Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, January 31, 2013

Matlamat Negara Berpendapatan Tinggi Malaysia Realistik Dan Boleh Dicapai

19 Rabiulawal 1434

 KUALA LUMPUR, 30 Januari 2013- Malaysia tidak akan terperangkap dalam "sindrom berpendapatan sederhana" tetapi akan terus berkembang mencapai matlamat berpendapatan tingginya menjelang 2020, dirangsang oleh dasar ekonomi berasaskan pertumbuhan dan ekuiti yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini.

Penyelidik ekonomi terkemuka, Profesor Dr Erik S Reinert berkata ekonomi Malaysia telah begitu jauh dianggap "tersepit" di tengah-tengah, antara ekonomi berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah.

"Seperti yang saya lihat, Malaysia tidak tersepit di tengah. Ini semua idea yang datang dari Amerika Syarikat.

"Negara-negara yang berada di pertengahan tidak boleh bersaing dengan negara kos rendah seperti China dan India, ataupun ekonomi teknologi tinggi seperti Singapura dan Taiwan, tetapi sudah pastinya, Malaysia tidak bersaing dengan kesemua negara-negara ini," kata beliau.

Maklumat lanjut: BERNAMA

ETP Telah Menunjukkan Hasil Yang Kukuh

19 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2013- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah terdapatnya tanda-tanda yang Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah menunjukkan hasil yang kukuh sementara negara pula kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Para pelabur mengerumuni bursa tempatan, dirangsang oleh pencapaian kejayaan besar tawaran awam tahun lepas, kata beliau semasa pelancaran Four Seasons Place Kuala Lumpur di sini Rabu malam.

"Sejumlah US$7.3 bilion telah berjaya dikumpulkan dalam beberapa siri terbitan tawaran awam permulaan (IPO), termasuk yang ketiga terbesar dunia dan bursa saham kita mengakhiri tahun ini pada paras rekod tinggi baharu, melonjak lebih daripada 10 peratus pada tahun 2011," kata beliau.

Najib berkata program transformasi itu yang melibatkan perniagaan dan pelabur dari mula lagi, telah membantu mengenal pasti bidang-bidang ekonomi untuk diutamakan dan pembaharuan itu perlu untuk meningkatkan daya saing.

Beliau berkata yang pakej dasar ini yang datang bersama program-program transformasi kerajaan dan politik akan membuka Malaysia dari segi politik dan ekonomi.

"Ini membolehkan kita untuk kekal daya saing dalam hubungan dunia yang kian berkembang, menarik kepada para pelabur dan pelancong, dan sudah bersedia mencapai status negara maju," kata beliau.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, January 28, 2013

Petronas Meterai Perjanjian Kolektif Dengan Kesatuan Kakitangan

16 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2013 - Petronas dan kesatuan kakitangan dalamannya, Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Bhd (KAPENAS) telah memeterai Perjanjian Kolektif untuk tempoh 2013-2015 pada 21 Januari lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak negara itu berkata perjanjian baharu itu memperbaiki dan menyemak semula terma dan syarat bagi menyediakan manfaat yang lebih baik untuk kakitangan bukan-eksekutif Petronas.

Majlis itu disaksikan oleh ketua pengarah Industrial Relations Malaysia, Fong Khei Por dan ketua pegawai operasi/Naib Eksekutif Presiden Petronas untuk Perniagaan Hiliran, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Dalam ucapannya semasa majlis berkenaan, Fong menyampaikan ucap tahniahnya kepada kedua-dua pihak kerana mencapai perjanjian dan memuji elemen-elemen menghormati, ketelusan, amanah dan tolak ansur yang ditunjukkan semasa proses perundinga.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja Kini Dibuka

16 Rabiulawal 1434

TEMERLOH, 27 Januari 2013- Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat, menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.

"Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di sini, Ahad.

Katanya bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.

Ismail Sabri berkata antara syarat permohonan skim itu ialah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, berdaftar dengan SSM di Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak serta berniaga sepenuh masa.

Maklumat lanjut; BERNAMA

Saturday, January 26, 2013

Unit Digistar Dapat 3 Lesen Daripada SKMM

14 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2013- Digistar Rauland MSC Sdn Bhd, anak syarikat yang 80 peratus sahamnya dikuasai Digistar Corp Bhd, memperoleh tiga lesen individu untuk tempoh lima tahun daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Digistar berkata lesen-lesen berkenaan ialah Lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian, Lesen Penyedia Perkhidmatan Rangkaian dan Lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan,

"Digistar Rauland perlu membayar fi berjumlah RM150,000 kepada SKMM untuk lesen berkenaan dan fi tahunan sebanyak 0.5 peratus daripada Perolehan Tahunan Kasar Digistar Rauland atau RM50,000, yang lebih tinggi bagi setiap lesen itu," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Maybank Perluas Perniagaan Di Mindanao Untuk Bantu Bangsamoro

14 Rabiulawal 1434

MANILA, 22 Januari 2013- Maybank menyahut seruan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu menambah baik ekonomi rakyat Bangsamoro dengan memperluaskan perkhidmatan kewangannya dan melabur di wilayah Mindanao, Filipina itu, yang kini tidak lagi menghadapi konflik.

