Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, April 23, 2011

Bagaimana Menjadi Usahawan Yang Berjaya?

Bila kita bercakap tentang keusahawanan, agak jarangkali kita cuba memahami ertinya.Keusahawanan bukan sekadar  "memulakan perniagaan" malahan ianya perlu dilihat dari sudut yang  lebih luas.  Definisi keusahawanan ialah ianya perlu melalui satu proses di mana individu mengenalpasti peluang, memperuntukkan sumber daya, dan mencipta nilai.

Nilai ini perlulah yang dapat memberi manfaat, tidak hanya dari segi nilai komersial malah melangkaui tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Pembentukan nilai ini dibentuk rentetan daripada melalui pengenalpastian keperluan yang belum dipenuhi atau melalui pengenalpastian sebarang peluang untuk dilakukan perubahan.

Setiap usahawan sewajarnya melihat "masalah" sebagai "peluang," kemudian mengambil tindakan untuk mengenal pasti penyelesaian masalah dan mengenalpasti pelanggan yang akan membayar untuk masalah tersebut dirungkaikan.Ini penting sebagai langkah pertama untuk kita menjadi usahawan yang berjaya.

Friday, April 22, 2011

Kenali Modal

Modal boleh ditakrifkan dari pelbagai sudut yang mana istilah ini kebanyakannya digunapakai di dalam konteks perniagaan. Secara umum, modal ialah suatu bentuk pengumpulan aset atau atau pemilikan. Lebih terperinci:

Modal adalah terdiri daripada sejumlah dari tunai serta  aset-aset  lain yang dimiliki oleh perniagaan. Aset-aset perniagaan ini termasuklah loji, bangunan, peralatan, tanah, penghutang dan sebagainya.

 Aset-aset perniagaan ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan pendapatan dengan melakukan pelbagai aktiviti pelaburan bagi meningkatkan nilai.Modal juga boleh diwakili oleh pengumpulan  kekayaan perniagaan, diwakili oleh aset-aset yang ditolak daripada tanggungan atau hutang perniagaan.
Dalam perniagaan, modal juga boleh dirujuk sebagai  saham atau pemilikan entiti perniagaan.


Saturday, April 16, 2011

BN Menang Majoriti 2/3 Pilihanraya Negeri Sarawak

Menurut sumber berita melalui TV3, Barisan Nasional(BN) telah berjaya mendapatkan majoriti 2/3 pada jam 9.55 malam sebentar tadi. Kemenangan ini sekali memberi mandat kepada BN untuk meneruskan sekali lagi pemerintahan di Negeri Bumi Kenyalang berkenaan.

Sesungguhnya kemenangan ini bakal memberikan kestabilan politik yang berterusan , seterusnya memberikan impak ekonomi yang positif sekurang-kurangnya dalam satu lagi penggal pemerintahan di Sarawak. Sebagai salah satu negeri yang dianggap deposit tetap oleh BN, Sarawak dijangka akan terus mendapat manfaat ekonomi dan menikmati pertumbuhan yang pesat dalam jangka masa panjang dan sederhana.

Namun, tumpuan berikutnya bakal tertumpu kepada pelan peralihan kuasa di Sarawak . Ini berikutan pengumuman yang dibuat sebelum ini oleh pucuk pimpinan BN terhadap pelan berkenaan.

Apakah Itu Aset?

Aset boleh ditakrifkan sebagai setiap item nilai ekonomi yang dimiliki oleh seorang individu atau korporat, khususnya yang boleh ditukar menjadi tunai. Contoh yang boleh dikaitkan di sini seperti tunai, surat atau sekuriti boleh niaga, penghutang, stok atau inventori, peralatan pejabat, hartanah, kenderaan, dan harta yang lain mengikut ciri-ciri yang tertentu.

Dari segi persamaan perakaunan , aset adalah sama dengan modal(terdiri daripada saham), digabungkan dengan tanggungan/liabiliti/hutang dan keuntungan.Dengan kata lain : Aset = Modal + Liabiliti + Untung. Aset boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu aset ketara dan aset tak ketara.

Aset Ketara

Aset ketara, ialah aset yang boleh nampak dengan mata kasar dan mempunyai nilai yang jelas. Ianya dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu aset semasa dan aset tetap.

Aset semasa ialah aset yang mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu kurang daripada 1 tempoh perakaunan( 1 tahun). Antara contoh aset ini ialah seperti wang tunai, penghutang, inventori dan sebagainya.

Aset Tetap pula ialah set yang mempunyai jangka hayat yang melebihi daripada satu tempoh perakaunan. Antara contoh aset-aset yang jatuh dalam kategori ini ialah bangunan, mesin, loji dan sebagainya mengikut ciri-ciri yang berkenaan.

Aset Tak Ketara

 Aset tak ketara ialah aset yang tidak boleh nampak secara jelas dan mempunyai penilaian yang agak subjektif. Ianya dapat diilustrasikan  contoh seperti tanda dagangan, paten, hak cipta , nama baik dan sebagainya.

Monday, April 11, 2011

Sanggupkah Anda Berbelanja RM 13,000 Untuk Hidangan Ikan Patin ?

BERNAMA hari ini telah melaporkan bahawa ada pelanggan yang terpaksa membayar sebanyak RM 13,000 yang telah menjamu hidangan berkenaan untuk 50 orang di sebuah restoran di Temerloh. Sesungguhnya penulis berpendapat, jumlah berkenaan agak keterlaluan walaupun ianya melibatkan jenis-jenis ikan patin yang tertentu.

Sebenarnya, isu ini bukan isu baru bahkan pernah dilaporkan sebelum ini. Isu sekarang ialah kegagalan penguatkuasaan terhadap peraturan meletakkan tanda harga. Kesan negatif dalam insiden ini pula bakal merosakkan kempen pelancongan kekawasan berkenaan dan memberikan imej yang negatif kepada hidangan ikan berkenaan.

