Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, September 3, 2013

Buku Panduan Akta Persaingan Wujudkan Persekitaran Perniagaan Kondusif, Berdaya Saing

27 Syawal 1434

KUALA LUMPUR, 2 Sept, 2013- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yakin buku panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), 'Competition Act 2010: A Guide for Business' dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan berdaya saing di Malaysia.

Menteri berkenaan Datuk Hasan Malek berkata buku panduan tersebut dapat memastikan para peniaga dan usahawan memahami dengan jelas dan tepat mengenai tujuan dan fungsi akta yang telah dikuatkuasakan itu.

"Akta Persaingan 2010 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2012, merupakan suatu bentuk perundangan baharu di Malaysia.

"Buku ini sesuai dan tepat pada masanya untuk menjadi sumber rujukan kepada para peniaga dalam memastikan pematuhan oleh pemegang kepentingan ditingkatkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku panduan itu, di sini Isnin.

Hasan berkata menerusi penguatkuasaan yang berkesan, proses pasaran bebas dan liberalisasi di Malaysia akan dilindungi daripada anasir negatif seperti perlakuan amalan kartel.

Beliau turut berkata undang-undang persaingan penting dalam menyediakan kesamarataan untuk semua golongan peniaga, sama ada peniaga besar atau kecil, dengan syarikat bersaing berdasarkan kepada kualiti barangan dan perkhidmatan mereka.

"Syarikat-syarikat perlu bersaing secara sihat dan bukannya dengan cara menjalankan pakatan sulit atau menyalahgunakan kuasa dominan mereka," kata Hasan.

Beliau berkata peranan persatuan peniaga juga penting dalam membantu peniaga memahami dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjayakan pelaksanaan akta tersebut.

"Kita harus tahu dan sedar bahawa undang-undang persaingan ini dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk menggalakkan para peniaga menjadi lebih pintar, inovatif dan responsif kepada permintaan dan keperluan pengguna," katanya.

Hasan juga berkata secara keseluruhan hasil daripada persaingan yang sihat, negara akan mempunyai pasaran yang lebih cekap dan dinamik dengan perkembangan ekonomi yang lebih kukuh.

Hasan berkata KPDNKK dan MyCC akan sentiasa mengadakan kerjasama bagi membantu dan menggalakkan golongan peniaga, khususnya, mematuhi Akta Persaingan 2010.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...