Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, September 30, 2011

Standard Pengurusan Islam Perlu Digubal

Satu standard Pengurusan Islam perlu digubal untuk menjadi penanda aras dalam amalan dan perkhidmatan Islam di kalangan pentadbir hal ehwal Islam di negara ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu amat penting dalam meningkatkan fungsi pegawai hal ehwal Islam sebagai pentadbir, pengurus, pakar rujuk dan penasihat dalam bidang keagamaan.

"Kerajaan amat komited dalam pembangunan Islam sejak merdeka sehingga kini dan sentiasa melihat struktur pentadbiran agama perlu diperkasa sesuai dengan perkembangan semasa,"katanya.Belia berkata penjawat awam dalam bidang jabatan agama dan guru-guru agama seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab serta amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Sumber-Bernama

@MyIktisad

Penunjuk Prestasi Perlulah Seimbang

Kisah sekolah yang begitu mementingkan pencapaian A sehinggakan menyebabkan ada segelintir pentadbir yang menghalang para pelajar lemah dari menduduki peperiksaan UPSR baru-baru ini amat menyedihkan. Ianya boleh dikatakan satu lagi babak menyedihkan dalam masyarakat Malaysia. Apa yang lebih malang ianya berlaku di sekolah-sekolah di luar bandar.

Tanpa bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak, penulis berpendapat budaya amalan Petunjuk Prestasi Utama atau dikenali sebagai KPI  perlulah difahami sepenuhnya. KPI yang lebih dinamik adalah penunjuk yang mempunyai keseimbangan daripada empat aspek utama iaitu "Financial-Kewangan", "Customer-Pelanggan", "Internal Business Process-Proses Perniagaan Dalaman" dan "Organisational Learning & Growth- Pertumbuhan & Pembelajaran Organisasi".

KPI yang berdasarkan kaitan keempat-empat proses dan dirantaikan pada prinsip "sebab dan akibat" dikenali sebagai "strategy scorecard- kad scor strategi". Ianya berdasarkan kepada konsep "Balance Scorecard " yang sebenarnya dan mempunyai "strategy map".KPI ini adalah lebih dinamik dan merangkumi kaitan diantara setiap aspek utama. Namun begitu "KPI Scorecard" pula selalunya ditetapkan tanpa menjadikan kaitan sesama aspek utama sebagai syarat utama. Ini menyebabkan elemen-elemen tertentu sahaja yang dipilih sebagai penanda aras prestasi. Ini menyebabkan tiada keseimbangan dan menyebabkan risiko penanda aras yang mungkin terlepas pandang seperti tanggungjawab sosial bagi membantu pelajar yang lemah(bagi kes obses kepada A ).

Sehubungan dengan itu sudah tibalah pemahaman tentang konsep KPI ini dipertingkatkan dikalangan penjawat awam.Pemahaman yang agak kurang menyebabkan perlaksanaan penilaian prestasi tidak akan mengimbangi keperluan pelbagai pemegang kepentingan(stakeholders).

@MyIktisad

Monday, September 26, 2011

Bursa Malaysia Dijangka Terus Menunjukkan Aliran Menurun

Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran penurunan sepanjang minggu ini disebabkan kekurangan petunjuk positif sama ada di peringkat global ataupun di peringkat domestik. Pada sesi penutup hari ini FBMKLCI indek telah jatuh sebanyak 34. 14 mata , manakala FBM Hijrah telah turun sebanyak 207.02 mata.

Pelabur-pelabur dijangka menjauhi pasaran sehingga satu tahap keyakinan bahawa tiada lagi jualan besar-besar dilakukan oleh sebahagian para pelabur tertentu. Persoalan sekarang ialah setakat mana tahap di mana lonjakan semula bakal bermula? Sebagai pelabur, kita perlu bijak bagi menentukan bilakah masa yang paling sesuai untuk melabur ke dalam pasaran. Jenis-jenis saham yang hendak dibeli dan harganya juga perlu diberi pertimbangan yang sebaiknya.

@MyIktisad

Sunday, September 25, 2011

Sempurnakan Sukatan Timbangan

Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik(kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan(yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).

Al-Israa' : Ayat 35

Segmen Terbaru Di MyIktisad

Mulai hari ini satu segmen baru bakal diperkenalkan di blog ini sebagai salah satu daripada koleksi penulis dan turut dipaparkan untuk dikongsi dengan pembaca yang lain. Koleksi ini ialah berkaitan dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran yang mempunyai kaitan dengan perniagaan yang pernah penulis temui.

Namun begitu, bagi pembaca yang masih belum dapat memahami, diharapkan dapatlah anda merujuk kepada alim ulama yang muktabar untuk penjelasan lanjut.Diharapkan segmen ini dapat memberikan manfaat kepada penulis dan para pembaca yang melayari blog ini.

