Bursa Malaysia

top_rightads

Sunday, May 29, 2011

Tarif Elektrik : Rasionalisasikan Sektor Industri Terlebih Dahulu

Kerajaan sehingga kini belum mengumumkan rasionalisasikan subsidi tariff elektrik kepada rakyat Malaysia. Secara umumnya saya berpendapat sudah tiba masanya proses rasionalisasi dilihat dari sudut segmentasi dan bukannya dibuat secara pukul sama rata. Kajian perlu dibuat siapakah yang sebenarnya menggunakan dan mendapat manfaat terbesar tariff subsidi elektrik ini. Adakah rakyat biasa atau golongan pelabur dan peniaga-peniaga atau pemain industri. Harus diingat bahawa, bagi golongan peniaga ini, matlamatnya tidak lain ialah untuk memaksimakan keuntungan mereka. Sudah tentu tuntutan demi tuntutan akan dilakukan kepada kerajaan agar mereka terus mencapai matlamat mereka yang bersifat tamak haloba dengan apa jua cara sekalipun.
Ada juga berpendapat bahawa mereka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi persoalan yang perlu diutarakan kepada mereka, adakah mereka menggaji pekerja tempatan ataupun pekerja asing? Jika pembuat polisi berjalan-jalan dikawasan perindustrian, rata-rata mereka akan mendapati bahawa mereka seolah-olah akan berada di luar negara Malaysia. Keadaan ini berlaku atas sebab sifat tamak haloba suatu golongan peniaga yang sering membuat tuntutan kepada kerajaan dan tidak pernah dan tidak akan bersyukur. Sikap mereka seringkali  dilihat seperti  diberi betis hendakkan peha pula.
Sudah tiba masanya kerajaan melihat dari sudut ini agar kek kekayaan negara dapat diagihkan bagai meletakkan sesuatu pada tempatnya dan bukannya dibuat secara melepaskan batuk ditangga.
@MyIktisad

Wednesday, May 25, 2011

RON 95-Terima Kasih Kerajaan

Tiada kenaikan harga bagi RON 95, Diesel dan LPG buat masa kini. Ini yang telah dilaporkan oleh Bernama  sebentar tadi.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri membuat kenyataan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam semasa mesyuarat kabinet hari ini.
Ini secara tidak langsung memberikan nafas lega seketika bagi golongan yang masih bergantung kepada pemberian subsidi oleh kerajaan. Namun sebagai rakyat yang perihatin, kita berharap lebih banyak cadangan yang boleh kita berkongsi bersama dengan pihak kerajaan agar pengagihan kekayaan negara dapat diagihkan dengan lebih cekap.
Antara cadangan yang oleh dipertimbangkan ialah:
1.   Kerajaan perlu merasionalisasikan perbelanjaan modal dalam sector awam dimana pembelian kenderaan buatan tempatan perlu diutamakan untuk tujuan rasmi.
2.   Subsidi kepada Pengeluar Tenaga Bebas (Independent Power Supply-IPP ) perlu dirasionalisasikan terlebih dahulu sebelum program rasionalisasi diperluaskan kepada golongan awam.Ini kerana kita dapati bahawa majority IPP di Malaysia mengaut keuntungan yang berlebihan dan ada diantaranya telah dinyahsenaraikan kerana pemilik utama enggan berkongsi untung dengan pihak pelabur awam.
3.   Menjalankan kempen mengurangkan penggunaan petrol. Majikan digalakkan mengaplikasikan skim bekerja dari rumah yang mana ianya bakal mengurangkan perbelanjaan pengangkutan.
4.   Menghentikan kebocoran hasil kerajaan. Penguatkuasaan perlu diperkasakan agar jumlah dagangan yang tidak dapat dicukai dapat dibendung.
5.   Barangan bersubsidi hanya diperuntukkan kepada warga Negara Malaysia sahaja.
6.   Mempercepatkan pengeluaran kenderaan berasaskan elektrik.
7.   Memberi subsidi kepada penggunaan solar di rumah persendirian. Jika perlu, kilang pengeluaran panel solar perlu ditubuhkan oleh syarikat berkaitan kerajaan.
8.   Pembaharuan dari segi prasarana pelajaran. Banyakkan proses pembelajaran dan sumber ilmu dalam bentuk elektronik, seperti e-book, e-library yang mana ianya bakal mengurangkan kos dari segi pembinaan bangunan baru.
9.   Meningkatkan pengeluaran hasil petroleum negara untuk dieksport pada ketika harga minyak sedang tinggi, dan membeli semula  minyak sebagai stok penimbal apabila harga minyak dalam keadaan rendah. Pilihan ini , saya yakin perlu dan boleh diberi perhatian yang sewajarnya.
10.  Dan lain-lain lagi
Dengan itu, kita berharap agar  lebih ramai golongan rakyat bersuara memberi cadangan/kritikan yang membina dan tidak hanya pandai merungut dan mengkritik sahaja. Diharapkan keputusan kerajaan setakat ini tidak menghentikan kita daripada memikirkan langkah-langkah  yang boleh dicadangkan serta didesak untuk diperhalusi oleh pihak yang berkaitan.
@MyIktisad

