Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, December 31, 2011

Selamat Tahun Baru 2012 Masihi

6 Safar 1433

Penulis mengakhiri penulisan blog ini pada tahun 2011 dengan ucapan Selamat Tahun Baru 2012. Alhamdulillah setakat ini penulis masih diberi kekuatan untuk sentiasa mengemaskinikan blog ini. Kekuatan ini mungkin didorong oleh semangat untuk berkongsi ilmu dan menanam minat orang-orang Melayu dan khususnya beragama Islam yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu, menanam minat dalam aspek-aspek ekonomi dan kewangan.Semakin berkongsi secara penulisan, semakin rasa hendak mencari ilmu-ilmu lain lagi bagi dikongsikan bersama di blog ini.

Blog ini adalah blog yang kedua popular yang dimiliki oleh penulis selain daripada blog : http://mybancik.blogspot.com/ dan blog :http://mi-myinvest.blogspot.com/. Biarpun dianggap blog kampung kerana diterbitkan dalam bahasa Melayu, penulis hanya mampu berharap ini adalah salah satu daripada usaha kecil penulis untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam perniagaan ke seluruh dunia.

Akhir kata,Selamat Tahun Baru 2012dari penulis .

@MyIktisad

Thursday, December 29, 2011

Harga Hartanah Melambung Bakal Merencatkan Prospek Pertumbuhan Ekonomi

4 Safar 1433

Oleh: Bancik

Isu kenaikan harga hartanah di Malaysia seolah-olah tiada berkesudahan. Ini memandangkan harga hartanah terutamanya rumah kediaman dilihat semakin meningkat. Di sesetengah tempat di Lembah Kelang pula terdapat iklan terbuka yang menawarkan pembelian rumah-rumah secara besar-besaran. Ini menunjukkan seolah-olah adanya aktiviti spekulasi terhadap pasaran hartanah di Malaysia.

Walaupun pelbagai pakej pinjaman ditawarkan kepada pembeli rumah pertama, persoalannya, pembeli terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi ataupun terpaksa menanggung hutang dengan lebih lama. Ianya bakal menyebabkan kuasa beli pengguna merosot dengan amat ketara oleh kerana terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi. Maka ini akan menyebabkan kemerosotan dari segi pertumbuhan sektor kepenggunaan yang lain. Dalam masa yang panjang ianya tidak menjamin bahawa Malaysia mampu meningkatkan momentum kadar pertumbuhan yang diharapkan.

Yang berikutnya, walaupun kerajaan memberi subsidi kepada pemaju untuk mengurangkan harga hartanah yang ditawarkan melalui Projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA), ianya juga secara tidak langsung bakal mengurangkan sumber kewangan kerajaan di mana dana berkenaan sepatutnya boleh disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih produktif.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang berwajib ialah dengan mengenalpasti di mana sebenarnya punca kenaikan harga hartanah yang ditawarkan. Apakah disebabkan oleh kenaikan bahan binaan? Kenaikan nilai tanah atau disebabkan penawaran hartanah yang masih rendah ? Dan apa yang paling mustahak ialah dengan mengenalpasti adakah masalah ini disebabkan oleh permainan spekulator dalam industri hartanah?

Kita tidak mahu ada pihak yang mengaut untung secara berlebihan dan menganiaya para pengguna di kitaran ekonomi di Malaysia ini. Jika penganiayaan ini masih berleluasa, nescaya tunggulah akan sampai masanya suatu krisis besar yang mungkin bakal melanda disebabkan oleh sifat tamak haloba dan penganiayaan golongan tertentu di pasaran. Sesungguhnya banyak petunjuk yang telah berlaku di kebanyakan negara maju yang selama ini mendabik dada mereka terlalu hebat. Akhirnya ekonomi mereka tumbang juga.

Apakah kita cukup yakin bahawa pasaran hartanah di kitaran ekonomi kita terlalu hebat, tidak akan berlakunya gelembung dan tidak akan tumbang?

@MyIktisad

Friday, December 23, 2011

Pemberian Subsidi Diesel Kepada Nelayan Hanya Menguntungkan Tekong Sahaja

28 Muharram 1433

Penulis bersetuju dengan langkah kerajaan yang mengkaji untuk menghapuskan subsidi diesel kepada nelayan atas sebab risiko manipulasi dan penyelewengan. Berdasarkan kepada pengalaman penulis sebagai nelayan, jika ianya turut dinikmati oleh bot-bot pukat tunda, ianya lebih banyak dibolot oleh tekong-tekong semata-mata kerana bayaran kepada kaki-kaki atau pekerjanya hanya berasaskan kepada hasil tangkapan.

Namun jika kerajaan melaksanakan pemberian insentif lain mengikut produktiviti hasil tangkapan, maka hasilnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pihak terutama golongan yang hanya mampu menjadi kaki-kaki kepada bot-bot pengusaha berkenaan. Ini seterusnya dapat memberi manfaat kepada umum juga di mana penawaran yang meningkat disebabkan hasil tangkapan bertambah bakal menstabilkan harga ikan di pasaran dimana masalah kenaikan harga ikan di pasar dapat ditangani dengan baik.

Jika ini tidak dilakukan, dikhuatiri pengusaha-pengusaha bot perikanan lebih berminat berurusniaga minyak daripada turun ke laut. Ini bakal merugikan negara kerana menyalurkan subsidi kepada aktiviti-aktiviti yang tidak produktif.

@MyIktisad

Thursday, December 22, 2011

Peserta Kewangan Tempatan Disaran Ke Seberang Laut: Najib

26 Muharram 1433


KUALA LUMPUR, 21 Dis , 2011 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menggesa peserta kewangan tempatan supaya memainkan peranan penting dalam pengantaraan merentas sempadan dana kewangan Asia sebagai sebahagian daripada usaha negara ke arah menjadi sebuah negara maju.

Ini boleh dilakukan dengan institusi kewangan Malaysia terus meneroka ke luar negara dan mengulangi kejayaan mereka dalam negara di pasaran baru ini, kata beliau dalam ucapan khas pada majlis pelancaran Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan Siri Mata Wang Malaysia baharu di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata institusi kewangan tempatan boleh berusaha ke arah meningkatkan rangkaian serantau, menyediakan perkhidmatan yang berdaya saing, berkualiti tinggi dan menjadi rakan kongsi bertanggungjawab kepada masyarakat serantau.

Rangkaian fizikal yang lebih besar di seluruh rantau ini akan merangsang integrasi ekonomi setelah infrastruktur dinaik taraf dan pelaburan antara rantau meningkat untuk memanfaatkan peluang dan perbandingan kelebihan setiap negara Asia.

"Perubahan ini memberikan peluang-peluang yang penting bagi sektor kewangan Malaysia untuk menggerakkan dana serantau dan menggalakkan pengagihan secara berkesan sumber-sumber untuk pelaburan yang akan memacu pertumbuhan dan kemakmuran serantau," kata Perdana Menteri.

Selain daripada itu, terdapat keperluan untuk memulakan suatu yang baharu dalam meletakkan Malaysia di barisan hadapan pasaran antarabangsa dalam kewangan Islam.

Apabila kewangan Islam menjadi satu komponen yang lebih penting dalam sistem kewangan global, Najib berkata Malaysia perlu terus membangun dan memanfaatkan kepakarannya.

Dalam mengesahkan sokongan penuh untuk pelan itu, Najib berkata seperti Model Baru Ekonomi (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), pelan baru ini juga memberi penekanan terhadap pertumbuhan yang seimbang dan inklusif.

"Sebagai contoh, memastikan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan pedalaman negara mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang cekap dari segi kos dan berkualiti tinggi - meletakkan kita pada kedudukan terbaik mungkin untuk memastikan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia dihalang daripada peluang yang munasabah dan semua orang diberi peluang untuk meningkatkan prospek ekonomi untuk diri mereka sendiri dan untuk anak-anak mereka," kata beliau.

Pelan ini juga melengkapkan pelbagai usaha yang telah dijalankan melalui MEB dan ETP, untuk memudahkan peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan nilai tambah tinggi.

"Peningkatan keluasan dan pengukuhan yang dijangka bagi sektor kewangan kita dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, bakal menyediakan persekitaran yang kondusif dan membolehkan di mana inisiatif dan Projek Permulaan boleh berkembang," kata Najib.

Perdana Menteri berkata sektor kewangan Malaysia telah berkembang sejak 10 tahun lepas, yang menyumbang kepada 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mewujudkan pekerjaan kepada hampir 145,000 orang.

Beliau berkata, sektor ini juga menunjukkan kebingkasan dan kestabilan yang luar biasa semasa krisis kewangan global, dan telah terus menyokong perniagaan tempatan dan aktiviti-aktiviti ekonomi dalam kapasiti pengantara.

Satu lagi ciri penting pelan berkenaan ialah perlindungan yang disediakan untuk memastikan kestabilan kewangan di seluruh rantau ini.

Memandangkan kedudukan sistem kewangan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa terus berubah, Najib berkata akan terdapat keperluan yang lebih besar dan lebih mendesak bagi pengawal selia sektor kewangan serta pembuat dasar untuk berganding bahu dan mengadakan rejim pengawalseliaan yang sesuai, disokong oleh pengaturan kerjasama yang akan menggalakkan kestabilan kewangan serantau dan melindungi kepentingan ekonomi bersama negara.

Beliau berkata Malaysia perlu terus mengukuhkan institusi kewangan domestik bagi memenuhi keperluan pembiayaan perdagangan yang pelbagai, pelaburan langsung, pembiayaan infrastruktur dan pelbagai aktiviti ekonomi dengan risiko mudah tunai yang berbeza dan keutamaan kematangan.

 Sumber- BERNAMA

Monday, December 19, 2011

Wakaf Korporat & Bank Wakaf Bakal Menjadi Realiti

23 Muharram 1433

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes.utusan@gmail.com


KUALA LUMPUR 18 Dis 2011. - Yayasan Iqra menjangka pengwujudan Wakaf Korporat dan Bank Wakaf akan menjadi kenyataan tidak lama lagi kerana undang-undang pelaksanaannya telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu dan reaksi positif daripada kerajaan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kerajaan sendiri telah menganjurkan kongres bagi membincangkan isu berkenaan dan ini menunjukkan ada usaha ke arah tersebut.

Menurutnya, kongres bersejarah berkenaan telah mendapat sokongan daripada Majlis Raja-Raja Melayu dan Majlis Agama Negeri demi memartabatkan kepentingan ekonomi Islam.

"Kerajaan dijangka menilai hasil daripada kongres berkenaan dan saya yakin akan ada keputusan positif dalam masa terdekat kerana permintaan terhadap Wakaf Korporat semakin meningkat.

"Berdasarkan pengalaman Wakaf Korporat yang dibuat oleh JCorp., perniagaan cara Islam berkenaan boleh dilaksanakan bila-bila masa jika mendapat kebenaran daripada pemerintah,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas forum bertajuk Waqaf:Mendefinisikan semula kemakmuran dan pertumbuhan, baru-baru ini.

Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat mula diterima kerana dilihat mampu menyelesaikan banyak masalah terutamanya melibatkan kebocoran hak milik Melayu dan Islam apabila diswastakan cara Barat.

"Usaha telah dilakukan untuk mewujudkan semula cara ekonomi Islam berkenaan dan terpulang kepada semua untuk menilai dan menyokongnya,'' jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat merupakan cara terbaik untuk mengelakkan berlakunya 'rompakan' duit rakyat melalui penswastaan.