Wallahualam.

Saturday, September 24, 2011

Umat Islam Disaran Mewujudkan Koperasi Di Kariah Masing-Masing

Sekian lama kita semakin terpaksa menerima hakikat bahawa keadaan kehidupan seharian kita semakin kompleks. Pelbagai isu-isu yang timbul yang menuntut banyak kesabaran dan kesungguhan untuk menyelesaikannya secara berhikmah. Salah satunya ialah kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing.

Antara puncanya ialah kegagalan umat Islam di negara ini yang merupakan golongan majoriti menjalankan kewajipan fardhu kifayah. Kita masih bergantung kepada orang lain untuk membekalkan bahan keperluan asas kepada kita. Kita seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa apabila kita disajikan dengan bahan-bahan makanan yang diragui status kehalalannya. Kita hanya mampu megomel dan berasa geram sahaja jika ada ura-ura perusahaan yang dimiliki oleh umat Islam hendak dijual kepada bukan Islam yang mana ianya bakal memjejaskan status "halalan toiyyiban" produk dan perkhidmatannya.

Berdasarkan scenario berkenaan, sudah sampai masanya kita menggunakan kekuatan perhubungan kariah-kariah masjid dan surai di setiap pelusuk negara untuk mewujudkan koperasi masing-masing agar urusan fardhu kifayah berkenaan dapat diwujudkan di setiap kawasan kariah. Antara peluang yang boleh dimanfaatkan ialah dengan mewujudkan ruang sewaan disetiap masjid bagi menjalankan perniagaan atau pasar ketika sembahyang jumaat. Koperasi juga boleh dibentuk serta dipalbagai sumber modalnya dengan skim wakaf korporat yang boleh diwujudkan tabung khas pada setiap kali sesi sembahyang jumaat.

Apabila kekuatan secara kecil-kecilan ini bertambah besar, maka badan ini boleh menceburi perniagaan lain yang lebih besar. Dengan secara tidak langsung ianya bakal melahirkan lebih banyak masyarakat kariah yang mahir dalam perniagaan serta membuka lebih banayk peluang pekerjaan. Yang memilih untuk mencarum sebagai ahli koperasi pula, mereka berpeluang memberi barangan pada harga yang berpatutan dan menepati piawaian halal serta menikmati dividen tahunan.

Penulis yakin, jika ini dapat dilakukan, maka badan-badan ini pada peringkat nasional bakal melahirkan badan  korporat muslim yang disegani dan umat islam tidak perlu bergantung kepada sistem politik semata-mata. Insyallah, kita mampu melakukannya.

@MyIktisad

Thursday, September 22, 2011

Harapan Terhadap Belanjawan 2012

Menjelang pembentangan belanjawan 2012 yang akan datang, penulis mempunyai beberapa harapan. Antaranya ialah penulis berharap agar cukai pendapatan individu dikurangkan manakala pada masa yang sama berharap agar cukai barangan perkhidmatan ditangguhkan lagi perlaksanaannya. Kenapa perlu ditangguh ialah penulis berharap agar kerajaan mencari alternatif yang lebih adil dan mesra rakyat dalam meningkatkan pendapatan negara.

Selain daripada itu, penulis juga berharap agar kerajaan mengurangkan caruman individu ke dalam KWSP, kerana penulis berpendapat ianya dapat mengurangkan beban penulis yang sekarang ini yang sedang giat membesarkan anak-anak dan dalam usaha membentuksistem keluargaan yang berkualiti. Ianya boleh dilakukan dengan membenarkan permohonan individu-individu yang memohon berbanding dengan cara sebelum ini yang dibuat secara automatik kepada semua pencarum. Ini adalah kerana setiap individu mempunyai keperluan yang berlainan dan adalah lebih adil agar permohonan berkenaan dibuat secara individu.

Kerajaan juga diharap agar memperkenalkan insentif-insentif lain yang mesra kepenggunaan yang boleh memberikan sedikit sebanyak penawar terhadap beberapa isu seperti mendapatkan pembantu rumah, mendapatkan tuisyen tambahan dan pembelajaran sekolah agama Islam yang mana kerajaan boleh menimbang untuk memberikan rebat tertentu. Untuk isu pembantu rumah , kerajaan boleh menimbang memberikat rebat kepada ibubapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan kanak-kanak bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Untuk tuisyen dan sekolah agama, rebat juga boleh dipertimbangkan bagi membolehkan anak-anak pencarum memperolehi peluang pembelajaran yang sempurna yang mengimbangi keperluan duniawi dan ukhrawi. Jika ini dapat dilakukan , negara bakal menghasilkan lebih ramai rakyat yang bertatarakyat dan bertata susila dan mempunyai mentaliti kelas pertama.Insyaallah.

