Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, February 19, 2013

MyIPO Akan Muktamadkan Modul Latihan Untuk Kumpulan Pertintis Juru Nilai IP

9 Rabiulakhir 1434

KUALA LUMPUR, 19 Febuari 2013- Perbadanan Hak Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi yang bertanggungjawab memantau hak harta intelek (IP) di Malaysia, kini dalam peringkat akhir memuktamadkan modul latihan kumpulan perintis juru nilai IP.

Ketika kerajaan menggerakkan lebih banyak inovasi dalam negara, ia penting untuk pihak yang membawa perubahan, menerima penghargaan pasaran, terutama dari segi meletakkan nilai ke atas ciptaan mereka.

Oleh itu, peranan juru nilai IP penting memandangkan pakar ini akan menganalisis dan meletakkan nilai ke atas inovasi, terutama membabitkan aspek pembiayaan dan pengkomersilan.

Dalam temu bual dengan Bernama, Ketua Pengarah MyIPO Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata idea Juru nilai IP bertujuan mempromosi IP sebagai sumber baharu pembiayaan, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata model Juru nilai IP itu merupakan langkah pertama dalam membantu institusi kewangan untuk merujuk kepada kaedah khusus dalam menilai aset IP dan memperakuinya sebagai jaminan kewangan.

"Ada kalanya PKS mendapati sukar untuk memperoleh pinjaman untuk meluaskan perniagaan memandangkan mereka tidak mempunyai aset fizikal untuk dijadikan sandaran. Kami mahu melihat IP boleh digunakan sebagai sandaran kepada bank," katanya.

Modul latihan juru nilai IP dijangka bermula awal bulan depan.

Ia akan melatih kira-kira 20 pegawai teknikal dengan pelbagai latar belakang dan sudah pun mempunyai pengalaman mengendalikan IP sejak lebih tiga bulan dengan menganalisis kajian kes sebenar.

Azizan berkata selepas latihan, lima hingga enam kes yang dikaji dan dinilai, akan diserahkan kepada Malaysian Debt Ventures (MDV) untuk pembiayaan.

Bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan institusi kewangan, wakil dari bank akan dijemput sebagai pemerhati semasa sesi latihan, supaya mereka memahami mengenai Penilaian IP dan cara melaksanakannya.

Penilaian IP diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013. Ia mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperakui IP sebagai pemangkin untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.

MyIPO juga merancang membangunkan pasaran IP yang akan membolehkan IP didagangkan seperti aset ketara lain, kata Azizan.

"Pasaran IP akan membolehkan IP didagangkan, digunakan sebagai komoditi. Negara seperti China, Amerika Syarikat dan negara Eropah yang sudah melaksanakannya selama beberapa tahun.

"Oleh itu, kami mengkaji model cara mengurus pasaran IP dan mengguna pakainya bersesuaian dengan amalan industri tempatan," katanya.

Di China katanya pasaran IP kini dalam dua bentuk, fizikal seperti pusat lelong dan satu lagi dagangan maya.

"Ia mungkin mengambil masa hingga 2014 untuk membangunkan pasaran IP tempatan.

"Matlamat kami ialah untuk mewujudkan ekosistem IP yang kondusif, yang akan meningkatkan keyakinan pelabur di Malaysia, dan pada masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang pekejaan berasaskan kreativiti dan inovasi, selain mengukuhkan kepelbagaian dalam sumber pendapatan negara," kata Azizan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...