Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, February 27, 2012

Garis Panduan Tidak Halang Pembiayaan Peminjam Yang Mampu Bayar Balik Pinjaman

6 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 24 Feb, 2012- Garis Panduan Mengenai Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2012, tidak menghalang peminjam yang mampu membayar balik pinjaman, demikian menurut Bank Negara Malaysia.

"Individu dan isi rumah hendaklah membuat pinjaman mengikut kemampuan mereka," kata bank pusat itu semasa menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan hutang isi rumah dalam negara.

Bank Negara sekali lagi menjelaskan bahawa maksud sebenar Garis panduan itu adalah untuk menggalakkan amalan pembiayaan runcit yang berhemat, bertanggungjawab dan telus serta memastikan sektor isi rumah dan pasaran kredit kekal berdaya tahan.

Bank pusat berkata demikian dalam satu kenyataan Jumaat susulan perbincangan dengan wakil-wakil industri automotif yang menyatakan kebimbangan bahawa syarat yang lebih ketat terhadap pinjaman sewa beli bagi kereta telah menjejaskan jualan.

Bank Negara juga telah memaklumkan institusi kewangan untuk memastikan bahawa pengguna yang mempunyai kemampuan dan keupayaan membayar balik pembiayaan terus mendapat akses kepada pembiayaan tersebut.

Sumber- BERNAMA

TM Cadang Pembayaran Semula Modal 30 Sen Sesaham

6 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 24 Feb,2012- Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mencadangkan pembayaran semula modal kepada pemegang sahamnya iaitu kira-kira RM1.073 bilion atau 30 sen sesaham.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia Jumaat, syarikat berkata cadangan pembayaran semula modal itu akan dibiayai menerusi baki tunai sedia adanya iaitu RM4.213 bilion pada 31 Dis, 2011.

TM berkata bersama-sama dengan dividen akhir satu tier untuk tahun kewangan 2011 iaitu 9.8 sen sesaham, jumlah agihan tunai kepada pemegang saham akan berjumlah RM1.423 bilion, atau 39.8 sen sesaham.

TM juga bercadang membuat pindaan kepada Memorandum dan Artikel Persatuannya bagi memudahkan cadangan pembayaran semula modal berkenaan.
 Cadangan pembayaran semula modal itu adalah seiring dengan objektif rangka kerja pengurusan modalnya yang melibatkan pemulangan tunai yang melebihi keperluannya kepada pemegang saham, katanya.

 Sumber- BERNAMA

TM Sasar 400,000 Pelanggan Unifi Menjelang Akhir Tahun 2012

6 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 24 Feb,2012- Telekom Malaysia Bhd, yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.001 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, menyasarkan untuk merekodkan 400,000 pelanggan Unifi menjelang akhir tahun.

Sasaran itu adalah berasaskan kadar 1,000 pemasangan sehari, katanya kepada Bursa Malaysia Jumaat.
TM berkata 2011 merupakan tahun yang baik dari segi pertumbuhan jalur lebar, terutama UniFi, dengan bilangan pelanggan jalur lebar seramai 1.92 juta, termasuk 236,501 pelanggan UniFi sehingga 31 Disember 2011.Walaupun ekonomi dunia tidak menentu dan saingan hebat dijangkakan dalam landskap telekomunikasi, kumpulan itu mengunjurkan persekitaran perniagaannya bagi tahun kewangan 2012 kekal positif. Keuntungan sebelum cukai TM bagi tahun kewangan 2011 susut kepada RM1.001 bilion berbanding RM1.360 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

 Sumber-BERNAMA

Saturday, February 25, 2012

TM CATAT PRESTASI KUKUH – HASIL TAHUNAN SEBANYAK RM9.15 BILION

3 Rabiulakhir 1433

Telekom Malaysia Berhad (TM) melangkaui kesemua 3 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

TM mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 4.1% kepada RM9,150.7 juta berbanding RM8,791.0 juta yang direkodkan tahun lalu. Ini disumbangkan oleh pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen Internet dan Multimedia yang meningkat 21.1% kepada RM2,001 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu; dipacu oleh pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar, terutamanya UniFi.

Margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi yang Dinormalisasi (EBITDA) adalah pada 33.5 melebihi catatan tahun lepas iaitu 33.1% berikutan peningkatan operasi berterusan yang memberikan hasil operasi yang lebih tinggi pada kos yang lebih rendah. Dengan fokus berterusan terhadap meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan serta produk dan perkhidmatannya, TM mencatatkan tahap kepuasan pelanggan[1] lebih daripada 70; melebihi mata purata bagi syarikat telekomunikasi global iaitu 67.


Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) direkodkan sebanyak RM1.19 bilion selari dengan tempoh yang sama pada tahun 2011. PATAMI yang dinormalisasi, tidak termasuk keuntungan daripada pelupusan pelaburan, kerugian tukaran wang asing belum nyata atas pinjaman USD dan insentif cukai sambungan akhir tahun-tahun terdahulu, dicatatkan pada RM634.8 juta, peningkatan 12.6% berbanding RM563.7 juta pada 2010, disebabkan terutamanya oleh EBITDA yang lebih tinggi.

Bercakap di sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan penuh Syarikat bagi tahun kewangan 2011, Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Sesungguhnya 2011 merupakan satu lagi tahun bersejarah buat TM. Kami terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dalam prestasi dan operasi dan sepanjang itu, melakar beberapa pencapaian penting. UniFi terus menjadi perhatian dengan prestasi membanggakan dari segi pelaksanaan dan penerimaan – menjadikan HSBB sebuah kisah kejayaan peringkat global. Ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju jalur lebar Malaysia.”

Dato’ Sri Zam mengulas lanjut, “UniFi terus menunjukkan prestasi yang melangkaui jangkaan kami pada suku ke-4 tahun 2011. Dari segi liputan, kami telah melaksanakan perkhidmatan ini di 1.16 juta premis meliputi 78 ibu sawat. Dari segi penerimaan, kami telah mengaktifkan 236,501 pelanggan, iaitu penambahan bersih sebanyak 43.9% atau 72,000 pelanggan dari suku ke suku.”

Setakat ini, TM telah meluaskan perkhidmatan ini ke lebih 1,179,000 premis sedia dipasang meliputi 79 kawasan ibu sawat. Perkhidmatan HyppTV yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan tiga serangkai UniFi pula kini menawarkan 81 saluran. Setakat semalam, TM telah mengaktifkan lebih daripada 283,000 pelanggan.

Ditambahkan dengan Streamyx, jumlah pelanggan jalur lebar meningkat 12.3%, daripada 1.71 juta pada 2010 kepada 1.92 juta pada 2011. Selari dengan strateginya untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan kualiti jalur lebar menyeluruh biarpun di luar kediaman, TM telah menambah bilangan lokasi WiFinya daripada 10,982 lokasi pada akhir 2010, kepada 19,799 lokasi pada akhir 2011, pertambahan lebih 80% tahun-ke-tahun.

“ICT dan BPO kian menjadi sebahagian daripada teras perniagaan kami. Sepanjang tahun lalu, kami telah mempergiatkan usaha untuk menjadi sebuah pembekal ICT-BPO yang disegani, terutamanya dalam segmen Perusahaan dan Kerajaan. TM juga telah memeterai beberapa kolaborasi dengan syarikat terkemuka dalam perkhidmatan TelePresence, pengkomputeran ‘cloud’ dan yang seumpamanya. Ini bakal membawa kami semakin hampir kepada aspirasi kami untuk mengubah TM menjadi sebuah Pusat Data dan Kandungan bersepadu,” tambah Dato’ Sri Zam.
“Kami kekal komited untuk memberikan pulangan yang kukuh dan berkekalan kepada para pemegang saham kami menerusi komitmen dividen kami iaitu RM700 juta atau sehingga 90% daripada PATAMI yang dinormalisasi, yang mana lebih tinggi dan terus memberi nilai kepada pemegang saham. Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah telah meluluskan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 9.8 sen, sebagai tambahan kepada dividen interim sebanyak 9.8 sen yang berjumlah RM350.6 juta yang telah diagihkan pada September 2011. Saya juga ingin mengumumkan bahawa TM akan melaksanakan pembayaran balik modal (capital repayment) sebanyak 30 sen sesaham dengan cara pengurangan modal berjumlah RM1.07 bilion kepada pemegang saham kami. Melalui pemulangan ekuiti kepada pemegang saham kami, kami memberikan peningkatan dan penambahan nilai segera kepada kadar pulangan jangka panjang para pemegang saham. Setakat 31 Disember 2011, Jumlah Pulangan kepada Pemegang Saham (TRS) bagi tempoh 12 bulan kami berada pada 60.1%, mengambil kira pembayaran dividen dan kenaikan harga sepanjang tempoh tersebut. Kami terus mendahului kebanyakan syarikat tempatan lain dalam aspek ini. Sejak pengasingan pada tahun 2008 sehinggalah 31 Disember 2011, TRS kami telah mencapai 153.91%,” tambah Dato’ Sri Zam.

