Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, October 29, 2011

Himpunkan Sumber Kekayaan Umat Islam

Baru-baru ini telah digerakkan satu himpunan sejuta umat Islam (HIMPUN) yang secara simboliknya menghimpunkan suara umat Islam bagi menyatakan pendirian atas usaha segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memesongkan akidah umat Islam. Perhimpunan ini secara tidak langsung telah membuka satu dimensi baru terhadap hak berhimpun dan menyuarakan pendapat yang telah diadakan dengan tertib dan beradab di stadium dan diadakan di stadium secara secara tertutup.

Walaupun perhimpunan ini diperkecilkan oleh pihak-pihak tertentu, ianya sedikit sebanyak juga memberi isyarat yang jelas bahawa ada segolongan dikalangan umat Islam yang menyeru ke arah kebaikan dan menentang segala bentuk kemungkaran di dalam Islam. Kewujudan paksi ke tiga di kalangan umat Islam bakal menjadi kuasa pengimbang terhadap dasar-dasar parti politik Melayu dan Islam di Malaysia.

Namun saya berpendapat bahawa, untuk menjadikan kumpulan ini terus relevan, kekuatan ekonomi dan sumber kewangan juga memainkan peranan. Adalah baik juga jika herakan ini menggerakkan usaha menghimpunkan sumber kekayaan umat Islam di Malaysia ini. Ianya boleh dilalukan dengan menubuhkan sebuah Permodalan Himpun Berhad yang fungsinya menyamai dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Untuk menghimpun sumber kewangan ianya boleh dimulakan dengan menawarkan amanah saham bernilai  yang boleh dilaburkan serendah RM 1, yang mana nilai berkenaan tidak sama dengan harga "unit trust" yang nilainya berubah mengikut harga pasaran.. Namun permodalan ini perlu ditubuhkan melalui badan-badan bukan kerajaan(NGO-NGO) kerana ia perlulah kekal bebas daripada unsur kuasa politik

Caruman-caruman daripada pencarum kemudiannya perlu dilaburkan di sektor-sektor ekonomi dan kewangan yang selaras dengan konsep halal di dalam Islam. Jika ini dapat dilakukan maka umat Islam tidak perlu gusar atas campur tangan politik dalam menguruskan sumber kekayaan umat yang telah diHIMPUNkan.

@MyIktisad

Wednesday, October 26, 2011

Isu Terkini Kenaikan Harga Barang : Jom Kurangkan Pembelian

Isu kenaikan harga barang dilihat seolah tidak berkesudahan. Rata-rata ianya disebabkan oleh keadaan di mana permintaan melebihi daripada penawaran. Antara faktor utama ialah, seperti yang pernah dipaparkan di media massa sebagai contoh ialah kenaikan harga ikan disebabkan oleh ikan-ikan telah dieksport ke negara China yang mana menawarkan harga yang lebih baik. Ini disebabkan oleh perkembangan pesat ekonomi di negara berkenaan. Kita yakin situasi yang sama berlaku pada barang-barang keperluan yang lain. Apa yang membimbangkan lagi ialah situasi bencana alam yang makinmenjadi jadi di negara-negara pengeluar makanan asasi.

Tindakan boikot tidak dapat menyelesaikan masalah ini, bahkan ianya mungkin bakal membunuh terus pengusaha-pengusaha yang bakal menyebabkan wujudnya hanya beberapa pengusaha sahaja di pasaran yang bakal menjurus kepada monopoli. Apa yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan mengurangkan kuantiti pembelian agar ianya dapat menstabilkan harga di pasaran ke arah yang lebih berpatutan.

Selain daripada itu para peruncit digalakkan mencari sumber barangan daripada pengeluar terus tanpa bergantung kepada pemborong atau orang tengah bagi mengurangkan kos belian barangan untuk perniagaan runcit. Jika ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan, tindakan menangguhkan pembelian sesuatu barangan yang kurang perlu juga boleh dilakukan bagi menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.


Jika semua pengguna dapat mengadaptasikan kaedah ini , insyaallah permasalahan kepenggunaan dapat ditangani secara bersama tanpa terlalu bergantung kepada pihak kerajaan. Kuasa pengguna dilihat kaedah yang terbaik dalam mengatasi kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

@MyIktisad

Monday, October 24, 2011

Kerajaan Disaran Mewujudkan Bandar Madani Di Kuala Lumpur

Jika kewujudan "ChinaTown" dan "Little India" telah diiktiraf di Malaysia, sudah sampai masanya kerajaan menimbang bagi memperuntukkan suatu kawasan di Kuala Lumpur sebagai Bandar Madani. Bandar ini merujuk kepada bandar yang berteraskan bebas daripada unsur-unsur terlarang di dalam Islam seperti pusat hiburan yang melalaikan, bebas daripada unsur-unsur makanan tidak halal dan sebagainya. Dengan kata lain konsep "halalan toyyiban" menjadi teras utama bandar berkenaan.

