Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, June 30, 2011

Negara Bakal Kerugian Akibat Perhimpunan Jalanan

Ekonomi negara dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit akibat daripada perhimpunan jalanan yang dirancang pada 9 Julai 2011 nanti. Namun, pihak penganjur seakan tidak mengambil peduli dan tetap akan meneruskan perhimpunan berkenaan meskipun mendapat bantahan dan rayuan daripada orang ramai.

Mungkin para penganjur terdiri daripada golongan elit dan sudah kaya. Selalunya bila berada dilangit rumput dibumi akan dilupakan. Sebagai seorang yang beriman, selalunya maslahat atau kepentingan umum perlu diutamakan berbanding dengan malahat individu. Dalam kes ini banyak pihak yang akan mengalami kerugian, dari pemandu teksi sehinggalah kepada golongan peniaga dan pengguna.Kepada golongan biasa, bersamalah kita tidak menyertai mana-mana kumpulan terlibat agar kita tidak digunakan oleh orang-orang atau individu-individu yang sering bersifat terlalu opportunis.

Maka untuk hidup tidak menyusahkan orang lain, maka eloklah kita berada dirumah sahaja pada 9 Julai nanti. Tak payah la nak sertai mana-mana pihak menyertai perhimpunan berkenaan. Secara kebetulan setiap paksi yang nak berhimpun itu terdiri daripada golongan-golongan yang semakin suam-suam kuku dalam politik.

@MyIktisad

Wednesday, June 29, 2011

Pencarum KWSP Perlu Diberi Pilihan

Kerajaan sewajarnya menimbang untuk memberi pilihan kepada para pencarum jika mereka berhasrat untuk mengurangkan caruman mereka daripada 11 peratus kepada 9 peratus. Ini berlawanan dengan langkah kerajaan yang mengurangkan caruman, tetapi memberi pilihan kepada pencarum untuk mengekalkan kadar caruman sedia ada.

Dalam keadaan kekangan kos yang semakin meningkat, adalah munasabah jika peluang diberikan kepada para pencarum yang memerlukan wang tambahan dalam mengurangkan beban tanggungan mereka. Ini dapat mengelakkan sedikit sebanyak golongan yang sering terjerat dengan tunggakan kad kredit atas kekangan kewangan. Nilai wang sebenarnya paling tinggi apabila ianya amat-amat diperlukan. Di saat para pencarum bertungkus lumus membentuk keluarga dan membesarkan anak-anak dan menyediakan keperluan pendidikan, sudah tentunya wang berkenaan diperlukan berbanding semasa berumur 50 tahun. Itupun kalau sempat sampai umur 50 tahun. Sekurang-kurangnya langkah ini memberi peluang lebih ramai pencarum merasa wang hasil pekerjaan mereka berbanding dengan hanya waris yang menikmatinya nanti.

Jika ianya direalisasikan, sudah semestikan meningkatkan kuasa beli rakyat dan negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada aliran pelaburan asing. KWSP pula, tidak perlu bersusah payah melabur di luar negara yang mana risiko pelabuaran di luar negara lebih tinggi dan amat sukar diramalkan. Jika ada kesatuan pekerja yang membantah cadangan ini, katakan sahaja kepada mereka " Ini duit aku! suka hatilah aku nak buat apa".Lagipun, 9 % lagi kan ada?"Pilihan di tangan masing-masing.

@MyIktisad

Tuesday, June 28, 2011

GST Bukan Pilihan Terbaik Untuk Kerajaan

Bernama baru-baru ini melaporkan bahawa seorang menteri telah membuat kenyataan bahawa Malaysia perlu memikirkan untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) kerana ia penting bagi melebarkan asas cukai kerajaan.Katanya rakyat perlu menerima hakikat bahawa kerajaan perlu melaksanakannya kerana waktu itu kerajaan akan mempunyai wang yang amat mencukupi untuk kegunaan semua pihak, terutama sekali golongan miskin.

Namun begitu saya berpendapat, dengan adanya GST, rakyat miskin juga terpaksa membayar cukai apabila melanggan barangan dan perkhidmatan. Dengan kata lain pi mai pi mai tang tu jugak. Malahan natijahnya lebih buruk lagi dengan makin bercambahnya persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan. Mungkin hal seperti ini tidak terjangkau dalam fikiran beliau(menteri berkenaan) kerana beliau bukannya ahli politik sebelum ini.

Selain itu, apabila pendapatan dipusatkan kepada kerajaan,risiko serangan ekonomi, kebocoran, kelemahan dan ketirisan juga tidak dapat dielakkan. Berbanding jika wang berkenaan dibiarkan dikalangan individu-individu segenap lapisan, ianya bakal menggalakkan kuasa beli rakyat dan meningkatkan permintaan ekonomi domestik. Apabila ekonomi rancak, ianya bakal membuka peluang pekerjaan dan akhirnya bakal masuk balik ke kantung kerajaan melalui cukai pendapatan.