Pembayaran dividen akhir ini akan dilakukan pada bulan Jun 2012 dan pembayaran balik modal dijangka akan dibuat pada suku ke-3 tahun 2012.

“Kami terus menumpukan kepada memperbaiki kualiti pengalaman pelanggan untuk pelanggan kami dan kejayaan mencapai KPI Utama kami dengan mata melebihi purata industri merupakan petanda positif bahawa usaha berterusan kami untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pelanggan dengan kami dan program-program peningkatan kualiti yang kami laksanakan telah menunjukkan hasil yang baik. Justeru, di sini saya ingin mengumumkan bahawa tahun 2012 akan menjadi Tahun Pengalaman Pelanggan buat TM, baik dari perspektif penawaran produk atau penyampaian perkhidmatan bagi mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kami kepada pelanggan. Contoh paling ketara adalah transformasi terbaru TMpoint yang dimulakan dengan Kelana Jaya yang memberi gambaran jelas bahawa kami serius dalam usaha kami.”

“Kami mempunyai kunci kira-kira yang mantap dengan hutang yang rendah secara relatifnya dan kedudukan tunai yang baik. Usaha kami ke arah mengoptimumkan kos dan mengekalkan kecekapan perbelanjaan modal (capex) terus menunjukkan hasil yang positif. Ini dapat dilihat pada jumlah perbelanjaan modal yang dibelanjakan yang lebih rendah 5.5% bagi FY2011 sebanyak RM2,563 juta berbanding FY2010 yang berjumlah RM2,712 juta. Hasilnya, nisbah jumlah perbelanjaan modal berbanding hasil menurun daripada 30.8% pada tahun lalu kepada 28; iaitu melangkaui komitmen HSBB kami,” akhiri beliau.


Sumber : TM


[1] (TRI*M Measuring, Managing and Monitoring) MSQOS, Piagam khidmat pelanggan dan indeks ukuran pelanggan dalaman mengukur tahap pengalaman keseluruhan pelanggan di semua pusat interaksi. TRiM (Measuring, Managing and Monitoring) merupakan satu sistem petunjuk yang standard. Ia menganalisis, mengukur dan menunjukkan hubungan pihak berkepentingan berdasarkan petunjuk yang standard.  Indeks TRI*M merupakan satu petunjuk ‘status quo’ bagi sesuatu hubungan. Indeks ini terhasil daripada empat aspek hubungan pihak berkepentingan contohnya untuk kesetiaan pelanggan: tahap keseluruhan, cadangan, pembelian produk/perkhidmatan yang berulang, dan kelebihan kompetitif sesebuah syarikat. Maklumat tersebut adalah berdasarkan kaji selidik/wawancara berdasarkan sampel pelanggan.


Jepun Pilih Cyberjaya Sebagai Model Ikutan

3 Rabiulakahir 1433

KUALA LUMPUR, 24 Feb, 2012- Jepun memilih Cyberjaya sebagai model bandar raya hijau (mesra alam) utama bagi bandar raya Jepun. Kerajaan Jepun telah menjemput Cyberjaya untuk berkongsi inisiatif hijau pada forum antarabangsa mengenai "Inisiatif Bandar Raya Akan Datang" pada 21 Feb di Tokyo.

Pipah Mohd Nasir, Pengurus Besar Setia Haruman Sdn Bhd, pemaju induk Cyberjaya, mengetengahkan Cyberjaya sebagai model ideal usaha sama awam dan swasta bagi merealisasikan kitaran pewujudan nilai yang merupakan isu teras dalam aspek nilai ekonomi bandar raya akan datang.

