Bursa Malaysia

top_rightads

Sunday, March 31, 2013

Bank Pusat Asia Kaji Kemungkinan Risiko Perbankan Bayangan Dalam Sistem Kewangan

19 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Mac, 2013- Bank-bank pusat Asia mengkaji secara serius kemungkinan risiko aktiviti perbankan bayangan dalam sistem kewangan di seluruh rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk terus melindungi keseluruhan sistem kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata tidak terdapat maklumat yang mencukupi tentang perbankan bayangan di rantau ini, menyebabkan pembuat dasar Asia mewujudkan kumpulan kerja untuk mengumpulkan maklumat tentang perbankan bayangan.

Beliau berkata perbankan bayangan, yang merupakan sektor perbankan tidak dikawal atur, telah menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan global, terutamanya di Amerika Syarikat.

"Ini adalah sesuatu yang kami mahu tangani segera, sementara ia masih kecil (di rantau ini) dan kurang berkait, tetapi ia akan menjadi semakin besar dari segi skala dan lebih berkait dengan sistem kewangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama mesyuarat Kumpulan Perundingan Serantau Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) untuk Asia di sini Khamis.

FSB berkata perbankan bayangan didefinisikan perantaraan kredit yang dijalankan oleh entiti tertentu dan melibatkan aktiviti di luar sistem perbankan biasa seperti dana lindung nilai dan dana pasaran wang.

Ia mewakili kira-kira 25 peratus jumlah perantaraan kewangan global.

Zeti berkata kumpulan kerja itu, dijangka menghasilkan penilaian mengenai aktiviti perbankan global di rantau ini pada September, akan melihat kepada kepentingan perniagaan dan rangka kerja pengawal aturan yang boleh menangani potensi risiko yang kemungkinan timbul dalam sektor-sektor ini.

Mesyuarat keempat itu dipengerusikan bersama dengan Gabenor Bank of Korea GKim Choongsoo.

Zeti berkata kumpulan kerja itu akan mengkaji profil perbankan bayangan di Asia, isu-isu dan cabaran serta risiko perbankan bayangan dan akan membandingkan profil Asia dengan trend global.

"Kami akan memahami rejim kawal atur dan kemungkinan melanjutkan rejim-rejim ini kepada perbankan bayangan dan menghasilkan saranan dasar.

"Walaupun ia masih tidak memberi impak ketara kepada sistem kewangan kita, kami mahu mengumpulkan maklumat dan melihat apakan impak kepada keseluruhan sistem kewangan kita.

"Perbankan bayangan di bahagian sebelah sini dunia, mungkin dalam bentuk yang berbeza, tetapi kita tidak mahu berada pada kedudukan di mana kita mempunyai sektor perbankan yang dikawal atur sempurna sementara satu lagi segmen sistem kewangan kita pula kurang dikawal atur dan bercanggah. Ini boleh menyumbang risiko kepada kestabilan kewangan. Ini adalah rasional untuk mengkaji bidang ini," katanya.

Ditanya jika terdapat kemungkinan bank-bank Asia mengawal atur aktiviti perbankan bayangan di masa depan, Zeti berkata ini adalah sesuatu yang patut ditimbangkan oleh setiap bidang kuasa.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Affin Holdings Tamatkan Perundingan Ambil Alih Bank Muamalat

19 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Mac , 2013 Affin Holdings Bhd tidak lagi meneruskan perundingan dengan pemegang saham Bank Muamalat Malaysia Bhd bagi kemungkinan pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam bank Islam itu, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia Khamis.

Keputusan itu dibuat empat hari sebelum tarikh akhir 31 Mac untuk menyiapkan perundingan itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, March 27, 2013

PLC Raih Anuegrah Emas GlobalCCU

15 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Mac, 2013- Petronas Leadership Centre (PLC), cawangan pembelajaran utama Petronas Group, memenangi anugerah emas Majlis Universiti Korporat Global (GlobalCCU).

Kejayaan meraih anugerah itu bererti PLC diktiraf sebagai universiti korporat terbaik yang "menggabungkan identiti, budaya dan jenama organisasi itu ke dalam pemegang kepentingannya".

"Sebagai kesimpulan, anugerah itu mengiktiraf peranan PLC sebagai Universiti Korporat Petronas, yang menonjolkan budaya korporat, jenama dan identitinya melalui penyelesaian pembelajaran bitara untuk pemegang kepentingannya," kata PLC dalam kenyataan Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif PLC Yasir Abdul Rahman menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan untuk julung kalinya di Paris, Perancis.

