Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, September 30, 2013

PPNT Keluar Baja Sawit Khas Untuk Penanam Kelapa Sawit Negeri Terengganu

24 Zulkaedah 1434

KUALA TERENGGANU, 28 Sept , 2013- Penanam kelapa sawit di Terengganu dijangka memperoleh hasil yang lebih tinggi dengan penggunaan baja bioorganik (BO2) keluaran Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), yang dihasilkan melalui kajian dan penyelidikan (R&D) intensif.

Pengurus Besar PPNT Shawalludin Ahmad berkata baja tersebut akan dijual pada harga RM47 satu beg seberat 25 kilogram dalam masa terdekat.

"PPNT melakar satu lagi sejarah kejayaan apabila melancarkan produk BO2 iaitu baja biooganik khas untuk tanaman kelapa sawit. Kita telah melakukan kajian terperinci," katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Shawalludin berkata hasil kajian mendapati penggunaan baja ini secara berterusan dapat meningkatkan hasil sawit dan menjadikan industri sawit lebih lestari berbanding penggunaan baja kimia yang boleh mencemarkan alam sekitar dan pemanasan global.

Baja ini dirumus khas untuk sistem nutrien tumbuhan yang efisien untuk tanaman kelapa sawit dan formasinya diolah mengikut tanah di negeri ini, katanya.

Beliau berkata baja berkenaan dipertingkatkan kandungan kalium dan magnesium jika dibandingkan dengan baja BO2 dari Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

"Ini kerana kebanyakan tanah di Terengganu contohnya tanah di Kuala Berang, Jerangau, Bungor kurang unsur magnesium," katanya.

Shawalludin berkata kandungan nutrien magnesium, bahan penting untuk pokok sawit, dalam baja tersebut dipertingkatkan kepada tiga peratus serta tambahan 21 peratus kalium kerana kebanyakan jenis tanah di Terengganu berpasir.

"Nutrien kalium amat penting untuk pembentukan buah dan isirong," katanya sambil menambah bahawa baja BO2 dilancar di Terengganu sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri minggu lepas.

Baja ini juga mengandungi 30 peratus bahan organik yang penting untuk meningkatkan kualiti tanah.

Katanya tanaman sawit di kawasan berpasir dan juga di kawasan berbukit biasanya kekurangan karbon dan penggunaan baja bioorganik ini dapat meningkatkan bahan organik dalam tanah dan sekaligus meningkatkan kualiti dan kesuburan tanah.

Berita lanjut: BERNAMA

Gofocus Eksport Biodelima Ke Indonesia Mac 2014

24 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 28 Sept, 2013- Gofocus International Sdn Bhd (Gofocus), pengeluar produk makanan kesihatan berasaskan buah delima bakal menembusi pasaran Indonesia pada Mac 2014 dengan sasaran jualan tahunan mencecah RM10 juta.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gofocus, Rumawi Kasolan berkata produk syarikat dengan label BioDelima itu dijangka mampu mencapai sasaran jualan tersebut berdasarkan permintaan dan jumlah penduduk di negara berkenaan.

"Kita mendapat permintaan yang banyak mengenai produk ini malah ada yang berminat untuk menjadi rakan niaga dan networking produk BioDelima," katanya kepada pemberita selepas pelancaran dua produk terbaharu syarikat itu, Bio Delima Stem Cell dan Bio Delima Gold di sini Sabtu.

Beliau berkata syarikat itu juga yakin sasaran jualan sebanyak RM6 juta bagi pasaran tempatan pada tahun ini mampu dicapai berdasarkan beberapa faktor termasuk pelancaran dua produk terbaharu itu dan pembukaan keanggotaan untuk rangkaian pengedar pada awal bulan ini.

BioDelima yang diusahakan oleh syarikat Bumiputera itu sejak dua tahun lepas, kini mempunyai 10 jenis produk yang kesemuanya berasaskan buah delima, katanya.

"Sehingga kini, kita mempunyai 500 orang rangkaian pengedar di seluruh negara walaupun keanggota baharu dibuka pada awal September dan dijangka mencapai 1,000 orang pada hujung tahun ini," katanya.

Rumawi berkata selain Indonesia, produk milik syarikat itu juga boleh didapati di Brunei dan sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran negara Thailand dan Filipina.

Berita lanjut: BERNAMA

Malaysia Kenal Pasti Bidang Strategik Erat Hubungan Dengan Amerika Syarikat

24 Zulkaedah 1434

NEW YORK, 29 Sept , 2013- Malaysia telah mengenal pasti beberapa bidang strategik dan pelaburan yang perlu dipereratkan lagi kolaborasinya dengan Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia perlu menambah pengetahuan mendalam dalam bidang berkenaan untuk membantu memperkasakan lagi usaha dan proses ke arah mencapai impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York dari 22 hingga 29 Sept yang disifatkannya sebagai lawatan yang membawa banyak tujuan dan maksud.

Katanya lawatan bertujuan supaya langkah yang diambil Malaysia di peringkat global dapat dipadankan dengan matlamat induk negara untuk melakukan transformasi terhadap Malaysia.

Antara bidang strategik itu ialah teknologi maklumat (IT), bioteknologi dan peranan sains dan teknologi yang boleh digunakan oleh Malaysia untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan dan pembelajaran sains dan teknologi.

"Begitu juga dalam proses inovasi, bagaimana kita boleh ke arah untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah 'knowledge economy' semestinya bergantung kepada kemampuan kita untuk melakukan inovasi," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam lawatan kali ini, beliau juga memberi galakan kepada syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat untuk mempertingkatkan pelaburan mereka di Malaysia bukan sahaja sahaja dari segi kuantitinya tetapi juga dari segi penerapan teknologi baharu.

Mengenai ucapannya pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-68 Sabtu yang menggesa masyarakat antarabangsa supaya bersatu menentang puak pelampau yang menggunakan alasan agama untuk melakukan keganasan, Perdana Menteri berkata ucapannya itu meliputi ruang lingkup yang lebih luas.

Katanya ia bukan sahaja dari sudut Malaysia dan kepentingannya tetapi apakah sumbangan Malaysia ke arah usaha untuk memberi sumbangan kepada kedamaian dan kemajuan dunia dan penyelesaian kepada permasalahan dan konflik yang sedang melanda beberapa buah negara, terutama negara Islam.

"Kini kita lihat permasalahan yang begitu mencabar kepada negara-negara Islam dan dunia Islam. Oleh kerana itu amat penting sekali pemimpin negara-negara Islam memberi sumbangan mereka dan menyatakan pendirian mereka apakah yang perlu dilakukan untuk mencari punca-punca yang boleh membawa penyelesaian kepada permasalahan dan konflik dalam dunia Islam," katanya yang turut menggesa masyarakat antarabangsa membantu menyelesaikan secara adil konflik di Syria dan Palestin.

Ditanya tentang sambutan pemimpin lain terhadap gesaan beliau pada persidangan itu, Najib berkata selepas menyampaikan ucapannya, ramai daripada mereka berjabat tangan dengannya untuk menyampaikan ucapan tahniah.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap ucapan tersebut sebab ia tidak membatasi kepada soal dalam Malaysia sahaja tetapi memberi beberapa pandangan dan idea dan sumbangan dalam konteks yang lebih luas lagi mengenai masalah dunia dan masalah dunia Islam," kata beliau.

Ditanya mengenai siri perjumpaan beliau dengan komuniti pelabur, pedagang, ahli korporat dan ahli sains Amerika di San Francisco dan New York, Najib berkata penjelasan beliau kepada mereka mengenai usaha transformasi yang dilakukan oleh Malaysia juga mendapat sambutan amat menggalakkan.

"Ada antara mereka yang bisik kepada saya, teruskan apa yang telah dan sedang dilakukan kerana mereka yakin pelan dan agenda transformasi dibuat kerajaan Malaysia itu amat baik dan amat sesuai bukan sahaja dari sudut kepentingan Malaysia.

"Kerana kita bersikap untuk membawa masuk pelabur dari luar, mereka juga boleh melibatkan diri memainkan peranan melibatkan diri dalam proses transformasi Malaysia dan peluang untuk mereka itu adalah semakin luas oleh kerana kita mempunyai perancangan yang begitu besar dan bersifat terbuka dan global," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Saturday, September 28, 2013

Brahim's Airline Berharap Dapat Jadi Katerer Bagi Malindo Air Tahun Depan

22 Zulkaedah 1434

PUTRAJAYA, 27 Sept, 2013- Brahim's Airline Catering Sdn Bhd menyasar menjadi katerer dalam penerbangan bagi Malindo Air apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) siap tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ainul Hasnizam Abu Hassan.

Beliau berkata Brahim's Airline Catering yakin ia dapat membekalkan hidangan makanan bagi syarikat penerbangan itu memandangkan pengalamannya selama 30 tahun dalam industri katering.

"Kami sedang berbincang dengan mereka dan berpeluang baik untuk memperoleh kontrak tersebut," katanya kepada pemberita selepas pembentangan hidangan makanan Jepun halal yang disediakan oleh Brahim's Airline Catering bagi Malaysia Airlines.

Ainul berkata syarikat itu ketika ini menyediakan khidmat katering bagi 14 penerbangan harian AirAsia X.

"Dengan model perniagaan ini, saya rasa kami boleh menawarkan tawaran yang baik bagi Malindo.

"Brahim's Airlines Catering mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyediakan kepada keperluan Malindo kerana dapur kami boleh menyediakan kira-kira 55,000 hidangan makanan sehari. Kami sekarang menyediakan 50,000 hidangan makanan sehari, jadi kami mempunyai lebihan kapasiti," katanya.

Mengenai hidangan makanan Jepun halal, beliau berkata makanan itu akan disajikan dalam penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Narita dan Osaka pada setengah tahun kedua tahun depan.

"Kini halal merupakan kata kunci dan perkara sangat penting bagi kami terutamanya apabila permintaan bagi makanan halal semakin meningkat.

Berita lanjut: BERNAMA

Edaran Vita Cat Rancang Keluarkan Vaksin Halal Dalam Tempoh Dua Tahun

22 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 28 Sept, 2013- Edaran Vita Cat Sdn Bhd, pengusaha tunggal makanan kucing halal di Malaysia, bakal mengeluarkan vaksin haiwan peliharaan dan ternakan yang halal untuk pasaran tempatan, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusinya Datuk Halim Baba berkata syarikat bekerjasama dengan Universiti Kasetsart, Thailand dan Kementerian Pertanian Thailand, untuk mengeluarkan vaksin ini.

