Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, November 21, 2013

Perdana Menteri Saran GLIC Dan GLC Sedia Untuk Peralihan

17 Muharram 1435

KUALA LUMPUR, 20 Nov, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menggesa Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya bersedia untuk peralihan atau "selesai" daripada Program Transformasi GLC 10 tahun dengan mengukuhkan inisiatif untuk menyokong pertumbuhan mampan negara secara saksama.

Perdana Menteri berkata demikian pada mesyuarat ke-25 Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG 25) Rabu.

Beliau berkata ini akan memastikan keterangkuman dan keadilan sosial dalam masyarakat, dengan program disokong oleh konsep yang mesra pasaran dan berasaskan merit.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh kepada program berkenaan dan mengulangi bahawa Agenda Bumiputera (BA) sebagai komponen teras Agenda Negara.

Dipetik dalam satu kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG), Najib berkata BA selaras dengan prinsip-prinsip pendasar program bagi pertumbuhan dengan pengagihan yang melibatkan, antara lain, pembangunan komuniti Bumiputera yang akan membawa kepada keharmonian sosial di negara ini.

Program yang kini dalam tahun kesembilan daripada 10 tahun, terus mencatat kemajuan yang mantap dengan jumlah pulangan pemegang saham (TSR) G20 berkembang pada 13.6 peratus setahun dan permodalan pasaran G20 berkembang 2.9 kali kepada RM403 bilion sejak permulaan program ini dari 14 Mei 2004 sehingga 25 Okt 2013.

"GLC terus berada pada kadar pertumbuhan yang mantap dengan ada di antaranya menembusi pasaran serantau yang mempunyai kesan strategik positif kepada ekonomi negara dengan menyokong Model Baru Ekonomi (MEB) dan meningkatkan keseluruhan kecekapan.

"Kejayaan program ini setakat ini, juga memberi kesan positif semua peringkat pihak berkepentingan dengan pelanggan, pekerja, pembekal dan yang paling penting - rakyat," kata PCG.

Berita lanjut: BERNAMA 

Wednesday, November 20, 2013

TM Perluas Penyelesaian Hiburan Ke Semua Hotel Di Malaysia

17 Muharram 1435

PUTRAJAYA, 20 Nov , 2013 - Telekom Malaysia Bhd (TM) merancang untuk memperluaskan penyelesaian hiburan hospitalitinya ke semua hotel di seluruh Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif PKS TM, Azizi A Hadi, berkata syarikat itu sedang berbincang dengan 10 hingga 20 hotel berpotensi untuk menyediakan penyelesaian itu.

"Kami tidak tahu bila paling awal kami boleh muktamadkan urus niaga tetapi kami sedang bekerjasama rapat dengan pengurus-pengurus teknologi maklumat hotel-hotel itu untuk memastikan kami boleh menempatkan penyelesaian ini di premis masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian bagi penyediaan penyelesaian hiburan itu antara TM dan Putrajaya Shangri-La Hotel di sini Rabu.

Azizi berkata Putrajaya Shangri-La menjadi hotel pertama di Malaysia yang menandatangani perjanjian bagi penyediaan penyelesaian itu sejak ia dilancarkan pada Jun 2013.

Pakej teknologi maklumat dan komunikasi dan hiburan terbaru TM itu terdiri daripada penyelesaian jalur lebar dalam bangunan, HyppTV dan perkhidmatan pusat panggilan.

Pengurus Besar Putrajaya Shangri-La, Atiq Rahman, berkata perjanjian tiga tahun dengan TM itu seiringan dengan persediaan hotel itu untuk mengambil bahagian dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang sedang dijalankan sekarang.

Berita lanjut: BERNAMA

Thursday, November 14, 2013

Dasar Monetari Semasa Mencukupi Untuk Menyokong Pertumbuhan

10 Muharram 1435

KUALA LUMPUR, 13 Nov, 2013- Dasar monetari semasa masih mencukupi dan menyediakan sokongan penting untuk pertumbuhan ekonomi, kecuali perubahan ketara berlaku, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata jika sokongan diperlukan, ada langkah-langkah dan dasar lain yang boleh dilakukan selain daripada dasar monetari.

