Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, November 29, 2011

Perbankan Islam Perlu Bangunkan Keupayaan Laksanakan Urus Niaga Rentas Sempadan

4 Muharram 1433 Hijrah

Oleh Noor Soraya Mohd Jamal

 KUALA LUMPUR, 29 Nov 2011 - Negara-negara Asia Tenggara dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan dua hab kewangan Islam terbesar tetapi tidak banyak urus niaga rentas sempadan dijalankan sesama mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Noor Investment Group dari Dubai, Hussain Al Qemzi.

Hussain berkata sekiranya kedua-dua hab ini tidak berdagang semasa mereka, ia bukanlah satu situasi yang betul.

"Jika kita mahu bersaing dengan bank-bank konvensional yang sudahpun kukuh kedudukannya dalam industri kewangan antarabangsa, kita perlu membangunkan keupayaan untuk menstruktur urus niaga pelbagai mata wang dan rentas sempadan.

"Untuk berbuat demikian kita perlu menjalin hubungan yang lebih erat antara pasaran utama dan antara bank-bank, agar kita berada di kedudukan baik untuk bersaing di peringkat global," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kelebihan bank-bank konvensional berbanding bank Islam ialah mereka mempunyai produk yang sesuai; boleh menjalankan perniagaan rentas sempadan kerana mereka mempunyai rangkaian yang baik; dan mempunyai saiz dan skala.

"Ini merupakan tiga perkara yang kita perlu beri tumpuan. Masa bukan satu masalah tetapi anda perlu menyediakan inisiatif.

"Kita perlu mempunyai lebih banyak urus niaga rentas sempadan dan saiz. Jika kita tidak lakukan ini kita tidak boleh bersaing dengan bank-bank konvensional, kita hanya boleh menjadi bank domestik atau serantau," katanya.

Hussain berkata untuk berbuat demikian, bank-bank dan pengamal kewangan perlu menerajui industri dan tidak menunggu langkah daripada kerajaan dan pengawal atur.

"Sekarang dengan struktur dan peraturan yang sudah ada, kita menjadi malas," kata Hussain, seorang juru bank yang mempunyai pengalaman kerja lebih 26 tahun dengan institusi kewangan terkemuka.

Beliau berkata perbankan Islam telah berkembang ke tahap yang mencukupi tetapi perlu mempermudahkan nama produk dan menyelesaikan perbezaan dalam tafsiran pematuhan Syariah.

"Produk kita, terutamanya pada peringkat pengguna, boleh menawarkan hampir segalanya yang bank konvensional boleh tawarkan tetapi kadang-kadang kita menyulitkannya dengan menggunakan nama-nama yang sukar, kita perlu mempermudahkannya.

"Bagi Syariah, kita melihat dua jenis pengembangan pada dua tempat yang berbeza, kadang-kadang sama sekali tidak sama.

"Oleh itu kita perlu mewujudkan sinergi sekurang-kurangnya memastikan para ilmuan bekerjasama," katanya.

Hussain mencadangkan pembentukan Lembaga Syariah bersama Malaysia-UAE, yang dianggotai ilmuan Syariah dari kedua-dua negara.

Lembaga itu akan diberi mandat untuk mencari asas persamaan pandangan dan pendapat antara kedua-dua negara dengan sasaran membangunkan produk dan perkhidmatan baharu, katanya.

Dengan mengambil contoh sukuk inovatif yang dilancarkan oleh Cagamas, syarikat gadai janji nasional Malaysia, Hussain berkata penawaran yang boleh diterima oleh pelabur di Asia Tenggara dan juga Timur Tengah boleh diwujudkan.

Beliau berkata tahap tinggi perbelanjaan prasarana di Asean dan juga Timur Tengah menawarkan peluang kepada kewangan Islam untuk menonjolkan diri di pasaran kewangan global, terutamanya dengan krisis zon euro yang sudah pastinya melemahkan keupayaan bank-bank Eropah untuk membiayai projek prasarana.

"Kewangan Islam tidak berhenti berkembang meskipun semua krisis-krisis ini.

"Saya rasa 2012 akan menjadi tahun yang lebih baik terutamanya dalam pasaran sukuk yang dijangka melantun semula sebaik sahaja isu di Timur Tengah mereda.

"Kita harus mengambil kesempatan daripada ini dengan menunjukkan cara perbankan beretika, yang merupakan asas kepada sistem perbankan Islam," katanya.

 Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...