Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, December 13, 2011

Malaysia Tidak Perlu Sumbang Kepada Dana Penyelamat Eropah:Tun Mahathir

17 Muharram 1433 Hijrah


Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar & Norsyafawati Abdul Wahab


 PUTRAJAYA, 12 Dis ,2011- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Eropah kerana melancarkan dana penyelamat untuk membantu ekonomi-ekonomi anggotanya yang bergelut dengan krisis hutang mereka, dengan menyatakan negara-negara Eropah sepatutnya tidak hidup di luar daripada kemampuan mereka.

Beliau berkata Malaysia tidak perlu menyertai dana penyelamat Eropah itu kerana mereka tidak banyak membantu Malaysia semasa krisis kewangan Asia 1997/98.

Menurutnya, dana lindung nilai baratlah yang menyerang ringgit Malaysia dan mata wang Asia lain, yang menyebabkan kegawatan kewangan di mana ekonomi-ekonomi serantau mengambil masa yang panjang untuk bangkit semula.

Dan apabila Malaysia membantu syarikat-syarikatnya pulih daripada krisis tanpa meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa dan mengekalkan kebebasan kewangannya, mereka mengkritik kerajaan kerana mengguna pakai polisi tidak ortodoks untuk mengelak bencana kewangan.

"Tidak, mengapa kita perlu bantu? Jika saya dalam kerajaan, saya tidak akan berbuat demikian. Saya tidak rasa Malaysia harus menyumbang apa-apa, mereka cuba membankrapkan kita sebelum ini dan mereka melemahkan mata wang kita," katanya semasa ditanya sama ada Malaysia perlu menyumbang kepada dana penyelamat itu selepas pemimpin Eropah bersetuju mengetatkan peraturan bajet dan menubuhkan dana penyelamat yang lebih besar di Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah minggu lepas.

"Sekarang, mereka menerima nasib yang sama, jadi biarkan mereka menyelesaikannya sendiri. Sebenarnya, kekayaan mereka bukan kekayaan sebenar," kata bekas perdana menteri itu yang mendapat pujian kerana menyelamatkan Malaysia daripada bencana kewangan, dalam satu wawancara dengan Bernama dan Bloomberg.

Dr Mahathir berkata kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah merupakan pengeluar kereta dan perkakasan rumah terbesar dunia tetapi kemudiannya menumpukan kepada industri kewangan selepas negara-negara Timur seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan mula mengeluarkan produk yang sama.

"Pasaran kewangan bukan perniagaan sebenar kerana ia tidak mewujudkan pekerjaan dan tiada keluaran sampingan. Mereka mendapat berbilion-bilion dolar hanya dengan memindahkan nombor dalam akaun bank.

"Apabila mereka mula melabur dengan menggunakan wang pinjaman untuk menambah keuntungan, akhirnya keseluruhan sistem tumbang disebabkan aktiviti perjudian, spekulasi dan manipulasi. Sekarang mereka miskin, tetapi mereka tidak mengakuinya dan mahu hidup dengan gaya mereka sendiri.

"Apabila kerajaan mereka mahu melaksanakan program berjimat cermat, mereka membantahnya menerusi demonstrasi, yang memburukkan lagi keadaan," kata Dr Mahathir. Ramai pakar ekonomi Barat meminta kerajaan Malaysia agar tidak menyelamatkan syarikat, tetapi melaksanakan bajet lebihan dan menaikkan kadar faedah untuk mengurangkan perbelanjaan, namun kerajaan memutuskan untuk tidak mendengar pandangan mereka.

Malaysia yang tidak mengendahkan gesaan agar membuat perbelanjaan lebih ketat telah mengguna pakai langkah-langkah tidak ortodoks dengan melonggarkan perbelanjaan dan menurunkan kadar faedah bagi merangsang aktiviti perniagaan yang membantu negara pulih beransur-ansur daripada krisis kewangan.

Kerajaan juga mengenakan kawalan modal termasuk menambat ringgit berbanding dolar AS dan melarang dagangan ringgit di luar negara dalam usaha menghentikan spekulasi terhadap ringgit Malaysia.

Serangan spekulatif itu menyaksikan ringgit menjunam berbanding dolar AS daripada RM2.42 pada Julai 1997 kepada hingga serendah RM5.20 kira-kira setahun kemudiannya, yang menyebabkan Dr Mahathir menambat ringgit berbanding mata wang AS itu kepada RM3.80 di bawah kawalan modal.

"Kita melakukan bertentangan dengan apa yang digesa mereka. Sekarang mereka melakukan semua perkara yang kita buat, tetapi dengan lebih besar lagi, dengan Jerman menyelamatkan Greece dengan US$300 bilion. "Kita hanya menyelamatkan syarikat semasa krisis kewangan sekitar RM200-RM300 juta sahaja," kata beliau.

Ditanya mengenai cara untuk menyelesaikan masalah di Eropah, Dr Mahathir berkata mereka tidak seharusnya hidup di luar daripada kemampuan mereka.

"Jika anda miskin, anda hidup seperti orang miskin, terima bayaran murah, standard hidup perlu rendah dan tidak terlalu berbelanja.

"Tetapi masalahnya, kini mereka mahu hidup seperti mereka kaya," kata Dr Mahathir.

 Sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...