"Faktor kejayaan Cyberjaya yang disambut baik oleh peserta forum ialah ia mempunyai pendekatan berfokus, untuk menjadi pusat ICT selain inisiatif kedua menjadi pemimpin teknologi hijau," tambah beliau.

Forum itu dirasmikan oleh Hitoshi Goto, Naib Menteri Kanan bagi Pencergasan Semula Serantau, Jepun.

Sumber - BERNAMA

Felda Tekankan Aktiviti Bukan Ladang


3 Rabiulakhir 1433

Daripada Mohd Iswandi Kassan Anuar(Bernama)

ABU DHABI, 24 Feb, 2012- FELDA mengesahkan komitmennya untuk memberi penekanan terhadap aktiviti bukan ladang bagi mengurangkan pergantungan ke atas sektor perladangan. "Menyedari perlunya untuk meningkatkan pendapatan berpotensi daripada sektor bukan perladangan, kami mesti mempelbagaikan kegiatan menerusi program pembangunan usahawan," kata Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, pada pelancaran "A Glorious Malaysian Galore Festival" di sini hari ini.

Isa berkata setakat ini, barisan produk Felda telah memasuki pasaran antarabangsa, dengan produk makanan sudah dipasarkan di UK dan Singapura. Beliau berkata festival itu bertujuan mempromosi produk halal yang dihasilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana Felda dalam pasaran tempatan dan dunia yang berpotensi menguntungkan.

Festival 10 hari itu yang bermula hari ini di Mushrif Mall, adalah sebahagian daripada program pembangunan eksport Felda yang melibatkan unit-unitnya - Delima Oils Products Sdn Bhd, FELDA Trading Sdn Bhd dan Koperasi Permodalan FELDA.Tambahnya lagi, Felda sudah melaksar satu lagi kejayaan penting hasil usaha samanya dengan syarikat Abu Dhabi, EMKE Group, yang memiliki rangkaian pasar raya besar terkemuka, Lulu serta beebrap apusat membeli-belah.

"Produk makanan Felda akan dijual di pasar raya besar Lulu mulai hari ini selain menembusi 15 daripada 99 kedai di 10 negara di rantau Teluk itu," katanya. Isa berkata langkah utama ini sudah pasti akan membawa manfaat sosioekonomi kepada pemegang kepentingan dalam agensi itu.

Beliau berkata kejayaan Felda dalam mengurus dan mengurangkan kemiskinan berjaya menarik minat pelbagai kerajaan di seluruh dunia. "Bank Dunia pernah mengesahkan Felda sebagai antara agensi pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia dan wajar digunakan sebagai model oleh negara lain di Asia dan Afrika Barat," katanya. Felda ialah agensi perladangan terbesar di dunia yang memiliki kira-kira 880,000 hektar ladang kelapa sawit sebagai tanaman utamanya.

Sumber-BERNAMA

Thursday, February 23, 2012

Axiata Catat Perolehan, Untung Yang Lebih Tinggi

2 Rabiulakhir 1433


KUALA LUMPUR, 23 Feb, 2012 - Axiata Group Bhd mencatat perolehan sebanyak RM16.448 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, pencapaian yang lebih tinggi berbanding RM15.620 bilion pada 2010.

Keuntungan sebelum cukai kumpulan itu meningkat kepada RM3.577 bilion tahun lepas berbanding RM3.205 bilion pada tahun sebelumnya. Axiata mencatat kedudukan yang kukuh pada akhir tahun kewangan dengan sejumlah RM6.6 bilion tunai dan lembaran imbangannya kukuh.

Sumber- BERNAMA

Rizab BNM Berjumlah RM425.7 Bilion

2 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 22 Feb, 2012 - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM425.7 bilion (bersamaan US$134.4 bilion) sehingga pada 15 Feb, 2012.

Kedudukan rizab berkenaan mencukupi untuk membiayai 9.3 bulan import tertangguh dan 4.1 kali hutang luar jangka pendek, demikian menurut bank pusat dalam satu kenyataan Rabu.

Sumber- BERNAMA

Proton, Yes Tawar Akses Internet 4G Dalam Kereta Pertama Malaysia

2 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 22 Feb, 2012- Proton Holdings dan Yes, penyedia rangkaian 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd, Rabu mengumumkan kerjasama untuk menawarkan akses internet 4G dalam kereta yang pertama di Malaysia dalam kereta-kereta mewah dan sedan baharu P3-21A Proton yang akan dilancarkan bulan depan.