Katanya, penswastaan cara Barat hanya memenuhkan kocek individu tertentu dan akhirnya mereka boleh menarik balik pegangan pada bila-bila masa hingga menyebabkan syarikat tertentu mengalami masalah.

"Penyelesaian terbaik adalah Wakaf Korporat, dengan cara ini aset syarikat akan kekal dan mampu diuruskan dengan amanah oleh individu yang dilantik untuk menguruskannya.

"Ekonomi cara Islam sangat stabil berbanding ekonomi yang diperkenalkan oleh Barat. Contohnya kesan negatif ekonomi kapitalis Barat boleh dilihat menerusi pergolakan di Timur Tengah dan juga krisis hutang di Eropah.

"Setiap pengurusan ekonomi tetap mempunyai risiko tetapi melalui Wakaf Korporat risikonya lebih rendah kerana tidak melibatkan kepentingan individu,'' katanya.

Pada majlis berkenaan juga, cadangan mewujudkan Bank Wakaf turut disokong kerana boleh membantu memajukan tanah-tanah wakaf yang bernilai tinggi untuk pembangunan.

Bank sedia ada tidak menawarkan sebarang pinjaman untuk tanah wakaf kerana status tanahnya dan kesannya tanah wakaf hanya dikhaskan untuk tanah perkuburan, surau dan masjid.

Sumber: Utusan Malaysia

Kedai Dan Pasaraya Lain Tidak Terkecuali Untuk Pemeriksaan

23 Muharram 1433

BERA, 18 Dis , 2011 - Keputusan ujian 200 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), yang dihantar ke makmal Kementerian Kesihatan bagi memastikan barangan berkenaan selamat dan memenuhi standard ditetapkan, akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemeriksaan produk itu dilakukan berikutan tohmahan pihak-pihak tertentu yang kononnya barangan keperluan berasaskan makanan yang dijual di kedai itu tidak berkualiti.

Ismail Sabri berkata pihak-pihak tertentu terutamanya pihak parti pembangkang dilihat sengaja mempolitikkan pelbagai perkara dan apa juga tindakan yang dibuat pihak kerajaan termasuk dalam pelaksanaan kedai Rakyat 1Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia di Kerayong, dekat sini, kerajaan mensasarkan 25 buah kedai seumpama itu dibuka sebelum akhir tahun ini.

KR1M di Kerayong Bera adalah yang ke-24 setakat ini," katanya.

Sumber- BERNAMA

Penulis juga menyambut baik kenyataan menteri berkenaan seperti yang dipaparkan di Buletin Utama TV3 semalam bahawa kedai-kedai dan pasaraya lain juga tidak terkecuali untuk diperiksa berdasarkan akta perihal dagangan. Ini bagi memastikan tiada ada sikap "double standart" diamalkan oleh pihak penguatkuasa.

Suatu aspek yang penulis ingin cadangkan ialah kerajaan perlu bekerjasama dengan JAKIM agar penggunaam logo halal tidak dimanipulasikan oleh mana-mana peniaga. Tindakan yang tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang memalsukan logo berkenaan.

@MyIktisad

Sunday, December 18, 2011

Minyak Masak Kitar Semula: Kerajaan Digesa Lebih Proaktif

22 Muharram 1433

Isu minyak masak kitar semula yang baru dihebohkan baru-baru ini bukannya perkara baru. Ianya pernah menjadi isu dikalangan rakyat marhain di Malaysia ini. Cuma, isu rakyat marhain ini, siapalah nak dengar sangat. Namun apabila ada sebuah organisasi yang mendedahkan isu ini ianya menjadi hangat semula.Namun bagi pengguna di rumah, mereka boleh memilih jalan selamat dengan menggunakan minyak masak keluaran syarikat besar seperti Felsa, Sime Darbdan sebagainya. Yang menjadi persoalan ialah makanan yang berada di kedai-kedai makan dan di pasar-pasar malam yang mungkin digunakan oleh para peniaga.

Namun kementerian berkenaan dilihat seolah begitu "defensif" dalam hal yang berkaitan, Justeru itu, kita meminta kementerian berkenaan bertindak lebih agresif dengan menguji kesemua sampel setiap minyak masak yang dijual dipasaran terutama yang menggunakan tin dan plastik sebagai pembungkusnya.

Isu kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan berbanding pelindungan yang diberikan kepada pengusaha-pengusaha minyak masak berkenaan. Ini juga berkaitan soal halal dan haram dimana pengitaran minyak masak dari sumber yang bukan halal mengancam hak penguna-pengguna Islam di Malaysia.

@MyIktisad

Tidak Ada Minyak Masak Kitar Semula Di Pasaran - Menteri Kesihatan

22 Muharram 1433


PUTRAJAYA, 16 Dis, 2011- Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan belum menemui minyak masak yang dikitar semula di pasaran seperti mana yang dihebohkan oleh sesetengah pihak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata sejak menerima laporan, pegawai kementerian itu telah memeriksa dan memantau di enam buah negeri, namun masih tidak menjumpai bekalan itu.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang mendapati bekalan itu dijual di pasaran supaya terus menghubungi kementerian itu untuk tindakan segera.

"Kita tidak akan bertolak ansur dari segi keselamatan makanan. Pemantauan telah dijalankan di Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Sabah, Terengganu, Selangor dan Sarawak yang melibatkan 40 sampel minyak masak. Hasil kajian menunjukkan semua sampel tersebut merupakan minyak sawit tulen dan tiada kesan campuran dengan minyak masak tempatan.

"Kerajaan tidak membenarkan minyak masak kitar semula dijual di pasaran. Kalau orang ramai mendapati ada pihak yang menjual minyak itu, sila lapor kepada kementerian, katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama wakil industri pengeluar makanan, di sini, hari ini.

Liow berkata, pihak yang disabit kesalahan mengikut Akta Makanan 1983 (Seksyen 13 B) boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga menasihatkan orang ramai atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak membuat pengumuman atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terdapat pihak yang menjual bekalan minyak masak tersebut.

Katanya ujian sampel yang telah dijalankan ke atas minyak masak menunjukkan bahawa ia menepati mutu dan piawaian yang ditetapkan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi berkata, ujian yang dijalankan ke atas 19 jenama minyak masak murah di seluruh negara mendapati minyak masak yang telah digunakan dan didedahkan pada haba panas berulang kali tidak selamat untuk kesihatan pengguna.

Menurut beliau sampel yang dihantar NGO untuk diuji di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semua 19 jenama tidak menepati piawaian antarabangsa dengan 13 sampel menunjukkan bahan campuran berada antara 28.4 hingga 70.8 peratus.

Sumber- BERNAMA

Thursday, December 15, 2011

Salah Faham Pelaburan Islam Perlu Diperjelaskan

20 Muharram 1433 Hijrah


 KUALA LUMPUR, 15 Dis, 2011- Salah faham biasa tentang pelaburan Islam yang produk berlandaskan Syariah hanya eksklusif kepada Orang Islam, perlu diperbetulkan sebelum laluan yang jelas ditentukan bagi Malaysia untuk menembusi dengan lebih meluas ruang pelaburan global, kata seorang peserta industri.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Asian Islamic Investment Management Bhd (AIIMAN), Akmal Hassan berkata ia bukanlah keadaan sebenarnya dan menyatakan kira-kira 40 peratus daripada pelanggan perbankan Islam di Malaysia merupakan orang bukan Islam.

"Produk itu terbuka kepada setiap orang dan tiada diskriminasi terhadap siapa yang boleh melanggan dan melabur.

"Ini ditunjukkan menerusi dana luar yang diurus AIIMAN apabila kira-kira 60 peratus pelabur dalam kedua-dua Dana HwangDBS AIIMAN Growth dan Dana HwangDBS AIIMAN Income Plus adalah bukan Islam," katanya pada taklimat media mengenai "Salah Tanggapan dalam Pelaburan Islam" di sini, Khamis.



AIIMAN ialah syarikat induk HwangDBS Investment Management Bhd.



Beliau berkata salah faham lain mengenai produk pelaburan dan kewangan Islam ialah ia merupakan alternatif kepada produk konvensional, kurang kompetitif dari segi prestasi, inovasi dan pelbagaian.



Akmal juga berkata suatu yang mustahil bagi produk berlandaskan Syariah untuk berpindah atau menggantikan produk konvensional kerana keseluruhan sistem kewangan Islam menyumbang kurang satu peratus daripada sistem kewangan global.



Malahan, ia melengkapkan ruang konvensional dengan menawarkan cara alternatif yang kompetitif bagi mengendalikan urus niaga kewangan dan bukan berfungsi sebagai alternatif, jelasnya.



Beliau berkata produk berlandaskan Syariah hanya boleh menjadi kompetitif sekiranya pelaburan sejagatnya beraneka jenis sama seperti produk konvensional dan prestasi hanya boleh dicapai sekiranya terdapat kecairan yang mencukupi dalam pasaran.



Mengenai daya saing produk tersebut, beliau berkata pelaburan Islam dan pasaran sukuk menyediakan kaedah bagi merungkai nilai aset-aset terbiar seperti hartanah, komoditi, pembiayaan kapal, pajakan kapal dan pesawat kerana ia boleh mematuhi seperti aset berlandaskan Syariah.

Justeru itu, salah tanggapan ini perlu dihapuskan agar pelaburan Islam terus berkembang beransur-ansur dalam landskap tempatan yang dinamik, katanya.

Di masa depan, Akmal berkata peserta industri Malaysia perlu mendaftarkan produk berlandaskan Syariah dengan platform dana luar pesisir global agar ia dapat mempamerkan prestasi pengurusan aset Islam tempatan.

Terdapat peluang amat besar untuk meraih pelaburan institusi daripada dana harta asing, bank-bank pusat, takaful dan dana pencen, kata Akmal.

 Sumber- BERNAMA

Pasaran Harta Menyederhana Tahun Depan

20 Muharram 1433Hijrah


 KUALA LUMPUR, 15 Dis, 2011- Pasaran harta dijangka menyederhana tahun depan dengan harga berkemungkinan menyaksikan pembetulan kecil disebabkan oleh persekitaran ekonomi global yang rapuh dengan krisis hutang Euro yang belum selesai dan ekonomi AS yang berterusan lemah.

Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Pusaka dan Perunding Harta dalam Sektor Swasta atau PEPS yang baru menamatkan tempoh jawatannya, James Wong, berkata pembetulan harga akan dapat dilihat dalam sektor pejabat, kondo mewah dan pangsapuri berperkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

"Harga bagi harta tanah sektor industri dan peruncitan, bagaimanapun, masih stabil," katanya Khamis pada satu taklimat media mengenai Sidang Kemuncak Harta Malaysia kelima 2012 yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan di Pusat Konvensyen Sime Darby.



Beliau berkata pembeli berpotensi juga berkurangan kerana bank-bank mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap pemberian pinjaman dan langkah-langkah mengetatkan peraturan bagi pembelian harta seperti nisbah 70 peratus pinjaman berbanding nilai bagi pembelian harta ketiga.

Kata Wong, kawasan-kawasan pertumbuhan baharu pembangunan harta terletak dalam kawasan sambungan landasan LRT dan laluan MRT Sungai-Buloh dan Kajang.

Kawasan-kawasan lain yang sedang dimajukan, katanya, ialah bandar-bandar kecil seperti Setiawan, Bentong, Segamat, Kota Kinabalu, Batu Pahat dan Sandakan yang penduduknya mempunyai kuasa membeli disebabkan harga komoditi yang melambung seperti harga getah dan minyak sawit mentah.