Baru-baru ini, Malaysia menjadi perantara bagi perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju meletakkan senjata selepas bertahun-tahun bersengketa kerana merebut Mindanao.

"Kita semua amat gembira dengan perjanjian damai yang telah ditandatangani itu, kerana ini akan membolehkan Mindanao dibangunkan selanjutnya," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pada satu sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pelaburan Maybank itu adalah sejajar dengan saranan kerajaan Malaysia agar pelaburan dibuat untuk membantu Bangsamoro, dan juga selaras dengan kehendak kerajaan Filipina.

Pada masa ini, Maybank mempunyai tiga cawangan di Mindanao, iaitu di Cagayan de Oro, Davao dan Zamboanga.

Abdul Wahid berkata rancangannya tahun ini ialah untuk membuka empat lagi cawangan di wilayah itu, yang akan menambah rangkaiannya lebih daripada sekali ganda.

"Dengan perjanjian damai ini, kami berharap akan ada banyak lagi kegiatan pelaburan dan ekonomi di Mindanao," katanya.

Abdul Wahid, yang berada di sini untuk menghadiri pelancaran rasmi pusat korporat baharu Maybank Philippines Incorporation (MPI) di Bonifacio Global City, berkata bank itu merancang untuk membuka 25 cawangan tahun ini, dan 25 lagi pada 2014 hingga seterusnya mencapai sejumlah 200 cawangan menjelang 2018.

Beliau berkata Maybank komited untuk mengembangkan perniagaannya bersama dengan pembangunan negara ini, dan pelaburannya di Filipina akan berterusan bagi satu jangka masa yang sangat panjang.

Sekarang ini MPI mempunyai 54 cawangan yang terletak di kawasan-kawasan ekonomi utama di seluruh negara ini. Cawangan ke-55 dijadualkan dibuka di Davao pada akhir bulan ini.

Modalnya pada masa ini berjumlah US$145 juta, berbanding US$40 juta pada 1997.

Maklumat lanjut : BERNAMA


AirAsia Sedia Rancangan Untuk Tingkat Penguasaan Di Rantau Asia

14 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2013- Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC), AirAsia Bhd, yang baru-baru ini menyelesaikan kajian strategik lima tahun dalam semua perniagaannya, mahu membangunkan unit di Filipina dan Jepun, serta melihat India sebagai pasaran yang menarik.

Ketua Pegawai Eksekutifnyar Tan Sri Tony Fernandes berkata memandangkan Malaysia kini menjadi 'mesin tunai', pengurusan mengalihkan tumpuan kepada pasaran teras lain di Thailand dan Indonesia.

"Kumpulan menjangka entiti ini menjana keuntungan yang sama dengan Malaysia pada masa depan."

Tumpuan lain adalah untuk membangunkan entiti barunya di Filipina dan Jepun, dengan kadar penembusan LCC, ia masih awal dan terdapat potensi yang ketara, katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Petronas Tidak Akan Teruskan Kontrak Kluster Tembikai & Chenang

14 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2013- Petronas memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak bagi Perkhidmatan Risiko Lapangan Kecil bagi kluster Tembikai dan Chenang.


Syarikat minyak nasional itu berkata syarikat juga tidak akan membuka semula kluster itu untuk pembidaan.

"Terdapat ketidaktentuan berhubung status kluster Tembikai dan Chenang berikutan laporan awal bulan ini bahawa bida oleh Scomi Group-Cue Energy Resources Ltd dikatakan berdepan dengan beberapa masalah," katanya dalam satu kenyataan.

Sumber- BERNAMA

Pelanggan UniFi Melebihi 500,000

14 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 25 Januari 2013- Telekom Malaysia Bhd (TM) berkata asas pelanggan bagi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB)nya, UniFi, baru-baru ini melepasi jumlah 500,000.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, TM berkata pencapaian hebat ini menjadi lebih bermakna apabila dicatatkan lebih awal daripada sambutan ulang tahun ketiga perkhidmatan UniFi pada bulan Mac ini, dengan kadar langganan melebihi tanda aras global untuk pelaksanaan perkhidmatan yang serupa.

Naib Presiden Eksekutif, Konsumer TM, Imri Mokhtar, berkata produk utama syarikat itu terus menjadi peneraju pasaran jalur lebar domestik, malah bilangan pelanggan UniFi juga kini berkembang kepada setengah juta.

"Melihat kadar semasa iaitu lebih daripada 35 peratus, langganan perkhidmatan kami tidak menunjukkan tanda-tanda merosot.

"Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan manfaatnya," katanya.

Beliau berkata TM sememangnya menganggap dirinya sebagai peneraju dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan segmen perniagaan ini.

"Ini amat selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah di negara ini sejajar dengan objektif pembangunan ekonomi negara," ujar beliau.

