Bursa Malaysia

top_rightads

Friday, November 25, 2011

TM Catat Prestasi Kukuh Bagi 3Q2011

KEUNTUNGAN NAIK 137.6% QoQ KEPADA RM302.2 JUTA; HASIL MENINGKAT 3.9% KEPADA RM2.321 BILION


Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga tahun 2011 berakhir 30 September 2011.

TM mencatatkan keputusan kukuh yang berterusan pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2011 dengan mencatat peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) setinggi 137.6% dari RM127.2 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM302.2 juta pada suku tahun semasa, tidak termasuk keuntungan lain dan keuntungan belum nyata hasil tukaran wang asing daripada pinjaman mata wang asing yang lebih rendah yang dicatatkan dalam tempoh ini berikutan pengukuhan USD berbanding Ringgit. Tanpa perkara-perkara tersebut, PATAMI berjumlah RM137.3 juta pada suku semasa tahun ini.

Hasil menokok 3.9% kepada RM2,321.7 juta berbanding RM2,233.6 juta pada 2Q2011. Syarikat menunjukkan prestasi kukuh berikutan peningkatan hasil dari perkhidmatan internet dan multimedia serta data masing-masing sebanyak 6.4% dan 0.2% kepada RM519.0 juta dan  RM455.0 juta; dengan disiplin kewangan yang berterusan; dan momentum langganan jalur lebar yang sihat.

Keputusan ini turut dirangsang oleh Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) yang lebih tinggi untuk suku tahun ke suku tahun kepada RM812.5 juta, menokok 8.8% berbanding RM746.9 juta pada 2Q2011 berikutan peningkatan hasil. Sementara itu, margin EBITDA meningkat 0.7pp kepada 33.7%, melepasi sasaran tahunan utama pada 32.0%.

Mengulas mengenai keputusan kewangan suku ketiga tahun 2011 Syarikat, Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM berkata, “Kami terdorong oleh perkembangan stabil yang berterusan pada tahun ini di dalam semua aspek prestasi dan operasi dalam tempoh yang dinilai seperti suku tahun-ke-suku tahun, tahun-ke-tahun dan tahun sehingga kini dengan mengecualikan perkara-perkara luar biasa. Saya amat berbesar hati kerana usaha gigih warga TM di dalam melaksanakan pelan perniagaan kami membuahkan hasil dengan keputusan yang baik dan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pencapaian ini perlu diletakkan dalam konteks di mana kami perlu beroperasi dalam suasana pasaran yang amat kompetitif, dengan hasil dari perkhidmatan suara yang matang dengan pantas dan saingan internet yang hebat, ditambah lagi dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu. Saya juga gembira kerana Jumlah Pulangan Pemegang Saham (Total Shareholder Returns – TRS) kami terus berada paras purata lebih tinggi daripada rakan-rakan industri pada kadar 31% untuk tempoh 9 bulan ini dan amat berbangga menyatakan bahawa kami adalah antara syarikat telekomunikasi dengan prestasi terbaik di rantau ini.”

Mengulas prestasi operasi, Dato’ Sri Zam berkata, “TM terus kekal sebagai peneraju jalur lebar di negara ini dengan melihat kepada pertambahan berterusan dalam jumlah pelanggan Streamyx dan UniFi kami. Walaupun persaingan sengit, TM terus menarik pelanggan baru dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen jalur lebar dengan jumlah pelanggan 1.871 juta sehinggga 3Q2011, pertumbuhan sebanyak 16.2% daripada 1.610 juta pelanggan setahun yang lalu. Permintaan kukuh terhadap UniFi telah melebihi jangkaan dan permintaan bertambah kukuh dengan momentum berterusan ke suku ketiga ini disokong oleh 1,015,000 premis sedia dipasang. Sehingga 30 September 2011, kami telah memasang UniFi untuk 164,375 pelanggan yang mewakili pertambahan bersih sebanyak 50.8% iaitu 55,356 pelanggan dari 109,019 pada suku kedua tahun 2011. Ini menunjukkan peningkatan kadar langganan kepada 18% setakat ini, iaitu melebihi jangkaan awal kami 8-10% bagi dua tahun pertama perlaksanaannya. Kami menyaksikan kadar langganan meningkat ke purata lebih dari 18,000 pelanggan sebulan pada suku tahun ketiga dan kini, kadar purata langganan telah melebihi 23,000 sebulan. HyppTV juga terus mempertingkatkan penawarannya dengan 74 saluran termasuk program-program interaktif dan Video atas Permintaan (VoD).”