Mengikut konsep ekonomi yang pernah diamalkan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir, ekonomi akan bergerak pantas jika wang berpindah dengan lebih pantas dikalangan rakyat. Jika cukai GST dikenakan, maka setiap perbelanjaan akan dikenakan cukai dan ianya bakal membebankan rakyat tak kira yang miskin atau yang kaya. Yang kaya akan beralih berbelanja di negara-negara yang tak ada GST, manakala yang miskin tiada pilihan dan keseluruhan rakyat mungkin mengurangkan perbelanjaan. Apabila perbelanjaan dikurangkan, maka ianya akan melemahkan permintaan ekonomi domestik. Dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi dunia , aliran pelaburan langsung tidak boleh diharapkan sangat.Kita pada masa itu amat-amat memerlukan permintaan domestik bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi mencapai wawasan 2020.

Apa yang penting ialah perlunya kita mencari kaedah percukaian terbaik dan ianya menuntut daya kreativiti dan inovasi di peringkat pembuat dasar. Sistem percukaian Islam di zaman kegemilangan pemerintahan Islam yang terbukti telah berjaya, terutama di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, boleh dikaji untuk diadaptasikan di sini. Janganlah pula  dikata ianya tidak sesuai jika tiada sebarang kajian dibuat.Belum cuba belum tahu....


@MyIktisad

Monday, June 27, 2011

Wujudkan Lembaga Zakat Kebangsaan

Buat masa kini, urusan zakat diuruskan oleh negeri-negeri masing-masing di negara ini. Penerima zakat dikategorikan mengikut alamat tempat tinggal. Namun begitu tiada sekatan jika zakat ingin dibayar di mana-mana negeri. Namun dari segi penerimaan bantuan, pengalamanku berurusan untuk mendapatkan bantuan untuk saudaraku(abangku) yang sedang koma pada tahun lepas amat menyedihkan. Aku ingin memohon agar potongan zakat yang aku bayar secara bulanan diberikan kepada sedaraku ditolak.

Kemudian, permohonan bantuan pula berdasarkan alamat di kad pengenalan , tak silap aku dan mengikut negeri. Terpaksa la berulang alik ke sana sini menagih simpati.Namun tak sempat nak dapat bantuan, sedara aku meninggal dunia.

Namun pengajarannya, jika proses birokrasi ini menjadi puncanya eloklah ditubuhkan lembaga zakat kebangsaan di mana semua penduduk di negara ini layak membayar zakat dan menerima zakat darinya. Boleh juga namakan organisasi baru ini sebagai Zakat 1Mlaysia ke , 1Umat ke dan lain-lain yang senama dengannya.

Masa untuk tunggu permohonan dan aduan sudah berlalu. Para pentadbir perlu turun padang untuk meninjau golongan-golongan yang amat memerlukan, yang mana mereka juga bukanlah dari jenis golongan yang meminta-minta. Contohilah khalifah -khalifah Islam di zaman lampau yang turun padang mencari penerima zakat dan bantuan.Jika ini dapat dilakukan, maka tidak mustahil konsep keadilan sosial dapat dicapai di negara ini di mana rakyat sering didahulukan.

@MyIktisad

Sunday, June 26, 2011

Isu Fatwa Haram Amanah Saham Bumiputra(ASB) : Perlu Dicari Penyelesaian Terbaik

Baru-baru ini Majlis Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa yang mengharamkan pelaburan ASB berdasarkan hujah-hujah tertentu. Namun fatwa terbaru ini bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan beberapa tahun lalu.

Namun bukan niat penulis hendak mempertikaikan apa yang telah diputuskan oleh kedua-dua badan fatwa berkenaan.Apa yang penting penyelesaian perlu dicari bagi menyelesaikan polemik yang seakan tidak berkesudahan ini. Pengguna dan pelabur yang majoriti dari umat Islam yang akan rugi disebabkan ketidakseragaman fatwa berkenaan. Bayangkan kita terpaksa keluar masuk dana yang kita simpan disebabkan fatwa yang berubah-ubah. Diharapkan agar tiada unsur politik yang dibuat dalam hal ini memandangkan Persekutuan dan negeri sekarang mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Bagi kerajaan yang mendokong Rakyat didahulukan, maka sudah sampai masanya pendekatan yang luar biasa perlu diambil agar pelabur tidak terus menjadi mangsa. Isu seperti pelaburan ASB di sebuah kumpulan perbankan konvensional perlu diselesaikan dengan proses "de-merger" terhadap syarikat perbankan berkenaan di antara konvensional dan Islam. Equiti pemilikan oleh ASB perlu dipindahkan kepada entiti yang berlandaskan Islam, manakala kumpulan perbankan induk sebelum ini masih boleh memegang ekuiti majoriti tertentu entiti perbankan Islam berkenaan melalui proses penyenaraian baru. Maka dengan itu isu percampuran pendapatan perbankan  konvensional dan Islam dapat diselesaikan dengan baik.

