Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, August 31, 2013

Axiata Catat Untung Pracukai Sebanyak RM972.711 Juta Pada Suku Kedua 2013

24 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 30 Ogos, 2013- Axiata Group Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah, sebanyak RM972.711 juta, dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2013, berbanding RM1.011 bilion yang direkodkan pada suku yang sama pada 2012.

Perolehan bagaimanapun meningkat 4.8 peratus kepada RM4.629 bilion berbanding RM4.416 bilion sebelumnya, berikutan sumbangan perolehan yang lebih tinggi daripada kesemua syarikat operasi utama, kecuali Indonesia yang terjejas akibat kerugian berikutan pengukuhan ringgit berbanding rupiah.

"Susut nilai tukaran mata wang asing menyebabkan penurunan dua mata asas, dengan PT XL Axiata Tbk Indonesia paling teruk terjejas," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Jamaludin Ibrahim kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan suku kedua syarikat itu di sini Jumaat.

Pendapatan kumpulan itu sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut 3.9 peratus suku ke suku dan margin turun 3.6 mata peratus kepada 40.3 peratus.

Jamaluddin berkata kumpulan itu terus memberi tumpuan ke atas usaha untuk mengukuhkan perniagaan terasnya bagi memastikan pertumbuhan perolehan yang menguntungkan dan peningkatan EBITDA yang sihat walaupun pelaburan besar dalam rangkaian.

Berita lanjut : BERNAMA

MRCB Dapat Projek Pemuliharaan Sungai Pahang Fasa 3 Bernilai RM130 Juta

24 Syawal 1434

 KUALA LUMPUR, 30 Ogos , 2013 - Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) memperoleh Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pahang Fasa 3 bernilai RM130 juta di Pekan, Pahang.

Kontrak itu diberikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata tempoh pembinaan adalah selama 24 bulan manakala tarikh siap ialah September 2015.

 "Projek ini merupakan sambungan sepanjang 368 meter bagi pemecah ombak yang dibina sebelum ini, di bawah Projek Fasa 2 bagi Pembinaan Pemecah Ombak di Kuala Sungai Pahang," .

Berita lanjut : BERNAMA

Untung Pracukai Sime Darby Susut Kepada RM4.5 Bilion

24 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 30 Ogos, 2013 -Sime Darby Bhd, pengeluar minyak sawit tersenarai terbesar dunia, mencatatkan untung pracukai lebih rendah sebanyak RM4.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2013, daripada RM5.7 bilion tahun lepas.

Ketua pegawai kewangan kumpulan, Tong Poh Keow berkata untung pracukai yang lebih rendah itu adalah berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada Bahagian Perladangan mereka.

"Untung pracukai perladangan merosot 37 peratus kepada RM2.0 juta daripada RM3.2 juta tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan suku keempat di sini Jumaat.

Kumpulan itu mencatatkan perolehan RM46.77 bilion bagi tahun yang dinilai, sedikit lebih rendah daripada RM47.25 bilion yang dicapai tahun lepas.

Bahagian Perindustrian juga mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah kepada RM1.30 juta daripada RM1.35 juta tahun lepas berikutan penjualan peralatan yang lebih rendah kepada sektor perlombongan di Australasia berikutan kejatuhan harga arang batu.

Bahagian permotoran mencatatkan untung pracukai RM711.4 juta berbanding RM702.1 juta satu tahun lepas, naik satu peratus berikutan prestasi yang lebih tinggi daripada semua wilayah kecuali perubahan dalam undang-undang kerajaan.

Bahagian harta melihat pertumbuhan 22 peratus dalam untung pracukai kepada RM571.5 juta daripada RM467.2 juta.

Untung pracukai Bahagian Penjagaan Kesihatan menyusut lapan peratus kepada RM24.1 juta berbanding RM26.1 juta tahun lepas.

Syarikat itu juga mencatatkan keuntungan RM340 juta daripada penjualan pegangan 50 peratus dalam Sime Darby Healthcare kepada Ramsay Health Care Ltd (RHC) dari Australia.

Berita lanjut: BERNAMA

Malindo Air Lebar Sayap Ke Indonesia

24 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 30 Ogos, 2013- Malindo Air, syarikat penerbangan hibrid Malaysia terus melebarkan sayapnya ke Indonesia dengan menawarkan penerbangan pertama ke dua laluan harian bermula 23 Sept ini.


Syarikat penerbangan itu menawarkan penerbangan harian dari Kuala Lumpur (KL) ke Jakarta dan KL ke Bali, masing-masing bermula 23 Sept dan 26 Sept ini.

Tambang terangkum akan bermula dari RM159 ke Jakarta dan RM199 ke Bali, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan Jumaat.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu menjangka mencatatkan keputusan baik menerusi perkhidmatan baharu ke Jakarta dan Bali yang terkenal sebagai destinasi percutian terkenal.

 Laluan harian baharu itu menerusi Boeing 737-900ER akan menyediakan kemudahan hubungan bagi penumpang yang semakin ramai menggunakan perkhidmatan Malindo Air dan meningkatkan lagi bahagian pasaran tempatannya.

Berita lanjut: BERNAMA

Industri Nanas Negara Berpotensi Dimajukan

24 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 30 Ogos, 2013- Industri nanas negara berpotensi besar dimajukan dan diperluaskan lagi berikutan permintaan tinggi dari luar negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya kerajaan kini dalam proses meluaskan tanaman nanas di seluruh negara dan meningkatkan eksport nanas.

Beliau berkata sasaran keluasan penanaman nanas negara pada 2020 seluas 22,589 hektar berbanding 15,649 hektar tahun lepas.

"Nilai eksport industri nanas Malaysia tahun lepas berjumlah RM110.5 juta dan negara pengimport utama nanas segar ialah Singapura dan negara-negara Timur Tengah.

"Bagi nanas dalam tin, pengimport terbesar ialah Jepun dan Amerika Syarikat," katanya ketika merasmikan Fiesta Nanas di Menara Kuala Lumpur di sini Jumaat.

Berita lanjut : BERNAMA

Friday, August 30, 2013

Agrobank Keluar Zakat Perniagaan RM4.27 Juta

23 Syawal 1434

KUANTAN, 30 Ogos, 2013- Agrobank Berhad mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM4.27 juta bagi tahun perniagaan 2011, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.


Beliau berkata sebahagian daripada jumlah zakat tersebut telah diagihkan kepada pusat pungutan zakat negeri-negeri dan selebihnya diagihkan terus kepada golongan asnaf secara berperingkat.

"Ini termasuk sumbangan zakat kepada dua rumah kebajikan di Pahang iaitu Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan dan Rumah Anak Yatim Baitul Husna di Bukit Sekilau, Kuantan," katanya pada majlis penyampaian zakat kepada rumah kebajikan tersebut dan majlis makan malam Agrobank di sini Khamis.

urut hadir dan menyampaikan sumbangan tersebut Pengerusi Agrobank Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Wan Mohd Fadzmi berkata kedua-dua rumah kebajikan berkenaan masing-masing menerima sumbangan RM5,000.

Dalam pada itu katanya selaras dengan pelaksanaan sistem Perbankan Islam sepenuhnya pada 2015, Agrobank akan menukar semua produk pembiayaan dan deposit sedia ada kepada produk berasaskan prinsip Syariah.

"Produk-produk baharu yang bakal dilancarkan tahun ini juga akan berlandaskan prinsip Syariah untuk kesinambungan pertumbuhan Perbankan Islam domestik, dan pada masa sama menggalakkan amalan perbankan beretika," katanya.

 Sumber Berita- BERNAMA

Hong Leong Islamic Bank Catat Peningkatan Untung Bersih Kepada RM226.7 Juta

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Keuntungan bersih Hong Leong Islamic Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2013 (TK13), meningkat 62 peratus kepada RM226.7 juta daripada tahun sebelumnya berdasarkan akaun pro forma.

Keseluruhan pendapatan bersih bagi tahun ini bertambah 31.9 peratus secara perbandingan tahun ke tahun, kepada RM489.0 juta.

Pertumbuhan pendapatan ini adalah selaras dengan peluasan perniagaan pembiayaan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada kegiatan bukan pembiayaan serta penambahbaikan kualiti aset, demikian menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Pulangan ke atas Ekuiti dan Pulangan ke atas Aset bagi tahun ini masing-masing mengukuh kepada 18.0 peratus dan 1.0 peratus, dengan disokong oleh keuntungan yang lebih tinggi dalam tahun ini.

Nisbah kos-pendapatan ialah 43.1 peratus, meningkat daripada 37.7 peratus tahun lepas, ekoran beberapa inisiatif yang dilaksanakan untuk bertapak lebih kukuh dalam pasaran khususnya segmen pasaran baharu dalam tahun ini.

Menurut bank itu, untuk memastikan kelestarian dan pertumbuhan berterusan, bank-bank Islam harus terus optimis dan mempertimbangkan langkah-langkah selain kegiatan perbankan tradisional.

Pada masa yang sama, inovasi selanjutnya dalam perbankan digital amat penting bagi bank itu untuk kekal berdaya saing dan relevan kepada pelanggannya.

Berita lanjut: BERNAMA

Untung Pracukai Suku Pertama DRB-HICOM Turun Kepada RM96.2 Juta

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013 - Untung pracukai DRB-HICOM Bhd untuk suku pertama berakhir 30 Jun, 2013, merosot kepada RM96.2 juta daripada RM97.9 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Perolehan turun kepada RM3.05 bilion daripada RM3.46 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan Khamis, kumpulan berkata perolehan yang berkurangan itu disebabkan oleh jumlah dagangan yang rendah dalam sektor kereta ekoran sentimen pasaran yang tidak memberangsangkan dalam suku berkenaan.

Pengarah urusan kumpulan, Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata keadaan pasaran juga tidak menentu dengan di pasaran dengan orang ramai menjangkakan penurunan harga kenderaan.

"Ini telah menyumbangkan kepada kejatuhan secara keseluruhan untuk jualan bagi suku ini," kata beliau.

Beliau berkata dengan pelancaran model baharu dan tawaran jualan yang menarik oleh syarikat kereta kumpulan di mana Proton Saga SV dilancarkan pada pertengahan Jun dan Proton Suprima S pada pertengahan Ogos, syarikat menjangkakan jualan yang lebih baik dalam bulan-bulan mendatang.

Berita lanjut: BERNAMA

Industri Insurans Kesihatan Malaysia Berkembang Kepada US$5 Bilion Menjelang 2020

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Industri insurans kesihatan Malaysia dijangka berkembang lebih daripada tiga kali ganda kepada US$5 bilion menjelang 2020 daripada taksiran industri sebelumnya iaitu US$1.5 bilion pada 2010.

Anggaran baharu ini telah diberikan oleh Roland Berger Strategy Consultants, antara perunding terkemuka dunia, menerusi kajiannya yang bertajuk "Southeast Asia -- The New Frontiers For Health Insurers".

Rakan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Asia Tenggara dan penulis bersama kajian itu, Philippe Chassat berkata kesihatan peribadi/persendirian kian menjadi keutamaan untuk para pengguna di rantau Asia Tenggara kerana pendapatan boleh guna dan jumlah pengguna yang kaya semakin meningkat.

"Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang maju, dan sehubungan itu, orang ramai bersedia membayar lebih untuk mengelak waktu menunggu yang lama dan mendapatkan teknologi perubatan yang paling selamat dan terkini serta sokongan logistik terbaik daripada kemudahan penjagaan kesihatan utama.

"Untuk tahun 1998, 2005 dan 2010, jumlah perbelanjaan kesihatan Malaysia meningkat daripada US$4 bilion kepada US$6 bilion dan kemudian kepada US$11 bilion dan untuk tahun 2020, ia dijangka melonjak kepada US$29 bilion," kata Chassat dalam taklimat media di sini Khamis.

Daripada tahun 1998 sehingga 2005, jumlah perbelanjaan berkembang lebih daripada lima peratus setiap tahun daripada 2005 hingga 2010, lebih daripada 12 peratus setahun dan daripada 2010 hingga 2020, ia dijangka meningkat lebih daripada 10 peratus setahun.

Chassat mengaitkan pertumbuhan perbelanjaan kesihatan kepada beberapa faktor yang termasuklah saiz penduduk yang kian meningkat, inflasi perubatan bersih dan penggunaan penjagaan kesihatan yang lebih ketara.

Sementara itu, memandangkan pasaran insurans hayat pada masa ini belum dimanfaatkan sepenuhnya, ia mempunyai potensi pasaran yang cerah untuk penanggung insurans.

"Kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada penduduk yang disasarkan untuk insurans kesihatan (isi rumah dengan pendapatan boleh guna melebihi RM3,500 sebulan) telah melanggan untuk satu produk," kata Chassat.

Untuk mengaut keuntungan daripada pasaran yang masih belum ditembusi sepenuhnya, para penanggung insurans perlu mendidik dan mensasarkan segmen pelanggan yang sesuai dan meningkatkan saluran pengedaran, kata beliau.

Berita lanjut: BERNAMA

Untung Sebelum Cukai Dan Zakat FGV Meningkat 77.1 Peratus Pada Suku Kedua 2013

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Keuntungan sebelum cukai dan zakat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) meningkat 77.1 peratus kepada RM527.99 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2013 berbanding RM298.1 kita pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil bagaimanapun susut kepada RM2.99 bilion berbanding RM3.54 bilion dalam tempoh yang sama pada 2012.

FGV berkata bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2013, perniagaan perladangannya mencatat keluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi, sebanyak 2.46 juta tan berbanding 2.33 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Keluaran FFB meningkat kepada 9.53 tan sehektar berbanding 8.95 tan metrik sehektar manakala pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat kepada 1.44 juta metrik tan berbanding 1.38 juta metrik tan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Namun, selari dengan prestasi industri, keuntungan segmen ini susut ketara sebanyak 60.8 peratus tahun ke tahun kepada RM261.06 juta, kata FGV dalam satu kenyataan.

Ia berkata keuntungan yang lebih rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh harga purata MSM yang rendah, sebanyak RM2,279 setan metrik berbanding RM3,230 setan metrik tahun lepas, selain penurunan harga purata FFB kepada RM434 setan metrik pada 2013 berbanding RM623 setan metrik tahun lepas.

Keuntungan daripada perniagaan gula bagaimanapun meningkat 32.4 peratus kepada RM220.23 juta hasil daripada jumlah eksport yang lebih tinggi yang mengimbang harga gula bertapis yang rendah untuk pasaran eksport serta subsidi yang lebih rendah bagi setiap tan.

Segmen hiliran menjana keuntungan sebanyak RM3.24 juta berbanding kerugian RM39.21 juta tahun lepas disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan oleokimia kumpulan serta margin yang lebih baik daripada aktiviti hiliran tempatannya.

Mengenai prospek terdekat, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Mohd Emir Mavani Abdullah berkata FGV percaya pada harga semasa MSM yang rendah, ia membuka peluang untuk memperoleh aset strategik pada penilaian yang munasabah.

"Kami sudah mengumumkan pengambilalihan pertama PT Temila Agro Abadi dan PT Landak Bhakti Palma di Kalimantan Barat awal Julai, yang selari dengan pelan tindakan strategik kumpulan dengan tumpuan khusus ke atas komoditi teras seperti minyak sawit, getah dan gula.

Berita lanjut : BERNAMA

Sapurakencana, Satu-satunya Syarikat Malaysia Dalam Senarai Forbes Asia Fab 50

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- SapuraKencana Petroleum Bhd telah menjadi kebanggaan negara dengan muncul sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang berjaya memasuki senarai Forbes Asia Fabulous 50 tahun ini.


Forbes Asia berkata SapuraKencana, syarikat penyedia sokongan minyak dan gas dengan modal pasaran US$6.8 bilion ialah antara 18 peserta serantau julung-julung kali dalam senarai itu.

"Sebanyak 18 syarikat pertama kami muncul di senarai itu. Empat pendatang baharu ialah dari Hong Kong, termasuk pemaju hartanah Wharf (Holdings) dan tiga syarikat kasino, SJM Holdings, Galaxy Entertainment Group dan Melco Crown Entertainment.

 "Yang lain-lainnya termasuklah Alliance Global Group Filipina, Ayala Corp and Jollibee Foods, SapuraKencana Petroleum Malaysia, Pegatron, Taiwan, syarikat perkakasan komputer dan syarikat logistik CWT Singapura,".

Berita lanjut : BERNAMA

Lebih Ramai Pencarum KWSP Pilih Lanjutkan Simpanan Persaraan Melalui Pengeluaran Fleksibel

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Semakin ramai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan lebih baik, kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata sebanyak 47,897 permohonan diluluskan sepanjang suku tahun kedua yang berakhir 30 Jun, 2013 berbanding 37,602 permohonan diluluskan pada suku kedua 2012 (suku pertama 2013: 43,775), meningkat 27.38 peratus.

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan pencarum melanjutkan tempoh simpanan persaraan mereka bagi tempoh yang lebih lama, kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata jumlah yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun bertambah daripada RM1.51 bilion pada suku kedua 2012 kepada RM1.77 bilion pada suku kedua 2013, naik 17.32 peratus (suku pertama 2013: RM1.66 bilion).

"KWSP menyambut baik berita ini yang menunjukkan semakin ramai pencarum sedar akan kepentingan merancang kewangan untuk persaraan mereka."

"Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun memberikan peluang kepada pencarum menguruskan simpanan mereka agar dapat bertahan lebih lama dan meningkatkan simpanan kesan daripada pengkompaunan dividen tahunan yang diperoleh.

"Persaraan yang mampan memerlukan pengurusan kewangan yang baik agar pencarum mempunyai simpanan yang cukup untuk memenuhi keperluan asas kewangan mereka di hari tua," katanya.

Sepanjang suku tahun yang dikaji, Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun menyaksikan sebanyak 48,927 permohonan diluluskan berbanding 44,391 permohonan pada S2 2012 (suku pertama 2013: 45,756), mencatatkan kenaikan 10.22 peratus.

Jumlah yang dikeluarkan sepanjang suku tahun ini berjumlah RM2.04 bilion (suku pertama 2013: RM2.02 bilion), naik 9.62 peratus daripada RM1.86 bilion pada suku kedua 2012.

Pada suku kedua 2013, penggunaan kios KWSP mencatatkan kenaikan kepada 2.356 juta berbanding 1.943 juta pada suku kedua 2012, meningkat 21.30 peratus yang menunjukkan lebih ramai pencarum gemar menyemak penyata akaun mereka di kios kerana lebih cepat.

Sebanyak 145 kios ditempatkan di cawangan KWSP seluruh negara, tiga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan 1,108 di bank terpilih serta tempat tumpuan awam.

Peningkatan ini selaras dengan penurunan transaksi di kaunter daripada 1.435 juta pada suku kedua 2012 kepada 1.373 juta pada suku kedua 2013, turun 4.29 peratus.

"KWSP akan terus meneroka kaedah elektronik yang akan meningkatkan penyampaian perkhidmatannya untuk membolehkan pencarum dan majikan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang lebih selesa dan cepat.

"KWSP kini menggesa majikan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan e-Caruman yang menjimatkan masa dan wang bagi menghantar butiran caruman bulanan mereka. Ia juga akan mengurangkan kesilapan dan memastikan ketepatan maklumat yang dihantar. Penggunaan e-Caruman adalah wajib kepada semua majikan baharu berdaftar dengan KWSP," kata Shahril Ridza.

Setakat 30 Jun, 2013, jumlah penamaan yang dicatatkan ialah 3.53 juta, bertambah 5.16 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2012.

"KWSP amat menggalakkan pencarum yang masih belum membuat penamaan agar segera berbuat demikian. Menamakan waris akan memastikan orang tersayang dilindungi tanpa perlu melalui proses yang sukar untuk mengeluarkan simpanan KWSP sekiranya pencarum meninggal dunia," kata beliau.

Setakat suku kedua 2013, pencarum KWSP berjumlah 13.77 juta, naik 3.10 peratus berbanding 13.35 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pencarum aktif yang mencarum dengan KWSP berjumlah 6.43 juta pada suku kedua 2013 manakala majikan berdaftar turut meningkat daripada 496,939 pada suku kedua 2012 kepada 512,078 pada tempoh sama tahun ini, naik 3.05 peratus.

Berita lanjut: BERNAMA

Stanchart Yakin Sukuk US$490 Juta IILM Diterima Dengan Meluas

23 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 29 Ogos, 2013- Standard Chartered Bank (Stanchart) yakin sukuk sulung terbitan Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (IILM) bernilai US$490 juta akan diterima umum, memandangkan rangkaiannya yang luas dan permintaannya yang tinggi.

Ketua Pasaran Global yang juga Ketua Bersama Perbankan Borong, Leon Koay, berkata sukuk IILM ialah instrumen kewangan jangka pendek dalam nilai dolar AS yang patuh syariah pertama dan diberikan penarafan tinggi yang diterbitkan dengan tempoh matang kurang daripada setahun.

"Permintaan dari Malaysia dan Asia Barat jelas ada. Bagi mudah tunai dalam nilai dolar AS yang ditawarkan dalam instrumen Islam, kami menyaksikan arah aliran yang terus berkembang.

"Kami (Stanchart) yakin kertas ini (sukuk) akan diedarkan dengan menyeluruh dan diniagakan dengan meluas," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan perkongsian bank itu dengan IILM di sini Khamis.

IILM melantik bank itu sebagai satu daripada wakil jualan utama bagi sukuk tranche pertama program yang diluluskan bernilai US$2 bilion untuk mewujudkan instrumen mudah tunai rentas sempadan dalam nilai dolar AS bagi kegunaan institusi kewangan Islam di seluruh dunia.

Stanchart adalah satu-satunya bank antarabangsa dalam rangkaian wakil jualan utama IILM berbanding bank konvensional lain.

Berita lanjut: BERNAMA

21 Bilionair Singapura Dalam Senarai Terkini Kaya Forbes

23 Syawal 1434

SINGAPURA, 29 Ogos , 2013- Singapura kini mempunyai sejumlah 21 bilionair, meningkat daripada 16 setahun yang lepas, demikian menurut senarai kaya Forbes Singapura.

