top_rightads

Memaparkan catatan dengan label Dasar Kerajaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dasar Kerajaan. Papar semua catatan

Isnin, 26 Mei 2025

Had Umur Persaraan 60 Tahun di Malaysia Telah Memadai

 29 Zulkaedah 1446H

Had umur persaraan 60 tahun di Malaysia dilihat memadai buat masa kini.Berikut ialah sebab utama mengapa umur persaraan di Malaysia tidak perlu dilanjutkan:

1. Memberi Peluang kepada Golongan Muda

  • Pasaran kerja yang terhad: Melanjutkan umur persaraan mengurangkan peluang pekerjaan untuk graduan dan golongan muda.

  • Pengangguran belia: Data menunjukkan kadar pengangguran belia Malaysia kekal tinggi. Kekosongan jawatan daripada pesara penting untuk mengurangkan isu ini.

2. Produktiviti Menurun Selepas Usia Tertentu

  • Walaupun ada warga emas yang masih cergas, kemampuan fizikal dan mental secara umum menurun dengan usia, memberi kesan kepada prestasi kerja dalam sesetengah sektor.

  • Sektor pekerjaan tertentu seperti pembinaan, penguatkuasaan, atau perkilangan menuntut tenaga dan keupayaan fizikal yang tinggi.

3. Memberi Tekanan Kesihatan dan Psikologi

  • Bekerja lebih lama boleh memberi tekanan kepada kesihatan fizikal dan mental warga emas.

  • Mereka sepatutnya menikmati kehidupan persaraan untuk kesejahteraan emosi dan masa bersama keluarga.

4. Bebanan Kos Terhadap Majikan

  • Mengekalkan pekerja senior bermakna kos gaji dan manfaat lebih tinggi untuk majikan, kerana mereka biasanya menerima gaji lebih tinggi daripada pekerja muda.

  • Ini boleh menghalang majikan daripada mengambil pekerja baharu atau melabur dalam latihan tenaga kerja muda.

5. Kontradiksi dengan Dasar Persaraan dan Sosial

  • Banyak pekerja telah merancang kehidupan kewangan berdasarkan umur persaraan sedia ada (60 tahun).

  • Melanjutkan usia persaraan secara tiba-tiba boleh menjejaskan perancangan jangka panjang mereka.

6. Menghormati Pilihan Individu

  • Tidak semua ingin bekerja lebih lama. Ramai yang ingin berehat selepas sekian lama menyumbang kepada ekonomi negara.

  • Memaksa mereka bekerja lebih lama mungkin bertentangan dengan hak dan kesejahteraan mereka.

Wallahualam

Isnin, 13 Mac 2023

Guna Simpanan KWSP Cagar Hutang : Ibarat Gali Lubang Tutup Lubang

 20 Syaaban 1444

Cadangan untuk membenarkan simpanan KWSP digunakan sebagai cagaran untuk membuat hutang, perlu dikaji dengan lebih teliti. Ianya agak tidak masuk akal sekiranya ianya dibenarkan di ketika kadar faedah yang semakin naik, sedangkan pulangan dividen tahunan KWSP dilihat semakin menurun.

Jika langkah ini tidak dibuat secara berhati hati, ianya akan menimbulkan suasana yang kurang baik terhadap kehidupan para pencarum. Ianya mungkin akan dilihat keadaan di mana ibarat gali lubang tutup lubang. Sampai bila isu tersebut tidak akan selesai.


Wallahualam


Selasa, 8 Jun 2021

Jual Lesen Spektrum 5G Untuk Biaya Vaksin Covid 19 Negara

 27 Syawal 1442

Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan penjualan lesen atau spektrum sellular generasi ke lima atau 5G bagi membiayai dana untuk pembelian vaksin covid 19, jika masalah kewangan menjadi punca kelewatan atau perlahannya proses pembelian vaksin berkenaan setakat  ini.Penulis yakin dan percaya, syarikat telekomunikasi yang ada di negara ini amat berminat untuk mendapatkan spektrum berkenaan secara individu atau bersaman antara mereka.Kerajaan sebaliknya perlu menilai semula monopoli syarikat kerajaan yang baru ditubuhkan dalam penyediaan teknologi berkenaan(5G), kerana setakat ini kita melihat kerajaan seolah olah mempunyai kekangan untuk membiayai syarikat berkenaan yang baru sahaja ditubuhkan itu baru baru ini.

Jika syarikat telco sedia ada diberikan peluang untuk membeli spektrum berkenaan, ianya bakal menarik pelabur asing atau  dana dana swasta untuk melabur di dalam negara ini melalui syarikat telco sedia ada  dan kerajaan dapat mengelakkan dari terus menjual atau memajak aset aset penting negara seperti saham GLC, tanah, serta hartanah yang lebih strategik kepada negara. Bayangkan kalau nilai satu lesen bernilai antara RM 1 hingga RM 1.5 billion ditawarkan, jika empat lesen ditawarkan untuk dijual, sekurang kurangnya RM 4 hingga RM 6 billion akan diperolehi oleh kerajaan, dan ianya dilihat agak cukup untuk membiayai vaksin covid 19 setakat ini. Jika di Perancis, ianya dijual pada harga USD 2..4 billion setiap satu iaitu sekitar RM 10 billion lebih. Anda boleh boleh rujuk artikel di sini untuk pembacaan lanjut.