@MyIktisad

Saturday, June 25, 2011

Harga Punca Kegagalan Penggabungan RHB

Rata-rata akhbar utama hari ini telah melaporkan bahawa penjualan 25 peratus pegangan Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB) dalam RHB Capital Bhd. (RHBCap), bank kelima terbesar di Malaysia kepada Aabar Investment (Aabar) merupakan antara punca cadangan rundingan penggabungan RHB dan pembidanya terdiri daripada CIMB dan Maybank tidak diteruskan.

Kedua-dua pihak sama ada CIMB atau Maybank telah membuat kenyataan bahawa hasil pernilaian yang dilakukan pihak yang berkaitan telah mendapati bahawa cadangan penggabungan itu tidak mampu mencipta nilai kepada syarikat.Harga transaksi bagi penjualan 25 pegangan ADCB yang bernilai RM 10.80 sesaham dilihat tidak boleh memberi nilai kepada pemegang saham atau menghasilkan sesuatu seperti yang diharapkan.Oleh yang demikian kedua-dua pihak berkenaan mengambil tindakan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut.

Namun, saya berpendapat bagi setiap apa yang berlaku akan adanya peluang disebaliknya. Seperti yang pernah ditulis di blog ini sebelum ini, pembaziran-pembaziran sumber tertentu mungkin dapat dielakkan jika penggabungan ini gagal. Mungkin penggabungan antara bank-bank kecil bakal memberi nilai tambah yang lebih signifikan di dalam industri perbankan di Malaysia. Apa yang lebih mustahak pada masa kini ialah penggabungan bank-bank Islam dilihat lebih mendesak bagi menghasilkan Bank Islam Mega yang dapat bersaing di pasaran terbuka dengan sistem konvensional sedia ada.

Thursday, June 23, 2011

Kedai 1Malaysia: Cahaya DiHujung Jalan

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Kedai 1Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri.Ianya diperumpamakan pemberian diskaun setiap hari. Perkataan ini  paling tepat bagi menggambarkan betapa Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen LRT Kelana Jaya baru-baru ini mampu meringankan beban rakyat jelata.Kedai berkenaan dijangka menawarkan potongan harga barangan keperluan di bawah jenama 1Malaysia yang cukup istimewa sehingga mencapai 64 peratus daripada harga sebenar.Kewujudan kedai ini dijangka akan diperluaskan.

Antara yang menjadi perhatian adalah penjualan beras super tempatan lima peratus hancur pada harga RM21.99 berbanding RM26.50 untuk jenama terkenal, sardin 425 gram pada harga RM2.99 (RM6.10) dan roti sandwich RM1.79 (RM2.40). Kedai berkenaan diamanahkan kepada  Mydin Mohamed Holdings Berhad untuk direalisasikan.

Menurut sumber Terdapat 250 barang keperluan ditawarkan dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa. Harga ditawarkan adalah kekal dan bukan seperti 'yoyo' kerana matlamat kami bukan untuk mencari keuntungan," kata Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin kepada Utusan Malaysia.

Saya yakin dan percaya  bahawa  kewujudan kedai ini bakal memberi persaingan kepada kedai-kedai runcit yang rata-rata kini semakin dimonopoli oleh peniaga-peniaga asing.Pada mula kewujudan kedai berkenaan memanglah mereka menawarkan harga yang murah. Namun apabila makin ramai peniaga tempatan yang gulung tikar dan mereka mula memonopoli perniagaan, harga yang mereka tawarkan mula menjadi semakin tidak munasabah.Oleh itu kewujudan Kedai 1Malaysia amat tepat pada masanya dan diumpamakan cahaya yang muncul dihujung jalan.

@MyIktisad

Tuesday, June 21, 2011

Pengendali Blog Adalah Harta Intelek Negara

Mungkin ada yang ketawa dengan kenyataan diatas. Namun jika difikirkan secaramendalam, dengan pelbagai kandungan positif yang boleh dimanfaatkan di blog-blog yang ada di Malaysia, ianya boleh dimanfaatkan sebagai gedung ilmuan yang baru. Mungkin kenyataan ini tidak dipersetujui oleh kebanyakan  ahli-ahli akademik kerana rujukan mereka rata-rata masih berkiblatkan sekitar kepada jurnal-jurnal yang diiktiraf oleh mereka.

