hari ini akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang.

Mohd Salleh, 62 meninggal dunia kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini dengan anggota keluarga terdekat berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Menurut anggota keluarga, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah ibunya di Lot 1055, Jalan Haji Mokhtar, Kampung Pasir, Hulu Kelang, dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham menjadi presiden BSKL pada 1996 dan bersara daripada badan itu pada 2003.Sesungguhnya beliau adalah seorang yang tidak lokek untuk memberikan pandangan terhadap isu-isu ekonomi terkini.

Dunia kewartawanan pastinya kehilangan seorang tokoh ekonomi yang sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi semasa walaupun telah meninggalkan dunia pasaran saham hampir sembilan tahun yang lalu.

Mohd Salleh, 62, yang menghembuskan nafas terakhir hari ini, kerap ditemu bual media massa apabila melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan seperti Belanjawan tahunan, pasaran saham dan sebagainya.

Allahyarham meninggal dunia akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Ahli Kehormat Persatuan Bahasa, Mohd Salleh juga turut mempunyai kolumnya sendiri di beberapa akhbar tempatan bagi melontarkan pandangan beliau berkaitan isu-isu ekonomi terkini.

Selain Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.

"Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka," katanya dalam salah satu ruangannya.

Agak digeruni wartawan, beliau yang lebih dikenali sebagai "Salleh Majid" sentiasa mahukan perkongsian pandangan secara dua hala di mana wartawan harus bersedia untuk disoal semula oleh beliau.

Lebih gemar berinteraksi secara tidak formal ketika ditemu bual, kadangkala beliau akan bertanya semula kepada wartawan dengan soalan: "Kau faham tak apa yang aku cakap ni."

Memperoleh Master of Business Administration dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971, Mohd Salleh memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.

Setelah berkhidmat dalam sektor awam selama kira-kira enam tahun, Allahyarham kemudiannya memasuki sektor swasta dengan memulakan kariernya sebagai Pengurus, Udasaha Management Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UDA.

Allahyarham bersama rakan-rakan di sebuah syarikat konsultasi kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan satu cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan sebuah Bursa Saham Islam di negara ini.

Sumber- BERNAMA

Penulis mengucapkan takziah kepada mereka. Bagi penulis arwah adalah salah seorang personaliti di bidang ekonomi yang sering diikuti perkembangannya dari segi penulisan dan idea-ideanya.Negara sekali lagi kehilangan seorang tokoh ekonomi Islam yang berkebolehan.Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama dikalangan roh orang - orang yang beriman. Ameen....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...