Dalam kerjasama itu, para pengguna Proton akan menikmati saling hubung 4G sebagai ciri standard tambah nilai yang baharu. Ia akan memanfaatkan rangkaian internet mudah alih 4G Yes yang pada masa ini meliputi lebih 65 peratus daripada kawasan berpenduduk negara.

Sumber- BERNAMA

Dua Lagi Kemudahan Unifi Di Pulau Pinang Julai Ini

2 Rabiulakhir 1433

BUKIT MERTAJAM, 22 Feb, 2012- Telekom Malaysia Berhad (TM) akan menyediakan dua lagi kemudahan unifi di Pulau Pinang pada Julai ini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, selain memperluas perkhidmatan itu di negeri ini. Pengurus Besar Negeri TM Pulau Pinang Azhar Omar berkata, dua kawasan terbabit ialah Butterworth dan Bukit Mertajam.

"Setakat ini kemudahan unifi ditawarkan di kawasan Bukit Tengah, Seberang Jaya dan Bayan Baru, dan penambahan dua lagi kawasan ini dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang sangat menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran TMPoint TM Authorised Dealer (TAD), di sini Rabu.

Beliau berkata sejak perkhidmatan itu diperkenal pada September tahun lepas, terdapat lebih seribu pelanggan unifi di Pulau Pinang. "Menerusi kemudahan unifi ini, pelanggan dapat menikmati capaian Internet yang cepat dan mudah selain boleh menonton televisyen secara dalam talian," katanya.

Sumber- BERNAMA

Amalkkan Konsep Musyarakah Mutanaqisah Dalam Perbankan Islam

2 Rabiulakhir 1433
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 21 Febuari , 2012 Konsep pembiayaan hartanah dan pinjaman peribadi dalam sistem perbankan sekarang dilihat lebih cenderung menghasilkan keuntungan jangka panjang kepada institusi kewangan dan tidak menepati kaedah 'maqasid syariah' yang mementingkan kesejahteraan umat Islam.

Justeru, Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sudah sampai masanya sistem perbankan beralih kepada konsep 'musyarakah mutanaqisah' sebagaimana diperkenalkan oleh Koperasi Syariah Angkasa (Kopsya).

Katanya, konsep itu mampu mewujudkan situasi menang-menang antara pelanggan dan pembiaya.

"Konsep pinjaman 'musyarakah mutanaqisah' yang dikelola oleh Angkasa melalui Kopsya meliputi sewaan, perkongsian dan penjualan yang akan mengurangkan tempoh pinjaman dan memberi keuntungan kepada pelanggan yang pada masa sama turut menjadi pelabur.

"Melalui kaedah ini, secara nisbah ahli mendapat pembiayaan 90 peratus dan membuat pelaburan 10 peratus kepada koperasi dengan sasaran tempoh pembayaran semula lebih pendek berbanding pembiayaan konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Inovasi Dalam Perbankan Islam-Musyarakah Mutanaqisah di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di sini hari ini.

Hadir sama Rektor Mediu, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi dan Presiden Persatuan Usahawan Muda Muslim Malaysia (PUMMM), P. Aizan Tukirin.

Menurut Mohd. Ali, bagi menggalakkan pembiayaan berkonsep 'musyarakah mutanaqisah', semua koperasi di negara ini diseru menjadi ahli Kopsya yang ditubuhkan tiga bulan lalu.

"Kepada hampir 10,000 koperasi di negara ini, saya sarankan sertai Kopsya untuk kita sama-sama mendaulatkan syariah dan tinggalkan elemen konvensional dalam pembiayaan.

"Sudah sampai masanya kita berhenti menggunakan pembiayaan yang tidak baik kepada umat Islam dan mengelakkan elemen 'inah' (jual beli tertangguh) dalam pembiayaan peribadi dan perumahan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tuesday, February 21, 2012

AIBIM Nafi Dakwaan Perbankan Islam Kaut Keuntungan Berlebihan

29 Rabiulawal 1433

KUALA LUMPUR, 21 Feb , 2012 - Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) menafikan dakwaan yang menyatakan institusi perbankan Islam di dalam negara ini mengaut keuntungan berlebihan.