Pengerusi GlobalCCU Annick Renaud-Coulon dan ketua pegawai eksekutif Club Med Henri Giscard d'Estaing serta pengerusi Microsoft Europe Jan Muehlfeit, menjadi pengerusi bersama anugerah itu.

Anugerah GlobalCCU memberi pengiktirafan kepada universiti korporat terbaik dari seluruh dunia yang mewujudkan nilai untuk manusia, perniagaan dan masyarakat serta yang mencapai kecemerlangan tertinggi dalam profesion.

Kenyataan itu berkata Jawatankuasa Penasihat dan Penghakiman, yang dianggotai pakar antarabangsa dalam profesion masing-masing, memilih pemenang anugerah itu dalam kalangan finalis dari 19 negara.

Majlis penyampaian anugerah itu turut dihadiri duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Yasir berkata pengiktirafan global itu merupakan suatu kejayaan besar bagi PLC, yang tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Petronas.

PLC meraih Anugerah GlobalCCU tidak sampai empat bulan selepas ia memenangi Anugerah Pembangunan Sumber Manusia Berhad sebagai Penyedia Latihan Terbaik 2012.

 Sumber : BERNAMA

Wednesday, March 20, 2013

BNM Umum Penentuan Harga Baharu Pembayaran Elektronik Untuk Tingkat Kecekapan

9 Jamadilakhir 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac, 2013- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan strategi penentuan harga baharu bagi perkhidmatan pembayaran untuk menangani perbezaan harga antara kaedah pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dengan kaedah pembayaran berasaskan kertas.

Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata menerusi penentuan harga baharu ini, fi untuk kaedah e-pembayaran akan dikurangkan bagi memberikan insentif kepada para peniaga dan pengguna untuk menggunakan kaedah pembayaran yang lebih cekap manakala caj akan dikenakan ke atas cek sebagai mencerminkan kosnya yang lebih tinggi.

Berkuat kuasa 2 Mei 2013, fi untuk urus niaga Sistem GIRO Antara Bank atau IBG (Interbank GIRO) yang dilakukan secara dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih, ialah sebanyak 10 sen, katanya.

"Fi sedia ada ialah RM2. Fi IBG dalam talian yang rendah ini bertujuan memberi insentif kepada pengguna untuk beralih daripada kaedah pembayaran berkos lebih tinggi yang lain kepada kaedah pembayaran alternatif yang lebih murah," kata Zeti pada sidang media sempena pelancaran Laporan Tahunan 2012 bank pusat itu.

Zeti berkata pembayaran dalam talian melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih memberi manfaat yang ketara kepada individu dan peniaga.

Selain itu, setiap individu akan menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu beratur di kaunter bank, manakala peniaga pula boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelum ini digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek.

"Melalui peningkatan pembayaran secara elektronik, kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos, akan dapat dijimatkan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kos dan ketidakcekapan yang berkaitan penggunaan cek, caj untuk cek akan dinaikkan secara beransur-ansur bagi mencerminkan kos pengeluaran sebanyak RM3.00 bagi setiap cek.

Zeti berkata tempoh setahun akan diberikan kepada orang ramai dan para peniaga untuk membiasakan, menyesuaikan diri dan beralih kepada penggunaan IBG bagi urusan pembayaran mereka.

Dalam tempoh setahun ini, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah.

"Berkuat kuasa 1 April 2014, pihak bank akan mengenakan caj memproses cek sebanyak 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Fi ini ialah tambahan kepada duti setem sedia ada sebanyak 15 sen bagi setiap cek.

"Selain cek dan IBG, pelarasan harga terhadap kaedah dan saluran pembayaran lain, termasuk mesin juruwang automatik (ATM), akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk menggalakkan pengguna menggunakan e-pembayaran yang lebih berkesan kos," katanya.

Menurutnya menjelang tahun 2020, penentuan harga bagi semua perkhidmatan pembayaran adalah berdasarkan kos menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Kini, terdapat 1.6 bilion urus niaga kewangan yang dibuat menerusi kaedah elektronik, iaitu dua kali jumlah urus niaga pada tahun 2006.

Walaupun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah menggalakkan, sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah e-pembayaran per kapita daripada 56 pada tahun 2012 kepada 200 pada tahun 2020 serta mengurangkan bilangan cek yang dijelaskan dalam negara kepada separuh, iaitu daripada 204 juta cek kepada 100 juta dalam tempoh yang sama.

