Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, July 27, 2013

RAM Turunkan Penarafan 3 Terbitan Hutang Binariang

18 Ramadhan 1434

KUALA LUMPUR, 26 Julai, 2013- RAM Rating Services Bhd telah menurunkan penarafan tiga terbitan hutang Binariang GSM Sdn Bhd, dengan tinjauan negatif.

RAM dalam satu kenyataan hari ini berkata terbitan hutang yang diturunkan itu ialah -- RM2 bilion Program Kertas Komersil Islam (-/-/P2/RW_Negatif), RM19 bilion Program Nota Jangka Sederhana Islam (A2/-/-/RW_Negatif) dan US$900 juta Sukuk Junior Islam Tidak Boleh Tukar Kumulatif (BB1/-/-/RW_Negatif).

Binariang merupakan syarikat pegangan pelaburan dengan kepentingan dalam syarikat telekomunikasi Maxis Bhd dan Aircel Ltd.

RAM berkata prestasi lemah berterusan Aircel berikutan persekitaran perniagaan yang amat kompetitif dan keadaan kawal selia yang tidak menentu di India terus mempengaruhi profil kredit Binariang.

"Peserta mudah alih terbesar itu, dengan keuntungan kukuhnya, tidak mampu untuk mengimbangi kerugian berterusan Aircel, seperti yang dibuktikan dengan kerugian bersih berganda kumpulan kepada RM7.82 bilion," kata Agensi penarafan itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Ranhill Energy And Resources Tarik Balik Permohonan Penyenaraian Di Bursa

18 Ramadhan 1434


KUALA LUMPUR, 26 Julai , 2013  Ranhill Energy And Resources Bhd hari ini menarik balik permohonannya untuk mendapatkan penyenaraian dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Ranhill Energy berkata ia telah membuat keputusan untuk menarik balik permohonannya bagi tawaran awam awal (IPO) sebanyak 407 juta saham biasa bernilai RM1 setiap satu, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 14 Januari.

"Lembaga akan memastikan semua wang permohonan/penempatan bagi IPO itu dikembalikan kepada semua pemohon/pelabur tanpa faedah secara teratur dan tidak lewat daripada 7 Ogos," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, July 10, 2013

McDonald's Malaysia Menang Anugerah Syarikat Tempat Bekerja Paling Baik

1 Ramadhan 1434

KUALA LUMPUR, 9 Julai , 2013- McDonald's Malaysia telah diberi Anugerah "Syarikat Tempat Bekerja Paling Baik" oleh HR Asia, salah satu penerbitan untuk profesional sumber manusia kanan.

Penghakiman adalah berasaskan keputusan yang didapati daripada Kajian Input Pekerja HR Asia dan Kajian Komitmen Pekerja.


Pengarah Urusan dan Pengurus Serantau McDonald's Malaysia & Singapura, Sarah Casanova, berkata pengiktirafan ini adalah satu penghormatan kerana kajian itu dijawab oleh pekerja McDonald's sendiri.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pekerja kami atas apa yang mereka lakukan untuk restoran kami. Komitmen mereka kepada jenama ini adalah penting dalam memberikan pengalaman keseluruhan kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Sebagai satu syarikat yang komited dalam pembangunan insan, McDonald's Malaysia melabur lebih 370,000 jam setahun bagi latihan pekerja setiap tahun.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wakaf Selangor Muamalat Rancang Bina Hospital Wakaf Dalam 2-3 Tahun Akan Datang

1 Ramadhan 1434

KUALA LUMPUR, 9 Julai , 2013- Wakaf Selangor Muamalat (WSM), sebuah usaha sama antara Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), merancang untuk membangunkan sebuah hospital wakaf dalam dua hingga tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, berkata melaksanakan projek wakaf seperti sekolah dan hospital memerlukan dana yang lebih besar.

"Tetapi, jika kita berganding bahu, kita boleh melakukannya. Kami berharap banyak lagi badan-badan korporat akan menyumbang kepada dana WSM. Dengan dana wakaf yang besar, WSM akan dapat melaksanakan lebih banyak projek," katanya dalam ucapannya pada majlis penyampaian cek kepada WSM oleh MAA Takaful di sini Selasa.

Wakaf ialah sumbangan harta bagi tujuan amal bagi faedah orang ramai.

Dana yang dikumpul itu adalah bagi penambahbaikan dan pembangunan kesihatan dan pendidikan mereka yang memerlukan.