"Kesemua institusi perbankan Islam di Malaysia beroperasi berdasarkan nilai-nilai syariah dan dikawal selia serta mematuhi piawaian tinggi Bank Negara Malaysia (BNM)," kata presiden AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah dalam kenyataan Selasa.

Pada masa ini, permintaan terhadap produk-produk perbankan Islam di dalam pasaran amatlah memberangsangkan kerana ia berdaya saing dan didokong oleh ketelusan tadbir urus dan mengutamakan dokumentasi kontrak yang jelas, sekali gus meningkatkan kestabilan dan integriti sistem perbankan Islam itu sendiri, kata beliau.

"Produk-produk ini dikaji dan diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah institusi perbankan Islam masing-masing dan disahkan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM."

Mohd Redza menafikan laporan akhbar yang menyebut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang menggesa agar diadakan semakan serta merta syarat dan terma yang digunakan dalam perbankan Islam, yang didakwa menindas para pengguna.

Sumber- BERNAMA

Kerajaan Perkenal Time 3 Perluas Liputan Selular Ke Kawasan Terpencil

29 Rabiulawal 1433

KUALA LUMPUR, 21 Feb , 2012- Kerajaan memperkenalkan program perluasan liputan selular yang melibatkan pembinaan 1,000 menara komunikasi di seluruh negara.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata program itu yang dikenali sebagai Time 3, menyasar kawasan terpencil dan kampung dengan penduduk kurang 80 orang bagi setiap kilometer persegi. "Setakat ini 127 menara telah dibina dan baki 873 menara dijangka selesai tahun ini," tambah beliau.

 Sumber- BERNAMA

Telefon Pintar Mampu Milik Di Malaysia Menjelang April

29 Rabiulawal 1433

 KUALA LUMPUR, 21 Feb , 2012- Telefon pintar baharu yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang April, menyasarkan segmen pasaran mampu milik.

Telefon berharga di bawah RM500 itu dimajukan dan dikeluarkan di Malaysia oleh sebuah syarikat tempatan, DMD Mobile Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed M. Daud, berkata syarikat itu sedang berunding dengan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi "DMD Android Smartphone Communicator", yang mempunyai kapasiti menampung rangkaian 3.75G dan kelajuan 650 Mhz bagi pemproses utama.

"DMD Android Smartphone Communicator dengan ciri Komunikasi Medan Dekat serta ciri-ciri dan aplikasi khusus lain, boleh menjadi penanda aras bagi industri ini di negara ini," katanya pada majlis pelancaran telefon pintar itu di sini pada Selasa.

Sumber- BERNAMA

Penyelarasan Lebih Baik Perlu Dalam Peraturan, Pensijilan Halal

29 Rabiulawal 1433

PETALING JAYA, 21 Feb, 2012 - Masih terdapat keperluan untuk penyelarasan yang baik di kalangan pihak berkuasa berkaitan di negara ini mengenai peraturan dan pensijilan halal dalam usaha menangani jurang yang semakin meningkat antara pihak berkuasa dan peserta industri dalam industri halal.

Ketua Pegawai Eksekutif International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance) Darhim Hashim berkata satu mekanisme yang sesuai perlu ada supaya pihak berkuasa boleh bekerjasama dalam menangani isu-isu semasa yang dihadapi oleh peserta industri halal.

"Terdapat keperluan untuk penyelarasan yang baik, sebagai contoh, antara Kementerian Kesihatan dan Jakim serta agensi-agensi kerajaan yang lain, supaya mereka boleh mengikuti perkembangan dalam perubahan trend industri halal," kata beliau kepada taklimat media di sini pada Selasa.

Permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat dengan pesat, didorong oleh peningkatan kesedaran di seluruh dunia tetapi terdapat kebimbangan yang kerajaan, terutamanya negara-negara Islam, tidak melakukan secukupnya untuk memenuhinya.