"Kami merancang untuk mengeluarkannya pada tahun 2015 atas jenama Vita Vet pada harga yang lebih murah dari yang ada di pasaran sekarang," kata beliau kepada Bernama.

Halim berkata kebanyakan vaksin yang ada di pasaran sekarang ini dibawa masuk dari Thailand, Taiwan dan Itali dan biasanya datang dalam kuantiti yang besar dan mahal.

Sementara itu, syarikat juga merancang untuk mengeluarkan lima produk baharu menjelang hujung tahun ini.

Antara produk-produk yang akan dikeluarkan ialah makanan kucing berperisa ayam, kumbahan kucing menggunakan kenaf, makanan basah daging ayam dan kambing biri-biri serta semburan kucing tanpa-alahan.

Vita Cat, satu-satunya syarikat tempatan yang menghasilkan makanan halal kucing di Malaysia merupakan sebuah perusahaan kecil dan sederhana yang ditubuhkan pada 2007 dan memulakan pengeluaran dua tahun selepas itu.

Sumber berita : BERNAMA

Konsep Wassatiyah Boleh Selesaikan Banyak Masalah Dunia

22 Zulkaedah 1434

NEW YORK, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya banyak masalah dunia hari ini boleh diselesaikan jika masyarakat mengamalkan konsep kesederhanaan atau wassatiyah.

Beliau berkata jika masyarakat dan kerajaan menggunakan kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan dasar mereka, maka negara akan mempunyai masyarakat yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Amalan wassatiyah, katanya, berasaskan kepada prinsip tertentu dan nilai-nilai murni, seperti keadilan, kesaksamaan, memilih untuk berdialog daripada konfrontasi, berunding daripada berkonflik.

"Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman," katanya dalam syarahan 'The New Meetings, Moderation: The New Modernity' (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), yang ditaja bersama Council on Foreign Relations (CFR)'s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York.

Sesi itu dihoskan Fareed Zakaria dari CNN, Editor Tugas-tugas Khas Majalah TIME dan anggota Lembaga Pengarah CFR.

Anggota CFR di Washington DC, menyertai mesyuarat ini melalui persidangan video dan disiarkan secara langsung melalui laman web CFR (www.cfr.org).

Najib berkata apa yang dimahukan rakyat Malaysia dan negara lain di dunia ialah keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang boleh dicapai jika masyarakat mengamalkan keseluruhan konsep wassatiyah.

"Kita tidak pinggirkan sesiapa...jangan biarkan suara-suara melampau, perkauman dan ketaksuban menenggelamkan suara kita," katanya.

Perdana menteri berkata beliau menggalakkan Pergerakan Wassatiyah Global melalui ucapannya di seluruh dunia kerana beliau percaya bahawa masalah dalam dunia hari ini bukanlah antara penganut Kristian, umat Islam dan Yahudi tetapi sebenarnya ialah antara golongan ekstremis dan sederhana.

Najib berkata beliau mencari pakatan kerjasama dengan pihak yang mendukung kepercayaan dan prinsip serupa termasuk dari Amerika Syarikat, untuk menggalakkan dan mengukuhkan usaha ini.

Ditanya pendapatnya tentang pengebom nekad Islam semasa sesi soal jawab itu, Najib berkata beliau telah memperkatakan mengenai tindakan itu dalam ceramahnya di Universiti Oxford, United Kingdom sebelum ini bahawa Islam menentang perbuatan sedemikian.

"Islam mengajar umatnya jangan membunuh mereka yang tidak berdosa, walaupun dalam peperangan. Perbuatan itu dilarang Islam dan ia sebenarnya dilakukan oleh orang yang 'merampas' Islam dengan objektif politik mereka yang sempit dan mementingkan diri," katanya.

Oleh itu beliau menggesa media, terutama di Barat supaya tidak menggelar mereka ini sebagai pengganas Islam atau kumpulan jihad kerana mereka hanyalah puak pelampau tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

"Ada bahayanya dalam mengapi-apikan Islam-fobia di Barat. Adalah lebih baik jika media di Barat lebih arif mengenai perkara ini...mereka hanyalah pengganas daripada kumpulan tertentu," katanya.

Diminta mengulas peristiwa pengemboman 9/11 World Trade Centre di New York pada 2001, Najib berkata ia merupakan kombinasi kepada beberapa faktor.

Katanya Islam tidak pernah dikaitkan dengan keganasan dan berdasarkan fakta sejarah, penduduk di Asia Tenggara memeluk Islam dan meninggalkan agama Hindu secara aman.

 Sumber berita-BERNAMA

Wednesday, September 25, 2013

MyCC Jangka Terima Maklum Balas Dtentang Undang-undang Anti Persaingan Tidak Lama Lagi

20 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Sept, 2013- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjangka akan menerima maklum balas daripada AirAsia Bhd dan Malaysia Airlines (MAS) tidak lama lagi selepas didakwa melanggar undang-undang persaingan.

Suruhanjaya itu belum menerima apa-apa maklum balas daripada kedua-dua syarikat penerbangan selepas masing-masing didapati melanggar larangan dalam Akta Persaingan 2010, kata Pengerusi MyCC Tan Sri Siti Norma Yaakob.

"Mereka masih memikirkan tentang kesan keputusan itu, tetapi kami mendapat laporan mereka tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada Persidangan Undang-Undang Persaingan MyCC di sini hari ini.

Pada 6 Sept, MyCC memutuskan bahawa berikutan pelanggaran Seksyen 4 (2) (b) Akta, suruhanjaya itu akan mengenakan penalti kewangan RM10 juta masing-masing, ke atas AirAsia dan MAS.

MyCC telah memberi syarikat-syarikat penerbangan itu 30 hari untuk hari untuk berhujah, sama ada secara lisan atau bertulis, mengapa mereka tidak boleh dikenakan denda RM10 juta setiap satu.

Mengenai saranan AirAsia agar MyCC menyiasat entiti yang bersifat monopoli, seperti Malaysia Airports Holdings Bhd, Siti Norma berkata: "Sebenarnya, kami akan lambat laun melihat kepada MAHB."

Sementara itu, beliau berkata, jawatan kuasa itu menunggu maklum balas daripada Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia mengenai rancangannya untuk menaikkan caj pengangkutan sebanyak 15 peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

Cagamas Terbit Kertas Komersial Islam RM500 Juta

20 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Sept, 2013- Perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, mengumumkan penerbitan Kertas Komersial Islam (ICP) tiga bulan bernilai RM500 juta, menjadikan jumlah terbitannya bagi tahun ini hampir RM3 bilion, lapan peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

ICP tersebut akan diterbitkan di bawah struktur Murabahah Komoditi Islam dan hasil daripada terbitan itu akan digunakan bagi membiayai pembelian pembiayaan Islam daripada sistem kewangan, kata Cagamas dalam satu kenyataan.

Kertas komersial itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya selepas kematangan, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, berkedudukan sama rata sesama sendiri dan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat.

"Walaupun sentimen pasaran masih berhati-hati dengan hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September, ICP kami mendapat permintaan kukuh daripada pelabur apabila ia dua kali terlebih langgan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Chung Chee Leong.

Keyakinan pelabur terhadap profil kredit Cagamas terbukti apabila kertas itu dilanggan sepenuhnya pada harga sangat kompetitif meskipun keadaan pasaran tidak menentu, katanya.

Cagamas merupakan penerbit terbesar sekuriti hutang ditaraf AAA di Malaysia.

Sumber berita : BERNAMA

Malaysia Punyai Prospek Cerah Bagi M&A (Penggabungan Dan Pengambilalihan)

19 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kroll, peneraju global dalam pengurangan dan respons risiko hari ini menyatakan Malaysia mempunyai prospek cerah dalam penggabungan dan pengambilalihan.

Ia berkata negara terus mencatatkan angka ekonomi kukuh, purata 5.5 peratus pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dari 2000 hingga 2008 dan 4.0 peratus dalam tahun-tahun seterusnya susulan krisis global.

Surat berita suku tahunan terbaharu syarikat itu 'Spotlight Asia' bagi pengamal penggabungan dan pengambilalihan menumpukan kepada peluang dan cabaran melabur di Malaysia, satu daripada destinasi pelaburan utama Asia Tenggara.

Ia berkata tumpuan utama adalah pada sektor perkhidmatan kewangan negara, industri utama kepada ekonomi negara dan kejayaan sosial.

"Pengiktirafan daya tahan sektor ini telah membawa kepada peningkatan penggabungan dan pengambilalihan dalam ruang perkhidmatan kewangan ketika pemeroleh serantau dan antarabangsa menyasar mengukuhkan kehadiran di destinasi sibuk di Asia Tenggara ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kroll bagi Asia Tenggara, Penelope Lepeudry berkata Malaysia merupakan pusat kewangan serantau yang berkembang pesat dengan rangkaian pencegahan pengubahan wang haram yang dibangunkan dengan baik.

"Berbanding dengan rantau itu, kerajaan dilihat sebagai lebih aktif memerangi penipuan kerana ia telah menubuhkan atau memudahkan pelaksanaan agensi anti penipuan," katanya.

Beliau juga berkata persekitaran kawal selia Malaysia juga semakin bertambah baik sejak kebelakangan ini, mewujudkan persekitaran lebih kondusif bagi pelabur asing untuk menjalankan perniagaan.

Berita lanjut: BERNAMA

Asean Akan Capai Sebahagian Besar Kesediaan Untuk Aec

19 Zulkaedah 1434

BANGKOK, 24 Sept, 2013 - Negara anggota Asean akan dapat merealisasikan sebahagian kesediaannya untuk membentuk Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Dari segi persiapan, kita tak akan dapat 100 peratus kesediaan, namun sebahagian besarnya akan tercapai," katanya selepas menamatkan lawatan tiga hari ke sini bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Thailand, pada Isnin.

Minggu lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kecuali Singapura, negara anggota Asean lain belum bersedia untuk penyepaduan, dan negara anggota yang miskin perlu dibenarkan untuk mengekalkan perlindungan ekonomi masing-masing.

Malah negara anggota lebih kaya pun belum bersedia sepenuhnya untuk AEC, kata Mahathir seperti yang dilaporkan oleh harian berbahasa Inggeris Thailand, Nation, dan menambah Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura dari segi kesediaan untuk AEC.

Mustapa berkata dari segi persediaan mengurangkan halangan tarif, ia hampir siap dan boleh tercapai menjelang 2015, sementara bagi persediaan untuk halangan bukan tarif, Asean sudah mula mengadakan perbincangan untuk mengurangkannya.