Lebih lebih lagi, syarikat syarikat telco sedia ada sudah mempunyai kemudahan seperti pencawang, laluan manhole , fiber , kepakaran yang mana sebahagian daripada kos untuk penyediaan 5G dapat diserap terus . Lupakan seketika isu pengalirawan wang keluar disebabkan banyak  penyedia perkhidmatan terpaksa mengimport peralatan dari luar sebaliknya, syarat yang boleh kerajaan tetapkan ialah penyedia teknologi berkenaan perlulah mengeluarkan beberapa komponen di dalam negara dan berlakunya pemindahan teknologi masuk ke sini.

Kaedah ini didapati lebih selamat daripada penjualan harta tadi atau percukaian, kerana rakyat cuma akan membayar harga servis yang ditawarkan oleh pihak telco.Justeru itu, diharapkan agar kerajaan dapat menimbang saranan ini untuk negara keluar  daripada kemelut covid 19 yang sedang melanda negara dengan seberapa segera. Saranan ini nampak kecil, tetapi penulis yakin ianya tidak rugi untuk dipertimbangkan.


Wallahualam



Ahad, 14 Februari 2016

Kemasukan Berlebihan Pekerja Asing Ancam Ekonomi Negara

4 Jamadil Awal 1438

Kemasukan secara belebihan pekerja asing ke Malaysia bakal memberikan implikasi yang buruk kepada ekonomi negara. Ianya bakal mengalirkan keluar lebih banyak wang dan seterusnya memberi tekanan yang berterusan terhadap ringgit.

Selain daripada itu rakyat pula terpaksa bersaing mendapatkan pekerjaan dan semestinya akan kalah kerana warga asing tidak tertakluk kepada pembayaran gaji minimum berbanding pekerja asing. Ini akan menggalakkan majikan mengutamakan pekerja asing bagi mengurangkan kos buruh.

Keadaan ini bakal menyebabkan kadar pengangguran dikalangan rakyat Malaysia akan bertambah disebabkan polisi dasar gaji minimum pekerja tempatan  dan kadar levi dan gaji yang rendah terdapat pada pekerja asing. Sehubungan dengan itu kerajaan digesa menaikkan levi pekerja asing agar kerajaan dapat meningkatkan pendapatan negara disampimg mewujudkan persaingan buruh yang sihat di negara ini.Wallahualam

Ahad, 29 November 2015

Johor Bakal Haramkan Penjualan Vape

18 Safar 1436

Johor bakal mengharamkan penjualan vape seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar . Perkembangan ini secara tidak langsung bakal menamatkan polemic vape di negeri berkenaan.

Sementara itu, kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu larangan penjualan vape di negeri ini dikuat kuasa awal Januari depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata ia akan dibincang pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat. Ulasan beliau  dipetik melalui BERNAMA,  yang merujuk terhadap titah Sultan Ibrahim yang mahu produk vape dilarang dijual dan semua premis vape ditutup berkuat kuasa 1 Januari 2016, seperti yang dilaporkan.

Ayub berkata pihaknya menjunjung kasih terhadap titah Sultan Ibrahim yang dilihat selari dengan pendirian kerajaan negeri yang melihat penggunaan vape adalah memudaratkan rakyat terutama golongan muda.

Wallahualam

Selasa, 11 Ogos 2015

Mengakulah.., Malaysia Sedang Alami Krisis Ekonomi

27 Syawal 1436

Kerajaan dan ahli-ahli ekonomi perlu bersifat jujur dalam memberi gambaran sebenar ekonomi semasa Malaysia agar rakyat dapat membuat persediaan sewajarnya. Dengan keadaan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika, harga komoditi seperti sawit, getah, minyak mentah yang amat rendah, apakah kita masih ingin menyatakan bahawa negara kita masih tidak berada di dalam krisis ekonomi? Itu belum mengambil kira masalah yang melanda sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan yang setakat ini belum nampak laporannya.
Kadar semasa Ringgit berbanding Dolar Amerika

Kerajaan dan para ahli ekonomi tidak perlu melakukan penafian atau hendak menyembunyikan fakta. Apa yang rakyat perlu tahu, apakah inisiatif-inisiatif yang telah dirancangkan bagi menangani krisis ekonomi yang sedang melanda.Jika berpendapat masih belum melanda, takkan tidak ada langkah pencegahan? Jangan disebabkan adanya sikap ego di kalangan ahli-ahli politik semasa yang sedang berkuasa, sebarang inisiatif yang pernah dilaksanakan semasa krisis kewangan pada hujung tahun 90 an dibakulsampahkan begitu sahaja.