Kewujudan bandar ini dilihat sebagai salah suatu usaha bagi mendidik masyarakat menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dan bebas daripada masalah sosial. Ianya lebih daripada usaha mempromosikan kehidupan masyarakat Islam dan Melayu yang lebih progressif dan menjadi contoh kepada yang lain. Sesungguhnya belum ada bandar yang sedemikian di Kuala Lumpur walaupun bandar-bandar lain bagi masyarakat dan agama lain telah diiktiraf kewujudannya.

Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan untuk tujuan berkenaan ialah di kawasan sekitar tapak Penjara Pudu yang bakal dibangunkan tidak berapa lama lagi. Jika ini dapat dilakukan, barulah jelas menunjukkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama di Kuala Lumpur.

@MyIktisad

Saturday, October 22, 2011

Protes "Occupy Wallstreet" : Menuntut Keadilan Sosial Dalam Ekonomi

Bantahan demi bantahan semakin dilakukan oleh pelbagai pihak yang memperjuangkan keadilan sosial dalam ekonomi. Bantahan ini berpunca daripada senario semasa di Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya yang menunjukkan kekuasaan ekonomi hanya berada pada pihak yang tertentu sahaja. Protes yang dinamakan"Occupy Wallstreet" diberitakan mula merebak ke beberapa negara maju yang lain.

Keadaan ini perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan Malaysia dan pembuat dasar agar berani melakukan perubahan transformasi yang berteraskan mengutamakan kemaslahatan umat dan berpaksikan keadilan sosial yang diamalkan dalam Islam. Konsep rakyat didahulukan dilihat sebagai langkah permulaan yang baik dan apa yang penting ianya perlu diterjemahkan di semua peringkat sama ada di sektor awam ataupun korporat yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan semua peringkat sosial di dalam masyarakat. Penguasaan kekayaan oleh golongan tertentu sahaja perlu ditangani agar lebih ramai rakyat boleh mempunyai pendapatan dan kekayaan yang sewajarnya.

Bagi rakyat pula, tanggungjawab kita ialah mengelakkan diri dari sifat-sifat keji seperti tamak haloba, gila kuasa, hasat dengki dan sebagainya.Jika ini semua dapat dilakukan, ianya sudah pasti bakal mewujudkan suasana masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai dan harmoni di dunia ini.

@MyIktisad

Kerajaan Kaji Lebih Kawasan Sesuai Bina Lebih Banyak PR1MA

Baru baru ini diberitakan bahawa  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk dibina rumah-rumah kos rendah di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Berdasarkan kajian oleh pihak kerajaan, terdapat kira-kira 90,000 keluarga yang memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

Oleh yang demikian kerajaan sedang melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina rumah kos rendah melalui program PR1MA.Dengan cara ini, lebih ramai rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan memiliki rumah sendiri.
Sebelum ini Perdana Menteri telah mengumumkan, kerajaan akan memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri PR1MA di Putrajaya pada minggu lepas.Najib dipetik sebagai berkata, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri bagi menyemai perasaan pemilikan hartanah yang lebih erat kepada negara.

Penulis mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan di atas usaha ini. Namun dicadangkan juga diwujudkan pakej pemilkan bagi rakyat kelas pertengahan untuk mendapat kediaman pada harga berpatutan. Setidak-tidaknya usaha ini dapat membendung gejala gelembung harga hartanah yang berlaku dipasaran. Kemasukan atau penglibatan kerajaan secara langsung di dalam pasaran dilihat dapat membantu menstabilkan harga rumah di pasaran.

Sumber: Utusan Malaysia

@MyIktisad

Thursday, October 20, 2011

Penjawat Awam Jangan Angkuh: Kesian PM

Bila melihat gelagat pegawai kanan yang memberi reaksi terhadap aduan seoarang isteri yang suaminya dipenjara akibat masalah insolvensi di Buletin Utama semalam, penulis tiba-tiba terasa amat meluat sangat-sangat. Pada malam ini pula, presiden Persatuan Pengguna Islam yang ditempelaknya semalam mengemukakan cabaran kepada beliau agar bersemuka.

Gelagat pegawai kanan berkenaan amat berlawanan dengan amalan dan halatuju yang sedang dipelopori oleh Perdana Menteri(PM), Datuk Sri Najib Tun Razak yang sering bergelumang ke sana ke sini bersama rakyat untuk mendengar dan merasai penderitaan dan keperitan rakyat. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, sekurang-kurangnya Perdana Menteri kini sedang  dilihat sedaya upaya cuba merasai setiap nadi rakyat. Sepatutnya pegawai berkenaan perlu respon dengan cara yang lebih berhemah dan bukannya membidas dan melenting tak tentu pasal.