Beliau menjelaskan halangan berbentuk bukan tarif wujud walaupun pasaran dibuka, namun masih ada barangan sensitif bagi anggota ASEAN seperti beras dan arak.

Halangan bukan tarif bagi arak bertujuan menjaga sensitiviti negara Islam, katanya.

Beliau berkata dari segi perkhidmatan pula, Asean telah membuka pasaran untuk syarikat perkhidmatan, dengan anggota Asean melabur di negara anggota Asean yang lain.

Dari segi perhubungan, perkhidmatan udara semakin baik namun belum selesai, perhubungan jalan raya semakin baik manakala perkapalan pula baik.

"Pada 2015 kita nak barang-barang sesama anggota Asean bergerak lebih pantas dari segi sudut tidak ada halangan bukan tarif dan juga kita cuba gunakan standard yang sama di negara Asean," katanya.

Faedah yang diharapkan ialah bertambahnya perdagangan dan pelaburan antara negara ASEAN supaya meningkatkan prestasi ekonomi dan menjadikan negara anggota Asean sebagai destinasi yang lebih baik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Tahun lepas, negara anggota ASEAN menarik US$110 bilion FDI.

Berita lanjut: BERNAMA

Wakaf Terpinggir Dalam Sistem Kewangan Islam

19 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 24 Sept, 2013- Wakaf merupakan bahagian yang hilang dalam sistem kewangan Islam Malaysia meskipun negara menjadi peneraju pasaran dengan pelbagai produk dan perkhidmatan canggih.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abd Ghani berkata: "Malaysia mempunyai daripada produk simpanan paling mudah hinggalah kepada sukuk serta banyak produk canggih bagi pelabur institusi, pelanggan korporat, usahawan kecil dan sederhana dan individu.

"(Tetapi) apa yang tidak ada dalam pasaran hari ini ialah wakaf secara komersial," katanya kepada pemberita di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-10 (KLIFF 2013) di sini, Selasa.

Wakaf ialah amalan menyerahkan harta wakaf kepada pihak pentadbir bagi tujuan amal dan kepentingan umum.

Badlisyah berkata untuk menempatkan wakaf dalam pasaran kewangan, perlu ada rangka kerja undang-undang yang kondusif yang akan membolehkan pemerbadanannya dengan secara efektif.

 "Jika kita ada undang-undang ini, kelaknya, wakaf boleh menjadi komponen pasaran kewangan Islam yang lebih besar, seperti di era kegemilangan tamadun peradaban Islam sebelum ini," katanya.

Sumber berita: BERNAMA

Malaysia Kekal Peneraju Sukuk Global

19 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 24 Sept , 2013- Malaysia kekal sebagai peneraju sukuk global, dengan sukuk terkumpul melebihi US$148 bilion pada Jun 2013, yang mewakili 60.4 peratus daripada jumlah sukuk global.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu mencerminkan pertumbuhan pesat Malaysia dalam sukuk berbanding hanya US$1.5 bilion sukuk global pada 2001

"Dengan persekitaran kondusif bagi urus niaga sukuk, saya yakin Malaysia memiliki segala yang diperlukan untuk menarik lebih banyak institusi dari semua rantau yang mahu meneroka pasaran kewangan Islam Malaysia dan mudah tunainya," katanya pada perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF 2013) ke-10 di sini Selasa.

Beliau berkata pujian harus diberikan kepada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, tokoh-tokoh Syariah dan masyarakat industri kewangan Islam atas usaha mereka untuk membawa pasaran kewangan Islam Malaysia ke tahap tinggi semasa.

Beliau berkata ini sejajar dengan wawasan komprehensif dan progresif pasaran kewangan Islam, yang telah berkembang secara berperingkat-peringkat sepanjang 30 tahun lepas.

Muhyiddin berkata dalam mengembangkan industri kewangan Islam, Malaysia perlu meneliti dan mengkaji semula perbezaan yang wujud bagi memastikan ia dapat diselesaikan dengan lebih baik dan lebih mudah diterima.

"Integriti, kredibiliti dan kecekapan merupakan faktor kejayaan utama dalam membangunkan rangka kerja Syariah dan tadbir urus. Walaupun wujud perbezaan dalam peraturan Syariah, ia sepatutnya tidak menjadi isu utama selagi ia disokong oleh hujah-hujah dan kaedah undang-undang yang diiktiraf," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kekurangan pakar berkelayakan dalam kewangan Islam merupakan faktor yang mengekang inovasi produk dan perkhidmatan baharu di kebanyakan negara.

"Oleh itu, pelaburan dalam membangunkan sumber-sumber utama industri mesti dipertingkat. Kesedaran pasaran yang semakin meningkat terhadap potensi besar yang boleh ditawarkan oleh kewangan Islam, juga amat diperlukan, dan ini boleh dilakukan melalui penyelidikan, pendidikan dan latihan," katanya.

Berita lanjut : BERNAMA

Tuesday, September 24, 2013

Khazanah Terima Anugerah Global Bagi Kepimpinan Inovasi Berwawasan

18 Zulkaedah 1434

SAN FRANCISCO, 23 Sept, 2013- Khazanah Nasional Berhad, dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia, menerima anugerah global bagi kepimpinan inovasi berwawasan daripada Frost & Sullivan, firma perunding perniagaan global, atas usaha perintis yang dilakukan Khazanah sebagai pemangkin dan penggerak ekonomi di Malaysia.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf peranan kepimpinan Khazanah mentransformasikan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs), mengembangkan jenama Malayia di peringkat serantau dan global, dan pendekatan berwawasan bagi pembangunan ekonomi melalui Iskandar Malaysia.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Frost & Sullivan David Frigstad kepada pengarah urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada majlis perasmian pejabat Khazanah Americas Incorporated di San Francisco pada Ahad.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin; Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan pengarah Pejabat Datuk Bandar bagi Perniagaan dan Perdagangan San Francisco Mark Chandler.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Frigstad berkata ini merupakan kali pertama firma itu menyampaikan anugerah seumpama itu.

Firma yang berpangkalan di Mountain View, California, telah membuat kajian dua tahun sebelum memutuskan memberikan anugerah itu kepada Khazanah, katanya.

Beliau berkata firma itu telah membuat perbandingan di antara Khazanah dan GLC yang sama di seluruh dunia dan mereka begitu kagum dengan amalan terbaik Khazanah dari segi memenuhi keperluan pihak-pihak berkepentingan, rakyat dan pelabur.

Berita lanjut: BERNAMA

Harga Minuman Tidak Naik: F&N

18 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 23 Sept, 2013- F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd, memberi jaminan tidak akan menaikkan harga minuman walaupun harga petrol dan diesel meningkat.

Pengarah Urusannya Khalid Alvi berkata kenaikan dalam harga bahan api tidak dapat dielakkan memandangkan ia menjadi sebahagian daripada keputusan fiskal dan monetari ekonomi kerajaan, dan syarikat menjadi sebahagian daripada ekonomi dan sistemnya.

"Kami akan memastikan yang kami akan terus mengeluarkan produk pada kos serendah mungkin dan kami akan memastikan kesan harga bahan api boleh diserapkan dan memberi kesan paling kurang kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Oishi Green Tea di sini hari ini.

Pada 3 Sept, kerajaan mengumumkan kenaikan 20 sen bagi petrol RON95 dan harga diesel masing-maisng kepada RM2.10 dan RM2 seliter, dan dua hari kemudiannya petrol RON 97 naik 15 sen kepada RM2.85 seliter sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi subsidi bahan api.

F&N Beverages merupakan pengeluar minuman ringan terbesar Malaysia dengan 27 peratus bahagian pasaran dan mempunyai rangkaian pengedaran terbesar meliputi 90 peratus cawangan di seluruh negara.

Syarikat mengedar minuman ringan seperti 100PLUS, F&N Fun Flavours, SEASONS, myCola, Fruit Tree, Ice Mountain Mineral Water dan F&N Cordials.

Syarikat juga mula mengedar produk Red Bull.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Oishi Group Plc Aniruth Mahathorn berkata Oishi Green Tea telah memasuki empat pasaran di Asia Tenggara iaitu Laos, Kemboja, Myanmar dan Malaysia.

Syarikat yang menjalin pakatan dengan F&N Beverages Marketing, meninjau untuk mengedarnya di negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Singapura.

Berita lanjut: BERNAMA

Monday, September 23, 2013

Khazanah Nasional Buka Pejabat Khazanah Americas Incorporated Di San Francisco

18 Zulkaedah 1434

SAN FRANCISCO, 23 Sept , 2013- Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pejabat wilayah Khazanah Nasional Berhad bagi negara-negara Amerika Utara dan Selatan, Khazanah Americas Incorporated (KAI), di San Francisco pada Ahad.

Beliau berharap pembukaan pejabat ini akan membantu menggerakkan lagi usaha Malaysia untuk merealisasikan statusnya sebagai negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata visi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 boleh direalisasikan dengan menggerakkan rangkaian nilai dan mewujudkan ekonomi dipacu pengetahuan, inovasi dan teknologi.

Najib berkata demikian semasa merasmikan pejabat Khazanah itu di Aras 45, 101 California Street, San Francisco, pejabat wilayah ketiga cabang pelaburan kerajaan itu, selepas Beijing dan Mumbai.

Berita lanjut: BERNAMA

Khazanah Nasional Buka Pejabat Khazanah Americas Incorporated Di San Francisco

18 Zulkaedah 1434

SAN FRANCISCO, 23 Sept , 2013- Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pejabat wilayah Khazanah Nasional Berhad bagi negara-negara Amerika Utara dan Selatan, Khazanah Americas Incorporated (KAI), di San Francisco pada Ahad.

Beliau berharap pembukaan pejabat ini akan membantu menggerakkan lagi usaha Malaysia untuk merealisasikan statusnya sebagai negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata visi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 boleh direalisasikan dengan menggerakkan rangkaian nilai dan mewujudkan ekonomi dipacu pengetahuan, inovasi dan teknologi.

Najib berkata demikian semasa merasmikan pejabat Khazanah itu di Aras 45, 101 California Street, San Francisco, pejabat wilayah ketiga cabang pelaburan kerajaan itu, selepas Beijing dan Mumbai.

Berita lanjut: BERNAMA

Kerajaan Ambil Langkah Hapuskan Kehadiran Orang Tengah Dalam Perniagaan

18 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 23 Sept , 2013- Kerajaan akan mengambil langkah untuk menghapuskan kehadiran orang tengah dalam perniagaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan pada Isnin.