Saturday, May 21, 2011

Rakyat Perlu Dilihat Sebagai Pelanggan


Bernama semalam telah melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin bahawa rakyat haruslah bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan jumlah subsidi yang semakin meningkat dari RM 10.3 bilion tahun lepas kepada RM 20.58 bilion tahun ini. Sementara itu Utusan Malaysia pula melaporkan bahawa  kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kadar inflasi dan beban rakyat semasa melalukan kajian rasionalisasi subsidi. Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi hasil petroleum sebanyak RM 18 bilion pada tahun ini berbanding RM 8 bilion tahun lalu, sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi sekitar AS$100 setong.
Namun secara peribadi saya berpendapat jika kita berpaksi kepada slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kenyataan diatas perlu diubah kepada “Kerajaan akan bersama rakyat dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga petroleum dan kenaikan harga barang”. Saya yakin dan percaya sudah sampai masanya rakyat dilayan sebagai pelanggan terhadap khidmat  yang dihulurkan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh mereka.
Kita akui masalah semasa yang kini dihadapi termasuklah krisis kenaikan harga komoditi dunia.Ianya bakal meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan sumber kewangan semasa yang ada. Namun kita berharap isu seperti kebocoran hasil cukai yang dilaporkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini dapat ditangani dengan baik agar ianya dapat menampung perbelanjaan kerajaan yang semakin meningkat.Isu merasionalisasikan subsidi diharap akan menjadi pilihan yang paling akhir dalam menyelesaikan masalah. Namun, kita juga perlu akui bahawa para pemimpin negara sebelum ini telah melalui krisis-krisis yang lebih getir termasuklah krisis matawang yang pernah melanda pada sekitar hujung 90 an. Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita, krisis berkenaan dapat ditangani dengan baik dan menguntungkan semua pihak.
Krisis semasa seperti ini menuntut penyelesaian secara kreatif dan inovatif bagi memastikan semua pihak yang berkenaan mendapat manfaatnya.Berita mengenai kajian rasionalisasi ini secara tidak langsung mula meresahkan rakyat.Jika kita membaca blog-blog peribadi,  rata-rata mula meluahkan perasaan mereka tentang hal berkaitan kajian semula subsidi.Ada yang bermadah, ada yang berterus terang dan sebagainya. Ini secara tidak langsung boleh dijadikan panduan kepada kerajaan dalam mendapat maklum balas terhadap persepsi masyarakat terhadap isu berkenaan.

Tuesday, May 17, 2011

Memanfaatkan Inovasi Dan Kreativiti Dalam Mewujudkan Sumber Kekayaan Baru

Seringkali kita mendengar slogan pembudayaan inovasi dan kreativiti yang sering  digalalakkan untuk diamalkan di dalam apa jua bidang atau kehidupan seharian di media masa. Melalui kaedah yang lebih innovatif, setiap kesan yang diperolehi dipercayai bakal melonjakkan nilai tambah yang lebih signifikan jika dibandingkan dengan sumber-sumber terhad yang digunakan.

Ini amat penting bila mana sumber-sumber yang ada bagi tujuan pengeluaran barangan dan perkhidmatan pada akhir-akhir ini mengalami lonjakan harga yang berterusan. Sumber bahan mentah makanan semakin meningkat serta bahan api turut memberi tekanan kepada kenaikan kos buruh dan sara hidup. Senario yang berterusan sebegini amat mustahil untuk dielak kerana mana-mana negara, disebabkan kita sekarang berdagang pada peringkat antarabangsa di mana faktor luaran turun memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara.