UniFi kini ditawarkan di 94 kawasan meliputi lebih daripada 1.34 juta premis sedia dipasang termasuklah 64 kawasan di Lembah Klang, lima di Pulau Pinang, empat di Kedah, sembilan di Johor, dua di Melaka, dua di Negeri Sembilan, dua di Perak, satu di Terengganu, satu di Pahang, satu di Sabah dan tiga di Sarawak.

Kawasan liputan perkhidmatan ini termasuklah kawasan-kawasan ekonomi dan zon perindustrian utama di Lembah Klang, Cyberjaya, Putrajaya, Taman Teknologi Tinggi Kulim dan kawasan Iskandar Malaysia.

Bagaimanapun, Naib Presiden Eksekutif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Azizi A Hadi, berkata kumpulan itu kini telah melangkaui peranannya sebagai pembekal perkhidmatan, dan mengambil peranan yang lebih pro-aktif sebagai rakan kongsi yang diyakini kepada PKS tempatan melalui usaha berterusan untuk meningkatkan daya saing produk-produk PKS yang ditawarkan di pasaran, selain turut membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, January 23, 2013

KWRTAZ Atur Program Tingkat Ekonomi Ahli

11 Rabiulawal 1434

KUALA TERENGGANU, 21 Januari 2013- Koperasi Wawasan Rukun Tetangga Losong Atap Zink (KWRTLAZ) Kuala Terengganu kini giat mengatur program untuk meningkatkan pendapatan ahli.

Pengerusinya, Hasan Ismail berkata KWRTLAZ kini giat mendaftar bot milik ahli untuk disewakan kepada pelancong yang berminat mencandat sotong.

"Musim mencandat sotong sudah hampir tiba dan inilah peluang ahli-ahli KWRTLAZ yang ada bot untuk disewakan bagi menambah pendapatan," katanya kepada Bernama.

Menurut Hasan kira-kira 20 orang ahli KWRTLAZ mempunyai bot dan ini satu kemudahan kepada para pelancong untuk mendapatkan bot untuk mencandat sotong, dengan kadar sewaan sehingga RM300 semalam atau pun lebih.

Para nelayan yang bukan ahli, yang tinggal di sekitar Kampung Losong, juga boleh mendaftarkan bot mereka melalui KWRTLAZ bagi tujuan sama, bagi membantu mereka mendapatkan wang lebih di luar musim menangkap ikan, katanya.

Selain itu, Hasan berkata para pelancong yang datang secara berkeluarga tidak perlu mendapatkan tempat penginapan kerana tempat penginapan, seperti rumah tumpangan dan chalet, kerana ada disediakan oleh ahli-ahli KWRTLAZ pada kadar sewa yang berpatutan.

Katanya Kampung Losong, yang terletak berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI), sememangnya terkenal dengan produk keropok lekor yang tersohor di seluruh Terengganu dan luar negeri itu.


Maklumat lanjut: BERNAMA

Sunday, January 20, 2013

Pelanggan Unicom 3G China Cecah 76.46 Juta

9 Raiulawal 1434

BEIJING, 20 Januari 2014-- Pelanggan pengendali mudah alih kedua terbesar China, Unicom 3G, telah mencecah 76.46 juta, selepas penambahan 3.13 juta pelanggan 3G pada Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, pelanggan 2G syarikat itu menyusut 36,000 pada November kepada 163 juta setakat akhir Disember, lapor Agensi Berita Xinhua pada Sabtu, memetik satu laporan Bursa Saham Shanghai.

Pengguna Internet jalur lebar berjumlah 93.87 juta setakat tahun lepas, katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, January 18, 2013

Petronas Saman Perwaja Steel

7 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 18 Januari 2013- Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memfailkan saman terhadap Perwaja Steel Sdn Bhd kerana kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di di Kemaman, Terengganu.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang) pada 14 Jan, oleh Tetuan Kadir, Andri & Partners, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Bernama hari ini.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Petronas Umum Penemuan Minyak Dan Gas Di Daratan Selepas 24 Tahun

7 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 18 Januari 2013- Petronas hari ini mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333, di daratan Sarawak, iaitu penemuan minyak dan gas pertama di daratan Malaysia selepas 24 tahun.

Syarikat minyak negara itu berkata penemuan kali terakhir di daratan ialah di Medan Asam Paya pada 1989, juga di Sarawak.

Petronas berkata telaga Adong Kecil West-1, terletak kira-kira 20km di timur laut pekan Miri, digerudi oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd, operator bagi Blok SK333, bersama-sama rakan usaha samanya, Petronas Carigali Sdn Bhd.

Ia berkata telaga itu digerudi pada kedalaman 3,170 meter dan menemui kira-kira 349 meter ketebalan bersih hidrokarbon.

Dua ujian gerudi merealisasikan kadar aliran kira-kira 440 tong minyak sehari dan 11.5 juta meter padu standard gas sehari, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Petronas berkata penilaian teknikal sedang dijalankan oleh operator bagi menentukan jumlah sumber di medan terbabit.

"Berdasarkan keputusan penggerudian, terdapat tanda-tanda bahagian lebih dalam di kawasan laut, yang mungkin berpotensi tinggi mengandungi hidrokarbon.

