Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, October 12, 2013

MaGIC Bantu Usahawan Berkembang

7 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 11 Okt, 2013- Cadangan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC), akan menyediakan platform yang sesuai kepada usahawan untuk mengembangkan sayap mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia Datuk Badlisham Ghazali berkata MaGIC, yang akan ditempatkan di Cyberjaya, bersedia untuk menyatukan usahawan generasi akan datang negara.

"Usahawan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan menyaksikan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kualiti usahawan tempatan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di GES 2013 di sini hari ini.

MaGIC, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013, akan menjadi tempat sehenti yang membolehkan para usahawan mendapat pembiayaan daripada bank atau modal teroka, inkubator untuk membangunkan syarikat yang baru bermula, pendaftaran hak harta intelek serta kemudahan latihan dan bimbingan.

Inisiatif ini juga dijangka meningkatkan dan mengukuhkan hubungan kerajaan dan usahawan.

Usahawan Malaysia, Gerald Daniel, peneraju First Billenium Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi mudah alih, berkata meskipun kerajaan sentiasa menyokong usahawan tempatan, mereka bagaimanapun mendapati sukar untuk memanfaatkan inisiatif tersebut.

"Inisiatif MaGIC ini tentunya akan menambah baik keadaan ini," kata Daniel.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Robin Capital Sdn Bhd Ariivazhagan Supramaniam pula, perkara yang paling penting ialah untuk memudahkan usahawan dengan dasar yang betul, akses kepada kewangan dan sokongan berterusan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya berpendapat perolehan kerajaan adalah bidang penting di mana mereka perlu mengambil risiko untuk menguji usahawan-usahawan ini kerana akan mewujudkan keyakinan pasaran dan membolehkan pihak komersial menyertainya," katanya.

Pengerusi Eksekutif DFRAN Research Technologies Sdn Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyifatkan langkah menubuhkan MaGIC sebagai selaras dengan keadaan semasa di mana majoriti idea inovatif dari negara-negara maju adalah daripada usahawan muda.

"Malaysia perlu menyediakan ekosistem yang membolehkan golongan muda yang inovatif dan kreatif mempunyai peluang untuk menjadi usahawan yang baharu, " kata Syed Zainal.

Bekas Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd itu berharap inisiatif tersebut akan disusuli dengan pelaksanaan yang betul.

Sementara itu, perwakilan asing turut menyifatkan MaGIC sebagai idea yang hebat.

Antara mereka ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Technology Innovation Agency dari Afrika Selatan Dr Muhammad Sayed yang berpendapat pusat setempat adalah idea yang sangat baik kerana pemisahan pelbagai usaha di banyak negara telah mengecewakan usahawan.

Egle Vinauskaite, perwakilan dari Lithuania, yakin inisiatif berkenaan akan berjaya.

"Malaysia telah melaksanakan tugas yang hebat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat banyak program keusahawanan, bengkel dan mentor, semua berjaya. Ia memberi kesan yang besar kerana orang ramai terutamanya golongan belia yang menyedari potensi mereka sendiri dan saya berpendapat ia satu perkara yang positif," katanya.

Sumber berita: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...