Mohd Redza berkata antara projek-projek wakaf yang menunggu untuk dilaksanakan ialah klinik bergerak wakaf bagi perkhidmatan di Kuala Selangor yang melibatkan kos RM254,900 dan penajaan dua mesin dialisis kepada Klinik Dialisis Nurul Ain yang menelan kos RM76,000.

Selain itu, WMS akan menaja sebuah mesin pencetak timbul untuk mencetak Al-Quran Braille bagi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berharga RM16,000, menjadikan keseluruhannya berjumlah RM346,900.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Saturday, July 6, 2013

Melaka Jangka Pelaburan RM2 Bilion Menerusi Beberapa Projek Mega

27 Syaaban 1434

MELAKA, 6 Julai , 2013- Kerajaan Melaka menjangka pelaburan bernilai RM2 bilion diperoleh dalam masa terdekat menerusi beberapa projek pelaburan mega termasuk pembinaan sebuah pulau buatan di Bandar Hilir di sini.

Ketua Menteri Datuk Idris Haron berkata kertas cadangan pelaburan itu menerusi pelaburan langsung asing dan domestik kini dikaji Majlis Perundingan Ekonomi Negeri Melaka (MAPEN), yang dipengerusikan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Selain Pulau Buatan yang dicadangkan pembinaan berhampiran Pulau Melaka, kami turut menerima cadangan pembinaan Taman Jurasic (Jurasic Park) dan Melaka Under Water World," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MAPEN di Bangunan Yayasan Melaka di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini Sabtu.

Pada majlis itu Idris turut menyerahkan surat cara pelantikan kepada anggota MAPEN lain termasuk dua bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Adib Adam serta beberapa bekas anggota Exco kerajaan negeri serta bekas pegawai tertinggi korporat dan agensi swasta yang berasal dari Melaka.

Beliau berkata cadangan pembinaan Taman Jurasic dan Melaka Under Water World itu di satu lokasi yang belum ditetapkan.

Idris berkata perundingan juga diadakan bagi penubuhan Taman Teknologi Melaka yang dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM1 bilion.

"Cadangan penubuhan taman teknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi masih di peringkat awal perundingan," katanya.

Mengenai MAPEN, Idris berkata penubuhannya diluluskan pada mesyuarat Exco baru-baru ini dan menerusi majlis ekonomi itu, semua projek mega berharga RM50 juta akan disalurkan ke MAPEN bagi pertimbangan kesesuaian serta keperluan projek mengikut undang-undang serta peraturan pelaburan.

"MAPEN akan mengkaji semua pertimbangan kepada perkara yang dibangkitkan serta menapis kesan ke atas pelaburan dan pertimbangan sebelum dibawa ke mesyuarat Exco untuk kelulusan projek berkenaan," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, July 1, 2013

Keyakinana Terhadap Sektor Perladangan

22 Syaaban 1434

KUALA LUMPUR, 1 Julai, 2013- Kenanga Research yakin dengan sektor perladangan dan positif dengan harga minyak sawit mentah (MSM) kerana penurunan inventori yang berterusan seharusnya memberi sokongan kukuh kepada harga.

Firma penyelidikan itu berkata dalam nota penyelidikan Isnin bahawa stok minyak sawit Malaysia dijangka terus turun pada Jun 2013 kepada 1.75 juta tan metrik dan ini sepatutnya positif bagi harga MSM.

"Berdasarkan kepada harga semerta harian MPOB bagi MSM, kami mengunjurkan harga MSM kekal pada purata rendah RM2,320 setan metrik bagi suku kedua tahun 2013, penurunan 28 peratus tahun ke tahun dan pertumbuhan tidak berubah suku ke suku," kata firma penyelidikan itu.

Kenanga Research berkata mengikut laporan keluasan terkini United States Department of Agriculture (USDA), peladang AS akan menanam 77.3 juta ekar kacang soya pada 2013, yang mana dalam anggaran konsensus 77.81 juta ekar.

"Walaupun USDA menyebut kawasan bagi penuaian dianggarkan pada rekod tinggi 76.9 juta ekar, kami percaya pasaran sepatutnya mengambil kira anggaran ini menilai daripada penurunan harga minyak kacang soya dan juga harga MSM minggu lepas," kata firma itu.

Maklumat lanjut : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...