"Jualan harta dan harga di kawasan-kawasan ini semakin meningkat," katanya.

Juruukur Bertauliah/Penilai Pengurus Harta Berdaftar dan Ejen Harta Pusaka, Datuk Mani Usilappan, berkata kewujudan sistem pengangkutan yang baik akan mempengaruhi harga harta.

"Pasaran harta tahun ini baik, dengan unjuran ia mencecah 400,000 transaksi bernilai RM120 bilion tahun ini," kata Mani.

Jawatankuasa eksekutif dan ahli PEPS, Foo Gee Jen, berkata kos tanah, kos tenaga buruh dan kos bahan yang semakin meningkat akan terus memberi tekanan kepada harga harta.

Sementara itu Presiden PEPS, Choy Yue Kwong, berkata bagaimanapun kemampuan tetap menjadi isu bagi banyak warga Malaysia kerana lonjakan harga harta tidak seiringan dengan kenaikan gaji.

Meskipun sekiranya pasaran harta bergerak ke arah segmen pasaran mewah dengan pemaju mempromosikan rumah-rumah mahal yang menampilkan konsep gaya hidup, kata Choy, kadar sewa tidak meningkat dengan ketara kerana banyak rakyat Malaysia masih mampu membayar kadar sewa yang tinggi.

"Kemampuan membeli rumah menjadi kebimbangan utama pembeli rumah kerana harga rumah yang semakin meningkat berbanding kadar upah yang tidak bergerak membimbangkan semua orang," tegas Choy.

 Sumber-BERNAMA

PR1MA : Kerajaan Boleh Campur Tangan Dengan Menyediakan Dana-Najib

19 Muharram 1433 Hijrah


RASAH 13 Dis,2011 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Projek Kediaman Mampu Milik Berkualiti Sime Darby Bandar Ainsdale di Labu dekat sini hari ini.Projek itu mengandungi 2,200 unit rumah mampu milik yang berharga antara RM140,000 hingga RM250,000 yang dibina di kawasan seluas 61 hektar.

Pembinaan fasa pertama projek itu yang dibuat secara Sistem Pembinaan Industri (IBS) melibatkan sebanyak 1,420 unit dengan separuh daripadanya adalah hartanah bertanah (landed strata homes).Selain itu, sebahagian unit lagi adalah apartmen studio yang berharga RM140,000.

Najib pada sidang akhbar selepas majlis tersebut menyifatkan projek itu menepati konsep perumahan mampu dimiliki dan berkualiti yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan.Katanya, ia akan memenuhi keperluan golongan pertengahan berpendapatan antara RM2,000 hingga RM6,000 yang amat memerlukan rumah dan mereka tak mampu membeli rumah berharga sangat tinggi di pasaran.

"Konsep pembangunan ini iaitu kerjasama antara kerajaan dan swasta melalui perkongsian awam dan swasta akan dapat membekalkan rumah yang berkualti dan mampu dimiliki oleh golongan ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, konsep perumahan seperti itu adalah selaras dengan model perniagaan sosial yang mana pemaju tidak mengaut keuntungan tetapi tidak pula mengalami kerugian.

Pada masa yang sama, ujar beliau, kerajaan boleh campur tangan dengan menyediakan dana pemudah cara bagi menampung sebahagian kos pembinaan prasarana.Najib menarik perhatian, Sime Darby menjadi sektor swasta pertama melaksanakan pembangunan tersebut dan ia akan diikuti oleh beberapa pemaju swasta yang lain secara berperingkat-peringkat.

Tambahnya, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) juga sedang dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai di seluruh negara bagi membina perumahan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, December 14, 2011

Masih Ramai Tidak Faham Penggunaan Dinar Emas Untuk Dagangan Antarabangsa-Tun Dr Mahathir

18 Muharram 1433 Hijrah

 KUALA LUMPUR, 13 Dis,2011- Masih ramai yang tidak memahami tentang kepentingan penggunaan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa berbanding dolar Amerika, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata ramai yang mempunyai tanggapan bahawa dinar emas boleh dijadikan duit ringgit untuk pembelian semua barang mahupun dalam atau luar negara.

"Sekarang ini, kalau kita beli atau jual barang, kita menggunakan dolar Amerika. Nilainya kadang-kadang turun, kadang-kadang naik yang mana sebenarnya mata wang dolar tidak ada nilai.

"Nilai dolar Amerika ini tidak menentu dan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada industri perdagangan negara," kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan Dinar Emas Larian Sahara 2012 di sini hari Selasa.

Beliau berkata dinar emas akan tetap mempunyai nilai di mana-mana sahaja mengikut berat emas. Oleh itu, kata Dr Mahathir, adalah penting untuk negara menggunakan dinar emas untuk bayaran jual beli dagangan antarabangsa berbanding dolar Amerika.

"Dulu satu aun emas dijual pada US$35 tetapi sekarang dijual untuk US$1,700 dan ini bermakna nilai dolar telah jatuh," kata beliau.


 Sumber-BERNAMA

Tuesday, December 13, 2011

BR1M - Phenomena Baru Melanda Negara

18 Muharram 1433Hijrah

Ketika penulis bercuti dikampung baru-baru ini, satu phenomena baru telah melanda penduduk di kampung penulis. Malahan ianya juga berlaku di bandar-bandar kecil yang mana ianya berkenaan  dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) sebanyak RM500 bagi setiap isi rumah yang mempunyai kriteria tertentu.

Rakyat pelbagai lapisan dilihat berpusu-pusu membuat pendaftaran untuk mendapat bantuan berkenaan.Yang membangkang selama ini pula , masih mengekalkan ego hanya menghantar isteri atau wakil keluarga untuk membuat pendaftaran. Dari segi pendapat peribadi penulis, inisiatif ini telah mewujudkan phenomena di luar jangkaan berdanding dengan penambahan subsidi yang lain, kerana ianya dilihat memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat berpendapatan rendah dengan lebih meluas. Namun, penulis berharap agar  kerajaan membuat pertimbangan dengan memberi lebih kelonggaran kepada warga emas yang tidak mempunyai pencen atau berpencen rendah, walaupun mereka mempunyai anak-anak yang sudah bekerja.Ini kerana, anak-anak sudah tentu mempunyai masalah tersendiri dalam menguruskan bebanan keluarga(dalam kebanyakan kes). Golongan ini juga dilihat mencuba nasib dengan membuat pendaftaran.

Sambutan yang luar biasa ini jangan dipandang remeh kerana ianya telah membuktikan bahawa rakyat di segenap lapisan masyarakat sedah mula yakin bahawa slogan 1 Malaysia,rakyat didahulukan bukan lagi hanya sebagai mimpi indah semata, tetapi sudah semakin menjadi realiti di kaca mata mereka. Persoalannya, adakah kerajaan mahu melepaskan sahaja  peluang kepercayaan yang telah mula diberikan?

@MyIktisad

Malaysia Tidak Perlu Sumbang Kepada Dana Penyelamat Eropah:Tun Mahathir

17 Muharram 1433 Hijrah


Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar & Norsyafawati Abdul Wahab


 PUTRAJAYA, 12 Dis ,2011- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Eropah kerana melancarkan dana penyelamat untuk membantu ekonomi-ekonomi anggotanya yang bergelut dengan krisis hutang mereka, dengan menyatakan negara-negara Eropah sepatutnya tidak hidup di luar daripada kemampuan mereka.

Beliau berkata Malaysia tidak perlu menyertai dana penyelamat Eropah itu kerana mereka tidak banyak membantu Malaysia semasa krisis kewangan Asia 1997/98.

Menurutnya, dana lindung nilai baratlah yang menyerang ringgit Malaysia dan mata wang Asia lain, yang menyebabkan kegawatan kewangan di mana ekonomi-ekonomi serantau mengambil masa yang panjang untuk bangkit semula.

Dan apabila Malaysia membantu syarikat-syarikatnya pulih daripada krisis tanpa meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa dan mengekalkan kebebasan kewangannya, mereka mengkritik kerajaan kerana mengguna pakai polisi tidak ortodoks untuk mengelak bencana kewangan.

"Tidak, mengapa kita perlu bantu? Jika saya dalam kerajaan, saya tidak akan berbuat demikian. Saya tidak rasa Malaysia harus menyumbang apa-apa, mereka cuba membankrapkan kita sebelum ini dan mereka melemahkan mata wang kita," katanya semasa ditanya sama ada Malaysia perlu menyumbang kepada dana penyelamat itu selepas pemimpin Eropah bersetuju mengetatkan peraturan bajet dan menubuhkan dana penyelamat yang lebih besar di Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah minggu lepas.

"Sekarang, mereka menerima nasib yang sama, jadi biarkan mereka menyelesaikannya sendiri. Sebenarnya, kekayaan mereka bukan kekayaan sebenar," kata bekas perdana menteri itu yang mendapat pujian kerana menyelamatkan Malaysia daripada bencana kewangan, dalam satu wawancara dengan Bernama dan Bloomberg.

Dr Mahathir berkata kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah merupakan pengeluar kereta dan perkakasan rumah terbesar dunia tetapi kemudiannya menumpukan kepada industri kewangan selepas negara-negara Timur seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan mula mengeluarkan produk yang sama.

"Pasaran kewangan bukan perniagaan sebenar kerana ia tidak mewujudkan pekerjaan dan tiada keluaran sampingan. Mereka mendapat berbilion-bilion dolar hanya dengan memindahkan nombor dalam akaun bank.

"Apabila mereka mula melabur dengan menggunakan wang pinjaman untuk menambah keuntungan, akhirnya keseluruhan sistem tumbang disebabkan aktiviti perjudian, spekulasi dan manipulasi. Sekarang mereka miskin, tetapi mereka tidak mengakuinya dan mahu hidup dengan gaya mereka sendiri.

"Apabila kerajaan mereka mahu melaksanakan program berjimat cermat, mereka membantahnya menerusi demonstrasi, yang memburukkan lagi keadaan," kata Dr Mahathir. Ramai pakar ekonomi Barat meminta kerajaan Malaysia agar tidak menyelamatkan syarikat, tetapi melaksanakan bajet lebihan dan menaikkan kadar faedah untuk mengurangkan perbelanjaan, namun kerajaan memutuskan untuk tidak mendengar pandangan mereka.

Malaysia yang tidak mengendahkan gesaan agar membuat perbelanjaan lebih ketat telah mengguna pakai langkah-langkah tidak ortodoks dengan melonggarkan perbelanjaan dan menurunkan kadar faedah bagi merangsang aktiviti perniagaan yang membantu negara pulih beransur-ansur daripada krisis kewangan.

Kerajaan juga mengenakan kawalan modal termasuk menambat ringgit berbanding dolar AS dan melarang dagangan ringgit di luar negara dalam usaha menghentikan spekulasi terhadap ringgit Malaysia.

Serangan spekulatif itu menyaksikan ringgit menjunam berbanding dolar AS daripada RM2.42 pada Julai 1997 kepada hingga serendah RM5.20 kira-kira setahun kemudiannya, yang menyebabkan Dr Mahathir menambat ringgit berbanding mata wang AS itu kepada RM3.80 di bawah kawalan modal.

"Kita melakukan bertentangan dengan apa yang digesa mereka. Sekarang mereka melakukan semua perkara yang kita buat, tetapi dengan lebih besar lagi, dengan Jerman menyelamatkan Greece dengan US$300 bilion. "Kita hanya menyelamatkan syarikat semasa krisis kewangan sekitar RM200-RM300 juta sahaja," kata beliau.