Jika berpendapat langkah sebelum ini ( cara zaman Era Tun Mahathir) tidak sesuai, kita ingin tahu, apakah inisiatif yang sesuai yang sedang dan telah dirangka bagi menangani krisis ekonomi semasa. Amat malang jika para pemimpin kita masih lagi berada dalam sindrom penafian terhadap krisis ekonomi yang telah dan sedang melanda negara ini.

Wallahualam

Sabtu, 4 April 2015

Dana Bumiputera Al-Ansar Dilancar

14 Jamadil Akhir 1436

Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Dana Bumiputera Al-Ansar Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM200 juta, bagi memperkasa dan meningkatkan ekonomi usahawan Bumiputera muslim di negara ini.

Beliau berkata pelaksanaan dana di bawah akaun pelaburan terhad serta patuh syariah yang pertama di Malaysia itu diharap memangkin pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau, dana berkenaan akan membantu usahawan dari segi modal kerja, pembiayaan kontrak dan perbelanjaan modal, melalui kenyataan  yang telah dikeluarkan oleh BERNAMA.

"Saya yakin bahawa usaha TH ini akan dapat bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan tetapi juga membawa mereka yang sudah terlibat dalam bidang perniagaan akan dapat pergi ke tahap yang lebih tinggi.

"Mudah-mudahan mereka bukan tergolong dalam kumpulan 'micro enterprise' tetapi menjadi PKS dan seterusnya menjadi syarikat yang lebih besar serta disenarai di bursa dan bersaing di persada antarabangsa," katanya ketika berucap melancarkan dana berkenaan di bangunan Parlimen pada Khamis lalu.

Sumber berita dipetik dari BERNAMA.

Sabtu, 21 Februari 2015

Caj Jalur Lebar Di Malaysia Bakal Diturunkan

29 Rabiul Akhir 1436

Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan rundingan dengan syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini bagi menurunkan caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna pada masa sekarang.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata menerusi laporan BERNAMA, pihaknya akan menyemak kembali struktur berkenaan pembayaran perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar kerana kos pemasangan talian gentian optik sudah pun turun pada masa sekarang berikutan penurunan harga minyak dunia.

"Kita mahu melihat Malaysia menjadi sebagai sebuah negara penanda aras bagi negara Asean dari segi struktur harga dan perkhidmatan berbanding negara lain seperti Thailand dan Indonesia," katanya.

Sumber: BERNAMA

Selasa, 25 November 2014

Apungan Harga Minyak RON Merupakan Langkah Terbaik Ketika Ini

2 Safar 1436

Langkah kerajaan Malaysia mengapungkan harga minyak RON bermula Disember ini adalah merupakan kaedah terbaik yang diputuskan buat masa ini. Pada masa yang sama kerajaan juga telah memberi jaminan akan campur tangan sekiranya berlaku kenaikan mendadak harga minyak pada masa hadapan yang mana mekanismanya masih diperingkat kajian.

Apungan harga sekarang membolehkan rakyat dan penduduk di Malaysia menikmati nikmat penurunan harga minyak ketika mana harga minyak dunia sedang berada dalam keadaan yang rendah. Bagi pihak kerajaan pula, tiada subsidi yang perlu dikeluarkan kerana harga dipasaran sudah rendah.

Apa yang penting , kita semua perlu mengambil peluang dalam keadaan sekarang untuk meningkatkan tabungan atau membelanjakan setiap penjimatan harga minyak berkenaan kepada aktiviti-aktiviti yang memberi tambah nilai kepada kehidupan seharian. Pada masa yang sama, para pembuat dasar diharapkan dapat merangka dasar yang lebih mesra rakyat sekiranya pada masa yang akan datang, harga minyak dipasaran dunia meningkat semula.

Wallahuaalm

Sabtu, 1 Mac 2014

BR1M 2.0: Bersyukurlah

29 RabiulAkhir 1434

Rakyat Malaysia tak kira pelbagai latar belakang yang mendapat imbuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M 2.0) perlu bersyukur dengan apa yang mereka terima. Ini adalah kerana ada ramai lagi di kalangan masyarakat yang terdiri daripada mereka yang tidak layak, tidak berpeluang menerima bantuan berkenaan.

Sama ada ianya memadai atau tidak, sama ada berbaloi atau sebaliknya, ianya adalah perkara yang kedua. Apa yang penting, terima dan ucapkanlah Alhamdulillah, syukur kepada Maha pencipta atas kurnianNya. Jika kita bersyukur, inshaAllah, akan datang lagi lebih banyak nikmat kepada kita.

Wallahualam

Sabtu, 21 Disember 2013

Najib: "Saya Dengar Keluh-Kesah Rakyat"

18 Safar 1435

KUALA LUMPUR, 20 Dis,2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak erkata beliau mendengar keluh-kesah rakyat terutama berkenaan kenaikan kos sara hidup.

Beliau menegaskan kerajaan sentiasa mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, Najib berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu memandang ke hadapan demi memastikan ekonomi negara terus mampan.

"Disebabkan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Khamis, 21 November 2013

Perdana Menteri Saran GLIC Dan GLC Sedia Untuk Peralihan

17 Muharram 1435

KUALA LUMPUR, 20 Nov, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menggesa Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya bersedia untuk peralihan atau "selesai" daripada Program Transformasi GLC 10 tahun dengan mengukuhkan inisiatif untuk menyokong pertumbuhan mampan negara secara saksama.

