16 Rabiulakhir 1434
KUALA LUMPUR, 26 Febuari 2013- Malaysia mampu muncul sebagai negara kuasa koperasi dunia sekiranya penggiat industri itu melaksanakan sistem tadbir urus yang mantap, unggul, sistematik, berintegriti tinggi dan bina upaya yang kukuh serta mampu bersaing di peringkat global.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata tidak mustahil untuk Malaysia muncul sebagai kuasa koperasi dunia jika semua koperasi yang ada, khususnya yang sudah berdaya saing, mempunyai keupayaan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa seperti negara-negara maju.
Nik Ali yang menggantikan Datuk Md Yusof Samsudin sejak 21 Jan lepas, menyuarakan keyakinan beliau bahawa jika semuanya mengamalkan sistem tadbir urus yang baik, koperasi akan menjadi industri yang paling berjaya.
Dalam usaha untuk memastikan koperasi di Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa, ia perlu sentiasa menjalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan sedia ada seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corp.
"Matrade yang terlibat dengan program pembangunan eksport, mempromosi produk Malaysia manakala SME Corp yang mempunyai pelbagai insentif dan geran, klinik perniagaan, serta pelbagai usaha mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang boleh dikongsi bersama," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Nik Ali berkata pembangunan koperasi mestilah dipacu oleh penggiat industri manakala SKM berperanan sebagai pemudah cara yang bertujuan untuk memastikan pembangunan sektor koperasi berjalan teratur.
Beliau berkata kebanyakan koperasi di Malaysia berada dalam zon selesa, mentaliti subsidi, kebergantungan yang besar kepada kerajaan dan tidak meniru amalan terbaik koperasi-koperasi besar di dunia.
"Kita nak tingkatkan jumlah koperasi dan anggota yang berkualiti, profesional, kompeten dan "business minded". Kita tak mahu koperasi yang dominan," katanya.
Menurutnya koperasi di Malaysia perlu belajar daripada koperasi Korea, Belanda, New Zealand dan Australia, yang mempunyai koperasi yang besar, bagi membantu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Maklumat lanjut: BERNAMA
No comments:
Post a Comment