Beliau berkata kehadiran orang tengah menaikkan kos menjalankan perniagaan, kerana mereka mengambil komisen tanpa menambah nilai kepada perniagaan.

"Ia adalah satu contoh rasuah yang amat dibimbangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas membuka Persidangan Kebangsaan Audit Dalaman di sini.

Low berkata sungguhpun isu itu adalah kompleks, kerajaan akan melihat semula isu itu untuk memastikan perniagaan berjalan secara telus.

"Kerajaan akan melihat secara menyeluruh tentang isu itu dan bertindak mengikut peraturan dan kriteria.

"Rasuah diamalkan dalam hampir semua bidang di Malaysia. Sektor pembangunan akan menjadi sektor pertama yang akan diberi perhatian oleh kerajaan.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pemantauan untuk projek mega.

"Projek terpilih bernilai lebih RM500 juta dan dianggap sebagai berisiko tinggi dalam terma tadbir urus akan dipantau oleh kumpulan penyelia yang terdiri daripada wakil termasuk Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan Ketua Juruaudit Negara.

Berita lanjut: BERNAMA

Affin Islamic Lancar Produk Impian Haji Savings Account-i

18 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 23 Sept , 2013- Affin Islamic Bank Bhd menawarkan produk baharu yang membolehkan orang Islam menabung bagi rancangan mereka untuk mengerjakan ibadah Haji di Makkah.

Produk itu, Affin Impian Haji Savings Account-i, merupakan pelan simpanan berstruktur baharu yang disertakan dengan perlindungan Takaful, kata bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Produk itu berasaskan kepada konsep Syariah "Mudharabah", di mana nisbah perkongsian keuntungan telah ditetapkan dan dipersetujui bersama antara pelanggan dan bank itu pada permulaan pelaburan tersebut.

Ia menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan menerusi pilihan tiga jenis pelan simpanan dengan tempoh lima, sepuluh atau 15 tahun dan jumlah deposit daripada serendah RM167 sebulan.

"Dengan AFFIN Impian Haji Savings Account-i, pelanggan Islam boleh memilih pelan simpanan yang bersesuaian dengan bajet mereka dan tempoh masa pilihan mereka," kata bank itu.

Produk itu juga menyediakan perlindungan Takaful daripada Syarikat Takaful Malaysia Bhd bagi pelanggan dengan perlindungan selepas kematian atau ketidakupayaan kekal dan peruntukan manfaat pengebumian.

Sumber berita: BERNAMA

Usahawan Harus Diberi Peluang Membangun Sendiri

17 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 22 Sept, 2013- Kerajaan-kerajaan boleh membantu syarikat permulaan tanpa mengganggu asas keusahawanan, kata Bowei Gai, Pengasas Laporan Permulaan Dunia.

"Kerajaan-kerajaan boleh memberi bantuan menerusi dana, kemudahan dan publisiti, tetapi harus membiarkan usahawan yang telah berjaya mengendalikan program-program ini.

"Beri kepercayaan kepada usahawan berpengalaman kerana mereka tahu bantuan apa yang diperlukan oleh usahawan tempatan," katanya kepada Bernama.

Daripada lawatannya ke 28 negara untuk mempelajari ekosistem permulaan tahun ini, beliau gembira mendapati kebanyakan kerajaan menyokong usahawan muda.

"Sayangnya banyak yang mencuba, tetapi hanya sebilangan yang berjaya," katanya.

Selepas mengkaji beberapa syarikat permulaan perintis di seluruh dunia, beliau memahami mengapa ini terjadi.

"Keusahawanan bermula dengan individu, pada peringkat akar umbi.

"Usahawan yang baik tidak pernah merungut dan sentiasa menemui cara untuk mengatasi kekangan untuk berjaya. Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai semangat ini, tidak akan berjaya, tidak kira berapa banyak bantuan yang diberikan kerajaan," kata Gai.

Gai baru sahaja menghabiskan lawatannya ke Malaysia dalam usaha mengetahui lebih dalam dan melaporkan tentang scenario permulaan di luar Lembah Silikon.

Beliau juga mencadangkan kerajaan-kerajaan untuk memudahkan bakat asing untuk mendapatkan visa kerja.

"Ini akan menjadikan negara ini satu destinasi permulaan, bukan kehilangan bakat pemula. Bakat akan mengikuti peluang," katanya.

Menurut Gai, lawatan ke Malaysia adalah satu peluang hebat dan beliau mendapat kejutan yang menggembirakan apa bila melihat komuniti keusahawanan yang rancak di sini.

Berita lanjut: BERNAMA

Sunday, September 22, 2013

Insentif Khas Diperlukan Untuk Penubuhan Cyberjaya Valley

16 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 21 Sept, 2013- Dalam pewujudan Cyberjaya Valley, pelabur budiman dan pemodal teroka harus ditarik menerusi insentif khas, kata seorang pelabur, Steven Koskie.

"Satu permulaan yang baik ke arah menarik pelabur asing ialah dengan memberi insentif khas atas tenaga kerja, tanah, serta cukai import dan eksport.

"Ia akan menjadikannya menarik untuk pelabur budiman dan pemodal teroka untuk datang dan menjadi perintis di Cyberjaya Valley," katanya kepada Bernama.

Koskie, Pengasas Bersama Dipdive.com juga merupakan anggota Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IAP), menasihatkan Perdana Menteri Malaysia mengenai teknologi dan strategi penciptaan kekayaan.

Beliau berkata, Malaysia tidak menghadapi masalah kekurangan idea dan teknologi.

"Masalahnya ialah kekurangan model modal teroka yang kukuh untuk membawa idea dan teknologi ini ke peringkat seterusnya," katanya.

Koskie berkata usahawan juga perlu meluaskan perniagaan mereka ke luar Malaysia.

"Untuk keluar dari Malaysia, mereka memerlukan dana dan kenalan. Malaysia mempunyai banyak perkara unik yang membuatkannya mendahului lain-lain negara membangun dan tiada sebab mengapa ia tidak boleh bersaing untuk dana ini," tambah Koskie yang datang ke Malaysia semenjak 10 tahun lepas.

Mengenai Sidang Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 (GES2013) daripada 11-12 Okt, Koskie berkata kerajaan Malaysia harus mengambil kesempatan daripada ciri-ciri ini dan memanfaatkannya.

"Pintu terbuka luas untuk mula membina sebuah komuniti modal teroka. Is adalah sesuatu yang akan menarik mereka. Jika kita bermula sekarang, kita akan melihat perkembangannya dalam masa enam bulan hingga setahun," katanya.

GES2013 akan melihat penyertaan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Sumber berita: BERNAMA

Kerajaan Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan Menerusi FKPMK

16 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 21 Sept, 2013- Kerajaan berhasrat melahirkan lebih banyak usahawan belia menerusi Forum Kebangsaan Pemimpin Muda dan Keusahawanan (FKPMK), di samping mengatasi sasaran 5,000 usahawan yang ditetapkan di bawah 1Malaysia Entrepreneur (1MeT), kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

1MeT ialah salah satu inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Kewangan bagi membantu usahawan muda memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Ahmad berkata FKPMK merupakan platform terbaharu yang diwujudkan oleh kerajaan dalam mendedahkan usahawan belia mengenai kepentingan kepimpinan dan keusahawanan.

"Ini tahun pertama FKPMK diadakan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dari pelbagai pihak. Kami berhasrat untuk menjadikan acara ini secara tahunan.

"Kesemua usahawan muda (yang telah berjaya dilahirkan setakat ini) akan dikumpulkan untuk menyertai Sidang Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 (GES2013) pada bulan hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum tersebut yang diadakan di sini, hari ini.

Menurutnya, FKPMK merupakan pra-majlis GES2013, acara antarabangsa yang bakal menyaksikan para pemimpin dunia, penyelidik dan usahawan berkumpul untuk berkongsi pengalaman, menjana idea dan berbincang mengenai bidang keusahawanan.

Berita lanjut: BERNAMA

Setia Haruman Mula Tingkatkan Kemahiran Graduan Tambah Daya Tarikan Cyberjaya

16 Zulkaedah 1434

CYBERJAYA, 21 Sept , 2013- Satu program latihan intensif kini sedang dijalankan di Cyberjaya selepas beberapa siri dialog antara beberapa perbadanan multinasional (MNC) yang beroperasi di sini dengan Setia Haruman Sdn Bhd (SHSB), pemaju induk hab ICT utama negara itu, susulan dakwaan bahawa pengetahuan dan kemahiran graduan lulusan universiti tempatan tidak sepadan dengan apa yang diperlukan oleh MNC daripada mereka dalam persekitaran kerja.

Kadar pengambilan rendah graduan daripada universiti tempatan telah menyebabkan Setia Haruman berusaha untuk memastikan kemapanan dan keunggulan Cyberjaya menerusi program latihannya sendiri dengan meningkatkan kemahiran graduan muda bagi apa juga bentuk kerja yang dikehendaki oleh MNC.

Tan Sri Mustapha Kamal, pengasas dan pengerusi EMKAY Group, yang juga Pengerusi Setia Haruman berkata beliau memperuntukkan RM1.8 juta bagi program kerjasama industri-ahli akademik untuk melatih dan menambah baik pemasaran graduan dari lima universiti tempatan dengan meningkatkan kemahiran mereka dan juga kemahiran bahasa.

Beliau berkata Setia Haruman menyasar menyusun satu laporan yang memperincikan hasil daripada projek perintis itu dan menawarkan cadangan bagi menangani isu tidak sepadan antara graduan masa depan dan industri.

"Kami membelanjakan RM1.8 juta daripada bajet kami sendiri. Ini bagi memastikan kami dapat mencari punca asal berkaitan dengan masalah tidak sepadan (kemahiran) ini. Kami memutuskan untuk meneruskan dengan program latihan dan meningkatkan kemahiran bagi memastikan keperluan segera yang diperlukan industri di Cyberjaya dipenuhi oleh pelajar dari lima universiti ini -- Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia dan Taylors College University," katanya kepada BERNAMA TV baru-baru ini.

Mustapha mengakui terkejut dengan kadar pengambilan graduan yang rendah daripada MNC tetapi menegaskan beliau tidak patah semangat dan akan melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran itu sehingga Disember tahun ini kerana belia mahu mencari punca yang membawa kepada keadaan ini.