Perdana Menteri berkata demikian pada mesyuarat ke-25 Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG 25) Rabu.

Beliau berkata ini akan memastikan keterangkuman dan keadilan sosial dalam masyarakat, dengan program disokong oleh konsep yang mesra pasaran dan berasaskan merit.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh kepada program berkenaan dan mengulangi bahawa Agenda Bumiputera (BA) sebagai komponen teras Agenda Negara.

Dipetik dalam satu kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG), Najib berkata BA selaras dengan prinsip-prinsip pendasar program bagi pertumbuhan dengan pengagihan yang melibatkan, antara lain, pembangunan komuniti Bumiputera yang akan membawa kepada keharmonian sosial di negara ini.

Program yang kini dalam tahun kesembilan daripada 10 tahun, terus mencatat kemajuan yang mantap dengan jumlah pulangan pemegang saham (TSR) G20 berkembang pada 13.6 peratus setahun dan permodalan pasaran G20 berkembang 2.9 kali kepada RM403 bilion sejak permulaan program ini dari 14 Mei 2004 sehingga 25 Okt 2013.

"GLC terus berada pada kadar pertumbuhan yang mantap dengan ada di antaranya menembusi pasaran serantau yang mempunyai kesan strategik positif kepada ekonomi negara dengan menyokong Model Baru Ekonomi (MEB) dan meningkatkan keseluruhan kecekapan.

"Kejayaan program ini setakat ini, juga memberi kesan positif semua peringkat pihak berkepentingan dengan pelanggan, pekerja, pembekal dan yang paling penting - rakyat," kata PCG.

Berita lanjut: BERNAMA 

Sabtu, 26 Oktober 2013

Skim Aturan Kerja Fleksibel Mampu Tarik Lebih Ramai Pekerja Wanita

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt , 2013- Skim Aturan Kerja Fleksibel (FWA) wajar dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pekerja golongan wanita untuk menyumbang tenaga dalam pasaran kerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata setakat ini negara hanya mempunyai 48 peratus bilangan pekerja wanita.

"Berbanding di pusat pengajian tinggi jumlah golongan wanita adalah sebanyak 60 peratus, namun apabila masuk ke alam pekerjaan jumlah berkenaan menyusut menjadi 48 peratus.

"Perkara ini berlaku kerana kebanyakan wanita lazimnya bekerja sebelum berkahwin namun mengambil keputusan berhenti kerja apabila mempunyai anak dan sibuk menguruskan perihal rumahtangga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari Jumaat.

Kerajaan hari ini melalui pembentangan Bajet 2014 mencadangkan kepada para majikan untuk mengadakan skim Aturan Kerja Fleksibel yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat bekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim tersebut boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti minggu kerja dipadatkan atau kerja hujung minggu.

Shamsuddin berkata dengan adanya skim tersebut golongan wanita terutamanya, mempunyai masa yang lebih fleksibel dan tidak perlu berhenti kerja kerana memikirkan soal rumah tangga terutama penjagaan anak.

Katanya melalui skim tersebut seseorang individu itu boleh memulakan tugas pejabat di awal pagi dan kemudian boleh pulang ke rumah lebih awal, dan secara tidak langsung boleh mengelak daripada kesesakan jalan raya.

"Melalui skim ini mereka (terutamanya wanita) boleh bekerja pada waktu yang fleksibel seperti empat atau tiga hari seminggu atau pun bekerja dari rumah dengan kelengkapan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lengkap.

"Skim ini juga mampu mengurangkan pergantungan negara kepada tenaga kerja asing apabila kita mampu mengembalikan jumlah 60 peratus golongan wanita yang sepatutnya ada dalam pasaran kerja," katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata cadangan sumbangan kerajaan ditingkatkan dalam Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M), melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap pekerja terutamanya yang bekerja sendiri.

Pada tahun 2010, kerajaan menubuhkan SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Najib berkata sumbangan kerajaan akan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun di bawah skim itu berkuatkuasa mulai 1 Jan 2014 sehingga akhir tahun 2017 dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baharu.

Sumber berita - BERNAMA

Penjelasan Perlu Untuk Elak Rakyat Keliru Dengan GST

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt, 2013- Orang ramai perlu diberi penerangan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada April 2015 bagi memastikan mereka memahami mekanismenya dan bersedia dengan pelaksanaannya, demikian menurut beberapa persatuan pengguna hari ini.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata penjelasan itu boleh dilakukan dalam tempoh 17 bulan sebelum GST dilaksana memandangkan ramai yang masih tidak faham dan menganggapnya membebankan.

"Ramai juga yang keliru bahawa GST ialah cukai baharu. Mereka wajib diberi pendedahan atau pemahaman terhadap GST bagi mengelak timbul rungutan apabila GST dilaksanakan kelak.