Bagi golongan yang dahagakan ilmu kemahiran, mereka terpaksa bergantung kepada blog untuk berlajar. Sebagai contoh, kita mungkin mencari blog yang menceritakan bagaimana hendak buat kuih, kek, membuat baju dan sebagainya. Bagi yang otaknya lebih komersial, blog mereka juga dimanfaatkan untuk tujuan pengiklanan. Bayangkan jika setiap laman blog berjaya meraih RM 10 sebulan. Jika Malaysia mempunyai 1 juta laman blog, maka ianya bakal menghasilkan RM 10 juta sebulan dan RM 120 juta setahun. Ini secara tak langsung mewujudkan industri baru di alam maya.

Oleh yang demikian, industri ini perlu diiktiraf sebagai salah satu sumber keberhasilan yang baru dalam merealisasikan hasrat menjadikan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Malaysia boleh!

@MyIktisad

Sunday, June 19, 2011

Kita Perlu Keluar Dari Zon Selesa

Tun Dr Mahathir berkata bahawa semua negara perlu keluar dari "zon selesa" dan bergerak maju seiring dengan negara-negara lain dalam dunia sekarang yang penuh mencabar dan bergerak pantas (Bernama,19 Jun 2011). Tambah beliau kita perlu peka dengan apa yang sedang berlaku dan perlu tampilkan idea-idea sendiri agar kita berupaya selangkah di hadapan berbanding sesetengah negara dalam bidang-bidang tertentu.

Saya berpendapat jika konsep ini yang mahu kita ketengahkan, ianya memerlukan keberanian dan iltizam yang tinggi untuk berubah. Ianya melibatkan pelbagai peringkat sama ada dari pimpinan negara sehingga rakyat biasa. Bagi umat Islam, amalan terhadap Islam sebagai satu cara hidup serta  keikhlasan dalam melakukan sesuatu adalah kunci utama dalam mencapai kejayaan.

Dari segi pengurusan ekonomi juga, kita perlu keluar dari zon selesa dengan berani mencuba mengadaptasi semula sistem perekonomian Islam tanpa meretorikkan perlaksanaannya. Kenapa kita masih hendak mengadaptasikan sistem perekonomian yang semakin hari semakin rapuh dengan satu demi satu krisis yang berlaku? Terbaru ialah krisis yeng melanda di Greece. Dalam suasana ekonomi yang semakin kompleks dan kucar kacir, sistem ekonomi Islam dilihan sebagai suatu pilihan yang perlu diberikan perhatian yang serius untuk dilaksanakan.

Sietem pertahanan ekonomi negara perlu diperkuatkan dengan memastikan keperluan rakyat diutamakan berbanding kepentingan pentadbiran kerajaan. Ini termasuk dengan menyasarkan mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi.Maka dengan mempunyai rakyat berpendapatan tinggi, seterusnya bakal mewujudkan permintaan domestik yang tinggi dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara di mana permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan meningkat, seterusnya menggalakkan aktiviti ekonomi .

Oleh yang demikian, kerajaan bakal mendapat manfaat daripada cukai yang bakal dikutip terhadap rakyat yang pendapatannya makin meningkat tinggi.Secara kesimpulannya, mempunyai majoriti rakyat yang berpendapatan tinggi akan secara tidak langsung akan mewujudkan kerajaan yang berpendapatan tinggi. Manakala mempunyai kerajaan berpendapatan tinggi tidak semestinya akan menyebabkan rakyat berpendapatan tinggi. Amat bertuah jika semua pihak bermula dari segenap lapisan dapat mentafsirkan dan merealisasikan dengan tepat slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

@MyIktisad

Wednesday, June 15, 2011

Teknologi 4G: Kerajaan Disaran Menganugerahkan Spektrum Kepada Syarikat Pemilikan Institusi

Di dalam industri telekomunikasi negara, ianya telah difahamkan bahawa lebih kurang sembilan (9) syarikat telah disenarai pendek untuk dianugerahkan spektrum mudah alih 2.6G Evolusi Jangka Panjang(EJP) atau"Long Term Evolution(LTE)" atau juga dikenali sebagai Generasi ke empat( 4G ).Antanya ialah empat pemain 3G sedia ada (Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd) dan lima penyedia teknologi WiMAX (Asiaspace Sdn Bhd, Packet One Network (M) Sdn Bhd, REDtone Int Bhd, YTL Communications dan Puncak Semangat Sdn Bhd).

Di antara syarikat di atas hanya Celcom Axiata Bhd sahaja yang berstatus syarikat berkaitan kerajaan selepas proses pemisahannya dengan Kumpulan TM dilakukan pada  sekitar tahun 2008, yang mana Celcom memberi tumpuan kepada perniagaan mudah alih, manakala TM pula memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan Jalur Lebar berkelajuan tinggi negara. Namun begitu, pada kali ini kumpulan TM tidak disenaraikan pendek untuk pengagihan spektrum baru ini dan tiada sebab diberikan oleh mana-mana pihak buat masa ini. Lain-lain syarikat adalah syarikat senaraian dan tidak disenaraikan yang majoriti sahamnya dipegang oleh individu-individu tertentu. Ada di antara pemiliknya sudahpun tersenarai di antara individu yang terkaya di Malaysia.