Agak kasihan kepada PM yang sering bermandikan peluh berjalan di sana sini bagi bersama rakyat, sedangkan masih ada pegawai kerajaan yang bersikap angkuh. Harus diingat bahawa salah satu punca bebanan hutang individu yang menjurus kepada insolvensi adalah disebabkan langkah kerajaan sebelum Najib menaikkan harga minyak secara membuta tuli dan menaikkan gaji kakitangan awam secara tidak teratur dan tidak berhemah yang menyebabkan kos barang keperluan naik mendadak. Salah seorang yang mendapat manfaat dari kenaikan gaji tersebut ialah pegawai yang angkuh berkenaan. Sepatutnya beliau bersyukur dan bersikap ehsan kepada rakyat atau golongan yang tidak bernasib baik seperti beliau.

Sudah sampai masanya kerajaan memantau dengan lebih kerap akan gelagat pegawai kanan dan ketua-ketua badan berkanun, GLC dan yang sama taraf dengannya agar lebih bersifat ihsan kepada rakyat, pekerja dan pelanggan. Jika tidak, Najib masih berseorangan dalam melakukan transformasi politik, ekonomi dan sektor awam di Malaysia. Jika perlu, cuba semak sama ada mereka-mereka ini satu kapal dengan Datuk Seri atau agen atau golongan dari kapal yang berlainan dengan Datuk Sri bagi mengelakkan unsur sabotaj terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh PM.

@MyIktisad

Menu Rakyat 1 Malaysia Sedap, Berkualiti

Utusan Malaysia telah melaporkan pada 18 Okt. 2011 bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.Kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.Kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Difahamkan  bahawa  program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Sumber : BERNAMA & Utusan Malaysia

Monday, October 17, 2011

Bank Muamalat Untung RM 40.8 juta

Bank Muamalat Malaysia Bhd telah melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM40 juta bagi suku pertama, merujuk kepada tiga bulan terkini Jun 2011.Keuntungan bersih juga dicatatkan sebanyak RM 28.9 juta dalam tempoh yang sama dibawah kajian semula. Prestasi yang mantap ini mencerminkan sumbangan yang lebih tinggi daripada pendapatan operasi dan peningkatan kualiti aset di mana peruntukan untuk kemerosotan nilai ke atas pembiayaan dalam keadaan sederhana dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun 2011.

Jumlah pendapatan meningkat kepada RM 206.5juta dalam tempoh tiga bulan yang dilaporkan, meningkat sebanyak 16.2 % berbanding tahun lalu.Ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan sebanyak 9.6% dalam pembiayaan, yang meningkat kepada RM 7.3 billion pada akhir Jun 2011 dengan peningkatan permintaan yang kukuh bagi kedua-dua produk iaitu pengguna dan perniagaan.

Maklumat Lanjut : http://www.muamalat.com.my/

Sunday, October 16, 2011

Hub Halal Di Selayang Bakal Disewa/Dijual

Pada 24 Ogos 2011 yang lalu, penulis telah mengutarakan isu hab halal di Selayang yang seakan telah terbiar di http://myiktisad.blogspot.com/2011/08/apa-jadi-dengan-wisma-hub-halal-di.html. Namun begitu ketika penulis  ke Selayang pada pagi tadi penulis telah terpandang iklan besar di bangunan berkenaan yang mana bangunan berkenaan telah diiklankan untuk disewa atau dijual.

Maka dengan itu, penulis terpaksa membuat kesimpulan bahawa pelan asal pada bangunan berkenaan untuk dijadikan hub hala tidak akan diteruskan. Penulis mencadangkan agar NGO-NGO Islam yang menitikberatkan soal halal dan haram, yang mempunyai kuasa pendesak agar mengambil inisiatif untuk mengambilalih bangunan berkenaan. Ianya boleh dilakukan dengan menubuhkan sebuah syarikat dan menerbitkan saham kepada NGO-NGO Islam dan individu lain  yang berminat bagi melabur di dalam syarikat berkenaan untuk mewujudkan dana bagi tujuan berkenaan. Ini penting kerana umat Islam seakan sudah tiada masa lagi untuk berhetorik dan berpolitik secara berterusan tanpa disusuli tindakan konkrit bagi memajukan ekonomi umat Islam. Ini penting bagi mewujudkan lebih banyak industri halal yang mana pengguna yang beragama Islam tidak akan berasa was-was lagi bagi melakukan pembelian barang keperluan asas harian.

