4 Safar 1433
Oleh: Bancik
Isu kenaikan harga hartanah di Malaysia seolah-olah tiada berkesudahan. Ini memandangkan harga hartanah terutamanya rumah kediaman dilihat semakin meningkat. Di sesetengah tempat di Lembah Kelang pula terdapat iklan terbuka yang menawarkan pembelian rumah-rumah secara besar-besaran. Ini menunjukkan seolah-olah adanya aktiviti spekulasi terhadap pasaran hartanah di Malaysia.
Walaupun pelbagai pakej pinjaman ditawarkan kepada pembeli rumah pertama, persoalannya, pembeli terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi ataupun terpaksa menanggung hutang dengan lebih lama. Ianya bakal menyebabkan kuasa beli pengguna merosot dengan amat ketara oleh kerana terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi. Maka ini akan menyebabkan kemerosotan dari segi pertumbuhan sektor kepenggunaan yang lain. Dalam masa yang panjang ianya tidak menjamin bahawa Malaysia mampu meningkatkan momentum kadar pertumbuhan yang diharapkan.
Yang berikutnya, walaupun kerajaan memberi subsidi kepada pemaju untuk mengurangkan harga hartanah yang ditawarkan melalui Projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA), ianya juga secara tidak langsung bakal mengurangkan sumber kewangan kerajaan di mana dana berkenaan sepatutnya boleh disalurkan kepada sektor-sektor yang lebih produktif.
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang berwajib ialah dengan mengenalpasti di mana sebenarnya punca kenaikan harga hartanah yang ditawarkan. Apakah disebabkan oleh kenaikan bahan binaan? Kenaikan nilai tanah atau disebabkan penawaran hartanah yang masih rendah ? Dan apa yang paling mustahak ialah dengan mengenalpasti adakah masalah ini disebabkan oleh permainan spekulator dalam industri hartanah?
Kita tidak mahu ada pihak yang mengaut untung secara berlebihan dan menganiaya para pengguna di kitaran ekonomi di Malaysia ini. Jika penganiayaan ini masih berleluasa, nescaya tunggulah akan sampai masanya suatu krisis besar yang mungkin bakal melanda disebabkan oleh sifat tamak haloba dan penganiayaan golongan tertentu di pasaran. Sesungguhnya banyak petunjuk yang telah berlaku di kebanyakan negara maju yang selama ini mendabik dada mereka terlalu hebat. Akhirnya ekonomi mereka tumbang juga.
Apakah kita cukup yakin bahawa pasaran hartanah di kitaran ekonomi kita terlalu hebat, tidak akan berlakunya gelembung dan tidak akan tumbang?
@MyIktisad
No comments:
Post a Comment