Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, February 14, 2013

Syarikat Malaysia Raih Jualan RM45.9 Juta Pada Pameran Kesihatan Arab 2013

3 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 13 Febuari 2013- Syarikat penjagaan kesihatan Malaysia yang mengambil bahagian dalam pameran Kesihatan Arab 2013 yang tamat baru-baru ini telah meraih jualan bernilai RM45.9 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata 11 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam pameran yang berlangsung dari 28 hingga 31 Jan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu itu.

"Pameran yang diadakan dalam masa pasaran penjagaan kesihatan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semakin pesat berkembang itu, menjadi platform yang amat baik bagi pengekport produk kesihatan Malaysia untuk memasuki pasaran GCC, serta rantau di sekitarnya," kata Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Dubai, Mustafa Abdul Aziz.

Antara produk-produk Malaysia yang menjadi buruan pembeli pada pameran itu termasuklah katil dan kelengkapan hospital, larutan intravena, produk penjagaan kesihatan dan peribadi, sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan, tiub dan kateter, picagari dan produk pakai buang perubatan lain.

Pameran Kesihatan Arab 2013 yang merupakan acara penjagaan kesihatan terbesar di Timur Tengah itu menarik lebih 3,500 pempamer dari 63 negara dengan lebih 80,000 pembeli dan ahli-ahli profesional penjagaan kesihatan yang mengunjungi pameran dan persidangan yang diadakan semasa pameran selama empat hari itu.

Matrade berkata pasaran penjagaan kesihatan itu diunjurkan berkembang pada kadar tahunan 11 peratus kepada US$43.9 bilion menjelang 2015 dengan Arab Saudi dan UAE sebagai pasaran paling pantas berkembang.

Tahun lepas, eksport peranti perubatan Malaysia ke UAE mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak lebih sekali ganda atau 118.1 peratus kepada RM166.5 juta, manakala eksport ke Arab Saudi meningkat 5.4 peratus kepada RM83.1 juta.

"Matrade, Kementerian Kesihatan dan industri akan terus bekerjasama untuk memastikan penyertaan kita yang berterusan pada acara-acara terkemuka dunia bagi peranti perubatan dan industri farmaseutikal.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...