Bursa Malaysia

top_rightads

Wednesday, October 30, 2013

Malaysia Negara Islam Tunggal Antara 10 Negara Terbaik Mudah Menjalankan Peniagaan

25 Zulhijjah 1434

LONDON, 30 Okt , 2013- Malaysia merupakan negara Islam tunggal yang berjaya meningkatkan kedudukannya dan menjadi antara 10 negara terbaik dari segi mudah menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 yang dikeluarkan pada Selasa, beliau berkata ia adalah hasil keberkesanan program reformasi kerajaan.

Sambil menjukkan kegembiraan beliau ke atas berita itu, Najib berkata dalam tempoh setahun, kedudukan Malaysia sudah melonjak dari tempat ke-12 kepada tempat keenam.

"Kita mesti terus kompetitif dan oleh itu pembaharuan perlu dilakukan. Kita mesti terus melakukan pembaharuan, saya gembira kerana dalam tempoh setahun, Malaysia sudah meningkat ke tempat keenam, kita satu-satu negara Islam dalam kumpulan 10 negara terbaik," kata Najib pada sidang media selepas sesi khas ucapan pemimpin pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan di sini pada Selasa.

Najib sebelum itu berkongsi kegembiraannya bersama 2,000 peserta forum semasa menyampaikan ucaptamanya.

Dalam laporan Bank Dunia itu, Malaysia melonjak ke tangga keenam dari segi mudah menjalankan perniagaan dari tempat ke-12 sebelum ini dalam kalangan 189 ekonomi.

Menyentuh mengenai cabaran domestik yang mungkin dihadapi Malaysia berdasarkan ketidaktentuan global pada masa depan, beliau berkata masalah yang dihadapi oleh kerajaan tidak banyak berbeza dengan negara lain dan kerajaan perlu terus meningkatkan pertumbuhan.

"Kita perlu memastikan dasar kita menjurus kepada pertumbuhan yang lebih besar dan pada masa yang sama ia perlu mengukuhkan fiskalnya. Itu penting memandangkan pertumbuhan perlu mampan dan bukan hanya untuk setahun dua," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Berita lanjut: BERNAMA

Britain Negara Barat Pertama Terbit Bon Islam Di Luar Negara-negara Islam

26 Zulhijjah 1434

LONDON, 29 Okt , 2013- Britain akan menjadi negara Barat pertama di dunia menerbitkan bon Islam di luar negara-negara Islam, mencerminkan komitmen tingginya untuk menjadi satu daripada pusat kewangan Islam utama di dunia.

Ketika membuat pengumuman di Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-9 (WIEF) di sini, Selasa, Perdana Menteri Britain David Cameron berkata perbendaharaan ketika ini sedang mengkaji perkara-perkara praktikal untuk menerbitkan sukuk (bon Islam) bernilai sehingga 200 juta pound pada awal tahun depan.

"Kami menyasar menjadi pusat kewangan Islam terbaik di dunia Barat. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Dubai dan Kuala Lumpur kerana mereka adalah pusat kewangan Islam terbaik di dunia," katanya semasa ucapan khas di forum tersebut.

Penerbitan sukuk itu hanya sebahagian daripada beberapa inisiatif yang diumumkan Cameron ketika negara tersebut menimbang idea menjadi satu daripada pusat kewangan Barat terbesar yang menawarkan perkhidmatan dalam perbankan dan pembiayaan Islam di luar negara-negara Islam.

Pengumuman itu juga memberikan kelebihan kompetitif kepada Britain berbanding rakan-rakan Baratnya terutamanya memandangkan negara itu memiliki sektor perbankan Islam terbesar di luar Timur Tengah dan Asia.

Ia memiliki 22 bank patuh Syariah atau bank-bank dengan kaunter Islam, yang setakat ini telah mengumpulkan 22.3 bilion pound.

Cameron berkata di London juga terdapat 25 firma undang-undang yang menawarkan atau mengkhususkan dalam perkhidmatan kewangan Islam serta 16 universiti atau kajian perniagaan yang menawarkan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan atau kursus mengenai kewangan Islam.

Beliau berkata London Stock Exchange juga akan melancarkan Indeks Syariah FTSE untuk menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk memanfaatkan dana dalam pasaran itu.

Berita lanjut: BERNAMA

Monday, October 28, 2013

KPF Lulus Rancangan Jual 51 Peratus Kepentingan Dalam Felda Holdings Kepada FGV

24 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 28 Okt , 2013- Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) meluluskan cadangan menjual 112,199,999 saham biasa pada RM1.00 sesaham atau 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Felda Holdings Bhd (FHB) yang belum dimiliki oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Cadangan itu yang diluluskan oleh perwakilan KPF pada mesyuarat agung luar biasa pada 27 Okt, membabitkan pertimbangan sebanyak RM2.2 bilion atau RM19.61 sesaham dalam bentuk tunai, kata FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Sumber berita- BERNAMA

MyCC Jangka Lebih Banyak Pemohon Untuk Program Geran Penyelidikan

24 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 28 Okt, 2013- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berharap akan menerima lebih banyak permohonan untuk Program Geran Penyelidikan (RGP) untuk menggalakkan lebih banyak kajian persaingan bebas di Malaysia.

Anggota MyCC Datuk Dr S. Sothi Rachagan, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sokongan berkata lebih banyak penyertaan daripada pemohon akan menyumbnag kepada peningkatan pengetahuan tentang persaingan.

"Program itu juga akan membantu MyCC membuat keputusan berdasarkan kajian yang kukuh," katanya pada sidang media mengenai anugerah Program Geran Penyelidikan MyCC di sini Isnin.

MyCC menganugerahkan lapan pemohon RCP geran sehingga RM25,000 setiap satu.

Sothi Rachagan berkata program itu bertujuan untuk membolehkan penyebaran, di dalam dan di luar negara, artikel akademik serta popular dan penerbitan mengenai isu-isu dan amalan persaingan yang relevan kepada ekonomi Malaysia.

Program penyelidikan adalah sebahagian daripada program sokongan berterusan MyCC, kata Sothi Rachagan.

"MyCC menyasarkan kajian penyelidikan yang dibiayai RGP untuk memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai persaingan perusahaan dalam ekonomi Malaysia," katanya.

 Sumber berita - BERNAMA

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Digalak Sertai Skim Persaraan 1Malaysia

23 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt , 2013- Lebih ramai rakyat Malaysia akan digalakkan untuk menyertai Skim Persaraan 1Malaysia berikutan langkah kerajaan untuk meningkatkan sumbangannya ke dalam skim itu seperti yang diumumkan dalam Bajet 2014 hari ini, kata timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Mohamad Nasir Ab Lati.

Sumbangan itu akan meningkat daripada lima peratus kepada 10 peratus atau maksimum RM60 hingga RM120 setahun, berkuat kuasa 1 Jan, 2014.

Skim itu dilaksanakan pada 1 Jan, 2010 untuk individu yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan untuk menabung dengan KWSP menjelang persaraan mereka.

Berita lanjut: BERNAMA

HSBB 2.0 Bakal Dilaksanakan

23 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 26 Okt, 2013- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menyambut baik pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terutama projek Fasa 2 Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB), termasuk projek kabel dasar laut dan menara penghantaran telekomunikasi berjumlah RM5.75 bilion.

Pengerusi MCMC Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata peruntukan itu merupakan komitmen jelas kerajaan dalam menumpukan usaha ke atas projek jalur lebar yang boleh memberi impak jangka panjang.

"Ini juga menunjukkan perhatian berterusan kerajaan mengenai pentingnya projek jalur lebar dalam agenda transformasi negara selain matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi," kata Mohamed Sharil.

"Kesinambungan dan penerusan dasar kerajaan menunjukkan petanda baik untuk pembangunan industri telekomunikasi di negara ini, dan kami yakin dengan peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2014 tiu, usaha untuk merapatkan jurang digital dan memupuk gaya hidup digital, boleh menjadi kenyataan," katanya.

Peranan utama SKMM ialah untuk melaksanakan dan mempromosi objektif dasar nasional kerajaan untuk sektor komunikasi dan multimedia.