Rata-rata mengetahui bahawa sektor telekomunikasi adalah salah satu sektor yang lumayan di negara ini. Ledakan teknologi maklumat dan kandungan telah melonjakkan sektor ini ke suatu tahap yang amat paling menguntungkan. Namun begitu kehadiran begitu ramai pesaing yang menyediakan kemudahan infrastruktur dilihat bakal merugikan negara. Ini sudah tentu akan menyebabkan pertindihan infrastruktur dan sudah tentu  bakal menyebabkan pengaliran wang ke luang negara dengan jumlah yang amat besar. Cuba bayangkan jika setiap pesaing terpaksa membelanjakan RM 2 billion untuk membina rangkaian masing-masing, sudah tentu ianya bakal menyebabkan pengaliran wang berjumlah RM18 billion. Itu belum mengambil kira kos sistem sokongan yang perlu dibangunkan.

Kita sepatutnya berlajar daripada phasa konsolidasi pertama yang telah dibuat pada sekitar 1998 hingga 2004. Ada pemain industri yang terpaksa menjual lesen dan mengambil peluang mengaut keuntungan daripada poses berkenaan. Ini kerana, suasana pasaran ketika itu berpendapat bahawa negara tidak memerlukan sebegitu banyak pesaing.Persoalannya, kenapa kita masih mudah lupa dan cuba mengulangi kesilapan yang sama?Bahkan jumlah pemain pada kali ini adalah satu kali ganda jika dibandingkan pada masa phasa 1 konsolidasi pasaran sebelum ini.

Sudah sampai masanya kerajaan menimbang agar mengenakan jumlah yuran yang setimpal kepada pihak berkenaan yang membida atas kapasiti syarikat berstatus dimiliki majoriti oleh individu tertentu. Ini telah dilakukan oleh beberapa negara. Bayangkan jika sebuah syarikat dikenakan bayaran yuran lesen sebanyak RM 5billion, maka kerajaan secara kasar bakal memperolehi sebanyak RM45 billion. Maka jumlah berkenaan dapat digunakan untuk menampung belanjawan defisit negara. Pihak yang berwajib perlu berfikiran komersial bagi membantu kerajaan meningkatkan pendapatan dari sudut yang berbeza. Zaman yang menggunakan kaedah memindahkan beban kepada pihak awam seperti manaikkan cukai, merasionalisasikan subsidi dan sebagainya sudah berlalu. Penjawat awam yang terlibat dalam proses seperti ini perlu berfikiran luar dari biasa agar tindakan dan keputusan yang dilakukan mereka bakal memberikan impak yang positif kepada kerajaan dan rakyat.

Manakala syarikat yang berstatus dimiliki institusi awam atau berkaitan kerajaan mungkin boleh dikecualikan daripada syarat yuran berkenaan. Langkah lain yang boleh diberi pertimbangan ialah dengan mewujudkan hanya 2 penyedia rangkaian yang menawarkan khidmat borong atau "wholesale " kepada pemain-pemain yang ada.Tak guna jika kita masih mempunyai banyak penyedia rangkaian, sedangkan tahap servis masih berada pada takuk yang lama. Kaedah ini( hanya 2 penyedia rangkaian) sudah tentu lebih menjimatkan perbelanjaan modal dan lain-lain yang berkaitan seperti sistem, buruh dan sebagainya. Dengan cara ini diharapkan agar semua pihak dapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada polisi seperti ini. Untuk merealisasikannya, sudah tentu ianya menuntut iltizam yang tinggi daripada pembuat polisi negara.

@MyIktisad

Monday, June 13, 2011

Struktur Ekonomi Negara Perlu Kajian Semula

Negara telah berhadapan dengan pelbagai krisis ekonomi yang melanda sama ada di dalam negara ataupun diluar negara. Keduanya mampu memberikan impak kerosakan ekonomi yang agak ketara. Namun, kita seolah mudah lupa apa yang telah berlaku dan acapkali cenderung untuk mengulangi kesilapan yang lampau.

Malaysia , walaupun diiktiraf sebagai salah sebuah negara Islam dilihat masih lagi terpengaruh dengan ekonomi konvensional walaupun agak kehadapan dalam memperkenalkan sistem perbankan Islam. Namun kita masih lagi agak keberatan untuk membuat kajian dari segi aspek percukaian yang melibatkan konsep Islam. Kita juga ingin memperkenalkan GST, apabila melihat negara-negara barat yang berkonsepkan sistem kapitalis menggunakan kaedah yang sama. Saya berpendapat, jika kita mampu mengadaptasikan sistem perbankan Islam, mengapa tidak dicuba sistem percukaian Islam?