"Bagaimana pun, menerusi tekanan lubang bor yang tinggi, operasi penggerudian lebih mencabar untuk kolam yang lebih dalam dan dermaga dengan spesifikasi tinggi diperlukan untuk menguji jarak terbabit," kata Petronas.

Setakat ini, tiga penemuan dibuat di daratan Sarawak, iaitu Miri, Asam Paya dan medan Adong Kecil West.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Khazanah Tiada Rancangan Jadikan MAS Syarikat Persendirian - Khazanah

7 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2013- Khazanah Nasional Bhd tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjadikan Malaysia Airlines (MAS) syarikat persendirian, kata Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.

"Tiada rancangan untuk menjadikannya syarikat persendirian. MAS kini sudah meningkat, angka-angka dan produk bertambah baik, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan kerana penerbangan adalah industri yang sukar," katanya kepada media pada satu sidang akhbar di sini, hari Khamis.

Menjawab kenyataan oleh penganalisis yang membayangkan kemungkinan MAS dijadikan syarikat persendirian, Azman berkata: "Bila dijadikan syarikat persendirian, kita pastinya perlu membayar lebih daripada harga pasaran. Ia tidak membawa keuntungan kepada syarikat dan syarikat ini memerlukan wang".

Beliau berkata menjadikannya syarikat persendirian tidak akan menyelesaikan masalah MAS.

"Rancangan itu tidak memberikan jawapan tentang cara mendapatkan lebih banyak keuntungan bagi syarikat ini. Ia mungkin melibatkan wang yang lebih banyak dan MAS mungkin semakin hilang disiplin pasaran.

"Sesungguhnya ia beransur-ansur menunjukkan keputusan yang baik, dan kami rasa ini amat bagus," tegas Azman.

Maklumat lanjut: BERNAMA

MAS Tiada Rancangan Beli Pegangan Dalam Syarikat Penerbangan Di India

7 Rabiulawal 1434

NEW DELHI, 17 Januari 2013- Malaysia Airlines (MAS) mengulangi bahawa syarikat tidak mempunyai rancangan untuk membeli kepentingan dalam syarikat-syarikat penerbangan di India.

"Kami tidak meninjau pelaburan (dalam syarikat penerbangan) di India," kata Naib Presiden Serantau bagi Asia Selatan dan Timur Tengah, Azhar Hamid Khamis.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada MAS akan melabur dalam syarikat penerbangan di India, setelah syarikat penerbangan asing kini dibenarkan untuk menguasai sehingga 49 peratus kepentingan.

"Kami masih dalam proses untuk pemulihan," katanya pada perbincangan panel mengenai 'Penerbangan di India - Masa depan', pada Pameran Pertukaran Perjalanan dan Pengembaraan Asia Selatan di sini hari ini.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Portfolio Khazanah Nasional Catat Paras Tertinggi Baharu Kepada RM121.6 Bilion

7 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2013- Jumlah portfolio pelaburan Khazanah Nasional Bhd mencatatkan rekod tertinggi baharu pada 2012, dengan Nilai Aset Realisasi (RAV) keseluruhan meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada RM121.6 bilion pada 31 Dis, 2012 berbanding RM108.2 bilion pada tempoh sama 2011.

Pelarasan nilai bersihnya (NWA) melonjak RM16.9 bilion atau 24.3 peratus kepada RM86.9 bilion pada 31 Dis, 2012 berbanding RM70 bilion yang dicatatkan pada 2011, kata Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar.

Semasa mengumumkan prestasi cabang pelaburan kerajaan pada Rebiu Tahunan Kesembilan di sini hari ini, beliau berkata, pertumbuhan dalam NWA tahun lepas mengatasi FBM KLCI dan beberapa indeks serantau seperti Indeks Hang Seng, MSCI Asia kecuali Jepun dan pasaran MSCI Emerging.

"Penyumbang utama kepada prestasi kukuh portfolio adalah tawaran awam permulaan IHH Healthcare Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

"Pegangan Khazanah dalam sektor telekomunikasi dan kuasa juga menyumbang kepada pertumbuhan NWA," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Khazanah mencatatkan RM2.1 bilion dalam keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, membolehkan pembayaran dividen sebanyak RM1 bilion.

Setakat ini, ia mengisytiharkan dividen berjumlah RM4.5 bilion sejak 2010, kata Azman.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Perasaan Bimbang Gagal Dalam Kalangan Usahawan Berkurangan

7 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2013- Kebimbangan terhadap kadar kegagalan dalam kalangan usahawan Malaysia menurun dengan ketara sejak empat tahun lepas kepada 36 peratus pada 2012 daripada 65 peratus pada 2009.

Kadar itu adalah berasaskan kajian ke atas 2,000 orang dewasa di negara ini seperti yang dilaporkan dalam Pemantauan Usahawan Global (GEM) 2012.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata trend itu menunjukkan program keusahawanan sedang dibentuk dan memberi tumpuan ke atas peluang-peluang tersedia, dan pada masa yang sama memberi isyarat mengenai kadar peningkatan inisiatif inovasi dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara.