Ditanya mengenai cara untuk menyelesaikan masalah di Eropah, Dr Mahathir berkata mereka tidak seharusnya hidup di luar daripada kemampuan mereka.

"Jika anda miskin, anda hidup seperti orang miskin, terima bayaran murah, standard hidup perlu rendah dan tidak terlalu berbelanja.

"Tetapi masalahnya, kini mereka mahu hidup seperti mereka kaya," kata Dr Mahathir.

 Sumber - BERNAMA

Friday, December 9, 2011

Warga Malaysia Belanja Purata RM46 Sebulan Bagi Internet Mudah Alih

14 Muharram 1433 Hijrah

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia membelanjakan purata US$15 (RM46) sebulan bagi Internet mudah alih, satu segmen yang telah berkembang lebih daripada sekali ganda sejak tahun lepas dengan pertumbuhan dijana terutamanya oleh pengguna dalam golongan usia 15-25 tahun.

Empat kegiatan utama berkaitan mudah alih yang paling digemari oleh rakyat Malaysia ialah menghantar emel, mengakses laman perangkaian sosial, memuat turun nada dering dan menghantar mesej segera, demikian menurut kaji selidik tahunan Indeks Net 2011 Yahoo! Jumaat.

"Penggunaan telefon bimbit yang ada ciri pintar dan pelan data termampu, ciri-ciri canggih seperti fungsi panggilan dan teks, capaian kepada laman web mudah alih dan ciri-ciri multimedia memang lumrah di kalangan rakyat Malaysia," kata kaji selidik itu.

DiGi adalah penyedia perkhidmatan telefon pintar dan mudah alih paling terkemuka di Malaysia dan menguasai 47 peratus pasaran, diikuti oleh Maxis (32 peratus dan Celcom (lapan peratus).

Ia juga berkata berbanding negara-negara Asia Tenggara lain, rakyat Malaysia cenderung memiliki telefon bimbit mahal termasuk telefon pintar.

Menurut tinjauan itu lebih daripada 60 peratus pengguna mudah alih di negara ini memiliki telefon bimbit bernilai US$100 (RM312) dan hampir seperempat memiliki telefon bimbit yang berharga lebih daripada US$300 (RM937) berbanding telefon berciri harga rendah yang digunakan dengan meluas di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Berbeza dengan pasaran Asia Tenggara laindi mana Nokia merupakan pengeluar dominan, Malaysia adalah satu-satunya pasaran yang didominasi oleh Sony Ericsson dengan penguasaan pasaran sebanyak 39 peratus, diikuti oleh Nokia (26 peratus) serta Blackberry dan Apple (masing-masing enam peratus).

 Sumber- BERNAMA

Sunday, December 4, 2011

Jangan Hanya Pembekal Barangan KR1M Sahaja DiPantau Untuk Mengikuti Ujian Makmal

9 Muharram 1433 Hijrah

Penulis hanya mampu tersenyum sinis bilamana membaca berita yang menyebut bahawa pihak pengurusan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah mengarahkan semua pembekal produk 1Malaysia menghantar produk mereka untuk ujian makmal berkala.Dalam satu kenyataan berkenaan , KR1M berkata ujian bagi semua 250 produk 1Malaysia yang melibatkan kos RM300,000, akan ditanggung oleh pembekal dan pembuat itu sendiri. Kos berkenaan  tidak akan dibiayai oleh Kerajaan, atau NGO, atau pengurusan KR1M," kata kenyataan itu.

 KR1M berkata pelabelan dan kandungan adalah dua isu berbeza yang boleh berlaku pada sebarang produk, terutama produk yang baru memasuki pasaran, dan mesti diperbetulkan dan diperbaiki, dan tidak diklasifikasi sebagai "tidak selamat" atau berbahaya jika diguna.Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa 13 produk 1Malaysia gagal mematuhi Peraturan Makanan 1985, dan ia telah mengambil tindakan sewajarnya.

Ini adalah susulan serangan bertali arus parti pembangkang terhadap inisiatif berkenaan. Sekurang-kurangnya mereka berjaya menjatuhkan moral para pembekal kedai berkenaan. Bagi penulis ini adalah salah satu usaha sabotaj kepada para pembekal yang rata-ratanya baru mula bertatih dan mendapat peluang menjadi pembekal. Awal-awal lagi golongan ini telah dikenakan syarat yang amat ketat. Sepatutnya mereka diberi sedikit kelonggaran dan setiap ujian perlu dilakukan mengikut kemampuan mereka dan secara beransur-ansur.Yang manjadi nasib malang, rata-rata pembekal ini adalah dari kalangan pihak(yang penulis percaya) atau bangsa yang mengamalkan prinsip halalan toyyiban. Penulis lebih yakin melanggan produk mereka daripada produk yang dikeluarkan oleh pihak yang dengki dan busuk hati .Tahniah penulis ucapkan kepada pemimpin parti politik ini dan penyokong mereka kerana menghalang yang halal dan lebih yakin kepada barangan yang dikeluarkan atas dasar keraguan dari sudut Islam.

Namun begitu, penulis berharap kerajaan juga tidak mengambil sikap berasa gentar untuk menguatkuasakan kajian berkala ke atas pasaraya-pasaraya lain diseluruh negara. Ini tanpa mengambil kira warna kulit pembekal yang terlibat. Isu halal perlu diberi perhatian yang paling serius terhadap barangan yang dibekalkan di pasaraya-pasaraya. Setiap barangan yang tidak mendapat logo halal yang sah perlulah diasingkan dari jualan biasa. Penulis nak tengok apa pula reaksi parti yang mendukung konsep liberal dan paling rasis di dunia ini jika langkah ini dilakukan secara agresif. Sudah sampai masanya soal halal dalam makanan dari sudut pandangan umat Islam tidak lagi dipandang mudah dan sambil lewa.

@MyIktisad

Saturday, December 3, 2011

KLIA 2 : Itu Harta Bukan Kau Yang Punya.. Ahmad Albab Yang Punya...?

7 Muharram 1433 Hijrah

Emosi penulis agak terusik bila membaca pertikaian secara terbuka di antara syarikat penerbangan AirAsia(AA) dan pengendali lapangan terbang Malaysia Airport Holding Berhad(MAHB) di akhbar hari ini  berkenaan pembinaan KLIA 2. Ini disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh AA terhadap spesifikasi pembinaan tersebut yang tidak menepati model perniagaan mereka yeng telah dilakukan oleh pihak MAHB.

Cuma penulis ingin bertanya, KLIA itu milik siapa dan harta siapa? Bukankah pengendali tambang murah lain termasuk dari luar negara pun akan beroperasi di terminal berkenaan?  MAHB perlu melihat keperluan kesemua pengendali dan bukannya AA sahaja.Oleh itu hentikanlah lagak kononnya AA mendapat restu daripada kerajaan atas apa jua tindakan mereka. Ini bakal memberikan rasa mual dan meluat dikalangan rakyat yang berfikiran kritis terhadap layanan istimewa kepada individu-individu korporat tertentu. Apatah lagi PRU dah nak dekat dah ni.Jangan cemarkan imej parti pemerintah.Ataupun persoalannya pengurusan AA berada di kem mana sekarang ini ?Atau adakah pengurusan AA cuba mensabotaj sekali lagi imej kerajaan sekarang yang begitu bergelut dan bersungguh-sungguh mendapatkan persepsi positif dikalangan rakyat?

Kepada MAHB, pertahankanlah dasar anda. Saya amat setuju agar segala pertikaian dibincang secara tertutup dan anda bukannya menunjukkan lagak seperti ahli politik dan hendak mendapat kredit di media massa. MAHB juga perlu mempertahankan air muka kerajaan dan tanggungjawab ke atas sumber dan harta milik rakyat. Setiap pembangunan perlua dibuat untuk kepentingan semua, dan bukannya untuk kepentingan sekelompok individu sahaja kerana...Itu Harta Bukannya Kamu Yang Punya....

@MyIktisad

TM Raih Dua Anugerah PIKOM

7 Muharram 1433 Hijrah

 KUALA LUMPUR, 2 Dis 2011- Telekom Malaysia Bhd (TM) menerima anugerah Organisasi ICT Terbaik pada majlis makan malam ulangtahun ke-25 PIKOM dan anugerah kepimpinan ICT 2011 di sini.

Dalam satu kenyataan di sini, TM berkata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa juga dipilih sebagai Personaliti ICT Terbaik tahun ini.

"Anugerah ini akan memberi motivasi kepada kami untuk terus menambah baik perkhidmatan dan nilai kepada pelanggan kami setelah mereka terus mengukuhkan kedudukan TM sebagai penyedia penyelesaian komunikasi bersepadu utama di Malaysia dan juga juara jalur lebar negara," kata Zamzamzairani.

TM berkata ia kini di peringkat berikutnya untuk meningkatkan perkhidmatan semasa dengan aplikasi inovatif bagi menyediakan pengalaman pelanggan yang hebat sama ada dengan perkhidmatan dan produk pengguna atau tawaran perniagaan.

Diadakan sempena sambutan ke-25 tahun PIKOM dalam menerajui industri ICT, Anugerah Kepimpinan ICT, yang diwujudkan pada 2008, menghargai individu dan syarikat yang menunjukkan amalan terbaik ICT dalam industri mereka dengan komitmen dan strategi perniagaan inovatif diperlukan untuk berkembang di Malaysia dan dan peringkat dunia.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

 Sumber -BERNAMA

Wednesday, November 30, 2011

Konsep Perniagaan Yang Tidak Melalaikan Dan Mendapat Keredhaan

5 Muharram 1433 Hijrah

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta  mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari(kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnianya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung.

Surah An Nur- 37-38

Tuesday, November 29, 2011

Perbankan Islam Perlu Bangunkan Keupayaan Laksanakan Urus Niaga Rentas Sempadan

4 Muharram 1433 Hijrah

Oleh Noor Soraya Mohd Jamal

 KUALA LUMPUR, 29 Nov 2011 - Negara-negara Asia Tenggara dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan dua hab kewangan Islam terbesar tetapi tidak banyak urus niaga rentas sempadan dijalankan sesama mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Noor Investment Group dari Dubai, Hussain Al Qemzi.

Hussain berkata sekiranya kedua-dua hab ini tidak berdagang semasa mereka, ia bukanlah satu situasi yang betul.

"Jika kita mahu bersaing dengan bank-bank konvensional yang sudahpun kukuh kedudukannya dalam industri kewangan antarabangsa, kita perlu membangunkan keupayaan untuk menstruktur urus niaga pelbagai mata wang dan rentas sempadan.

"Untuk berbuat demikian kita perlu menjalin hubungan yang lebih erat antara pasaran utama dan antara bank-bank, agar kita berada di kedudukan baik untuk bersaing di peringkat global," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kelebihan bank-bank konvensional berbanding bank Islam ialah mereka mempunyai produk yang sesuai; boleh menjalankan perniagaan rentas sempadan kerana mereka mempunyai rangkaian yang baik; dan mempunyai saiz dan skala.

"Ini merupakan tiga perkara yang kita perlu beri tumpuan. Masa bukan satu masalah tetapi anda perlu menyediakan inisiatif.

"Kita perlu mempunyai lebih banyak urus niaga rentas sempadan dan saiz. Jika kita tidak lakukan ini kita tidak boleh bersaing dengan bank-bank konvensional, kita hanya boleh menjadi bank domestik atau serantau," katanya.