TM berada di landasan yang betul bagi meluaskan lagi perkhidmatan UniFi kepada 78 kawasan ibusawat meliputi 1.1 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2011 dan 1.3 juta premis sedia dipasang di 95 kawasan ibusawat menjelang akhir 2012, seperti sasaran yang ditetapkan di bawah Perjanjian Awam Swasta (PPP) dengan pihak Kerajaan. Perlaksanaan HSBB telah menaikkan nama Malaysia sebagai negara yang mempunyai jumlah pelanggan jalur lebar berkelajuan tinggi yang tertinggi di Asia Tenggara serta salah satu negara yang menawarkan tahap kelajuan yang teramai di peringkat Global, sepertimana yang telah diumumkan oleh Presiden Majlis Fiber-to-the-Home Asia Pasifik di Persidangan Majlis FTTH baru-baru ini. Malah, jumlah pelanggan HSBB Malaysia juga telah disenaraikan di kedudukan 10 teratas di rantau Asia Pasifik.

Sejajar dengan janji TM sebagai penyedia perkhidmatan yang neutral dan terbuka, TM telah mengumumkan termeterainya Perjanjian Perkhidmatan HSBB dengan pelanggan perkhidmatan pukal yang ketiga pada 13 Oktober 2011 yang lalu di mana TM akan menyediakan perkhidmatan pukal HSBB (Akses) dan HSBB (Transmisi). Sebagai membuktikan satu lagi kejayaan perlaksanaan projek HSBB ini, TM juga telah melancarkan perkhidmatan UniFi ke negeri Melaka dan Kedah lebih awal daripada perancangan asal di bawah PPP untuk negeri-negeri tersebut.

Selaras dengan strategi Syarikat untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa bergerak dan berada di dalam bangunan, TM terus merekodkan jumlah Zon WiFi yang terbanyak dalam industri. TM telah mengaktifkan 17,313 lokasi di seluruh negara berbanding kira-kira 2,400 lokasi setahun lalu, peningkatan 7 kali ganda tahun-ke-tahun.

Dato’ Sri Zam seterusnya mengulas, “Pengurusan modal terus kekal menjadi fokus utama kami dengan pencapaian kecekapan perbelanjaan modal (capex) yang berterusan. Sehingga September 2011, kami mencatatkan nisbah capex/hasil yang lebih rendah pada 21.2% berbanding 22.2% dalam tempoh yang sama tahun lepas hasil daripada pendekatan mengoptimumkan kos dan kecekapan capex. Sepertimana yang telah disahkan oleh BT Telconsult, perlaksanaan projek HSBB TM adalah antara yang terpantas, manakala kos perbelanjaan untuk capex rangkaian TM merupakan antara yang terendah di dunia. Pencapaian ini adalah berikutan beberapa cirri yang menyumbang ke arah keberkesanan keseluruhan projek tersebut seperti pilihan rekabentuk seni bina yang efisien, hubungan baik dengan pembekal, pelan perlaksanaan yang lebih berkesan dan penggunaan sumber secara optimum. Disokong oleh pelupusan aset-aset bukan utama kami seperti saham-saham dalam Axiata Group Berhad, kami berada dikedudukan kewangan tunai yang kukuh iaitu RM3.3 bilion. Kami akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan kami dengan memastikan kecekapan kos Kumpulan sambil memastikan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan kami kekal terbaik.”

PRESTASI OPERASI MANTAP YANG BERTERUSAN

Perbandingan: Tahun Sehingga Kini 2011-ke-Tahun Sehingga Kini 2010 (Keputusan YTD2011 vs YTD2011)

Bagi tempoh Sembilan bulan dalam kajian, PATAMI yang dinormalisasi tanpa perkara-perkara luar biasa meningkat 21.3% YTD2011 kepada RM394.7 juta berbanding RM325.3 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. PATAMI pula berada pada RM592.7 juta.

Hasil Kumpulan meningkat 3.6% kepada RM6,703.5 berbanding RM6,470.4 juta pada tahun 2010 berikutan pertumbuhan hasil dari perkhidmatan Internet dan multimedia serta data masing-masing mencatatkan peningkatan 20.1%  dan 5.7% pada suku semasa tahun ini masing-masing dari RM1,216 juta YTD2010 kepada RM1,460 untuk YTD2011, dan dari RM1,264  juta TYD2010 ke RM1,336 juta untuk YTD2011.

