Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, December 15, 2011

Salah Faham Pelaburan Islam Perlu Diperjelaskan

20 Muharram 1433 Hijrah


 KUALA LUMPUR, 15 Dis, 2011- Salah faham biasa tentang pelaburan Islam yang produk berlandaskan Syariah hanya eksklusif kepada Orang Islam, perlu diperbetulkan sebelum laluan yang jelas ditentukan bagi Malaysia untuk menembusi dengan lebih meluas ruang pelaburan global, kata seorang peserta industri.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Asian Islamic Investment Management Bhd (AIIMAN), Akmal Hassan berkata ia bukanlah keadaan sebenarnya dan menyatakan kira-kira 40 peratus daripada pelanggan perbankan Islam di Malaysia merupakan orang bukan Islam.

"Produk itu terbuka kepada setiap orang dan tiada diskriminasi terhadap siapa yang boleh melanggan dan melabur.

"Ini ditunjukkan menerusi dana luar yang diurus AIIMAN apabila kira-kira 60 peratus pelabur dalam kedua-dua Dana HwangDBS AIIMAN Growth dan Dana HwangDBS AIIMAN Income Plus adalah bukan Islam," katanya pada taklimat media mengenai "Salah Tanggapan dalam Pelaburan Islam" di sini, Khamis.



AIIMAN ialah syarikat induk HwangDBS Investment Management Bhd.



Beliau berkata salah faham lain mengenai produk pelaburan dan kewangan Islam ialah ia merupakan alternatif kepada produk konvensional, kurang kompetitif dari segi prestasi, inovasi dan pelbagaian.



Akmal juga berkata suatu yang mustahil bagi produk berlandaskan Syariah untuk berpindah atau menggantikan produk konvensional kerana keseluruhan sistem kewangan Islam menyumbang kurang satu peratus daripada sistem kewangan global.



Malahan, ia melengkapkan ruang konvensional dengan menawarkan cara alternatif yang kompetitif bagi mengendalikan urus niaga kewangan dan bukan berfungsi sebagai alternatif, jelasnya.



Beliau berkata produk berlandaskan Syariah hanya boleh menjadi kompetitif sekiranya pelaburan sejagatnya beraneka jenis sama seperti produk konvensional dan prestasi hanya boleh dicapai sekiranya terdapat kecairan yang mencukupi dalam pasaran.



Mengenai daya saing produk tersebut, beliau berkata pelaburan Islam dan pasaran sukuk menyediakan kaedah bagi merungkai nilai aset-aset terbiar seperti hartanah, komoditi, pembiayaan kapal, pajakan kapal dan pesawat kerana ia boleh mematuhi seperti aset berlandaskan Syariah.

Justeru itu, salah tanggapan ini perlu dihapuskan agar pelaburan Islam terus berkembang beransur-ansur dalam landskap tempatan yang dinamik, katanya.

Di masa depan, Akmal berkata peserta industri Malaysia perlu mendaftarkan produk berlandaskan Syariah dengan platform dana luar pesisir global agar ia dapat mempamerkan prestasi pengurusan aset Islam tempatan.

Terdapat peluang amat besar untuk meraih pelaburan institusi daripada dana harta asing, bank-bank pusat, takaful dan dana pencen, kata Akmal.

 Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...