@MyIktisad

Tuesday, September 20, 2011

Isu MOU Amah-Berikan Pelepasan Cukai Kepada Ibubapa Yang Menghantar Anak-Anak Ke Taska

Berita keengganan kerajaan Indonesia mengikuti apa yang dipersetujui oleh MOU kedua-dua negara baru-baru ini membuatkan penulis berfikir sesuatu. Penulis berfikir sudah tiba masanya Malaysia mengurangkan pergantungan pada mana-mana negara dalam menyelesaikan sesuatu masalah negara. Polisi memakmurkan jiran perlulah dikaji semula dan direncanakan dalam suasana yang lebih realistik dan dalam keadaan semangat yang lebih saling menghormati antara satu sama lain. Malaysia perlu berlapang dada bahawa, tak semua usaha baik akan mendapat balasan baik dari sesebuah negara yang cuba kita berbuat baik bila mana apabila kita pula berada dalam keadaan kesusahan dan memohon bantuan. Bak kata pepatah Salam tak semestinya dijawab, datang tak semestinya disambut.

Sudah menjadi adat resam dunia, lebih ramai pihak yang suka melihat kita berada dalam kesusahan daripada melihat kita terus makmur. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu menjaga keharmonian negara sendiri dan mengurangkan kebergantungan daripada negara lain. Dalam kes MOU ini, kerajaan digesa melupakan MOU ini dan mencari alternatif lain. Antaranya mencuba mendapatkan amah-amah dari negara lain yang sedang bergolak seperti Somalia, selatan Thai dan sebagainya.. Mungkin ramai yang ketawa dengan cadangan ini, tetapi ianya boleh juga difikirkan.Ianya agak sukar kerana, rata-rata calon-calon dari negara berkenaan kurang menggemari pekerjaan sebagai amah .

Atau apa yang lebih penting, kerajaan perlulah memberikan insentif agar penubuhan pusat-pusat jagaan kanak-kanak dipermudahkan dan dibantu dari segi bantuan modal, latihandan diwujudkan di semua peringkat. Ibubapa juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan rebat cukai pendapatan jika menghantar anak-anak mereka dipusat berkenaan.

Kerajaan juga mungkin boleh mengkaji mengadakan dasar atau polisi bekerja dari rumah untuk kakitangan awam atau GLC. Langkah awal mungkin boleh dipertimbangkan agar ibubapa dibenarkan bekerja dari rumah sekurang-kurangnya sehari seminggu agar anak-anak mereka lebih mendapat cukup perhatian. Ini boleh dilakukan bagi ibubapa yang mempunyai kemudahan Internet berkelajuan tinggi.

Saya yakin dan percaya, jika kita mahu melakukan, kita boleh melakukan perubahan. Insyaallah.

@MyIktisad

Saturday, September 17, 2011

Memerangi Kenaikan Kos Dengan Prinsip-prinsip Ihsan Dan Keadilan Sosial

Ramai yang telah memberikan pendapat yang bernas dalam usaha memerangi kenaikan kos. Pada masa yang sama pemerintah sekaarng berusaha sedaya upaya bagi mengatasi setiap masalah yang dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Namun secara ironinya, langkah langkah yang dilakukan sekarang ini hanya bersekitar kepada inisiatif kerajaan semata-mata. Sektor-sektor swasta seolah-olah lepas tangan dan ada yang pula menganggap langkah kerajaan masuk campur dalam kitaran ekosistem perniagaan telah mengancam peluang perniagaan mereka.

Namun ini sedikit sebanyak telah menunjukkan kejayaan usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan. Perlaksanaan kedai Rakyat 1 Malaysia telah menyebabkan ada pihak yang selama ini yang telah memonopoli rantaian perniagaan mula berasa kepanasan. Maka sudah terbuktilah bahawa selama ini ada suatu pihak yang telah mengaut kekayaan ekonomi negara tanpa belas kasihan dan mereka mengaut pendapatan rakyat tanpa belas kasihan dengan mengenakan harga barang dan perkhidmatan yang tinggi.

Usaha meningkatkan gaji dan pendapatan rakyat tidak akan bermakna jika golongan-golongan ini terus bermaharaja lela di dalam ekosistem ekonomi negara.Golongan-golongan ini bukan sahaja sanggup mengaut keuntungan berlebihan, bahkan mereka berani mengugut kerajaan jika kehendak mereka tidak dilayan. Namun begitu penulis percaya, kita tidak perlu takut diugut olehpihak berkenaan berbanding majoriti rakyat Malaysia. Bayangkan jika majoriti rakyat Malaysia mengugut kerajaan , jika kerajaan masih akur dengan kehendak segelitir pihak yang tamak haloba ini.