"Daripada angka yang saya baru terima, hanya tujuh daripada 300 graduan yang menunjukkan minat mereka telah diambil secara terus oleh industri. Dan satu daripada alasan utama ialah mereka tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris adalah rendah. Saya percaya kita perlu melakukan sesuatu yang konkrit untuk menangani masalah ini," katanya.

Kelemahan lain yang didedahkan ialah pemikiran kritikal mereka, perbezaan budaya, kemahiran menyelesaikan masalah dan beranalisis. Seramai 74 graduan dari lima universiti ini sekarang sedang menjalani program latihan dan meningkatkan kemahiran Setia Haruman.

Cyberjaya yang dilancarkan pada 1997 oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dibangunkan untuk membantu menggerakkan ekonomi negara berasaskan pengetahuan. Aspirasinya untuk menjadi satu daripada hab ICT global telah menjadikannya antara destinasi utama bagi perniagaan Perkongsian Perkhidmatan dan Penyumberan Luar (SSO) ICT. Dalam tempoh 10-15 tahun akan datang, perniagaan dijangka menyediakan peluang pekerjaan bagi kira-kira 120,000 pekerja dan institusi pengajian tinggi di sini menyediakan tempat bagi menampung sehingga 30,000 pelajar.

Hari ini, Cyberjaya menjadi lokasi bagi banyak syarikat multinasional seperti Shell, HP, Ericsson, IBM, Dell, BMW, HSBC dan DHL. Ia juga lokasi pilihan bagi institusi pendidikan seperti Multimedia University, Limkokwing University College of Creative technology (LUCT), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMY).

Berita lanjut: BERNAMA

Saturday, September 21, 2013

Bilangan Akauntan Bertauliah Bumiputera Harus Ditingkatkan

15 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 20 Sep, 2013- Bilangan akauntan bertauliah Bumiputera harus ditingkatkan dalam membantu usaha kerajaan memperkasakan ekonomi Bumiputera, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

"Daripada lebih 30,000 orang akauntan berdaftar di Malaysia yang kini memberikan perkhidmatan dalam pelbagai bidang, peratusan akauntan bertauliah Bumiputera hanyalah lapan peratus," kata beliau dalam ucapannya di 'Majlis Jamuan Malam Sempena Ulang Tahun ke-55 Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA)' disini, hari ini.

"Akauntan-akauntan di Malaysia seharusnya terus berani merebut peluang yang semakin terbuka di peringkat serantau dan antarabangsa," kata beliau.

Beliau menyeru golongan profesional seperti akauntan mengambil peluang platform sedia ada dalam sektor-sektor integrasi keutamaan ASEAN Economic Community (AEC) dan meletakkan diri mereka secara strategik untuk mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang serantau yang dijana daripada inisiatif tersebut.

Melalui AEC, ASEAN akan melalui satu transformasi untuk menjadi satu pasaran dan pusat pengeluaran tunggal di rantau ekonomi kompetitif, satu rantau pembangunan ekonomi yang saksama dan rantau yang telah diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Berita lanjut: BERNAMA

Friday, September 20, 2013

Irresistibly Sexy Firefly

15 Zulkaedah 1434


KUALA LUMPUR, 20 Sept, 2013- Firefly akan melancarkan promosi baharu, 'Irresistibly Sexy RM35', ke semua destinasinya bermula 23 Sept.

Firefly dalam satu kenyataan berkata promosi itu menawarkan dua bahagian tambang yang berbeza -- RM35 tambang termasuk semua sehala bagi semua penerbangan dalam Semenanjung Malaysia dan RM105 bagi semua destinasi antarabangsa.

"Tambang itu hanya akan dijual selama dua minggu bermula esok sehingga 6 Okt dan tersedia bagi perjalanan serta merta sehingga 20 Okt, 2014," kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata tambang mampu milik itu akan membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati percutian tanpa sebarang masalah selain mampu dibayar dan dapat merasai pengalaman hospitaliti syarikat penerbangan tersebut.

"Syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan kemudahan kebenaran bagasi percuma 20kg dan minuman dalam penerbangan, 30 minit penampan daftar masuk, kemudahan daftar masuk di web dan layan diri, serta peluang menebus mata Enrich," katanya.

Sementara itu, Firefly berkata syarikat penerbangan tersebut juga akan mengadakan peraduan foto 'Hunt for Firefly Girls' bersama-sama dengan promosi itu.

Berita lanjut: BERNAMA

Penjenamaan Semula Kumpulan Perbankan AmBank

14 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 19 Sept, 2013- AmBank Group akan membelanjakan kira-kira RM600 juta untuk menyusun semula hala tuju jenamanya termasuk menjenamakan semula cawangan dan perkhidmatannya.

Bank itu, yang memulakan penjenamaan semula pada 1 April tahun ini, akan juga membelanjakan sejumlah RM10 juta daripada peruntukannya untuk memperkenal penyusunan semula itu kepada orang ramai.

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim, berkata sebagai satu daripada kumpulan perbankan terbesar di Malaysia, AmBank sedar bahawa pasaran perkhidmatan kewangan negara ini berevolusi dengan pesat, dan pelanggan-pelanggan kini jauh lebih canggih.

"Segala yang kami lakukan sekarang membawa kami selangkah lebih hampir untuk mencapai visi kumpulan untuk menjadi kumpulan penyelesaian kewangan pilihan, pelbagai dan yang terhubung di peringkat antarabangsa.

"Kami berbangga dapat membangunkan masa depan rakyat Malaysia bersama kami," katanya pada satu sidang akhbar selepas pelancaran Penyusunan Semula Kedudukan Jenama AmBank di sini Khamis.

Azman berkata AmBank berkedudukan unik yang membuatkannya menonjol dalam dunia yang sentiasa sibuk dan berubah-ubah.

Menurut Azman, bank itu berbangga menjadi kumpulan penyelesaian kewangan moden Malaysia.

Berita lanjut: BERNAMA

Langkah Rizab Persekutuan AS Positif Untuk Pasaran Tempatan

14 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 19 Sept , 2013- Pasaran saham dan komoditi dijangka melihat perkembangan positif berikutan pengumuman kejutan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Ben Bernanke bahawa bank pusat itu tidak akan mengurangkan rangsangan belian bond US$85 bilion satu bulan negara itu.

Ini bermakna aliran dana ke pasaran pesat membangun seperti Malaysia akan diteruskan pada jangka pendek.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Dr Nazri Khan berkata selain kenaikan pasaran tempatan, kebanyakan pasaran saham serantau turut naik dengan ada di antaranya yang mencecah paras tertinggi lima tahun hari ini.

Sumber berita: BERNAMA

Kerajaan Tidak Abaikan Kaum Lain

14 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 19 Sept, 2013- Kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum lain dalam pembangunan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan yakin terhadap peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi, bidang di mana kaum lain, terutama Cina, lebih kukuh.

"Dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan dan meningkatkan peranan sektor swasta pastinya akan memberi manfaat kepada masyarakat Cina, khususnya," katanya.

Najib berkata pemberian beberapa kontrak kepada syarikat Bumiputera adalah kerana mereka lemah dari segi keseluruhan rantaian bekalan.

Inilah bidang yang dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan Cina, dari segi pendapatan yang tinggi memandangkan 'mereka mempunyai kawalan yang lebih baik dalam keseluruhan rantaian bekalan'.

"Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa kekayaan kita (Bumiputera) tidak akan memberi manfaat kepada komuniti lain," katanya dalam rakaman Sidang Kemuncak CNBC, yang akan disiarkan melalui rangkaian perniagaan itu pada 5 petang esok.

Rakaman 30 minit itu dihoskan oleh peneraju terkemuka CNBC Martin Soong

Najib turut ditanya sama ada pengumuman mengenai insentif tambahan untuk memperkasa Bumiputera akan meminggirkan kaum lain.

"Saya percaya dalam pertumbuhan saksama, berlaku adil dan menjadi inklusif. 67 peratus daripada penduduk di Malaysia adalah Bumiputera (dan), ini majoriti yang besar.

"Dan jika majoriti ini terpinggir atau merasakan mereka tidak mendapat bahagian kekayaan negara yang adil, ia mungkin menjejaskan kestabilan jangka panjang negara ini, katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Kursus Mampu Bantu Tingkat Prestasi Usahawan

14 Zulkaedah 1434

KOTA KINABALU, 19 Sept , 2013- Kerajaan yakin kursus-kursus keusahawanan mampu meningkatkan prestasi usahawan tempatan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hamisa Samat.

"Pembangunan usahawan merupakan agenda nasional dan terpulanglah kepada usahawan untuk memanfaatkannya.

"Semuanya bergantung kepada usahawan untuk berubah dan memantapkan ilmu dan kemahiran berniaga. Kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, malah perlu memberikan perhatian kepada usaha membentuk usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus Kontraktor Mencuci Bangunan dan Membersihkan Kawasan, di Kota Kinabalu Khamis.

Seramai 34 peserta menyertai kursus tiga hari anjuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri itu.

Menurut Hamisa yang juga Wakil Rakyat kawasan Tanjong Batu, usahawan Bumiputera perlu mampu bertahan dan bersaing meskipun berhadapan persekitaran ekonomi yang perlahan yang tidak menyokong pengembangan perniagaan mereka.

"Kejayaan masa hadapan terletak di tangan para peserta untuk membentuk dan melakar kejayaan yang akan dikenang oleh generasi datang. Setiap peluang di depan mata haruslah direbut dan jangan sesekali mensia-siakan peluang itu," katanya.

Beliau berkata untuk berjaya peniaga perlu lebih berdisiplin dan sentiasa bersikap proaktif, inovatif dan kreatif dalam perniagaan di samping tidak mengabaikan risiko perniagaan.

Berita lanjut: BERNAMA

Malaysia Naik Kepada Tangga Ke-68 Dalam Kedudukan Kebebasan Ekonomi

14 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 19 Sept , 2013- Malaysia naik tiga anak tangga untuk disenaraikan pada kedudukan ke-68 daripada 151 negara dan wilayah yang termasuk dalam Kebebasan Ekonomi Dunia: Laporan Tahunan 2013.

Laporan itu dikeluarkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), bersama dengan Institut Fraser dari Kanada dan 86 lagi kumpulan pemikir di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan Khamis, IDEAS berkata pencapaian itu menunjukkan Model Baru Ekonomi (NEM) telah berjaya pada tahun pertamanya.

"Sekali lagi, kita telah meningkatkan kedudukan kita dalam senarai dunia," kata kumpulan pemikir itu.