Justeru itu, negara memerlukan pelbagai pilihan strategi untuk menyelesaikan masalah-masalah ekonomi.Masalah ekonomi yang semakin komplek memerlukan idea-idea yang lebih kreatif untuk penyelesaian di semua peringkat sama ada dari sudut individu, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.Inisiatif Broadband Kebangsaan yang diwujudkan oleh kerajaan adalah merupakan kemudahan pasarana mega yang telah diwujudkan bagi memaju budaya sebegini.

Dengan mempunyai jalur lebar lebih lebih lagi yang berkelajuan tinggi, rakyat mempunyai lebih peluang untuk mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber dari serata dunia termasuk dari negara-negara maju. Dengan itu kita boleh membuat perbandingan bagi setiap apa yang dilaksanakan di negara-negara yang lebih maju dari kita dan ianya mungkin dapat dicuba untuk diadaptasikan di sini.Ini sudah semestinya bakal memberi pelbagai manfaat bagi memperbaiki apa jua aktiviti yang dijalankan di negara ini (termasuk dalam perniagaan),seterusnya dapat meningkatkan nilai tambah dan mewujudkan sumber kekayaan baru kepada negara.

Namun begitu apa yang lebih penting, beberapa peraturan dan sifat protokol yang sudah ketinggalan zaman,yang masih terdapat di pelbagai organisasi perlu dirombak bagi membolehkan budaya kreatif dan inovasi terus berkembang. Ini kerana idea-idea tak semestinya datang semasa di waktu pejabat semata-mata. Ianya mungkin datang ketika mengadakan program "engagement" yang mungkin diadakan ketika diluar waktu kerja.

Oleh yang demikian, tuntutan keperluan sebegini perlu diberi perhatian agar pembudayaan pemikiran kreatif dan inovasi tidak hanya terhenti setakat selogan semata-mata. Ianya perlukan motivasi  yang kuat untuk diterjemahkan.

Tuesday, May 10, 2011

Gula Oh Gula: Sektor Pertanian Perlu Dirombak Secara Menyeluruh

Harga gula diumumkan dinaikkan lagi sebanyak 20 sen kepada RM 2.30 sekilogram bermula hari ini . Ini selaras dengan langkah merasionalisasikan harga runcit barangan berkenaan yang telah diputuskan oleh mesyuarat Majlis Ekonomi semalam seperti yang dilaporkan di Utusan Malaysia hari ini. Langkah ini dipercayai oleh pembuat dasar sebagai strategi langkah panjang untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat dan bakal dapat menjimatkan sebanyak RM 116.6 juta setahun.

Alasan lain ialah kerana implikasi daripada pengambilan gula akan menyebabkan pelbagai penyakit kepada rakyat. Ini akan membebankan dari segi kos bagi merawat pesakit dan kenaikan ini dapat mengubah gaya hidup orang ramai. Namun sebagai kesinambungan artikel sebelum ini, sebenarnya banyak lagi inisiatif yang boleh menjadi pilihan oleh pembuat dasar untuk penjimatan. Sebagai contoh, harga gula yang disubsidi sepatutnya hanya perlu dijual kepada warga negara sahaja.

Isu penyakit.. ,tak sekuat mana untuk dibahaskan untuk menjustifikasikan kenaikan harga. Kita juga boleh buat kenyataan bahawa, pengambilan makanan berlemak seperti santan kelapa, masakan berminyak, makan berlebihan, kurang bersenam, tekanan di tempat kerja , kesesakan jalan raya juga menyebabkan rakyat "stress" dan mengakibatkan kematian mengejut akibat serangan jantung. Ini juga menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Saya lebih percaya, kenaikan ini disebabkan kenaikan harga makanan dunia, di mana kita bergantung kepada import barangan keperluan dari negara luar. Untuk mengatasi masalah ini, sektor pertanian bagi barangan keperluan utama perlu dirombak dan diberi nafas baru. Kawasan baru bagi penanaman padi dan tebu perlu dibuka secara berperingkat agar ianya dapat menampung permintaan dalam jangka masa yang panjang. Kalau kita sudah mempunyai Lembaga Penyelidikan Minyak Sawit, getah dan sebagainya, kenapa tidak kita mempunyai badan penyelidikan bagi tanaman tebu?