Ini secara jelas telah mengesahkan "hypotisis" bahawa "terdapat segolongan tertentu yang tertentu yang telah mengaut keuntungan berlebihan di dalam persekitaran ekonomi negara selama ini". Maka dengan itu , sistem yang berpaksikan kepada kapitalis perlu ditransformasikan kepada suatu sistem yang lebih bersifat Ihsan kepada rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan mesra rakyat. Sistem ekonomi yang bercirikan keislaman di mana kerajaan perlu masuk campur di dalam ekosistem ekonomi bagi memperjuang dan mempertahankan kemaslahatan umat adalah amat dituntut.

Oleh yang demikian, inisiatif Kedai Rakyat 1 Malaysia adalah salah satu inisiatif yang baik dan tepat dan ianya perlu diperluaskan. Inisiatif ini perlu diperluaskan kepada Skim Rumah 1Malaysia yang menyasarkan pada semua peringkat juga perlu dipertimbangkan dimana penulis yakin dan ber"hypotesis" bahawa ada pihak yang mempunyai kuasa memanipulasi bahan mentah dan ekosistem dalam pembinaan rumah di Malaysia. Ini adalah salah satu punca bahawa harga rumah di negara ini berada dalam keadaan yang agak tidak munasabah.

Rantaian penyediaaan makanan ternakan juga perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan untuk mengimbangi pihak-pihak yang sedang membuat untung berlebihan. Jika ini dapat dilakukan, penulis yakin sasaran mengurangkan kos kehidupan dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat akan tercapai dan menjamin kesinambungan kemakmuran negara.

@MyIktisad

Wednesday, September 14, 2011

Pendirian Kerajaan Tidak Berganjak

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kerajaan tidak akan tunduk dengan permintaan Lion Group Bhd. (Lion Group) supaya duti import dinaikkan kepada 35 peratus bagi melindungi para pengeluar besi tempatan.
Pada masa ini, duti import bagi gegelung besi panas (HRC) berada pada paras 25 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MITI tidak berada dalam kedudukan yang membolehkannya meluluskan permintaan Lion Group itu.
"Kerajaan bukan hanya perlu memikirkan permintaan beberapa syarikat sahaja tetapi perlu melihat kepada industri secara menyeluruh termasuk segmen hiliran dan huluan.

"Setakat ini, MITI ada duduk berbincang dengan Lion Group dan sedang berusaha menyediakan pelan terbaik untuk industri secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Forbes di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Lion Group melalui anak syarikatnya Megasteel Sdn. Bhd. yang mungkin menimbang mengalihkan operasi pembuatan besi ke Indonesia kerana persaingan tidak adil daripada produk import.

Mustapa berkata, Lion Group turut meminta kerajaan untuk melarang eksport besi lusuh dan rebat untuk bayaran utiliti tetapi ia masih di peringkat perbincangan."MITI akan cuba membantu Megasteel dengan cara lain," katanya.

Pengerusi Lion Group, Tan Sri William Cheng semalam berkata, kerajaan telah membenarkan duti import sifar bagi HRC dari Indonesia dan Thailand, manakala negara-negara berkenaan mengenakan duti, masing-masing sebanyak 48 peratus dan 43 peratus bagi produk yang sama dari Malaysia.
Beliau bersetuju sekiranya kerajaan menetapkan harga siling bagi HRC sekiranya mereka merasakan syarikat membuat keuntungan lebih atau berlaku monopoli.

Sumber -Utusan Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Tuesday, September 13, 2011

Kerajaan Tak Perlu Tunduk Ugutan Syarikat Besi

Berita perniagaan di Utusan Malaysia hari ini telah memaparkan ugutan sebuah syarikat besi tempatan di bawah naungan salah satu kumpulan perniagaan terkemuka di Malaysia yang mengugut untuk memindahkan operasinya di negara jiran kononnya kos operasi di negara berkenaan lebih murah dan kerajaan pada masa yang sama tidak melindungi syarikat berkenaan. Ini telah menyebabkan lambakan produk yang sama di negara ini yang menyebabkan syarikat berkenaan tidak dapat bersaing.

Penulis tidak bersetuju jika dengan langkah berkenaan , syarikat berkenaan akan memonopoli perniagaan berkenaan dan bekalan besi akan berkurangan dan menyebabkan baha berkenaan lebih mahal di pasaran tempatan. Penulis berpendapat, biarlah mereka mengubah operasi ke sana. Kita tunggu dan lihat selama mana mereka boleh tahan untuk bersaing di sana.