Sekiranya digabungkan kekayaan bersih 50 orang terkaya Singapura, jumlahnya ialah US$80 bilion.

Taikun hartanah Robert dan Philip Ng menambah $1.4 bilion kepada kekayaan mereka untuk menduduki tempat pertama sebagai orang terkaya negara itu.

Kekayaan bersih mereka ialah $10.6 bilion, meningkat daripada $9.2 bilion tahun lepas.

Adik beradik dari Far East Organization itu yang mana mendiang bapa mereka Ng Teng Fong telah berjaya memajukan satu konglomerat dengan lebih 700 hotel, gedung dan kondominium di Singapura dan Hong Kong.

Peningkatan terbesar dalam kekayaan bersih tahun ini ialah Kwek Leng Beng, Pengerusi City Developments, pemaju hartanah kedua terbesar Singapura, yang melonjak ke tempat kedua dari tangga ke-6 dengan kekayaan $7.1 bilion, meningkat daripada $2.4 bilion.

Kekayaan beliau termasuklah kepentingan adik beradik dan sepupu, Kwek Leng Peck dan Kwek Leng Kee. Tidak berhenti di situ sahaja, Kwek Leng Beng terus meningkatkan pelaburan di China dan London.

Taikun hartanah yang lain termasuklah adik-beradik Kwee, yang lebih kaya sebanyak $1.2 bilion tahun ini. Mereka kini sedang berunding untuk melabur $300 juta untuk kondominium mewah di Manhattan.

Sementara itu, pelabur veteran Peter Lim, berada di senarai ke-10 dengan kekayaan $2.05 bilion berhasrat untuk melabur di wilayah Iskandar Malaysia.

Keluarga Khoo pula kini di tangga ke-3 dengan kekayaan bersih $6.7 bilion, sama seperti tahun lepas.

Pewaris tokoh bank Khoo Teck Puat itu telah menjual sebahagian besar pewarisan mereka, kepentingan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 dengan nilai $4 bilion. Mereka mengekalkan pegangan dalam Goodwood Group of Hotels, yang dipengerusikan oleh anak perempuannya, Mavis Oei.

Status Singapura sebagai tempat paling selamat untuk modal Asia kekal mantap, menarik perhatian Serge Pun (No. 38, $500 juta), pemastautin tetap Singapura yang menyenaraikan Yoma Strategic Holdings dan kini menikmati prestasi baik, disokong oleh prospek ekonomi Myanmar.

Beliau ialah antara 10 pendatang baharu ke dalam senarai itu tahun ini.

Yang lain termasuklah rakan Nippon Paint, Goh Cheng Liang (No. 9, $2.1 bilion), Ching Chiat Kwong dari Oxley Holdings (No. 36, $510 juta), raja kopi David Teo dari Super Group (No. 37, $505 juta), Loi Kai Meng yang mempengerusikan CWT (No.39, $470 juta), tauke barang kemas Koh Wee Seng (No. 40, $450 juta), Stanley Liao, yang sama-sama mengasaskan C&P Holdings (No. 41, $440 juta), Cheo Tong Choon, doktor perubatan yang menguasai syarikat penapis minyak makan Mewah International (No. 43, $430 juta), Teo Kok Leong yang memiliki Roxy-Pacific Holdings (No. 47, $360 juta) dan Chew Thiam King dari syarikat perkhidmatan marin Ezion Holdings (No. 50, $305 juta).

Berita lanjut: BERNAMA

Sukuk Bergantung Kepada Kelayakan Kredit Korporat

23 Syawal 1434

SINGAPURA, 29 Ogos, 2013- Sukuk terbitan tiga korporat Malaysia - Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Axiata Group Bhd dan Sime Darby Bhd -- yang diberikan penarafan, tidak mempunyai sebarang ciri ekuiti atau sokongan aset yang ketara, kata Moody's Investors Service.


Moody's berkata berdasarkan analisisnya yang terkandung dalam satu laporan bertajuk "Petronas, Axiata, Sime Darby: Perbandingan Tiga Sukuk Korporat Malaysia", sukuk-sukuk itu mempunyai risiko kredit yang serupa dengan obligasi tidak bercagar senior korporat pendasar yang lain.

Sukuk Petronas diberikan penarafan 'A1' dengan prospek stabil, Axiata (Baa2 stabil) dan Sime (A3 stabil).

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden Moody's dan pengarang bersama laporan itu, Simon Wong, berkata pelabur-pelabur ketiga-tiga sukuk itu akhirnya bergantung kepada kelayakan kredit korporat yang menjadi sandaran sukuk-sukuk itu untuk memastikan pengagihan berkala dan jumlah penebusan dibayar apabila tiba masanya.

"Dengan kata lain, obligasi pembayaran ini setara dengan sijil-sijil Petronas, Axiata dan Sime lain serta obligasi tidak bercagar kanan lain syarikat-syarikat itu.

Laporan Moody's menyebut bahawa ketiga-tiga sukuk itu menggunakan struktur pajakan aset 'Al-Ijarah' yang, melaluinya, ketiga-tiga firma itu menjual pemilikan aset sukuk itu kepada sebuah syarikat tujuan khas yang dibiayai oleh pemegang sijil.

"Satu ciri kredit yang penting ialah ketiga-tiga firma itu membeli balik pemilikan itu apabila sukuk tersebut matang, dengan membuat pembayaran balik modal pokok," katanya.

 Sumber berita:  BERNAMA

Thursday, August 29, 2013

TM Catat Pertumbuhan Hasil Sebanyak 4.8 Peratus

22 Syawal 1434


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM), telah mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi separuh pertama tahun 2013 dengan pertumbuhan hasil meningkat 4.8 peratus kepada RM5 bilion berbanding RM4.8 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan positif produk utamanya, perkhidmatan data, internet dan multimedia khususnya UniFi yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, TM terus menunjukkan peningkatan dari sudut kewangan dan operasi.

"Kami mencatatkan pertumbuhan kukuh khususnya dalam perkhidmatan Internet dan Data dengan UniFi sebagai pemacu utama meningkat 50.3 peratus daripada tahun lalu kepada hampir 577,000 pelanggan.

Sumber : Bursa Malaysia

Peluang Pelaburan RM4.2 Bilion Untuk Syarikat Bumiputera

22 Syawal 1434

PUTRAJAYA, 29 Ogos, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan RM4.2 bilion nilai peluang dalam empat lagi projek mega untuk syarikat-syarikat Bumiputera melalui peruntukan khas.

Najib berkata kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan inisiatif peruntukan khas Bumiputera dengan mewujudkan peluang kepada syarikat-syarikat menyertai empat projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Pembangunan Tanah RRI Sungai Buloh dan Pusat Pameran Matrade.

Sebanyak 40 peratus daripada nilai projek ini diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera yang secara langsung membuka peluang kontrak bernilai RM4.2 bilion, kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di sini Khamis.

Perdana Menteri berkata ada antara empat projek tersebut yang kini sedang dilaksanakan seperti Pusat Pameran Matrade manakala Menara Warisan masih di peringkat awal walaupun tempoh pelaksanaan projek itu sedang ditentukan.

"Untuk Bukit Bintang City Centre, projek itu kini sedang dalam peringkat penentuan dari segi permohonan untuk cadangan dan juga Pembangunan Tanah RRI dijangka dapat dimulakan tidak lama lagi," kata beliau.

"Empat projek ini mempunyai garis masa yang berbeza tetapi dijangka dalam lima tahun akan datang, projek-projek ini akan dilaksanakan dan ada yang siap sepenuhnya," jelas Najib.

Menurut Perdana Menteri, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan lebih dua tahun lalu telah mewujudkan sebanyak RM18.2 bilion peluang perniagaan, pembiayaan dan pembangunan modal insan kepada syarikat-syarikat Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Sehingga Ogos 2013, Teraju telah meluluskan geran mudah cara sebanyak RM412.2 juta kepada 87 projek yang dilaksanakan oleh syarikat Bumiputera dari pelbagai sektor dengan nilai pelaburan swasta berjumlah RM3.7 bilion.

"Inisiatif ini telah membantu ke arah mewujudkan lebih kurang 13,000 peluang pekerjaan," kata beliau.

Selain itu, Najib berkata penyertaaan syarikat-syarikat Bumiputera dalam program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) telah meningkat kepada 450 syarikat.

"Di bawah program Teras, Teraju menyediakan Dana Teras di beberapa buah institusi kewangan bagi membiayai modal kerja dan aset berjumlah RM1.62 bilion.

"Sehingga kini, RM387 juta telah diluluskan kepada 91 buah syarikat Bumiputera," kata Perdana Menteri.

Jelas Najib lagi, sebelum ini Teraju telah menyediakan peluang kontrak bernilai RM9.1 bilion dalam projek MRT (aliran transit massa) kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang bersaing dan telah diagihkan berdasarkan kepada merit.

"Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) juga membincangkan kedudukan keseluruhannya termasuk dari segi ekuiti korporat Bumiputera yang mengikut perangkaan yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi, ekuiti korporat Bumiputera telah meningkat daripada 23.09 peratus pada 2010 kepada 23.45 peratus pada 2011.

"MTAB berpendapat bahawa langkah-langkah signifikan harus dilakukan bagi memantapkan lagi penyertaan Bumiputera terutama sekali berdasarkan pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan, perniagaan dan juga dalam bidang pendidikan," kata beliau.

Najib berkata untuk mengutarakan dasar dan pendekatan yang dapat dilakukan penambahbaikan ke arah langkah-langkah yang lebih berkesan, satu perjumpaan akan diadakan pada 14 September.

Pada perjumpaan itu, Najib berkata polisi dan strategi serta program intervensi berdasarkan pada konteks pendekatan baharu bagi tujuan memantapkan dan memperkasakan lagi agenda ekonomi Bumiputera akan diumumkan.

"Pada masa ini, kita masih lagi menyusun input daripada pelbagai pihak dan pada majlis tersebut akan dibentangkan apakah langkah baharu yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan," kata beliau.

Ditanya mengenai perkembangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perkara tersebut masih lagi dikaji termasuk Teraju yang menilai kesan TPPA kepada penyertaan Bumiputera dan kerajaan akan turut mengambil input mereka.

Berita lanjut : BERNAMA

Proton Akan Terus Hasilkan Kereta Yang Selamat Dan Berkualiti Tinggi

22 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 28 Ogos, 2013- Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd, akan terus mengeluarkan kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan memberi nilai dari segi wang, kata ketua Pegawai Eksekutif-Komersil Hisham Othman.

Dalam satu kenyataan Rabu, Hisham berkata Proton Suprima S amat dinanti-nantikan oleh pasaran tahun ini kerana bentuknya yang dinamik dan sporty, hiasan dalaman yang mewah serta prestasi enjin tinggi.

"Kereta itu mampu dimiliki dan menonjol dari segi gaya, prestasi, keselamatan dan peralatan," kata beliau.

Hisham berkata demikian selepas menyerahkan Suprima S kepada pembeli pertamanya, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar, di sini Rabu.

