Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 29, 2013

Pansar Intai Peluang Dalam Sektor Sawit Di Sarawak

22 Syawal 1434


SIBU, 28 Ogos , 2013- Penyedia penyelesaian kejuruteraan perniagaan ke perniagaan terkemuka Sarawak, Pansar Bhd, merancang untuk memanfaatkan peluang-peluang yang semakin banyak dalam sektor sawit negeri ini.

Pengarah Urusannya, Jason Tai Hee, berkata banyak syarikat sawit menceburi sektor hiliran dengan membina kilang.

"Ini baik untuk kami, khususnya perniagaan pembekalan bumbung yang sememangnya banyak kami bekalkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-39 syarikat itu di sini hari ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini berkata negeri ini akan memulakan penanaman sejuta hektar lagi tanah dengan kelapa sawit.

Bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac, 2013, Pansar mencatatkan perolehan sebanyak RM430 juta, dan ini merupakan peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding keputusan tahun lepas.


Keuntungan bersih berjumlah RM17.5 juta, meningkat sebanyak 10 peratus manakala keuntungan kasar bertambah lima peratus kepada RM58.8 juta.

Perolehan sesaham mengukuh 11 peratus kepada 6.24 sen.

Tai berkata satu lagi bidang yang ingin diceburinya ialah pengurusan kemudahan seperti hotel, kompleks perindustrian, lapangan terbang atau hospital.

"Ini akan melibatkan lebih banyak penggunaan perkakasan cekap tenaga seperti penggunaan pencahayaan LED dan pendingin yang lebih cekap dalam unit-unit penyaman udara.

"Kami telah pun melatih orang kami dalam bidang GBI (Indeks Bangunan Hijau) bagi tujuan ini," katanya.

Pansar akan juga terus memanfaatkan peluang-peluang sedia ada dalam sektor minyak dan gas negeri ini dan, tidak lama lagi, dalam SCORE (Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak), katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu membekalkan banyak enjin marin dan set kimpalan kepada industri minyak dan gas.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam tahun kewangan baharunya, Pansar, sebagai penyedia penyelesaian tereka, bukan sebuah syarikat perniagaan tulen, akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan kumpulan tenaga manusianya yang diperlukan.

"Kami memerlukan kakitangan teknikal yang cekap. Inilah tumpuan kami. Kami akan mengutamakan latihan, imbuhan dan dorongan yang memerlukan kakitangan kanan mengajar dan membimbing kakitangan muda.

Berita lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...