Dalam pada masa yang sama , ketua pegawai eksekutif syarikat yang sama juga mengkritik kerajaan kerana telah melaksanakan Kedai Rakyat 1Malaysia yang mana ianya telah menjejaskan operasi-operasi peniaga-peniaga runcit yang berada dibawah naungan persatuan mereka.

Katanya, kerajaan perlu bertindak adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada. Namun begitu, penulis ingin mempersoalkan , kenapa hanya ingin membela ahli gabungan yang hanya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Tidakkah perlaksanaan kedai rakyat 1Malaysia ini telah membantu pengeluar-pengeluar bumiputra dan lain-lain yang selama ini sering diketepikan dan dinafikan hak mereka untuk memasarkan produk-produk mereka? Kenapa sekarang baru nak bising? Kerajaan tidak akan melaksanakan inisiatif ini jika suasana pasaran selama ini sudah berada dalam keadaan adil di mana semua kaum mendapatkan harga yang sama bagi setiap bekalan yang diperolehi. Peluang meletakkan atau memasarkan barangan sepatutnya tidak dimonopoli oleh persatuan-persatuan tertentu sahaja.Apa cerita pula bekalan bahan binaan yang harganya berbeza diperolehi oleh kontraktor berlainan bangsa? Jangan pula bising jika kerajaan terpaksa laksanakan Kedai hardware 1Malaysia pula.

Fikirkanlah. Kita sama-sama rakyat Malaysia mencari makan di bumi bertuah ini. Jika kita mahu dilayan seadilnya, kita juga perlu melayan orang lain seadilnya. Oleh itu berfkir dan bersyukurlah.

Perbankan Islam Perlu DiTransformasi Semula

Selaras dengan keperluan dan kepentingan umat Islam di Malaysia yang memerlukan produk-produk yang halal, bank-bank Islam di Malaysia haruslah lebih aktif membuat kajian bagi memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan kepada para  pelanggan. Ini penting bagi membolehkan agar kelebihan produk-produk berkenaan dapat diwar-warkan ke seluruh alam. Produk-produk ini perlulah diterjemahkan melalui prinsip keadilan sosial yang melarang akan sebarang segala bentuk penindasan dan selaras dengan hukum syariah.

Antara kajian yang perlu kita pertimbangkan ialah , kenapa produk-produk kad kredit (termasuk di perbankan Islam) masih lagi menggunakan logo Visa, MasterCard, American Express dan sebagainya? Tidakkah kita berupaya mewujudkan jenama perbankan kad kredit Islam tersendiri yang boleh mengambil peranan yang sama?

Penulis yakin, sudah sampai masanya agar jenama baru seperti ini perlu diwujudkan melalui penubuhan entiti melalui konsortium di kalangan bank-bank Islam yang ada di Malaysia. Sekurang-kurangnya, jika tidak boleh digunakan di luar negara sekalipun, pelanggan dapat menggunakan jenama kad kredit baru ini di dalam negara. Lama kelamaan apabila sampai satu tahap yang tertentu, ianya boleh dilepaskan bersaing dengan jenama konvensional di peringkat global yang telah sedia ada. Dengan itu barulah kita boleh berbangga dengan produk kad kredit berlandaskan Islam yang tulin.

@MyIktisad

Monday, September 12, 2011

Isu Cukai 6% Telekomunikasi: Kerajaan Digesa Memberikan Lesen Selular Generasi Baru Kepada GLC

Belumpun tamat isu kenaikan yuran langganan tv berbayar, kedamaian rakyat Malaysia sekali lagi diusik dengan berita cukai perkhidmatan 6% yang bakal dipindahkan kepada pengguna. Walaupun untung berbilion ringgit, pemain pasaran masih tidak mahu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat walaupun kerajaan tidak mengenakan yuran yang tinggi bagi mendapatkan spektrum 3G kepada pemain pasaran berbanding di negara-negara lain.

Sudah tibalah masanya kerajaan mengkaji semula polisi tidak membenarkan GLC bersaing dengan pesaing lain di pasaran , kononnya bagi mewujudkan bilangan ahli-ahli korporat di Malaysia. Sebagai contoh TM yang merupakan sebuah GLC di Malaysia telah dipisahkan dengan Celcom. TM ketika ini diberitakan sudah tidak mempunyai lagi lesen 3G sedangkan Celcom Axiata pula seolah-olah cuba lari dari imej GLCnya.

Dengan timbulnya isu ini, maka teranglah lagi bersuluh bahawa ahli-ahli korporat di Malaysia tidak jauh beza sifat tamaknya seperti di negara-negara yang mangamalkan sepenuhnya sistem kapitalis di barat. Malaysia sepatutnya mengadaptasikan acuannya sendiri di mana kerajaan mempunyai hak untuk campur tangan berdasarkan kemaslahatan umat seperti mana yang digalakkan dalam ekonomi Islam bagi menjamin keadilan sosial.