Sementara itu, Syed Hamid berkata beliau kagum dengan kereta itu bukan hanya kerana bentuk dan reka bentuk tetapi senarai ciri-ciri yang ditawarkan.

Berita lanjut : BERNAMA

Untung Pracukai Setengah Pertama 2013 BIMB Naik Kepada RM402 Juta

22 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 28 Ogos, 2013- Untung sebelum cukai dan zakat BIMB Holdings Bhd meningkat 18 peratus kepada RM402 juta bagi setengah pertama berakhir 30 Jun, 2013 berbanding tempoh pertama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini Rabu, kumpulan itu berkata keuntungan dicapai dengan peningkatan RM110.6 juta dalam pendapatan bersih dan kenaikan RM18 juta dalam peruntukan untuk kemerosotan pada pembiayaan dan pendahuluan, pelaburan dan aset lain.

Untung bersih terkumpul BIMB bagi tempoh yang dinilai dicatatkan pada RM281.7 juta, naik 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pembiayaan bersih sebanyak RM1.9 bilion atau 9.6 peratus bagi tempoh setengah tahun yang dinilai.

Untung sebelum cukai dan zakat perniagaan perbankan Islam dan takaful kumpulan itu naik 15.8 peratus dan 29.6 peratus setiap satu bagi setengah pertama tahun itu kepada RM322.5 juta dan RM82.8 juta setiap satu daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Berita lanjut : BERNAMA

Peluang Memenangi Baucar & Hadiah Tunai Dari Nestle Bernilai RM 2.6 Juta

22 Syawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Ogos, 2013- Nestle Malaysia Sdn Bhd telah memperuntukkan lebih RM30 juta untuk iklan kempen Hari Keluarga Malaysia bagi mempromosikan semangat kekeluargaan.

Pengarah Eksekutif Jualan (Malaysia/Singapura/Brunei), Kumaran Nowuram berkata rakyat Malaysia sering teralih tumpuan kepada pekerjaan, kehidupan peribadi serta peranti canggih, sekali gus menyaksikan mereka menghabiskan masa yang sedikit dengan keluarga.

"Kempen ini ialah inisiatif kami untuk meningkatkan semangat kekeluargaan menerusi aktiviti makanan berperisa dan hubungan keluarga," kata beliau kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen itu di sini Rabu.

Beliau berkata wang itu akan dibelanjakan untuk 365 iklan televisyen setiap hari, lebih 200 iklan radio setiap hari dan 30 iklan akhbar setiap minggu untuk produk makanannya.

Satu lagi usaha di bawah kempen itu ialah peraduan Bonanza Hari Keluarga Malaysia Nestle mulai 1-30 Sept, 2013, kata beliau.

"Pengguna berpeluang memenangi baucar pakej menarik dan hadiah tunai bernilai lebih RM2.6 juta.

Berita lanjut: BERNAMA

Pekerja Generasi Y Jangka Tanggungjawab Yang Lebih Besar Di Tempat Kerja: Kaji Selidik

22 Syawal 1434


KUALA LUMPUR, 28 Ogos , 2013- Pekerja Generasi Y (Gen Y)menjangka diberikan tahap tanggungjawab yang lebih tinggi di tempat kerja, dan sebagai lanjutan, menjangkakan kenaikan pangkat ke kumpulan pengurusan lebih awal daripada apa yang dijangkakan oleh pengurus mereka, demikian menurut satu kaji selidik.

Kaji selidik yang dikendalikan bersama oleh Institut Kewangan Asia (AIF) dan Ashbridge Business School, United Kingdom itu melaporkan bahawa 22 peratus pekerja Generasi Y percaya memang munasabah bagi mereka memainkan peranan pengurusan selepas enam bulan mula bekerja di organisasi masing-masing.

"Kini wujud jurang antara generasi dalam industri perkhidmatan kewangan antara Gen Y dan pengurus mereka yang biasanya lebih berusia daripada mereka.

"Ini jelas daripada perbezaan persepsi antara pengurus Gen Y dan pekerja Gen Y itu sendiri," kata Ketua Pegawai Eksekutif AIF, Dr Raymond Madden.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Simposium Antarabangsa AIF 2013: "Changing Face of Talent" yang akan berlangsung selama dua hari, bermula Rabu.

Kaji selidik bertajuk "Menguruskan Generasi Y" itu memberikan tumpuan kepada usaha memahami cara berfikir Gen Y tempatan yang bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan, berhubung kerjaya mereka.

Ia melibatkan 1,200 profesional perkhidmatan kewangan, termasuk pegawai sumber manusia yang menguruskan Gen Y dalam organisasi masing-masing.

Satu peratusan besar pekerja Gen Y Malaysia berkata kehidupan berkerjaya mereka tidak mencapai apa yang mereka harapkan.

Kaji selidik itu dijalankan dari Mei hingga Jun tahun ini.

Kajian itu juga membayangkan bahawa pengurus-pengurus perlu lebih sering melibatkan rakan sekerja mereka yang lebih muda untuk memastikan perjalanan kerjaya mereka berpadanan, kata Madden.

"Ini berkaitan dengan kekerapan mengadakan dialog antara generasi berbeza-beza yang bekerja dalam organisasi yang sama hari ini," katanya.

Menurut beliau, Gen Y Malaysia serupa dengan Gen Y negara-negara lain yang semakin bercita-cita tinggi serta menginginkan cabaran-cabaran yang lebih besar, kerana Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang maju sepenuhnya menjelang 2020.

Berita lanjut : BERNAMA

NAFAS Peruntukkan RM80.5 Juta Beli Tanah Bina Kilang Makanan Ternakan Di Gurun

22 Syawal 1434

JOHOR BAHARU, 28 Ogos, 2013 - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah bersetuju membeli sebidang tanah perindustrian di Gurun, Kedah bernilai RM80.5 juta bagi membina kilang makanan ternakan bagi menampung keperluan tempatan.

Pengerusinya Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, projek pembinaan kilang makanan ternakan miliknya sendiri itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana ia berkepentingan negara.

"Di atas kepentingan negara, projek pembinaan kilang makanan ternakan di Gurun itu kini menjadi keutamaan kami dan untuk itu Nafas telah memutuskan untuk menangguhkan pembinaan kilang bajanya di Sarawak bernilai RM170 juta."


"Peruntukan RM170 juta itu sebaliknya akan disalurkan untuk memastikan projek pembinaan kilang makanan ternakan di Gurun itu dapat direalisasikan secepat mungkin," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Kilang makanan ternakan Nafas di Gurun apabila beroperasi kelak katanya, berkemampuan menampung sebahagian besar daripada permintaan daripada penternak-penternak tempatan.

"Kapasiti kilang di Gurun itu akan mengikut keperluan (makanan ternakan) daripada penternak-penternak tempatan," kata beliau.

Saipolbahari berkata, kewujudan kilang di Gurun itu secara tidak langsung akan mengurangkan harga makanan ternakan di pasaran tempatan di antara 10 hingga 20 peratus.

Sementara menunggu kilangnya di Gurun itu beroperasi, Nafas di dalam langkah jangka pendek untuk menampung permintaan tempatan katanya, telah bekerjasama dengan beberapa pihak dalam negara untuk mengeluarkan makanan ternakan.

Ia termasuk usaha sama dengan sebuah syarikat bukan Bumiputera bagi meningkatkan kemampuan penghasilan makanan ternakan mereka di dalam satu bulan, katanya.


Selain itu Nafas turut bekerjasama dengan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) di dalam penghasilan makanan ternakan untuk pasaran tempatan.

Ia juga akan meningkatkan kapasiti penghasilan makanan ternakan daripada kilang sedia adanya di Pagoh, daripada 10 tan metrik sebulan kepada 20 tan metrik sebulan, kata beliau.

Saipolbahari berkata kewujudan kilang makanan ternakan milik Nafas di Gurun itu juga akan mengawal sebarang kenaikan harga bahan itu di pasaran tempatan.

Pada ketika ini, penternak tempatan sering memberi alasan harga makanan ternakan yang melambung sebagai punca utama yang menyebabkan kenaikan harga ternakan di pasaran seperti ayam, kambing, lembu dan lain-lain terutamanya menjelang musim perayaan.

Apabila kos makanan ternakan dapat dikurangkan, penternak tempatan tidak lagi mempunyai alasan untuk menaikkan harga ternakan mereka di pasaran sehingga membebankan pengguna, jelas beliau.

Berita lanjut: BERNAMA

Pansar Intai Peluang Dalam Sektor Sawit Di Sarawak

22 Syawal 1434


SIBU, 28 Ogos , 2013- Penyedia penyelesaian kejuruteraan perniagaan ke perniagaan terkemuka Sarawak, Pansar Bhd, merancang untuk memanfaatkan peluang-peluang yang semakin banyak dalam sektor sawit negeri ini.

Pengarah Urusannya, Jason Tai Hee, berkata banyak syarikat sawit menceburi sektor hiliran dengan membina kilang.

"Ini baik untuk kami, khususnya perniagaan pembekalan bumbung yang sememangnya banyak kami bekalkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-39 syarikat itu di sini hari ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini berkata negeri ini akan memulakan penanaman sejuta hektar lagi tanah dengan kelapa sawit.

Bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac, 2013, Pansar mencatatkan perolehan sebanyak RM430 juta, dan ini merupakan peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding keputusan tahun lepas.


Keuntungan bersih berjumlah RM17.5 juta, meningkat sebanyak 10 peratus manakala keuntungan kasar bertambah lima peratus kepada RM58.8 juta.

Perolehan sesaham mengukuh 11 peratus kepada 6.24 sen.

Tai berkata satu lagi bidang yang ingin diceburinya ialah pengurusan kemudahan seperti hotel, kompleks perindustrian, lapangan terbang atau hospital.

"Ini akan melibatkan lebih banyak penggunaan perkakasan cekap tenaga seperti penggunaan pencahayaan LED dan pendingin yang lebih cekap dalam unit-unit penyaman udara.

"Kami telah pun melatih orang kami dalam bidang GBI (Indeks Bangunan Hijau) bagi tujuan ini," katanya.

Pansar akan juga terus memanfaatkan peluang-peluang sedia ada dalam sektor minyak dan gas negeri ini dan, tidak lama lagi, dalam SCORE (Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak), katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu membekalkan banyak enjin marin dan set kimpalan kepada industri minyak dan gas.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam tahun kewangan baharunya, Pansar, sebagai penyedia penyelesaian tereka, bukan sebuah syarikat perniagaan tulen, akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan kumpulan tenaga manusianya yang diperlukan.

"Kami memerlukan kakitangan teknikal yang cekap. Inilah tumpuan kami. Kami akan mengutamakan latihan, imbuhan dan dorongan yang memerlukan kakitangan kanan mengajar dan membimbing kakitangan muda.

Berita lanjut : BERNAMA

Bank Islam Catat Untung Sebelum Zakat Dan Cukai Lebih Tinggi Kepada RM323.8 Juta


KUALA LUMPUR, 28 Ogos, 2013- Bank Islam Malaysia Bhd mencatatkan peningkatan 15 peratus dalam untung sebelum zakat dan cukai kepada RM323.8 juta bagi enam bulan yang berakhir pada 30 Jun, 2013.

