Bursa Malaysia

top_rightads

Saturday, February 23, 2013

Baju Kurung Hasmin Terokai Vietnam

12 Rabiulakhir 1434

 HO CHI MINH CITY (VIETNAM), 22 Febuari 2013- Apabila Hasmin Nahazanan mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai menjahit baju kurung di Vietnam pada lapan tahun lepas, beliau terus berpegang dengan nekad itu tanpa lagi menoleh ke belakang.

Berbekalkan dengan semangat yang begitu tinggi, Hasmin bersama suami, Alfashah Che Othman terus tanpa jemu menghasilkan baju kurung di bawah jenama De'Alfa.

Keputusan membuka kedai dan seterusnya kilang di luar negara sedikit sebanyak membantu pasangan suami isteri ini dalam menjimatkan kos bagi mendapatkan pekerja dan seterusnya menghasilkan baju yang berkualiti pada harga yang kompetitif.

MULA DARI BAWAH

Bersama-sama rakan kongsinya Nguyen Dhang Dhue, 35, yang adalah rakyat tempatan, pasangan ini telah menubuhkan sebuah syarikat, Armada Kiara, dengan memulakan pengeluaran di sebuah rumah di tengah-tengah bandaraya Ho Chi Minh City.

Dengan seramai 16 pekerja dan sebanyak 20 mesin jahit pada ketika itu, baju kurung yang telah siap kemudian dibawa pulang ke Malaysia untuk dijual, dan terus mendapat sambutan yang baik kepada peminat pakaian itu.

"Kalau dulu saya boleh membekalkan sebanyak kira-kira 2,000 baju kurung sebulan, kini kilang saya di sini boleh menyiapkan lebih 20,000 sebulan bagi pasaran di Malaysia.

"Alhamdulillah kini saya gembira melihat sambutan terhadap baju kurung terus meningkat baik dan menjadi harapan untuk melihat rakyat dari negara lain juga turut berminat untuk memakainya," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

MAJU KE HADAPAN

Dua tahun lepas, operasi syarikat Hasmin dipindahkan dari rumah berkenaan ke sebuah kilang pembuatan baju kurung miliknya yang terletak di pinggir bandaraya ini.

Jika dahulu hanya menggaji 16 pekerja, kini kilang berkenaan mempunyai lebih 200 pekerja yang kesemuanya adalah penduduk kampung berhampiran kilang itu.

Demi menjaga kualiti, pemilihan pekerja diambil dengan penuh teliti agar baju kurung keluarannya terus mendapat tempat di hati peminat pakaian itu.

"Kalau pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha, sambutan pembeli sangat hebat dan ketika itu, kilang akan mengeluarkan sebanyak 60,000 pasang setiap bulan perayaan," katanya.

Hasmin, yang juga Pengarah Urusan syarikat itu, berkata bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan kepercayaan kerajaan Vietnam bagi kelulusan untuk membina kilang di negara itu.

"Tapi Alhamdulillah, akhirnya mereka bersetuju membenarkan saya mendirikan kilang dengan syarat pekerjanya mesti terdiri daripada rakyat tempatan dan dengan berbekalkan hampir RM1 juta akhirnya kilang ini dapat direalisasikan," katanya.

DAPATKAN BAHAN

Syarikat mendapatkan fabrik untuk baju kurung selain Vietnam adalah dari Timur Tengah, Korea dan China yang mempunyai kualiti tersendiri.

"Semua fabrik itu akan dikumpulkan di kilang ini dan reka bentuk baju terkini akan direka suami saya sebelum dijahit," katanya.

Ketika ditanya harga jualannya, Hasmin berkata Butik De'Alfa yang terdapat di Malaysia menjual baju kurung pada serendah RM38 hingga RM150 sepasang.

Katanya, ia jauh lebih rendah berbanding mana-mana pasaran tempatan dan jauh lebih rendah daripada baju kurung moden yang turut dijual di beberapa tempat terkenal di bandaraya ini.

Kini, terdapat tiga cawangan Butik De'Alfa di seluruh negara iaitu Taiping Central di Perak, Pusat Perdagangan Kota Baharu dan Lembah Sireh, di Kelantan.

FRANCAIS

Ketika ini syarikat ini mula membuka peluang kepada usahawan terutama bumiputera yang berminat menjalankan perniagaan berasaskan pakaian tradisional dan moden untuk menceburi bidang tersebut dengan menjadi franchisee mereka.

Selain itu Hasmin berkata pihaknya turut menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 50 francais di seluruh negara menjelang 2018.

Dengan modal serendah RM250,000 sebagai permulaan, usahawan boleh mendapatkan lesen untuk menjual baju jenama syarikat berkenaan.

"Antara kelebihan menjadi franchisee kami adalah usahawan diberikan latihan selama satu hingga dua bulan di wisma kami di Kota Baharu, Kelantan selain pemantauan rapi akaun syarikat di mana seorang akauntan akan dihantar setiap bulan untuk menyemak akaun franchisee.

"Ini bagi memastikan usahawan mendapat pengalaman secukupnya untuk menguruskan francais mereka," katanya.

Hasmin mengharapkan kerajaan dapat membantu mereka yang ingin menjadi francais syarikatnya dengan memudahkan beberapa proses terutama permohonan pinjaman.

Terdapat dua francais Butik De' Alfa iaitu satu di Jerteh, Terengganu dan satu lagi di Plaza Metro Kajang, Selangor.

PELBAGAIKAN PRODUK

Untuk terus melebarkan lagi sayap perniagaan, syarikat ini akan mengeluarkan pakaian wanita dengan jenama baru iaitu "Seri" tidak lama lagi.

Maklumat lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...