Jika tiada usaha bagi menjernihkan isu ini, lambat laun industri berkenaan akan mendapat kesan yang negatif dalam jangkamasa yang panjang. Yang rugi ialah penternak dan nelayan yang terlibat secara langsung dari segi aspek pengeluaran hasil berkenaan. Namun ada baiknya kementerian yang berkenaan mendedahkan nama restoran berkenaan untuk mengelakkan pelanggan lain pula yang terjerat.

Usahawan Kecil Perlukan Kemahiran Menguruskan Kewangan

Sering diperkatakan bahawa, kebanyakan usahawan kecil dibelengu masalah menguruskan kewangan. Ini adalah kerana mereka mempunyai kekangan kewangan untuk mengupah akauntan-akauntan atau pekerja khusus dalam urusan berkenaan.

Namun begitu kekangan tersebut dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa menerusi pembelajaran secara berterusan. Banyak koleksi bacaan dikedai-kedai buku yang boleh diperolehi, atau menggunakan internet untuk mempelajari pelbagai terminologi penting dalam urusan kewangan.

Dengan adanya kepelbagaian sumber maklumat dan pengetahuan, maka tiada sebab lagi para usahawan kecil yang baru berjinak dalam bidang perniagaan gagal memahami cara menguruskan kewangan.Apa yang penting.. "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih..."

Saturday, April 9, 2011

Kita Mudah Ditipu

Penulis hanya mampu menggeleng kepala apabila membaca berita di akhbar tentang penipuan skim pelaburan yang mempropagandakan pelaburan halal. Dalam skim ini, sentimen Islam digunapakai bagi mengaburi mangsa. Memang jelas di dalam Al Quran ada menegaskan tentang golongan-golongan yang menggunakan ayat-ayat Allah untuk keuntungan dunia yang sedikit.

Apa yang menyedihkan, ada pelabur yang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit kerana begitu yakin terhadap pelaburan berkenaan.Dengan kata lain, pelabur-pelabur beragama Islam dikhianati sekali lagi dan sekali lagi ditipu. Dari segi aspek lain juga mungkin kerugian ini disebabkan sifat tamak para pelabur itu sendiri.

Sebagai contoh, adalah amat melampau jika kita melabur hanya RM 1 dengan mengharapkan pulangan sebanyak RM 1000, iaitu sebanyak 100,000%. Lebih lebih lagi,dalam islam , pengambilan keuntungan yang amat melampau adalah ditegah sama sekali.

Benarlah kata pepatah bahawa  "Jerat tidak pernah lupakan Pelanduk" dan pengajarannya ialah, "'orang tamak selalu rugi".

Friday, April 8, 2011

Dilema Usahawan Kecil

Dalam meneruskan cita-cita sebagai usahawan, sudah semestinya mereka yang terlibat akan menempuh segala macam cabaran dan rintangan.Namun apa yang penting bagi mereka yang ingin menjadi usahawan ialah dengan membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, disiplin yang tinggi, khidmat pelanggan , pengurusan kewangan dan sebagainya.

Kebanyakan usahawan kecil amat mahir dari segi produk dan pengurusan pelanggan. Namun begitu tidak ramai yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menguruskan kewangan, terutamanya dari segi aspek menguruskan aliran wang tunai. Aspek yang sering diketepikan ialah perniagaan dan pemilik adalah dua entiti yang perlu dibezakan.

Pemilikan dan perniagaan perlu diuruskan secara professional. Segala kemasukan wang peribadi perlu dianggap penambahan modal kepada perniagaan, manakala setiap pengeluaran wang perniagaan bagi tujuan kegunaan pemilik secara peribadi perlulah direkodkan sebagai ambilan.Inilah dilema yang sering dialami oleh kebanyakan para usahawan kecil yang baru berjinak di dalam perniagaan.

Untuk berjaya, para usahawan tidak mempunyai pilihan selain daripada membezakan kedua-dua aspek berkenaan. Jika ini dapat dilakukan, ini adalah langkah pertama dalam mencapai kejayaan.

Pengenalan

Blog ini diilhamkan dengan tujuan memberi peluang dan  perkongsian pengetahuan berkenaan aspek - aspek perekonomian dan kewangan. Ianya lebih sesuai dengan minat penulis sendiri didalam bidang ini serta agar isu-isu tertentu di dalam bidang berkenaan dapat dikupas dan dikongsi bersama. Ianya bakal ditulis di dalam bahasa Kebangsaan Malaysia agar lebih ramai golongan yang menggunakan bahasa berkenaan mendapat manfaat, berbanding dengan blog yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara. Selain daripada itu blog, artikel dan portal berita perekonomian dan kewanganyang menggunakan bahasa Inggeris  sudah terlalu banyak terdapat di alam maya dan di media cetak yang lain.

Beberapa siri berkenaan topik tertentu yang berkaitan tentang perekonomian dan kewangan akan juga dikongsi disini. Setidak-tidaknya ianya bakal memberi peluang kepada para pembaca di blog ini memahami beberapa perkara serta isu khusus yang bakal dibincangkan dengan bahasa yang lebih mudah dan santai.Namun begitu, pembaca perlu membuat penilaian sendiri kerana apa yang diutarakan disini kebanyakannya berdasarkan kepada pemahaman, pengetahuan dan pendapat dari perspektif penulis.

Dengan adanya blog ini, penulis berharap agar bahasa bukan lagi halangan bagi setiap orang untuk memahami pengetahuan ini.Selain daripada itu apa yang penting ialah pengetahuan yang diperolehi di sini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan dikongsi semula dengan orang lain serta menjurus ke arah kebaikan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...