Hussain berkata untuk berbuat demikian, bank-bank dan pengamal kewangan perlu menerajui industri dan tidak menunggu langkah daripada kerajaan dan pengawal atur.

"Sekarang dengan struktur dan peraturan yang sudah ada, kita menjadi malas," kata Hussain, seorang juru bank yang mempunyai pengalaman kerja lebih 26 tahun dengan institusi kewangan terkemuka.

Beliau berkata perbankan Islam telah berkembang ke tahap yang mencukupi tetapi perlu mempermudahkan nama produk dan menyelesaikan perbezaan dalam tafsiran pematuhan Syariah.

"Produk kita, terutamanya pada peringkat pengguna, boleh menawarkan hampir segalanya yang bank konvensional boleh tawarkan tetapi kadang-kadang kita menyulitkannya dengan menggunakan nama-nama yang sukar, kita perlu mempermudahkannya.

"Bagi Syariah, kita melihat dua jenis pengembangan pada dua tempat yang berbeza, kadang-kadang sama sekali tidak sama.

"Oleh itu kita perlu mewujudkan sinergi sekurang-kurangnya memastikan para ilmuan bekerjasama," katanya.

Hussain mencadangkan pembentukan Lembaga Syariah bersama Malaysia-UAE, yang dianggotai ilmuan Syariah dari kedua-dua negara.

Lembaga itu akan diberi mandat untuk mencari asas persamaan pandangan dan pendapat antara kedua-dua negara dengan sasaran membangunkan produk dan perkhidmatan baharu, katanya.

Dengan mengambil contoh sukuk inovatif yang dilancarkan oleh Cagamas, syarikat gadai janji nasional Malaysia, Hussain berkata penawaran yang boleh diterima oleh pelabur di Asia Tenggara dan juga Timur Tengah boleh diwujudkan.

Beliau berkata tahap tinggi perbelanjaan prasarana di Asean dan juga Timur Tengah menawarkan peluang kepada kewangan Islam untuk menonjolkan diri di pasaran kewangan global, terutamanya dengan krisis zon euro yang sudah pastinya melemahkan keupayaan bank-bank Eropah untuk membiayai projek prasarana.

"Kewangan Islam tidak berhenti berkembang meskipun semua krisis-krisis ini.

"Saya rasa 2012 akan menjadi tahun yang lebih baik terutamanya dalam pasaran sukuk yang dijangka melantun semula sebaik sahaja isu di Timur Tengah mereda.

"Kita harus mengambil kesempatan daripada ini dengan menunjukkan cara perbankan beretika, yang merupakan asas kepada sistem perbankan Islam," katanya.

 Sumber: BERNAMA

Monday, November 28, 2011

Bersainglah Secara Sihat

2 Muharram 1433 Hijrah

Akhir-akhir ini terdapat usaha yang berbentuk negatif yang telah dijalankan oleh beberapa pihak terhadap setiap inisiatif yang berkaitan perniagaan 1Malaysia. Ini disebabkan semakin banyak inisiatif perniagaan yang bercirikan 1Malaysia seperti Kedai 1Malaysia, Roti 1Malaysia, Kedai Ikan 1Malaysia, Perumahan 1Malaysia, Kedai Makan 1Malaysia dan sebagainya.

Kenapa hendak memburukkan inisiatif ini. Kalau tidak berpuas hatipun, biarkan rakyat sahaja yang menentukan. Tidak perlu mencanang dengan memburukkan usaha berkenaan.Amat malang jika usaha berkenaan bertujuan untuk menjaga kepentingan segolongan peniaga yang selama ini menjalankan perniagaan dengan memeras pengguna, mengugut kerajaan , menyorok barangan dan sebagainya. Golongan ini sanggup melakukan apa sahaja termasuk ada yang menggunakan khidmat kongsi gelap untuk menjaga kepentingan mereka.Bagi penulis setiap usaha yang bertujuan menjaga kepentingan umum di Malaysia perlulah disokong.

Jika mana-mana pihak yang berasa terancam akan kepentingan  perniagaan, maka ianya perlu dilihat sebagai persaingan secara sihat.Jika mana-mana pihak yang melihat persaingan dari segi politik, maka lakukanlah inisiatif yang boleh menyaingi 1Malaysia. Mungkin boleh jalankan inisiatif Kedai Berkebajikan pula, jika niat betul-betul membantu rakyat dan bukannya asyik berhetorik aje.

Secara umumna, jika hati kita ikhlas akan kebaikan, kita akan menyokong terhadap setiap usaha yang baik. Namun jika kita berhati kotor dan hendak mencari kesalahan orang, kita akan lakukan apa jua cara untuk mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

@MyIktisad

Saturday, November 26, 2011

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433

1 Muharram 1433

Penulis di sini ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1433.Semoga tahun baru ini memberikan sesuatu yang lebih bermakna kepada kita semua.

Friday, November 25, 2011

TM Catat Prestasi Kukuh Bagi 3Q2011

KEUNTUNGAN NAIK 137.6% QoQ KEPADA RM302.2 JUTA; HASIL MENINGKAT 3.9% KEPADA RM2.321 BILION


Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga tahun 2011 berakhir 30 September 2011.

TM mencatatkan keputusan kukuh yang berterusan pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2011 dengan mencatat peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) setinggi 137.6% dari RM127.2 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM302.2 juta pada suku tahun semasa, tidak termasuk keuntungan lain dan keuntungan belum nyata hasil tukaran wang asing daripada pinjaman mata wang asing yang lebih rendah yang dicatatkan dalam tempoh ini berikutan pengukuhan USD berbanding Ringgit. Tanpa perkara-perkara tersebut, PATAMI berjumlah RM137.3 juta pada suku semasa tahun ini.

Hasil menokok 3.9% kepada RM2,321.7 juta berbanding RM2,233.6 juta pada 2Q2011. Syarikat menunjukkan prestasi kukuh berikutan peningkatan hasil dari perkhidmatan internet dan multimedia serta data masing-masing sebanyak 6.4% dan 0.2% kepada RM519.0 juta dan  RM455.0 juta; dengan disiplin kewangan yang berterusan; dan momentum langganan jalur lebar yang sihat.

Keputusan ini turut dirangsang oleh Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) yang lebih tinggi untuk suku tahun ke suku tahun kepada RM812.5 juta, menokok 8.8% berbanding RM746.9 juta pada 2Q2011 berikutan peningkatan hasil. Sementara itu, margin EBITDA meningkat 0.7pp kepada 33.7%, melepasi sasaran tahunan utama pada 32.0%.

Mengulas mengenai keputusan kewangan suku ketiga tahun 2011 Syarikat, Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Kami terdorong oleh perkembangan stabil yang berterusan pada tahun ini di dalam semua aspek prestasi dan operasi dalam tempoh yang dinilai seperti suku tahun-ke-suku tahun, tahun-ke-tahun dan tahun sehingga kini dengan mengecualikan perkara-perkara luar biasa. Saya amat berbesar hati kerana usaha gigih warga TM di dalam melaksanakan pelan perniagaan kami membuahkan hasil dengan keputusan yang baik dan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pencapaian ini perlu diletakkan dalam konteks di mana kami perlu beroperasi dalam suasana pasaran yang amat kompetitif, dengan hasil dari perkhidmatan suara yang matang dengan pantas dan saingan internet yang hebat, ditambah lagi dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu. Saya juga gembira kerana Jumlah Pulangan Pemegang Saham (Total Shareholder Returns – TRS) kami terus berada paras purata lebih tinggi daripada rakan-rakan industri pada kadar 31% untuk tempoh 9 bulan ini dan amat berbangga menyatakan bahawa kami adalah antara syarikat telekomunikasi dengan prestasi terbaik di rantau ini.”

Mengulas prestasi operasi, Dato’ Sri Zam berkata, “TM terus kekal sebagai peneraju jalur lebar di negara ini dengan melihat kepada pertambahan berterusan dalam jumlah pelanggan Streamyx dan UniFi kami. Walaupun persaingan sengit, TM terus menarik pelanggan baru dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen jalur lebar dengan jumlah pelanggan 1.871 juta sehinggga 3Q2011, pertumbuhan sebanyak 16.2% daripada 1.610 juta pelanggan setahun yang lalu. Permintaan kukuh terhadap UniFi telah melebihi jangkaan dan permintaan bertambah kukuh dengan momentum berterusan ke suku ketiga ini disokong oleh 1,015,000 premis sedia dipasang. Sehingga 30 September 2011, kami telah memasang UniFi untuk 164,375 pelanggan yang mewakili pertambahan bersih sebanyak 50.8% iaitu 55,356 pelanggan dari 109,019 pada suku kedua tahun 2011. Ini menunjukkan peningkatan kadar langganan kepada 18% setakat ini, iaitu melebihi jangkaan awal kami 8-10% bagi dua tahun pertama perlaksanaannya. Kami menyaksikan kadar langganan meningkat ke purata lebih dari 18,000 pelanggan sebulan pada suku tahun ketiga dan kini, kadar purata langganan telah melebihi 23,000 sebulan. HyppTV juga terus mempertingkatkan penawarannya dengan 74 saluran termasuk program-program interaktif dan Video atas Permintaan (VoD).”

TM berada di landasan yang betul bagi meluaskan lagi perkhidmatan UniFi kepada 78 kawasan ibusawat meliputi 1.1 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2011 dan 1.3 juta premis sedia dipasang di 95 kawasan ibusawat menjelang akhir 2012, seperti sasaran yang ditetapkan di bawah Perjanjian Awam Swasta (PPP) dengan pihak Kerajaan. Perlaksanaan HSBB telah menaikkan nama Malaysia sebagai negara yang mempunyai jumlah pelanggan jalur lebar berkelajuan tinggi yang tertinggi di Asia Tenggara serta salah satu negara yang menawarkan tahap kelajuan yang teramai di peringkat Global, sepertimana yang telah diumumkan oleh Presiden Majlis Fiber-to-the-Home Asia Pasifik di Persidangan Majlis FTTH baru-baru ini. Malah, jumlah pelanggan HSBB Malaysia juga telah disenaraikan di kedudukan 10 teratas di rantau Asia Pasifik.

Sejajar dengan janji TM sebagai penyedia perkhidmatan yang neutral dan terbuka, TM telah mengumumkan termeterainya Perjanjian Perkhidmatan HSBB dengan pelanggan perkhidmatan pukal yang ketiga pada 13 Oktober 2011 yang lalu di mana TM akan menyediakan perkhidmatan pukal HSBB (Akses) dan HSBB (Transmisi). Sebagai membuktikan satu lagi kejayaan perlaksanaan projek HSBB ini, TM juga telah melancarkan perkhidmatan UniFi ke negeri Melaka dan Kedah lebih awal daripada perancangan asal di bawah PPP untuk negeri-negeri tersebut.

Selaras dengan strategi Syarikat untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa bergerak dan berada di dalam bangunan, TM terus merekodkan jumlah Zon WiFi yang terbanyak dalam industri. TM telah mengaktifkan 17,313 lokasi di seluruh negara berbanding kira-kira 2,400 lokasi setahun lalu, peningkatan 7 kali ganda tahun-ke-tahun.