Memetik Laporan Global 2012 GEM, beliau berkata kadar aktiviti keusahawanan peringkat awal Malaysia sejak tahun lepas meningkat kepada tujuh peratus berbanding 4.4 peratus pada 2009.

Peningkatan itu katanya adalah selari dengan kedudukan di Malaysia di mana perniagaan negara kini lebih mampan berbanding empat tahun lepas.

Husni berkata kadar kejayaan perniagaan baharu melepasi 42 bulan, meningkat kepada tujuh peratus pada 2012 berbanding 4.2 peratus pada 2009, mengatasi negara seperti United Kingdom (enam peratus) dan Jerman (lima peratus).

"Peningkatan ini yang sebahagian besarnya didorong oleh peluang keusahawanan dipacu peningkatan berbanding keusahawanan dipacu keperluan, sangat menggalakkan," katanya pada pelancaran Pemantauan Keusahawanan Global 2012, di sini pada Khamis.

"Kami sudah pasti memperakui hakikat bahawa kadar pengekalan Korea Selatan ialah 10 peratus dan China 12 peratus. Ini sesuatu yang perlu kita tingkatkan," katanya.

Untuk itu kerajaan memberikan perhatian yang lebih ke atas usaha meningkatkan keupayaan usahawan seperti melaksanakan pelbagai langkah menerusi khidmat nasihat, bimbingan, latihan dan pembiayaan menerusi agensi kerajaan, termasuk Cradle Fund Sdn Bhd, SME Corp, Malaysian Biotechnology Corp dan Multimedia Development Corp.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Thursday, January 17, 2013

Bank Islam Gantung Tugas Ketua Ekonominya Atas Dakwaan Langgar Dasar

5 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2012- Bank Islam Malaysia Bhd menegaskan yang Ketua Ekonominya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin telah digantung tugasnya kerana ia mempunyai "asas-asas yang wajar" untuk mempercayai yang beliau telah melanggar dasar dalaman bank.

Perkara berhubung dengan pelanggaran dasar itu akan diketahui sebaik sahaja siasatan selesai, kata Bank Islam.

Sementara bank itu terus mengulangi yang pandangan politik dan komen Azrul tidak seharusnya dikaitkan dengan bank berkenaan, ia terus ingin menegaskan yang penggantungan Azrul tidak ada kaitan dengan tindakannya menyuarakan pandangan politik peribadi beliau.

Azrul yang telah bertindak sebagai penganalisis di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), dilaporkan telah berkata dalam sebuah forum awam di sini semalam yang "terdapat kemungkinan tinggi" Pakatan Rakyat akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

 Sumber - BERNAMA

Wednesday, January 16, 2013

PPZ-MAIWP Kutip Lebih RM410 Juta Zakat Tahun 2012

5 Rabiulawal 1434

PUTRAJAYA, 16 Januari 2012- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatat kutipan zakat lebih RM410 juta sepanjang tahun lalu, kutipan tertinggi badan itu setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi MAIWP berkata daripada jumlah itu RM402,813,639.88 merupakan zakat harta manakala RM7,568,953 adalah zakat fitrah.

"Kutipan keseluruhan zakat tahun lalu mencatat peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding RM348,855,169.85 tahun sebelumnya, dan kutipan zakat harta juga mencatat peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding RM341,330,169.85 dan zakat fitrah 0.6 peratus berbanding RM7,525,000," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Jamil Khir berkata jumlah pembayar zakat juga meningkat 1.7 peratus kepada 1,195,721 tahun lalu berbanding 1,175,497 tahun sebelumnya, dan jumlah pembayar zakat harta meningkat 14 peratus kepada 114,442 berbanding 100,497 serta jumlah pembayar zakat fitrah meningkat 0.6 peratus kepada 1,081,279 berbanding 1,075,000.

Beliau berkata kutipan zakat perniagaan turut mencatat peningkatan iaitu sebanyak 36 peratus kepada RM74,424,879.13 tahun lalu, berbanding RM54,879,599.26 tahun sebelumnya, manakala jumlah pembayar zakat perniagaan pula meningkat 17 peratus kepada 1,844 berbanding 1,571 tahun sebelumnya.

"Antara faktor peningkatan terhadap zakat perniagaan ini adalah apabila kita menggunakan pendekatan menang-menang, di mana kita membenarkan individu dan syarikat yang membayar zakat itu untuk turut mengagihkan bayaran zakat kepada kelompok asnaf yang mereka ingini.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Permohonan Sijil Halal Meningkat

5 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2013- Terdapat peningkatan permohonan pensijilan halal di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sejak Akta Perihal Dagangan 2011 dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata sehingga 31 Dis lepas, sejumlah 6,877 dengan 4,373 permohonan berbayar diterima berbanding 4,099 pada tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,469 permohonan telah diluluskan berbanding 1,678 permohonan diluluskan pada 2011.

"Secara umum, ini menunjukkan bahawa pihak industri mulai sedar akan kepentingan dan keperluan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 bagi akta itu berkuat kuasa mulai 1 Jan 2011 dan tamat pada 31 Dis 2012.

