Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, October 19, 2013

Pemegang Saham BIMB Holdings Lulus Cadangan Pengambilalihan Saham Bank Islam Malaysia

14 Zulhijjah 1434

KUALA LUMPUR, 17 Okt, 2013- Pemegang saham BIMB Holdings Bhd Khamis meluluskan cadangan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam Bank Islam Malaysia Bhd dengan harga AS$884.6 juta (RM2.89 bilion).

BIMB akan membeli kepentingan Dubai Financial Group LLC sebanyak 30.47 peratus dan ekuiti Lembaga Tabung Haji sebanyak 18.53 peratus dalam bank itu.

Baki 51 peratus dalam Bank Islam sudah pun dimiliki oleh BIMB Holdings.

Pengambilalihan itu akan melibatkan AS$550 juta bagi blok saham Dubai Financial Group dan AS$334.603 juta bagi kepentingan yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.

"Kami menerima sokongan padu daripada pemegang saham dengan 99 peratus daripada mereka mengundi bagi cadangan pembelian itu," kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Johan Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa BIMB, beliau berkata BIMB mencadangkan terbitan hak boleh batal dengan waran dan sukuk untuk membiayai pembelian itu, serta bagi kegunaan sebagai modal kerja.

Terbitan hak itu melibatkan 426.71 juta saham baharu dengan 426.71 juta waran percuma pada harga terbitan indikatif RM3.80 bagi setiap saham hak untuk mengumpul RM1.644 bilion.

Ia juga akan menerbitkan sukuk hingga saiz terbitan indikatif RM2.12 bilion nilai nominal.

Saiz terbitan sukuk yang dicadangkan itu mungkin ditambah kepada hingga RM2.2 bilion nilai nominal jika harga terbitan muktamad saham-saham hak itu lebih rendah daripada harga terbitan indikatif RM3.80, katanya.

Johan berkata keseluruhan cadangan itu dijangka selesai menjelang akhir tahun.

Dengan selesainya cadangan itu, sumbangan perolehan dan keuntungan daripada Bank Islam akan meningkat kepada 90 peratus daripada 85 peratus sekarang, katanya.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...