Sumber- BERNAMA

Monday, February 20, 2012

Perbankan Islam Perlu Berdasarkan Prinsip IMP

28 Rabiulawal 1433

Penulis kebetulan baru menerima notis daripada bank yang menawarkan perkidmatan kad kredit berasaskan Islam yang memberitahu kadar terbaru denda dan caj yang bakal dikenakan jika terlewat bayar atau membayar pada nilai yang paling minima berbanding baki. Bagi penulis ini telah menunjukkan perbankan Islam semakin hilang arah dan syarat yang dikenakan semakin menekan pengguna. Apakah ini disebabkan penyedia perkhidmatan mendapati umat Islam semakin beralih kepada perbankan Islam disebabkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan umat Islam. Apa jadi dengan akad awal ketika mendapatkan perkhidmatan berkenaan jika berlakunya perubahan terma?

Namun, penulis melihat, kesedaran ini telah dimanipulasi oleh perbankan Islam yang juga dikuasai oleh pemilik-pemilik yang masih berprinsipkan perniagaan secara kapitalis. Lebih membimbangkan kebanyakan perbankan Islam sekarang semakin banyak diuruskan oleh eksekutif kanan bukan Islam yang mungkin tidak faham roh sebenar konsep perbankan Islam. Walaupun ada badan penasihat syariah, namun nasihat selalunya tidak semestinya diterima. Keadaan ini meyebabkan dasar yang diterimapakai masih berontasikan keuntungan semata-mata dan dilihat semakin menindas pengguna berbanding perbankan konvensional.Apakah ini juga salah satu sabotaj kepada konsep perbankan Islam?.

Sudah sampai masanya Bank Negara bertindak agar konsep perbankan Islam tidak terus disalahgunakan. Pengenalan prinsip atau standart tertentu dalam perkhidmatan berkenaan perlu diperkenalkan. Bagi produk barangan makanan, sekarang ini sudah ada badan yang mewujudkan standard "Islamic Manufacturing Practise" atau dikenali sebagai IMP yang melihat kualiti kehalalan sesuatu barangan dari mula hingga ke peringkat pemasaran. Standart berkenaan juga boleh diluaskan kepada penyediaan produk berbentuk perkhidmatan seperti perbankan Islam. Ini dapat memastikan roh sebenar produk perbankan Islam dapat dihayati dan memberi keadilan kepada semua.

Wallahualam

@MyIktisad

Sunday, February 19, 2012

Kerajaan Digesa Memberi Bantuan Kepada Sekolah Mengikut Keperluan

26 Rabiulawal 1433

Penulis kebetulan dapat menghadiri mesyuarat persatuan ibubapa dan guru-guru di salah sebuah sekolah di Saujana Utama Sungai Buloh.. Antara isu-isu yang diperkatakan atau dibangkitkan ialah jumlah bilangan pelajar yang terlalu ramai berbanding jumlah kerusi dan bilangan guru-guru yang ada.Selain daripada itu jumlah pelajar bagi setiap kelas boleh diumpamakan seperti berada di dalam tin sardin atau bas mini di Kuala Lumpur suatu masa dulu.

Amat malang, dikala negara sedang menuju ke arah negara maju, keadaan seperti ini masih berlaku. Macam mana hendak mencapai kecermelangan jikalau kemudahan asas seperti kerusi dan bilangan kelas tidak dapat diuruskan dengan baik?Amat menyedihkan di kala sesetengah sekolah sering mendapat bantuan berjuta-juta ringgit ketika setiap kali pilihanraya kecil, kemudahan di sekolah kebangsaan seolah-olah  dianaktirikan. Kemudahan pembelajaran di Malaysia seolah-olah tidak sama bagi membolehkan para pelajar bersaing secara sama rata. Ada sesetengah sekolah yang pelajarnya tidak ramai, mampu mempunyai alat pendingin hawa bagi setiap kelas atau dewan peperiksaan dan sebagainya.

Keadaan ini tidak berlaku di sekolah kebangsaan di mana rata-rata kemudahan pembelajaran masih jauh tertinggal. Yang berpeluang belajar di asrama penuh mungkin berjaya keluar daripada situasi permaslahan  ini. Tak hairanlah ramai di kalangan ibubapa yang sanggup berhempas pulas mahukan anak anak mereka memasuki asrama penuh. Tidak hairanlah sistem pendidikan di Malaysia masih berasingan. Bangsa yang berlainan tidak mahu berkongsi satu sekolah sebaliknya memilih mempunyai aliran sekolah masing-masing.Tak hairanlah rakyat berlainan bangsa sanggup bergaduh disebabkan hanya hendak mendapatkan yam goreng  KFC disebabkan kurangnya interaksi di antara berlainan bangsa sejak awal.