Maka, jika pemain-pemain pasaran sedia ada masih tetap berdegil, kerajaan digesa menimbang semula bagi menganugerahkan kembali lesen-lesen selular generasi baru kepada GLC seperti TM atau mempunyai pegangan Khazanah yang besar seperti TimeDotcom bagi membolehkan kerajaan masuk campur terus ke dalam pasaran. Saya yakin GLC-GLC berkenaan mempunyai lebih kemampuan untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan lebih efektif, dan memberi peluang kepada vendor-vendor kecil terus berpayung kepada mereka.

@MyIktisad

Saturday, September 10, 2011

Bursa Malaysia dijangka meneruskan trend menurun


Bursa Malaysia dijangka meneruskan trend menurun pada minggu depan dalam ketiadaan berita positif manakala pemain akan terus mengambil petunjuk daripada prestasi di Wall Street, kata para peniaga.

Mereka berkata, pakej
ransangan ekonomi yang kurang menarik yang telah diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan kurang jelasnya  langkah-langkah rangsangan kewangan yang diumumkan oleh Ketua Federal Reserve Ben Bernanke telah menyebabkan sentimen pasaran terus  tertekan.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI berkemungkinan
terus menurun  lagi minggu depan di tengah-tengah pertumbuhan perlahan luar dan kebimbangan yang berterusan terhadap krisis hutang Eropah.

"Faktor-faktor ini telah memperkukuh kebimbangan bahawa ekonomi terbesar di dunia terjerumus  kembali ke dalam kemelesetan," katanya.

Sumber –Business Times Malaysia & Bernama

Kaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus-PM

Utusan Malaysia telah melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.
Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu.

"Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas daripada orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.

"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.

Sumber-Utusan Malaysia

Komen Penulis - Zaman IT, FB & Blog sekarang ni, rakyat boleh komplen terus kepada PM apa yang mereka tak puas hati. Kalau tak mau ikut arahan ni, PM digesa jangan beri lesen lagi kepada syarikat Cellular yang degil  nie.

Friday, September 9, 2011

Cukai Perkhidmatan Untuk Pek Sim & Tambah Nilai

Berkuatkuasa pada 15 September 2011, pembelian Pek SIM prabayar dan tambah nilai bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam (6) peratus . Para pelanggan akan dimaklumkan oleh operator masing-masing bermula semalam.

Para pelanggan boleh merujuk kepada laman-laman web syarikat operator masing-masing atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.Menurut sumber, cukai berkenaan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai berkenaan. Cukai berkenaan bukan baru kerana syarikat-syarikat telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih sejak pengenalan pada 1998.

Sumber- Bernama

Thursday, September 8, 2011

Daya Saing Malaysia Meningkat

Bernama telah melaporkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2011-2012 meningkat ke tangga 21 daripada tangga ke-26 tahun lepas, di kalangan 142 negara.
Malaysia berada di kedudukan keenam di kalangan ekonomi Asia Pasifik dan kedua di ASEAN dengan skor 5.08 mata daripada maksimum 7 (72.6 peratus) berbanding 4.88 tahun.
Switzerland mengekalkan kedudukan nombor 1 dengan skor 5.74 mata (82 peratus), diikuti Singapura (5.63), Sweden (5.61) dan Finland (5.47).
Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan penurunan bagi tiga tahun berturut-turut, turun satu lagi tangga ke kedudukan kelima dengan skor 5.43.
Sumber: Malaysia Productivity Corporation

Menurut laporan itu, kemajuan Malaysia memberangsangkan terutamanya dalam tunggak persekitaran ekonomi makro dan institusi, serta dalam beberapa langkah kecekapan pasaran.
"Antara kelebihan daripada prestasi kukuh dan konsisten ini ialah sektor kewangan Malaysia yang cekap dan kukuh — yang berada di kalangan ekonomi paling maju dunia, hanya di belakang Singapura dan Hong Kong — dan pasaran barangannya yang cekap, berada di kedudukan ke-15," kata laporan itu.
Selain itu, situasi ekonomi makro Malaysia telah bertambah baik sejak tahun lepas berada di kedudukan ke-29, walaupun negara terus mencatatkan defisit bajet kira-kira lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar.
Dari segi pendidikan tinggi dan latihan (kedudukan ke-38), menambah baik akses kekal sebagai keutamaan memandangkan kadar pendaftaran yang rendah pada 69 peratus (kedudukan ke-101) dan 36 peratus (kedudukan ke-66) bagi pendidikan menengah dan peringkat tinggi, kata laporan itu. - Bernama

Wednesday, September 7, 2011

KWSP sembilan terbesar 2010

Melonjak dari tangga ke-19 dunia dengan aset bernilai RM433.79 bilion
Berita Harian telah memetik bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menduduki tangga ke sembilan(9) sebagai pengurus dana pencen terbesar di dunia. Laporan terperinci :


pix_gal0
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disenaraikan sebagai pengurus dana pencen kesembilan terbesar dunia dari segi aset pada 2010 oleh syarikat perkhidmatan profesional global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).