Indeks Dunia bagi Kebebasan Ekonomi adalah ukuran utama dunia bagi kebebasan ekonomi berdasarkan polisi yang menggalakkan persekitaran ekonomi yang lebih bebas.

Ia lewat dua tahun untuk memberi ruang kepada pengumuman data global yang berperingkat.

"Ini menjadikan laporan ini penting kerana ia mengukur kemajuan negara kita pada 2011, iaitu setahun selepas pelancaran NEM.

Sehubungan pengumuman ini, IDEAS merancang untuk mengadakan bengkel dengan pakar ekonomi untuk melihat cara-cara meningkatkan proses liberalisasi ekonomi.

Bengkel itu akan diadakan di sini pada November dan saranan akan diberikan kepada kerajaan.

Mengenai kedudukan global, Hong Kong sekali lagi mendahului senarai 151 negara dan wilayah, diikuti New Zealand, dan Switzerland.

Amerika Syarikat, kini menduduki tempat ke-17 di dunia.

Berita lanjut : BERNAMA

Thursday, September 19, 2013

Malaysia Tidak Kenakan Kawalan Modal

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 19 Sept, 2013- Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal buat masa ini, namun akan menggunakan instrumen kewangan lain yang sedia ada bagi menangani sebarang turun naik dalam ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan melaksanakan kawalan modal, sebagai langkah terakhir, memandangkan persekitaran ekonomi semasa dalam negara masih berdaya tahan.

Ekonomi Malaysia terus berdaya tahan berbanding negara lain di rantau ini berikutan kedudukan rizabnya yang kukuh, selain tabungan tinggi dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, katanya dalam rakaman Sidang Kemuncak CNBC, yang akan disiarkan menerusi rangkaian perniagaan itu pada 5 petang Jumaat.

"Kemungkinan untuk melalui krisis adalah minimum. Walaupun wang kita mengalir keluar, rizab kita masih mencukupi berbanding apa yang kita miliki semasa krisis kewangan pada 1997," kata Perdana Menteri.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata rizab semasa negara sebanyak US$130 bilion berbanding kurang daripada US$30 bilion pada 1997.

 Sumber berita - BERNAMA

BIMB Dapat Kelulusan Daripada Bursa Untuk Senaraikan Terbitan Hak, Waran

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- BIMB Holdings Bhd (BIMB) Rabu menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk menyenaraikan terbitan haknya berserta waran.

Dalam satu makluman kepada pengendali bursa itu, BHB berkata Bursa Malaysia Securities telah meluluskan cadangan penyenaraian yang melibatkan 426.716 juta waran sejajar dengan cadangan terbitan hak bersama waran.

Ia juga merangkumi penyenaraian 426.716 juta saham BIMB berikutan cadangan terbitan hak bersama waran, serta penyenaraian 426.716 saham BIMB sejajar dengan pelaksanaan waran.

Dalam satu kenyataan lain, BHB berkata saham-saham Bank Islam tidak akan dijanjikan sebagai cagaran bagi suku yang dicadangkan.

BIMB mengumumkan rancangannya pada Ogos untuk membeli baki kepentingan dalam Bank Islam, 18.5 peratus kepentingan daripada Lembaga Tabung Haji dan 30.5 peratus kepentingan daripada Dubai Financial Group dengan harga kira-kira RM2.87 bilion.

Cadangan pembelian itu akan dibiayai melalui terbitan hak dua bagi lima 426.7 juta saham baharu dan terbitan sukuk hingga RM1.47 bilion.

Awal September, BIMB menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia bagi cadangan pembelian baki 49 peratus kepentingan dalam Bank Islam.

Bagaimanapun, bank pusat itu menolak cadangan kumpulan itu untuk menerbitkan sukuk dengan menggunakan saham Bank Islam sebagai cagaran bagi hutang.

Sumber berita : BERNAMA

Maybank Islamic Peroleh Pembiayaan Rentas Sempadan Pound Sterling

13 Zulkaedah 1434
KUALA LUMPUR, 18 Sept , 2013- Maybank Islamic Bhd baru-baru ini memperoleh pembiayaan rentas sempadan Pound Sterling, menjadikannya bank Malaysia pertama memiliki instrumen pembiayaan seumpama itu di London.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Muzaffar Hisham berkata bank itu telah dilantik oleh pelanggan korporatnya sebagai pengatur utama bersama bagi tujuan membeli hartanah di London.

"Janji niaga itu kemungkinan besar akan diumumkan semasa Forum Ekonomi Islam Dunia kesembilan di London pada Oktober," katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal produk gadai janji runcit baharunya, di sini, Rabu.

Beliau berkata bank itu sedang di peringkat akhir melancarkan produk pembiayaan hartanah mata wang asing Islam bagi hartanah di London, yang dijangkakan pada suku keempat tahun ini.

"Pelabur Malaysia semakin berminat mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka ke United Kingdom dan terutamanya London, dan Maybank Islamic berkedudukan baik untuk menggalakkan peluang seumpama itu," katanya.

Muzaffar menegaskan kepentingan strategik pembiayaan Islam di London sebagai peluang untuk memanfaatkan sumber baharu modal, aset dan kecairan dalam pasaran Islam bagi pertumbuhan masa depan London.

Berita lanjut: BERNAMA

Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan Untuk Beri Bantuan Segera

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menubuhkan sebuah pusat panggilan seluruh negara, iaitu Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (Accident Assist), yang bertujuan memberikan bantuan serta merta kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pusat panggilan itu merupakan usaha bersama oleh pengusaha syarikat insurans am dan takaful untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan lebih berkesan lagi.

"Nombor talian bantuan yang mudah diingat dan menjimatkan iaitu 1300-22-11-88 dikhaskan untuk menerima panggilan daripada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan untuk menjawab pertanyaan umum berhubung insurans kenderaan bermotor.

"Pusat panggilan itu diuruskan oleh Telekom Malaysia Bhd yang beroperasi 24 jam. Ia akan dianggotai oleh pegawai-pegawai perkhidmatan pelanggan yang terlatih dalam tuntutan insurans untuk memberikan bantuan serta merta dan menjawab soalan-soalan asas mengenai perlindungan dan tuntutan insurans motor," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Pada masa ini Accident Assist dimulakan di Lembah Klang dan akan diperluas ke seluruh negara dalam suku keempat tahun ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Legoland Malaysia Bakal Jadi Destinasi Resort Keluarga Terunggul Asia

13 Zulkaedah 1434


JOHOR BAHARU, 18 Sept, 2013- Legoland Malaysia, yang pembukaan taman tema airnya dijadualkan bulan depan dan hotel 249 biliknya pada 2014, bakal menjadi destinasi resort keluarga utama di Asia.

Pengurus Besarnya, Siegfried Boerst, berkata dengan gabungan taman tema dan hotel, resort Legoland pertama di Asia itu mahu pelawat meluangkan lebih banyak masa di dalam.

Taman tema berharga RM720 juta dengan 40 permainan interaktif, pertunjukan dan tarikan itu, merayakan ulang tahun pertamanya Ahad lalu.

Boerst berkata tahun ini merupakan tahun yang amat berjaya memandangkan bilangan pelawatnya melebihi sejuta yang dijangkakannya.

"Ini merupakan kejayaan besar," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata dengan taman air dan hotel yang akan dibuka, Legoland mahu memasarkan resort itu sebagai destinasi keluarga utama di Asia Tengara.

"Kami mahu orang datang ke mari dan meluangkan masa selama dua hingga tiga hari untuk mengunjungi destinasi-destinasi lain yang berhampiran. Kami mahu menjadikannya menarik bagi pelawat dari China, India, Australia untuk berada beberapa lama di Malaysia," katanya.

Kata Boerst, Legoland Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia dan agensi-agensi lain untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Mengenai Hotel Legoland, yang dijangka dibuka pada Disember bagi musim cuti di Malaysia dan Singapura, beliau berkata, kesemua 249 bilik keluarga mempunyai tema Legoland yang berbeza-beza.

Berita lanjut: BERNAMA

Wednesday, September 18, 2013

Dokumen Pengenalan Diperlukan Untuk Transaksi Wang Mulai 15 September 2013

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- Berkuatkuasa Ahad (15 Sept) semua pelanggan yang melakukan transaksi perniagaan perkhidmatan wang dengan pemegang lesen perlu menunjukkan dokumen pengenalan jika perlu.

Menurut Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) peraturan itu dibuat sebagai mematuhi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Akta itu menetapkan pemegang lesen supaya mengenal pasti dan mengesahkan transaksi perkhidmatan Kewangan oleh pelanggan, yang turut dilakukan di negara lain termasuk Kemboja, Singapura dan Australia.

"Pelanggan perlu menunjukkan dokumen pengenalan untuk transaksi pertukaran wang sebanyak RM3,000 dan ke atas dan transaksi kiriman wang tanpa mengira jumlahnya," menurut MAMSB dalam satu kenyataan Rabu.

Pemegang lesen pula perlu mempamerkan notis standard syarat yang ditetapkan di premis masing-masing.

 Menurut kenyataan itu lagi, pemegang lesen juga perlu membuat salinan dokumen pengenalan untuk rekod, bagi transaksi melebihi RM10,000 dan kiriman wang melebihi RM3,000.

Sumber berita: BERNAMA

Kaji Selidik State Street Dedah Salah Faham Tentang Industri Pelaburan Alternatif

13 Zulkaedah 1434

SINGAPURA, 18 Sept, 2013- Para pelabur menerajui usaha dalam membentuk masa depan industri pelaburan alternatif, demikian menurut satu kaji selidik global oleh salah satu penyedia perkhidmatan kewangan utama dunia, State Street, yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Kaji selidik itu yang bertajuk "The Next Alternative: Thriving in a New Fund Environment" dijalankan secara kerjasama dengan Preqin, perunding penyelidikan utama melibatkan hampir 400 pengurus dana alternatif utama daripada dana lindung nilai, firma ekuiti swasta dan dana hartanah.

State Street dalam satu kenyataan berkata kaji selidik itu mendapati bahawa pengurus dana melihat pelabur mahukan ketelusan lebih tinggi, fi yang berpatutan dan kecairan lebih besar pada peringkat dana sebagai tiga daripada lima pemacu utama perubahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

George Sullivan, Naib Presiden Eksekutif dan ketua global bahagian Penyelesaian Pelaburan Alternatif State Street berkata: "Pengurus aset alternatif yang mahu mewujudkan kelebihan kompetitif perlu mengimbangi memenuhi keperluan baharu daripada pelabur dan pengawal selia dan dalam masa yang sama memastikan prestasi dan operasi yang cemerlang."