Pekebun-pekebun kecil bakal mendapat bantuan jika ada badan seperti ini dan ekosistem bagi tanaman ini perlu diwujudkan dari mula proses menanam hingga kepada pengeluaran gula.Jika sekarang, kita sudah ada para pekebun kecil getah dan kelapa sawit, kenapa kita tidak mempunyai pekebun kecil tebu?

Kita berharap agar pembuat dasar akan menimbangkan pilihan seperti ini. Tindakan menaikkan harga seolah - olah merupakan jalan mudah untuk menyelesaikan masalah, tetapi bakal mengundang masalah yang lebih besar kepada pemimpin negara dalam mengekang inflasi, implikasi politik dan sebagainya. Sudah sampai masanya pemikir yang ditugaskan oleh kerajaan untuk merangka strategi mula mengamalkan konsep membudayakan pemikiran kreatif , motivasi dan inovasi dalam menyelesaikan masalah negara. Insyaallah, ada jalannya...

Saturday, May 7, 2011

TM Memperkenalkan Perkhidmatan SMS 62100 Sebagai Alternatif Baru Untuk Mendekati Pelanggan

Bermula 1 Mei 2011, TM telah memperkenalkan perkhidmatan SMS 62100, yang merupakan saluran baru bagi pelanggan menghubungi TM.Difahamkan pada masa kini, bilangan pengguna Broadband TM dianggarkan berjumlah melebihi 1.6 juta orang manakala pengguna talian tetap pula melebihi 4.3 juta. Perkhidmatan baru ini adalah salah satu daripada inisiatif  TM yang sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan saluran bagi memastikan pelanggan dapat menghubungi  Pusat Khidmat Pelanggan mereka dengan mudah.
Terdapat 15  senarai perkhidmatan yang boleh dibuat melalui SMS dan maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman web TM di www.tm.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan SMS 62100 atau taip HELP dan hantar ke 62100.
Perkhidmatan SMS 62100 ini  merupakan sebagai pelengkap bagi platform, Pusat Khidmat Pelanggan TM yang lain seperti  Pusat Khidmat pelanggan (100), laman web TM (www.tm.com.my) dan e-mel (help@tm.com.my).


Sumber: TM

Liabiliti Di Dalam Perniagaan


Liabiliti di dalam perniagaan ataupun perakaunan dan kewangan  ditakrifkan sebagai kewajipan dari suatu entiti yang timbul dari  urusniaga atau peristiwa masa lalu, yang menuntut penyelesaian di mana ianya  boleh menyebabkan alihan atau penggunaan aset, penyediaan perkhidmatan atau yang lain yang menghasilkan manfaat ekonomi di masa depan. Dengan bahasa mudah , ianya adalah merupakan tanggungan atau hutang yang perlu dijelaskan kepada pihak yang memberikan pembiayaan.

Ciri-ciri Liabiliti

Liabiliti boleh diperincikan melalui ciri-ciri sebagai berikut:
  • Suatu tugas atau tanggung jawab kepada orang lain yang memerlukan penyelesaian melalui pindahan pada masa depan atau penggunaan aset, penyediaan perkhidmatan, atau ;
  • Setiap jenis pinjaman dari individu  atau institusi kewangan  untuk meningkatkan sumber perniagaan atau pendapatan peribadi yang dibayar sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang;
  • Transaksi yang wujud dari sumber lain yang menghasilkan faedah ekonomi, pada tarikh yang ditentukan atau telah ditentukan, pada terjadinya peristiwa tertentu, atau pada permintaan;
  • Sebuah tugas atau tanggung jawab yang melibatkan perlunya penyelesaian taggungan di antara suatu entiti dengan entiti yang lain;
  • Sebuah transaksi atau peristiwa yang telah menyebabkan tanggungan terhadap  entiti yang telah berlaku.