Dato’ Sri Zam seterusnya mengulas, “Pengurusan modal terus kekal menjadi fokus utama kami dengan pencapaian kecekapan perbelanjaan modal (capex) yang berterusan. Sehingga September 2011, kami mencatatkan nisbah capex/hasil yang lebih rendah pada 21.2% berbanding 22.2% dalam tempoh yang sama tahun lepas hasil daripada pendekatan mengoptimumkan kos dan kecekapan capex. Sepertimana yang telah disahkan oleh BT Telconsult, perlaksanaan projek HSBB TM adalah antara yang terpantas, manakala kos perbelanjaan untuk capex rangkaian TM merupakan antara yang terendah di dunia. Pencapaian ini adalah berikutan beberapa cirri yang menyumbang ke arah keberkesanan keseluruhan projek tersebut seperti pilihan rekabentuk seni bina yang efisien, hubungan baik dengan pembekal, pelan perlaksanaan yang lebih berkesan dan penggunaan sumber secara optimum. Disokong oleh pelupusan aset-aset bukan utama kami seperti saham-saham dalam Axiata Group Berhad, kami berada dikedudukan kewangan tunai yang kukuh iaitu RM3.3 bilion. Kami akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan kami dengan memastikan kecekapan kos Kumpulan sambil memastikan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan kami kekal terbaik.”

PRESTASI OPERASI MANTAP YANG BERTERUSAN

Perbandingan: Tahun Sehingga Kini 2011-ke-Tahun Sehingga Kini 2010 (Keputusan YTD2011 vs YTD2011)

Bagi tempoh Sembilan bulan dalam kajian, PATAMI yang dinormalisasi tanpa perkara-perkara luar biasa meningkat 21.3% YTD2011 kepada RM394.7 juta berbanding RM325.3 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. PATAMI pula berada pada RM592.7 juta.

Hasil Kumpulan meningkat 3.6% kepada RM6,703.5 berbanding RM6,470.4 juta pada tahun 2010 berikutan pertumbuhan hasil dari perkhidmatan Internet dan multimedia serta data masing-masing mencatatkan peningkatan 20.1%  dan 5.7% pada suku semasa tahun ini masing-masing dari RM1,216 juta YTD2010 kepada RM1,460 untuk YTD2011, dan dari RM1,264  juta TYD2010 ke RM1,336 juta untuk YTD2011.

Keputusan kukuh pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2011 ini turut dirangsang oleh EBITDA yang meningkat 5.8% kepada RM2,290.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas. Margin EBITDA menokok 0.7pp pada 33.7%, berbanding 33.0% tahun lepas.

Perbandingan: Tahun-ke-Tahun (Keputusan 3Q2011 vs 3Q2010)

Bagi suku semasa dalam kajian, PATAMI yang dinormalisasi menokok 8.8% kepada RM137.3 juta berbanding RM126.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Termasuk keuntungan lain dan tukaran pinjaman mata wang asing. PATAMI yang dilaporkan berada pada RM302.2 juta.

Hasil Kumpulan bertambah 5.8% kepada RM2,321.7 juta, berbanding RM2,194.6 juta yang dicatatkan pada suku ketiga 2010 berikutan peningkatan hasil perkhidmatan Internet dan multimedia sebanyak 26.3% kepada RM518.5 juta pada suku semasa tahun ini Hasil data menokok 3.4% pada suku semasa kepada RM456.3 juta, lebih tinggi berbanding RM440.9 juta pada suku yang sama 2010.

EBITDA naik 7.0% kepada RM812.5 juta dari RM759.5 juta pada 3Q2010. EBITDA dinormalisasi meningkat 8.4% kepada RM803.3 juta.
Margin EBITDA dinormalisasi meningkat sebanyak 1.0 mata pada 34.2% berbanding 33.2% pada 3Q2010.

MELANGKAH KE HADAPAN

TM telah memulakan perjalanan transformasi Syarikat dari sebuah legasi rangkaian menjadi pusat Pertukaran Maklumat (Information Exchange) di mana TM akan terus menjadi pemacu untuk semua berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi ke arah cara hidup digital yang bersepadu dan diperkayakan. Matlamat utama TM adalah untuk mengembangkan penguasaan pasaran, meneruskan inovasi untuk masa depan, memperbaiki keberkesanan operasi dan mengembalikan nilai yang boleh dibanggakan kepada pemegang-pemegang sahamnya. Pencapaian kukuh setakat ini menunjukkan TM kini berada di landasan betul untuk mencapai visinya menjadi Syarikat Telekomunikasi Generasi Baru yang terulung di negara.

TM mempunyai kepentingan di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam memenuhi aspirasi ETP terutamanya dalam bidang utama iaitu “Perkhidmatan Perniagaan” dan “Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur” (CCI). Selaras dengan Projek Permulaan 3 (Entry Point Project 3 - EPP03), TM telah menandatangani satu perjanjian kolaborasi untuk menawarkan perkhidmatan TelePresence Terurus dan membina sebuah ibusawat TelePresence (TelePresence Exchange - TPX) di Malaysia.

TM turut mengoptimumkan rangkaian, kemahiran dan liputannya untuk mempertingkatkan penguasaannya di dalam perkhidmatan Teknologi Maklumat dan perkhidmatan Penyumberluaran Proses Perniagaan (Business Process Outsourcing - BPO) untuk segmen perniagaan / enterpris melalui pengendali perniagaan ICTnya iaitu VADS Berhad. Langkah seterusnya adalah untuk memperkukuhkan perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada dengan aplikasi-aplikasi yang inovatif bagi menyediakan pengalaman pelanggan yang diperkayakan, sama ada mereka pelanggan produk dan perkhidmatan kediaman pengguna ataupun penawaran perniagaan / enterpris.

TM juga sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai hab Internet terpenting di rantau ini dengan memanfaatkan aset dan rangkaian infrastruktur global yang meluas bagi memenuhi peningkatan permintaan pembawa-pembawa global dan enterpris yang semakin sofistikated. TM baru-baru ini telah berkolaborasi untuk membina satu rangkaian pelayan global yang komprehensif untuk membawa kandungan lebih dekat kepada para pengguna web. Kandungan media yang diperkayakan juga akan disediakan kepada pengguna berdasarkan permintaan, di mana-mana jua pada bila-bila masa. Ini sejajar dengan perancangan Syarikat untuk memperkembangkan pusat datanya bagi memenuhi objektif meletakkan Malaysia sebagai hab pusat data bertaraf dunia. Ini akan meletakkan Syarikat pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan di masa hadapan, khususnya kepada pertumbuhan yang dihasilkan lanjutan perlaksanaan ETP Kerajaan.

Memandangkpers ekitaran landskap telekomunikasi yang penuh persaingan sengit, Lembaga Pengarah menjangka persekitaran perniagaan TM bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 akan kekal mencabar.

Sumber : TM

Thursday, November 17, 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia: Buktikan Anda Boleh

Masih membicarakan perihal tentang kedai Rakyat 1Malaysia(KR1M). Selepas serangan demi serangan yang dilakukan ke atas kedai ini oleh pelbagai pihak yang mempunyai agenda tertentu, penulis ingin menyeru agar pengusaha-pemgusaha kedai ini tidak patah semangat. Maka buktikanlah bahawa anda semua mampu memberikan yang terbaik.

Ini adalah lumrah dalam perniagaan. Penulis menyarankan agar pengusaha kedai ini menyasarkan menjadi Kedai Rakyat 1Malaysia yang mempunyai seratus peratus (100%) barangan yang mendapat logo JAKIM. Jika ini dapat dilakukan penulis yakin bahawa inisiatif ini bakal pergi jauh dengan menjadi kedai pilihan semua rakyat Malaysia.

Kerajaan juga diseru agar terus menerus memberi bantuan tanpa takut dan gentar ugutan mana-mana pihak. Sepengetahuan penulis ketika berinteraksi dengan peniaga dan pengusaha, penglibatan dalam perniagaan tidak dapat lari daripada ugutan. Ini termasuklah ada yang menggunakan khidmat kongsi gelap dan sebagainya. Kerajaan juga perlu melipatgandakan usaha mengesan taktik kotor ini agar peluang perniagaan tidak terus hanya dimonopoli oleh golongan-golongan yang tidak beretika dan tidak bermaruah ini.

Selain itu tidak kurang juga yang menggunakan khidmat Ilmu Hitam dalam menjatuhkan pesaing. Dengan adanya inisiatif KR1M , maka masalah kegiatan menyorokkan barangan keutamaan pengguna dapat dielakkan selain dapat mengelakkan dari masalah manipulasi harga oleh pembekal dan peruncit konvensioanal.Sebagai pengguna, sama-samalah kita menyokong setiap inisiatif yang baik di negara ini dengan meletakkan ke tepi sebarang kepentingan politik.

@MyIktisad

Wednesday, November 16, 2011

Ketahui Bank Islam Terbaik

 Lapan bank tempatan, yang diketuai Bank Rakyat, Maybank Islamic Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd., berada di antara 50 Institusi Kewangan Terkemuka 2011 dalam Laporan 500 Institusi Kewangan Islam Terkemuka yang telah dikeluarkan.

Bank Rakyat meningkat tiga anak tangga kepada kedudukan ke-12 (nilai aset AS$20 bilion); Maybank Islamic naik satu mata kepada tempat ke-18 (AS$15.4 bilion); dan CIMB Islamic Bank di tempat ke-22 dari tempat ke-27, dengan aset bernilai AS$11.7 bilion.

Kedudukan lima bank lain turun.

Bank Islam Malaysia Bhd. turun satu mata ke tempat ke-24 (25 sebelumnya); Public Bank Islamic Bhd. tempat ke-38 (32); AMMB Holdings tempat ke-43 (41); AmIslamic Bank Bhd. tempat ke-44 (42); dan Bank Muamalat Malaysia Bhd. tempat ke- 48 (45).

Tiga kedudukan pertama dalam laporan itu disandang oleh Bank Melli Iran; Bank Mellat Iran; dan Al Rajhi Bank, Arab Saudi.

Sumber : Bernama

Mengapa Menyerang Kedai 1Malaysia Tanpa Henti?

Kebelakangan ini serangan kritikan melampau terhadap kedai 1Malaysia semakin menjadi-jadi. Ini mungkin kerana ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kewujudan kedai berkenaan. Namun bagi penulis yang beragama Islam, oleh kerana kedai berkenaan juga diuruskan oleh pihak syarikat yang beragama Islam dan diamanahkan oleh kerajaan maka penulis berasa senang akan tahap kehalalan barangan yang dijual berbanding dengan yang lain.Penulis berharap agar kedai berkenaan juga akan sampai ke tempat tinggsl penulis suatu hari nanti.

Oleh yang demikian penulis berharap pihak-pihak yang berkempen terus menerus mengkritik kedai berkenaan, agar berhenti meneruskan usaha berkenaan. Jika terasa iri hari, wujudkanlah kedai-kedai yang boleh menyaingi kedai berkenaan dan bukannya memburuk-burukkannya. Biarlah para pelanggan buat keputusan dan isu ini tidak sepatutnya dipolemikkan dan dijadikan isu politik. Maka benarlah ketikas ini bahawa ramai pihak di Malaysia ini yang amat gilakan dan bertuhankan politik semata-mata.

@MyIktisad

Tuesday, November 15, 2011

Lanskap Kewangan Islam Baharu Beri Fokus Pada Kestabilan Kewangan

KUALA LUMPUR, 15 Nov 2011. Bernama telah melaporkan bahawa Peningkatan fokus kepada kestabilan kewangan, terutama perubahan fundamental di segi persekitaran kawal atur, merupakan aspek utama yang baharu lanskap kewangan Islam di dalam persekitaran yang semakin meningkat mencabar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada Selasa.