Keputusan kukuh pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2011 ini turut dirangsang oleh EBITDA yang meningkat 5.8% kepada RM2,290.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas. Margin EBITDA menokok 0.7pp pada 33.7%, berbanding 33.0% tahun lepas.

Perbandingan: Tahun-ke-Tahun (Keputusan 3Q2011 vs 3Q2010)

Bagi suku semasa dalam kajian, PATAMI yang dinormalisasi menokok 8.8% kepada RM137.3 juta berbanding RM126.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Termasuk keuntungan lain dan tukaran pinjaman mata wang asing. PATAMI yang dilaporkan berada pada RM302.2 juta.

Hasil Kumpulan bertambah 5.8% kepada RM2,321.7 juta, berbanding RM2,194.6 juta yang dicatatkan pada suku ketiga 2010 berikutan peningkatan hasil perkhidmatan Internet dan multimedia sebanyak 26.3% kepada RM518.5 juta pada suku semasa tahun ini Hasil data menokok 3.4% pada suku semasa kepada RM456.3 juta, lebih tinggi berbanding RM440.9 juta pada suku yang sama 2010.

EBITDA naik 7.0% kepada RM812.5 juta dari RM759.5 juta pada 3Q2010. EBITDA dinormalisasi meningkat 8.4% kepada RM803.3 juta.
Margin EBITDA dinormalisasi meningkat sebanyak 1.0 mata pada 34.2% berbanding 33.2% pada 3Q2010.

MELANGKAH KE HADAPAN

TM telah memulakan perjalanan transformasi Syarikat dari sebuah legasi rangkaian menjadi pusat Pertukaran Maklumat (Information Exchange) di mana TM akan terus menjadi pemacu untuk semua berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi ke arah cara hidup digital yang bersepadu dan diperkayakan. Matlamat utama TM adalah untuk mengembangkan penguasaan pasaran, meneruskan inovasi untuk masa depan, memperbaiki keberkesanan operasi dan mengembalikan nilai yang boleh dibanggakan kepada pemegang-pemegang sahamnya. Pencapaian kukuh setakat ini menunjukkan TM kini berada di landasan betul untuk mencapai visinya menjadi Syarikat Telekomunikasi Generasi Baru yang terulung di negara.

TM mempunyai kepentingan di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam memenuhi aspirasi ETP terutamanya dalam bidang utama iaitu “Perkhidmatan Perniagaan” dan “Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur” (CCI). Selaras dengan Projek Permulaan 3 (Entry Point Project 3 - EPP03), TM telah menandatangani satu perjanjian kolaborasi untuk menawarkan perkhidmatan TelePresence Terurus dan membina sebuah ibusawat TelePresence (TelePresence Exchange - TPX) di Malaysia.

TM turut mengoptimumkan rangkaian, kemahiran dan liputannya untuk mempertingkatkan penguasaannya di dalam perkhidmatan Teknologi Maklumat dan perkhidmatan Penyumberluaran Proses Perniagaan (Business Process Outsourcing - BPO) untuk segmen perniagaan / enterpris melalui pengendali perniagaan ICTnya iaitu VADS Berhad. Langkah seterusnya adalah untuk memperkukuhkan perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada dengan aplikasi-aplikasi yang inovatif bagi menyediakan pengalaman pelanggan yang diperkayakan, sama ada mereka pelanggan produk dan perkhidmatan kediaman pengguna ataupun penawaran perniagaan / enterpris.

TM juga sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai hab Internet terpenting di rantau ini dengan memanfaatkan aset dan rangkaian infrastruktur global yang meluas bagi memenuhi peningkatan permintaan pembawa-pembawa global dan enterpris yang semakin sofistikated. TM baru-baru ini telah berkolaborasi untuk membina satu rangkaian pelayan global yang komprehensif untuk membawa kandungan lebih dekat kepada para pengguna web. Kandungan media yang diperkayakan juga akan disediakan kepada pengguna berdasarkan permintaan, di mana-mana jua pada bila-bila masa. Ini sejajar dengan perancangan Syarikat untuk memperkembangkan pusat datanya bagi memenuhi objektif meletakkan Malaysia sebagai hab pusat data bertaraf dunia. Ini akan meletakkan Syarikat pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan di masa hadapan, khususnya kepada pertumbuhan yang dihasilkan lanjutan perlaksanaan ETP Kerajaan.

Memandangkpers ekitaran landskap telekomunikasi yang penuh persaingan sengit, Lembaga Pengarah menjangka persekitaran perniagaan TM bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 akan kekal mencabar.

Sumber : TM

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...