Gabenor itu berkata pencapaian sasaran ini akan membawa Malaysia hampir kepada matlamatnya untuk memperoleh penjimatan tahunan sehingga satu peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan oleh kajian-kajian yang telah dijalankan.

Kajian menunjukkan bahawa sesebuah ekonomi akan menikmati penjimatan tersebut apabila beralih daripada sistem pembayaran berasaskan kertas kepada e-pembayaran.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Sektor Perbankan Islam Catat Pertumbuhan Dua Angka Dalam Jumlah Aset

9 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sektor perbankan Islam meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.8 peratus dalam jumlah aset, mencakupi 23.8 peratus daripada jumlah aset dalam keseluruhan sistem perbankan.

Dengan peralihan sistem kewangan Islam Malaysia kepada sistem yang lebih berorientasi antarabangsa, jumlah perniagaan mata wang asing termasuk yang dijalankan oleh Bank-Bank Islam Antarabangsa dan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa telah meningkat sejak beberapa tahun ini.

Kini, terdapat 16 institusi perbankan Islam di Malaysia yang beroperasi sebagai anak syarikat berasingan dan 10 operasi perbankan Islam yang dijalankan melalui jendela Islam pada akhir 2012, kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2012 yang dikeluarkan Rabu.

Menurut BNM, dalam sektor takaful, jumlah aset dana takaful telah meningkat 12.4 peratus kepada RM19 bilion sementara caruman takaful mencakupi 13.6 peratus daripada jumlah premium dan caruman dalam industri insurans dan takaful.

Meski pun menghadapi persekitaran global yang mencabar, katanya terbitan sukuk di Malaysia kekal kukuh dengan beberapa terbitan sukuk berbilang mata wang yang penting oleh syarikat multinasional, korporat dan agensi multilateral.

Hasilnya, Malaysia terus menjadi peserta utama dalam pasaran sukuk global dengan sukuk yang diterbitkan di Malaysia pada tahun lepas mencakupi 74 peratus, berbanding 71.6 peratus pada 2011, daripada jumlah terbitan sukuk global.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Ekonomi Malaysia Catat Prestasi Lebih Baik Pada 2012

9 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac , 2013- Ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada 2012, dengan pertumbuhan tinggi 5.6 peratus, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang mengurangkan kesan negatif daripada persekitaran luar yang lemah.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata daya tahan permintaan dalam negeri yang berterusan disokong sebahagian besarnya oleh asas-asas makroekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan seimbang, sistem kewangan yang lebih kukuh dan lebih maju serta dasar makroekonomi yang lebih fleksibel.

"Permintaan dalam negeri mencatatkan pertumbuhan yang kukuh 10.6 peratus tahun lalu dan menyumbang dengan nyata kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar keseluruhan," katanya dalam Laporan Tahunan 2012 di sini Rabu.

Ini disebabkan oleh pertumbuhan yang teguh dalam jumlah pembentukan modal tetap kasar serta pertumbuhan yang lebih kukuh dalam penggunaan swasta, katanya.

BNM berkata kadar pertumbuhan pelaburan swasta kekal memberangsangkan sepanjang tahun itu, dengan aktiviti pelaburan yang menyeluruh oleh firma merentas kebanyakan sektor.

Walau pun wujudnya ketidaktentuan dalam persekitaran luar, aktiviti penggunaan terus kukuh pada tahun lepas, katanya, dengan menambah ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan, persekitaran inflasi yang rendah serta keadaan pembiayaan yang menyokong aktiviti penggunaan.

Selain itu, pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam penggunaan swasta telah mendorong kepada pelaburan yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan berkaitan pengguna dan perkilangan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Bank Negara Catat Untung Bersih RM5.6 Bilion Pada 2012

9 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 20 Mac , 2013- Bank Negara Malaysia (BNM) mencatat keuntungan bersih RM5.6 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, suatu angka yang lebih tinggi berbanding RM4.724 bilion pada 2011.

Pendapatannya pula meningkat kepada RM6.912 bilion daripada RM6.071 bilion.

Bank pusat itu mengistyharkan dividen RM1.5 bilion kepada kerajaan, menurun berbanding RM2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dividen yang lebih rendah adalah kerana Bank Negara ingin meningkatkan modalnya.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Tuesday, March 19, 2013

Bahan Api Naik, Peningkatan Kos Pendidikan Tinggi Jadi Kebimbangan Utama Perniagaan Malaysia

7 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 18 Mac, 2013 Kenaikan bahan api dan peningkatan kos pendidikan tinggi merupakan antara kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh perniagaan di Malaysia, demikian menurut laporan Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) bertajuk 'Pemacu Perubahan di Asia Pasifik '.

