Sektor perbankan negara pada minggu ini telah digegarkan dengan berita cadangan pengambilalihan RHB Bank oleh dua bank terkemuka di Malaysia iaitu Maybank dan CIMB. Penggabungan ini jika berlaku bakal mewujudkan sebuah bank yang bakal diiktiraf antara terbesar di Asean. Bagi saya kedua-dua pihak yang berminat untuk ambil alih mempunyai peluang yang sama.
Namun, akan timbul isu pertindihan tugas kakitangan dan cawangan apabila bank berkenaan bergabung. Ianya sudah tentu mewujudkan pembaziran sumber di mana para pekerja yang telah dilatih selama ini sebilangannya terpaksa diketepikan manakala, cawangan yang telah cantik dibangunkan dan diubahsuai bakal diabaikan dan dirobohkan disebabkan untuk penyelarasan jenama. Sistem yang telah dibangunkan dan telah dilaburkan selama ini juga terpaksa diketepikan begitu sahaja. Kadar pengangguran juga tak boleh diketepikan sama sekali akibat proses rasionalisasi yang bakal dijalankan.
Sudah sampai masanya pihak kawalselia industri dan pihak yang berwajib berfikir secara kreatif dalam hal ini. Saya berpendapat dan mencadangkan agar lesen RHB Islamic Bank dikekalkan dan entiti ini dicadangkan untuk mengambilalih penyenaraian RHB Capital . Entiti ini perlu dipisahkan(demerger) daripada proses pengambilalihan ini. Pengambilalih yang tidak berjaya boleh ditawarkan untuk menyertai ekuiti entiti baru ini dan saham tambahan baru disarankan agar ditawarkan kepada umum untuk menambah jumlah saham berbayar entiti berkenaan.
Penyenaraian Bank Islam ini bakal membuka lebih peluang dan alternatif kepada para pelabur yang amat mengambil berat dari segi soal halal dan haram di sudut pelaburan mereka, yang mana peluang pelaburan seperti ini pada masa sekarang amat terhad di sektor perbankan negara. Ianya juga bakal berpotensi menarik lebih ramai pelabur dari timur tengah dan menggalakkkan pelaburan langsung ke dalam negara.
Dari segi kesan sosial pula, kerajaan dapat mengelakkan masalah pengangguran yang bakal berlaku akibat proses rasionalisasi ini, yang mana pekerja yang berlebihan boleh mengambil pilihan untuk kekal di Bank Islam mega berkenaan. Pembaziran sumber juga dapat dielakkan di mana sistem, cawangan dan lain-lain sumber yang bertindih masih dapat dimanfaatkan di entiti berkenaan.
Bank Islam mega yang tersenarai ini juga kemudian boleh meninjau peluang di luar negara terutamanya yang melibatkan negara Islam sebagai salah satu strategi untuk menjadi Bank Islam Mega di dunia. Jika kita ada kemahuan, sudah tentu ada jalannya.
@MyBancik
No comments:
Post a Comment