Bursa Malaysia

top_rightads

Wednesday, October 30, 2013

Britain Negara Barat Pertama Terbit Bon Islam Di Luar Negara-negara Islam

26 Zulhijjah 1434

LONDON, 29 Okt , 2013- Britain akan menjadi negara Barat pertama di dunia menerbitkan bon Islam di luar negara-negara Islam, mencerminkan komitmen tingginya untuk menjadi satu daripada pusat kewangan Islam utama di dunia.

Ketika membuat pengumuman di Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-9 (WIEF) di sini, Selasa, Perdana Menteri Britain David Cameron berkata perbendaharaan ketika ini sedang mengkaji perkara-perkara praktikal untuk menerbitkan sukuk (bon Islam) bernilai sehingga 200 juta pound pada awal tahun depan.

"Kami menyasar menjadi pusat kewangan Islam terbaik di dunia Barat. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Dubai dan Kuala Lumpur kerana mereka adalah pusat kewangan Islam terbaik di dunia," katanya semasa ucapan khas di forum tersebut.

Penerbitan sukuk itu hanya sebahagian daripada beberapa inisiatif yang diumumkan Cameron ketika negara tersebut menimbang idea menjadi satu daripada pusat kewangan Barat terbesar yang menawarkan perkhidmatan dalam perbankan dan pembiayaan Islam di luar negara-negara Islam.

Pengumuman itu juga memberikan kelebihan kompetitif kepada Britain berbanding rakan-rakan Baratnya terutamanya memandangkan negara itu memiliki sektor perbankan Islam terbesar di luar Timur Tengah dan Asia.

Ia memiliki 22 bank patuh Syariah atau bank-bank dengan kaunter Islam, yang setakat ini telah mengumpulkan 22.3 bilion pound.

Cameron berkata di London juga terdapat 25 firma undang-undang yang menawarkan atau mengkhususkan dalam perkhidmatan kewangan Islam serta 16 universiti atau kajian perniagaan yang menawarkan Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan atau kursus mengenai kewangan Islam.

Beliau berkata London Stock Exchange juga akan melancarkan Indeks Syariah FTSE untuk menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk memanfaatkan dana dalam pasaran itu.

Berita lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...