Sumber berita: BERNAMA

Bantuan Dan Insentif Kepada Usahawan Dalam Bajet 2014 Tingkatkan PKS Dan Ekonomi Negara

23 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 26 Okt, 2013- Bantuan dan insentif kepada usahawan Bumiputera dalam bentuk pelbagai geran dan peluang-peluang perniagaan dalam Bajet 2014, amat bertepatan dan dapat menggalakkan lagi penyertaan usahawan Bumiputera, meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu Malaysia (MAPEM) Tan Sri Rozali Ismail berkata majlis menyambut baik belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan merakamkan penghargaan terhadap Perdana Menteri di atas keprihatinan dan sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sokongan tersebut adalah perlu memandangkan PKS memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kerana ia menyumbang 32 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangannya dijangka meningkat kepada 40 peratus pada 2020," kata beliau dalam kenyataan Sabtu.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam yang antara lain, mengumumkan penubuhan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulan RM30 juta dan satu pelan pembangunan usahawan akan digubal.

Rozali berkata MAPEM menyokong penuh inisiatif kerajaan membentuk Pelan Pembangunan Usahawan itu yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti usahawan PKS yang sebahagian besar terdiri daripada usahawan Bumiputera.

"Langkah Kerajaan menubuhkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) amat dialu-alukan memandangkan ia akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi meningkatkan kreativiti dan daya saing usahawan-usahawan Bumiputera di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata langkah Kerajaan memperkenalkan program 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) akan dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah.

Berita lanjut: BERNAMA

Saturday, October 26, 2013

Skim Aturan Kerja Fleksibel Mampu Tarik Lebih Ramai Pekerja Wanita

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt , 2013- Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) wajar dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pekerja golongan wanita untuk menyumbang tenaga dalam pasaran kerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata setakat ini negara hanya mempunyai 48 peratus bilangan pekerja wanita.

"Berbanding di pusat pengajian tinggi jumlah golongan wanita adalah sebanyak 60 peratus, namun apabila masuk ke alam pekerjaan jumlah berkenaan menyusut menjadi 48 peratus.

"Perkara ini berlaku kerana kebanyakan wanita lazimnya bekerja sebelum berkahwin namun mengambil keputusan berhenti kerja apabila mempunyai anak dan sibuk menguruskan perihal rumahtangga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari Jumaat.

Kerajaan hari ini melalui pembentangan Bajet 2014 mencadangkan kepada para majikan untuk mengadakan skim Aturan Kerja Fleksibel yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim tersebut boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti minggu kerja dipadatkan atau kerja hujung minggu.

Shamsuddin berkata dengan adanya skim tersebut golongan wanita terutamanya, mempunyai masa yang lebih fleksibel dan tidak perlu berhenti kerja kerana memikirkan soal rumah tangga terutama penjagaan anak.

Katanya melalui skim tersebut seseorang individu itu boleh memulakan tugas pejabat di awal pagi dan kemudian boleh pulang ke rumah lebih awal, dan secara tidak langsung boleh mengelak daripada kesesakan jalan raya.

"Melalui skim ini mereka (terutamanya wanita) boleh bekerja pada waktu yang fleksibel seperti empat atau tiga hari seminggu atau pun bekerja dari rumah dengan kelengkapan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lengkap.

"Skim ini juga mampu mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga kerja asing apabila kita mampu mengembalikan jumlah 60 peratus golongan wanita yang sepatutnya ada dalam pasaran kerja," katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata cadangan sumbangan kerajaan ditingkatkan dalam Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M), melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap pekerja terutamanya yang bekerja sendiri.

Pada tahun 2010, kerajaan menubuhkan SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Najib berkata sumbangan kerajaan akan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun di bawah skim itu berkuatkuasa mulai 1 Jan 2014 sehingga akhir tahun 2017 dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baharu.

Sumber berita - BERNAMA

Penjelasan Perlu Untuk Elak Rakyat Keliru Dengan GST

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt, 2013- Orang ramai perlu diberi penerangan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada April 2015 bagi memastikan mereka memahami mekanismenya dan bersedia dengan pelaksanaannya, demikian menurut beberapa persatuan pengguna hari ini.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata penjelasan itu boleh dilakukan dalam tempoh 17 bulan sebelum GST dilaksana memandangkan ramai yang masih tidak faham dan menganggapnya membebankan.

"Ramai juga yang keliru bahawa GST ialah cukai baharu. Mereka wajib diberi pendedahan atau pemahaman terhadap GST bagi mengelak timbul rungutan apabila GST dilaksanakan kelak.

"Kerana itu kerajaan perlu ambil inisiatif untuk pastikan orang ramai betul-betul faham dengan GST ini, dan agensi atau jabatan kerajaan yang berkenaan perlu membuat hebahan atau penerangan dalam tempoh yang ada, iaitu 17 bulan dari sekarang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari Jumaat.

Beliau berkata kerajaan juga perlu membuat penjelasan menerusi kaedah yang dikenal pasti mampu memberi kefahaman kepada orang ramai, dan bukan sekadar memberi penjelasan biasa.

Katanya, adalah penting rakyat mengetahui bahawa GST tidak dilaksana bagi semua barangan.

Dalam pembentangan Bajet 2014 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara barangan yang tidak dikenakan GST ialah bahan makanan asas dan perkhidmatan pengangkutan awam.

GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015 dengan kadar 6 peratus.

Mengulas penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen, yang berkuat kuasa esok, Mohd Firdaus berkata ia langkah tepat memandangkan rakyat Malaysia masih mengamalkan pengambilan gula yang agak tinggi meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksana.

"Jadi langkah ini dilihat sekali gus dapat mengubah gaya hidup rakyat Malaysia... dan dengan harga yang tinggi ini, secara automatik mereka akan mengurangkan pengambilan gula," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan Datuk Seri Dr Farid Abd Ghani pula menggesa kerajaan memantau kemungkinan kenaikan harga makanan dan minuman di pasaran berikutan pemansuhan subsidi gula bermula esok.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha'ani Abdullah berpendapat rakyat perlu diberi penjelasan dan pendidikan dalam isu GST bagi menggelak salah faham.

"Penjelasan harus diberi supaya mereka memahami GST kerana GST bukan cukai baharu," katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan memastikan penguatkuasaan dipertingkat dalam memastikan tiada peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang dikecualikan daripada GST untuk memberi keyakinan kepada orang ramai.

 Sumber berita- BERNAMA

Kurangkan Pengambilan Gula

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt, 2013- Harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata langkah pengurangan subsidi gula seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2014 Jumaat dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM64.02 juta tahun ini dan RM551.25 juta tahun depan.

"Lebihan penjimatan ini nantilah yang akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur dalam negara di masa depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, Hasan berkata beliau mahu rakyat khususnya peniaga melihat pengurangan subsidi gula secara positif dan tidak menaikkan harga barangan makanan berasaskan gula secara mendadak.

"Kita mesti letakkan kepentingan rakyat lebih daripada segala-galanya, bukannya meletakkan kepentingan keuntungan peniaga itu sendiri, oleh itu, saya minta supaya peniaga juga bersama-sama dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat ini," katanya.

Ketika membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat, Najib mengumumkan subsidi gula sebanyak 34 sen dimansuh berkuat kuasa esok.

Sumber berita: BERNAMA

Najib Umum Bajet Pragmatik Tangani Iklim Ekonomi Lebih Sukar

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt , 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2014 bermatlamat memperteguh ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji, sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dalam mendepani ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata rangka tindakan kewangan negara memberi tumpuan kepada lima teras: merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengungguli modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, Jumaat, meskipun ekonomi terbuka Malaysia tidak terkecuali daripada tempias jangkaan pertumbuhan global yang perlahan sebanyak 2.9 peratus tahun ini, namun asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif menjanjikan pertumbuhan yang mapan, malah ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus dalam separuh pertama tahun ini.