Produk-produk halal itu juga semestinya berpeluang dipasarkan kepada bukan Islam jika harga yang ditawarkan adalah kompetitif selain menawarkan ciri-ciri kebersihan dan kualiti yang tinggi.

@MyIktisad

Saturday, October 15, 2011

Bagaimana Negara Boleh Mencapai Belanjawan Berimbang?

Kerajaan disaran menyasarkan belanjawan berimbang pada tahun-tahun akan datang bagi menguatkan sistem pertahanan ekonomi negara. Ianya boleh dilakukan bukannya dengan mengurangkan jumlah peruntukan, tetapi memastikan agar segala proses perolehan dan perbelanjaannya diperolehi pada harga yang kompetitif. Ini bermaksud tiada ruang bagi golongan yang mengaut keuntungan berlebihan bagi setiap usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan. Ini termasuklah pembangunan infrastruktur negara di seluruh kawasan. Gejala rasuah perlulah dibendung secara besar-besaran.

Belanjawan berimbang bermaksud jumlah belanjawan yang dirancangkan adalah bersamaan dengan jumlah pendapatan yang disasarkan oleh negara dalam suatu tempoh.Kerajaan juga boleh memulakan inisiatif ini pada tahun 2012 dengan memperkenalkan perbelanjaan berimbang. Ianya menerusi kaedah yang memastikan setiap perbelanjaan yang dibuat adalah tidak akan melebihi daripada pendapatan negara. Ianya boleh dimulakan di sektor-sektor awam yang mana setiap perbelanjaan perlulah mengikut keperluan sebenar dan mengamalkan dasar mendahulukan yang perlu didahulukan,dan dikemudiankan bagi yang kurang perlu. Setiap perbelanjaan perlulah disalaurkan kepada aktiviti-aktiviti yang produktif.

Jika ini dapat dilakukan ianya bakal menguatkan sistem pertahanan ekonomi negara yang mana ianya bakal menaikkan rezab dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang. Penulis yakin kita mampu melakukannya.

@MyIktisad

Friday, October 14, 2011

TM Dan JAKIM Bangunkan Portal Halal

Bernama pada 13 Oktober 2011 telah melaporkan bahawa TM Info-Media Sdn Bhd(TMIM), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd, telah menandatangani memorandum persefahaman(MoU) dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) bagi pembangunan portal halal. Mengikut kerjasama berkenaan, TMIM yang juga menerbitkan direktori "Yellow Pages", bertanggungjawab untuk membangunkan dan menyelenggara portal halal tersebut manakala JAKIM pula bakal menyediakan senarai syarikat yang diberikan pensijilan halal.

Portal berkenaan boleh dilayari di http://www.halalpages.com.my/, yang merupakan portal yang menyediakan kepada para pengguna senarai produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan pengesahan halal dan diperakui oleh JAKIM. Hanya syarikat-syarikat yang disahkan halal dibenarkan menempatkan produk mereka yang disahkan halal di dalam portal berkenaan yang dikemaskini dua minggu sekali.

Sumber: Bernama
@MyIktisad

Thursday, October 13, 2011

Zon Eropah Perlu Bantuan Disebabkan Krisis Hutang

Utusan Malaysia hari ini telah melaporkan bahawa  zon Eropah memerlukan kira-kira dua trilion euro (RM8.6 trilion) - hampir lima kali ganda daripada saiz bantuan yang diterima sebelum ini, untuk menangani krisis hutang, menurut bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.Beliau berkata demikian selepas beberapa jam pembuat dasar Slovakia mengundi menentang peluasan Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF), meningkatkan kebimbangan para pemimpin Eropah mengenai peluang untuk menyelesaikan hutang.

Brown berkata, dana kestabilan itu hanya berjumlah 400 bilion euro (RM1.72 trilion) dan kebanyakan rakyat berpendapat dana itu lebih diperlukan untuk menahan tekanan melebihi dua trilion euro (RM8.37 trilion).''Berikutan itu, kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ...meskipun ketika negara-negara Eropah tidak bersedia untuk mengundi bagi dana bantuan lebih besar,'' katanya.Beliau berkata, Britain telah menolak untuk menandatangani bantuan tersebut disebabkan kelemahan dalam pendekatan bagi menangani krisis hutang itu.

Brown berpendapat mata wang tunggal tidak mampu membantu tetapi hanya melalui kerjasama fiskal.
Slovakia hari ini menolak peluasan bantuan EFSF 440 bilion euro (RM1.89 trilion).Keputusan itu telah menghalang usaha Kesatuan Eropah untuk merombak dana bantuan memandangkan mereka berusaha untuk menangani kegagalan hutang di Greek merebak kepada ekonomi-ekonomi dan bank-bank, dikhuatiri boleh mengakibatkan satu lagi kemelesetan kewangan.