Krisis ekonomi yang berlaku pada sekitar 1998, telah membuktikan di mana matawang boleh diniagakan di mana penyangak matawang melakukan aktiviti spekulasi dalam urusniaga matawang. Negara-negara barat rata-rata menyatakan nilai matawang perlu ditentukan memalui kuasa pasaran iaitu dengan kata lain melalui "market forces". Tun Mahathir, dengan cara beliau sendiri telah membuktikan bahawa konsep sebegini telah mendedahkan serangan terbuka terhadap pertahanan ekonomi sesebuah negara. Kawalan matawang negara telah menyelamatkan negara dari krisis yang lebih besar lagi.

Kini, berlaku lagi krisis ekonomi yang mana ianya disebabkan oleh kenaikan barangan komoditi utama dunia seperti minyak. Sebagaimana yang kita maklum bahawa, harga komoditi juga  ditentukan melalui bursa-bursa komoditi yang mana harganya ditentukan oleh kuasa pasaran. Begitu juga komoditi lain, seperti makanan seperti minyak kacang soya, minyak sawit dan sebagainya. Cuma yang belum ialah mungkin bursa yang menentukan harga ikan dan ayam. Namun disebabkan ternakan berkenaan juga bergantung kepada komoditi makanan, maka kos menternak juga akan turut mengalami kenaikan.

Prinsip keadilan sosial adalah penting bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara yang mempunyai rakyat berpendapatan tinggi dan bukannya menjadikan negara berpendapatan tinggi, tetapi rakyatnya berpendapatan rendah.  Kenyataan seperti ini perlu dibezakan dengan betul.

Mempunyai lebih rakyat berpendapatan tinggi adalah lebih baik daripada mempunyai negara yang berpendapatan tinggi. Apabila wang berlegar dengan lebih cepat dikalangan rakyat, maka sesebuah negara itu sedang mengalami perkembangan ekonomi yang rancak. Ianya bakal menguatkan pertahanan ekonomi negara, kerana lebih ramai pihak yang memegang wang di dalam sesebuah ekonomi. Ini berbeza jika hanya kerajaan dan beberapa syarikat besar memegang wang. Ini akan membolehkan sasaran pihak musuh hanya dipusatkan kepada kerajaan dan hanya beberapa syarikat sahaja. Oleh itu agak mudah serangan dilakukan oleh penyangak ekonomi. Pembaziran dan ketidakcekapan penjawat awam dan penjawat professional di syarikat besar  juga bakal memberi risiko yang besar.Oleh itu tiada guna jika kerajaan dan syarikatnya mempunyai pendapatan tinggi, tetapi rakyatnya mempunyai pendapatan yang rendah dan mengakibatkan kuasa beli yang rendah.

Sudah tiba masanya bagi pembuat dasar membuat kajian dari masa ke semasa untuk mencorakkan semula sistem ekonomi negara. Sistem pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz perlu diberi ruang untuk dibuat kajian sebagai "lesson learn" agar kita dapat mencari sinar dihujung jalan terhadap kegawatan ekonomi semasa yang sedang melanda.

@MyBancik

Friday, June 10, 2011

Penyata Kewangan

Penyata kewangan (atau laporan kewangan) adalah catatan secara formal dari kegiatan kewangan yang dilakukan dari sudut seseorang atau individu , perniagaan atau entiti-entiti yang  lain. Secara umumnya atau secara perundangan  laporan kewangan secara sinonimnya sering disebut sebagai akaun, walaupun istilah  laporan kewangan juga digunakan, terutama oleh akauntan.

Untuk perniagaan, semua maklumat kewangan yang relevan, disajikan secara berstruktur dan dalam bentuk yang mudah difahami dikenali sebagai laporan kewangan.Laporan ini biasanya meliputi empat laporan kewangan asas, disertai dengan perbincangan dan analisa pengurusan:

1.Penyata Kedudukan Kewangan
  Ianya juga disebut sebagai Kunci Kira-kira yang melaporkan kedudukan aset- aset syarikat, liabiliti, dan      ekuiti pemilikan pada suatu masa yang  tertentu.

2.Penyata Pendapatan
Ianya juga disebut sebagai laporan Untung Dan Rugi (atau "P & L"), laporan pendapatan syarikat, bayaran, dan keuntungan selama tempoh masa yang tertentu.Akaun ini memberikan maklumat mengenai operasi syarikat. Ini termasuk jualan dan pelbagai kos yang timbul semasa perniagaan beroperasi.Penyata ini membandingkan diantara pendapatan dan perbelanjaan. Jika jumlah pendapatan melebihi perbelanjaan, penyata berkenaan akan menunjukkan keuntungan dan begitu juga sebaliknya.