Najib menegaskan indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan, sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Belanjawan, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran RM1.66 trilion pada penutup Bursa.

Ini katanya, membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

Selain itu, kemasukan pelaburan langsung asing bersih dalam separuh pertama tahun ini mencecah RM18.2 bilion iaitu peningkatan RM2.3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Rizab antarabangsa pula kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion setakat 14 Okt, cukup untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Bagi keseluruhan 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar antara 4.5 peratus dan 5 peratus, disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak RM165 bilion.

Sebagai tambahan, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang masing-masing 7.4 peratus dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

Dengan pelaksanaan Budget 2014 dan sejajar dengan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, Najib mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada kadar antara 5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu sebahagian besarnya oleh pelaburan swasta yang berkembang 12.7 peraus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

Gambaran ekonomi lebih cerah oleh Najib pada 2014 menyaksikan eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus.

Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah 3.1 peratus bagi tahun depan, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Perdana Menteri turut menjangkakan pendapatan per kapita bagi tahun 2014 akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada tahun 2009, peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

"Sehubungan ini, kami yakin akan dapat mencapai sasaran pendapatan per kapita RM46,500 atau US$15,000 pada 2020," kata Najib.

"Mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020." Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM217.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebagai tambahan, RM114.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM1.4 bilion bagi pembelian aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Berhubung perbelanjaan pembangunan, RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi manakala RM10.5 bilion disalurkan kepada sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan dan pembangunan masyarakat.

Seterusnya RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, manakala RM1.12 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Kerajaan, kata Najib, turut mengunjurkan kutipan hasil lebih besar tahun depan. Pada unjuran RM224.1 bilion, ia merupakan tambahan RM4 bilion berbanding jumlah jangkaan tahun ini.

Ini bermakna defisit fiskal kerajaan persekutuan akan terus berkurangan daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

"Jelas di sini, kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kewangan negara," kata Najib.

Berhubung teras pertama Bajet 2014 iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, Najib menarik perhatian kepada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing, membawa kepada peningkatan dalam pelaburan swasta, dengan sumbangannya kepada KDNK meningkat daripada 12.4 peratus pada 2010 kepada 16.7 peratus ketika ini.

Pelaburan swasta bagi tahun depan dianggarkan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

Menegaskan bahawa pelaburan awam dianggarkan mencecah RM106 bilion, perdana menteri berkata projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Baharu.

Dalam sektor minyak dan gas, projek yang akan dilaksanakan Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; dan projek regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID di Pengerang, Johor.

Najib berkata kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek berimpak tinggi.

Sehingga akhir 2012, pelaburan bernilai RM124 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited telah direalisasikan di wilayah koridor.

Najib berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kesemua koridor berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah RM53.4 bilion dengan hampir 50 peratus direalisasikan.

Ini termasuk tiga projek di Wilayah Iskandar - Studio Pinewood, Hospital Gleneagles Medini dan Sekolah Antarabangsa Pegasus.

Tahun depan lima koridor serantau akan diperuntukkan RM1.6 bilion dengan antara projek utamanya termasuk projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah di samping Taman Pertanian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

Di Wilayah Pantai Timur pula, perdana menteri berkata Pelabuhan Kuantan akan diperluaskan manakala sebuah Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Di Wilayah Utara, antara projek utamanya termasuk projek tanaman ladang komersial dan sistem fertigasi.

Ke arah menggalakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada 2014 yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenal pasti subsektor yang berpotensi untuk dibangunkan.

Ini termasuk logistik, penerbangan, pelancongan, Internet, pasaran kewangan dan persaraan.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan sektor logistik yang lebih efisien, kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik yang akan menyediakan hala tuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Sebagai tambahan, RM3 bilion akan diperuntukkan sebagai pinjaman mudah untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Bagi menggalakkan industri penerbangan, kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah bagi mengukuhkan ekosistem dan rantaian perkhidmatan awam, memandangkan kerajaan mengiktiraf potensi Malaysia sebagai hub penerbangan di rantau ini.

Antara projek bagi sektor ini adalah penggantian sistem pengurusan trafik udara di Subang dengan pembinaan sebuah pusat bernilai RM700 juta di KLIA yang akan meningkatkan pergerakan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan.

"Kapasiti pengendalian ini adalah yang tertinggi di dunia," kata Najib.

Lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah akan dinaik taraf melibatkan kos RM312 juta, manakala terminal penumpang di lapangan terbang Langkawi dan Kuantan akan dinaik taraf.

Mengenai pelancongan, Najib berkata sektor itu dijangka menjana pendapatan sebanyak RM65 bilion tahun ini, dan dengan 2014 diisytiharkan Tahun Melawat Malaysia, sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan meliputi program promosi dan pengiklanan.

Sebagai tambahan, beliau mengumumkan tahun 2015 sebagai 'Year of Festivals' dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan terutamanya bagi hotel baharu bertaraf empat dan lima bintang, dengan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga 31 Dis 2016.

Selain itu, turut diwujudkan Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan RM2 bilion untuk menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 dan 6 peratus, dengan kerajaan memberi subsidi 2 peratus.

Tabung itu bagi membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Bagi memperluas akses Internet, Najib berkata kerajaan melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang akan memasuki fasa kedua dengan kerjasama sektor swasta.

Inisiatif RM1.8 bilion ini dijangka memanfaatkan 2.8 juta isirumah di seluruh negara dengan kelajuan Internet dijangka mencapai 10 Mbps.

HSBB akan turut diperluaskan ke kawasan pinggir bandar dengan kos pelaburan RM1.6 bilion dan kawasan luar bandar, melibatkan pembinaan 1,000 menara pemancar telekomunikasi dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

Bagi Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baharu akan dipasang dalam tempoh tiga tahun dengan kos RM850 juta.

Dalam memperkukuhkan pasaran kewangan, Najib berkata undang-undang akan dipinda dan Akta Penyelesaian akan digubal untuk memelihara hak penguatkuasaan 'close-out netting' di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivatif, seterusnya membantu mengurangkan risiko sistematik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.

Langkah ini perlu memandangkan pasaran bon domestik Malaysia adalah yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi RM1 trilion, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang pula mencatat jumlah dagangan mlebihi RM30 bilion.

Perdana Menteri turut mengumumkan langkah signifikan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam, terutamanya dalam mempromosi negara sebagai pasaran bagi Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI).

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus untuk meningkatkan profil syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Turut dirangka adalah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab.

Selain itu, kerajaan akan menubuhkan Dana SRI untuk dilaburkan dalam syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemapanan yang tinggi.

Mengenai Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) untuk golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Najib berkata kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada 10 peratus atau maksimum RM120 setahun.

Bagi terus menggalakkan golongan muda membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta, kerajaan mencadangkan insentif RM500 secara sekali bayar kepada pencarum yang menyertai skim itu dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun.

Perdana Menteri turut menghuraikan tentang pergerakan rantaian nilai dalam sektor pertanian, dengan menyebut tiga langkah khusus.

Beliau berkata sebuah majlis yang dikenali sebagai 'Food and Agro Council for Export' (FACE) akan ditubuhkan sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan Agro Bazar di Singapura dan meningkatkan eksport durian ke China.

Bagi memastikan harga produk makanan yang berpatutan, sejumlah 60 pasar tadi, 50 pasar ikan, 50 karavan tani dan 100 gerai buah-buahan segar akan dibuka di seluruh negara.

Terdapat subsidi dan insentif bagi aktiviti pertanian dan akuakultur selain penghasilan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi seperti ternakan ikan di dalam sangkar, rumpai laut, herba bernilai tinggi dan ternakan udang kara.

Di bawah program Pembangunan Komuniti Bioekonomi, tanah terbiar akan dibangunkan untuk penanaman kontrak.

Selain itu, potongan cukai akan dinikmati syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio.

Bagi merangsang program keusahawanan, Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan, sebagai tambahan kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diumumkan baru-baru ini bagi memperkasakan kalangan usahawan.

Kerajaan akan turut memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah.