Dalam satu kenyataan Isnin, ACCA berkata responden Malaysia lebih sensitif kepada kenaikan kos bahan api dan tenaga daripada responden lain di seluruh rantau ini.

Ia berkata selain daripada itu, responden dari Malaysia juga menekankan mengenai kenaikan kos dan akses pendidikan tinggi sebagai pemacu perubahan kritikal kedua mereka dalam jangka pendek.

"Ini berbeza dengan seluruh Asia Pasifik yang menyenaraikan cabaran keselamatan siber bagi perniagaan sebagai pemacu perubahan kedua," katanya.

Ketua ACCA Malaysia Jennifer Lopez berkata dengan keadaan boleh diramal bagi eksekutif kanan dan kewangan untuk mengenal pasti kos bahan api dan tenaga sebagai satu isu dalam jangka pendek, adalah suatu yang menggalakkan untuk melihat kedua-dua peranan melihat faktor yang sama dalam 10 tahun akan datang dan seterusnya.

"Dalam jangka sederhana (2016-2022), faktor yang dinyatakan perniagaan akan menjadi agenda korporat utama Asia Pasifik adalah peningkatan keperluan untuk akauntan mengambil peranan rakan kongsi perniagaan dan mempunyai kemahiran yang lebih luas yang ditetapkan dalam syarikat, dengan 82 peratus daripada eksekutif kanan dan 72 peratus akauntan menyatakannya sebagai kritikal untuk rancangan perniagaan masa depan mereka," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Agrobank Cadang Laksana Perbankan Islam Sepenuh

7 Jamadilawal 1434

BACHOK, 17 Mac, 2013- Agrobank Malaysia bercadang melaksanakan sistem perbankan Islam sepenuhnya menjelang tahun 2015 yang merupakan inisiatif penting dalam program transformasi bank berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, selaras dengan sasaran itu, semua produk pembiayaan dan deposit sedia ada akan ditukar kepada produk berasaskan prinsip syariah.

"Ini untuk menyumbangkan kepada pertumbuhan perbankan Islam domestik dan pada masa yang sama menggalakkan amalan perbankan yang beretika," katanya pada majlis penyampaian zakat Agrobank oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di sini, Ahad.

 Maklumat lanjut: BERNAMA

Saturday, March 16, 2013

Malindo Air Rancang Mula Penerbangan Antarabangsa Menjelang Jun 2013

5 Jamadilawal 1434


KUALA LUMPUR, 15 Mac , 2013- Model syarikat penerbangan hibrid pertama Malaysia, Malindo Air, merancang memulakan penerbangan antarabangsanya yang pertama menjelang Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata lebih banyak serahan pesawat akan dilakukan dengan permulaan perkhidmatan antarabangsa itu kelak.

"Kami menghampiri sasaran menerima sejumlah 12 pesawat menjelang akhir tahun ini," katanya semasa majlis untuk menyaksikan ketibaan Boeing 737-900ER Malindo Air dari Seattle, AS, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malindo Air akan memulakan penerbangannya yang pertama dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 22 Mac dan Kuala Lumpur ke Kuching pada 23 Mac.

Chandran berkata Boeing 737-900ER itu adalah pesawat pertama beroperasi di Malaysia dan berkapasiti terbang selama lima jam 30 minit tanpa henti dengan muatan 180 penumpang.

"Kami juga sedang mengkaji destinasi domestik yang lain," katanya.

Malindo Air kini mempromosikan tambang penerbangan RM38 sehala ke Kuching dan RM68 ke Kota Kinabalu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

BT Sasar Wujudkan 600-800 Pekerjaan Di M'sia Dalam 3 Tahun Akan Datang

5 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Mac , 2013- British Telecommunications Plc (BT) menyasarkan pewujudan 600 hingga 800 pekerjaan berpendapatan tinggi dan bernilai tinggi di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan pembukaan sebuah kemudahan Perkhidmatan Berkongsi Global di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, BT berkata pekerjaan-pekerjaan baharu ini merangkumi jawatan pemaju perisian, pengurus jaminan kualiti, pemimpin teknikal, pengurus projek dan jawatan dalam fungsi-fungsi sokongan yang lain.

BT ialah sebuah anak syarikat milik penuh BT Group Plc, sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi multinasional Britain yang beribu pejabat di London.

