Bursa Malaysia

top_rightads

Sunday, August 11, 2013

Takaful Ikhlas Berusaha Didik Pelanggan Melayu

4 Syawal 1434


KUALA LUMPUR, 8 Ogos, 2013- Takaful Ikhlas Sdn Bhd akan memberi tumpuan terhadap produk insurans takaful berkelompoknya dalam usaha untuk mendidik lebih ramai pelanggan Melayu mengenai kepentingan perlindungan takaful.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Latiff Abu Bakar berkata kadar penembusan takaful dalam pasaran Melayu di Malaysia hanya 12 peratus dan jumlah itu masih rendah dibandingkan dengan jumlah penduduk negara ini.

"Daripada 88 peratus pasaran Melayu untuk perlindungan insurans takaful yang masih belum ditembusi, kami menyasarkan sehingga 10 peratus untuk kami pada tahun hadapan, dipacu oleh produk-produk yang bakal dilancarkan dan produk berkelompok sedia ada kami.

"Kami juga menyasarkan pulangan sebanyak RM10 juta dalam masa lima tahun akan datang daripada produk berkelompok kami," katanya kepada Bernama.

Takaful Ikhlas juga yakin untuk meraih jualan sehingga RM2 juta berbanding RM1.5 juta yang dicatat tahun lalu didorong penambahan bilangan ejen sehingga 50 orang serta peningkatan aktiviti pemasaran.

Ab Latiff berkata industri, terutamanya Persatuan Takaful Malaysia harus memainkan peranan untuk mendidik sesetengah masyarakat yang berpendapat skim takaful dan konvensional tidak mempunyai sebarang perbezaan.

"Yang lainnya ialah produk itu sendiri dan cara kita sampai kepada masyarakat. Perniagaan perlu mencapai masyarakat, jadi produk-produk yang kita bawa haruslah berpatutan dari segi harga dan berkemampuan untuk kelompok masyarakat ini.

"Salah satu strategi kami di Takaful Ikhlas ialah kami mereka produk berkelompok yang berpatutan dan boleh dipasarkan untuk masyarakat sasaran, sama ada anggota koperasi, kesatuan atau persatuan-persatuan dan badan-badan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata kesedaran mengenai skim takaful ini akan menjadi "pembuka mata" kepada sumbangan produk berkelompok yang sangat rendah kepada syarikat buat masa ini.

"Seperti tiga produk yang kami lancarkan baru-baru ini, pada dasarnya untuk menarik pelanggan bukan Islam sebab penyertaan bukan Islam daripada jumlah pelanggan kami kini pada tujuh peratus daripada 1.7 juta pemegang polisi kami," katanya.

Ab Latiff berkata jumlah ejen bukan Islamnya setakat ini kira-kira 30 orang, termasuk ejen yang sedang menduduki peperiksaan kelayakan sebelum boleh menjalankan tugas.

"Kita sasarkan 100 pengedar bukan Islam menjelang akhir tahun kewangan (31 Mac, 2014) dan kami menyasarkan seramai 5,000 polisi baharu daripada pelanggan bukan Islam melalui ejen-ejen ini.

"Kita akan jelaskan kepada pelanggan bukan Islam bahawa produk berasaskan Islam ini baik bagi mereka kerana pelaburan amat stabil, kita tidak melabur dalam kaunter yang berisiko tinggi," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...