Othman berkata dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tahun lepas, JAKIM memeriksa 1,437 premis makanan dengan 17 kertas siasatan mengikut akta itu dibuka, membabitkan 15 premis makanan dan dua kes produk.

Maklumat lanjut : BERNAMA

DRB-Hicom Harap Selesai Jual 30 Peratus Kepentingan Dalam Bank Muamalat Dalam Tempoh 3-6 Bulan

5 Rabiulawal 1434

JOHOR BAHARU, 15 Januari 2012- DRB-Hicom Bhd berharap dapat menyelesaikan penjualan 30 peratus kepentingannya dalam Bank Muamalat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata syarikat itu sedang berunding dengan beberapa pihak, termasuk Affin Bank Bhd dan sebuah entiti asing, yang beliau enggan menamakannya.

Beliau berkata penjualan sebahagian kepentingannya dalam Bank Muamalat akan membolehkan bank itu menjalin usaha sama dengan bank lain dan meningkatkan keupayaannya selari dengan perancangan Bank Negara Malaysia untuk mewujudkan bank Islam besar dalam negara.

Beliau bagaimanapun berkata bank itu perlu mencari rakan yang dapat melengkapkan kehadirannya yang lemah dalam segmen korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata bank itu merancang membuka 50 khidmat pajak gadai Islam baharu, Ar-Rahnu, di pejabat pos menjelang akhir Mac tahun ini.

Ia juga merancang membuka 15 cawangan baharu Ar-Rahnu di seluruh negara bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan berkenaan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, January 15, 2013

Pengendali Syarikat Telekomunikasi Hadapi Cabaran Baharu Mulai Tahun Ini Dan Seterusnya

3 Rabiulawal 1434

SINGAPURA, 14 Januari 2013- Pengendali telekomunikasi seluruh dunia akan berhadapan dengan cabaran baharu, mulai tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, kata Ariesco dalam laporannya mengenai trend terbaru dalam penggunaan peranti mudah alih.

Arieso ialah penyedia terkemuka dunia untuk rumusan pintar dan kepekaan lokasi yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih memberi fokus kepada perniagaan mereka untuk memenuhi hasrat dan jangkaan pengguna masing-masing.

Ia berkata meskipun dengan lonjakan di pasaran untuk tablet, pengguna telefon pintar telah mengatasi pengguna tablet dalam keperluan mereka untuk data mudah alih bagi pertama kalinya.

 "Memandangkan pengguna data mudah alih secara keseluruhan terus melambung, dipacu oleh peranti baharu dan kandungan yang lebih banyak, kajian itu mencadangkan yang pengguna ekstrem telah mula beralih kepada rangkaian Evolusi Jangka Panjang (LTE)yang baharu," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Sunday, January 13, 2013

Rakyat Malaysia Tidak Banyak Menyimpan

1 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2013- Rakyat Malaysia pada umumnya tidak banyak menyimpan, demikian menurut Hwang Investment Management Bhd (HwangIM).

Ketua Pegawai Produknya Steve Lim berkata rakyat Malaysia perlu lebih menyimpan dan satu cara adalah melalui pelaburan jangka panjang, kos rendah, mudah dan skim persaraan swasta (PRS) yang mampan untuk membantu mereka bersedia untuk persaraan kelak.

Beliau berkata demikian pada sesi meja bulat dengan tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik PRS dari Australia, Chile dan Belanda yang dianjurkan oleh HwangIM, antara firma pengurusan pelaburan utama Malaysia.

"Kami berharap melalui sesi ini, kita akan dapat melihat amalan utama dan menggunakannya sebagai rujukan semasa kita bergerak ke hadapan," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Saham Kumpulan Europlus Naik Susulan Pengumuman Projek Lebuh Raya Pantai Barat

1 Rabiulawal 1434

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2013- Harga saham Kumpulan Europlus Bhd menunjukkan pergerakan positif dalam sesi terdahulu pada Jumaat susulan pengumuman projek konsesi Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) yang bernilai kira-kira RM6 bilion.

Kos projek lebuh raya yang telah lama tertangguh itu kurang RM1 bilion berbanding kos RM7.07 bilion yang diunjurkan sebelumnya.

Pada 11.25 pagi, saham syarikat itu naik satu sen kepada RM1.04 dengan sejumlah 284,000 unit bertukar tangan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, ia berkata projek WCE melibatkan pembangunan lebuh raya dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, January 11, 2013

Penswastaan DRB-HICOM: Lembaga Pengarah Tidak Dimaklumkan Oleh Syed Mokhtar

28 Safar 1434


KUALA LUMPUR, 10 Januari 2013- Lembaga Pengarah dan Pengurusan DRB- HICOM tidak dihubungi atau dimaklumkan oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengenai pelan penswastaan syarikat itu.

Konglomerat itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Bursa Malaysia susulan laporan berita bahawa Syed Mokhtar mungkin membuat tawaran bersendirian untuk menswastakan DRB-HICOM.

