Bursa Malaysia

top_rightads

Monday, December 19, 2011

Wakaf Korporat & Bank Wakaf Bakal Menjadi Realiti

23 Muharram 1433

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes.utusan@gmail.com


KUALA LUMPUR 18 Dis 2011. - Yayasan Iqra menjangka pengwujudan Wakaf Korporat dan Bank Wakaf akan menjadi kenyataan tidak lama lagi kerana undang-undang pelaksanaannya telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu dan reaksi positif daripada kerajaan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Iqra, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, kerajaan sendiri telah menganjurkan kongres bagi membincangkan isu berkenaan dan ini menunjukkan ada usaha ke arah tersebut.

Menurutnya, kongres bersejarah berkenaan telah mendapat sokongan daripada Majlis Raja-Raja Melayu dan Majlis Agama Negeri demi memartabatkan kepentingan ekonomi Islam.

"Kerajaan dijangka menilai hasil daripada kongres berkenaan dan saya yakin akan ada keputusan positif dalam masa terdekat kerana permintaan terhadap Wakaf Korporat semakin meningkat.

"Berdasarkan pengalaman Wakaf Korporat yang dibuat oleh JCorp., perniagaan cara Islam berkenaan boleh dilaksanakan bila-bila masa jika mendapat kebenaran daripada pemerintah,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas forum bertajuk Waqaf:Mendefinisikan semula kemakmuran dan pertumbuhan, baru-baru ini.

Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat mula diterima kerana dilihat mampu menyelesaikan banyak masalah terutamanya melibatkan kebocoran hak milik Melayu dan Islam apabila diswastakan cara Barat.

"Usaha telah dilakukan untuk mewujudkan semula cara ekonomi Islam berkenaan dan terpulang kepada semua untuk menilai dan menyokongnya,'' jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhammad Ali berkata, Wakaf Korporat merupakan cara terbaik untuk mengelakkan berlakunya 'rompakan' duit rakyat melalui penswastaan.

Katanya, penswastaan cara Barat hanya memenuhkan kocek individu tertentu dan akhirnya mereka boleh menarik balik pegangan pada bila-bila masa hingga menyebabkan syarikat tertentu mengalami masalah.

"Penyelesaian terbaik adalah Wakaf Korporat, dengan cara ini aset syarikat akan kekal dan mampu diuruskan dengan amanah oleh individu yang dilantik untuk menguruskannya.

"Ekonomi cara Islam sangat stabil berbanding ekonomi yang diperkenalkan oleh Barat. Contohnya kesan negatif ekonomi kapitalis Barat boleh dilihat menerusi pergolakan di Timur Tengah dan juga krisis hutang di Eropah.

"Setiap pengurusan ekonomi tetap mempunyai risiko tetapi melalui Wakaf Korporat risikonya lebih rendah kerana tidak melibatkan kepentingan individu,'' katanya.

Pada majlis berkenaan juga, cadangan mewujudkan Bank Wakaf turut disokong kerana boleh membantu memajukan tanah-tanah wakaf yang bernilai tinggi untuk pembangunan.

Bank sedia ada tidak menawarkan sebarang pinjaman untuk tanah wakaf kerana status tanahnya dan kesannya tanah wakaf hanya dikhaskan untuk tanah perkuburan, surau dan masjid.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...