"Kerana itu kerajaan perlu ambil inisiatif untuk pastikan orang ramai betul-betul faham dengan GST ini, dan agensi atau jabatan kerajaan yang berkenaan perlu membuat hebahan atau penerangan dalam tempoh yang ada, iaitu 17 bulan dari sekarang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari Jumaat.

Beliau berkata kerajaan juga perlu membuat penjelasan menerusi kaedah yang dikenal pasti mampu memberi kefahaman kepada orang ramai, dan bukan sekadar memberi penjelasan biasa.

Katanya, adalah penting rakyat mengetahui bahawa GST tidak dilaksana bagi semua barangan.

Dalam pembentangan Bajet 2014 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara barangan yang tidak dikenakan GST ialah bahan makanan asas dan perkhidmatan pengangkutan awam.

GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015 dengan kadar 6 peratus.

Mengulas penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen, yang berkuat kuasa esok, Mohd Firdaus berkata ia langkah tepat memandangkan rakyat Malaysia masih mengamalkan pengambilan gula yang agak tinggi meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksana.

"Jadi langkah ini dilihat sekali gus dapat mengubah gaya hidup rakyat Malaysia... dan dengan harga yang tinggi ini, secara automatik mereka akan mengurangkan pengambilan gula," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan Datuk Seri Dr Farid Abd Ghani pula menggesa kerajaan memantau kemungkinan kenaikan harga makanan dan minuman di pasaran berikutan pemansuhan subsidi gula bermula esok.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha'ani Abdullah berpendapat rakyat perlu diberi penjelasan dan pendidikan dalam isu GST bagi menggelak salah faham.

"Penjelasan harus diberi supaya mereka memahami GST kerana GST bukan cukai baharu," katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan memastikan penguatkuasaan dipertingkat dalam memastikan tiada peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang dikecualikan daripada GST untuk memberi keyakinan kepada orang ramai.

 Sumber berita- BERNAMA

Kurangkan Pengambilan Gula

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt, 2013- Harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata langkah pengurangan subsidi gula seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2014 Jumaat dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM64.02 juta tahun ini dan RM551.25 juta tahun depan.

"Lebihan penjimatan ini nantilah yang akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur dalam negara di masa depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, Hasan berkata beliau mahu rakyat khususnya peniaga melihat pengurangan subsidi gula secara positif dan tidak menaikkan harga barangan makanan berasaskan gula secara mendadak.

"Kita mesti letakkan kepentingan rakyat lebih daripada segala-galanya, bukannya meletakkan kepentingan keuntungan peniaga itu sendiri, oleh itu, saya minta supaya peniaga juga bersama-sama dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat ini," katanya.

Ketika membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat, Najib mengumumkan subsidi gula sebanyak 34 sen dimansuh berkuat kuasa esok.

Sumber berita: BERNAMA

Najib Umum Bajet Pragmatik Tangani Iklim Ekonomi Lebih Sukar

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt , 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2014 bermatlamat memperteguh ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji, sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dalam mendepani ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata rangka tindakan kewangan negara memberi tumpuan kepada lima teras: merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengungguli modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, Jumaat, meskipun ekonomi terbuka Malaysia tidak terkecuali daripada tempias jangkaan pertumbuhan global yang perlahan sebanyak 2.9 peratus tahun ini, namun asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif menjanjikan pertumbuhan yang mapan, malah ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus dalam separuh pertama tahun ini.

Najib menegaskan indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan, sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Belanjawan, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran RM1.66 trilion pada penutup Bursa.

Ini katanya, membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

Selain itu, kemasukan pelaburan langsung asing bersih dalam separuh pertama tahun ini mencecah RM18.2 bilion iaitu peningkatan RM2.3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Rizab antarabangsa pula kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion setakat 14 Okt, cukup untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Bagi keseluruhan 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar antara 4.5 peratus dan 5 peratus, disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak RM165 bilion.

Sebagai tambahan, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang masing-masing 7.4 peratus dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

Dengan pelaksanaan Budget 2014 dan sejajar dengan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, Najib mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada kadar antara 5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu sebahagian besarnya oleh pelaburan swasta yang berkembang 12.7 peraus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

Gambaran ekonomi lebih cerah oleh Najib pada 2014 menyaksikan eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus.

Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah 3.1 peratus bagi tahun depan, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Perdana Menteri turut menjangkakan pendapatan per kapita bagi tahun 2014 akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada tahun 2009, peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

"Sehubungan ini, kami yakin akan dapat mencapai sasaran pendapatan per kapita RM46,500 atau US$15,000 pada 2020," kata Najib.

"Mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020." Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM217.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebagai tambahan, RM114.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM1.4 bilion bagi pembelian aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Berhubung perbelanjaan pembangunan, RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi manakala RM10.5 bilion disalurkan kepada sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan dan pembangunan masyarakat.

Seterusnya RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, manakala RM1.12 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Kerajaan, kata Najib, turut mengunjurkan kutipan hasil lebih besar tahun depan. Pada unjuran RM224.1 bilion, ia merupakan tambahan RM4 bilion berbanding jumlah jangkaan tahun ini.