Beliau berkata mengarusperdanakan kelas aset ini akan membantu membetulkan salah faham umum yang menjejaskan peluang bagi pelaburan dan juga pengurus dana.

Satu daripada salah faham umum tentang industri dana alternatif ialah pengurus dana alternatif enggan menawarkan ketelusan tentang prestasi dan risiko dana.

Realitinya pengurus melaporkan lebih banyak maklumat kepada pelabur, lebih kerap, dengan 44 peratus daripada mereka meningkatkan jumlah maklumat yang mereka lapor tentang pegangan, risiko dan prestasi mereka sejak 2008, manakala tambahan 16 peratus merancang berbuat demikian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sullivan berkata kaji selidik itu mengetengahkan perubahan utama yang berlaku serentak dengan pertumbuhan dan kematangan alternatif sebagai kelas aset dan menawarkan bayangan keadaan industri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sumber berita : BERNAMA

PNB Sedang Kaji Struktur Dana Skim Amanah Saham Bumiputera 2

13 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Sept, 2013- Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang meneliti struktur yang sesuai bagi penubuhan dana Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), sama ada berharga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau berubah-ubah, dan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

"Penelitian sedang kita buat sekarang untuk memastikan produk itu lebih berkesan, kerana mengikut kajian, kebanyakan produk-produk yang harganya berubah-ubah, kurang dijual," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah.

"Tetapi kalau harga tetap, banyak yang terjual. Jadi itu lah kita sedang teliti supaya produk yang akan dilancarkan nanti lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1 Malaysia, di sini Rabu.

Diminta mengulas bila skim ini akan dilancarkan, Hamad Kama berkata: "Yang penting kita nak buat secepat mungkin.

"Kesesuaian waktu juga penting kerana sekiranya dana tersebut dilancarkan dalam suasana pasaran indeks yang terlalu tinggi, ia mungkin akan menjejaskan prestasi produk itu sendiri," katanya.

Selain itu, Hamad Kama berkata PNB juga sedang meneliti jenis-jenis pelaburan yang akan dijalankan, di samping mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib dan memastikan sistem komputer dapat berjalan lancar.

Berita lanjut: BERNAMA

Peneraju GLC Perlu Terap Jati Diri Melayu

12 Zulkaedah 1434

JOHOR BAHARU, 17 Sept, 2013- Pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan agenda Memperkasakan Ekonomi Melayu perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sejujurnya.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno Malaysia Datuk Mohamad Aziz berkata pihak yang terlibat termasuk mereka yang menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menyemai jati diri kemelayuan dalam diri mereka agar agenda itu dapat dijayakan dengan sempurna.

"Buat kerja dengan sejujurnya, jadi orang Melayu tulen dan rasakan diri itu Melayu, kalau ini (semangat Melayu) dapat dihayati, barulah gasasan ini dapat dilaksanakan.

"Jangan sesekali khianati amanah yang telah dipertanggungjawabkan, kalau rasa diri tidak mampu memikul amanah, sila letak jawatan," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas agenda Memperkasa Ekonomi Melayu yang dilancarkan Perdana Menteri, Sabtu lalu.

Lima teras utama itu ialah mendayakan modal insan Bumiputera, dan memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, Mohamad berkata kaum Bumiputera itu sendiri tidak harus berpeluk tubuh dan perlu merebut peluang yang terbentang luas ini untuk memajukan ekonomi diri, bangsa dan negara.

Sumber berita : BERNAMA

Hasil & Belanja

12 Zulkaedah 1434

Didalam sesebuah perniagaan, hasil dan belanja adalah elemen penting dalam menguruskan operasi harian. Ianya perlu difahami  dengan jelas agar setiap urusniaga yang dilakukan akan memberikan kebaikan kepada perniagaan dalam jangka masa pendek dan memastikan kesinambungan dalam jangkamasa yang panjang.


Hasil (Revenue)boleh dirujuk kepada apa jua  yang diperolehi  oleh perniagaan apabila barang- barang dijual atau perkhidmatan dibekalkan kepada pelanggan. Ini akan mengakibatkan pertambahan aset, sama ada tunai yang diterima  ataupun penghutang. Contoh - contoh hasil antaranya  adalah seperti berikut :-



*      Faedah diterima
*      Sewa diterima
*      Diskaun diterima
*      Komisen diterima
*      Hasil jualan daripada perniagaan seperti barang atau perkhidmatan, hasil pertanian dan sebagainya. 
 
Belanja(Expenses/Cost) pula adalah sesuatu yang merujuk kepada aset yang dilibatkan atau digunakan untuk memperolehi hasil. Ianya akan mengakibatkan pengurangan aset atau pertambahan liabiliti, iaitu sama ada pengurangan tunai  apabila pembayaran dibuat ataupun pertambahan pemiutang. Contoh- contoh belanja antaranya adalah seperti berikut :-


*      Belanja elektrik
*      Belanja Sewa
*      Belanja  alatulis
*      Kos barang- barang dijual ( kos jualan )
*      Belanja pembaikan kenderaan
*      Belanja insuran
*      Belanja upah dan gaji
*      Diskaun diberi dan sebagainya.


Bagi memastikan perniagaan dalam keadaan sihat, adalah amat penting bagi pengusaha memastikan jumlah hasil yang diperolehi melebihi daripada apa yang dibelanjakan.

Penyedia Khidmat Penjagaan Kesihatan Tempatan Perlu Sentiasa Lakukan Pembaharuan

12 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 17 Sept, 2013- Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan perlu sentiasa melakukan pembaharuan dan mewujudkan peluang bagi doktor serta jururawat untuk bertugas tanpa kekangan agar mereka mereka terus relevan dalam pasaran kerja penjagaan kesihatan yang dinamik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata golongan profesional ini berperanan sebagai pemangkin ke arah penambahbaikan, sambil memastikan keperluan dan kualiti penjagaan pesakit sentiasa menjadi pertimbangan utama masing-masing.

Katanya perikatan strategik dalam kalangan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan boleh membantu memajukan industri berkenaan melalui amalan terbaik dan kerjasama klinikal rentas sempadan.

"Apabila sempadan antara negara menjadi semakin kabur melalui kerjasama antarabangsa, maka potensi untuk meraih keuntungan akan menjadi tidak terhingga. Oleh itu, saya menyeru penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan supaya berusaha dengan sepenuh hati untuk memanfaatkan potensi ini.

"Menjadi hab penjagaan kesihatan serantau boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan kekayaan, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi dan negara secara keseluruhan," kata Najib ketika merasmikan ParkCity Medical Centre (PMC) dan pelancaran logo Ramsay Sime Darby Health Care (RSDHC) di Desa Park City di sini Selasa.

PMC adalah hospital pertama yang dibuka secara rasmi melalui usaha sama antara Sime Darby Healthcare dan kumpulan hospital swasta terbesar Australia Ramsay Health Care Limited.

Hospital berharga RM320 juta serba canggih dengan 300 katil yang siap dibina pada Julai 2012 dan mula beroperasi pada Disember 2012 ini merupakan sebuah hospital pelbagai disiplin yang menawarkan perkhidmatan perubatan pesakit luar dan dalam serta pembedahan secara penuh, di samping perkhidmatan diagnostik termaju dan perkhidmatan kecemasan 24 jam.

Najib berkata usaha sama ini akan memantapkan lagi matlamat Malaysia untuk muncul sebagai penyedia penjagaan kesihatan serantau serta menyediakan platform kukuh bagi pengembangan sektor penjagaan kesihatan di Asia.

"Dalam tempoh tiga tahun lepas, Malaysia menyaksikan pertumbuhan lebih 20 peratus dalam sektor pelancongan kesihatan dan pada tahun lepas sahaja, menjana hasil berjumlah hampir RM600 juta.

"Ini hasil daripada peningkatan kualiti penjagaan kesihatan, pengalaman pelanggan, perikatan proaktif dan pasaran bitara. Kebanyakan pesakit datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan jantung, kosmetik, oftalmologi, pergigian dan ortopedik, di samping perkhidmatan diagnostik," katanya.

Najib yakin kejayaan industri pelancongan perubatan Malaysia sebahagiannya berpunca daripada peraturan berkesan yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan pesakit dari luar negara mendapat penjagaan berkualiti dan selamat.

Katanya antara negara yang begitu cepat berminat dengan industri pelancongan perubatan Malaysia ialah Jepun, dengan pertumbuhan sebanyak 20 peratus.

Najib berkata prospek untuk membawa pulang pakar dan profesional dalam bidang perubatan dari luar negara melalui pelancongan perubatan juga menunjukkan tanda-tanda positif.

Berita lanjut: BERNAMA

SPNB Bincang Dengan Kerajaan Negeri Bina Rumah Mampu Milik Untuk Bumiputera

12 Zulkaedah 1434

IPOH, 17 Sept, 2013- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang berbincang dengan kerajaan negeri bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk Bumiputera.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata setakat ini perbincangan telah dilakukan dengan empat kerajaan negeri iaitu Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Empat negeri itu telah memberi respons positif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra SPNB Bersama Rakyat di sini, Selasa.

Berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta SPNB dengan kerjasama kerajaan negeri akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik untuk Bumiputera.

Bagaimanapun, Abdul Latiff berkata agak sukar untuk mengadakan perbincangan dengan negeri yang berada di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

"Pengalaman SPNB dengan negeri pakatan pembangkang sebelum ini memang susah sebab kuasa untuk meluluskan di peringkat implementasi adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, SPNB merancang membina 30,000 unit rumah mampu milik dan 10,000 unit rumah mesra rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Berita lanjut: BERNAMA

Tuesday, September 17, 2013

MAHB: KLIA Boleh Bersaing Dengan Lapangan Terbang Lain Di Rantau Ini

12 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 17 Sept, 2013- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai kapasiti untuk bersaing dengan lapangan terbang lain di rantau ini berdasarkan kepada simpanan tanahnya yang luas.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Tan Sri Bashir Ahmad berkata KLIA Aeropolis, pembangunan bandar raya lapangan terbang di KLIA, mempunyai kapasiti untuk terus berkembang, mendahului banyak lapangan terbang lain di rantau Asia.

MAHB ialah pemegang konsesi KLIA dan pemegang pajakan simpanan tanah di sekitar lapangan terbang.

"KLIA berpotensi menampung 100 juta penumpang setahun dalam tempoh empat hingga lima tahun," kata beliau di seminar mengenai Persidangan dan Pameran Bandar Raya Lapangan Terbang (ACE) 2014 di sini Selasa.