Laporan menyebut DRB-HICOM boleh diswastakan pada harga RM3.50 dan RM4 sesaham.

Mengulas pertanyaan lain bahawa ia mungkin di senarai sebagai cabang pengedaran, DRB-HICOM berkata: "Penyenaraian Proton Distribution Business bagi memanfaatkan nilai entiti bergabung itu merupakan antara senario yang boleh dilaksanakan."

Pada November 2012, DRB-HICOM mengumumkan proses rasionalisasi perniagaan Proton antara Proton Edar dan EON Bhd.

"Bagaimanapun, penswastaan DRB-HICOM bukan antara perancangan," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Thursday, January 10, 2013

AmIslamic Yakin Jumlah Penggunanya Akan Meningkat 20 Peratus

28 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 10 Januari 2013- AmIslamic Bank, cabang perbankan Islam kepada AmBank Group, yakin mencapai 20 peratus pertumbuhan dalam asas penggunanya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2013, disokong oleh beberapa kempen yang dikendalikan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mahdi Murad berkata kempen-kempen itu dikendalikan bukan hanya untuk memberikan ganjaran kepada pengguna baharu dan sedia ada tetapi juga untuk mengembangkan asas penggunanya.

"Kami mempunyai lebih satu juta pengguna dengan pertumbuhan pengguna semasa kami menghampiri 20 peratus dan kami percaya kami boleh mencapai sasaran itu dalam tempoh tiga tahun," kata beliau kepada pemberita selepas acara akhir kempen "It's Gold! Let's Celebrate" di sini Khamis.

Di bawah kempen itu, yang diadakan mulai 23 Julai hingga 31 Okt, tahun lepas, AmIslamic Bank menawarkan pelbagai produk iaitu deposit, kad kredit dan pembiayaan persendirian menerusi promosi khas.

Maklumat lanjut: BERNAMA

MOLPay Perkenal Penyelesaian Pembayaran Dalam Talian Baharu

28 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 10 Januari 2013- MOLPay Sdn Bhd, pengendali bukan bank bagi Proses Pertukaran Kewangan (FPX) di negara ini, telah memperkenalkan penyelesaian pembayaran dalam talian untuk membantu perusahaan mikro tempatan menerima pembayaran dalam talian yang lancar dan selamat.

Dalam satu kenyataan, MOLPay berkata penyelesaian itu, yang diberi nama Pelan MOLPay-FPX, beroperasi melalui platform FPX bagi transaksi perniagaan dalam talian di samping menawarkan penyertaan kos rendah.

"Dengan Pelan MOLPay-FPX, perusahaan mikro yang mempunyai kedai dalam talian atau laman sesawang e-dagang boleh menerima platform FPX yang membolehkan pelanggan memindahkan wang dalam akaun bank mereka kepada bank yang menyertai FPX bagi mana-mana produk atau perkhidmatan yang dibeli melalui Internet.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, January 8, 2013

HDC, Puratos Malaysia Bangunkan Keupayaan Inovasi Syarikat Tempatan

25 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2013- Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) kini melaksanakan program bersama Puratos Malaysia Sdn Bhd bagi membangunkan dan meningkatkan keupayaan inovasi syarikat-syarikat tempatan di dalam industri konfeksionari, bakeri, patisserie dan coklat.

Kerjasama kedua-dua badan itu adalah sebahagian daripada Program Mentor HDC yang menawarkan syarikat berstatus halal, khususnya yang terlibat di dalam industri makanan.

"Penyelidikan yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan bahawa walau pun syarikat-syarikat mendakwa memberikan keutamaan di dalam inovasi produk masing-masing, kebanyakannya masih belum dilengkapi sepenuhnya dan tahap kesediaan inovasi masih rendah," kata Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin dalam satu kenyataan di sini.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, January 7, 2013

Proton Labur RM2 Bilion Untuk Bangunkan Proton City Dalam 4-5 Tahun

24 Safar 1434

TANJUNG MALIM, 5 Januari 2013- Proton Holdings Bhd, anak syarikat DRB-Hicom Bhd, akan melabur RM1 bilion hingga RM2 bilion di bawah pelan penyusunan semulanya bagi Proton City di Tanjung Malim, Perak, dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata pelaburan berkenaan yang termasuk program pembangunan dan peningkatan bagi bandar itu, merupakan kerjasama dengan kerajaan negeri Perak.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Sunday, January 6, 2013

The Economist Beri Pengiktirafan Tinggi Kepada Penguasaan Malaysia Dalam Kewangan Islam

23 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 5 Januari - 'The Economist' telah memberikan penarafan yang tinggi kepada kepemimpinan progresif Malaysia dalam kewangan Islam, dan khususnya penguasaan negara ini dalam bon Islam atau sukuk.

Dalam satu laporan bertajuk "Berteraskan ummah: Malaysia terajui Kewangan Islam", majalah kewangan terkenal itu menyebut Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang menerbitkan sukuk kerajaan pada 2002.

