Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, October 26, 2013

Penjelasan Perlu Untuk Elak Rakyat Keliru Dengan GST

21 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 25 Okt, 2013- Orang ramai perlu diberi penerangan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana pada April 2015 bagi memastikan mereka memahami mekanismenya dan bersedia dengan pelaksanaannya, demikian menurut beberapa persatuan pengguna hari ini.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata penjelasan itu boleh dilakukan dalam tempoh 17 bulan sebelum GST dilaksana memandangkan ramai yang masih tidak faham dan menganggapnya membebankan.

"Ramai juga yang keliru bahawa GST ialah cukai baharu. Mereka wajib diberi pendedahan atau pemahaman terhadap GST bagi mengelak timbul rungutan apabila GST dilaksanakan kelak.

"Kerana itu kerajaan perlu ambil inisiatif untuk pastikan orang ramai betul-betul faham dengan GST ini, dan agensi atau jabatan kerajaan yang berkenaan perlu membuat hebahan atau penerangan dalam tempoh yang ada, iaitu 17 bulan dari sekarang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari Jumaat.

Beliau berkata kerajaan juga perlu membuat penjelasan menerusi kaedah yang dikenal pasti mampu memberi kefahaman kepada orang ramai, dan bukan sekadar memberi penjelasan biasa.

Katanya, adalah penting rakyat mengetahui bahawa GST tidak dilaksana bagi semua barangan.

Dalam pembentangan Bajet 2014 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara barangan yang tidak dikenakan GST ialah bahan makanan asas dan perkhidmatan pengangkutan awam.

GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015 dengan kadar 6 peratus.

Mengulas penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen, yang berkuat kuasa esok, Mohd Firdaus berkata ia langkah tepat memandangkan rakyat Malaysia masih mengamalkan pengambilan gula yang agak tinggi meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksana.

"Jadi langkah ini dilihat sekali gus dapat mengubah gaya hidup rakyat Malaysia... dan dengan harga yang tinggi ini, secara automatik mereka akan mengurangkan pengambilan gula," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan Datuk Seri Dr Farid Abd Ghani pula menggesa kerajaan memantau kemungkinan kenaikan harga makanan dan minuman di pasaran berikutan pemansuhan subsidi gula bermula esok.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Sha'ani Abdullah berpendapat rakyat perlu diberi penjelasan dan pendidikan dalam isu GST bagi menggelak salah faham.

"Penjelasan harus diberi supaya mereka memahami GST kerana GST bukan cukai baharu," katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan memastikan penguatkuasaan dipertingkat dalam memastikan tiada peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang dikecualikan daripada GST untuk memberi keyakinan kepada orang ramai.

 Sumber berita- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...