Menurut bank itu, prestasi yang lebih kukuh itu berikutan keseluruhan peningkatan dalam aktiviti perniagaan

Pulangan terhadap ekuiti Bank Islam kekal kukuh pada 19.8 peratus manakala pulangan terhadap aset pada 1.7 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko pada 13.3 peratus.

Semasa separuh pertama tahun ini, jumlah pendapatan bersih bank meningkat 10.6 peratus, berbanding tahun sebelumnya kepada RM712.5 juta dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dalam pendapatan berasaskan dana yang naik 20.8 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

"Sehingga akhir Jun, deposit pelanggan berkembang tujuh peratus kepada RM34.9 bilion dengan akaun semasa dan simpanan berjumlah kira-kira RM12.7 bilion," katanya.

Mengenai rancangan pengembangan, Bank Islam telah membuka tiga cawangan sejak Januari, menjadikan jumlah keseluruhan 130 sekarang ini dan merancang untuk membuka sekurang-kurangnya lima lagi cawangan menjelang akhir tahun.

Berita lanjut: BERNAMA
22 Syawal 1434






Wednesday, August 28, 2013

Penambahbaikan Akta Syarikat 1965 Bagi Membantu Syarikat Menghadapi Masalah Kewangan

21 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 27 Ogos, 2013- Akta Syarikat 1965 akan ditambah baik bagi menjadikannya lebih dinamik dan antara lain membantu syarikat yang berhadapan masalah kewangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Naim Daruwish.

Beliau berkata draf penambahbaikan akta itu kini hampir di peringkat akhir dan akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang di Parlimen.

"Peringkat mendraf akta telah dilaksanakan dan telah mencapai kira-kira 93 peratus dan kami juga baru menjalankan satu 'public consultation' terhadap 40 individu dan organisasi untuk mendapatkan maklum balas mengenai akta ini.


"Semua cadangan mereka kami sedang kaji semula dan mana yang sesuai, kami akan masukkan ke dalam draf dan selepas itu kami akan memajukannya ke pihak Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan, tetapi ini semua mengambil masa" katanya kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri suruhanjaya itu di sini hari ini.

Beliau berkata lebih 300 seksyen di dalam akta itu akan dipinda menjadikannya lebih 600 seksyen yang melibatkan beberapa transformasi, selari dengan akta di negara yang lebih maju.

Katanya antara penambahbaikan yang akan diperkenalkan dalam akta itu ialah ciri pendaftaran syarikat, pembentukan syarikat, pengurusan modal dan penambahan satu ciri baharu iaitu Mekanisma Penyelamatan Korporat.

"Di bawah Seksyen 176 akta itu, dua perkara baharu juga akan ditambah iaitu 'pengurusan kehakiman' dan 'pengurusan korporat' bagi membantu syarikat-syarikat yang mempunyai masalah kewangan meneruskan perniagaan mereka dan menjelaskan hutang-hutang mereka dengan pilihan yang lebih sesuai.

Sementara itu, Mohd Naim berkata setakat ini lebih 5.1 juta perniagaan sama ada milik tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad telah berdaftar di bawah SSM dan secara purata sebanyak 230,000 perniagaan baharu didaftar setiap tahun.

Berita lanjut: BERNAMA

Bank Negara Akan Campur Tangan Jika Pasaran Kewangan Bercelaru

21 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 27 Ogos, 2013- Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan untuk menstabilkan ringgit yang semakin jatuh jika pasaran mengganggu dan bercelaru, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata apa yang penting ialah memastikan keadaan pasaran teratur.

"Jika tidak, ia akan terlalu ditentukan oleh pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan sebuah buku bertajuk, "Grow Your Business: Access to Financing for SMEs in Malaysia", di sini Selasa.


Zeti berkata bank pusat itu tidak akan memberikan tumpuan kepada mana-mana tahap kadar pertukaran tertentu.

"Kita telah melonggarkan pengurusan pendedahan dan transaksi pertukaran asing agar perniagaan boleh berhadapan dengan persekitaran yang semakin tidak menentu," katanya.

Beliau berkata pengeksport tidak harus bergantung kepada kadar pertukaran untuk mendapatkan kelebihan daya saing, sebaliknya mereka harus memberikan tumpuan kepada langkah-langkah lain seperti meningkatkan produktiviti dan berinovasi.

"Dari semasa ke semasa, kita akan menyaksikan ringgit mengukuh disebabkan oleh perubahan mudah tunai dalam sistem kewangan global," kata Zeti.

Berita lanjut :BERNAMA

Kadar Bayaran Balik Tinggi Bolehkan PUNB Tidak Bergantung Sepenuhnya Pada Kerajaan

21 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 27 Ogos, 2013- Prestasi pembayaran balik bagi pembiayaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pada kadar 70 peratus telah membolehkan agensi itu berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada kewangan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Dzulkifli Fadzilah berkata sehingga kini terdapat seramai 5,000 usahawan yang meminjam dengan PUNB dengan pembiayaan berjumlah RM1.45 bilion.

"Kami tidak lagi meminjam daripada kerajaan sejak tahun ini kerana dengan dana yang ada sekarang dan pembayaran balik peminjam-peminjam mencukupi. Selain itu, ia dapat membantu mengurangkan beban kerajaan.


"Tapi ini tidaklah bermakna kami tidak mahu lagi bantuan kerajaan tetapi dalam masa 10 tahun akan datang, kami mungkin boleh berdikari sepenuhnya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas kepada Pengerusi baharu Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam di sini Selasa.

Berita lanjut: BERNAMA

Biodiesel Malaysia Mulakan Pengeluaran Komersil Biodiesel Di Kuantan Bulan Depan

21 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 27 Ogos, 2013- Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) merancang memulakan pengeluaran komersil biodiesel di kilangnya di Kuantan bulan depan.

Kilang menelan kos RM35 juta itu yang dibeli pada April lepas, beroperasi sejak 1 Julai, 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Emir Mavani Abdullah berkata perniagaan baharu itu sejajar dengan strategi FGVH menggerakkan lagi perniagaan hilirannya dalam usaha untuk melindungi perniagaan huluannya.

"Kami telahpun berada di tahap pengeluaran akhir. Kini kami sedang menguji produk dan akan memulakan pengeluaran komersil, harapnya dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya syarikat di sini, Selasa.

Beliau berkata FGVH juga membentuk sebuah syarikat konsortium dengan Sime Darby Bhd, yang dinamakan Biodiesel Malaysia Sdn Bhd, untuk meningkatkan lagi industri.

Pengerusinya Tan Sri Isa Samad berkata penubuhan konsortium tersebut bertujuan untuk mengurangkan simpanan stok minyak sawit mentah (MSM) negara bagi menyokong harga.

Ini, katanya, merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan stok kerana disebabkan bekalan yang terlampau banyak bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, ia akan menyebabkan permintaan menjadi kurang, yang seterusnya membawa kepada penurunan harga.

FGVH dan Sime Darby setiap satu memegang 32 peratus pegangan dalam konsortium itu.

Pegangan selebihnya diperuntukkan bagi syarikat perladangan, peserta biodiesel dan pelabur lain.

Isa berkata FGVH masih sedang mencari pelabur yang sesuai untuk menyertai konsortium itu bagi mengembangkan pasaran biodiesel b5 dan b10, dalam dan luar negara.



Sumber Berita : BERNAMA

Proton Yakin Atasi Sasaran Awal Jualan Suprima S Pada Bulan Pertama

21 Syawal 1434

NUSAJAYA, 27 Ogos , 2013- Proton Holdings Bhd yakin tempahan bagi model terbaharunya, Suprima S, akan melebihi sasaran awal sebanyak 750 unit bagi bulan pertama.

Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Hisham Othman berkata sambutan untuk model hatchback itu begitu menggalakkan dan syarikat menerima ratusan tempahan walaupun baru seminggu diperkenalkan di pasaran.

"Dari apa yang kami perhatikan, pelanggan-pelanggan kami tertarik dengan reka bentuk luar model ini, styling, pilihan warna dan profil hatchbacknya.

"Apabila dipandu uji, mereka mendapati model ini juga bagus dari segi prestasinya," kata beliau kepada pemberita di sini, Selasa.

Hisham menjangka model hatchback berkenaan dapat menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan jualan bulanan Proton, berdasarkan minat yang semakin meningkat terhadap model jenis ini.

"Segmen hatchback di Malaysia merupakan salah satu pasaran khusus. Pengguna tempatan lebih gemar memiliki model-model sedan berbanding hatchback ini," katanya.

Beliau berkata model hatchback seperti Suprima S lebih digemari pengguna berkeluarga kecil.

Bagaimanapun, Hisham melihat pasaran hatchback meningkat setiap tahun dan menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna kereta di Malaysia.

"Pasaran terbesar kami setakat ini adalah Malaysia, dan memang menjadi hasrat kami untuk mengeskport Suprima S ini ke pasaran luar seperti Australia, Indonesia, Brunei dan Thailand, seperti model-model kami sebelum ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Tuesday, August 27, 2013

Petronas Lapor Untung Sebelum Cukai Lebih Rendah Bagi Suku Kedua 2013

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos, 2013- Petronas Bhd mencatatkan untung sebelum cukai lebih rendah iaitu RM21.983 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2013 daripada RM22.904 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelum ini.

Ini dicapai pada perolehan yang lebih tinggi iaitu RM74.424 bilion untuk suku yang dinilai berbanding RM70.760 bilion sebelum ini, kata syarikat minyak negara itu dalam satu kenyataan.

Peningkatan itu didorong oleh penjualan minyak mentah dan dagangan gas yang lebih tinggi, serta volum jualan produk petroleum yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, harga purata yang lebih rendah, pada semua produk utamanya sejajar dengan trend merosot penanda aras harga minyak mentah, bersama-sama dengan kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, mengurangkan impak positif volum dagangan dan jualan yang lebih tinggi itu.

Bagi setengah tahun berakhir 30 Jun, 2013, Petronas mencapai untung sebelum cukai yang lebih rendah iaitu RM50.813 bilion berbanding RM53.184 bilion yang dicatatkan sebelum ini.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata untung sebelum cukai diunjurkan pada kira-kira RM92 bilion bagi tahun kewangan semasa daripada RM89 bilion pada tahun kewangan lepas.

"Apa yang membimbangkan kami ialah harga minyak mentah yang semakin lemah dan peningkatan kos," katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan suku kedua Petronas di sini hari ini.

Shamsul berkata Petronas kini dalam proses menyemak semula kos strategik untuk menangguhkan sebahagiannya untuk mengekalkan kos.

Berita lanjut: BERNAMA

Perniagaan Terima Hakikat GST Tidak Dapat Dielakkan - Tinjauan

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos , 2013- Perniagaan di Malaysia telah mula menerima hakikat bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia tidak dapat dielakkan, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri China Malaysia (ACCCIM).

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Lim Kok Cheong, berkata satu jadual yang jelas diperlukan untuk memperkenalkan GST.

"Kadar biasa bagi GST haruslah bermula dari paras serendah mungkin dan tidak harus membebankan pengguna.