Kajian tahunan oleh syarikat Towers Watson itu mendapati KWSP dengan jumlah aset keseluruhan bernilai AS$145.570 bilion atau RM433.79 bilion, mengatasi pengurus dana pencen Singapura, Central Provident Fund (CPF) yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah aset keseluruhan AS$144.844 bilion (RM431.63 bilion).


Pada 2009, KWSP menduduki tangga ke-19 dengan jumlah aset AS$109.002 bilion (RM324.82 bilion), manakala CPF di tangga ke-11 dengan aset berjumlah AS$122.497 bilion (RM365.04 bilion).


Tiga pengurus dana pencen dari Asia lain yang berada pada kedudukan 10 teratas adalah Government Pension Investment dari Jepun, di tempat pertama, diikuti National Pension dari Korea (keempat) dan Local Government Officials dari Jepun (ketujuh).


Difahamkan pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS melonjak kedudukan KWSP dalam senarai membabitkan 300 pengurus dana pencen terkemuka seluruh dunia.


Kajian juga menunjukkan jumlah aset keseluruhan 300 pengurus dana terbesar dunia meningkat 10.9 peratus kepada AS$12.5 trilion (RM37.25 trilion) pada 2010, iaitu paras tertinggi dalam sejarah. Pada masa ini, 300 pengurus dana pencen terkenal di dunia itu mewakili lebih daripada 47 peratus aset dana pencen dunia.
Ketua Pelaburan bagi rantau Asia Pasifik Towers Watson, Naomi Denning, berkata walaupun pengurus dana di seluruh dunia secara umumnya mencatatkan pertumbuhan dalam mata wang AS pada 2010, pengurus dana rantau Asia Pasifik memperoleh manfaat lebih daripada pengukuhan mata wang masing-masing berbanding dolar AS, khususnya yen dan dolar Australia.


Beliau berkata, penguasaan dana Asia Pasifik dalam kedudukan 20 terbaik kekal secara konsisten sejak 2005 dengan menguasai hampir 50 peratus aset yang diuruskan, manakala kadar pertumbuhan bagi negara seperti Malaysia, Korea dan Singapura adalah antara yang tertinggi pada tahun lalu.


“Dana pencen terbesar dunia telah mengubah campuran aset mereka dalam tempoh lima tahun lalu bagi mempertahankan aset masing-masing berikutan ketidaktentuan dalam pasaran global dengan 20 dana pencen secara purata kini mempunyai jumlah yang seimbang dalam ekuiti dan bon, iaitu 40 peratus masing-masing, manakala yang lain dalam bentuk tunai dan alternatif,” katanya


Sumber- Berita Harian

Diharapkan pengurusan dana ini dapat meningkatkan prestasi dan mengisytiharkan kadar pulangan yang lebih tinggi kepada pelabur pada masa yang mendatang.

Tuesday, September 6, 2011

Perlu Disenaraikan Lebih Banyak Perbankan Islam Di Malaysia

Selaras dengan permintaan dari segi produk-produk dan perkhidmatan halal di kalangan penguna Islam di Malaysia, bank-bank perlu melihat peluang bagi menambahbaikkan perbankan Islam melalui produk-produk yang menepati kehendak pelangggan.Jika dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan perbankan syariah semakin bertambah pesat disebabkan bertambahnya permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan. Lebih menarik lagi ianya turut mendapat sambutan yang baik di kalangan bukan Islam.

Maka tidak hairanlah, rata-rata unit perbankan Islam di kalangan bank-bank di Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik sejak akhir-akhir ini. Namun begitu timbul pula keperluan dikalangan institusi-instusi pelaburan yang berdasarkan syariah untuk melabur dana-dana mereka di pasaran modal terutama di sektor perbankan. Entiti perbankan Islam yang telah tersenarai di bursa Malaysia setakat ini cuma Bank Islam sahaja. Antara bank lain yang berpotensi disenaraikan ialah Bank Muamalat, Maybank Islamic dan CIMB Islamic.Apa yang menarik ialah, Bank Islam terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara dibawah naungan bank konvensional yang terbesar di Malaysia sekarang ialah di Maybank melalui anak syarikatnya  iaitu Maybank Islamic.