Katanya ini termasuk perubahan kepada peraturan institusi bagi diwujudkan sistem penyeliaan kewangan -- yang kedua-duanya pada peringkat antarabangsa dan yang terhad kepada persempadanan beberapa buah negara.

"Ini telah mengukuhkan secara signifikan standard kewaspadaan dengan memberi fokus pada pembinaan lebih kukuh penampan modal dan kecairan, peningkatan ketelusan di dalam transaksi dan pendedahan kewangan dan peningkatan opsyen bagi menangani kegagalan institusi kewangan," katanya semasa menyampaikan ucaptama mengenai "Lanskap Kewangan Islam yang Baharu" pada Sidang Kemuncak Risikan Kewangan Islam (IFIS) 2011.

Kedua-dua pengaturan institusi itu - Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) telah diwujudkan bagi mencapai kestabilan keseluruhan sistem kewangan global bagi memberi khidmat terhadap isi rumah dan perniagaan.

Katanya adalah penting bahawa proses penetapan standard antarabangsa membenarkan dan terus menggalakkan integrasi berkesan dan bertukar-tukar perspektif antara kewangan Islam dan konvensional bagi memastikan kerangka global yang tegas.

Di sebalik pencapaian pengalaman pahit secara berterusan di dalam ekonomi dan sistem kewangan antarabangsa, Zeti berkata adalah penting bagi mengiktiraf transformasi global jangka panjang fundamental yang telah berlaku.

"Kemunculan serentak ekonomi baharu muncul adalah hasil jajaran di dalam lanskap ekonomi global dan transformasi ini dicirikan oleh perubahan keseimbangan kekukuhan ekonomi global terhadap ekonomi baru muncul, dengan kesan signifikannya pada aliran ekonomi dan kewangan global," katanya.

Lanskap kewangan antarabangsa yang tidak dapat dielakkan untuk ditransformasikan dengan penempatan pusat-pusat kewangan secara berselerakan, sekaligus mungkin mendorong kemunculan pusat aktiviti kewangan, katanya.

Tambahan pula, sistem kewangan yang saling berkaitan -- khususnya di kalangan ekonomi baharu muncul -- akan terjalin lebih mendalam, dengan sokongan peningkatan perdagangan dan pelaburan global yang sedang berlaku.

"Dengan adanya kapasiti yang agak besar bagi memenuhi pelaburan yang besar, peluang kini bergantung kepada penyaluran secara lebih berkesan dan efisien dana lebihan yang agak besar terhadap peluang pelaburan yang produktif di dalam dan seluruh ekonomi baharu muncul," katanya.

Trends ini, kata Zeti sedang diperkukuhkan melalui pengembangan yang pantas institusi kewangan di dalam ekonomi baharu muncul yang telah menerokai melangkaui sempadan negara.

Katanya institusi kewangan dari ekonomi baharu muncul telah berkembang secara signifikan di segi saiz dan kekukuhan sejak beberapa dekad kebelakangan ini yang mencatatkan hampir separuh daripada nilai pasaran industri kewangan di seluruh dunia.

Sementara itu, satu lagi perkembangan utama, katanya integrasi pasaran kewangan di kalangan ekonomi baharu muncul, yang dipacu sebahagiannya oleh peningkatan saling berkaitan ekonomi dan peningkatan trend liberalisasi di dalam sektor kewangan.

"Pengantarabangsaan yang pantas kewangan Islam kini mengukuhkan trend ini dan telah meningkatkan hubungan ekonomi dan kewangan antara ekonomi baharu muncul."

"Tahap tinggi simpanan dan pengumpulan kekayaan di kalangan beberapa ekonomi baharu muncul, yang termasuk di Asia dan Timur Tengah, perlu disalurkan secara berkesan ke arah pelaburan yang produktif yang termasuk bagi pembangunan infrastruktur yang besar," katanya.

Di dalam persekitaran ini, kewangan Islam telah muncul sebagai satu bentuk perantara yang berdaya maju dan menarik, yang termasuk pembiayaan projek infrastruktur berskala besar.

Zeti berkata pencapaian kemajuan di dalam pasaran sukuk turut menyediakan bukti mengenai keupayaan kewangan Islam bagi memenuhi keperluan permintaan yang berbeza-beza ekonomi moden.

Terbitan baru-baru ini sukuk RMB luar pesisir pertama di dunia oleh Khazanah Nasional di Malaysia mencerminkan trend yang semakin berkembang penerbitan kepelbagaian sukuk di Asia.

 Sumber: BERNAMA

Monday, November 14, 2011

Jakim Wajar Dijadikan Sebagai Penyedia Logo Halal Tunggal di Malaysia

Utusan Malaysia pada 13 Nov 2011  telah melaporkan bahawa "Jakim tidak monopoli logo halal".Ini berikutan  Penguatkuasaan pensijilan halal mulai 1 Januari ini bukan bertujuan menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan tunggal yang mengeluarkan logo halal.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan, selain Jakim, terdapat 14 majlis agama negeri yang turut menguatkuasakan pensijilan halal berkenaan di seluruh negara.

"Dakwaan yang mengatakan Jakim mahu memonopoli pengeluaran sijil dan logo halal adalah salah kerana sebenarnya Jakim dan 14 majlis agama negeri bersama-sama mengeluarkan sijil itu."Cuma logo hanya ada satu kerana ia telah diseragamkan bagi memudahkan penguatkuasaan di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKS), Teh Kee Sin menggesa kerajaan menangguhkan pelantikan Jakim sebagai badan pensijilan tunggal pada 1 Januari ini kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan industri makanan di negara ini.

Kee Sin berkata, kerajaan perlu mengkaji kemungkinan memilih lebih daripada satu badan pensijilan kerana pihaknya bimbang akan wujud transaksi tidak beretika jika berlaku monopoli dalam perkara itu.Jamil berkata, pihaknya tidak menjangkakan timbul masalah ketika Jakim dan 14 majlis agama mula berfungsi menguatkuasakan pensijilan halal kerana persiapan ke arah itu sudah dilakukan dengan rapi.

Antaranya, beliau berkata, 62 pegawai Jakim yang bertauliah telah diberi kuasa untuk menguatkuasakan pensijilan tersebut. Beliau berkata, kesemua pegawai agensi berkaitan turut diberi latihan untuk tujuan berkenaan dan sebuah makmal bagi memproses permohonan dan kajian terhadap makanan juga akan dibuka di Taman Enstek, Nilai.

Tambahnya, tidak timbul soal kebimbangan terhadap wujudnya risiko transaksi tidak beretika kerana Jakim dan majlis agama negeri-negeri tidak bermotifkan komersial."Jakim dan majlis agama bukan bertujuan komersial kerana mereka hanya mengenakan RM200 untuk tempoh dua tahun bagi logo halal sesuatu produk makanan," jelasnya.

Jelas Jamil, penguatkuasaan logo halal itu adalah ekoran pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 kepada APD 2011 yang memberi kuasa kepada Jakim dan majlis agama Islam mengambil tindakan terhadap sebarang pemalsuan dan penipuan sijil halal di negara ini."

Namun penulis berpendapat soal halal dan haram bukanlah untuk dikomersialkan. Ini kerana Jakim adalah dibawah kerajaan. Sepatutnya kerajaan diberi kepercayaan untuk menguruskan hal berkaitan tanpa sikap prejudis. Ini berbanding dengan pihak swasta yang sering mementingkan soal keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan perasaan pengguna.

Wednesday, November 9, 2011

Kolagen dan Gelatin: Sejarah Baru Bakal Tercipta Lagi Buat Umat Islam

Utusan Malaysia telah melaporkan pada 7 Nov. 2011 bahawa Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dipercayai bakal menjadi pengeluar kolagen dan gelatin halal pertama dunia apabila menjadi pemegang ekuiti terbesar bagi sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan.PNB dikatakan bakal memegang 70 peratus kepentingan dalam syarikat itu.Menurut sumber, kedua-dua pihak sedang melakukan perbincangan dan keputusan mengenainya bakal diketahui menjelang akhir tahun ini.

''Lebihan pegangan kepentingan pula adalah kepada pemilik kepakaran pengeluaran produk kolagen dan gelatin.''PNB merupakan calon pilihan untuk memegang kepentingan terbesar itu, tetapi keputusan akhir akan hanya diketahui menjelang akhir tahun ini,'' menurut sumber kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah sumber itu, melalui pemilikan itu, bakal menjadikan Malaysia sebagai negara Islam pertama yang mengeluarkan kolagen dan gelatin dengan pensijilan halal.''Setakat ini, hanya 0.7 peratus gelatin di pasaran dibuat menggunakan sumber halal dan tiada lagi negara Islam meneroka untuk pasaran tersebut.''Malaysia akan menjadi negara Islam pertama yang berbuat demikian, ia sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi hab halal global,'' jelasnya.

Pada masa ini, pengeluaran gelatin global adalah sekitar 400,000 tan yang bernilai AS$2.2 bilion (RM6.82 bilion).Gelatin merupakan bahan penting yang banyak digunakan dalam pembuatan makanan, perubatan, kosmetik dan sebagainya.Potensi pasaran bagi produk itu terutama di Timur Tengah adalah sangat besar dan ia baik untuk perdagangan negara.

Sumber: Utusan Malaysia di :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1108&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm&arc=hive

Saturday, November 5, 2011

Kurangkan Kebergantungan Kepada Hutang

Hutang adalah salah suatu lumrah kepada kehidupan kita seharian. Namun begitu tabiat berhutang secara membuta tuli adalah suatu amalan yang kurang sihat. Berhutang untuk perkara-perkara yang tidak produktif bakal memberikan kesan negatif dalam jangkamasa panjang sama ada individu atau entiti perniagaan.

Namun begitu, jika berhutang pula, niat perlulah sentiasa baik iaitu berniat untuk menjelaskan semula hutang berkenaan. Dalam Islam, setiap hutang perlulah dijelaskan semula. Jika sikap yang baik ini dapat diamalkan oleh setiap individu dalam masyarakat, maka kita akan dapat mengatasi masalah ekonomi yang mana sedang hebat merebak di beberapa benua ini.

Punca krisis ini adalah disebabkan oleh sifat tamak haloba pihak tertentu yang berada di dalam sistem ekonomi yang mengamalkan sifat yang tidak baik seperti suka berhutang tetapi amat liat untuk membayarnya semula. Dengan yang demikian, pihak yang memberi hutang pula akan terpaksa meminjam kepada pihak lain pula dan mungkin pula tidak membayar pula hutang berkenaan disebabkan masalah yang dihadapi. Akhirnya masalah ini akan terus merebak dan terus merebak.

@MyIktisad

Thursday, November 3, 2011

Sejauh Mana Bursa Saham Tempatan Mampu Bertahan?

Sejak dalam tempoh beberapa hari ini prestasi Bursa Malaysia dilihat dalam keadaan tidak menentu. Ianya mungkin disebabkan kebimbangan pelabur terhadap krisis hutang yang sedang melanda di beberapa buah benua.Keadaan sekarang menuntut para pelabur membuat keputusan yang terbaik dari segi pelaburan mereka di pasaran terbuka.

Namun begitu , bagi pelabur-pelabur runcit mereka sememangnya amat berharap agar pasaran terus disokong oleh pelabur-pelabur institusi tempatan bagi terus menstabilkan pasaran. Namun dalam tempoh jangka panjang, ketahanan pasaran masih menimbulkan tandatanya memandangkan krisis hutang yang berlaku di beberapa benua masih belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih sepenuhnya bahkan pula mempunyai risiko merebak ke tempat lain.