Ini bermakna defisit fiskal kerajaan persekutuan akan terus berkurangan daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

"Jelas di sini, kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kewangan negara," kata Najib.

Berhubung teras pertama Bajet 2014 iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, Najib menarik perhatian kepada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing, membawa kepada peningkatan dalam pelaburan swasta, dengan sumbangannya kepada KDNK meningkat daripada 12.4 peratus pada 2010 kepada 16.7 peratus ketika ini.

Pelaburan swasta bagi tahun depan dianggarkan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

Menegaskan bahawa pelaburan awam dianggarkan mencecah RM106 bilion, perdana menteri berkata projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Baharu.

Dalam sektor minyak dan gas, projek yang akan dilaksanakan Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; dan projek regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID di Pengerang, Johor.

Najib berkata kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek berimpak tinggi.

Sehingga akhir 2012, pelaburan bernilai RM124 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited telah direalisasikan di wilayah koridor.

Najib berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kesemua koridor berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah RM53.4 bilion dengan hampir 50 peratus direalisasikan.

Ini termasuk tiga projek di Wilayah Iskandar - Studio Pinewood, Hospital Gleneagles Medini dan Sekolah Antarabangsa Pegasus.

Tahun depan lima koridor serantau akan diperuntukkan RM1.6 bilion dengan antara projek utamanya termasuk projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah di samping Taman Pertanian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

Di Wilayah Pantai Timur pula, perdana menteri berkata Pelabuhan Kuantan akan diperluaskan manakala sebuah Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Di Wilayah Utara, antara projek utamanya termasuk projek tanaman ladang komersial dan sistem fertigasi.

Ke arah menggalakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada 2014 yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenal pasti subsektor yang berpotensi untuk dibangunkan.

Ini termasuk logistik, penerbangan, pelancongan, Internet, pasaran kewangan dan persaraan.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan sektor logistik yang lebih efisien, kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik yang akan menyediakan hala tuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Sebagai tambahan, RM3 bilion akan diperuntukkan sebagai pinjaman mudah untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Bagi menggalakkan industri penerbangan, kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah bagi mengukuhkan ekosistem dan rantaian perkhidmatan awam, memandangkan kerajaan mengiktiraf potensi Malaysia sebagai hub penerbangan di rantau ini.

Antara projek bagi sektor ini adalah penggantian sistem pengurusan trafik udara di Subang dengan pembinaan sebuah pusat bernilai RM700 juta di KLIA yang akan meningkatkan pergerakan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan.

"Kapasiti pengendalian ini adalah yang tertinggi di dunia," kata Najib.

Lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah akan dinaik taraf melibatkan kos RM312 juta, manakala terminal penumpang di lapangan terbang Langkawi dan Kuantan akan dinaik taraf.

Mengenai pelancongan, Najib berkata sektor itu dijangka menjana pendapatan sebanyak RM65 bilion tahun ini, dan dengan 2014 diisytiharkan Tahun Melawat Malaysia, sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan meliputi program promosi dan pengiklanan.

Sebagai tambahan, beliau mengumumkan tahun 2015 sebagai 'Year of Festivals' dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan terutamanya bagi hotel baharu bertaraf empat dan lima bintang, dengan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga 31 Dis 2016.

Selain itu, turut diwujudkan Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan RM2 bilion untuk menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 dan 6 peratus, dengan kerajaan memberi subsidi 2 peratus.

Tabung itu bagi membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Bagi memperluas akses Internet, Najib berkata kerajaan melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang akan memasuki fasa kedua dengan kerjasama sektor swasta.

Inisiatif RM1.8 bilion ini dijangka memanfaatkan 2.8 juta isirumah di seluruh negara dengan kelajuan Internet dijangka mencapai 10 Mbps.

HSBB akan turut diperluaskan ke kawasan pinggir bandar dengan kos pelaburan RM1.6 bilion dan kawasan luar bandar, melibatkan pembinaan 1,000 menara pemancar telekomunikasi dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

Bagi Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baharu akan dipasang dalam tempoh tiga tahun dengan kos RM850 juta.

Dalam memperkukuhkan pasaran kewangan, Najib berkata undang-undang akan dipinda dan Akta Penyelesaian akan digubal untuk memelihara hak penguatkuasaan 'close-out netting' di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivatif, seterusnya membantu mengurangkan risiko sistematik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.

Langkah ini perlu memandangkan pasaran bon domestik Malaysia adalah yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi RM1 trilion, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang pula mencatat jumlah dagangan mlebihi RM30 bilion.

Perdana Menteri turut mengumumkan langkah signifikan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam, terutamanya dalam mempromosi negara sebagai pasaran bagi Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI).

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus untuk meningkatkan profil syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Turut dirangka adalah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab.

Selain itu, kerajaan akan menubuhkan Dana SRI untuk dilaburkan dalam syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemapanan yang tinggi.

Mengenai Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) untuk golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Najib berkata kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada 10 peratus atau maksimum RM120 setahun.

