Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, August 30, 2013

21 Bilionair Singapura Dalam Senarai Terkini Kaya Forbes

23 Syawal 1434

SINGAPURA, 29 Ogos , 2013- Singapura kini mempunyai sejumlah 21 bilionair, meningkat daripada 16 setahun yang lepas, demikian menurut senarai kaya Forbes Singapura.

Sekiranya digabungkan kekayaan bersih 50 orang terkaya Singapura, jumlahnya ialah US$80 bilion.

Taikun hartanah Robert dan Philip Ng menambah $1.4 bilion kepada kekayaan mereka untuk menduduki tempat pertama sebagai orang terkaya negara itu.

Kekayaan bersih mereka ialah $10.6 bilion, meningkat daripada $9.2 bilion tahun lepas.

Adik beradik dari Far East Organization itu yang mana mendiang bapa mereka Ng Teng Fong telah berjaya memajukan satu konglomerat dengan lebih 700 hotel, gedung dan kondominium di Singapura dan Hong Kong.

Peningkatan terbesar dalam kekayaan bersih tahun ini ialah Kwek Leng Beng, Pengerusi City Developments, pemaju hartanah kedua terbesar Singapura, yang melonjak ke tempat kedua dari tangga ke-6 dengan kekayaan $7.1 bilion, meningkat daripada $2.4 bilion.

Kekayaan beliau termasuklah kepentingan adik beradik dan sepupu, Kwek Leng Peck dan Kwek Leng Kee. Tidak berhenti di situ sahaja, Kwek Leng Beng terus meningkatkan pelaburan di China dan London.

Taikun hartanah yang lain termasuklah adik-beradik Kwee, yang lebih kaya sebanyak $1.2 bilion tahun ini. Mereka kini sedang berunding untuk melabur $300 juta untuk kondominium mewah di Manhattan.

Sementara itu, pelabur veteran Peter Lim, berada di senarai ke-10 dengan kekayaan $2.05 bilion berhasrat untuk melabur di wilayah Iskandar Malaysia.

Keluarga Khoo pula kini di tangga ke-3 dengan kekayaan bersih $6.7 bilion, sama seperti tahun lepas.

Pewaris tokoh bank Khoo Teck Puat itu telah menjual sebahagian besar pewarisan mereka, kepentingan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 dengan nilai $4 bilion. Mereka mengekalkan pegangan dalam Goodwood Group of Hotels, yang dipengerusikan oleh anak perempuannya, Mavis Oei.

Status Singapura sebagai tempat paling selamat untuk modal Asia kekal mantap, menarik perhatian Serge Pun (No. 38, $500 juta), pemastautin tetap Singapura yang menyenaraikan Yoma Strategic Holdings dan kini menikmati prestasi baik, disokong oleh prospek ekonomi Myanmar.

Beliau ialah antara 10 pendatang baharu ke dalam senarai itu tahun ini.

Yang lain termasuklah rakan Nippon Paint, Goh Cheng Liang (No. 9, $2.1 bilion), Ching Chiat Kwong dari Oxley Holdings (No. 36, $510 juta), raja kopi David Teo dari Super Group (No. 37, $505 juta), Loi Kai Meng yang mempengerusikan CWT (No.39, $470 juta), tauke barang kemas Koh Wee Seng (No. 40, $450 juta), Stanley Liao, yang sama-sama mengasaskan C&P Holdings (No. 41, $440 juta), Cheo Tong Choon, doktor perubatan yang menguasai syarikat penapis minyak makan Mewah International (No. 43, $430 juta), Teo Kok Leong yang memiliki Roxy-Pacific Holdings (No. 47, $360 juta) dan Chew Thiam King dari syarikat perkhidmatan marin Ezion Holdings (No. 50, $305 juta).

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...