Sebagai pelabur , adalah menjadi cabaran yang amat hebat untuk membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburan pada masa sekarang di mana kadangkala kita melihat seolah-olah pasaran dalam keadaan yang baik dan kadangkala ianya menjunam pula dengan cara yang tidak disangkakan. Walaupun ada dikalangan kita yang bertekat untuk melabur dalam jangkamasa yang panjang dan menikmati pulangan dividen, namun ianya amat menyakitkan hati jika nilai pelaburan kita makin turun ke paras di bawah nilai pelaburan asal.

@MyIktisad

Saturday, October 29, 2011

Himpunkan Sumber Kekayaan Umat Islam

Baru-baru ini telah digerakkan satu himpunan sejuta umat Islam (HIMPUN) yang secara simboliknya menghimpunkan suara umat Islam bagi menyatakan pendirian atas usaha segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memesongkan akidah umat Islam. Perhimpunan ini secara tidak langsung telah membuka satu dimensi baru terhadap hak berhimpun dan menyuarakan pendapat yang telah diadakan dengan tertib dan beradab di stadium dan diadakan di stadium secara secara tertutup.

Walaupun perhimpunan ini diperkecilkan oleh pihak-pihak tertentu, ianya sedikit sebanyak juga memberi isyarat yang jelas bahawa ada segolongan dikalangan umat Islam yang menyeru ke arah kebaikan dan menentang segala bentuk kemungkaran di dalam Islam. Kewujudan paksi ke tiga di kalangan umat Islam bakal menjadi kuasa pengimbang terhadap dasar-dasar parti politik Melayu dan Islam di Malaysia.

Namun saya berpendapat bahawa, untuk menjadikan kumpulan ini terus relevan, kekuatan ekonomi dan sumber kewangan juga memainkan peranan. Adalah baik juga jika herakan ini menggerakkan usaha menghimpunkan sumber kekayaan umat Islam di Malaysia ini. Ianya boleh dilalukan dengan menubuhkan sebuah Permodalan Himpun Berhad yang fungsinya menyamai dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Untuk menghimpun sumber kewangan ianya boleh dimulakan dengan menawarkan amanah saham bernilai  yang boleh dilaburkan serendah RM 1, yang mana nilai berkenaan tidak sama dengan harga "unit trust" yang nilainya berubah mengikut harga pasaran.. Namun permodalan ini perlu ditubuhkan melalui badan-badan bukan kerajaan(NGO-NGO) kerana ia perlulah kekal bebas daripada unsur kuasa politik

Caruman-caruman daripada pencarum kemudiannya perlu dilaburkan di sektor-sektor ekonomi dan kewangan yang selaras dengan konsep halal di dalam Islam. Jika ini dapat dilakukan maka umat Islam tidak perlu gusar atas campur tangan politik dalam menguruskan sumber kekayaan umat yang telah diHIMPUNkan.

@MyIktisad

Wednesday, October 26, 2011

Isu Terkini Kenaikan Harga Barang : Jom Kurangkan Pembelian

Isu kenaikan harga barang dilihat seolah tidak berkesudahan. Rata-rata ianya disebabkan oleh keadaan di mana permintaan melebihi daripada penawaran. Antara faktor utama ialah, seperti yang pernah dipaparkan di media massa sebagai contoh ialah kenaikan harga ikan disebabkan oleh ikan-ikan telah dieksport ke negara China yang mana menawarkan harga yang lebih baik. Ini disebabkan oleh perkembangan pesat ekonomi di negara berkenaan. Kita yakin situasi yang sama berlaku pada barang-barang keperluan yang lain. Apa yang membimbangkan lagi ialah situasi bencana alam yang makinmenjadi jadi di negara-negara pengeluar makanan asasi.

Tindakan boikot tidak dapat menyelesaikan masalah ini, bahkan ianya mungkin bakal membunuh terus pengusaha-pengusaha yang bakal menyebabkan wujudnya hanya beberapa pengusaha sahaja di pasaran yang bakal menjurus kepada monopoli. Apa yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan mengurangkan kuantiti pembelian agar ianya dapat menstabilkan harga di pasaran ke arah yang lebih berpatutan.

Selain daripada itu para peruncit digalakkan mencari sumber barangan daripada pengeluar terus tanpa bergantung kepada pemborong atau orang tengah bagi mengurangkan kos belian barangan untuk perniagaan runcit. Jika ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan, tindakan menangguhkan pembelian sesuatu barangan yang kurang perlu juga boleh dilakukan bagi menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.


Jika semua pengguna dapat mengadaptasikan kaedah ini , insyaallah permasalahan kepenggunaan dapat ditangani secara bersama tanpa terlalu bergantung kepada pihak kerajaan. Kuasa pengguna dilihat kaedah yang terbaik dalam mengatasi kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

@MyIktisad

Monday, October 24, 2011

Kerajaan Disaran Mewujudkan Bandar Madani Di Kuala Lumpur

Jika kewujudan "ChinaTown" dan "Little India" telah diiktiraf di Malaysia, sudah sampai masanya kerajaan menimbang bagi memperuntukkan suatu kawasan di Kuala Lumpur sebagai Bandar Madani. Bandar ini merujuk kepada bandar yang berteraskan bebas daripada unsur-unsur terlarang di dalam Islam seperti pusat hiburan yang melalaikan, bebas daripada unsur-unsur makanan tidak halal dan sebagainya. Dengan kata lain konsep "halalan toyyiban" menjadi teras utama bandar berkenaan.

Kewujudan bandar ini dilihat sebagai salah suatu usaha bagi mendidik masyarakat menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dan bebas daripada masalah sosial. Ianya lebih daripada usaha mempromosikan kehidupan masyarakat Islam dan Melayu yang lebih progressif dan menjadi contoh kepada yang lain. Sesungguhnya belum ada bandar yang sedemikian di Kuala Lumpur walaupun bandar-bandar lain bagi masyarakat dan agama lain telah diiktiraf kewujudannya.

Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan untuk tujuan berkenaan ialah di kawasan sekitar tapak Penjara Pudu yang bakal dibangunkan tidak berapa lama lagi. Jika ini dapat dilakukan, barulah jelas menunjukkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama di Kuala Lumpur.

@MyIktisad

Saturday, October 22, 2011

Protes "Occupy Wallstreet" : Menuntut Keadilan Sosial Dalam Ekonomi

Bantahan demi bantahan semakin dilakukan oleh pelbagai pihak yang memperjuangkan keadilan sosial dalam ekonomi. Bantahan ini berpunca daripada senario semasa di Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya yang menunjukkan kekuasaan ekonomi hanya berada pada pihak yang tertentu sahaja. Protes yang dinamakan"Occupy Wallstreet" diberitakan mula merebak ke beberapa negara maju yang lain.

Keadaan ini perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan Malaysia dan pembuat dasar agar berani melakukan perubahan transformasi yang berteraskan mengutamakan kemaslahatan umat dan berpaksikan keadilan sosial yang diamalkan dalam Islam. Konsep rakyat didahulukan dilihat sebagai langkah permulaan yang baik dan apa yang penting ianya perlu diterjemahkan di semua peringkat sama ada di sektor awam ataupun korporat yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan semua peringkat sosial di dalam masyarakat. Penguasaan kekayaan oleh golongan tertentu sahaja perlu ditangani agar lebih ramai rakyat boleh mempunyai pendapatan dan kekayaan yang sewajarnya.

Bagi rakyat pula, tanggungjawab kita ialah mengelakkan diri dari sifat-sifat keji seperti tamak haloba, gila kuasa, hasat dengki dan sebagainya.Jika ini semua dapat dilakukan, ianya sudah pasti bakal mewujudkan suasana masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai dan harmoni di dunia ini.

@MyIktisad

Kerajaan Kaji Lebih Kawasan Sesuai Bina Lebih Banyak PR1MA

Baru baru ini diberitakan bahawa  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk dibina rumah-rumah kos rendah di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Berdasarkan kajian oleh pihak kerajaan, terdapat kira-kira 90,000 keluarga yang memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

Oleh yang demikian kerajaan sedang melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina rumah kos rendah melalui program PR1MA.Dengan cara ini, lebih ramai rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan memiliki rumah sendiri.
Sebelum ini Perdana Menteri telah mengumumkan, kerajaan akan memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri PR1MA di Putrajaya pada minggu lepas.Najib dipetik sebagai berkata, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri bagi menyemai perasaan pemilikan hartanah yang lebih erat kepada negara.

Penulis mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan di atas usaha ini. Namun dicadangkan juga diwujudkan pakej pemilkan bagi rakyat kelas pertengahan untuk mendapat kediaman pada harga berpatutan. Setidak-tidaknya usaha ini dapat membendung gejala gelembung harga hartanah yang berlaku dipasaran. Kemasukan atau penglibatan kerajaan secara langsung di dalam pasaran dilihat dapat membantu menstabilkan harga rumah di pasaran.

Sumber: Utusan Malaysia

@MyIktisad

Thursday, October 20, 2011

Penjawat Awam Jangan Angkuh: Kesian PM

Bila melihat gelagat pegawai kanan yang memberi reaksi terhadap aduan seoarang isteri yang suaminya dipenjara akibat masalah insolvensi di Buletin Utama semalam, penulis tiba-tiba terasa amat meluat sangat-sangat. Pada malam ini pula, presiden Persatuan Pengguna Islam yang ditempelaknya semalam mengemukakan cabaran kepada beliau agar bersemuka.

Gelagat pegawai kanan berkenaan amat berlawanan dengan amalan dan halatuju yang sedang dipelopori oleh Perdana Menteri(PM), Datuk Sri Najib Tun Razak yang sering bergelumang ke sana ke sini bersama rakyat untuk mendengar dan merasai penderitaan dan keperitan rakyat. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, sekurang-kurangnya Perdana Menteri kini sedang  dilihat sedaya upaya cuba merasai setiap nadi rakyat. Sepatutnya pegawai berkenaan perlu respon dengan cara yang lebih berhemah dan bukannya membidas dan melenting tak tentu pasal.

Agak kasihan kepada PM yang sering bermandikan peluh berjalan di sana sini bagi bersama rakyat, sedangkan masih ada pegawai kerajaan yang bersikap angkuh. Harus diingat bahawa salah satu punca bebanan hutang individu yang menjurus kepada insolvensi adalah disebabkan langkah kerajaan sebelum Najib menaikkan harga minyak secara membuta tuli dan menaikkan gaji kakitangan awam secara tidak teratur dan tidak berhemah yang menyebabkan kos barang keperluan naik mendadak. Salah seorang yang mendapat manfaat dari kenaikan gaji tersebut ialah pegawai yang angkuh berkenaan. Sepatutnya beliau bersyukur dan bersikap ehsan kepada rakyat atau golongan yang tidak bernasib baik seperti beliau.

Sudah sampai masanya kerajaan memantau dengan lebih kerap akan gelagat pegawai kanan dan ketua-ketua badan berkanun, GLC dan yang sama taraf dengannya agar lebih bersifat ihsan kepada rakyat, pekerja dan pelanggan. Jika tidak, Najib masih berseorangan dalam melakukan transformasi politik, ekonomi dan sektor awam di Malaysia. Jika perlu, cuba semak sama ada mereka-mereka ini satu kapal dengan Datuk Seri atau agen atau golongan dari kapal yang berlainan dengan Datuk Sri bagi mengelakkan unsur sabotaj terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh PM.

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...