Bagi terus menggalakkan golongan muda membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta, kerajaan mencadangkan insentif RM500 secara sekali bayar kepada pencarum yang menyertai skim itu dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun.

Perdana Menteri turut menghuraikan tentang pergerakan rantaian nilai dalam sektor pertanian, dengan menyebut tiga langkah khusus.

Beliau berkata sebuah majlis yang dikenali sebagai 'Food and Agro Council for Export' (FACE) akan ditubuhkan sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan Agro Bazar di Singapura dan meningkatkan eksport durian ke China.

Bagi memastikan harga produk makanan yang berpatutan, sejumlah 60 pasar tadi, 50 pasar ikan, 50 karavan tani dan 100 gerai buah-buahan segar akan dibuka di seluruh negara.

Terdapat subsidi dan insentif bagi aktiviti pertanian dan akuakultur selain penghasilan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi seperti ternakan ikan di dalam sangkar, rumpai laut, herba bernilai tinggi dan ternakan udang kara.

Di bawah program Pembangunan Komuniti Bioekonomi, tanah terbiar akan dibangunkan untuk penanaman kontrak.

Selain itu, potongan cukai akan dinikmati syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio.

Bagi merangsang program keusahawanan, Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan, sebagai tambahan kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diumumkan baru-baru ini bagi memperkasakan kalangan usahawan.

Kerajaan akan turut memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah.

Bajet 2014 turut memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk kira-kira 98 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar, dengan peruntukan RM120 juta disediakan bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti, sebagai tambahan kepada perlanjutan pelbagai insentif dan bantuan sehingga penghujung 2017.

Kerajaan juga akan menyediakan pinjaman mudah kepada peniaga pasar malam.

Berhubung teras kedua Bajet bagi mengukuh pengurusan fiskal, perdana menteri menyentuh tentang transformasi perkhidmatan awam yang antara lain merangkumi pelan transformasi bagi setiap kementerian dan pewujudan Unit Pengurusan Integriti di setiap kementerian.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam isu yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan ketidakpatuhan dalam prosedur kewangan.

Bagi pembayar cukai, Najib mengumumkan mereka tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai berjadual mereka, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

Rasionalisasi subsidi menjadi tumpuan perbincangan prabelanjawan, dan perdana menteri berkata kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menikmatinya.

Beliau kemudian beralih kepada satu lagi topik yang hangat dibincangkan sebelum pembentangan belanjawan: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Najib berkata GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, oleh itu "GST bukanlah cukai baharu."

Najib berkata GST akan ditetapkan pada kadar enam peratus berkuat kuasa 1 April 2015 atau 17 bulan dari sekarang. Beliau menyifatkannya sebagai kadar paling rendah di Asean.

GST tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak.

Ia tidak akan dikenakan ke atas bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

Selain itu, GST dikecualikan daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, perkhidmatan pengangkutan (bas, kereta api, LRT, feri, teksi, tol lebuh raya), jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.

Sumber berita :BERNAMA

Sabtu, 19 Oktober 2013

GST Mungkin Tidak Dilaksanakan Pada Bajet 2014

14 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 18 Okt, 2013-- Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan membayangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan pada Bajet 2014.

Kata Ahmad kerajaan pada dasarnya bersetuju melaksanakan GST, namun masih belum memutuskan bila dan berapa kadar peratusan cukai yang akan dikenakan pada peringkat awal pelaksanaannya.

"Bila nak dibuat, berapa peratus, kita tak tahu, tapi sudah dinyatakan dalam jawapan-jawapan rasmi bahawa kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal 'Mengumpul Dana Membina Madrasah Integrasi Islam Malaysia' di sini hari ini.

Ahmad berkata sistem cukai yang digunakan oleh kerajaan ketika ini kurang berkesan dan ketinggalan zaman.

Katanya GST merupakan sistem cukai yang lebih adil dan cekap berbanding sistem dua cukai ketika ini, iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

"Kita nak satukan (kepada GST) supaya lebih cekap dan berkesan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan sistem cukai yang telah dilaksanakan di 160 negara itu, kadar cukai adalah lebih rendah daripada 16 peratus yang dikenakan sekarang (cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus).

Berita lanjut: BERNAMA

Khamis, 10 Oktober 2013

Dana Pemegangan Saham Khazanah RM26.98 Bilion

6 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 10 Okt, 2013- Dana pemegangan saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjumlah RM26.98 bilion setakat 31 Dis 2012, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata nilai aset boleh direalisasi Khazanah pula berjumlah RM121.439 bilion bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata 99 peratus daripada pemegang saham adalah milik Menteri Kewangan diperbadankan dan satu peratus lagi Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Antara 2004 dan 2012, Khazanah telah melupuskan 55 aset dan syarikat membabitkan nilai jualan sebanyak RM35.7 bilion dan telah menjana keuntungan sebanyak RM15.7 bilion," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Abdul Rahman bertanyakan kedudukan dan ekuiti Khazanah serta saham milik Khazanah yang dijual serta kaedah penjualannya.

