Bursa Malaysia

top_rightads

Sunday, August 11, 2013

Fatihah Frozen Mahu Tembusi Lebih Banyak Pasaran Antarabangsa

4 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 8 Ogos, 2013- Pengeluar makanan Halal sejuk-beku Bumiputera, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, merancang menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa tahun depan.

Pengarah Urusan Fatihah, Anis Ibrahim berkata syarikat itu kini mengeksport produk keluarannya ke Singapura, Brunei dan Beijing, China.

"Awal bulan Oktober ini kami akan ke Jerman untuk Expo Anuga dan mempromosi produk-produk kami untuk pasaran di sana dan di seluruh dunia," katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Anuga merupakan pameran perdagangan terkemuka untuk industri makanan global.

Fatihah berkata syarikat juga telah meningkatkan sasaran untuk segmen eksport kepada 50 peratus tahun depan berbanding 20 peratus tahun ini.

"Justeru itu, kami yakin mampu mencapai sasaran jualan sebanyak RM5 juta pada tahun hadapan dan RM3 juta pada tahun ini, disokong oleh peningkatan permintaan terhadap produk kami.

"Setakat pertengahan tahun ini, syarikat itu mencapai jualan sebanyak RM1.8 juta," katanya.

Fatihah berkata kilang pengeluarannya di Batu Caves telah dianugerahi sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), yang memudahkan laluan syarikat untuk ke pasaran luar negara.

Beliau berkata syarikat turut mendapat bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mempromosi produk keluarannya ke pasaran antarabangsa.

"Melalui Matrade, syarikat memperoleh geran RM100,000 setahun untuk menjalankan promosi di luar negara, dan kami juga akan dibawa ke luar negara sebanyak tiga kali setahun selama tiga tahun untuk memasarkan produk-produk kami," katanya.

Beliau berkata pelanggannya di luar negara menggemari produk seperti roti pratha, roti pratha durian, cucur badak, karipap pusing, popia dan gulungan sardin.

Selain memenuhi permintaan luar negara, syarikat juga turut memasarkan produknya melalui Kedai Rakyat 1 Malaysia, Pasar raya Mydin, rangkaian ejen yang dilantik, kiosk di Bangi dan kedai di Shah Alam.

"Dalam tempoh terdekat kami akan memasuki Pasaraya Tesco, Giant dan AeonBIG," katanya, sambil menambah syarikat itu turut membekalkan produknya ke kopitiam dan hotel.

Fatihah berkata walaupun bermula secara kecil-kecilan dari dapur di rumahnya, sokongan daripada agensi-agensi kerajaan banyak membantunya untuk berada pada tahap sekarang.

Maklumat lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...