"ACCIM mengharapkan pelaksanaan GST ditampung oleh penurunan cukai pendapatan perseorangan dan kadar cukai korporat," katanya pada satu sidang akhbar untuk mengumumkan hasil kaji selidiknya di sini Isnin.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa sebahagian besar perniagaan menyokong permulaan (GST) pada kadar yang rendah, dengan 55 peratus responden memilih kadar tiga peratus.

Ini boleh mengurangkan beban ke atas pengguna dan juga masalah yang mungkin timbul pada peringkat awal pelaksanaan.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa kira-kira 35 peratus responden membayangkan sokongan mereka terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), manakala 13 peratus tidak bersetuju Malaysia menjadi sebahagian daripada TPPA.

"Kebanyakan responden, iaitu kira-kira 52 peratus mendakwa mereka tidak sedar dan tidak tahun tentang TPPA.

Berita lanjut: BERNAMA

PMINT Sasar Perolehan Sebanyak RM30 Juta Menjelang 2017 Dari Perniagaan Sewaan Aset

20 Syawal 1434

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos, 2013- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyasarkan perolehan sebanyak RM30 juta atau 80 peratus pendapatan tahunannya menerusi sewaan aset menjelang 2017.

Pengurus Besarnya Datuk Osman Muda berkata PMINT optimis dapat mencapai sasaran itu kerana sehingga Jun lepas, sebanyak RM12 juta atau 49 peratus perolehannya adalah hasil pendapatan penyewaan aset miliknya.

"Apa yang membanggakan, jumlah itu (49 peratus), sudah hampir dengan sasaran yang diminta kerajaan negeri dan Ahli Mesyuarat Lembaga PMINT iaitu sebanyak 50 peratus pendapatan sewaan sepanjang tahun ini.

"Kita jana pendapatan itu menerusi pelbagai aset termasuk premis bangunan, kediaman, kedai, ruang niaga, pejabat, bengkel dan kilang industri," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka PMINT di sini Isnin.

Selain menjana pendapatan menerusi jualan hartanah seperti premis kedai, ruang pejabat dan perumahan, PMINT juga diberi tanggungawab oleh kerajaan negeri Terengganu sebagai penyelia projek Perumahan Awam Kos Rendah di seluruh Terengganu sejak 2009.

Selain itu, beliau berkata pendapatan hasil sewaan aset akan bertambah apabila beberapa projek mega beberapa pasar raya seperti PB Sentral, Plaza Paya Bunga dan PB Square beroperasi kelak.

"Ketiga-tiga projek itu antara penyumbang besar yang bakal diperoleh PMINT, di mana PB Square yang kini hampir 90 peratus siap dibina mampu memperoleh pendapatan antara RM12 hingga RM15 juta setahun.

Berita lanjut: BERNAMA

MARA Tingkat Pengurusan Perkhidmatan Bas Menerusi Pengkorporatan

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos, 2013- Majlis Amanah Rakyat (Mara) melangkah setapak ke hadapan dalam memperkasa sistem dan perkhidmatan basnya menerusi pengkorporatan pengurusan Kenderaan Bas Mara (KBM).

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata pengurusan KBM yang sebelum ini diurus melalui bahagian kenderaan Mara akan diambil alih dan diurus tadbir oleh satu daripada anak syarikat Mara iaitu Mara Liner Sdn Bhd (MLSB).

Menerusi pengkorporatan itu, kata beliau, akan dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan organisasi, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan bas yang pada mulanya diwujudkan bagi memenuhi permintaan masyarakat luar bandar.

"Saya berharap Mara Liner akan dapat mewujudkan mekanisme bersesuaian dengan merangka strategi perniagaan baharu yang bukan sahaja kompetitif tetapi masih mengekalkan perkhidmatan sosial di luar bandar.

Berita lanjut: BERNAMA

Saham Axiata Naik Atas Spekulasi Rancangannya Senaraikan Aset Menara

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos, 2013- Saham Axiata Group Bhd naik pada sesi dagangan tengah hari atas spekulasi kumpulan itu merancang menyenaraikan aset telekomunikasinya.

Setakat rehat tengah hari, Axiata naik lapan sen kepada RM6.60, dengan 4.043 juta saham didagangkan.

Menurut laporan berita, Axiata merancang mengumpulkan sehingga US$500 juta dalam tawaran awam awal, yang dijangka dilaksanakan di Kuala Lumpur tahun depan.

Laporan itu berkata Axiata sedang bekerjasama dengan CIMB Group Holdings Bhd, Goldman Sachs Group Inc dan JPMorgan Chase & Co untuk IPO itu.

Axiata mempunyai pegangan kawalan dalam operasi mudah alih di Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja dengan pegangan strategik di India, Singapura dan Iran, menurut laman web syarikat itu.

Ia mempunyai lebih 215 juta pelanggan mudah alih di Asia.

Sumber berita:BERNAMA

Malaysia Tidak Perlukan TPPA - CheDet

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos, 2013- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin menggesa kerajaan supaya memberi pertimbangan yang serius sebelum memutuskan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan meletakkan kepentingan negara sebagai agenda utama.

Walau pun negara tidak menandatangani TPPA, beliau melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia tetap boleh terus berkembang dari segi dagangan antarabangsa.

"Malaysia telah sekian lama menjadi negara dagangan dan nilai dagangan negara juga meningkat dari tahun ke tahun. Dari sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita cuma US$350, kini meningkat sehingga kepada US$9,000 per kapita.

"Jumlah dagangan negara bernilai hampir US$1 trilion dan jumlah ini masih antara yang terbesar bagi sebuah negara yang kecil. Tanpa TPPA, kita dapat membesarkan dagangan negara dan memperoleh keuntungan daripadanya."

"Kenapa kita harus menerima perjanjian ini yang akan membuka pasaran negara kepada modal dan teknologi mereka (AS)," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat TPPA Isnin.

Selain itu, Mahathir turut berkata Malaysia bakal terdedah kepada jualan mata wang tempatan kerana kawalan ke atas kadar pertukaran tidak dibenarkan di dalam TPPA.

Berita lanjut: BERNAMA

Takaful Ikhlas Sasar Capai 14 Peratus Penguasaan Pasaran Tahun Ini

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 25 Ogos, 2013- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas), unit kepada MNRB Holdings Bhd, berhasrat menguasai 14 peratus kepentingan pasaran menjelang akhir tahun, meningkat daripada 12 peratus tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Latiff Abu Bakar berkata Takaful Ikhlas bercadang mengukuhkan lagi program-programnya dalam usaha mencapai penguasaan pasaran yang disasarkan itu.

"Kami cuba menempatkan prospektif yang betul dari segi strategi dan banyak lagi," kata beliau kepada Bernama.

Ab Latiff berkata Takaful Ikhlas sedang membangunkan pelan tindakan tiga tahun untuk mengukuhkan lagi penguasaan pasarannya.

Ia bercadang memberi tumpuan yang lebih kepada perniagaan agensi yang akan tertumpu kepada produk yang sesuai dengan keperluan pasaran.

"Kami berharap dengan meningkatnya penguasaan pasaran kami, ia akan menjuruskan kepada keputusan kewangan yang lebih baik dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014," kata Ab Latiff.

Beliau turut menerangkan yang Takaful Ikhlas akan meningkatkan lagi sumbangan tahun kewangan perniagaan baharunya dalam usaha menjadi di kalangan dua peserta insurans terkemuka.

Berita lanjut:BERNAMA

Industri Takaful Harapkan Insentif Tambahan Dalam Belanjawan 2014

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 25 Ogos, 2013- Industri takaful di Malaysia mengharapkan beberapa insentif tambahan dalam Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Okt ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Ab Latiff Abu Bakar berkata Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah membincangkan beberapa isu dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung dengan jangkaan mereka untuk belanjawan tahun hadapan.

"Kami telahpun membincangkan beberapa isu tetapi adalah lebih elok sekiranya MTA membuat kenyataan berkenaan dengan peruntukan (apa yang industri kehendaki dalam belanjawan 2014)," kata beliau kepada Bernama.

Berdasarkan laporan akhbar, industri takaful menjangkakan pertumbuhan perniagaan baharu akan meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus menjelang akhir tahun.

Sumber Berita: BERNAMA

Inai Kiara Sedia Perluaskan Perniagaan Ke Afrika, Eropah Dan Amerika Selatan

20 Syawal 1434

PELABUHAN KLANG, 25 Ogos, 2013- Inai Kiara Sdn Bhd, syarikat pengorekan kelima terbesar di dunia, telah bersedia untuk mengembangkan perniagaannya ke persada antarabangsa terutamanya ke Afrika, Eropah dan Amerika Selatan di celah-celah peluang perniagaan yang meluas untuk perniagaannya.

Syarikat telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa bakal pelanggan khususnya di Brazil dan Argentina dan pada masa ini terlibat dalam perbincangan, kata pengurus besar Pembangunan Perniagaan Inai Kiara, Zulkefli Majid.

"Kami perlu menyokong dan membina lebih banyak kapal bagi mengukuhkan lagi kapasiti kami dalam bidang ini dalam usaha menembusi Eropah, Afrika dan Amerika Selatan," kata beliau kepada pemberita baru-baru ini.

Inai Kiara telahpun mewujudkan perniagaan di Brunei, India, Indonesia, Taiwan dan Vietnam.

Dalam rancangan lima tahunnya, syarikat berhasrat untuk membina sebuah kapal korek corong tuang yang besar dengan kapasiti tuangan 64,000 meter padu.

Ia turut merancang membina kapal korek yang sama kapasitinya seperti Inai Kenanga -- kapal ketiga yang dibina syarikat dengan kos RM1.2 bilion -- yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lepas.

Inai Kenanga, yang merupakan kapal korek terbesar negara dan Asia dan ketiga terbesar di dunia, ialah kapal yang mempunyai kapasiti pelayaran sepenuhnya, yang digunakan untuk mengekalkan saluran pengemudian ataupun untuk mendalamkan terusan maritim yang berkelodak.

Pembinaan kapal korek itu bermula pada pertengahan 2010 dengan acara peletakannya diadakan di limbungan kapal Inai Kiara yang dikendalikan oleh unitnya, Selat Melaka Shipbuilding Corp Sdn Bhd, di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Sementara itu, ditubuhkan pada 1997, Inai Kiara terlibat dalam pengorekan penebusgunaan dan industri berkaitan marin dan mula membina kapal koreknya sendiri pada 2010.

Berita lanjut: BERNAMA

MyCeb Perkenalkan Program Bantu Persatuan

20 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Ogos, 2013- Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) telah melancarkan program pembangunan persatuan (ADP) untuk menyokong pembangunan persatuan tempatan dan potensi mereka untuk menjadi tuan rumah konvensyen antarabangsa di Malaysia.

Dalam satu kenyataan Isnin, MyCEB berkata di bawah ADP, ahli-ahli layak untuk rangkaian meluas inisiatif strategik yang diusahakan oleh biro itu.

"Usaha-usaha ini termasuklah seminar pengurusan seminar, seminar perancangan persidangan, sokongan bida (kewangan dan bukan kewangan) dan penglibatan antarabangsa," katanya.