Ahmad Maslan berkata beberapa aset tidak teras dilupuskan secara keseluruhannya, sama ada menerusi tender terbuka atau terhad oleh usahawan dinamik dan berkemampuan.

Bagi pegangan bukan aset teras, beliau berkata ia dilupuskan secara berhemah melalui penjualan di pasaran saham.

"Senarai beberapa transaksi aset utama yang telah dilaksanakan oleh Khazanah bagi tahun 2010 sehingga 2013 secara tender terbuka ialah pelupusan pegangan sebanyak 45.03 peratus dalam Time Engineering Berhad, tahun ini.

"Khazanah juga melaksanakan (langkah) melupuskan 42.74 peratus pegangan secara tender terhad dalam Proton Holdings Berhad pada 2012 dan tiga pelupusan pegangan pada tahun 2011 masing-masing dalam PLUS Expressway Bhd (54.0 peratus), Pos Malaysia Bhd (32.21 peratus) dan EON Capital Bhd (10.0 peratus)," katanya.

Melalui pasaran saham pula, beliau berkata dua pelupusan pegangan pada tahun 2012 meliputi Malaysia Airport Holdings (MAH) sebanyak 8.8 peratus dan Tenaga Nasional Berhad (1.1 peratus), dan tiga pelupusan pegangan pada tahun 2010, iaitu MAHB (6.0 peratus), Telekom Malaysia Berhad (5.0 peratus) dan CIMB Berhad sebanyak dua peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

Rabu, 9 Oktober 2013

Malaysia Bukan 'Pak Turut' Dalam TPPA

4 Zulhijjah 1434

NUSA DUA (BALI), 8 Okt , 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bukanlah 'Pak Turut' dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) - satu inisiatif bagi mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di seluruh rantau Asia Pasifik, demi menjaga kepentingan negara.

Sebaliknya beliau berkata Malaysia telah menyatakan pendiriannya dengan tegas untuk melakukan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian berkenaan kepada kabinet, rakyat Malaysia dan perbahasan di Parlimen, sebelum membuat keputusan.

"Kita tak jadi 'Pak Turut' sama sekali, itu tidak benar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat para pemimpin TPP, di Nusa Dua, Selasa.

"Kita masuk dengan kerelaan hati kerana kita merupakan sebuah negara perdagangan, antara yang terbesar di dunia, sebab itu kita ada kepentingan untuk masuk sebagai rakan TPPA dan berpeluang menentukan kerangka FTA yang baharu di dunia," katanya.

Najib berkata Malaysia tidak akan dapat memberi input dan pandangan bagi mencorakkan perdagangan bebas dunia jika negara tidak terlibat dalam rundingan berkenaan.

Perdana Menteri berkata mesyuarat TPPA telah menerima pendirian Malaysia bahawa perjanjian ini akan melalui proses dalaman yang melibatkan penerangan kepada kabinet, rakyat Malaysia dan perbahasan di Parlimen.

Berita lanjut: BERNAMA

Beliau berkata proses tersebut dibuat memandangkan perjanjian menyentuh perkara tertentu dan berkaitan soal kedaulatan negara, termasuk hak untuk menentukan dasar-dasar tempatan - harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh.

Rabu, 2 Oktober 2013

Kerajaan Persekutuan Labur RM30.744 Bilion Dalam 60 Syarikat

26 Zulkaedah 1434

KUALA LUMPUR, 1 Okt , 2013- Kerajaan persekutuan terus memainkan peranan yang utama dalam sektor korporat negara, melabur sejumlah RM30.744 bilion ke dalam 60 syarikat dan memegang lebih daripada 50 peratus modal saham berbayar.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa, 25 daripada syarikat itu terlibat dalam sektor ekonomi, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Felcra Bhd dan Perbadanan Nasional Bhd, diikuti oleh sektor teknologi (14 syarikat), sosial (12 syarikat) dan infrastruktur (9 syarikat).

Pada 2011, secara keseluruhannya, jumlah keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah RM100.201 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 32.4 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai yang dicatat pada 2010.

"Semakan audit selanjutnya mendapati bagi tempoh 2009 hingga 2011, sektor ekonomi dan teknologi mencatat keuntungan sebelum cukai bagi tiga tahun berturut-turut.

"Sebanyak 27 syarikat daripada 57 syarikat memperoleh keuntungan sebelum cukai untuk tempoh tiga tahun berturut-turut berjumlah RM270.034 bilion, manakala 12 syarikat mengalami kerugian berjumlah RM3.133 bilion," katanya.

Analisis audit mendapati sebanyak 18 syarikat mempunyai pinjaman yang diperoleh daripada kerajaan persekutuan yang berjumlah RM13.378 bilion pada akhir 2011, penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding akhir tahun 2010.

Menurut laporan tersebut, pada tahun 2009 sehingga 2011, Petronas, Felcra dan Perbadanan Nasional telah masing-masing membayar dividen kepada kerajaan persekutuan berjumlah RM105.26 bilion, RM24.75 milion dan RM25.37 milion.

Sumber berita: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...