Negara telah berhadapan dengan pelbagai krisis ekonomi yang melanda sama ada di dalam negara ataupun diluar negara. Keduanya mampu memberikan impak kerosakan ekonomi yang agak ketara. Namun, kita seolah mudah lupa apa yang telah berlaku dan acapkali cenderung untuk mengulangi kesilapan yang lampau.
Malaysia , walaupun diiktiraf sebagai salah sebuah negara Islam dilihat masih lagi terpengaruh dengan ekonomi konvensional walaupun agak kehadapan dalam memperkenalkan sistem perbankan Islam. Namun kita masih lagi agak keberatan untuk membuat kajian dari segi aspek percukaian yang melibatkan konsep Islam. Kita juga ingin memperkenalkan GST, apabila melihat negara-negara barat yang berkonsepkan sistem kapitalis menggunakan kaedah yang sama. Saya berpendapat, jika kita mampu mengadaptasikan sistem perbankan Islam, mengapa tidak dicuba sistem percukaian Islam?
Krisis ekonomi yang berlaku pada sekitar 1998, telah membuktikan di mana matawang boleh diniagakan di mana penyangak matawang melakukan aktiviti spekulasi dalam urusniaga matawang. Negara-negara barat rata-rata menyatakan nilai matawang perlu ditentukan memalui kuasa pasaran iaitu dengan kata lain melalui "market forces". Tun Mahathir, dengan cara beliau sendiri telah membuktikan bahawa konsep sebegini telah mendedahkan serangan terbuka terhadap pertahanan ekonomi sesebuah negara. Kawalan matawang negara telah menyelamatkan negara dari krisis yang lebih besar lagi.
Kini, berlaku lagi krisis ekonomi yang mana ianya disebabkan oleh kenaikan barangan komoditi utama dunia seperti minyak. Sebagaimana yang kita maklum bahawa, harga komoditi juga ditentukan melalui bursa-bursa komoditi yang mana harganya ditentukan oleh kuasa pasaran. Begitu juga komoditi lain, seperti makanan seperti minyak kacang soya, minyak sawit dan sebagainya. Cuma yang belum ialah mungkin bursa yang menentukan harga ikan dan ayam. Namun disebabkan ternakan berkenaan juga bergantung kepada komoditi makanan, maka kos menternak juga akan turut mengalami kenaikan.
Prinsip keadilan sosial adalah penting bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan negara yang mempunyai rakyat berpendapatan tinggi dan bukannya menjadikan negara berpendapatan tinggi, tetapi rakyatnya berpendapatan rendah. Kenyataan seperti ini perlu dibezakan dengan betul.
Mempunyai lebih rakyat berpendapatan tinggi adalah lebih baik daripada mempunyai negara yang berpendapatan tinggi. Apabila wang berlegar dengan lebih cepat dikalangan rakyat, maka sesebuah negara itu sedang mengalami perkembangan ekonomi yang rancak. Ianya bakal menguatkan pertahanan ekonomi negara, kerana lebih ramai pihak yang memegang wang di dalam sesebuah ekonomi. Ini berbeza jika hanya kerajaan dan beberapa syarikat besar memegang wang. Ini akan membolehkan sasaran pihak musuh hanya dipusatkan kepada kerajaan dan hanya beberapa syarikat sahaja. Oleh itu agak mudah serangan dilakukan oleh penyangak ekonomi. Pembaziran dan ketidakcekapan penjawat awam dan penjawat professional di syarikat besar juga bakal memberi risiko yang besar.Oleh itu tiada guna jika kerajaan dan syarikatnya mempunyai pendapatan tinggi, tetapi rakyatnya mempunyai pendapatan yang rendah dan mengakibatkan kuasa beli yang rendah.
Sudah tiba masanya bagi pembuat dasar membuat kajian dari masa ke semasa untuk mencorakkan semula sistem ekonomi negara. Sistem pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz perlu diberi ruang untuk dibuat kajian sebagai "lesson learn" agar kita dapat mencari sinar dihujung jalan terhadap kegawatan ekonomi semasa yang sedang melanda.
@MyBancik
No comments:
Post a Comment