Ini mungkin disebabkan cara pemberian bantuan banyak dipengaruhi unsur politik. Namun pihak pemerintah harus sedar bahawa pemikiran rakyat semakin sukar dibaca. Mereka mungkin senyap tetapi yang senyap itu lebih berbahaya. Justeru itu kerajaan digesa agar lebih memperkasakan sekolah kebangsaan dengan kelengkapan asas pendidikan sekolah kebangsaan seperti bilangan kelas dan guru yang mencukupi bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua. Ini penting kerana sekolah kebangsaan dibuka kepada semua bangsa berbanding sekolah-sekolah yang mempunyai aliran tersendiri.

Sistem sekolah berprestasi tinggi juga perlu dikaji mengikut nisbah bilangan pelajar dan tidak hanya melihat kepada jumlah % yang mendapat kesemua A dalam peperiksaan. Lebih baik jumlah peruntukan dibuat berdasarkan keperluan sebenar pelajar-pelajar yang bersekolah.

Wallahualam

@MyIktisad

Saturday, February 18, 2012

Pembangunan Seimbang Agar Golongan Berpendapatan Rendah, Sederhana Sejahtera Di Bandar

26 Rabiulawal 1433

KUALA LUMPUR, 18 Feb , 2012 - Kerajaan akan mengimbangi pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh menikmati kehidupan yang selesa di bandar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dengan keseimbangan ini, ia membolehkan bukan sahaja mereka yang berpendapatan tinggi mampu hidup selesa di bandar malah mereka yang lain termasuk kakitangan awam juga hidup dalam selesa dan sejahtera.

"Pada hari ini, lebih 60 peratus daripada penduduk Malaysia menjadi penghuni di kawasan bandar besar dan kecil.

"Sebab itulah sambil kita menguruskan pembangunan luar bandar, kita perlu juga imbangi kemudahan dan pembangunan di kawasan urban supaya kawasan bandar tidaklah hanya untuk mereka yang berpendapatan tinggi sahaja manakala mereka yang makan gaji, pendapatan kecil dan sederhana tidak dapat tinggal di bandar dalam keadaan selesa," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin pada majlis perasmian kuarters baru Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 4 1/2 Jalan Cheras di sini hari ini.

Najib berkata di bawah agenda transformasi kerajaan dan transformasi ekonomi, kesejahteraan hidup di bandar juga menjadi agenda penting yang diberi perhatian oleh kerajaan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di bandar.

Antara aspek penting yang diberikan tumpuan adalah penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi pembinaan Projek Aliran Transit Massa Lembah Klang (MRT) serta inisiatif lain seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Saham Rakyat 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), katanya.

Sumber- BERNAMA

Saturday, February 4, 2012

Institusi Perbankan Islam Digesa Lebih Kompetitif

12 Rabiulawal 1433

Penulis tertarik dengan komen daripada salah seorang pembaca di sebuah akhbar hari ini berkenaan tentang kos pembiayaan secara Islam didapati lebih tinggi daripada perbankan konvensional. Namun begitu adalah tidak adil jika sekiranya kita hendak memberi persepsi secara keseluruhan kerana sekarang ini sudah terdapat banyak perbankan Islam yang beroperasi di Malaysia.

Penulis percaya, setiap bank menawarkan kadar kos pembiayaan yang berbeza. Apa yang penting para pengguna sekarang perlulah lebih bijak dalam memilih bank-bank yang menawarkan pembiayaan secara Islam ini. Mengikut pengalaman penulis, sudah banyak perbankan Islam yang telah menawarkan pembiayaan yang lebih kompetitif dan produk-produk perbankan yanglebih inovatif.

Kepada penyedia kewangan berkenaan, penulis menyeru agar tidak menyalahgunakan keperluan pengguna-pengguna Islam yang ingin mendapatkan pembiayaan secara hukum syarak.Lambat laun tembelang strategi perniagaan yang tidak baik ini akan diketahui juga. Kepada para peminjam pula , apa yang lebih baik, jika tdak ada keperluan mendesak untuk meminjam, elakkan sahaja daripada berhutang. Itu yang lebih baik.

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...