Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, August 30, 2013

Lebih Ramai Pencarum KWSP Pilih Lanjutkan Simpanan Persaraan Melalui Pengeluaran Fleksibel

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Semakin ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan lebih baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata sebanyak 47,897 permohonan diluluskan sepanjang suku tahun kedua yang berakhir 30 Jun, 2013 berbanding 37,602 permohonan diluluskan pada suku kedua 2012 (suku pertama 2013: 43,775), meningkat 27.38 peratus.

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan pencarum melanjutkan tempoh simpanan persaraan mereka bagi tempoh yang lebih lama, kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata jumlah yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun bertambah daripada RM1.51 bilion pada suku kedua 2012 kepada RM1.77 bilion pada suku kedua 2013, naik 17.32 peratus (suku pertama 2013: RM1.66 bilion).

"KWSP menyambut baik berita ini yang menunjukkan semakin ramai pencarum sedar akan kepentingan merancang kewangan untuk persaraan mereka."

"Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun memberikan peluang kepada pencarum menguruskan simpanan mereka agar dapat bertahan lebih lama dan meningkatkan simpanan kesan daripada pengkompaunan dividen tahunan yang diperoleh.

"Persaraan yang mampan memerlukan pengurusan kewangan yang baik agar pencarum mempunyai simpanan yang cukup untuk memenuhi keperluan asas kewangan mereka di hari tua," katanya.

Sepanjang suku tahun yang dikaji, Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun menyaksikan sebanyak 48,927 permohonan diluluskan berbanding 44,391 permohonan pada S2 2012 (suku pertama 2013: 45,756), mencatatkan kenaikan 10.22 peratus.

Jumlah yang dikeluarkan sepanjang suku tahun ini berjumlah RM2.04 bilion (suku pertama 2013: RM2.02 bilion), naik 9.62 peratus daripada RM1.86 bilion pada suku kedua 2012.

Pada suku kedua 2013, penggunaan kios KWSP mencatatkan kenaikan kepada 2.356 juta berbanding 1.943 juta pada suku kedua 2012, meningkat 21.30 peratus yang menunjukkan lebih ramai pencarum gemar menyemak penyata akaun mereka di kios kerana lebih cepat.

Sebanyak 145 kios ditempatkan di cawangan KWSP seluruh negara, tiga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan 1,108 di bank terpilih serta tempat tumpuan awam.

Peningkatan ini selaras dengan penurunan transaksi di kaunter daripada 1.435 juta pada suku kedua 2012 kepada 1.373 juta pada suku kedua 2013, turun 4.29 peratus.

"KWSP akan terus meneroka kaedah elektronik yang akan meningkatkan penyampaian perkhidmatannya untuk membolehkan pencarum dan majikan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang lebih selesa dan cepat.

"KWSP kini menggesa majikan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan e-Caruman yang menjimatkan masa dan wang bagi menghantar butiran caruman bulanan mereka. Ia juga akan mengurangkan kesilapan dan memastikan ketepatan maklumat yang dihantar. Penggunaan e-Caruman adalah wajib kepada semua majikan baharu berdaftar dengan KWSP," kata Shahril Ridza.

Setakat 30 Jun, 2013, jumlah penamaan yang dicatatkan ialah 3.53 juta, bertambah 5.16 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2012.

"KWSP amat menggalakkan pencarum yang masih belum membuat penamaan agar segera berbuat demikian. Menamakan waris akan memastikan orang tersayang dilindungi tanpa perlu melalui proses yang sukar untuk mengeluarkan simpanan KWSP sekiranya pencarum meninggal dunia," kata beliau.

Setakat suku kedua 2013, pencarum KWSP berjumlah 13.77 juta, naik 3.10 peratus berbanding 13.35 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pencarum aktif yang mencarum dengan KWSP berjumlah 6.43 juta pada suku kedua 2013 manakala majikan berdaftar turut meningkat daripada 496,939 pada suku kedua 2012 kepada 512,078 pada tempoh sama tahun ini, naik 3.05 peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...