Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, August 6, 2013

Malaysia Bakal Jadi Pusat Percetakan Al-Quran Kedua Terbesar Di Dunia

28 Ramadhan 1434

KUALA LUMPUR, 5 Ogos , 2013- Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi dengan penubuhan Pusat Percetakan Al-Quran Mushaf di ibu negara.

Perdana Menteri berkata pusat percetakan itu adalah hasil kerjasama Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan Yayasan Restu.

"Saya dengan besar hatinya terpanggil untuk menyatakan kesyukuran atas keprihatinan Yayasan Restu yang mencetuskan idea untuk menubuhkan pusat percetakan mushaf al-Quran bersepadu di negara ini.

"Penggabungan antara Yayasan Restu dan PNMB ini saya yakin dapat menjayakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia," katanya dalam ucapan pelancaran Pusat Pencetakan al-Quran Mushaf Malaysia di ibu pejabat PNMB, Jalan Chan Sow Lin di sini Isnin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga Pemegang Amanah Yayasan Restu.

Najib berkata pelancaran pusat percetakan itu juga boleh dianggap sebagai manifestasi kegigihan kerajaan dalam usaha meninggikan syiar Islam tanpa mengenal jemu dan penat.

"Sepertimana yang kita sedia maklum, al-Quran adalah satu-satunya mukjizat yang masih kekal di tangan umat Islam hingga ke hari ini. Marilah kita menzahirkan kesyukuran dan berbangga kerana masih diberi nikmat 'kemanisan beriman' dengan kitab suci al-Quran ini," katanya.

Beliau turut mengajak umat Islam menjadikan generasi sekarang sebagai generasi al-Quran dengan menghayati dan menerokai kandungan kitab suci al-Quran dengan membaca serta memahami ayat demi ayat.

"Jadikanlah pembacaan al-Quran itu sebagai budaya kita, mudah-mudahan kita akan memperolehi keberkatan dan petunjuk," katanya.

Najib berkata walaupun proses percetakan al-Quran tidak jauh berbeza dengan proses percetakan buku-buku lain, namun ia memerlukan ketelitian dan kepakaran peringkat tertinggi.

"Ini sangat penting untuk menghindari kesalahan cetak. Perlu diingat bahawa al-Quran adalah kitab suci yang dijamin keasliannya," katanya.

Maklumat lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...