Bajet 2014 turut memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk kira-kira 98 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar, dengan peruntukan RM120 juta disediakan bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti, sebagai tambahan kepada perlanjutan pelbagai insentif dan bantuan sehingga penghujung 2017.

Kerajaan juga akan menyediakan pinjaman mudah kepada peniaga pasar malam.

Berhubung teras kedua Bajet bagi mengukuh pengurusan fiskal, perdana menteri menyentuh tentang transformasi perkhidmatan awam yang antara lain merangkumi pelan transformasi bagi setiap kementerian dan pewujudan Unit Pengurusan Integriti di setiap kementerian.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam isu yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan ketidakpatuhan dalam prosedur kewangan.

Bagi pembayar cukai, Najib mengumumkan mereka tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai berjadual mereka, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

Rasionalisasi subsidi menjadi tumpuan perbincangan prabelanjawan, dan perdana menteri berkata kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menikmatinya.

Beliau kemudian beralih kepada satu lagi topik yang hangat dibincangkan sebelum pembentangan belanjawan: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Najib berkata GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, oleh itu "GST bukanlah cukai baharu."

Najib berkata GST akan ditetapkan pada kadar enam peratus berkuat kuasa 1 April 2015 atau 17 bulan dari sekarang. Beliau menyifatkannya sebagai kadar paling rendah di Asean.

GST tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak.

Ia tidak akan dikenakan ke atas bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

Selain itu, GST dikecualikan daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, perkhidmatan pengangkutan (bas, kereta api, LRT, feri, teksi, tol lebuh raya), jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.

Sumber berita :BERNAMA

Saturday, October 19, 2013

Pemegang Saham BIMB Holdings Lulus Cadangan Pengambilalihan Saham Bank Islam Malaysia

14 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 17 Okt, 2013- Pemegang saham BIMB Holdings Bhd Khamis meluluskan cadangan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam Bank Islam Malaysia Bhd dengan harga AS$884.6 juta (RM2.89 bilion).

BIMB akan membeli kepentingan Dubai Financial Group LLC sebanyak 30.47 peratus dan ekuiti Lembaga Tabung Haji sebanyak 18.53 peratus dalam bank itu.

Baki 51 peratus dalam Bank Islam sudah pun dimiliki oleh BIMB Holdings.

Pengambilalihan itu akan melibatkan AS$550 juta bagi blok saham Dubai Financial Group dan AS$334.603 juta bagi kepentingan yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.

"Kami menerima sokongan padu daripada pemegang saham dengan 99 peratus daripada mereka mengundi bagi cadangan pembelian itu," kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Johan Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa BIMB, beliau berkata BIMB mencadangkan terbitan hak boleh batal dengan waran dan sukuk untuk membiayai pembelian itu, serta bagi kegunaan sebagai modal kerja.

Terbitan hak itu melibatkan 426.71 juta saham baharu dengan 426.71 juta waran percuma pada harga terbitan indikatif RM3.80 bagi setiap saham hak untuk mengumpul RM1.644 bilion.

Ia juga akan menerbitkan sukuk hingga saiz terbitan indikatif RM2.12 bilion nilai nominal.

Saiz terbitan sukuk yang dicadangkan itu mungkin ditambah kepada hingga RM2.2 bilion nilai nominal jika harga terbitan muktamad saham-saham hak itu lebih rendah daripada harga terbitan indikatif RM3.80, katanya.

Johan berkata keseluruhan cadangan itu dijangka selesai menjelang akhir tahun.

Dengan selesainya cadangan itu, sumbangan perolehan dan keuntungan daripada Bank Islam akan meningkat kepada 90 peratus daripada 85 peratus sekarang, katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

63 Peratus Pekerja Malaysia Kurang Bersama Keluarga

14 Zulhijjah 1434

JOHOR BAHARU, 17 Okt, 2013- Kira-kira 63 peratus daripada pekerja Malaysia kurang menghabiskan masa bersama keluarga mereka kerana waktu kerja yang panjang, demikian mengikut kajian yang dijalankan oleh Jobstreet.com.

Kaji selidik yang dijalankan pada September dengan penyertaan 954 pekerja dalam pelbagai industri di Malaysia, juga menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan masa selama dua hingga lima jam bekerja di luar waktu kerja rasmi mereka setiap hari.

Pengurus Negara Jobstreet.com Chook Yuh Yng berkata keseimbangan kerja dan kehidupan adalah mengenai menguruskan antara kerja dan aktiviti lain dengan berkesan yang penting kepada pekerja.

"Syarikat-syarikat perlu meningkatkan strategi keseimbangan kerja dan kehidupan untuk kakitangan kerana ia adalah salah satu cara paling mudah dan kos efektif untuk memastikan mereka terlibat, mencergaskan semula dan bermotivasi," katanya dalam satu kenyataan hari Khamis.

Tanpanya, Chook berkata tekanan, keletihan dan ketidakhadiran boleh mengurangkan produktiviti dan prestasi syarikat.

Kaji selidik itu menunjukkan sebab utama responden memilih kerja lebih masa adalah disebabkan tarikh akhir yang tidak munasabah dan bebanan kerja, dengan tekanan yang lebih besar pada pekerja untuk menyelesaikan tugas mereka.

Hampir 75 peratus daripada responden memilih untuk berada lebih masa di pejabat untuk menyelesaikan kerja mereka dengan majoriti menyatakan mereka tidak dibayar bagi masa tambahan mereka.

Kira-kira 60 peratus menunjukkan syarikat mereka tidak menjalankan sebarang inisiatif untuk menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 54 peratus berkata mereka tidak mengambil cuti tahunan kelayakan mereka tetapi hampir semua menjawab bahawa mereka masih mendapat teks kecemasan daripada ketua mereka.

Hanya 25 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak mendapat sebarang gangguan daripada kerja semasa cuti manakala 78 peratus membiarkan telefon bimbit mereka dapat dihubungi ketua mereka sepanjang masa.

Majoriti responden berpendapat syarikat perlu menyediakan waktu kerja yang fleksibel dengan pekerja boleh memilih waktu bermula dan berakhir bekerja setiap hari dan bukannya masa yang tetap.

Satu lagi cadangan ialah syarikat-syarikat perlu mempunyai dasar yang menggalakkan pekerja bekerja kurang daripada 40 jam seminggu, bukannya mewajibkan bekerja dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Sumber berita: BERNAMA

Malaysia Perlu Perluas Industri Pengurusan Dana

14 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 17 Okt , 2013- Seiring dengan prestasi ekonomi dan pelaburan domestik yang semakin meningkat, Malaysia disaran supaya memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan industri pengurusan dananya, demikian menurut pakar kewangan antarabangsa.

Perunding S Das & Associates Pty Ltd Satyajit Das, pakar antarabangsa dalam bidang derivatif kewangan, pengurusan risiko dan pasaran modal berkata langkah berkenaan juga boleh membantu negara mencapai matlamat ekonomi dan sosialnya dengan lebih mudah.

"Industri pengurusan aset di Malaysia condong ke arah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerajaan (KWSP).

"Bagi menjadikan ekonomi berkembang, ia akan bergantung kepada pengurusan negara yang dapat menggunakan dana dengan baik dan menggunakannya dengan cekap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pembentangan mengenai "Death of Asset Managers?", anjuran bersama Institut Bank-Bank Malaysia dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia, di sini hari Khamis.

Berita lanjut: BERNAMA

PUNB Belanja RM1.7 Bilion Bantu Usahawan

14 Zulhijjah 1434

GEORGE TOWN, 18 Okt, 2013- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) membelanjakan RM1.7 bilion sepanjang 22 tahun penubuhannya dalam usaha membantu memperkasa dan meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera di negara ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata secara puratanya hampir RM80 juta disalurkan PUNB setiap tahun kepada usahawan Bumiputera.

Beliau berkata 70 peratus daripada jumlah yang disalurkan itu berjaya dikutip semula.