Manakala  pelabur akan terus terlepas peluang mendapat peluang melabur di bank-bank Islam yang menguntungkan, tetapi terletak dibawah naungan syarikat induk yang disenaraikan yang mana status senaraiannya dikategorikan sebagai tidak mematuhi kehendak syariah kerana bercampur aduk dengan sistem perbankan konvensional. Keadaan ini menyebabkan kekayaan di sektor ini tidak dapat dinikmati oleh semua pihak terutama pelabur-pelabur yang menitik beratkan soal halal dan haram.

Sudah tiba masanya agar bank berkenaan diberi kuasa autonomi menerusi penyenaraiannya dan ianya boleh mengambilalih kepentingan perbankan Islam kumpulan berkenaan di Asia Tenggara dan seterusnya mengembangkan operasi ke seluruh dunia. Pihak Khazanah Nasional perlu menimbangkan cadangan ini untuk kepentingan pelabur-pelabur berkenaan.Jika TM dan Celcom Axiata boleh diasingkan(demerger) , penulis tidak nampak kenapa ianya tidak dapat dilakukan di bank berkenaan. Penulis yakin ketua pegawai eksekutifnya di Maybank cukup berpengalaman untuk melakukan proses berkenaan untuk kali kedua.Tapi tak perlulah demerger secara total, memadailah sahaja dengan menyenaraikan sahaja seperti senaraian anak syarikat di luar negara.

@MyIktsad.

Thursday, September 1, 2011

Isu Penjualan Syarikat Peruncitan Petrol - Kita Tidak Perlu Kecewa

Penulis mengambil sikap tunggu dan lihat tentang isu berkaitan penjualan sebuah syarikat minyak yang majoritinya dimiliki pelabur asing ke tangan pihak asing baru-baru ini. Setelah pelbagai tentangan demi tentangan ditunjukkan , para pelabur dan pemegang kepentingan di Malaysia akhirnya perlu akur akan keputusan pemilik asalnya hendak menjual kepada sesiapa yang mereka suka. Percantuman dan pengambilalihan hanya akan berlaku jika wujudnya situasi  sanggup menjual dan sanggup membeli(willing to buy willing to sell) walau apa jua harga yang telah ditetapkan. Undang-undang hanya mampu melambat-lambatkan proses sahaja yang mana proses penjualan berkenaan juga dilakukan mengikut undang-undang.

Namun begitu, bagi para pelabur minoriti dan rakyat Malaysia, penulis menyeru agar kita tidak perlu kecewa selagi tiada rancangan "Mandatory General Offer -MGO" dilakukan dan seterusnya menyebabkan entiti berkenaan dinyahsenaraikan dari bursa saham. Jika ianya dilakukan juga , kerajaan perlu lakukan campurtangan dengan tegas kerana harga MGO tidak boleh disamakan dengan harga yang dijual kepada pihak yang membeli sebelum ini yang mana lebih rendah daripada harga pasaran. Penulis percaya sebarang penetapan harga MGO perlu berdasarkan pada purata harga pasaran dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak bursa.

Selain itu, sentimen tertentu hendaklah dipisahkan daripada perniagaan. Jika percaturan perniagaan dicampuradukkan dengan sentimen yang tertentu dan dibuat tanpa proses kajian ketekunan (due dilligent process) ianya bakal mengundang risiko yang besar kepada pengurusan dana tempatan yang dilaporkan berminat hendak mengambilalih syarikat yang sama sebelum ini.Ianya agak lebih berfaedah jika pengurusan dana menjauhi syarikat berkenaan yang mana ianya telah melibatkan keputusan korporat yang tidak telus. Penulis lebih selesa sekiranya pengurusan dana awam berkenaan yang telah mempunyai perniagaan yang sama menambahkan atau menambah bilangan cawangan yang baru berbanding dengan proses penjenamaan semula dan pembaikan serta ubahsuai stesen yang mungkin melibatkan kos yang lebih tinggi jika mengambil alih satu lagi syarikat peruncitan minyak.Lebih-lebih lagi ianya melibatkan dana awam yang dimiliki oleh rakyat Malaysia yang mana sebarang keputusan korporat perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati.

Bagi para pelabur minoriti pula, jika kita tidak bersetuju, kita boleh menjauhi kaunter berkenaan sehingga harganya jatuh dari nilai harga penjualan syarikat minyak berkenaan. Banyak lagi syarikat yang menjalankan perniagaan yang telus boleh dibuat pelaburan. Jika semua pelabur bersikap sedemikian ,penulis yakin, lambat laun syarikat-syarikat di Malaysia akan lebih berhati-hati dan menjalankan perniagaan secara telus bagi meningkatkan harga saham mereka di pasaran modal di Malaysia.

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...