Ketua pegawai eksekutif Zulkefli Sharif berkata MyCEB sentiasa berhubungan dengan persatuan tempatan dan terus memaklumkan kepentingan dan manfaat membawa persidangan antarabangsa ke Malaysia.

MyCEB, pertubuhan bukan keuntungan, ditubuhkan pada 2009 oleh Kementerian Pelancongan Malaysia bagi mengukuhkan lagi jenama pelancongan perniagaan Malaysia dan menempatkan diri untuk pasaran acara perniagaan antarabangsa.

Sumber: BERNAMA

Monday, August 26, 2013

Perodua Keluar Model Baharu Berharga Rendah Tahun Depan

19 Syawal 1434

RAWANG, 24 Ogos, 2013- Perodua akan mengeluar model baharu pada harga paling rendah dalam pasaran tempatan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pengeluaran model baharu itu kelak akan membolehkan pengguna memiliki kereta mampu milik canggih serta dilengkapi ciri keselamatan yang diperkukuh.

Najib berkata Perodua telah membuat pelaburan mencecah RM1.3 bilion untuk kilang baharunya yang bakal siap Oktober tahun depan, dengan tahap kecanggihan yang tinggi, sekali gus dapat mengeluarkan model baharu yang lebih kompetitif.

"Saya harap melalui kilang ini, Perodua dapat mengeksport lebih banyak lagi unitnya, terutama ke negara jiran.

"Perodua kini mengeksport 10,000 unit setahun, dan saya harap jumlah ini dapat ditingkatkan lagi, katanya ketika berucap pada majlis sambutan Gala Raya Perodua sempena ulang tahun ke-20, di sini Sabtu.

Najib berkata strategi Perodua selanjutnya ialah mengekalkan kelebihan pasarannya iaitu mengeluarkan kereta kompak berkualiti serta mencari jalan untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos pembinaan kereta.

Pada masa ini, ekosistem Perodua yang terdiri daripada vendor-vendor dan rangkaian pengedar di seluruh negara, melebihi 130,000, katanya.

"Dengan mengambil kira ekosistem yang besar ini, sudah tentu kejayaan Perodua akan memberi kesan kepada bukan sahaja 130,000 rakyat Malaysia terbabit, malah pengguna di negara kita akan mendapat kesan menerusi kejayaan Perodua," kata Najib.

Berita lanjut: BERNAMA

Mydin Lancar Pasar Raya Jenama Baharu

19 Syawal 1434

GEORGE TOWN, 23 Ogos , 2013- Mydin Mohamed Holdings Bhd, yang mencapai RM2.5 bilion dalam jualan pada tahun kewangan berakhir Mac 2013, sedang sibuk melancarkan pasar raya jenama baharu untuk golongan berpendapatan sederhana.

Pengarah eksekutifnya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata kumpulan itu telah mengenal pasti dua lokasi untuk jenama pasar raya baharu di Lembah Kelang, yang akan menawarkan keperluan asas dan barangan mampu milik.

Beliau, bagaimanapun, menolak untuk menamakan lokasinya kerana perbincangan dengan pemaju masih berjalan, sambil menambah bahawa nama pasar raya jenama baru itu masih belum dimuktamadkan.

"Jenama baharu itu adalah untuk kumpulan berpendapatan sederhana yang merupakan kumpulan yang besar di Malaysia. Kira-kira 70 peratus daripada populasi adalah golongan itu menjelang 2020.

"Jika kita tidak membuka satu pasar raya untuk golongan ini, kita akan ketinggalan," kata Ameer Ali kepada pemberita pada Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia ke-10 di sini Jumaat.

Jenama itu akan menjadi jenama ketiga syarikat itu selepas Mydin Wholesale, yang menumpukan kepada golongan berpendapatan rendah hingga sederhana dan SAM's Groceria, pasar raya premiumnya.

Ameer Ali berkata syarikat itu akan melabur antara RM6 juta dan RM8 juta untuk pasar raya itu.

Berita lanjut: BERNAMA

NBPOL Dapatkan Nasihat Perundangan Babitkan Pengambilalihan Sahamnya Oleh Kulim

19 Syawal 1434

SINGAPURA, 23 Ogos, 2013- New Britain Palm Oil Ltd, antara pengeluar minyak sawit mampan bersepadu terbesar di dunia, kini mendapatkan khidmat penasihat undang-undangnya berikutan perintah daripada Suruhanjaya Sekuriti Papua New Guinea (PNG) yang menghalang pengambilalihan saham seterusnya oleh Kulim (Malaysia) Bhd.

Dalam satu kenyataan, NBPOL berkata ia akan membuat pembentangan kepada Suruhanjaya, jika perlu, bagi melindungi kepentingan pemegang saham, dan semua permohonan mesti dibuat sebelum penutupan perniagaan di PNG pada Rabu, 28 Ogos, 2013.

Antara sebab yang dimuatkan dalam surat yang diedarkan oleh suruhanjaya itu kepada Bursa Saham Port Moresby dan Bursa Saham London, meliputi fakta bahawa Kulim dihalang daripada, atau melakukan, bertindak untuk maksud mendapatkan saham NBPOL atau kepentingan atau hak berkaitan saham, dan daripada mengambil tindakan untuk memuktamadkan pengambilalihan saham-saham berkenaan.

Kulim juga dihalang daripada menyiarkan usaha pengambilalihan separanya atau tawaran pengambilalihan atau menawarkan, di mana-mana media cetak, media elektronik, televisyen atau media lain, termasuk media sosial.

Ia juga dihalang daripada menjalankan apa-apa hak untuk mengundi bagi saham NBPOL yang sudah dimilikinya serta sebarang tindakan yang mungkin secara munasabahnya melanggar Kod Pengambilalihan itu.

PNG Registry Ltd dihalang untuk mendaftar dan memindahkan sebarang saham dalam NBPOL dari mana-mana pemegang saham Kulim. Perintah itu berakhir pada 10 Sept, 2013.

NBPOL berkata ia akan terus mengemas kini maklumat kepada pemegang saham mengenai perkembangan berkaitan tawaran itu.

NBPOL ialah pengeluar bersepadu minyak sawit mampan berskala besar di Australasia, beribu pejabat di Papua New Guinea (PNG).

Berita lanjut: BERNAMA

Sektor Perkhidmatan Dan Perkilangan Dapat Rangsangan Daripada Projek Permulaan

19 Syawal 1434

KLANG, 23 Ogos, 2013- Dengan rangsangan daripada projek-projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin untuk menarik pelaburan bernilai RM60 bilion dan RM48 bilion masing-masing bagi sektor perkhidmatan dan perkilangan tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Datuk Phang Ah Tong, berkata bagi suku pertama 2013, Malaysia mencatatkan pelaburan keseluruhan yang diluluskan berjumlah RM49.3 bilion.

Bercakap kepada pemberita pada seminar Inisiatif Pelaburan Langsung Domestik di sini Jumaat, beliau berkata ini merupakan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding RM34.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2012.

"Ia mencerminkan keberdayasaingan negara sebagai lokasi pilihan bagi pelaburan di rantau ini.

"Sektor perkhidmatan menyumbang agihan terbesar pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi dengan jumlah RM22.3 bilion (45.2 peratus), diikuti oleh sektor utama sebanyak RM15.3 bilion (31 peratus) dan sektor perkilangan sebanyak RM11.7 bilion (23.8 peratus)," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

Thursday, August 22, 2013

MASkargo: Dua Tan Durian Segar Dihantar Ke Sydney

15 Syawal 1434

SEPANG, 19 Ogos, 2013- MASkargo Isnin menerbangkan dua tan durian dingin segar ke Sydney, Australia, bagi menembusi pasaran baharu dan pada masa yang sama mengenai pasti keberkesanan, kesegaran teknologi pembungkusan, termasuk penerimaan dan sambutan ramai.

Ketua Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Latifah Mohd Noor berkata durian dingin segar (diproses secara minimum atau sedia dimakan) yang dibungkus khas menggunakan teknologi baharu itu akan dijual di empat pasar raya di Sydney.

"Durian dingin segar ini berbeza daripada durian segar sejuk atau durian sejuk beku selain harganya juga lebih murah. Oleh itu, sebelum kami meneruskan eksport untuk peringkat seterusnya, kami perlu mengenal pasti kesegaran, rasa dan penerimaan di Sydney," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata durian segar itu boleh bertahan selama tiga minggu dan rasanya sama seperti durian baharu.

Menurutnya pada masa ini Malaysia mengeksport durian sejuk ke Hong Kong dan dan durian sejuk beku ke China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo Sdn Bhd Mohd Yunus Idris berkata durian dingin segar itu akan disimpan pada tahap suhu yang diperlukan bagi memastikan kesegarannya untuk pengguna.

"Perkhidmatan rangkaian sejuk MASkargo menjanjikan penghantaran sensitif suhu akan dipantau rapi bagi memastikan suhu optimum sepanjang perjalanan, daripada memunggah hingga penghantaran.

"Buah durian yang merupakan barangan mudah rosak, dikategorikan penghantaran sensitif suhu, sekali gus memerlukan pengendalian khusus dengan pemantauan rapi dan akan diangkut menggunakan kontena Envirotainer," katanya.

Beliau berkata mulai Januari hingga Jun, MASkargo juga mengendalikan kira-kira 23 tan Durian (durian segar sejuk dan durian sejuk beku) bagi menyokong industri pertanian tempatan selain menggerakkan jualan durian di peringkat antarabangsa.

Berita lanjut: BERNAMA

Tiada Kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang Di KLIA2

15 Syawal 1434

SEPANG, 19 Ogos, 2013- Caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2 adalah sama dengan kos di terminal penerbangan tambang rendah (LCCT), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata ia tidak akan membebankan penumpang memandangkan kos itu akan ditanggung oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Tiada peningkatan. Anda bayangkan perkhidmatan di LCCT yang mereka hadapi pada masa ini, mereka akan mendapat lapangan terbang baharu pada fi lapangan terbang yang sama.

"Ia tidak membebankan penumpang. MAHB akan menanggung kos memandangkan MAHB merupakan syarikat yang mengurus terminal ini, dan bagi pembiayaan, MAHB memperolehnya menerusi bon Sukuk dan mereka memperolehnya secara persendirian, tanpa jaminan kerajaan," katanya.

Aziz berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ketiga pasukan petugas khas KLIA2 di sini isnin.

PSC semasa di LCCT ialah RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 untuk penumpang domestik.

Aziz yang mengetuai pasukan petugas KLIA2 itu berkata pembinaan lapangan terbang kini 92 peratus siap dan bangunan terminal 96 peratus siap, dengan 20 pakej utama sudah selesai.

 Ia meliputi sistem penyejukan, trek ERL, laluan pesawat yang menghubungkan Landasan 2 ke KLIA2, kawalan trafik udara (ATC), menara, pemasangan peralatan ATC, jejantas ke terminal, apron parkir pesawat, serta semua kerja-kerja perparitan dan utiliti utama yang berkaitan.