Bashir berkata MAHB juga mengambil sikap berpilih dalam pembangunan di sekitar KLIA Aeropolis.

"Kami mendapat cadangan untuk projek kediaman, tetapi kami terpaksa menolak walaupun kami tidak kisah dengan projek-projek komersil seperti hotel," kata beliau.

Bashir berkata satu lagi kriteria pelabur untuk projek KLIA Aeropolis ialah mereka perlu mendapatkan pembiayaan mereka sendiri.

Beberapa pelabur juga meminta tempoh pajakan yang lebih lama sehingga 60 tahun untuk mendapatkan pulangan ke atas pelaburan mereka.

"Ini ialah isu komersil yang boleh diselesaikan menerusi perbincangan seterusnya dengan kerajaan," kata beliau.

Berita lanjut: BERNAMA

KWSP Tawar Nasihat Kewangan Persaraan Kepada Pencarum Tahun Depan

11 Zulkaedah 1434


KUALA LUMPUR, 17 Sept, 2013- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan khidmat nasihat kewangan dan persaraan sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada pencarumnya tahun depan di cawangan KWSP di Lembah Klang, kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.

"Kami akan memulakan projek perintis di Lembah Klang, dan ke seluruh negara pada fasa akhir program itu dalam tempoh satu atau dua tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Antarabangsa Celik Kewangan dan Simpanan Persaraan 2013 bertema "Ke Arah Menikmati Persaraan yang Selesa."

Samsudin berkata perkhidmatan baharu itu bertujuan membantu pencarum merancang persaraan dan menyediakan pendidikan kewangan, dalam usaha membantu pencarum KWSP bersedia untuk persaraan mereka.

Beliau berkata kajian menunjukkan orang ramai cenderung mensia-siakan wang dalam tempoh singkat, yang boleh menjadi masalah jika KWSP merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata projek perintis di Lembah Klang itu akan mengambil masa sehingga dua tahun sebelum dilaksanakan di seluruh negara untuk tujuan melatih tenaga kerja.

"Kami bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan latihan yang bersesuaian untuk pencarum," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Monday, September 16, 2013

Pembangunan Di Sabah Dan Sarawak Tidak Akan Dipinggirkan

10 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 15 Sept. 2013- Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Ahad bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya tidak sekali-kali akan meminggirkan Sabah dan Sarawak malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Perdana Menteri berkata satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia.

 Katanya, hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini juga dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

Berita lanjut: BERNAMA

Mewujudkan Usahawan Bumiputera Satu Kemestian

10 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 15 Sept , 2013- Dalam memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan, mewujudkan satu 'komuniti usahawan Bumiputera' adalah satu kemestian dengan fokus khusus diperluas kepada syarikat-syarikat baharu.

Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang baharu dilantik berkata, komuniti itu mesti diterajui oleh usahawan, bukan hanya mana-mana pegawai biasa, bagi memastikan kecekapannya.

"Malangnya, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan perdagangan atau perniagaan semasa. Kita perlu memperkasakan usahawan muda ataupun baharu untuk bergabung bersama-sama dan membentuk 'komuniti' baharu di kalangan mereka," kata beliau kepada Bernama.

GMM ialah pusat penyebaran maklumat berdasarkan konsep penyederhanaan dalam memerangi fahaman pelampau dalam lima bidang meluas.

Bidang-bidang itu ialah kewujudan bersama keamanan, demokrasi dan peraturan undang-undang, kewangan, pendidikan dan penyelesaian konflik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu mengumumkan lima teras untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi negara.

Antara teras itu ialah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, dipengerusikan oleh Najib.

MEB, yang menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera akan melaksanakan lima strategi utama sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Berita lanjut: BERNAMA

Sunday, September 15, 2013

Rombak Semula Besar-besaran Ketua-ketua Dan Pengurusan Atasan GLC

9 Zulkaedah 1434

Berikutan dengan dasar baru pemerkasaan bumiputra yang telah diumumkan oleh YAB Dato Seri Najib semalam, kerajaan digesa untuk merombak semula secara besar-besaran ketua-ketua GLC agar dasar baru yang telah diumumkan itu bakal diterjemahkan hingga ke akar umbi. Ini adalah kerana, kebanyakan ketua-ketua GLC sekarang, bukan hanya meminggirkan vendor bumiputra, bahkan pemilihan pengurusan di peringkat tertinggipun telah meminggirkan golongan profesionalisma bumiputra yang berkebolehan dan sebaliknya lebih memberi keutamaan kepada bukan warganegara ataupun bukan bumiputra.

Lebih malang lagi ada yang meminggirkan golongan profesional bumiputera dengan  menekan dan mencari salah silap tanpa rasa belas kasihan. Hal ini telah menyebabkan rata-rata sumber modal insan yang berbakat dari kalangan bumiputra sedang dihapuskan secara jahat dan terancang.Ada pula yang diambil tindakan tatatertib atas kesalahan kecil atau salah faham semata-mata dan tindakan tersebut dilihat amat tidak munasabah.

Penulis secara jujur, kini semakin  bertambah yakin terhadap YAB Perdana Menteri yang dilihat sedang  menterjemahkan apa yang dikatakan sentiasa dan mendengar keluhan dan nadi rakyat dan ianya telah dibuktikan melalui peristiwa bersejarah semalam. Maka dengan itu , bagi menjayakan hasrat ini penulis menyeru agar ketua-ketua GLC dirombak secara besar-besaran untuk memastikan mereka yang memegang jawatan tersebut mengikut dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan sekarang yang rata-rata dipilih semula oleh majoriti golongan bumiputra. Ini bagi memastikan dasar ini dapat diterjemahkan hingga ke akar umbi. Tahniah Tok Jib.....

Wallahualam

Pengumuman Inisiatif Perkasa Ekonomi Bumiputera Beri Nafas Baharu Kepada Syarikat Sederhana Dan Mikro

9 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 14 Sept, 2013- Pengumuman inisiatif untuk memperkasa ekonomi Bumiputera oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera hari ini, akan memberi nafas baharu serta merancakkan lagi ekonomi Bumiputera, terutama syarikat sederhana dan mikro.

Antara inisiatif berkenaan ialah mendaya modal insan, memantapkan pemilikan Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Inisiatif yang diumumkan di Universiti Teknologi MARA hari ini disifatkan telah mengangkat Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional dengan menempatkannya ke tahap yang lebih tinggi.

Penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Dr Jorah Ramlan berkata inisiatif yang diumumkan itu tepat pada masanya, relevan dan penting untuk pembangunan ekonomi dan pertumbuhan berterusan.

"Dasar berkenaan akan meningkatkan keselamatan ekonomi, tahap pendapatan dan kuasa membeli masyarakat Bumiputera.

"Dengan pendapatan yang lebih tinggi dan peningkatan kuasa beli, kumpulan ini akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Kata Jorah jumlah penduduk Bumiputera yang membentuk 67 peratus daripada populasi di negara ini mewakili tenaga kerja terbesar dan juga kumpulan konsumer terbesar kepada ekonomi negara.

"Ini kekuatan yang tidak dapat disangkal, apatah lagi jaminan ekonomi kumpulan ini sangat signifikan dalam mencapai matlamat ekonomi nasional," kata beliau.

Beliau berkata kemahiran tidak berpadanan bukan lagi satu isu kerana "soft skills" dan "hard skills" adalah sebahagian daripada kurikulum di institusi pengajian tinggi.

Jorah turut memuji inisiatif yang diumumkan dan menganggap dasar berkenaan bagus kerana ia memfokuskan kepada satu kumpulan sasar iaitu golongan Bumiputera.

Kata beliau tidak ada persoalan mengenai keadilan kerajaan terhadap kaum-kaum lain di Malaysia kerana mengikut statistik dan sasaran ekonomi, kerajaan bersikap adil dalam mengagihkan peluang ekonomi kepada kaum-kaum lain.

Kata beliau lagi apa yang dilakukan kerajaan sekarang ialah merapatkan jurang ekonomi antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk menjamin kestabilan ekonomi, sosial, politik dan keselamatan negara.

Sumber berita: BERNAMA

Saturday, September 14, 2013

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Tidak Ambil Hak Orang Lain Atau Nafi Kepentingan Sesiapa

9 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 14 Sept, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

"Yang pasti! Kami lakukan apa yang adil, kami lakukan apa yang betul, dan kami buat apa yang saksama. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa 'nawaitu' (niat) atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa lain," kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.

Beliau dengan tegasnya berkata kerajaan ini adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.

"Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Perdana Menteri berkata sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Bumiputera telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Maka, Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional, tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Bumiputera, adalah tidak adil dan saksama, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak iaitu kerajaan sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak terbela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," kata Najib.

Najib turut menyelar sesetengah pelaku politik yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerunkan dan memesongkan pemikiran rakyat.

"Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi Merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam," kata Najib.

Berita lanjut: BERNAMA

Agenda Perkasa Bumiputera Tidak Bercanggah Dengan Dasar Transformasi Negara

9 Zulkaedah 1434

SHAH ALAM, 14 Sept, 2013- Agenda memperkasa Bumiputera dalam ekonomi negara tidak bercanggah dengan Dasar Transformasi Negara memandangkan agenda tersebut juga bertujuan memastikan tiada golongan masyarakat ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata agenda yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Golongan Bumiputera adalah golongan majoriti yang merangkumi dua pertiga daripada jumlah penduduk Malaysia. Kita perlu pastikan mereka juga tidak ketinggalan...," katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.

Antara inisiatif yang diumumkan Najib hari ini ialah Petunjuk Prestasi Utama kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perolehan yang diluluskan kepada vendor.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan mengenai penubuhan Unit Kerjasama Awam Swasta untuk melaksanakan inisiatif dalam mengenal pasti perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.

"Kita akan perincikan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan pastikan apa juga hasrat yang disebutkan tadi, kita laksanakan," kata Wahid.

Sementara itu, Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata Skim Jejak Jaya Bumiputera kali ini akan memberi fokus membina kapasiti syarikat-syarikat Bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Kami akan melihat cara untuk memperkasa dan memperbanyak lagi syarikat-syarikat Bumiputera yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Ekuinas diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera.

Skim tersebut diselia oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Program itu akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut maklumat yang diperoleh dari laman web Teraju, setakat 10 Jan 2013, tujuh syarikat berjaya di senarai di Bursa Malaysia.

Sumber- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...