Sumber: AFP &Utusan Malaysia

Saturday, October 8, 2011

Adakah Bajet 2012 Mampu Mengekang Penyangak Hartanah ?

Langkah kerajaan meningkatkan pengeluaran rumah mampu milik pada belanjawan tahun hadapan dilihat bakal mengurangkan sedikit sebanyak tekanan kepada rakyat yang belum memiliki rumah. Selain daripada itu kerajaan juga mengenakan cukai kepada mana-mana hartanah yang dijual dalam tempoh tertentu juga dilihat sebagai salah satu usaha mengekang spekulasi harga hartanah.

Namun begitu siapa yang dapat memberi jaminan bahawa golongan sasar akan mendapat rumah mampu milik berkenaan. Selalunya pihak penjawat awam yang bertugas hanya mampu menilai berdasarkan dokumen slip gaji atau percukaian. Bagaimana pula yang tidak mempunyai slip gaji, yang mendakwa dirinya hidup susah, tetapi mempunyai perniagaan dan mampu membeli kereta mewah? Bagaimana untuk menghalang golongan ini dari terus mengambil kesempatan?

Walaupun agak sukar, diharapkan pihak yang terbabit terus memantau keadaan seperti ini. Pelbagai kaedah penilaian perlu dicari agar golongan sasar tidak terus tercicir daripada inisiatif kerajaan untuk membantu mereka.

@MyIktisad

Ke Arah Melahirkan Rakyat Berpendapatan Boleh Guna Yang Tinggi

Memiliki rakyat berpendapatan tinggi agak mudah dilakukan. Salah satu caranya ialah dengan meningkatkan skim gaji kakitangan awam dan swasta dan juga melaksanakan konsep gaji minima di Malaysia. Namun jangan  kita lupa, bahawa mempunyai pendapatan yang tinggi adalah tidak bermakna jika hampir kesemua pendapatan berkenaan hanya cukup-cukup untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.

Kos sara yang tinggi antaranya disebabkan oleh pembelian rumah kediaman yang harganya terlalu mahal di pasaran, kos pengangkutan yang tinggi, pendidikan anak-anak yang semakin kritikal, utiliti, petrol, kesihatan dan sebagainya. Faktor-faktor seperti ini akan terus menjadi duri dalam daging jika tiada sesiapapun dikalangan pembuat dasar melihat isu-isu berkenan untuk ditangani.

Antara punca-puncanya ialah rantaian kitaran perniagaan hanya dikuasai oleh sebilangan pihak yang tamak haloba. Kita pernah melihat isu-isu seperti kekurangan bekalan minyak masak, tepung , ayam , ikan dan sebagainya. Ada pengeluar yang sanggup membakar anak-anak ayam bagi mengekalkan harga yang mereka mahukan. Namun isu berkenaan seolah-olah sudah hilang apabila kerajaan masuk campur di dalam pasaran dengan melantik syarikat berkaitan kerajaan yang juga bertindak sebagai pembekal. Ini termasuklah contoh oleh SimeDarby dengan mengeluarkan minyak masak berjenama ALIF dan juga pengambilalihan syarikat pengeluar gula MSM oleh Felda. Sesungguhnya kaedah campur tangan di dalam pasaran oleh kerajaan  sedikit sebanyak dapat menstabilkan bekalan dan mengelakkan manipulasi oleh golongan yang tamak haloba.

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya kerajaan meneruskan usaha besar besaran untuk memerangi ketidakadilah di dalam rantaian perniagaan. Jika ianya tidak dilakukan, sampai bilapun ianya tidak akan memberikan hasil yang baik kepada rakyat. Tidak ada gunanya rakyat berpendapatan tinggi, jika ianya hanya mampu memberikan nilai yang sedikit kepada rakyat untuk membelanjakannya, sedangkan ada pihak yang terus menerus membuat untung berlebihan atas jerit perit rakyat jelata.

@MyIktisad

Friday, October 7, 2011

Hapuskan Penyangak Hartanah:Boikot Dari Membeli Rumah Berharga Lebih RM 200,000

Rakyat Malaysia perlu berani melancarkan "boikot" dari membeli rumah berharga lebih daripada RM 200,000. Ini adalah kerana,harga rumah yang tinggi sekarang adalah lebih berpunca daripada tindakan penyangak-penyangak hartanah yang tamak haloba. Mereka membeli hartanah dalam kuantiti yang banyak dengan bertujuan menjualnya semula pada harga yang tinggi. Ada pula kecenderungan pemaju menyorok unit-unit tertentu daripada dijual agar bekalan hartanan di pasaran akan terus berkurangan.