Kemudahan Perkhidmatan Berkongsi Global yang baru dibuka oleh BT itu merupakan perkongsian dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC).

Presiden BT Global Services bagi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Kevin Taylor, berkata pelaburan kumpulan itu di Malaysia membolehkannya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dengan memanfaatkan pekerja berbakat tempatan di negara-negara seluruh dunia dan menyokong usaha peluasannya di rantau-rantau pertumbuhan tinggi.

BT berkata kemudahan itu terdiri daripada dua pusat, yang menempatkan pasukan berkemahiran tinggi BT untuk memberikan perkhidmatan yang menyokong keperluan perniagaan syarikat itu di seluruh dunia.

"Yang pertama ialah Pusat Pembangunan Global (GDC). Melalui penggemblengan tenaga dengan rangkaian lapan GDC BT yang lain di seluruh dunia, ia akan mencipta inovasi dan memajukan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi.

"Yang kedua ialah Pusat Perkhidmatan Berkongsi Penyerahan Kontrak (CDSS). Pusat yang membentuk sebahagian daripada rangkaian global BT dalam penyediaan kontrak komersial dan pengurusan projek itu akan menyokong kontrak perkhidmatan teknologi maklumat rangkaian terurus dengan pelanggan-pelanggan multinasional yang besar," jelasnya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Pemikiran Syarikat Kini Beralih Mengoptimumkan Perniagaan Masing-masing

5 Jamadilawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Mac, 2013- Syarikat-syarikat kini mengalihkan pemikiran masing-masing daripada menunggu perubahan ekonomi global kepada memberi tumpuan mengoptimumkan perniagaan masing-masing melalui pemotongan kos dan meningkatkan kecekapan, kata Ernst and Young.

Dalam satu kenyataan Jumaat, Ernst and Young berkata rumusan itu adalah berasaskan dapatan laporannya baru-baru ini - "Business Pulse: Exploring the duel perspectives of the top 10 risks and opportunities in 2013."

Laporan itu, yang berasaskan kaji selidik 2012 mengenai eksekutif kanan dari 641 syarikat di 21 negara, adalah yang terbaharu di dalam satu siri pada 2008 bagi menjejaki risiko dan peluang yang dihadapi perniagaan di seluruh dunia.

Ernst and Young berkata tekanan penetapan harga adalah risiko terbesar yang ditonjolkan oleh syarikat-syarikat pada 2013, di mana eksekutif kanan menerima hakikat bahawa mereka perlu mencari cara-cara terbaharu untuk mencapai keuntungan sebagai respons kepada pasaran maju yang mengecil.

"Ini dilihat kepada syarikat-syarikat yang beralih kepada inovasi dan pasaran yang pantas berkembang bagi mewujudkan peluang baharu," katanya.

Rakan Ernst and Young Malaysia dan Peneraju Risiko Asean Philip Rao berkata: "Sedang syarikat-syarikat di pasaran maju terus menunjukkan prestasi yang rendah di tengah-tengah masalah kemelesetan dan kedaulatan, dunia kini mengalih perhatian kepada pasaran baharu bagi mendapatkan peluang pengembangan."

"Negara-negara yang merupakan pasaran yang berkembang pesat, termasuk Malaysia, menjadi fokus pelaburan dan pertumbuhan kerana banyak badan dunia mengkaji semula strategi perniagaan masing-masing."

"Sedang peralihan itu merupakan galakan terhadap ekonomi negara, syarikat-syarikat Malaysia perlu awas pada perkembangan itu dan menimbangkan risiko serta peluang yang memberi kesan kepada perniagaan mereka sendiri di dalam pasaran yang kompetitif, yang berasaskan dapatan laporan itu."

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, March 12, 2013

YAHOO Malaysia Sasar Pertumbuhan Dua Digit Tahun 2013

29 Rabiulakhir 1434

PETALING JAYA, 12 Mac, 2013- Yahoo Malaysia menyasarkan pertumbuhan dua digit tahun ini, dipacu oleh peningkatan jumlah pengguna dan pengiklanan digital.

Duta Negara dan Pengarah Jualannya Jon Tjin Kee berkata Yahoo mempunyai 8.6 juta pengguna Malaysia ketika ini.

"Malaysia merupakan pasaran utama di Asia Tenggara, dan kami yakin akan pertumbuhan dua angka dalam jumlah pengguna dan pengiklan digital tahun ini," katanya pada taklimat media, Selasa.