3.Penyata Perubahan Ekuiti
 Ianya menjelaskan perubahan ekuiti syarikat selama tempoh laporan.

4.Penyata Aliran Tunai
 Ianya merujuk kepada  laporan kegiatan aliran tunai perniagaan, khususnya operasi, pelaburan dan    pembiayaan.

Untuk syarikat besar, laporan seperti ini seringkali bertambah kompleks dan mungkin merangkumi keperluan nota terhadap akaun di  atas laporan kewangan dan untuk tujuan perbincangan pengurusan dan penganalisaan. Nota-nota ini biasanya akan menjelaskan setiap butiran pada kunci kira-kira, laporan untung dan rugi serta laporan aliran tunai secara terperinci dan lebih lanjut. Nota atas laporan kewangan dianggap sebagai bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari laporan kewangan kerana ianya membekalkan maklumat lanjut berkenaan sesuatu perniagaan.


Tuesday, June 7, 2011

Krisis Kenaikan Harga Minyak Angkara Penyangak Komoditi

Utusan Malaysia melaporkan pada 6 Jun 2011 bahawa harga minyak mentah dunia yang kini diniagakan lebih AS$100 (RM300) setong, sepatutnya kekal pada paras antara AS$75 (RM225) hingga AS$80 (RM240) setong. Ini dinyatakan oleh  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Menurut beliau, paras harga itu adalah bersesuaian dengan asas atau dasaran pasaran dan suasana kos semasa.‘‘Harga memainkan peranan yang penting dalam keputusan pembahagian sumber oleh pengguna dan pengeluar.‘‘Oleh itu, apabila harga pasaran semasa hanya dipengaruhi oleh langkah yang diambil oleh bank-bank pusat dan spekulator kewangan, ia adalah membimbangkan,’’ kata beliau semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-16 2011 di sini hari ini.

Bagi saya, krisis ini mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh penyangak matawang di sekitar tahun 1998 yang lampau.Namun, dengan menggunakan penyelesaian yang kreatif dan berani, negara telah berjaya keluar daripada krisis berkenaan tanpa mengikut arahan dan telunjuk pihak lain. Sesungguhnya krisis yang berlaku sekarang menuntut iltizam dan daya juang yang sama dari semua rakyat Malaysia.

"I did it my way..."

@MyIktisad

Sunday, June 5, 2011

Tingkatkan Kualiti Jalan Raya Negara

Ruangan Awang Selamat di Mingguan Malaysia hari ini mengutarakan topik "Jalan Oh Jalan" yang membangkitkan isu kualiti jalan raya di negara ini. Sudah banyak kali topik ini diutarakan namun seolah tiada kesudahan. Berita yang dipaparkan di akhbar yang sama pada hari ini menyentuh satu kemalangan maut yang berlaku di Sabah akibat kualiti jalan raya.

Topik yang sama juga pernah saya paparkan di blog MyBancik :http://mybancik.blogspot.com/2011/06/jalan-raya-kita-semakin-teruk.html beberapa hari lepas. Sesungguhnya banyak kerugian sumber yang berlaku akibat kualiti jalan raya yang teruk. Antaranya :

1. Pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk penyelenggaraan kenderaan akibat kerosakan tayar dan sebagainya.
2. Kemalangan maut menyebabkan pembaziran sumber manusia .
3.Kesesakan jalan raya yang teruk akibat rata-rata kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan akibat jalan yang rosak.
4. Apabila berlakunya kesesakan maka berlakulah pembaziran subsidi yang mana ianya menambahkan kuantiti penggunaan petrol.
5. Tekanan semakin bertambah dan menyebabkan rata-rata rakyat jelata semakin "stress" akibat kesesakan jalan raya yang teruk.
6. Apabila rakyat semakin "stress" maka , rata-rata mereka semakin sensitif dan apa jua program pembahruan yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan bakal menyebabkan rakyat merasa terbeban dan bakal mewujudkan suasana ketidakstabilan politik akibat rasa tidak puas hati.
7. Semakin banyak kes kematian mengejut di kalangan golongan professional muda akibat gejala "stress" berlebihan.
8.Dan sebagainya.

Sesungguhnya keadaan ini merugikan dari sudut ekonomi secara tidak langsung.Dengan itu, sudah tiba masanya pihak yang berwajib sentiasa turun padang untuk memantau kualiti jalan raya yang terdapat di negara ini. Takkan asyik hendak terima laopran atau aduan baru hendak bertindak, menunggu kunjungan orang atasan atau berlakunya pilihanraya kecil baru hendak dilakukan penambahbaikan.

Percayalah, zaman menunggu laporan atau aduan sudah berlalu. Politik berlebihan(tak kira lah sebelah manapun) pada masa kini amat merugikan negara dan rakyat.Pihak yang diberikan amanah perlu turun padang sendiri bagi memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan mereka iaitu rakyat marhain.