Antara yang boleh dilakukan oleh para pengguna ialah dengan berpakat menanggguhkan pembelian rumah dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang. Pertimbangan boleh dilakukan dengan hanya memilih rumah-rumah yang menawarkan harga kurang daripada RM 200,000 seunit. Ini adalah penting agar para pemaju perumahan dan penyangak-penyangak hartanah dari terus menindas rakyat Malaysia.

Kerajaan juga perlu bertindak tegas kepada golongan ini. Mereka tidak ada bezanya dengan ulat-ulat tiket yang berleluasa di Hentian Bas atau di Stadium Bolasepak selama ini. Jika usaha dilakukan untuk benteras ulat-ulat ini, mampu dilakukan, kita tidak nampak alasan  kenapa tindakan yang sama tidak dapat dilakukan ke atas mereka.

@MyIktisad

Harga Rumah Yang Tidak Munasabah :Pemaju Amal Taktik ‘Kotor’

"Utusan Malaysia pada  6 Okt. 2011 telah melaporkan bahawa harga rumah yang melambung tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit dilihat seakan fenomena biasa di sekitar Lembah Klang.Jika 10 tahun lepas, rumah teres dua tingkat boleh dibeli dengan harga sekitar RM200,000 untuk kawasan-kawasan di pinggir bandar Kuala Lumpur, kini ia seumpama mimpi.

Harga rumah didapati terus meningkat dengan pantasnya sehingga mencecah angka yang sudah tentu tidak mampu dicapai oleh kebanya kan bakal pembeli yang berpendapatan sederhana terutama golongan muda.
Apakah sebabnya? Adakah ini menunjukkan penduduk di Lembah Klang telah meningkat pendapatan mereka atau ada pihak yang ingin mengaut keuntungan cepat?

Antara kaedah yang digunakan untuk memastikan harga rumah naik dengan cepat ialah menggunakan taktik menyimpan unit tertentu sebelum projek perumahan dilancarkan secara rasmi.Usaha itu mencapai kejayaan berdasarkan kerjasama yang baik antara pemaju dan spekulator untuk melonjakkan harga pasaran.
Mengikut ‘peraturan’ tersebut, jika mahu mendapatkan pilihan terbaik, pembeli terpaksa akur dengan harga yang ditawarkan biarpun pada kadar lebih tinggi.

Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini."

Bagi penulis pula perkara/taktik seperti ini sudah tidak dapat diselindungi lagi oleh pihak awam. Sebagai contoh di Shah Alam 2, penulis ternampak ada poster memaparkan ada pihak yang menawarkan pembelian unit-unit kediaman secara terbuka dan besar-besaran. Ini adalah salah satu contoh permainan spekulator di pasaran hartanah. Pihak berkuasa perlu turun padang dan memantau perkembangan ini. Zaman duduk selesa di pejabat dan menunggu laporan telah berlalu.

Jika ini tidak dilakukan, sampai bilapun pendapatan rakyat tidak akan cukup menampung kos sara hidup mereka. Ini kerana , kekayaan ini telah dirompak oleh segolongan tertentu yang tamak haloba dan berjiwa kapitalis. Kerajaan perlu masuk di pasaran hartanah dengan menubuhkan  lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan(GLC) atau berkerjasama dengan pemaju yang seiring dengan falsafah kerajaan bagi menawarkan lebih banyak rumah mampu milik di negara ini. Kita boleh namakan projek ini dengan nama Skim Rumah 1Malaysia dan tertumpu di peringkat kos rendah dan sederhana.

Sumber-Utusan Malaysia

@MyIktisad

Thursday, October 6, 2011

Utamakan Kepentingan Umum Berbanding Kumpulan Atau Individu Tertentu

Kerajaan diharapkan agar mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan individu atau kumpulan tertentu dalam pembentangan bajet 2012 yang akan datang.Kepentingan umum adalah mewakili sebahagian besar daripada suara rakyat Malaysia. Ini penting kerana rata-rata golongan ini yang paling terjejas dalam kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Setiap inisiatif yang bakal dijalankan perlulah berasarkan dengan konsep ini selaras dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kesedaran ini adalah penting kerana, setelah sekian lama Malaysia merdeka tuntutan kumpulan-kumpulan tertentu yang sentiasa mempertahankan puak serta persatuan masing-masing sering kedengaran. Implikasinya kekayaan negara selama ini tidak dapat diagihkan dengan sewajarnya rentetan daripada budaya seperti ini yang sudah lama bertapak.