Beliau berkata syarikat itu meletakkan segmen mudah alih sebagai keutamaan dalam menarik lebih ramai pengguna dan pengiklan memandangkan kira-kira 30 hingga 40 peratus pengguna Yahoo Malaysia merupakan pengguna mudah alih.

"Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan pemilik telefon mudah alih tertinggi di rantau ini, sebanyak 27 peratus, dan oleh itu kami berharap dapat menguasai pasaran bagi memacu pertumbuhan," katanya.

Jon berkata Yahoo Malaysia mahu menjadikan mudah alih sebagai bahagian besar Yahoo, bagi memastikan pengguna dapat terus berhubung hanya menerusi sentuhan jari.

"Ini diperkukuh menerusi pelancaran Yahoo Mail pada iPhone Android dan Windows selain reka bentuk semula lengkap aplikasi Flickr iPhone pada iPhone," katanya.

Jon berkata kumpulan itu akan terus meneroka perbelanjaan pasaran digital di Malaysia di mana ia menjangkakan melebihi RM450 juta tahun lepas.

"Peluang ini dijangka memacu pertumbuhan perniagaan Yahoo Malaysia tahun ini," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, March 11, 2013

Kebanyakan Pekerja Kecewa Dengan Bonus

29 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 11 Mac, 2013- Lebih daripada 49 peratus pekerja Malaysia yang menerima bonus menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan bayaran bonus masing-masing, demikian menurut kaji selidik tahunan JobStreet.com.

Dalam satu kenyataan Isnin, syarikat pengambilan pekerja online, JobStreet, berkata kebanyakan industri membayar purata bonus 1.5 bulan.

"Bonus tertinggi diterima, yang merupakan enam bulan atau lebih, dibayar oleh syarikat di dalam sektor kewangan dan perbankan, telekomunikasi dan peruncitan," katanya.

JobStreet berkata 40 peratus daripada mereka yang dikaji selidik berkata bonus masing-masing telah meningkat berbanding dengan tahun lepas dan 36 peratus berkata bonus masing-masing kekal sama manakala 25 peratus melaporkan bonus yang lebih rendah.

Katanya 36 peratus daripada responden berkata mereka akan berhenti kerja dari syarikat berkenaan kerana bonus masing-masing lebih rendah daripada jangkaan dan 25 peratus akan berbuat demikian walau apa pun faktor bonusnya.

JobStreet.com berkata bonus dan insentif lain, seperti kenaikan gaji dan manfaat syarikat, kekal menjadi faktor utama mengekalkan pekerja.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Saturday, March 9, 2013

Biofutures International Beli Firma Biofuel Malaysia

27 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 9 Mac , 2013 -Biofutures International Plc telah berjaya mengumpul 32.5 juta pound sterling (1 Pound = RM4.68) semalam melalui tawaran saham sempena cadangannya mengambil alih Platinum NanoChem Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar biofuel.

Ini adalah untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi kumpulan yang diperbesarkan itu melaksanakan strategi peluasannya dan bagi tujuan modal kerja.

"Cadangan pengambilalihan Platinum Nanochem dan kejayaan mengumpul dana ini memberikan kami peluang besar untuk meningkatkan nilai pemegang saham," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biofutures, Joe Wong, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Biofutures International akan diberikan nama baharu, Graphene NanoChem Plc, selepas selesainya urusan pengambilalihan dan penawaran saham itu.

Platinum NanoChem ialah sebuah syarikat nanoteknologi global yang model perniagaan penjana pendapatannya yang kukuh itu merangkumi reka bentuk, perumusan, pembuatan dan pemasaran satu rangkaian kimia dan bahan khusus yang disokong oleh IP (harta intelek), termasuk grafin dari sisa bahan mentah.

Graphene NanoChem akan diterajui oleh Datuk Jespal Deol, CEO cadangan yang akan disokong oleh satu pasukan pengurusan yang kuat dan berpengalaman serta kakitangan yang mempunyai kepakaran teknikal dan perniagaan, serta rekod pencapaian dalam sektor-sektor industri berkaitan.

Jespal, kini ialah CEO Platinum NanoChem.

"Dengan pengalaman dan kepakaran terbukti pasukan pengurusan yang dicadangkan dan dana yang dikumpul untuk menyokong strategi (yang telah dikenal pasti), kami menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan," tegas beliau.

Biofutures International, yang ditubuhkan di England pada Februari 2006, ialah syarikat induk Zurex Corp Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia.

Maklumat lanjut : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...