Berita lanjut: BERNAMA

TNB Imbangi Penjanaan Antara Gas, Arang Batu

15 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 19 Ogos, 2013- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyasar untuk mengimbangi kebergantungan bahan mentah bagi penjanaan elektrik kepada 50:50 antara gas dan arang batu menjelang akhir 2018 daripada 70:30 sekarang ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Azman Mohd berkata imbangan sumber elektrik itu akan memberi pilihan lebih mudah kepada TNB sekiranya satu daripada harga bahan mentah berkenaan naik pada masa depan.

"Kami tidak mahu bergantung lebih daripada satu pilihan dan kurang daripada yang satu lagi. Adalah lebih mudah bagi kami mengalihkan pilihan bahan mentah jika kepelbagaian kami pada paras seimbang.

"Sasaran kami ialah untuk memberikan bekalan elektrik pada kos yang paling cekap.

"Jadi kami akan pilih bahan mentah yang dilihat lebih murah tetapi dapat memberikan jaminan bekalan," kata beliau kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya TNB di sini Isnin.

Beliau berkata kebergantungan terhadap hanya satu bahan api sahaja akan mendatangkan risiko yang amat tinggi kepada syarikat utiliti nasional itu sekiranya berlaku kenaikan harga bahan api tersebut.

Semua projek-projek baharu TNB kini, 3A dan 3B, adalah berasaskan arang batu dan bukan gas.

"Projek 3A kami bertempat di JanaManjung manakala tapak bagi pembangunan projek 3B TNB yang masih dalam fasa pembidaan.

"Kami menyasarkan imbangan 50:50 bagi kebergantungan bahan mentah dengan perlaksanaan projek 3B kami yang dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2018 atau awal 2019," katanya.

Sementara itu, mengenai pelarasan tarif, Azman berkata ia tidak akan memberi kesan yang besar dari segi kenaikan harga kepada pengguna domestik.

Berita lanjut: BERNAMA

Bank Islam Sasar 150 Cawangan Menjelang 2015

15 Syawal 1434

KOTA BAHARU, 19 Ogos, 2013- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan memiliki 150 cawangan di seluruh negara menjelang 2015 berbanding 131 cawangan sekarang.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Zukri Samat berkata bank tersebut akan membuka lima cawangan baharu sebelum akhir tahun ini, masing-masing di Kota Baharu di sini, Sungai Petani, Kedah; Senawang, Negeri Sembilan; KL Sentral dan Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur.

 "Pembukaan setiap cawangan baharu itu menelan belanja sebanyak RM1 juta dan kami akan memastikan mendapat pulangan modal dalam tempoh 18 bulan mulai tarikh ia mula beroperasi," katanya.

Berita lanjut: BERNAMA 

Malaysia Airlines Tidak Akan Diswastakan- Najib

15 Syawal 1434

PUTRAJAYA, 19 Ogos, 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System Bhd (MAS), tidak akan diswastakan.

"MAS tidak akan diswastakan kerana pelan pemulihan syarikat penerbangan terbabit menunjukkan jumlah kerugiannya semakin menguncup," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbendaharaan 2013 hari ini, berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Dr Mahathir berkata penswastaan merupakan salah satu langkah bagi mengatasi kerugian yang dialami syarikat penerbangan itu, terutama setelah beberapa kali melalui pelan pemulihan.

Najib berkata MAS yang merupakan syarikat awam dan dikuasai Khazanah, beroperasi seperti sebuah badan komersial dan mematuhi prinsip urus tadbir yang baik.

"Walaupun MAS mengalami kerugian, namun pelan pemulihannya sudah pun menampakkan hasil, dan trendnya menunjukkan jumlah kerugian yang berkurangan," katanya.

"Jadi dengan trend yang menggalakkan ini, maka kita akan memantau perjalanan MAS supaya kedudukan kewangan dan pencapaian MAS bertambah baik lagi berasaskan pelan pemulihan dan langkah-langkah yang kita boleh ambil," kata Najib.

Perdana Menteri berkata pelan pemulihan ini akan dilakukan secara berterusan, dan berdasarkan kedudukan kewangan syarikat yang semakin baik, beliau berharap MAS akan menjadi syarikat yang mencapai keuntungan.

"Kita juga harus ambil kira industri penerbangan kini yang begitu kompetitif, dan masalah pencapaian dan kekurangan MAS bukan hanya dialami syarikat terbabit.

"Malah, semua syarikat penerbangan di dunia menghadapi persaingan dan struktur ekonomi yang kompetitif," katanya sambil menambah kerajaan tidak menetapkan tempoh pemulihan MAS, namun mereka akan sentiasa memantau agar pemulihan akan berlaku tidak lama lagi.

Berita lanjut: BERNAMA

Saturday, August 17, 2013

Ahli Perniagaan Malaysia Lebih Gemar Bermesyuarat di Rumah Urut?

10 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Ogos, 2013- Komuniti perniagaan Malaysia tidak mengenal batas dalam memilih tempat untuk bermesyuarat seperti di tapak pembinaan, ladang, rumah urut dan bahkan di bawah pokok, menurut kajian terbaharu Regus mengenai pilihan paling pelik untuk lokasi mesyuarat perniagaan di Malaysia.

Antara 10 tempat mesyuarat paling pelik di Malaysia adalah tapak perkhemahan, sebuah pusat menyelam, ladang kelapa sawit dan sebuah tapak pelupusan sampah.

"Sungguhpun kini adalah agak luar biasa untuk tidak mendapati sekurang-kurangnya satu mesyuarat sedang berlangsung di sebuah kedai kopi, tugas yang fleksibel bagi eksekutif Malaysia merupakan satu pengalaman berani," kata John Henderson, pengarah Regus Regional untuk APAC dalam satu kenyataan.

Lebih 26,000 responden dari lebih 90 negara ditanya tentang tempat yang paling pelik sebagai lokasi mesyuarat mereka, dengan tempat paling aneh termasuk sebuah biara, sebuah terowong kereta api lama, tapak semaian dan ladang ulat.

Berita lanjut: BERNAMA

Untung Pracukai Suku Pertama Pos Malaysia Naik Kepada RM 64.34 Juta

10 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Ogos, 2013- Untung pracukai Pos Malaysia Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2013 meningkat kepada RM64.34 juta daripada RM52.40 juta pada suku yang sama 2012.

Perolehan naik kepada RM355.82 juta daripada RM311.32 juta sebelum ini.


Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Pos Malaysia berkata keputusan yang lebih baik adalah berikutan transaksi belian dalam talian yang lebih tinggi dan masa kaunter yang dilanjutkan di beberapa pusat PosLaju di Lembah Kelang.

Berita lanjut: BERNAMA

HSBC Amanah Lancar Promosi Merdeka-raya

10 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Ogos , 2013 - HSBC Amanah Malaysia Bhd (HSBC Amanah) menawarkan kadar keuntungan istimewa sebanyak lima peratus setahun bagi penempatan baharu Term Deposit-i dalam Ringgit Malaysia atau Mata Wang Asing Terpilih kepada pelanggan baharu dan sedia adanya.

Kempen HSBC Amanah Premier Merdeka-Raya Term Deposit-i dibuka kepada pelanggan utama dengan jumlah baki hubungan bank semasa sebanyak RM200,000, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.


Pelanggan harus sebelum itu melabur dalam produk mematuhi syariah antara RM100,000 hingga RM250,000. Tempoh pegangan ditetapkan pada tiga bulan.

HSBC Amanah kini turut mengadakan Promosi Mata Wang Asing yang dibuka kepada pelanggan utama baharu dan sedia ada.

Berita lanjut: BERNAMA

MME Jangka Raih RM82.5 Juta Daripada Penganjuran Acara Utama

10 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Ogos , 2013 - Malaysia Major Events (MME) menjangka meraih RM82.5 juta daripada penganjuran acara-acara utama bulan ini dan berharap dapat mengukuhkan lagi negara sebagai hab acara utama di rantau ini.

Antara aktiviti yang dijadualkan ialah Viper Challenge (17-18 Ogos) diikuti festival muzik tempatan Good Vibes Festival (17 Ogos), konsert pemuzik antarabangsa Linkin Park (19 Ogos), Metallica (21 Ogos) dan George Benson (28 Ogos), semuanya pada bulan ini.

Semua acara itu dijangka mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia dan juga pelancong antarabangsa, kata MME dalam satu kenyataan hari ini.

"Kira-kira 14,700 pelancong dijangka menyertai 67,100 penduduk tempatan menikmati persembahan menarik ini sepanjang Ogos. Acara-acara utama ini dijangka menjana kesan ekonomi yang baik kepada negara.

Berita lanjut: BERNAMA

Friday, August 16, 2013

Pica Dan BSN Beli Uni.Asia Life Assurance Pada RM518 Juta

9 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Ogos, 2013- Prudential Insurance Company of America (PICA) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) membeli Uni.Asia Life Assurance Bhd daripada Uni.Asia Capital Sdn Bhd pada RM518 juta.

PICA merupakan unit Prudential Financial, Inc (PFI), syarikat yang menjalankan perniagaan sebagai Pramerica di negara tertentu di luar Amerika Syarikat.

Uni.Asia Capital merupakan syarikat usaha sama, dengan masing-masing 51 peratus dan 49 peratus milik anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd, Gadek (Malaysia) Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

"Malaysia merupakan pasaran sangat menarik, dengan adanya potensi untuk pertumbuhan jangka panjang, tahap penyertaan insurans yang rendah dalam kalangan masyarakat dengan pengawalseliaan insurans yang baik," kata Timothy Feige, Naib Presiden Kanan dan Eksekutif Kumpulan Antarabangsa PFI, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata urus niaga berkenaan sejajar dengan strategi syarikat untuk membina kejayaan di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan serta meluaskan jejak dalam pertumbuhan pasaran Asia melalui pejabat serantau di Singapura.

PICA dan BSN mengemukakan permohonan untuk kelulusan urus niaga kepada Bank Negara Malaysia hari ini.

Melalui usaha sama yang baru dibentuk, PICA akan memegang 70 peratus dalam Uni.Asia Life Assurance, manakala baki 30 peratus oleh BSN.

Cadangan pengambialihan itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Berita lanjut: BERNAMA

Malaysia Tidak Terikat Dengan Tempoh Masa Ditetapkan Bagi TPPA, Kata Kabinet

9 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 15 Ogos, 2013- Malaysia tidak akan terikat dengan sebarang tempoh masa yang ditetapkan berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pada satu mesyuarat khas yang diadakan Khamis, Kabinet mengambil pendirian ini kerana sejumlah besar isu, termasuk perusahaan milik negeri (SOE) atau syarikat berkaitan kerajaan, buruh dan Hak Harta Intelektual (IPR), masih belum diselesaikan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata dalam satu kenyataan, ia memaklumkan Kabinet bahawa perbincangan dengan semua pemegang kepentingan akan dipertingkatkan lagi sebelum memuktamadkan perundingan TPPA.

Miti ketika ini sedang berbincang dengan pelbagai pemegang kepentingan tentang format dan rangka kerja rundingan seterusnya.

Kabinet sangat menyokong ketelusan yang lebih tinggi dalam proses rundingan itu.

Berita lanjut:: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...