"Kita akan memperbaiki proses kutipan balik pembiayaan bagi memastikan semua usahawan Bumiputera akan memperoleh bantuan pembiayaan PUNB," katanya pada taklimat pembiayaan perniagaan PUNB di Kompleks Tabung Haji di sini Khamis malami.

Mohd Ali juga berkata PUNB memerlukan dana tambahan sebanyak RM380 juta bagi membolehkan pelbagai program pembangunan usahawan dilaksanakan.

Katanya PUNB akan terus komited dalam memperkasa usahawan Bumiputera sehingga berjaya mencapai pemilikan 30 peratus dalam industri seperti yang terkandung dalam Dasar Baharu Ekonomi (DEB).

"Kita yakin matlamat itu boleh direalisasikan menjelang 2020, termasuk meningkatkan sehingga 60 peratus penglibatan syarikat milik Bumiputera.

"Melalui usaha berterusan PUNB ini juga kita yakin pembesaran kek ekonomi akan berjaya dicapai kelak sekali gus merapatkan jurang antara usahawan Bumiputera dengan usahawan lain," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

GST Mungkin Tidak Dilaksanakan Pada Bajet 2014

14 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Okt, 2013-- Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan membayangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan pada Bajet 2014.

Kata Ahmad kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan GST, namun masih belum memutuskan bila dan berapa kadar peratusan cukai yang akan dikenakan pada peringkat awal pelaksanaannya.

"Bila nak dibuat, berapa peratus, kita tak tahu, tapi sudah dinyatakan dalam jawapan-jawapan rasmi bahawa kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal 'Mengumpul Dana Membina Madrasah Integrasi Islam Malaysia' di sini hari ini.

Ahmad berkata sistem cukai yang digunakan oleh kerajaan ketika ini kurang berkesan dan ketinggalan zaman.

Katanya GST merupakan sistem cukai yang lebih adil dan cekap berbanding sistem dua cukai ketika ini, iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

"Kita nak satukan (kepada GST) supaya lebih cekap dan berkesan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan sistem cukai yang telah dilaksanakan di 160 negara itu, kadar cukai adalah lebih rendah daripada 16 peratus yang dikenakan sekarang (cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus).

Berita lanjut: BERNAMA

Wednesday, October 16, 2013

klia2 Hampir Siap

12 Zulhijjah 1434

SEPANG, 16 Okt, 2013- klia2, lapangan terbang dibina khas terbesar dunia untuk syarikat penerbangan tambang rendah, telah 94 peratus siap dan dijadualkan dibuka pada tarikh akhirnya 2 Mei, 2014.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Abd Hamid Mohd Ali berkata bangunan terminal telah pun siap 99 peratus dan "kini di peringkat akhir kerja".

MAHB menjangkakan 80 peratus kadar penghunian pada hari pertama operasi, kata beliau kepada media selepas penyampaian penghargaan konsep jenama cemerlang di KLIA2 kepada rakan perniagaan komersil oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi di sini Rabu.

Abd Hamid berkata 33 peratus daripada penender yang berjaya untuk lot runcit merupakan peniaga yang sebelum ini belum pernah sama sekali ada pengalaman berniaga di lapangan terbang tempatan.

Beliau berkata MAHB juga mencatatkan 40 peratus penender Bumiputera berjaya, komposisi tertinggi dalam kompleks runcit pada masa ini, "oleh itu, kami telah memperoleh gabungan seimbang jenama tempatan dan antarabangsa."

Abdul Aziz berkata memandangkan lapangan terbang itu telah bersedia untuk memulakan operasi pada Mei, beliau yakin menjelang Disember tahun ini, "kesemua peruncit boleh masuk dan buat pengubahsuaian dan hiasan semula ke atas ruang kedai mereka."

"Rakan perniagaan akan diberikan dua atau tiga bulan untuk menyiapkan pengubahsuaian. Pemeriksaan akhir akan dilakukan pada 15 Mac, 2014 bagi membolehkan lapangan terbang itu memulakan operasi pada 2 Mei seperti dirancangkan.

"Apabila beroperasi kelak, klia2 akan mengendalikan sehingga 45 juta pengguna dan ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan pesat berkembang di rantau ini," kata beliau.

Berita lanjut: BERNAMA

TM R&D Menang Tiga Anugerah Di MSC Malaysia APICTA

12 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 16 Okt, 2013- Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), merangkul tiga anugerah minggu lepas di majlis Anugerah ICT MSC Malaysia Asia Pasifik 2013 (MSC Malaysia APICTA).

Ia meraih anugerah Pemenang dan Merit bagi kategori Penyelidikan dan Pembangunan Terbaik dan anugerah Merit bagi Aplikasi Komunikasi Terbaik.

Anugerah itu yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia dan Persatuan Kebangsaan ICT Malaysia mengiktiraf pencapaian cemerlang individu dan syarikat dalam industri, kata Telekom Malaysia Bhd dalam satu kenyataan.

"APICTA merupakan satu daripada anugerah inovasi paling berprestij di rantau ini dan kami berbesar hati dengan pengiktirafan industri atas pencapaian kami dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Saturday, October 12, 2013

Steve Jobs Pernah dipecat oleh Apple

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt ,2013- Satu daripada cara-cara untuk memupuk budaya keusahawanan yang rancak ialah dengan memberi peluang kepada para usahawan untuk menghadapi kegagalan dan mencuba lagi, kata Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Penny Pritzker.

Beliau berkata ramai usahawan di AS seperti mereka yang beroperasi di Lembah Silikon, kawasan tumpuan inovasi dan keusahawanan, sebenarnya berbangga dengan kegagalan kerana mereka telah belajar daripada kesilapan dan memperbaiki idea dan mencapai kejayaan selepas itu.

"Sebagai contoh, seorang daripada penginovasi terhebat kami, Steve Jobs pernah dipecat oleh Apple, syarikat yang ditubuhkan bersama oleh beliau sendiri, sebelum diberi peluang untuk mencuba sekali lagi. Dan beliau mengetuai revolusi elektronik global yang mencipta pekerjaan di seluruh dunia," katanya semasa sesi mengenai Membangunkan Ekosistem Keusahawanan pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2013 di sini Jumaat.

Pritzker berkata kerajaan AS melabur dengan banyak dalam penyelidikan dan pembangunan dan juga menyokong pembiayaan perniagaan kecil yang baru bermula untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan di negara itu.

"Sektor awam dan swasta juga harus bekerjasama untuk mencipta ekosistem sebagai percubaan adalah digalakkan tanpa menghukum kegagalan dan di mana idea baharu berkembang menjadi produk dan industri baharu," kata beliau.

Sentimen beliau turut disuarakan oleh seorang lagi ahli panel, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Hoang Trung Hai, yang berkata untuk menggalakkan keusahawanan, masyarakat patut bertolak ansur dengan kegagalan dan memberi usahawan peluang kedua.

Mengulas topik itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usahawan harus tidak terlalu bergantung kepada inisiatif dan bantuan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Mereka patut membina jaringan yang kukuh di antara mereka untuk bersama-sama menangani pelbagai cabaran dalam menjalankan perniagaan mereka, katanya.

"Kami mempunyai masalah ini di negara saya apabila usahawan terus memerlukan bantuan kerajaan," katanya, sambil menekankan bahawa kebiasaannya usahawan sebegini tidak mencapai kejayaan dalam usaha mereka.

 Sumber berita- BERNAMA

MaGIC Bantu Usahawan Berkembang

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt, 2013- Cadangan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC), akan menyediakan platform yang sesuai kepada usahawan untuk mengembangkan sayap mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia Datuk Badlisham Ghazali berkata MaGIC, yang akan ditempatkan di Cyberjaya, bersedia untuk menyatukan usahawan generasi akan datang negara.

"Usahawan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan menyaksikan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kualiti usahawan tempatan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di GES 2013 di sini hari ini.

MaGIC, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013, akan menjadi tempat sehenti yang membolehkan para usahawan mendapat pembiayaan daripada bank atau modal teroka, inkubator untuk membangunkan syarikat yang baru bermula, pendaftaran hak harta intelek serta kemudahan latihan dan bimbingan.