Sebagai contoh, rantaian perniagaan masih lagi dikuasai oleh golongan-golongan tertentu sahaja yang mana seringkali berlakunya manipulasi harga barangan dan perkhidmatan di pasaran yang menyebabkan golongan pengguna terus tertekan walaupun berlakunya pertambahan pendapatan. Pengenalan kedai Rakyat 1Malaysia perlu diperluaskan di seluruh negara.

Kerajaan juga perlu menimbang untuk memasuki rantaian industri hartanah secara aktif bagi membendung spekulasi bahan binaan dan harga hartanah yang semakin tidak munasabah. Pengambilalihan syarikat pengeluar bahan binaan oleh kerajaan dilihat amat kritikal bagi menstabilkan harga pasaran hartanah. Ini termasuklah mengambilalih  kilang pengeluar simen, alatan pembinaan dan sebagainya menerusi syarikat berkaitan kerajaan khas yang ditubuhkan bagi tujuan berkenaan.

Pemberian pinjaman kepada pengguna dilihat kurang berkesan kerana pengguna masih perlu berhutang dengan jumlah yang banyak disebabkan harga hartanah yang tidak munasabah. Kerajaan juga disaran memantau syarikat-syarikat yang membeli hartanah untuk tujuan spekulai dengan memperkenalkan garis panduan tetentu bagi menjaga kepentingan awam. Dengan cara ini sedikit sebanyak keadilan sosial di kalangan rakyat Malaysia dapat ditegakkan.

Wednesday, October 5, 2011

Kenali Jualan Singkat Di pasaran Saham

Jualan singkat (short selling) adalah suatu aktiviti urusniaga yang agak sinonim di pasaran saham.Pertama, mari kita menggambarkan apakah maksud istilah jualan singkat a apabila anda membeli saham-saham. Dalam proses pembelian saham, kita sebenarnya membeli sejumlah pemilikan dalam sesebuah syarikat. Membeli dan menjual saham boleh berlaku dengan broker saham atau terus daripada syarikat melalui pendaftar saham yang telah dilantik oleh syarikat berkenaan.Pembelian  melalui syarikat broker adalah yang paling biasa digunakan, lebih-lebih lagi melibatkan urusniaga di pasaran terbuka melaui bursa saham. Mereka bertindak sebagai perantara di antara pelabur dan penjual dan mengenakan bayaran untuk perkhidmatan mereka seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak industri dan kawal selia.

Apabila menggunakan broker
, kita  perlu untuk membuka akaun. Akaun yang diwujudkan ialah  sama ada terdiri daripada akaun tunai atau akaun margin. Akaun tunai memerlukan anda membayar bagi stok anda apabila anda membuat pembelian, tetapi dengan akaun margin broker meminjamkan anda sebahagian daripada dana pada masa pembelian dan jaminan keselamatan yang bertujuan sebagai cagaran.

Apabila pelabur melakukan proses pembelian(long position) ke atas pelaburan, ia bermakna bahawa dia telah membeli saham yang mana pelabur mempercayai/berharap/meramal harganya akan meningkat pada masa akan datang. Sebaliknya, apabila pelabur melakukan proses jualan (short position),
seseorang pelabur menjangkakan penurunan dalam harga saham akan berlaku.Proses ini bertujuan untuk mengambil untung atau mengurangkan risiko kerugian pada masa depan.

Jualan singkat ialah proses tindakan penjualan saham yang mana penjual sebenarnya tidak memiliki apa jua saham yang telah dijual tersebut terutamanya di dalam akaun CDS(Central depository System) pada masa jualan dilakukan. Lebih khusus lagi, ianya merupakan proses penjualan sekuriti/saham yangmana ia tidak dimiliki oleh penjual, tetapi penjual telah menjanjikannya untuk diserahkan kepada pembeli. Ianya berlaku apabila pelabur/penjual telah yakin untuk menjangkakan bahawa saham yang telah dijual berkenaan akan terus menyusut lagi dipasaran, dan penjual akan membeli semula saham berkenaan pada harga yang paling rendah. Ini membolehkan sejumlah keuntungan dapat diperolehi dengan menggunakan kaedah seperti ini. Kaedah jualan singkat telah diharamkan di Bursa Malaysia semasa berlakunya krisis kewangan hujung 90-an di mana penulis semasa itu bertugas sebagai ‘Credit Control” di salah sebuah broker saham yang mana sekarang ini dikenali sebagai bank pelaburan. Namun penulis kurang pasti, sama ada aktiviti ini sudah dibenarkan atau masih lagi diharamkan pada masa kini.

Tuesday, October 4, 2011

Malaysia Perlu Lahir Intelektual Syariah Bagi Industri Kewangan Islam -Awang Adek

Bernama pada 3 Oktober 2011 telah melaporkan bahawa Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, beberapa strategi perlu dilaksanakan dalam memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.Menurut beliau, strategi pertama yang dianggap penting ialah dengan melahirkanintelektual syariah yang dinamik bagi menyokong industri kewangan Islam.

