Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 22, 2013

Malaysia Airlines Tidak Akan Diswastakan- Najib

15 Syawal 1434

PUTRAJAYA, 19 Ogos, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System Bhd (MAS), tidak akan diswastakan.

"MAS tidak akan diswastakan kerana pelan pemulihan syarikat penerbangan terbabit menunjukkan jumlah kerugiannya semakin menguncup," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbendaharaan 2013 hari ini, berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Dr Mahathir berkata penswastaan merupakan salah satu langkah bagi mengatasi kerugian yang dialami syarikat penerbangan itu, terutama setelah beberapa kali melalui pelan pemulihan.

Najib berkata MAS yang merupakan syarikat awam dan dikuasai Khazanah, beroperasi seperti sebuah badan komersial dan mematuhi prinsip urus tadbir yang baik.

"Walaupun MAS mengalami kerugian, namun pelan pemulihannya sudah pun menampakkan hasil, dan trendnya menunjukkan jumlah kerugian yang berkurangan," katanya.

"Jadi dengan trend yang menggalakkan ini, maka kita akan memantau perjalanan MAS supaya kedudukan kewangan dan pencapaian MAS bertambah baik lagi berasaskan pelan pemulihan dan langkah-langkah yang kita boleh ambil," kata Najib.

Perdana Menteri berkata pelan pemulihan ini akan dilakukan secara berterusan, dan berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang semakin baik, beliau berharap MAS akan menjadi syarikat yang mencapai keuntungan.

"Kita juga harus ambil kira industri penerbangan kini yang begitu kompetitif, dan masalah pencapaian dan kekurangan MAS bukan hanya dialami syarikat terbabit.

"Malah, semua syarikat penerbangan di dunia menghadapi persaingan dan struktur ekonomi yang kompetitif," katanya sambil menambah kerajaan tidak menetapkan tempoh pemulihan MAS, namun mereka akan sentiasa memantau agar pemulihan akan berlaku tidak lama lagi.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...