Inisiatif ini juga dijangka meningkatkan dan mengukuhkan hubungan kerajaan dan usahawan.

Usahawan Malaysia, Gerald Daniel, peneraju First Billenium Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi mudah alih, berkata meskipun kerajaan sentiasa menyokong usahawan tempatan, mereka bagaimanapun mendapati sukar untuk memanfaatkan inisiatif tersebut.

"Inisiatif MaGIC ini tentunya akan menambah baik keadaan ini," kata Daniel.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Robin Capital Sdn Bhd Ariivazhagan Supramaniam pula, perkara yang paling penting ialah untuk memudahkan usahawan dengan dasar yang betul, akses kepada kewangan dan sokongan berterusan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya berpendapat perolehan kerajaan adalah bidang penting di mana mereka perlu mengambil risiko untuk menguji usahawan-usahawan ini kerana akan mewujudkan keyakinan pasaran dan membolehkan pihak komersial menyertainya," katanya.

Pengerusi Eksekutif DFRAN Research Technologies Sdn Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyifatkan langkah menubuhkan MaGIC sebagai selaras dengan keadaan semasa di mana majoriti idea inovatif dari negara-negara maju adalah daripada usahawan muda.

"Malaysia perlu menyediakan ekosistem yang membolehkan golongan muda yang inovatif dan kreatif mempunyai peluang untuk menjadi usahawan yang baharu, " kata Syed Zainal.

Bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd itu berharap inisiatif tersebut akan disusuli dengan pelaksanaan yang betul.

Sementara itu, perwakilan asing turut menyifatkan MaGIC sebagai idea yang hebat.

Antara mereka ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Technology Innovation Agency dari Afrika Selatan Dr Muhammad Sayed yang berpendapat pusat setempat adalah idea yang sangat baik kerana pemisahan pelbagai usaha di banyak negara telah mengecewakan usahawan.

Egle Vinauskaite, perwakilan dari Lithuania, yakin inisiatif berkenaan akan berjaya.

"Malaysia telah melaksanakan tugas yang hebat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak program keusahawanan, bengkel dan mentor, semua berjaya. Ia memberi kesan yang besar kerana orang ramai terutamanya golongan belia yang menyedari potensi mereka sendiri dan saya berpendapat ia satu perkara yang positif," katanya.

Sumber berita: BERNAMA

Syarikat Pemula Patut Manfaatkan Media Sosial

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt , 2013 -- Syarikat-syarikat pemula perlu menggunakan media sosial dengan kerap untuk kekal terhubung dengan pelanggan mereka untuk memahami dan memenuhi keperluan mereka dalam persekitaran perniagaan berdaya saing sekarang, kata pegawai AS Aparna Sain Jumaat.

"Hari ini, terdapat ramai usahawan dalam talian di seluruh dunia, jadi perkara yang paling untuk berjaya ialah untuk mengetahui bagaimana untuk mengekalkan mereka menerusi hubungan yang rapat," kata Sain yang merupakan Penasihat Kanan bagi Program Keusahawanan Global untuk Jabatan Negara AS kepada Bernama.

Sain adalah salah seorang pembentang pada sesi bertajuk "Media Sosial dan Seterusnya" di GES 2013 yang dianjurkan oleh Malaysia sekarang.

Terdahulu pada sesi itu, Hany Rashwan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ribbon, sebuah syarikat pemula, berkata mempunyai bilangan pengikut menerusi media sosial yang ramai tidak memberikan impak sebenar kepada perniagaan.

"Beberapa ribu pengikut di Twitter dan Facebook adalah bagus, tetapi perkara yang paling penting untuk usahawan ialah peluang untuk berhubung dengan pelanggan.

"Kita patut tahu, berdasarkan bilangan pengikut, kesannya kepada perniagaan anda," katanya.

Menyuarakan pandangan yang sama, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Qabila Media Productions Perihan Abouzeid berkata syarikat pemula perlu mengetahui jenis media sosial yang sesuai untuk perniagaan mereka.

Berita lanjut: BERNAMA

Usahawan Sosial Perlu Seimbang Untuk Kekal Dalam Perniagaan

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt, 2013- Usahawan sosial perlu seimbang antara mencapai kepuasan dalam menjalankan usaha mereka dan keperluan untuk mendapat kejayaan kewangan.

Saranan itu dinyatakan pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013 di sini Jumaat.

Melody Hossaini dari InspirEngage International yang berpangkalan di United Kingdom, berkata usahawan sosial yang berusaha untuk memberi khidmat kepada orang ramai dan memenuhi matlamat mereka, juga perlu membuat keuntungan untuk membolehkan mereka terus kekal dalam dunia keusahawanan sosial yang pesat berkembang.

"Takrifkan semula cara anda melihat kejayaan. Anda perlu untuk membuat keuntungan tetapi perlu mempunyai keuntungan yang kedua (iaitu) modal sosial, apa yang anda beri (semula). Ia merupakan nilai yang anda wujudkan untuk orang lain, " katanya pada sesi 'Connecting for Growth: Are We There Yet?'

Hossaini berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai bagaimana usahawan sosial boleh mengukur kejayaan mereka selain melihatnya dari sudut pandangan kewangan.

Acara dua hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

Seorang lagi ahli panel, James Khoo Chen Shiang, dari secQ.me Malaysia, menyatakan bahawa seseorang tidak seharusnya memulakan perniagaan semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi juga mempunyai kuasa untuk bertahan dalam landskap perniagaan.

Kepada soalan mengenai bagaimana untuk mengekalkan dinamik pasukan dalam memastikan perniagaan berjalan mengikut rancangan, Melody berkata mereka di sebalik perniagaan perlu mempunyai visi yang jelas mengenai di mana mereka mahu membawanya pada masa hadapan.

"Tahu hala tuju anda. Jadikan anggota anda merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada pasukan. Beri orang tanggungjawab dan mereka akan mengejutkan anda dengan cara mereka sendiri," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Thursday, October 10, 2013

Dana Pemegangan Saham Khazanah RM26.98 Bilion

6 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 10 Okt, 2013- Dana pemegangan saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjumlah RM26.98 bilion setakat 31 Dis 2012, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata nilai aset boleh direalisasi Khazanah pula berjumlah RM121.439 bilion bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata 99 peratus daripada pemegang saham adalah milik Menteri Kewangan diperbadankan dan satu peratus lagi Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Antara 2004 dan 2012, Khazanah telah melupuskan 55 aset dan syarikat membabitkan nilai jualan sebanyak RM35.7 bilion dan telah menjana keuntungan sebanyak RM15.7 bilion," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Abdul Rahman bertanyakan kedudukan dan ekuiti Khazanah serta saham milik Khazanah yang dijual serta kaedah penjualannya.

Ahmad Maslan berkata beberapa aset tidak teras dilupuskan secara keseluruhannya, sama ada menerusi tender terbuka atau terhad oleh usahawan dinamik dan berkemampuan.

Bagi pegangan bukan aset teras, beliau berkata ia dilupuskan secara berhemah melalui penjualan di pasaran saham.

"Senarai beberapa transaksi aset utama yang telah dilaksanakan oleh Khazanah bagi tahun 2010 sehingga 2013 secara tender terbuka ialah pelupusan pegangan sebanyak 45.03 peratus dalam Time Engineering Berhad, tahun ini.

"Khazanah juga melaksanakan (langkah) melupuskan 42.74 peratus pegangan secara tender terhad dalam Proton Holdings Berhad pada 2012 dan tiga pelupusan pegangan pada tahun 2011 masing-masing dalam PLUS Expressway Bhd (54.0 peratus), Pos Malaysia Bhd (32.21 peratus) dan EON Capital Bhd (10.0 peratus)," katanya.

