Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, December 22, 2011

Peserta Kewangan Tempatan Disaran Ke Seberang Laut: Najib

26 Muharram 1433


KUALA LUMPUR, 21 Dis , 2011 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menggesa peserta kewangan tempatan supaya memainkan peranan penting dalam pengantaraan merentas sempadan dana kewangan Asia sebagai sebahagian daripada usaha negara ke arah menjadi sebuah negara maju.

Ini boleh dilakukan dengan institusi kewangan Malaysia terus meneroka ke luar negara dan mengulangi kejayaan mereka dalam negara di pasaran baru ini, kata beliau dalam ucapan khas pada majlis pelancaran Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan Siri Mata Wang Malaysia baharu di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata institusi kewangan tempatan boleh berusaha ke arah meningkatkan rangkaian serantau, menyediakan perkhidmatan yang berdaya saing, berkualiti tinggi dan menjadi rakan kongsi bertanggungjawab kepada masyarakat serantau.

Rangkaian fizikal yang lebih besar di seluruh rantau ini akan merangsang integrasi ekonomi setelah infrastruktur dinaik taraf dan pelaburan antara rantau meningkat untuk memanfaatkan peluang dan perbandingan kelebihan setiap negara Asia.

"Perubahan ini memberikan peluang-peluang yang penting bagi sektor kewangan Malaysia untuk menggerakkan dana serantau dan menggalakkan pengagihan secara berkesan sumber-sumber untuk pelaburan yang akan memacu pertumbuhan dan kemakmuran serantau," kata Perdana Menteri.

Selain daripada itu, terdapat keperluan untuk memulakan suatu yang baharu dalam meletakkan Malaysia di barisan hadapan pasaran antarabangsa dalam kewangan Islam.

Apabila kewangan Islam menjadi satu komponen yang lebih penting dalam sistem kewangan global, Najib berkata Malaysia perlu terus membangun dan memanfaatkan kepakarannya.

Dalam mengesahkan sokongan penuh untuk pelan itu, Najib berkata seperti Model Baru Ekonomi (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), pelan baru ini juga memberi penekanan terhadap pertumbuhan yang seimbang dan inklusif.

"Sebagai contoh, memastikan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan pedalaman negara mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang cekap dari segi kos dan berkualiti tinggi - meletakkan kita pada kedudukan terbaik mungkin untuk memastikan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia dihalang daripada peluang yang munasabah dan semua orang diberi peluang untuk meningkatkan prospek ekonomi untuk diri mereka sendiri dan untuk anak-anak mereka," kata beliau.

Pelan ini juga melengkapkan pelbagai usaha yang telah dijalankan melalui MEB dan ETP, untuk memudahkan peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan nilai tambah tinggi.

"Peningkatan keluasan dan pengukuhan yang dijangka bagi sektor kewangan kita dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, bakal menyediakan persekitaran yang kondusif dan membolehkan di mana inisiatif dan Projek Permulaan boleh berkembang," kata Najib.

Perdana Menteri berkata sektor kewangan Malaysia telah berkembang sejak 10 tahun lepas, yang menyumbang kepada 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mewujudkan pekerjaan kepada hampir 145,000 orang.

Beliau berkata, sektor ini juga menunjukkan kebingkasan dan kestabilan yang luar biasa semasa krisis kewangan global, dan telah terus menyokong perniagaan tempatan dan aktiviti-aktiviti ekonomi dalam kapasiti pengantara.

Satu lagi ciri penting pelan berkenaan ialah perlindungan yang disediakan untuk memastikan kestabilan kewangan di seluruh rantau ini.

Memandangkan kedudukan sistem kewangan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa terus berubah, Najib berkata akan terdapat keperluan yang lebih besar dan lebih mendesak bagi pengawal selia sektor kewangan serta pembuat dasar untuk berganding bahu dan mengadakan rejim pengawalseliaan yang sesuai, disokong oleh pengaturan kerjasama yang akan menggalakkan kestabilan kewangan serantau dan melindungi kepentingan ekonomi bersama negara.

Beliau berkata Malaysia perlu terus mengukuhkan institusi kewangan domestik bagi memenuhi keperluan pembiayaan perdagangan yang pelbagai, pelaburan langsung, pembiayaan infrastruktur dan pelbagai aktiviti ekonomi dengan risiko mudah tunai yang berbeza dan keutamaan kematangan.

 Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...