Saturday, June 4, 2011

Pengambilalihan RHB Bank : Industri Disarankan Mewujudkan Bank Islam Mega

Sektor perbankan negara pada minggu ini telah digegarkan dengan berita cadangan pengambilalihan RHB Bank oleh dua bank terkemuka di Malaysia iaitu Maybank dan CIMB. Penggabungan ini jika berlaku bakal mewujudkan sebuah bank yang bakal diiktiraf antara terbesar di Asean. Bagi saya kedua-dua pihak yang berminat untuk ambil alih mempunyai peluang yang sama.

Namun, akan timbul isu pertindihan tugas kakitangan dan cawangan apabila bank berkenaan bergabung. Ianya sudah tentu mewujudkan pembaziran sumber di mana para pekerja yang telah dilatih selama ini sebilangannya terpaksa diketepikan manakala, cawangan yang telah cantik dibangunkan dan diubahsuai bakal diabaikan dan dirobohkan disebabkan untuk penyelarasan jenama. Sistem yang telah dibangunkan dan telah dilaburkan selama ini juga terpaksa diketepikan begitu sahaja. Kadar pengangguran juga tak boleh diketepikan sama sekali akibat proses rasionalisasi yang bakal dijalankan.

Sudah sampai masanya pihak kawalselia industri dan pihak yang berwajib berfikir secara kreatif dalam hal ini. Saya berpendapat dan mencadangkan agar lesen RHB Islamic Bank dikekalkan dan entiti ini dicadangkan untuk mengambilalih penyenaraian RHB Capital . Entiti ini perlu dipisahkan(demerger) daripada proses pengambilalihan ini.  Pengambilalih yang tidak berjaya boleh ditawarkan untuk menyertai ekuiti entiti baru ini dan saham tambahan baru disarankan agar  ditawarkan kepada umum untuk menambah jumlah saham berbayar entiti berkenaan.

Penyenaraian Bank Islam ini bakal membuka lebih peluang dan alternatif kepada para pelabur yang amat mengambil berat dari segi soal  halal dan haram di sudut pelaburan mereka, yang mana peluang pelaburan seperti ini pada masa sekarang amat terhad di sektor perbankan negara. Ianya juga bakal berpotensi menarik lebih ramai pelabur dari timur tengah dan menggalakkkan pelaburan langsung ke dalam negara.

Dari segi kesan sosial pula, kerajaan dapat mengelakkan masalah pengangguran yang bakal berlaku akibat proses rasionalisasi ini, yang mana pekerja yang berlebihan boleh mengambil pilihan untuk kekal di Bank Islam mega berkenaan. Pembaziran sumber juga dapat dielakkan di mana sistem, cawangan dan lain-lain sumber yang bertindih masih dapat dimanfaatkan di entiti berkenaan.

Bank Islam mega yang tersenarai ini juga kemudian boleh meninjau peluang di luar negara terutamanya yang melibatkan negara Islam sebagai salah satu strategi untuk menjadi Bank Islam Mega di dunia. Jika kita ada kemahuan, sudah tentu ada jalannya.

@MyBancik

Wednesday, June 1, 2011

Bernama TV Dijual Kepada Media Prima?

Bernama melaporkan bahawa Media Prima Bhd tidak menolak kemungkinan memiliki satu lagi stesen televisyen atau mengambil alih Bernama TV sebagai salah satu strategi daripada pelan pembesaran perniagaannya. Dari segi strategi perniagaan ianya merupakan peluang yang baik bagi mana-mana syarikat dalam proses mengembangkan perniagaannya.

Namun begitu, saya berpendapat , rancangan ini jika berjaya  bakal mewujudkan suasana monopoli didalam industri penyiaran negara. Cukuplah kita selama ini telah disajikan dengan hanya satu  TV satelit yang mempunyai konsesi monopoli yang panjang yang mana tiada pilihan diberikan kepada pelanggan jika kualiti siaran dan kandungannya sering bermasalah.

Bukan untuk masuk campur dalam hal perniagaan orang lain, namun pertimbangan yang sewajarnya perlu diberikan oleh pihak berkuasa dalam memutuskan hal-hal seperti ini. Saya  berpendapat adalah  lebih baik jika RTM disuntik ke dalam Bernama TV selaras dengan pelan pengkoperatan stesen TV milik kerajaan tersebut. Ini sudah tentunya bakal membentuk satu lagi gergasi stesen TV di Malaysia dan ianya sudah tentu bakal mewujudkan persaingan yang lebih sihat di dalam industri penyiaran negara.

@MyIktisad

Rujukan:
http://www.bernama.com/bernama/v5/newsindex.php?id=590735

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...