Melalui pasaran saham pula, beliau berkata dua pelupusan pegangan pada tahun 2012 meliputi Malaysia Airport Holdings (MAH) sebanyak 8.8 peratus dan Tenaga Nasional Berhad (1.1 peratus), dan tiga pelupusan pegangan pada tahun 2010, iaitu MAHB (6.0 peratus), Telekom Malaysia Berhad (5.0 peratus) dan CIMB Berhad sebanyak dua peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

MDeC Mudahkan Hubungan Perniagaan Tempatan & Bakal Pelabur Menerusi 'Deal Quest'

6 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 10 Okt , 2013- Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian (MVCA) akan bekerjasama melancarkan "Deal Quest", platform dalam talian untuk membantu menjadikan proses membida lebih cekap untuk perniagaan tempatan.

Ia turut menyasarkan antara 100-150 syarikat mendaftar dengannya dalam tempoh enam bulan.

Deal Quest akan menyediakan syarikat-syarikat peluang untuk menarik pelaburan dari kedua-dua pemodal teroka tempatan dan serantau (VC) dan peserta ekuiti persendirian (PE) menerusi platform dalam talian yang mudah dan cekap.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, ketua pegawai eksekutif Datuk Badlisham Ghazali berkata dalam persekitaran berdaya saing yang kompetitif pada masa ini, ahli perniagaan mendapati adalah sukar untuk menonjol dan menarik pelabur.

"Pelabur bukan hanya mahukan pulangan pelaburan dalam tempoh tiga tahun pertama tetapi turut mengenakan syarat ketat ke atas syarikat.

"Jadi, menerusi Deal Quest, kekangan ini dapat dikurangkan kerana syarikat-syarikat ini akan terdedah kepada perangkaian VC dan peserta PE yang telah ada untuk menyokong mereka," tambah beliau.

Platform pelaburan seumpama ini telah diperkenalkan dan digerakkan oleh MDeC sejak 2008. Ia telah meraih lebih RM130 juta urus niaga, dan berjaya membiayai lebih 70 syarikat setakat 2012.

Beliau berkata platform itu pertamanya akan menapis 'peringkat pertama maklumat' berkaitan syarikat dan memastikan setiap satunya diarahkan ke VC dan PE yang sesuai, sekali gus membolehkan hubungan lebih baik antara kedua-dua calon dan pelabur.

Berita lanjut: BERNAMA

Asia Tenggara Catat Janji Niaga Penggabungan Dan Pengambilalihan AS$22.5 Bilion Pada Suku-3 2013

6 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 9 Okt, 2013- Asia Tenggara mencatatkan janji niaga penggabungan dan pengambilalihan rendah pada suku ketiga tahun ini sebanyak AS$22.5 bilion (AS$1=RM3.20) berbanding AS$29.5 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut penyedia perkhidmatan media penggabungan dan pengambilalihan bebas, Mergermarket, ia merupakan suku bernilai paling tinggi dalam tempoh setahun sejak Suku Ke-3 2012 dan penting memandangkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan rantau dari segi suku biasanya tidak menentu setiap suku.

"Kekuatan nilai penggabungan dan pengambilalihan suku ketiga disumbang daripada kemasukan nilai janji niaga masuk yang bernilai AS$10 bilion.

"Ia merupakan suku tertinggi bagi nilai janji niaga masuk dalam tempoh lima tahun (suku kedua 2008: US$10.5 bilion) dan aliran meningkat bagi janji niaga masuk dilihat sepanjang 2013," kata Mergermarket dalam satu nota penyelidikan Rabu.

Ia berkata nilai janji niaga masuk berjumlah AS$16.2 bilion daripada Januari hingga September 2013, naik 17.4 peratus berbanding AS$13.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, merekodkan paras pelaburan tertinggi bagi tempoh tiga suku pertama sejak 2008 (AS$21.8 bilion).

Mengikut sektor, Mergermarket berkata perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan sektor perindustrian dan kimia menyediakan dengan konsisten jumlah janji niaga yang sama antara tahun ini dan tahun lepas.

Berita lanjut: BERNAMA

Wednesday, October 9, 2013

TM Meterai Perjanjian Perkhidmatan Dengan Pemaju Hartanah Pertama Di Sabah

4 Zulhijjah 1434
Sukkuriya Masri

KOTA KINABALU, 8 Okt, 2013- Telekom Malaysia Bhd (TM) pada Selasa menandatangani perjanjian perkhidmatan pertamanya dengan pemaju hartanah di Sabah menerusi program Perkongsian Pintar.

Menerusi perjanjian itu, TM akan melaksanakan dan mengoperasikan infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) untuk KK City Waterfront, pembangunan hartanah terbaharu di sini oleh Sunsea Development Sdn Bhd.

Pengurus Besar TM Sabah Sukkuriya Masri berkata TM komited meluaskan manfaat gaya hidup digital yang diupayakan oleh perkhidmatan UniFi HSBB TM kepada lebih ramai pelanggan.

"Berikutan minat dan permintaan yang semakin meningkat daripada pengguna dalam pasaran hari ini, usaha kami adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penembusan HSBB dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya pada majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan itu di sini.

Sukkuriya menandatangani perjanjian itu bagi pihak TM manakala Sunsea Development diwakili Pengarah Eksekutifnya Johnson Koh.

Berita lanjut : BERNAMA

Perlis Wujudkan Pusat Ternakan Ayam Terbesar Dan Moden

4 Zulhijjah 1434

KANGAR, 8 Okt , 2013- Sebuah pusat ternakan ayam terbesar dan moden berasaskan teknologi hijau, bakal diwujudkan di Chuping, dekat sini yang dijangka menghasilkan pengeluaran 27 juta ayam setahun.

Projek ternakan ayam secara bersepadu itu akan dilaksanakan oleh pelabur tempatan, Terramark Sdn Bhd (Terramark) secara usaha sama dengan kerajaan negeri Perlis.

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama itu berlangsung di hotel Seri Malaysia Kangar hari ini, disaksikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Terramark diwakili Pengerusinya Datuk Rosli Sharif manakala Menteri Besar Perlis Azlan Man mewakili kerajaan negeri Perlis.

Projek ternakan ayam di tapak seluas kira-kira 80 hektar itu membabitkan pelaburan berjumlah RM270 juta dan bakal menyediakan 700 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

 Selain menyediakan ladang ternakan moden dan berhawa dingin, Terramark yang ditubuhkan oleh syarikat induknya, Seloga Holdings Berhad pada 12 Mac lalu itu juga akan turut membina kilang memproses makanan ayam di kawasan seluas empat hektar di Padang Besar.

Berita lanjut: BERNAMA

Malaysia Bukan 'Pak Turut' Dalam TPPA

4 Zulhijjah 1434

NUSA DUA (BALI), 8 Okt , 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bukanlah 'Pak Turut' dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) - satu inisiatif bagi mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di seluruh rantau Asia Pasifik, demi menjaga kepentingan negara.

Sebaliknya beliau berkata Malaysia telah menyatakan pendiriannya dengan tegas untuk melakukan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian berkenaan kepada kabinet, rakyat Malaysia dan perbahasan di Parlimen, sebelum membuat keputusan.

"Kita tak jadi 'Pak Turut' sama sekali, itu tidak benar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat para pemimpin TPP, di Nusa Dua, Selasa.

"Kita masuk dengan kerelaan hati kerana kita merupakan sebuah negara perdagangan, antara yang terbesar di dunia, sebab itu kita ada kepentingan untuk masuk sebagai rakan TPPA dan berpeluang menentukan kerangka FTA yang baharu di dunia," katanya.

Najib berkata Malaysia tidak akan dapat memberi input dan pandangan bagi mencorakkan perdagangan bebas dunia jika negara tidak terlibat dalam rundingan berkenaan.

Perdana Menteri berkata mesyuarat TPPA telah menerima pendirian Malaysia bahawa perjanjian ini akan melalui proses dalaman yang melibatkan penerangan kepada kabinet, rakyat Malaysia dan perbahasan di Parlimen.

Berita lanjut: BERNAMA

Beliau berkata proses tersebut dibuat memandangkan perjanjian menyentuh perkara tertentu dan berkaitan soal kedaulatan negara, termasuk hak untuk menentukan dasar-dasar tempatan - harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh.