Kedudukan Liabiliti di Kunci Kira-Kira

Liabiliti  dilaporkan pada Kunci Kira-Kira  dan biasanya dibahagikan kepada dua kategori:

Liabiliti Semasa – Liabiliti yang mana kewujudannya dalam tempoh yang singkat iaitu kurang dari 1 tempoh perakaunan(selalunya dalam tempoh setahun). Contoh yang biasa ialah termasuk hutang seperti upah yang belum dijelaskan, akaun tunai, cukai jangka pendek yang masih belum dijelaskan, hutang piutang, pendapatan yang ditangguhkan pembayaran oleh pelanggan, bil-bil, hutang kepada pembekal dan sebagainya.


Liabiliti  Jangka Panjang – Liabiliti yang mana kewujudannya dalam tempoh yang panjang iaitu lebih dari 1 tempoh perakaunan. Contoh yang biasa termasuklah bon atau pinjaman jangka panjang yang dikeluarkan, hutang nota, sewa jangka panjang, dan sebagainya.

Monday, May 2, 2011

Bagaimana Subsidi Boleh Dikekalkan ?

Perkataan subsidi amat sinonim dikalangan masyarakat di negara ini. Banyak perbelanjaan-perbelanjaan atau kos-kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat amat perlu diberikan subsidi sehinggakan sampai satu ketika di waktu yang dahulu, mendapatkan seekor berukpun perlu diberikan subsidi untuk tujuan memanjat pokok kelapa. Namun begitu, cabaran semasa dunia menyebabkan kemudahan subsidi yang memberikan manfaat kepada rakyat semakin diancam untuk dihapuskan. Dengan secara tak langsung ,ini menyebabkan kestabilan politik disesetengah negara juga semakin terancam apabila kemudahan berkenaan dicadangkan untuk dihapuskan.

Bagi mana-mana pihak yang telah mendapat memanfaat sepenuhnya kemudahan itu sebelum ini dan yang telah mengecapi kejayaan dan kekayaan sekarang, adalah seringkali golongan ini dengan secara sinis dan lantang membuat kenyataan di media-media dengan menyatakan bahawa subsidi yang diberi bakal melemahkan rakyat.Namun begitu, bagi mereka yang masih terkial-kial mencari rentak dalam kehidupan, maka subsidi dilihat perkara yang amat penting bagi diri mereka bagi meneruskan kehidupan dalam keadaan yang lebih kondusif , di mana wang lebihan yang diperolehi dapat dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, keselesaan hidup dan sebagainya.Kedua-dua kenyataan itu mungkin betul, namun kita juga perlu ingat bahawa golongan yang memerlukan subsidi itu adalah lebih besar daripada yang tidak memerlukan.

Tapi sebenarnya, itu bukan isunya. Yang menjadi isu utama dalam hal subsidi ini ialah, kemudahan berkenaan secara terang dan nyata turut dinikmati oleh bukan warga negara kita seperti pekerja asing dan pelancong asing yang datang ke negara ini . Ini diburukkan lagi dengan kes penyeludupan dan penjualan komoditi tertentu kepada pihak yang tidak sewajarnya. Walaupun penguatkuasaan telah dijalankan seperti penjualan petrol yang menggunakan plat pendaftaran luar yang tidak dibenarkan dijual bagi petrol RON 95, tetapi apakah jaminannya bagi lebih sejuta orang warga kerja asing yang menggunakan motorsikal dan kereta berpendaftaran di Malaysia tidak membeli petrol berkenaan? Mereka juga membeli gula, tepung, beras yang disubsidikan oleh kerajaan. Maka secara tak langsung kekayaan negara juga dinikmati oleh mereka, bahkan mereka terus mendesak mendapat gaji lebih daripada RM 600 sebulan bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah,sedangkan mereka tidak perlu mencarum dalam KWSP atau mencarum dalam PERKESO.Lebih memeritkan, majikan terpaksa menanggung kos insuran perubatan terhadap mereka disebabkan bebanan Hospital kerajaan yang kini terpaksa menanggung bil mereka yang tertunggak. Lebih menghairankan lagi, jika bagi pekerja tempatan caruman berkenaan terpaksa ditanggung oleh para pekerja sendiri dengan gaji dipotong oleh PERKESO, tetapi bagi warga kerja asing bebanan kos berkenaan perlu ditanggung oleh majikan itu sendiri. Pilihan seperti ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan bahawa pekerja asing lebih mendapat layanan istimewa daripada pekerja tempatan.