Laporan itu berkata, "Dalam banyak aspek yang menjadikan Malaysia terkenal, kedudukan sebagai peneraju perkhidmatan kewangan tidaklah menonjol. Tetapi, dari beberapa segi, negara ini adalah pusat kewangan Islam terpenting di dunia."

"Berdasarkan aset, lebih seperlima sistem perbankan negara ini adalah patuh syariah; purata bagi negara-negara Islam adalah kira-kira 12 peratus, dan sering kali jauh kurang daripada itu.

"Malaysia menguasai pasaran dunia bagi sukuk. Negara ini menerbitkan sukuk kerajaan pertama di dunia pada 2002; dalam tiga suku pertama 2012, ia bertanggungjawab bagi hampir tiga perempat daripada keseluruhan terbitan global.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, January 4, 2013

Had Pendapatan Kelayakan Skim Rumah Pertamaku Naik Kepada RM5,000

21 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 4 Januari 2013- Had pendapatan peminjam individu bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan berkuat kuasa Januari 2013.

Kenaikan berkenaan merupakan satu daripada kriteria kelayakan SRP yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 tahun lepas, demikian menurut Cagamas SRP Bhd dalam kenyataan.

Bagi peminjam bersama, ia berkata had pendapatan telah dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan, tertakluk kepada pendapatan peminjam individu tidak melebihi RM5,000 sebulan.

"Di samping itu, keperluan untuk rekod simpanan bersamaan tiga bulan ansuran dan pekerjaan minimum enam bulan akan dimansuhkan," kata Cagamas SRP.

Ia berkata skim itu membolehkan pembeli rumah mendapatkan 100 peratus pembiayaan daripada bank yang mengambil bahagian, membolehkan mereka memiliki rumah tanpa perlu membayar 10 peratus bayaran pendahuluan.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Thursday, January 3, 2013

AirAsia Sudah Bersedia Ke KLIA2

20 Safar 1434


KUALA LUMPUR, 2 Januari 2013- AirAsia Bhd sudah bersedia bagi perpindahannya tidak lama lagi ke lapangan terbang penerbangan tambang murah, KLIA2, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Aireen Omar.

Beliau berkata syarikat penerbangan tambang murah itu sudah bersedia dan sedang menunggu kelulusan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd untuk menghuni lapangan terbang baharu itu, yang dijadualkan mula beroperasi pada Mei.

Sejak bermulanya pembangunan prasarana lapangan terbang baharu itu, syarikat itu telah mula bersiap-siap untuk berpindah semua bahagiannya termasuk operasi, logistik dan pengendalian darat.

Aireen berkata, AirAsia, yang bakal menjadi penyewa terbesar di KLIA2, sedang memantau perkembangan di lapangan terbang itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Pindaan Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2012 Dikuat Kuasa

20 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2013- Akta (Pindaan) Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 (CMSA 2012) telah dikuatkuasakan serta merta, bersama-sama dengan pengeluaran beberapa garis panduan lain, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

SC berkata akta dan garis panduan itu disasarkan untuk menggalakkan inovasi pasaran dan produk, menggalakkan kecekapan dan membolehkan lebih banyak keputusan pelaburan bermaklumat.

"CMSA 2012 memperkenalkan satu rangka kerja kelulusan yang akan memudahkan penawaran lebih banyak produk pasaran modal, yang akan menguntungkan penerbit, pengantara, dan pelabur.

"Rangka kerja kelulusan baharu itu membezakan produk pasaran modal tersenarai dan tidak tersenarai berikutan ciri-ciri mereka yang berbeza dan profil risiko yang berlainan dan mengguna pakai tahap peraturan yang sesuai dengan risiko yang terbabit.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Maybank Diberikan Lanjutan Enam Bulan Untuk Jualan Mandatori Kurangkan Pegangan Pt Bank Internasional

20 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2013- Malayan Banking Bhd (Maybank) Rabu mengumumkan bahawa ia telah diberikan lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat jualan mandatori untuk mengurang pegangan dalam PT Bank Internasional Indonesia Tbk.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Osk Research Salah Lapor, Kata Star Publications

20 Safar 1434

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2013- Unjuran sektor 2013 OSK Research Sdn Bhd mengenai Sektor Media yang melaporkan perniagaan percetakan Star Publications (M) Bhd berhadapan penurunan bilangan pembaca Bahasa Inggeris, adalah salah dan tidak wajar.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Timbalan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Vincent Lee Fook Long berkata laporan itu tidak tepat, tidak profesional dan merupakan kajian yang teruk memandangkan angka menunjukkan sebaliknya.

"Bilangan pembaca mingguan Star meningkat 21 peratus," katanya.

Menurut laporan Pengguna Nielsen dan Unjuran Media bagi suku kedua 2012, bilangan pembaca The Star meningkat daripada 1.5 juta pada suku kedua 2011 kepada 1.8 juta pada suku kedua 2012, katanya.

"Secara gabungan, edaran cetak dan e-paper meningkat kepada 298,288 bagi akhbar harian dan 300,431 untuk edisi Ahad bagi tempoh separuh pertama 2012, atau peningkatan sebanyak 3.4 peratus.

Maklumat lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...