Penulis mengambil sikap tunggu dan lihat tentang isu berkaitan penjualan sebuah syarikat minyak yang majoritinya dimiliki pelabur asing ke tangan pihak asing baru-baru ini. Setelah pelbagai tentangan demi tentangan ditunjukkan , para pelabur dan pemegang kepentingan di Malaysia akhirnya perlu akur akan keputusan pemilik asalnya hendak menjual kepada sesiapa yang mereka suka. Percantuman dan pengambilalihan hanya akan berlaku jika wujudnya situasi sanggup menjual dan sanggup membeli(willing to buy willing to sell) walau apa jua harga yang telah ditetapkan. Undang-undang hanya mampu melambat-lambatkan proses sahaja yang mana proses penjualan berkenaan juga dilakukan mengikut undang-undang.
Namun begitu, bagi para pelabur minoriti dan rakyat Malaysia, penulis menyeru agar kita tidak perlu kecewa selagi tiada rancangan "Mandatory General Offer -MGO" dilakukan dan seterusnya menyebabkan entiti berkenaan dinyahsenaraikan dari bursa saham. Jika ianya dilakukan juga , kerajaan perlu lakukan campurtangan dengan tegas kerana harga MGO tidak boleh disamakan dengan harga yang dijual kepada pihak yang membeli sebelum ini yang mana lebih rendah daripada harga pasaran. Penulis percaya sebarang penetapan harga MGO perlu berdasarkan pada purata harga pasaran dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak bursa.
Selain itu, sentimen tertentu hendaklah dipisahkan daripada perniagaan. Jika percaturan perniagaan dicampuradukkan dengan sentimen yang tertentu dan dibuat tanpa proses kajian ketekunan (due dilligent process) ianya bakal mengundang risiko yang besar kepada pengurusan dana tempatan yang dilaporkan berminat hendak mengambilalih syarikat yang sama sebelum ini.Ianya agak lebih berfaedah jika pengurusan dana menjauhi syarikat berkenaan yang mana ianya telah melibatkan keputusan korporat yang tidak telus. Penulis lebih selesa sekiranya pengurusan dana awam berkenaan yang telah mempunyai perniagaan yang sama menambahkan atau menambah bilangan cawangan yang baru berbanding dengan proses penjenamaan semula dan pembaikan serta ubahsuai stesen yang mungkin melibatkan kos yang lebih tinggi jika mengambil alih satu lagi syarikat peruncitan minyak.Lebih-lebih lagi ianya melibatkan dana awam yang dimiliki oleh rakyat Malaysia yang mana sebarang keputusan korporat perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati.
Bagi para pelabur minoriti pula, jika kita tidak bersetuju, kita boleh menjauhi kaunter berkenaan sehingga harganya jatuh dari nilai harga penjualan syarikat minyak berkenaan. Banyak lagi syarikat yang menjalankan perniagaan yang telus boleh dibuat pelaburan. Jika semua pelabur bersikap sedemikian ,penulis yakin, lambat laun syarikat-syarikat di Malaysia akan lebih berhati-hati dan menjalankan perniagaan secara telus bagi meningkatkan harga saham mereka di pasaran modal di Malaysia.
@MyIktisad
No comments:
Post a Comment