Isu-isu seperti ini perlu difikirkan dan ditambah baikkan polisi sedia ada dari masa ke semasa. Ianya menuntut penyelesaian secara kreatif dan inovasi di dalam aspek perlaksanaannya.Antara idea-idea yang boleh difikirkan secara mendalam ialah :

1. Mengurangkan gejala rasuah. Bayangkan jika 1 juta pekerja tanpa izin masuk tanpa perlu membayar levi dengan anggaran RM 450 seorang dan oleh kerana disebabkan gejala rasuah, kerajaan mungkin  hilang sebanyak RM 450 juta ringgit hasil negara. Ini mungkin menguatkan lagi kenyataan yang telah dibuat bahawa kerajaan telah hilang hasil yang dianggarkan  sebanyak lebih daripada RM 100 billion setahun disebabkan gejala ini dikebanyakan sektor. Bayanglah bahawa kekayaan negara sebanyak RM 100 billion hanya dinikmati oleh segolongan yang terbabit yang telah lari daripada cukai.Dengan nilai sebanyak itu, kita yakin dan percaya bahawa kerajaan dapat mengurangkan cukai individu dan lebih ramai dapat menikmati kekayaan negara.Dengan mengurangkan cukai individu, ianya bakal meningkatkan kuasa beli dalam negara dan ianya bakal memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

2. Subsidi mesti diberikan kepada yang berhak sahaja iaitu kepada warga negara Malaysia sahaja. Bayangkan jika setiap warga asing , dengan anggaran sebanyak 2 juta orang sering berpeluang menggunakan RM 100 subsidi daripada pelbagai barang keperluan sebulan, maka kerajaan sudah tentu dapat menjimatkan sebanyak RM 200 juta sebulan atau RM 2.4 billion setahun.

3. Menggalakkan penggunaan tenaga solar. Kerajaan boleh memberi insentif percukaian kepada individu yang memasang panel solar dirumah-rumah dan sebarang tenaga lebihan yang dijana boleh dijual kepada TNB atau suatu entiti kerajaan yang boleh dibentuk untuk mengumpulkan tenaga dan memusatkan bekalan sebelum dijual semula.Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum. Panel solar perlu dikeluarkan di dalam negara bagi mengurangkan kos, sekiranya ianya memberi keberkesanan kos sekiranya  dikeluarkan di dalam negara.

4. Memperbaiki kemudahan pasarana jalan raya dengan membina jejantas dan jejambat bagi mengurangkan kesan daripada simpang-simpang yang memerlukan lampu isyarat yang boleh menyebabkan kesesakan jalan raya. Langkah ini juga dapat menjimatkan petrol serta dapat mengurangkan masa. oleh yang demikian, masa yang berkualiti  lebih dapat diluangkan bersama keluarga selepas bekerja.

5. Waktu kerja jam anjal perlu diwajibkan kepada semua majikan agar dapat menyelesaikan pelbagai masalah untuk ke tempat kerja. Pelanggan juga bakal memperolehi manfaat jika khidmat kaunter dapat dipanjangkan waktunya.

6. Memperbaiki kemudahan pengangkutan awam. Bilangan dan jaluran hubungan tren keretapi perlu diperluaskan seperti projek MRT yang sedang dirancangkan oleh pihak kerajaan sekarang.Bilangan tren juga perlu ditambah dan sebarang karenah birokrasi mendapatkan tren perlu dihapuskan. Jika perlu tren juga perlu dikeluarkan di dalam negara jika mempunyai keberkesanan kos pengeluaran di sini.

7. Pemberian lesen dan permit peredaran bahan keperluan seperti gula, tepung, bawang, perkhidmatan "Indepependent Power Supply-IPP",automotif dan sebagainya, perlulah diutamakan kepada koperasi, persatuan dan syarikat berkaitan kerajaan, berbanding individu agar agihan kekayaan disalurkan kepada pihak awam.

8. Dan banyak lagi yang boleh difikirkan.

Saya yakin dan percaya, jika sebahagian dari cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan, ianya bakal memberi impak positif kepada kehidupan kepada kebanyakan rakyat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...