"Kita dalam ekonomi yang tidak bergantung semata-mata kepada dasar kadar faedah, sama ada menggalakkan pertumbuhan atau menangani inflasi," katanya dalam temu bual dengan agensi berita kewangan Market News International, di Switzerland pada Selasa.

Beliau berkata walaupun inflasi semakin meningkat, banyak faktor akan memastikan peningkatan itu hanya sementara, dan oleh itu pihak berkuasa monetari Malaysia kini tidak bimbangkan unjuran dalam kestabilan harga.

"Kini, kadar faedah masih akomodatif dan ia menyediakan sokongan penting untuk pertumbuhan," katanya.

Minggu lepas, bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus, kekal sejak Mei 2011, sehingga mesyuarat dasar monetari akan datang yang dijadualkan pada Januari.

Mengulas spekulasi kadar itu akan dinaikkan pada mesyuarat akan datang, beliau enggan mengulas dan tidak memberikan petunjuk mengenai keputusan akan datang.

"Saya tidak percaya bahawa ketidaktentuan sudah reda sejak mesyuarat Jawatankuasa dasar Monetari pada September.

"Walaupun pertumbuhan dunia semakin meningkat, yang merupakan petunjuk yang positif, masih wujud ketidaktentuan dan pemulihan ini masih rapuh," katanya.

Zeti berkata bank pusat mahu memastikan kestabilan harga dalam persekitaran pertumbuhan mampan dan perubahan hanya akan dilakukan jika keadaan memerlukan.

"Sekarang ini merupakan tempoh yang tidak menentu, dasar adalah berasaskan penilaian kami terhadap risiko yang wujud.

"Bank Negara kini mengambil sikap tunggu dan lihat," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Sunday, November 3, 2013

Legoland Hotel Terima Tempahan Di Laman Web Mulai Nov 1, 2013

29 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 1 Nov, 2013- Legoland Hotel kini menerima tempahan di laman web Legoland bermula hari ini.

Bersempena pembukaannya, hotel berkenaan akan mengadakan pra-pembukaan khas untuk tetamu, dengan pakej khusus pada musim cuti sekolah.

Pembukaan hotel tersebut akan melengkapkan transformasi Legoland di Johor kepada sebuah resort, demikian menurut Legoland dalam satu kenyataan.

Resort Legoland Malaysia merangkumi taman tema, taman air dan hotel di satu lokasi bertemakan Lego, dengan lebih daripada 70 permainan tunggangan, gelongsor dan tarikan.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst berkata pembukaan hotel itu merupakan satu lagi peristiwa penting bagi Legoland Malaysia Resort dan sangat teruja untuk menyambut tetamu pertama ke hotel pada cuti sekolah memandangkan "kami mendahului jadual".

Pakej keluarga termasuk sarapan pagi dan tiket kombo dua hari untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Tiket Combo menyediakan akses ke taman tema dan taman air serta membolehkan tetamu bergerak bebas antara kedua-duanya, katanya.

Pemegang pas tahunan Legoland boleh menempah pakej bilik pada kadar khas dengan menghubungi pasukan tempahan hotel.

Ciri-ciri Lego boleh didapati di seluruh hotel, yang menawarkan 249 bilik dengan tema.

"Tetamu mempunyai pilihan bermain sebagai lanun, menguasai suatu kerajaan atau memulakan pengembaraan dan semua bilik termasuk katil bersaiz king untuk orang dewasa, serta kawasan untuk tidur separa persendirian untuk tiga kanak-kanak, yang lengkap dengan katil dua tingkat, katil yang boleh ditarik keluar dan unit hiburan," kata Boerst.

Sumber berita: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...