Monday, October 7, 2013

Johor Akan Kenakan Yuran Pemprosesan Berdasarkan Nilai Hartanah Terhadap Warga Asing

3 Zulhijjah 1434

PASIR GUDANG, 7 Okt , 2013- Johor akan mengenakan yuran pemprosesan berdasarkan nilai hartanah terhadap warga asing yang ingin membeli hartanah di negeri itu mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abdul Latiff Bandi berkata syarat baharu berbanding yuran pada masa ini hanya RM10,000 itu bertujuan memelihara kepentingan rakyat Johor.

Yuran pemprosesan antara empat hingga lima peratus nilai hartanah yang dibeli itu secara tidak langsung membolehkan kerajaan negeri mengawal penjualan hartanah kepada warga asing.

"Sebagai contoh, warga asing yang membeli hartanah bernilai RM5 juta, mereka hanya membayar RM10,000 sebagai yuran pemprosesan sebelum ini. Kini mereka perlu membayar berdasarkan nilai hartanah terbabit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Industri Hijau 2013 di sini Isnin.

Katanya hasil yang diperoleh dari yuran tersebut akan digunakan bagi pembangunan rakyat.

"Kita akan bentangkan syarat baharu ini pada pembentangan belanjawan yang dijadualkan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Kerajaan negeri juga katanya akan mengkaji semula kadar bayaran untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tapak papan iklan.

Berita lanjut : BERNAMA

PUNB Sasar Hasilkan 643 Usahawan Tahun Ini

3 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 7 Okt ,2013- Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasar untuk menghasilkan sejumlah 643 usahawan di bawah inisiatifnya pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dzulkifli Fadzilah.

"Setakat ini, RM200 juta telah diperuntukan dan RM170 juta daripadanya sudahpun dibelanjakan untuk menghasilkan 360 usahawan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis taklimat khas 'Program Perantis dan Usahawan Muda PUNB' di sini hari ini.

Beliau berkata sektor yang mendapat peruntukan itu ialah sektor pemborongan yang merangkumi aspek lebih luas untuk membina rangkaian bekalan dan sektor peruncitan yang terbahagi kepada automotif, perkakasan serta bidang pakar iaitu kedoktoran, pergigian, seni bina dan jurutera.

"PUNB mempunyai pembiayaan kewangan seperti Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA), Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Pemborong, Skim Prosper Teras dan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana yang boleh membantu usahawan Bumiputera.

"Untuk PUMA, kami mempunyai sasaran untuk menghasilkan 200 orang usahawan tahun ini dan kami telahpun capai seramai 132 orang usahawan.

"Jumlah peruntukan pula, PUNB menyasarkan RM10 juta dan kami telah mengagihkan RM8.6 juta," kata beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengalu-alukan pembabitan golongan muda dalam program Perantis dan Usahawan Muda PUNB.

Beliau berkata pembabitan mereka akan dapat menangani masalah pengangguran.

Berita lanjut : BERNAMA

Tatarstan Minat Pelajari Perbankan Islam Daripada Malaysia

3 Zulhijjah 1434

KAZAN (Tatarstan), 4 Okt ,2013 - Republik Tatarstan amat berminat untuk menggabungkan perbankan Islam ke dalam sistem kewangannya dan berhasrat mempelajarinya daripada Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Zainol Abidin Omar berkata perkara itu telah dibincangkan pada peringkat kerajaan persekutuan baru-baru ini kerana kawalan kewangan di bawah kerajaan persekutuan Rusia.

Bagaimanapun, beliau berkata Kedutaan Malaysia bersama-sama agensi berkaitan akan membantu Kerajaan Tatarstan dalam hal ini kerana republik itu amat berminat dengan kejayaan Malaysia dalam penerbitan sukuk terutamanya bagi projek-projek dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata kedua-dua negara akan berpeluang bertukar-tukar pengalaman berhubung usaha mendapatkan dana melalui sukuk, memandangkan Malaysia adalah peserta terbesar dalam pasaran sukuk.

"Kami difahamkan perkara ini dibincangkan secara intensif di peringkat kerajaan persekutuan jadi saya rasa apabila perkara ini selesai, kita akan dapat menyaksikan pelaksanaan perbankan Islam, bukan perubahan sepenuhnya daripada perbankan konvensional kepada perbankan Islam tetapi seperti di Malaysia yang mempunyai peluang menjalankan perbankan Islam serta perbankan konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas perasmian Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) di sini pada Khamis.

MSE merupakan siri pameran yang dianjurkan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), bermula 3 hingga 6 Okt, 2013 di ibu negara Tatarstan.

Zainol Abidin berkata perbincangan kini dilakukan secara dalaman antara kerajaan persekutuan Russia untuk memutuskan sejauh mana sistem perbankan Islam akan digunakan.

Orang Islam merupakan komuniti terbesar di Tatarstan yang mempunyai penduduk 3.8 juta orang.

 Sumber Berita - BERNAMA

Friday, October 4, 2013

Clixster Terus Buka Ruang Bantu Bumiputera Terlibat Dalam Bidang Telekomunikasi

28 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 3 Okt, 2013 - Pengendali rangkaian talian mudah alih maya (MVNO), Clixster Mobile Sdn Bhd, terus membuka ruang kepada lebih ramai Bumiputera untuk terlibat dalam bidang telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Clixster Mobile Noor Azlan Khamis berkata setakat ini penglibatan Bumiputera hanya sebanyak 10 peratus.

Setakat ini Clixster telah menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Bhd (Angkasa) yang bernaung dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan untuk tujuan itu, katanya pada sidang media bagi pengumuman pakej baharu Extravaganza.

"Clixster memberi peluang kepada Bumiputera untuk menjadi pengedar, termasuk dalam kalangan peniaga burger, bagi menambah pendapatan," katanya.

Pakej baharu itu yang menggunakan konsep mampu milik dan berbaloi, sesuai dan dapat mengurangkan beban pengguna akibat kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

Syarikat telekomunikasi tersebut turut menyasarkan peningkatan bilangan pengguna ketika ini daripada 300,000 kepada 500,000 pengguna sempena mesyuarat perwakilan Umno pada 19 Okt ini.

Sebanyak 200,000 kad sim permulaan percuma akan diedarkan kepada 146,500 perwakilan Umno sempena pemilihan parti, termasuk 40,000 anggota Angkasa yang merupakan perwakilan parti itu.

Berita lanjut : BERNAMA

Wednesday, October 2, 2013

Kerajaan Persekutuan Labur RM30.744 Bilion Dalam 60 Syarikat

26 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 1 Okt , 2013- Kerajaan persekutuan terus memainkan peranan yang utama dalam sektor korporat negara, melabur sejumlah RM30.744 bilion ke dalam 60 syarikat dan memegang lebih daripada 50 peratus modal saham berbayar.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa, 25 daripada syarikat itu terlibat dalam sektor ekonomi, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Felcra Bhd dan Perbadanan Nasional Bhd, diikuti oleh sektor teknologi (14 syarikat), sosial (12 syarikat) dan infrastruktur (9 syarikat).

Pada 2011, secara keseluruhannya, jumlah keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah RM100.201 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 32.4 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai yang dicatat pada 2010.

"Semakan audit selanjutnya mendapati bagi tempoh 2009 hingga 2011, sektor ekonomi dan teknologi mencatat keuntungan sebelum cukai bagi tiga tahun berturut-turut.

"Sebanyak 27 syarikat daripada 57 syarikat memperoleh keuntungan sebelum cukai untuk tempoh tiga tahun berturut-turut berjumlah RM270.034 bilion, manakala 12 syarikat mengalami kerugian berjumlah RM3.133 bilion," katanya.

Analisis audit mendapati sebanyak 18 syarikat mempunyai pinjaman yang diperoleh daripada kerajaan persekutuan yang berjumlah RM13.378 bilion pada akhir 2011, penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding akhir tahun 2010.

Menurut laporan tersebut, pada tahun 2009 sehingga 2011, Petronas, Felcra dan Perbadanan Nasional telah masing-masing membayar dividen kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM105.26 bilion, RM24.75 milion dan RM25.37 milion.

Sumber berita: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...