Beliau menambah, para intelektual Syariah yang dinamik diperlukan untuk memainkan peranan dalam usaha menyahut seruan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan amalan Syariah kewangan Islam global.Selaras dengan keperluan semasa, penguasaan ilmu oleh para ulama dan cendikiawan Islam pada hari ini sudah semestinya tidak terbatas kepada satu bidang keilmuan sahaja, katanya.

"Pengetahuan ekonomi, kewangan dan perundangan yang kukuh perlu digabungkan dengan kefahaman Syariah yang menyeluruh.Kombinasi ilmu yang mendalam merupakan alat kepada penetapan hukum syariah yang mendasari setiap produk dan perkhidmatan kewangan Islam," katanya dalam ucaptama dan majlis pembukaan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam, KLIFF keempat .

Sumber-Bernama

@MyIktisad

Monday, October 3, 2011

Perbankan Islam Semakin Menyerlah

Utusan Malaysia pada  2 Okt.  2011 telah melaporkan bahawa produk-produk perbankan Islam semakin diminati berikutan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam global menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion). Ia terus berkembang meluas sehingga hampir mengatasi produk-produk konvensional. Antara bahagian utama yang telah mendapat kesan positif bagi kewangan Islam adalah pasaran modal, pembiayaan korporat, perbankan runcit, takaful, pelaburan, unit amanah dan khidmat nasihat.Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd., Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, Malaysia bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu perbankan Islam dan bank itu akan terus menyokong hasrat negara mengembangkan industri kewangan Islam di peringkat global.

''Berkaitan isu itu, kami merasakan terdapat banyak peluang untuk berkembang dalam usaha menjadikan negara sebagai hab perbankan Islam dan kami percaya mempunyai peranan untuk dilaksanakan. ''Industri kewangan Islam dijangka menjadi pasaran bernilai trilion dolar pada masa hadapan. ''Malah laporan suku kedua Standard & Poor menunjukkan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion) mewakili penguasaan pasaran sebanyak 10 peratus komuniti Muslin di peringkat global,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Abdull Aziz berkata, sebagai tambahan lebih banyak kerajaan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula mengiktiraf kepentingan pasaran modal yang stabil dan berfungsi dengan baik bagi menyokong pembangunan ekonomi.''Kunci utama kejayaan Malaysia dalam kewangan Islam disebabkan oleh pelaksanaan polisi berbanding Timur Tengah, Singapura dan Hong Kong,'' jelasnya.''Perbankan Islam kini merupakan 20 peratus dari aset perbankan negara membuktikan bahawa pertumbuhan hanya berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Saturday, October 1, 2011

Burukkan Negara Bakal Menyebabkan Ekonomi Terjejas

Sejak kebelakangan ini beberapa pihak sering memburukkan negara Malaysia tercinta di negara-negara jiran. Belum sembuh lagi luka apabila salah seorang pemimpin pembangkang di Malaysia yang membuat kenyataan bahawa produk batik Malaysia adalah "jelek" dan menjadi bahan ketawa di negara jiran, timbul lagi kenyataan daripada salah seorang pemimpin pembangkang yang menyatakan bahawa salah satu negeri di Malaysia iaitu di Johor tidak selamat.

Sesungguhnya kenyataan seperti ini tidak perlu timbul sama sekali jika kita sayangkan negara kita. Kita harus ingat, bahawa Malaysia adalah salah satu negara perdagangan yang mana setiap strategi perniagaannya bakal menjadi perhatian negara-negara lain yang turut bersaing. Jika benarlah ini tujuan utamanya untuk menyebabkan ekonomi terjejas dan pada masa itu pihak berkenaan ingin mempolitikkannya unuk berkuasa, maka ianya haruslah ditentang habis habisan.

Para pemimpin politik negara ini haruslah mendahulukan kemaslahatan umat berbanding kepentingan peribadi. Apa gunanya kalau kita dapat memerintah jika keadaan negara dalam keadaan rosak binasa dan sering serta senag diperkotak katikkan oleh negara asing.Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai apa-apa, kita hanya mampu mempunyai kuasa mengundi bagi memilih parti-parti dan pemimpin-pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding dirinya sendiri.Oleh itu mulai sekarang kriteria berkenaan perlulah dipertimbangkan bila tiba masanya nanti tak kiralah di sebelah manapun. Dalam Islam, contoh yang terbaik ialah Rasulullah S.A.W sendiri yang mana, sehingga akhir hayatnya, Baginda masih terfikir akan nasib  umatnya.

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...